The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Marlina Majih, 2020-05-07 09:32:50

Cerita 25 Rasul

Cerita Rasul

Keywords: Rasul

[17/25] - Nabi Daud ‘Alaihissalam

1) Beberapa generasi selepas kewafatan nabi Musa, Bani Israel bagaikan tiada pedoman.
Mereka seperti kehilangan sehinggakan satu ketika Allah datangkan sehingga tiga orang
nabi kepada mereka. Mereka telah lalui banyak peperangan dan semuanya mereka kalah.
Dalam satu peperangan, Bani Israel telah kehilangan harta yang paling berharga di tangan
pihak lawan. Harta itu adalah sebuah peti yang berisi ayat-ayat keterangan Allah dan
beberapa barangan peninggalan nabi Musa dan nabi Harun seperti pakaian nabi Musa dan
sebagainya. Hilangnya peti itu membuatkan mereka semakin rasa kehilangan dan lebih
tersasar dari jalan Allah.

2) Lebih kurang 500 tahun selepas kewafatan nabi Musa, Allah datangkan nabi Yusha untuk
memberi panduan kepada Bani Israel. Bani Israel inginkan seorang pemimpin maka mereka
meminta nabi Yusha untuk melantik seorang raja dari kalangan mereka supaya mereka
boleh berkhidmat kepadanya. Nabi Yusha berdoa kepada Allah dan Allah telah memilih
seorang lelaki bernama Talut dari kalangan Bani Israel. Talut seorg yang berpengetahuan
luas dan badannya sasa, dan dia juga lelaki paling tinggi dari kalangan mereka. Dari segi
kebijaksanaan dan aspek fizikal, Talut adalah yang paling layak menjadi pemimpin. Apabila
telah mendapat raja seperti yang diminta, Bani Israel menolak Talut sebagai pilihan kerana
dia seorang yang miskin.

3) Kemudian, Allah menurunkan peti harta Bani Israel yang hilang dalam peperangan dari

langit sambil dibawa oleh para malaikat. Ia kembali menjadi milik mereka. Dengan ini, Bani
Israel tidak boleh menolak perintah Allah untuk menerima Talut sebagai raja. Pada waktu itu
juga kaum Jalut sedang merancang untuk berperang dengan Bani Israel. Kaum Jalut (atau
dikenali juga sebagai Goliath) ini sejenis kaum yang berbadan besar dan kuat. Rata-rata
menceritakan bahawa mereka ini adalah kaum gergasi. Raja mereka bernama Jalut dan dia
seorang gergasi yang paling besar dan kuat. Talut yang merupakan orang paling tinggi dalam
kalangan Bani Israel pun jika dibandingkan dengan Jalut, tingginya setakat bahu Jalut sahaja.
Dikatakan Jalut terlalu kuat, dia seorang sahaja sudah cukup untuk menewaskan seluruh
angkatan pihak lawan.

4) Talut memimpin seramai 80,000 orang Bani Israel untuk berperang dengan kaum Jalut.
Dalam perjalanan ke medan perang, tentera Bani Israel berjalan merentasi padang pasir
sehingga berjumpa dengan sebuah sungai. Mereka perlu menyeberang sungai itu namun
sebelum itu Talut berpesan kepada kaumnya bahawa Allah telah melarang Bani Israel dari
meminum air sungai tersebut kecuali dengan hanya seceduk tapan tangan. Jika ada yang
minum sepuas-puasnya,mereka tidak dibenarkan untuk mengikut Talut berlawan di medan
perang (Rujuk surah al-Baqarah ayat 249). Bani Israel baru sahaja berjalan merentasi padang
pasir oleh itu mereka sangat haus. Antara 80,000 orang tentera, seramai 76,000 dari mereka
telah meminum air sungai tadi. Tinggal 4000 sahaja yang berjaya merentas sungai tanpa
melanggar perintah Allah. Kemudian mereka melihat angkatan tentera Jalut yang sangat
besar dan sangat ramai sehinggakan pergerakan mereka menyebabkan pasir berterbangan
ke langit membentuk kepulan awan pasir. 4000 orang tersebut menjadi sangat takut, lebih-
lebih lagi apabila menyedari bahawa bilangan mereka semakin mengecil. Kebanyakan
mereka menarik diri dan tinggal seramai 314 orang sahaja yang masih mengikuti berperang.

5) Tentera Talut berdepan dengan sang gergasi Jalut yang menggerunkan. Jalut memegang
perisai yang sangat besar sehingga menutupi seluruh badannya. Jalut menyeru kepada Bani
Israel untuk menghantar seorang yang paling berani untuk berlawan dengannya. Jalut
melaungkan panggilan itu sebanyak 3 kali namun tidak ada seorang pun askar Bani Israel
yang menyahut cabarannya. Tiba-tiba keluar seorang anak muda yang berbadan kecil
bersenjatakan lastik getah di tangannya. Dia berkata, “Aku akan melawan kau, Jalut!”
Pemuda itu bernama Daud. Jalut melihat pemuda itu dan berkata, “Aku takkan berlawan
dengan kau kerana kau seorang budak.” Nabi Daud mengambil 3 biji batu dan melastik ke
arah Jalut. Salah satu batu itu terkena dahi Jalut, di antara matanya iaitu tempat yang Jalut
paling lemah. Lalu Jalut si gergasi itu pun rebah ke tanah dan mati. Peperangan tu pun
berakhir dan kemenangan menjadi milik Bani Israel. Kisah nabi Daud & Jalut atau dikenali
juga sebagai ’David & Goliath’ ini banyak diadaptasikan di dalam buku cerita, filem dan
banyak lagi.

