The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by suhamibbt, 2021-09-23 20:10:20

ESTETIKA PANTUN DALAM BUKU TEKS BAHASA MELAYU (6)

ESTETIKA PANTUN DALAM BUKU TEKS BAHASA MELAYU

Estetika Pantun dalam Buku Teks Bahasa Melayu sebagai

Bahan Pengajaran dan Pembelajaran

Oleh:
Suhami Ahmad
BSTP, Putrajaya

Pantun merupakan warisan bangsa yang mempunyai nilai estetika, akal budi dan falsafah
yang tinggi dalam masyarakat Melayu. Pantun merupakan salah satu karya sastera yang
mempunyai ciri-ciri istimewa dalam penciptaannya yang berbeza dengan penggunaan
bahasa seharian. Karya sastera yang dicipta dan disusun menggunakan bahasa yang indah
ini berfungsi menghaluskan budi dan kemanusiaan. Perasaan pembaca akan dapat disentuh
melalui mesej yang halus dan berkesan.

Pantun kebiasaannya akan menyentuh tentang kehidupan masyarakat Melayu. Za’ba
berpendapat ‘pantun itulah kaedah rangkapan yang tertua dan memang asal kepunyaan
Melayu betul. Semenjak Orang Melayu belum tahu surat-menyurat dahulu pun mereka telah
pandai berpantun dan biasa berbalas-balas pantun sesama sendiri’. Za'ba dalam
bukunya Ilmu Mengarang Melayu menjelaskan, ‘Perkataan pantun itu pada mulanya dipakai
orang dengan makna seperti atau umpama.’

Pantun sering digunakan dalam upacara peminangan dan perkahwinan atau sebagai
pembuka atau penutup bicara dalam majlis-majlis rasmi. Harun Mat Piah (1989),
mendefinisikan pantun berdasarkan aspek dalaman dan aspek luaran. Aspek dalaman
pantun meliputi unsur estetik dan isi (tema dan persoalan). Unsur estetik pantun dapat dilihat
berdasarkan dua aspek, iaitu yang berkaitan dengan penggunaan lambang-lambang tertentu
yang terdapat dalam pantun mengikut tanggapan dan pandangan dunia masyarakat Melayu.
Kedua, berdasarkan hubungan makna antara pasangan pembayang-pembayang dengan
pasangan maksud sama ada secara konkrit atau abstrak.

Pengajaran dan pembelajaran (PdP) bahasa bukan sahaja mencakupi sistem bahasa
iaitu tatabahasa, ejaan, dan kosa kata. Juga bukan sahaja kemahiran bahasa seperti
mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Malah lebih luas daripada itu dengan
menggunakan karya sastera. Karya sastera mampu melahirkan generasi yang lebih beradap
melalui nilai-nilai murni dan juga sebagai bahasa asas untuk membina pemikiran yang kritis.
Bahan sastera merupakan satu unsur yang penting dalam mengusai sesuatu bahasa.

1

Wahana ini diakui paling berkesan dalam meningkatkan kemahiran berbahasa murid
misalnya melalui pendekatan didik hibur. Bahan sastera mampu memberi peluang kepada
murid untuk mempelajari perbendaharaan kata yang luas dan pelbagai bentuk
penggunaannya.

Membina buku teks tidak akan lengkap jika tidak dimasukkan aspek prosa dan puisi,
khususnya pantun. Pengalaman mengajar bahasa dalam aliran kebangsaan, jenis
kebangsaan dan menengah, pantun merupakan salah satu cabang aspek seni bahasa yang
sangat digemari oleh murid diikuti dengan nyanyian, sajak dan gurindam. Ini kerana
keindahan binaan bahasanya agak unik, iaitu ada baris pembayang dan ada baris
maksudnya. Unsur pembayang pada awal pantun berperanan sebagai ‘awal bicara’ sebelum
menyampaikan sesuatu maksud. Binaan pembayang mestilah bercirikan unsur-unsur alam
supaya tampak segar di mata murid. Murid dapat berinteraksi menggunakan bahan ini dalam
pelbagai situasi. Misalnya untuk memberi nasihat, mengungkapkan perasaan gembira, sedih,
marah, kecewa, sindiran, berteka-teki dan sebagainya.