6) Talut memerintah Bani Israel sehingga ke akhir hayatnya. Talut mengahwinkan anak
perempuannya dengan nabi Daud dan nabi Daud menggantikan Talut sebagai raja setelah

kewafatannya. Allah mengangkat kedudukan nabi Daud menjadi raja dan sekaligus
mengangkatnya sebagai nabi Allah untuk menyebarkan ajaran Islam. Setelah berabad
lamanya Bani Israel hidup dalam keadaan huru hara, akhirnya mereka dipimpin oleh seorg
raja untuk hidup dengan aman. Kitab Zabur diwahyukan kepada nabi Daud sebagai panduan
hidup umatnya. Dikatakan nabi Daud mempunyai suara yang sangat merdu, apabila baginda
membaca kitab Zabur, burung-burung turut menyanyi dengannya. Nabi Daud juga
mempunyai mukjizat boleh melenturkan besi dengan tangannya. Nabi Daud sangat pandai
membuat perisai daripada besi.

7) Nabi Daud dan isterinya melahirkan waris iaitu nabi Sulaiman. Nabi Daud wafat pada usia
100 tahun.

[18/25] - Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam

1) Nabi Sulaiman merupakan anak kepada nabi Daud. Nabi Sulaiman mewarisi takhta dan
kenabian daripada bapanya.

2) Ketika zaman nabi Sulaiman, ada emoat orang raja yang menguasai dunia. Dua orang raja
Islam iaitu nabi Sulaiman dan Iskandar Zulqarnain manakala dua orang raja lagi bukan Islam
iaitu Bakht Nasr dan Namrud. Di antara emoat orang raja agung ini, nabi Sulaiman
merupakan raja yang paling berkuasa.

3) Mengapa nabi Sulaiman yang paling hebat? Kerana Allah telah menurunkan mukjizat dan
ilmu kepada nabi Sulaiman yang tidak tertanding dengan raja-raja lain. Pertama, baginda
boleh mengawal angin; walau dari jarak sebulan jauh. Maksudnya baginda boleh mengawal
pergerakan angin sebulan sebelum angin itu sampai kepadanya sehinggalah sebulan selepas
ia melepasinya. Kedua, baginda boleh mengawal tembaga. Tembaga boleh menjadi cair dan
mengalir mengikut arahannya dan mengeras semula dalam bentuk yang dikehendakinya.
Ketiga, baginda boleh mengawal jin. Golongan jin amat takut dengan nabi Sulaiman; jin yang
ingkar arahan nabi Sulaiman akan dikenakan hukuman. Keempat, Allah mengurniakan nabi
Sulaiman ilmu bahasa burung dan bahasa haiwan lain. Baginda boleh bercakap dan faham
bahasa haiwan. Dan kelima, angkatan tenteranya sangat besar dan terdiri daripada manusia,
jin dan burung.

4) Walaupun dikurniakan dengan pelbagai mukjizat, nabi Sulaiman tidak pernah bongkak.
Baginda sentiasa bersyukur kepada Allah.

5) Ada suatu ketika, nabi Sulaiman dgn bala tenteranya sedang berarak dalam perjalan
untuk pergi berperang dan mereka melalui sebuah lembah yang dipenuhi dengan semut.
Dari jauh, seekor semut ternampak bala tentera nabi Sulaiman sedang menuju ke kawasan
tempat tinggal semut lalu semut itu pun memanggil semut-semut yang lain, “Semut-semut
semua! Cepat sembunyi di dalam tanah! Sebelum nabi Sulaiman dan tenteranya terpijak
kamu semua tanpa sengaja!” Nabi Sulaiman terdengar kata-kata semut tersebut dan
baginda pun terhibur.

6) Pada suatu hari, sedang nabi Sulaiman memeriksa barisan tenteranya, baginda tersedar
bahawa tidak cukup seekor burung. Burung yang hilang itu ialah seekor burung hud-hud.
Nabi Sulaiman jadi marah. Nabi Sulaiman berkata, “Di manakah Hud-hud? Aku akan
menghukumnya atas kelewatannya kecuali jika ia mempunyai alasan yang kukuh!” Tidak
lama selepas itu burung hud-hud tersebut sampai dan berkata, “Wahai Sulaiman! Aku
mengetahui sesuatu yang engkau tidak tahu.” Nabi Sulaiman pun berkata, “Siapa yang
berani berdiri di hadapan rajanya dan berkata dia lebih mengetahui akan sesuatu dari
rajanya?! Aku sembelih kau nanti!” Nabi Sulaiman merupakan raja yang garang, oleh itu
baginda mampu mendisiplinkan jutaan tenteranya. Kemudian burung hud-hud bercerita,
“Aku telah terbang ke negeri Saba (Sheba, Yemen). Pemimpin mereka seorang perempuan
dan dia memiliki segalanya! Dia memiliki kuasa, harta, tentera, kerajaan, segala-galanya! Dia
mempunyai takhta yang cantik lagi hebat!” Burung hud-hud pun menyambung puji-pujian
mengagungkan kerajaan Puteri Balqis. Kemudian burung itu menjadi kecewa dan
mengatakan, “Aku melihat puteri itu dan seluruh kerajaannya bersujud keada matahari.
Syaitan telah menyesatkan mereka. Nampaknya mereka merasakan perbuatan mereka itu
betul.” Dan akir sekali burung hud-hud berkata, “Allah, tiada lain yang selayaknya disembah
melainkan Allah, raja kepada segala raja.”

7) Nabi Sulaiman berkata kepada Hud-hud, “Baiklah, kita akan lihat jika kau berkata benar
atau menipu.” Kemudian nabi Sulaiman pun menulis sepucuk surat kepada Puteri Balqis.
Burung hud-hud membawa surat itu terbang ke negeri Saba dan jatuhkan surat itu di atas
riba Puteri Balqis. Puteri Balqis memanggil pembesar negerinya untuk membacakan surat
itu dan dapatkan nasihat tentang apa yang patut dilakukan. “Wahai pembesar sekalian, beta
telah menerima surat dari Raja Sulaiman. Isinya ringkas, dengarkan: Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Janganlah engkau sombong dan berserah diri
lah kepadaku.” Puteri Balqis bertanya kepada para pembesar, “Apakah yang patut aku
lakukan?” Para pembesar dengan lajunya mencadangkan untuk berperang. Puteri Balqis
seorang wanita yang bijak. Dia tahu peperangan bukanlah jalan yang bijak kerana setiap kali
berlakunya perang, rumah-rumah akan musnah dan ramai yang akan mati. Tentera raja

Sulaiman pula sangat besar dan hebat berbanding tentaranya. Puteri Balqis mempunyai
idea. Dia menghantarkan kepada nabi Sulaiman hadiah-hadiah dari kerajaan Saba. Tindakan
Puteri Balqis ini menunjukkan kebijaksanaannya kerana jika Raja Sulaiman itu bukan nabi,
sudah tentu baginda akan menerima rasuah Puteri Balqis. Namun apabila nabi Sulaiman
mendapat hadiah yang serba mewah daripada Puteri Balqis, baginda menghantar semula
hadiah tersebut dengan pesanan, “Jika kau fikir kau boleh merasuahku dengan kemewahan,
kau salah. Tiada siapa boleh membeli agamaku. Aku akan datang kepadamu dengan bala
tentera yang tidak pernah kau lihat seumur hidupmu.”

8 ) Apabila pesanan itu sampai kepada Puteri Balqis, dia berfikir lagi. Tidak mungkin dia akan
membiarkan peperangan berlaku kerana kerajaan Puteri Balqis semestinya akan kalah, oleh
itu dia mahu elakkan pertumpahan darah dan menyerah kalah secara baik. Puteri Balqis
mengumumkan bahawa dia akan berangkat untuk berjumpa Raja Sulaiman bersama
tenteranya.

9 ) Berita itu sampai kepada nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman ingin menunjukkan kepada Puteri
Balqis bahawa kerajaannya bukan biasa-biasa, ia adalah simbol kekuasaan Allah. Jadi nabi
Sulaiman mengumpulkan tenteranya yang terdiri daripada manusia, jin dan haiwan. Nabi
Sulaiman berkata, “Sebelum Puteri Balqis tiba untuk menyerah diri, aku mahu kerusi
takhtanya yang menjadi kebanggaan kerajaan Saba untuk dibawa ke sini.” Jin Ifrit
merupakan jin yang paling tinggi kedudukannya dalam kalangan jin dan dia telah
menawarkan dirinya untuk bawakan takhta Puteri Balqis tersebut. Jin Ifrit berkata, “Aku
boleh bawakan takhta itu ke sini sebelum kau sempat bangun dari tempat dudukmu,
Sulaiman. Aku sangat kuat dan kau boleh percayakan aku atas tugasan sebegini.” Namun
nabi Sulaiman tidak memilih Ifrit, baginda mempunyai calon yang lebih sesuai untuk tugasan
itu. Calon tersebut itu jin atau manusia, wallahua’alam. Dia dikenali sebagai The One with
Knowledge of the Book - sesuatu/seseorang yang mempunyai ilmu kitab. Dia janji dengan
nabi Sulaiman, “Aku boleh bawakan takhta itu dalam sekelip mata.” Nabi Sulaiman tidak
sempat berkelip pun matanya, takhta itu muncul di hadapannya. Kemudian nabi Sulaiman
mengarahkan untuk melakukan penyamaran terhadap takhta itu untuk melihat Puteri Balqis
dapat mengenali atau tidak bahawa itu takhtanya.

10 ) Apabila Puteri Balqis sampai di istana nabi Sulaiman, nabi Sulaiman sengaja bertanya,
“Adakah ini takhtamu?” Puteri Balqis keliru sebentar. Dia merasakan takhta itu seperti
miliknya namun dia tidak membawanya bersama tadi. Apabila Puteri Balqis menyedari
bahawa itu memang takhtanya, dia jadi terpegun dengan kehebatan nabi Sulaiman. Nabi
Sulaiman pun berkata, “Inilah tanda kekuasaan Allah, Tuhan sekalian Alam.”

11 ) Nabi Sulaiman mempunyai banyak istana hebat yang dibina oleh jin. Salah satunya ialah
sebuah istana kaca yang dibina di atas sungai yang mengalir. Nabi Sulaiman membawa
Puteri Balqis ke istana kaca yang serba indah itu. Apabila Puteri Balqis masuk ke dalam

istana itu, dia nampak air mengalir di bawahnya lalu dia cepat-cepat meninggikan kainnya
kerana takut basah. Selepas itu dia sedar bahawa kakinya tidak akan basah kerana rupanya
dia sedang memijak lantai kaca! Puteri Balqis sangat kagum dengan kehebatan Allah, lalu dia
pun berkata, “Ya Allah, sesungguhnya aku telah menindas diriku sendiri dengan menyembah
selain dari-Mu.” Puteri Balqis terus beriman kepada Allah dan tidak lama selepas itu dia
berkahwin dengan nabi Sulaiman.

12 ) Pada satu ketika, ketika nabi Sulaiman sudah tua, baginda telah mengarahkan jin-jin
untuk membina istana besar. Setiap kali jin terlihat kelibat nabi Sulaiman, mereka akan
berlari melakukan kerja dan tidak berani untuk memandang muka nabi Sulaiman. Pada satu
hari, nabi Sulaiman datang memeriksa jin-jin yang sedang membina istananya. Baginda
berdiri sambil meletakkan tangan pada tongkatnya dan memerhati jin-jin tersebut
melakukan pekerjaaan. Jin tersebut menjadi takut dan bekerja tanpa henti, tanpa rehat
selama setahun. Sehingga anai-anai datang dan memakan tongkat nabi Sulaiman dan
akhirnya tongkat itu patah, dan nabi Sulaiman pun jatuh ke tanah. Rupanya nabi Sulaiman
telah wafat selama setahun dalam keadaan berdiri dan matanya terbuka seakan2 sedang
memerhati jin-jin bekerja. Selepas menyedari akan keadaan itu, barulah mereka berhenti
bekerja. Begitulah berakhirnya riwayat hidup nabi Sulaiman.