Justeru tulisan ini cuba meninjau penggunaan pantun dalam buku teks Bahasa
Melayu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), iaitu mematuhi atau tidak nilai atau ciri-ciri
estetik sesebuah pantun.

PANTUN YANG BERESTETIK

Kehidupan masyarakat Melayu secara tradisinya amat berkait rapat dengan unsur-unsur
alam flora dan fauna. Unsur-unsur alam di hutan, di sawah padi, di lautan dan sebagainya
secara tidak langsung akan mempengaruhi pembayang kepada pantun yang dibina. Nasihat,
senda gurau, pedoman dan pendidikan dalam menempuh cabaran hidup disampaikan
dengan menggunakan pembayang yang indah supaya mesejnya lebih menarik, berkesan
dan berestetik.

Dalam buku teks Bahasa Melayu, didapati pembayang pantun yang digunakan amat
bersesuaian dengan aras murid. Pembayang yang dibina dekat dengan pengetahuan dan
pengalaman mereka. Pemilihan pembayang yang tidak sesuai akan menyulitkan para guru
untuk menjelaskan makna, terutamanya yang bersifat abstrak dan kiasan. Perhatikan
pemilihan pembayang pantun-pantun berikut.

2

Pohon melati tanam di kota,
Jadi hiasan di tepi taman;

Saling menghormati budaya kita,
Jadi amalan sepanjang zaman.

Naik sampan mengail ikan,
Angin bertiup di pohon rumbia;

Menolong jiran menjadi amalan,
Pasti hidup aman bahagia.

(Buku Teks Bahasa Melayu Masalah PembelajaranTahun 5)

Buah nanas ditebuk tikus,
Buah rotan jatuh merata;

Makanan panas jangan dibungkus,
Membahayakan kesihatan diri kita.

Ayam serama di tepi hutan,
Daun nyiur menutup belimbing;

Bersama-sama jaga keselamatan,
Bagai aur dengan tebing.

(Buku Teks Bahasa Melayu SK Tahun 5)

Daun jambu rasanya kelat,
Dipetik teruna letak di raga;

Sastera maju bahasa berdaulat,
Semarak budaya penyatu warga.

Anak dara menjinjing raga,
Berbaju merah cantik berdandan;

Sejarah negara warisan berharga,
Ikhtibar sejarah jadikan teladan.

Apa disuluh di tepi muara,
Pokok keladi ternampak kelam;

Setitis peluh sebutir mutiara,
Jasa berbudi kepada alam.

Waktu malam bulan mengambang,
Bintang memagar terangnya suasana;

Hijau alam ekologi seimbang,
Flora membugar girangnya fauna.

(Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 2)

3

Pantun dilihat lebih berkesan untuk menyampaikan maksud secara berlapik
berbanding prosa. Pemilihan pembayang mestilah bercirikan unsur alam dan dekat dengan
dunia murid. Penulis pantun mesti mempunyai pengetahuan tentang sesuatu unsur alam
yang digunakan agar ia dapat digunakan dengan betul dan logik. Pantun terbina dalam
bentuk berangkap. Pantun mengandungi bahagian pembayang dan maksud. Bentuk pantun
terbahagi kepada rangkap pantun, iaitu 2 baris atau kerat, 4 baris, 6 baris, 8 baris dan 12
baris. Bagi pantun 2 kerat rima akhirnya ialah a,a dan 4 kerat pula ialah a,b,a,b. Perhatikan
pantun berikut, iaitu pembayang, rima dan kosa katanya sangat baik dan sesuai dengan aras
murid.

Ikan keli ikan pelata,
Marilah kenali jiran kita.

Mangga dibelah tidak sekata,
Jiran ialah sahabat kita.

Ikan toman terkena joran,
Hidup aman sesama jiran.

(Buku Teks Bahasa Melayu SJK Tahun 1)

Pokok betik dihinggap camar,
Pokoknya rendah tumbuh setara;

Alam cantik tidak tercemar,
Negara indah rakyat sejahtera.

Mudik ke hulu hendak ke muara,
Perlahan-lahan membawa muatan;

Jika mahu hidup sejahtera,
Jagalah kebersihan dan kesihatan.