[19/25] - Nabi Ilyas ‘Alaihissalam

1) Nabi Ilyas lahir dari keturunan Bani Israel. Nama lain nabi Ilyas ialah Yasin. Baginda telah
diangkat oleh Allah sebagau seorang nabi untuk menyebarkan ajaran Islam. Allah telah
menghantar nabi Ilyas ke sebuah kota bernama Baalbek, sekarang dikenali sebagai sebuah
tempat di timur Lebanon. Ketika zaman nabi dahulu, hampir semua negara arab yang ada
sekarang adalah di dalam daerah Sham. Namun sekarang telah berpecah menjadi Mesir,
Syria, Palestin, Lebanon, Jordan, dan banyak lagi.

2) Penduduk Baalbek menyembah sebuah patung berhala bernama Ba’l. Nabi Ilyas telah
datang kepada kaum Baalbek dan berseru, “Kamu menyembah berhala dan meninggalkan
sebaik-baik Pencipta iaitu Allah swt. Berimanlah kepada Allah, Tuhan sekalian alam, Tuhan
yang disembah nenek moyang kamu dahulu!” - Rujuk al Quran (37:125-126)

3) Kaum Baalbek menolak ajaran nabi Ilyas. Ketika itu, Baalbek diperintah oleh seorang raja
yang zalim. Raja itu telah memerintahkan nabi Ilyas untuk dibunuh.

4) Disebabkan itu, nabi Ilyas telah melarikan diri dan bersembunyi di kawasan pergunungan
sekitar Baalbek. Nabi Ilyas bersembunyi selama 20 tahun, kemudian keluar semula untuk
menyebarkan agama Islam.

5) Sekali lagi kaum Baalbek menolak ajaran nabi Ilyas. Allah berfirman, “Maka mereka akan
dibawa kembali (untuk diseksa). Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang
syirik.” - Rujuk al Quran (37:127-128).

6) Kemudian Allah telah memuliakan nama nabi Ilyas untuk generasi seterusnya dan Allah
memberi salam ke atas nabi Ilyas di dalam Quran. Allah berfirman, “Dan Kami abadikan bagi
Ilyas (pujian yang baik) dalam orang-orang yang datang kemudian. “Salam sejahtera ke atas
Ilyasin (Ilyas)!”” - Rujuk al Quran (37:129-130).

7) Nabi Ilyas wafat di Baalbek.

[20/25] - Nabi Ilyasa ‘Alaihissalam

1) Nabi Ilyasa merupakan sepupu kepada nabi Ilyas yang juga lahir dari keturunan Bani
Israel. Allah telah menghantar nabi Ilyasa untuk menyebarkan ajaran Islam di sekitar
Damaskus, Syria.

2) Tidak banyak yang diceritakan tentang nabi Ilyasa di dalam al Quran dan hadis. Apa yang
kita dapat pelajari, nabi Ilyasa mengikut dan meneruskan syariat nabi Ilyas dalam
perjalanan hidupnya menyebarkan agama Islam. Nabi Ilyasa hidup sehingga umur 90 tahun
dan wafat di Palestin.

3) Nama nabi Ilyasa disebut sebanyak dua kali. “Dan Ismail dan Ilyasa dan Yunus dan Lut;
dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat (yang ada pada zaman
mereka).” - Rujuk al Quran (6:86). “Dan (ingatlah perisitiwa) nabi Ismail dan nabi Ilyasa dan
nabi Zulkifli; dan mereka masing-masing adalah dari orang-orang yang sebaik-baiknya.” -
Rujuk al Quran (38:48).

[21/25] - Nabi Yunus ‘Alaihissalam

1) Nabi Yunus diberi gelaran Dhan-Nun yang bermaksud Peneman Ikan Nun. An-Nun
bermaksud ikan besar iaitu ikan paus. Nabi Yunus telah diangkat sebagai nabi Allah dan
Allah telah menghantar baginda kepada kaum Mosul di Iraq yang juga dikenali sebagai
Ninawa.

2) Kaum Mosul terdiri daripada lebih 100 ribu orang. Nabi Yunus telah menyeru kepada
kaum Mosul untuk menyembah Allah dan bukan selain dari-Nya. Berkali-kali nabi Yunus
menyeru kepada kaumnya untuk beriman kepada Allah, namun seperti nabi-nabi
sebelumnya, kaum nabi Yunus menolak ajaran Islam. Nabi Yunus memberi amaran kepada
kaum Mosul untuk takut kepada hukuman Allah namun sama sahaja, mereka tetap
menolak.

3) Nabi Yunus menjadi marah dan putus asa untuk berdakwah kepada kaum Mosul yang
degil. Nabi Yunus membuat keputusan untuk pergi jauh dari Mosul untuk berdakwah
kepada kaum lain. Baginda percaya ada lebih banyak kaum lain yang boleh dibimbing ke
jalan Allah. Maka nabi Yunus memulakan perjalanannya ke tepi laut untuk menyeberangi
lautan untuk pergi ke negara lain.

4) Sementara itu, semasa nabi Yunus dalam perjalanan ke tepi laut, Allah datangkan azab-
Nya kepada kaum Mosul. Langit yang cerah menjadi gelap gelita dan sangat menggerunkan.