Pohon cermai pohon ciku,
Hinggap kedidi membawa jerami;

Hijau damai kawasan sekolahku,
Murid berbudi cintai bumi.

Pokok betik dihinggap camar,
Pokoknya rendah tumbuh setara;

Alam cantik tidak tercemar,
Negara indah rakyat sejahtera.

(Buku Teks Bahasa Melayu SJK Tahun 4)

Pemilihan perkataan dalam pembayang dan maksud pantun di atas sesuai dengan
aras pemahaman dan penguasaan bahasa murid sekolah rendah. Beberapa aspek bahasa
dalam pantun berkenaan dapat dibincangkan oleh guru dalam PdP. Pertamanya aspek
bentuk kata. Murid diminta mengenal pasti kata tunggal seperti pokok, alam, negara, hulu,

4

dan muara. Manakala kata terbitan pula adalah dihinggap, tercemar, membawa dan
kebersihan. Kata ganda perlahan-lahan, kata partikel -lah (Jagalah), awalan
di- (dihinggap) yang membawa makna pasif. Yang keduanya ialah unsur binaan ayat dalam
pantun. Secara tidak langsung guru telah memperkenal jenis-jenis ayat kepada murid. Ayat
aktif Itik angsa di tepi paya dan ayat pasif Pokok betik dihinggap camar.

Itik angsa di tepi paya,
Di tepi halaman membuat sangkar;

Pelbagai bangsa kawan saya,
Hidup aman tidak betengkar.

Ampang Jajar tempat bertemu,
Melabuh bahtera di hujung muara;

Tekun belajar menuntut ilmu,
Bergaul mesra bagaikan saudara.

Duduk di batu mengail ikan,
Ikan berenang ikan gelama;

Saling membantu sesama rakan,
Susah senang hadapi bersama.

Buah mengkudu buah berangan,
Pisang sesikat sama dirasa;

Bersatu padu menjadi pegangan,
Hidup sepakat aman sentosa.

(Buku Teks Bahasa Melayu SJK Tahun 5)

Bagi murid berkeperluan pendidikan khas pula, penulis mestilah berhati-hati apabila
membina pembayang dan maksud pantun dalam buku teks. Kosa kata pembayang dan
maksud yang dipilih mestilah mudah difahami dan dekat dengan persekitaran kehidupan
murid. Aras kandungan pantun mestilah mengambil kira keupayaan intelek, fizikal, emosi
serta sosialnya yang tidak mengalami pertumbuhan dan perkembangan yang normal.
Pemilihan pantun-pantun dalam buku teks berikut didapati bersesuaian dengan aras murid
berkeperluan pendidikan khas.

Anak ikan di dalam kolam,
Anak itik leka berlari;

Amalkan makan sayur dan ulam,
Kulit cantik muka berseri.

Mari menanam limau kesturi,
Pokok pinang tumbuhnya subur;

Suka bersenam cergaskan diri,
Hidupmu tenang hati terhibur.

5

Pohon selatih di tepi titi,
Pokok gaharu harumnya lama;

Sekolah bersih tenangkan hati,
Ajaran guru mudah terima.

(Buku Teks Bahasa Melayu Pendidikan Khas Ketidakupayaan Pendengaran Tahun 4)

Anak helang anak sepat,
Anak ungka di pokok kelapa;

Badannya berbelang berkaki empat,
Cuba teka binatang apa?

Saat melihat sekuntum bunga,
Lilin terpadam hilang cahaya;

Semasa berehat mulut ternganga,
Suka berendam tidaklah bahaya.

Bawa keranjang sambil mendaki,
Kaki tercalar berdarah pula;

Badannya panjang tidak berkaki,
Suka menjalar membelit pula.

(Buku Teks Bahasa Melayu Komunikasi Pendidikan Khas Tingkatan 1)

Rangkap pantun berikut pula lebih sesuai untuk dimasukkan dalam buku teks
menengah atas. Pemilihan kosa kata dan maksud tersirat yang cuba disampaikan
memerlukan pemahaman yang tinggi.

Tikar pucuk tikar mengkuang,
Tempat menyembah Raja Melayu;

Ikan busuk jangan dibuang,
Buat perencah si daun kayu.