Seluruh kaum Mosul seramai 100 ribu lebih orang itu semua sekali melihat ke langit dan
mereka mula menangis ketakutan. Mereka tahu azab Allah sedang datang kepada mereka
dan mereka teringat kisah kaum Luth, tentang bagaimana Allah telah menghukum mereka.
Dan mereka teringat amaran-amaran yang seringkali disebut oleh nabi Yunus tentang
hukuman Allah. Seluruh kaum Mosul pun tersedar apa yang patut mereka lakukan iaitu
bertaubat kepada Allah. Mereka bertaubat seikhlas hati dan semuanya menangis, baik
lelaki, wanita serta kanak-kanak. Nabi Yunus satu-satunya nabi di mana seluruh kaumnya
bertaubat dan beriman kepada Allah. Maka Allah tarik balik azab-Nya kerana tiada seorang
pun di antara mereka yang tidak bertaubat kepada Allah - Rujuk al Quran (10:98).

5) Nabi Yunus tidak tahu apa yang telah berlaku kepada kaumnya semasa dalam
perjalanannya. Sampai di tebing laut, terdapat sebuah kapal yang sarat. Nabi Yunus lompat
masuk ke dalam kapal tersebut dan kapal itu pun memulakan perjalanan - Rujuk al Quran
(37:140). Tiba-tiba angin mula bertiup kencang dan ribut mula datang. Kapal sarat itu mula
bergoncang dan dimasuki air. Mereka mula tenggelam sedikit demi sedikit. Orang-orang di
dalam kapal cuba untuk mengurangkan muatan lebihan dengan mencampak keluar semua
barangan di dalam kapal namun kapal semakin tenggelam.

6) Mereka terpaksa mengurangkan bilangan orang di dalam kapal. Untuk adil, mereka
mencabut nama dan nama yang keluar mestilah terjun dari kapal. Apabila nama dicabut,
nabi Yunus yang keluar. Mereka melihat rupa nabi Yunus kelihatan seperti seorang yang
alim, berpengetahuan luas dan masih muda, tidak ramai orang muda seperti ini. Satu
pembaziran jika dibiarkan mati. Maka mereka memutuskan untuk membatalkan cabutan
tadi dan cabut lagi sekali. Kali kedua, nama nabi Yunus yang keluar. Kali ketiga, juga nama
nabi Yunus yang keluar. Nabi Yunus sedar bahawa ini bukanlah kebetulan, namun ketentuan
Allah - Rujuk al Quran (37:141). Maka nabi Yunus pun terjun ke dalam laut.

7) Sebaik sahaja nabi Yunus masuk ke dalam laut, Allah memerintahkan ikan nun untuk
menelannya - Rujuk al Quran (37:142). Dalam proses ditelan itu, nabi Yunus pengsan. Allah
berfirman, “Maka kalaulah dia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah
(dengan zikir dan tasbih); tentu dia akan tinggal di dalam perut ikan itu sehingga hari
manusia dibangkitkan dari kubur.” - Rujuk al Quran (37:143-144).

8 ) Ikan nun tersebut berenang ke dasar laut yang gelap. Nabi Yunus tersedar dari pengsan
apabila terdengar bunyi-bunyian di dalam laut. Dia bertanya kepada Allah bunyi apa yang
sedang didengarnya dan Allah menjawab bahawa itulah bunyi tasbih batu-batu dan ikan-
ikan di dalam laut. Nabi Yunus bersujud kepada Allah dalam keadaan bertaubat dan berkata,
“Aku bersujud daam kegelapan-kegelapan ini (kegelapan di dalam perut ikan, kegelapan
dasar laut dan kegelapan malam). Sesungguhnya tiada Tuhan yang dapat menolong
melainkan Engkau ya Allah! Maha suci Engkau, tolonglah daku! Sesungguhnya aku adalah
dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” - Rujuk al Quran (21:87).

9) Nabi Yunus hidup di dalam perut ikan nun selama 40 hari (ada yang mengatakan
sekurang-kurangnya 3 hari, wallahualam). Selama 40 hari nabi Yunus bertasbih dan berdoa
kepada Allah sehingga baginda menjadi semakin lemah. Akhirnya Allah memperkenankan
doanya. Ikan nun tersebut memuntahkan nabi Yunus di tepi pantai dan nabi Yunus keluar
dalam keadaan sakit - Rujuk al Quran (37:145). Dikatakan badannya lembik dan kulitnya
dipenuhi ruam. Kemudian Allah menumbuhkan sebuah pohon melingkar di sebelah tempat
nabi Yunus terbaring - Rujuk al Quran (37:146). Nabi Yunus dapat makanan dari tumbuhan
itu dan bila daunnya yang lebar menyentuh kulit nabi Yunus, ia terasa sangat lembut dan
nyaman. Ia juga menjadi tempat berteduh sementara nabi Yunus menyembuhkan diri.

10) Apabila nabi Yunus telah sembuh, baginda pulang ke Mosul dan terkejut melihat seluruh
kaumnya sudah beriman kepada Allah. Allah kurniakan kepada mereka kebahagiaan buat
sesuatu masa - Rujuk al Quran (37:148).

[22 & 23/25] - Nabi Zakaria & Yahya ‘Alaihissalam

1) Nabi Zakaria merupakan seorang yang sangat alim dan dihormati. Baginda merupakan
biras kepada Imran, seorang sheikh yanh juga sangat alim dan selalu mengimamkan solat di
Baitulmaqdis. Isteri mereka merupakan adik beradik (yang juga sangat alim dan dihormati)
dan kedua-dua isteri mereka mandul maka mereka tidak mempunyai zuriat sehinggalah
suatu masa ketika mereka sudah tua.