Musang jebat menyusur akar,
Murai berkirai bulu dadanya;

Hujan ribut padang terbakar,
Embun setitik padam baranya.

(Kurik Kundi Merah Saga)

Kita juga dapat memperkenalkan perkataan asing atau pinjaman dalam bahasa
Melayu kepada murid menengah. Bahasa Melayu seperti bahasa-bahasa lain juga menyerap
atau meminjam perkataan-perkataan asing. Ada perkataan yang diubah bunyinya dan juga
ada yang berubah atau bertambah maknanya daripada bahasa asal. Hal ini disebabkan
hubungan yang erat bangsa Melayu dengan bangsa-bangsa lain dan faktor penjajahan.
Berikut adalah etimologi atau asal usul perkataan pinjaman yang sering ditemukan dalam
pantun.

6

● cinta [daripada Sanskrit cinta ‘fikiran, perhatian, kebimbangan’]
● capal [daripada Hindi cappal{Wi}]
● istana [daripada Parsi ãstãna {B}; daripada Sanskrit ãsthãna ‘tempat pertemuan
dengan raja’ {G}]
● saudagar [daripada Parsi sawdãgar ‘peniaga, pedagang’ {B}]
● sepatu [daripada Portugis sapato]
● tinta [daripada Portugis ‘dakwat; cat’]
● kamar [daripada Belanda kamer daripada Latin camera]

(Kamus Dewan Perdana, 2020)

Burung disebut si burung merak,
Menjadi ratu istana rimba;

Untung sabut timbul nampak,
Untung batu tenggelam hamba.

Kalau tuan pakai sepatu,
Agar-agar naik ke kuala;

Kalau tuan cakap begitu,
Kayu pagar naik kepala.

(Kurik Kundi Merah Saga)

Berikutnya golongan kata juga dapat diajar oleh guru menggunakan pantun seperti

kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata sendi nama. Kata nama seperti angsa, paya,
Ampang Jajar dan rakan. Kata kerja seperti bertemu, belajar, berenang dan dirasa. Kata

adjektif pula tekun, mesra, susah dan aman. Kata sendi pula ialah di dan ke. Selain itu,
bentuk-bentuk imbuhan juga boleh diajar kepada murid seperti imbuhan awalan membantu,

imbuhan akhiran pegangan dan apitan kesihatan. Penjodoh bilangan iaitu sesikat dan kata
majmuk tanggungjawab. Penggunaan aspek tanda baca seperti kedudukan koma, noktah,

koma bertitik dan sebagainya dapat diajar oleh guru sewaktu menulis pantun.

Sinar mentari menerangi kota,
Nampak bukit berdiri megah;

Kesihatan diri tanggungjawab kita,
Agar penyakit dapat dicegah.

Dua tiga si anak angsa,
Termasuk pukat kakinya luka;

Gigi dijaga setiap masa,
Bersih memikat pemanis muka.

7

Benang dikait alas berseri,
Bunga sabun penghias jua;

Usah menjahit di senja hari,
Matamu rabun sebelum tua.

Anak kera jatuh ke lumpur,
Hendak makan langsat segugus;

Anak dara menyanyi di dapur,
Lauk dimasak menjadi hangus.

(Buku Teks Bahasa Melayu SK Tahun 4)

Selain itu, aspek kata ganda sama ada secara penuh, separa, berirama dan
berimbuhan boleh diajar dengan menggunakan pantun. Termasuk juga kata ganda semu.

Dapat selasih jadi penawar;
Direndam orang pengubat demam;

Ingat kekasih hati berdebar,
Terbayang-bayang siang dan malam.

(Khazanah Pantun Melayu Riau)

Kalau tuan pakai sepatu,
Agar-agar naik ke kuala;

Kalau tuan cakap begitu,
Kayu pagar naik kepala.

(Kurik Kundi Merah Saga)

Selain itu, aspek kata sinkope juga boleh diajar oleh guru, iaitu pengguguran satu atau
lebih bunyi atau huruf di tengah-tengah kata seperti id dalam perkataan tidak menjadi tak.
Juga perkataan aku menjadi ku, engkau menjadi kau, kamu menjadi mu, itu menjadi tu
dan sebagainya.