2) Pada suatu hari, ketika isteri Imran yang bernama Hannah sedang beribadah, dia terlihat
seekor ibu burung sedang memberi anak-anak burung makan dan apabila angin bertiup, ia
mengembangkan sayapnya dan melindungi anak2nya dari ditiup angin. Hannah tiba-tiba
terasa dia sangat teringin memiliki anak sendiri walaupun usianya sudah tua. Maka dia
berdoa kepada Allah dengan bersungguh-sungguh untuk mengurniakan mereka seorang
anak. Dan Allah memakbulkan permintaannya.

3) Hannah bernazar, anak yang di dalam kandungannya itu akan didedikasikan untuk
berkhidmat di jalan Allah dan akan tinggal dan membesar di sebuah mihrab - Rujuk al
Quran (3:35). Tidak lama kemudian, lahirlah seorang bayi perempuan bernama Maryam.
Hannah berdoa supaya Maryam dan zuriat yang lahir dari Maryam nanti sentiasa terlindung
daripada syaitan - Rujuk al Quran (3:36). Istimewanya Maryam dan Isa (anak Maryam)
adalah mereka tidak pernah diganggu syaitan. Bapanya, Imran telah meninggal dunia ketika
Maryam masih dalam kandungan maka dia telah lahir sebagai seorang anak yatim. Oleh itu,

orang-orang alim telah berdebat tentang hak penjagaan Maryam.

4) Nabi Zakaria berkata, “Tentulah aku yang paling layak menjaganya kerana aku bapa
saudaranya”. Mereka berasa tidak adil begitu. Lalu mereka mahu membuat cabutan.
Masing-masing meletakkan pen mereka ke dalam sebuah bekas kemudian mereka
memanggil seorang budak untuk mengambil satu pen. Pen yang diambil ialah pen nabi
Zakaria maka sepatutnya nabi Zakaria lah yang menang. Mereka batalkan cabutan itu dan
memulakan semula cabutan. Mereka meletakkan pen-pen tadi ke dalam air yang mengalir
dan syaratnya, pen siapa yang tidak mengikut arus air adalah pemenang. Kesemua pen
bergerak mengikut arus air kecuali pen nabi Zakaria. Mereka membatalkan cubaan kedua
itu dan buat satu lagi cubaan tapi syaratnya ialah pen siapa yang bergerak mengikut arus,
dia menang. Dengan kuasa Allah, pen nabi Zakaria sahaja yang bergerak mengikut arus dan
yang lain bergerak menentang arus. Apabila telah tiga kali menang, terang-terang Allah
yang menghendakinya. Maka nabi Zakaria lah yang berhak menjaga Maryam.

5) Maryam membesar di mihrab sebagai seorg anak perempuan yang sangat alim, baik,
suci, dan sentiasa dikasihi Allah. Dia bagaikan sering mendapat perhatian istimewa daripda
Allah. Nabi Zakaria pernah melihat pada musim sejuk Maryam membawa buah-buah segar
yang hanya tumbuh pada musim panas; dan pada musim panas dia membawa buah-buah
segar yang hanya tumbuh pada musim sejuk. Apabila ditanya bagaimana dia mendapatkan
buah-buah itu, Maryam menjawab, “Allah yang berikan kepadaku” - Rujuk al Quran (3:37).

6) Menyaksikan kejadian itu, nabi Zakaria sedar bahawa Allah boleh menjadikan apa sahaja.
Nabi Zakaria dan isterinya dari muda lagi teringinkan zuriat dan mereka tidak pernah putus
harapan. Kemudian nabi Zakaria berdoa kepada Allah, “Ya Allah, tulang-tulangku sudah
lemah, rambutku sudah putih, namun aku tidak pernah berhenti mengharapkan kebaikan
dari-Mu. Dan sesungguhnya aku bimbang akan kaumku dan isteriku pula mandul. Maka
kurniakanlah kepadaku zuriat, dari sisi-Mu, yang dapat mewarisi kenabianku dan keturunan
Yaakub.” - Rujuk al Quran (19:5-6). Dan Allah memakbulkan doanya. Allah menurunkan
para malaikat untuk menyampaikan berita bahawa nabi Zakaria bakal menimang cahaya
mata lelaki yang Allah namakan Yahya; tidak ada lagi orang yang bernama Yahya
sebelumnya - Rujuk al Quran (19:7). Anaknya itu bakal mengesahkan ayat-ayat keterangan
Allah (yang akan disampaikan oleh nabi Isa), dia akan menjadi ketua orang-orang alim dan
dia tidak akan berkahwin kerana dia akan menyerahkan seluruh hidupnya kepada Allah. -
Rujuk al Quran (3:39). Allah telah memberitahu semua ini kepada nabi Zakaria sebelum
perkara itu terjadi lagi.

7) Nabi Zakaria terkejut dan bertanya kepada Allah, “Bagaimana aku boleh mempunyai
anak pada usia tua dan isteriku mandul?” Dan Allah menjawab bahawa Allah boleh
menjadikan sesuatu apabila Dia menghendakinya - Rujuk al Quran (3:40). Kemudian nabi
Zakaria meminta tanda-tanda bila tiba masa bahawa isterinya sudah hamil. Allah berfirman,

“Tanda-tandanga ialah kau tidak mampu bercakap selama 3 hari kecuali menggunakan
bahasa isyarat. Ketika itu bertasbih dan berzikirlah pada setiap pagi dan petang.” - Rujuk al
Quran (3:41). Tidak lama selepas itu, tibalah hari nabi Zakaria tidak dapat bercakap selama
3 hari namun baginda teruskan berdakwah menggunakan isyarat tangan, bertasbih dan
berzikir. Selepas tamat 3 hari utu, tersebarlah berita bahawa isteri nabi Zakaria iaitu Elisha
sedang hamil ketika nabi Zakaria berumur 90 tahun.