Dapat selasih lalu direndam,
Manfaatnya besar bukan kepalang;

Ingat kekasih tak tidur malam,
Rasa tak sabar menunggu siang.

(Khazanah Pantun Melayu Riau)

Nak ruang tidak teruang,
Benang sutera di dalam buluh;

Hendak buang tidak terbuang,
Sudah mesra di dalam tubuh.

(Kurik Kundi Merah Saga)

Guru juga boleh mengajar aspek peribahasa seperti simpulan bahasa, pepatah,
perumpamaan, bidalan dan sebagainya menggunakan pantun. Ini merupakan satu kaedah
PdP yang boleh menarik minat murid untuk belajar peribahasa dari sudut yang lain.

8

Jelatik burung jeladan,
Anak tekukur terbang tinggi;

Sudah cantik sama padan,
Lagi diukur sama tinggi.

Sungguh rapat belimbing berbuah,
Dipetik budak waktu pagi;

Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.

(Kurik Kundi Merah Saga)

Jeda merupakan hentian sebentar sebutan di tengah baris bagi memudahkan penutur
menimbulkan intonasi bagi memisahkan maksud dengan pembayang maksud. Bunyi rima
tengah dan rima hujung pula mestilah sama untuk menimbulkan nilai estetik sesebuah
pantun. Penulis buku teks mestilah peka akan perkara-perkara ini dan tidak boleh dipandang
mudah. Aspek ini adalah pendedahan awal kepada murid untuk membina pantun yang
mudah sebelum kepada yang lebih kompleks dalam aliran menengah.

Bersama sepetang makan pauh,
Berderai tawa penghilang menung;

Kami datang dari jauh,
Hajat dibawa setinggi gunung.

Manis bersubang tuan puteri,
Kerudung melingkar sudah keruan;

Hajat kumbang hendak menyeri,
Bunga mekar di taman tuan.

Ikat lirih pancung serong,
Gadis sunti Melayu jati,

Tepak sirih kami sorong,
Sebagai ganti hajat di hati.

(Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 4)

Pemilihan kosa kata atau diksi pantun tersebut lebih tinggi dan sesuai dengan aras
murid menengah. Pembayang dan maksud pantun sangat puitis dan mengandung makna
yang tersirat. Pembayang bukan sahaja berfungsi untuk penyeragaman tingkahan rima
sahaja, malahan memuatkan falsafah dan akal budi orang Melayu. Pembayang Manis
bersubang tuan puteri, Kerudung melingkar sudah keruan; menggambarkan penampilan
wanita Melayu mestilah kelihatan cantik iaitu bersubang dan dilengkapkan dengan memakai
kain tudung kepala. Ikat lirih pancung serong, Gadis sunti Melayu jati; gadis sunti Melayu
yang tulen mestilah mengikat atau memakai tudung dengan berhati-hati supaya bahagian
hujung kain kelihatan kemas. Kekemasan ini akan menyerlahkan penampilan dan nilai akal

9

budi si pemakainya. Pembayang dan maksud pantun ini menggambarkan kehalusan pekerti
dan kekayaan adab orang Melayu dalam menyampaikan sesuatu hajat dengan penuh
beradab dan merendah diri. Nilai-nilai murni yang sebeginilah diserapkan oleh penulis dalam
pembinaan pantun agar dapat dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian murid.

Pantun yang dibina sebaik-baiknya tidak menggunakan nama orang, kecuali nama-
nama tokoh yang mempunyai nilai sejarah dalam masyarakat. Antaranya Hang Tuah,
Tun Teja, Mat Kilau, Pak Kaduk, ataupun nama-nama am seperti panglima, laksamana,
raja muda dan sebagainya. Kita bukan sahaja menyampaikan maksud pantun, tetapi turut
mendedahkan murid-murid kepada nama-nama tokoh sejarah atau gelaran. Penulis tidak
boleh mengambil jalan yang mudah untuk mendapatkan rima dalam pembayang pantun .
Biarlah setiap perkataan yang dipilih dapat memberi ilmu yang merentas kurikulum kepada
murid.

Laksamana mudik ke Terap,
Patah galah di dalam perahu;

Tuan umpama bunga dedap,
Sungguh merah tiada berbau.