8 ) Nabi Yahya pun lahir dan membesar menjadi seorang nabi yang sangat alim.
Personalitinya agak berbeza daripada orang lain, hampir sempurna. Ketika baginda kanak-
kanak, ketika yang lain sibuk bermain, nabi Yahya sangat tekun dan serius mempelajari
kitab Taurat sehingga baginda hafal satu kitab. Baginda menghabiskan masanya di rumah
ibadat dan beribadah kepada Allah. Baginda juga sangat kasih dan simpati kepada umat
manusia, haiwan-haiwan dan makhluk Allah yang lain. Nabi Yahya juga amat berjasa
kepada kedua ibu bapanya, baginda tidak pernah ingkar dan tidak sombong. Nabi Yahya
tidak pernah berkahwin kerana dia menyerahkan seluruh hidupnya untuk beribadah
kepada Allah. Dan baginda sering menangis ketika mendalami ayat-ayat keterangan Allah
dan ketika menyampaikan dalam khutbahnya sehingga menyentuh hati ramai orang. Oleh
itu, baginda sangat disayangi pengikutnya.

9) Pada suatu hari, seseorang telah sampaikan kepada raja yang memerintah pada ketika
itu bahawa orang ramai lebih menyayangi nabi Yahya berbanding raja mereka sendiri. Pada
masa yang sama, raja itu sedang bercinta dengan anak saudaranya sendiri dan ingin
mengahwininya. Oleh kerana rasa cemburu, raja itu mula memerhati apa yang nabi Yahya
lakukan. Pada satu masa, nabi Yahya telah berkhutbah tentang larangan Allah terhadap
perkahwinan dengan mahram sendiri dan hukuman ke atas mereka yang melakukannya.
Raja tersebut menjadi marah kerana dia merasakan nabi Yahya biadap kerana memberi
khutbah yang kena tepat pada batang hidungnya. Namun, pada ketika itu raja tersebut
tidak berkahwin dengan anak saudaranya itu kerana tidak mahu rakyatnya memberontak.

10) Anak saudara raja tersebut merupakan perempuan yang jahat, dia ada muslihatnya
sendiri. Dia tetap mahu berkahwin dengan bapa saudaranya jadi dia telah menggoda raja
tadi di dalam majlis-majlis di istana. Dia mempunyai badan yang menggiurkan lalu dia
menggoda bapa saudaranya dengan tarian, nyanyian, dan banyak lagi sehingga si raja
merasakan bahawa dia perlu berkahwin dengan anak saudaranya itu. Akhirnya perempuan
jahat tadi berjaya menambat hati bapa saudaranya untuk berkahwin dengannya dan
meletakkan syarat perkahwinan, dia mahukan kepala nabi Yahya sebagai maharnya.

11) Maka nabi Yahya wafat dibunuh dan dipenggal kepalanya ketika sedang beribadah
kepada Allah.

12) Istimewanya orang-orang dalam kisah kali ini ialah Allah telah mengangkat darjah

mereka sangat tinggi sehingga Allah menamakan surah-surah di dalam al-Quran sempena
nama mereka iaitu surah Maryam, sempena wanita istimewa di sisi Allah, dan surah Al-
Imran, sempena ahli keluarga Imran iaitu Imran, Hannah, Maryam dan Isa.

[24/25] - Nabi Isa ‘Alaihissalam

1) Di dalam Al-Quran, baginda digelar Isa ibni Maryam. Jesus Christ atau Jesus dari Nazareth
adalah nama umum bagi orang Kristian.

2) Keturunan Nabi Isa bermula dari kelahiran Maryam iaitu anak perempuan Imran (boleh
rujuk Kisah Nabi Zakaria & Yahya sebelum ini). (Surah Ali Imran: 45)

3) Di dalam Al Quran dan juga Injil, ada menyatakan bahawa Jibril menemui Maryam dan
memberitahu bahawa Maryam akan melahirkan seorang bayi yang istimewa walaupun
Maryam masih dara.

4) Nabi Isa dilahirkan dibawah pokok Kurma di daerah berhampiran Baitulmaqdis, Palestin.

5) Semasa kecil Nabi Isa memiliki mukjizat iaitu mampu bercakap. Nabi Isa ketika itu
berpidato dengan mereka yang mengutuk ibu baginda.

6) Selain itu, Nabi Isa memiliki mukjizat setelah dewasa iaitu mampu menyembuhkan orang
buta dan lumpuh.

7) Nabi Isa mempunyai 12 orang sahabat. Al-Quran menggelarkan Al-Hawariyun manakala
Kirstian mengelarkan 12 diciples / appostle.

8)Mereka adalah;

1. Peter @ Petrus
2. James @ Yakobus
3. John @ Yohannes
4. Andrew @ Andreas
5. Philip
6. Barthomew
7. Matthew
8. Thomas
9. James
10. Thaddeus
11. Simon
12. Judas Iscariot

Nama tersebut masih samar, tiada fakta yang sahih. Injil sendiri masih berbalah mengenai
individu Al Hawariyun. Al Quran ada menerangkan mengenai Al Hawariyun ini dalam Surah
Al-Maaidah: 111-115

9) Apabila terlihat akan mukjizat Nabi Isa ini, ramai para pendeta pada zaman itu rasa
terancam dan mula menabur fitnah ke atas Nabi Isa.

10) Fitnah dari pendeta itu sampai ke Maharaja Rome. Maharaja Rome menawarkan
sejumlah harta yang banyak sehingga tertangkapnya Nabi Isa.

11) Ketika itu, Nabi Isa berdakwah secara rahsia dan para sahabat Al Hawariyun banyak
membantu.

12) Oleh kerana tamak dan iri hati, salah seorang sahabat Nabi Isa, Judas Iscariot berpaling
tadah.

13) Judas memberitahu tempat persembunyian Nabi Isa. Ketika dikejar oleh tentera Rome,
Nabi Isa bersembunyi di Gua.

14) Ketika persembunyian di Gua tersebut, maka Allah telah mengangkat Nabi Isa ke langit.
Hal ini berdasarkan kepada peristiwa Nabi Isa & Al-Hawariyun menjamah makanan terakhir
(The Last Supper). Pada waktu itu, Nabi Isa ada menyebut bahawa salah seorang dari Al-
Hawariyun akan mengkhianatinya.

15) Judas yang ketika itu bersiar di bandar, tiba-tiba Allah telah menukarkan rupa Judas
kepada rupa Nabi Isa.

16) Para tentera Rome segera menangkap Judas dan dibawa untuk perbicaraan.

17) Hukuman yang diterima adalah disalib hidup-hidup kemudian diberi mahkota kawad
berduri di kepala.

18) Nabi Isa ketika ini masih hidup, hanya Allah sahaja yang tahu dimana Nabi Isa
ditempatkan. Keterangan hadis Nabi Muhammad ada meriwayatkan kisah ini. Ia turut
diceritakan dalam The Second Coming (versi Kristian).

19) Perkara pertama yang dilakukan ketika turun dari langit adalah menunaikan solat yang
diimamkan oleh Imam Mahadi.

20) Nabi Isa mempunyai misi besarnya untuk menyelamatkan manusia daripada fitnah Dajjal
serta kaum Yakjuj & Makjuj.

[25/25] - Nabi Muhammad SAW

1) Baginda diputerakan di Makkah pada Isnin, 12 Rabiuawal (20 April 571M) pada Tahun
Gajah (kerana berlakunya serangan tentera bergajah yang dipimpin oleh Abrahah dr
Habsyah terhadap Kota Makkah).

2) Ibu baginda bernama Aminah manakala ayah baginda bernama Abdullah.

3) Keturunan baginda berasal dari susur galur dari Nabi Ismail kira-kira dalam keturunan
yang ke-40.

4) Ayah baginda meninggal dunia sebelum kelahiran baginda manakala ibu baginda
meninggal dunia ketika baginda berusia enam tahun.

5) Ibu angkat atau ibu susuan baginda bernama Halimatus Sa'adiah @ Halimah binti Abu
Dhuayb Abdullah. Beliau bersama suami, Al Harith berasal daripada Kabilah Arab Sa'd.

6) Tradisi Arab ketika itu adalah menghantar bayi yang baru lahir untuk disusukan di
persekitaran padang pasir berbanding di Kota Mekah. Malangnya, kebanyakan ibu susuan
Badwi lebih gemark akan bayi yang masih berbapa. Begitu juga Halimah, namun disebabkan
gagal mendapatkan bayi lain, Halimah mengambil juga Nabi Muhammad SAW, lapan hari

selepas baginda diputerakan. Beliau menyusukan baginda sehingga usia baginda 2 tahun
lebih.

7) Setelah ibu baginda meninggal dunia, baginda dijaga oleh datuknya, Abdul Mutalib
kemudian oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

8)Abu Talib seorang yang boleh dikatakan berkemampuan. Dari sini baginda belajar untuk
mengembala kambing-kambing Abu Talib dan kerap menemani bapa saudaranya berniaga di
Syam (Syria). Ketika ini, kerasulan Nabi Muhammad SAW telah diramal oleh pendeta
Nasrani bernama Buhaira ketika rombongan perniagaan singgah di Basrah. Buhaira meminta
Abu Talib membawa baginda pulang kerana khuatir akan dibunuh oleh kaum Yahudi.

9) Nabi Muhammad SAW sejak kecil tidak pernah terlibat dalam kehidupan sosial Arab
Jahiliyyah. Ibaratnya, baginda tidak terlibat dengan pergaulan bebas dan sebarang perkara
yang tidak berfaedah. Namun bukanlah bermakna tidak mempunyai kawan langsung. Jika
tiba waktu riadah, baginda masih lagi beriadah bersama rakan-rakan yang lain.

10) Sewaktu remaja, baginda percaya sepenuhnya dengan keesaan Allah SWT. Baginda
sangat merendah diri dan menyayangi orang miskin.

11) Pada usia 25 tahun, baginda berkhidmat bersama Khadijah dalam menjalankan
perniagaan atas nasihat pakciknya, Abu Talib. Sifat amanah yang dimiliki oleh baginda
terutama ketika Khadijah menyerahkan wang modal perniagaan yang besar kepada baginda
dan diuruskan dengan sempurna. Ini menyebabkan Khadijah tertarik dengan baginda dan
melamar baginda untuk dijadikan suami.

12) Setelah berkahwin, baginda dikurniakan 6 orang anak (2 lelaki, 4 perempuan). Anak-
anak lelaki baginda Qasim dan Abdullah telah meninggal dunia semasa kecil. Manakala anak
perempuan baginda Ruqayyah, Zainab, Ummu Kalsum & Fatimah AzZahra. Saidatina
Khadijah adalah satu-satunya isteri baginda sehinggalah saidatina Khadijah meninggal dunia
pada umur 64 tahun.

13) Baginda turut digelar Al Amin. Pada usia 35 tahun, kewibawaan baginda terserlah
apabila baginda berjaya menyelesaikan masalah perletakan semula Hajar al-Aswad ke
tempat asalnya di penjuru Timur Kaabah yang jatuh ketika banjir.

14) Baginda sedih dengan perkembangan Arab Jahiliyah. Semakin teruk dan menyedihkan
sehingga baginda kerap kali ke Gua Hira yang kemudian dikenali sebagai Jabal an Nur untuk
memikirkan cara bagi mengatasi gejala yang dihadapi masyarakatnya.

Karya asal:

Saudari Sharifah Syazreen Syed Agail.
https://www.facebook.com/sharifahsyazreen.alidrus

Saudara Syed Muzzamil Syed Anuar.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1656911551111595&id=694844753984


Click to View FlipBook Version