Ikan talang ikan terubuk,
Udang galah udang kepai;

Malang sungguh nasib Pak Kaduk;
Ayam menang kampung tergadai.

(Kurik Kundi Merah Saga)

Aspek gaya bahasa adalah penting dalam pembinaan sesebuah pantun.
Penggunaannya mestilah bersesuaian mengikut aras murid rendah dan menengah. Ini akan
menjadikan pantun yang ingin disampaikan lebih menarik dan bermakna. Gaya bahasa
dalam pantun yang sering digunakan ialah metafora, simile, hiperbola, personifikasi dan
inversi.

Metafora merupakan penggunaan perkataan atau ungkapan secara bandingan atau
kiasan untuk menyatakan maksud yang lain daripada makna sebenar atau literal.
Pendedahan awal konsep metafora kepada murid akan memberikan gambaran kepada
mereka bahawa sesuatu perkataan itu boleh membawa banyak makna atau polisemi.

Buah langsat kuning mencelah,
Sayang senduduk berbunga pagi;

Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.

10

Putik pauh dari Permatang,
Bunga kemunting dari Kiaman;

Dari jauh saya datang,
Hendak menyunting bunga di taman.

Bunga anggerik bunga di taman,
Bau harum wangi semerbak;

Jikalau kumbang dapat di tangan,
Kutangkap sekali terlepas tidak.

(Kurik Kundi Merah Saga)

Kita kerap mendengar penggunaan perkataan gading bertuah, bunga, kumbang dalam
pantun. Gading bertuah bermaksud mendapat sesuatu yang baharu, manakala tanduk pula
merujuk kepada sesuatu yang lama dan akan dilupakan. Bunga pula melambangkan gadis
desa yang suci dan kumbang pula merujuk kepada si teruna (biasanya membawa maksud
konotasi negatif yang merosakkan bunga).

Simile pula menyamakan atau mengumpamakan sesuatu dengan sesuatu yang lain
yang mempunyai sifat atau nilai yang sama. Murid akan diajar cara membandingkan sesuatu
dengan yang lain dengan tepat dan sesuai. Perkataan yang biasa kita ketemu ialah bagai,
bak, umpama, seperti dan sepantun.

Kalau sungguh bagai ciku,
Papan di Jawa saya serahkan;

Kalau sungguh cakap begitu,
Badan dan nyawa saya serahkan.

Petang hari menahan bubu,
Bubu ditahan olak mengkalang;

Diri umpama semacam tebu,
Habis manis sepah dibuang.

Daun bayam alaskan senduduk,
Nasik terjerang ceduk ke pinggan;

Sepantun ayam tidak berinduk,
Tampi orang baharu makan.

(Kurik Kundi Merah Saga)

11

Ke rawa bermain genta,
Sampai meraih-raih canang;

Senyawa sebadanlah kita,
Bak sirih berjunjung pinang.

Balik sana muda derdap,
Perahu ada galah tiada;

Laksana bunga dedap,
Merah ada baunya tiada.

(Khazanah Pantun Melayu Riau)

Hiperbola digunaan dalam pantun bagi menyatakan perasaan yang berlebih-lebihan.
Tujuannya untuk mendapatkan kesan-kesan tertentu dan tidak bertujuan ditafsirkan secara
harafiah. Gaya bahasa ini hanya sesuai didedahkan kepada pelajar menengah atas untuk
memupuk kemahiran berfikir aras tingggi (KBAT).

Musang jebat menyusur akar,
Murai berkirai bulu dadanya;

Hujan ribut padang terbakar,
Embun setitik padam baranya.

(Kurik Kundi Merah Saga)

Personifikasi disisipkan dalam pantun apabila sesuatu objek diberikan perasaan atau
perlakuan seperti manusia. Sifat manusia sama ada dari segi perasaan, perwatakan atau
tindak-tanduk kepada benda-benda maujud, binatang, idea atau hal-hal yang lebih abstrak.
Personifikasi juga dikenali sebagai perorangan atau penginsanan.

Tombak disisip tidak berbingkai,
Sumur di ladang panjang sedepa;

Ombak di laut menyisir pantai,
Nyiur melambai kepada siapa?

(Kurik Kundi Merah Saga)

Inversi pula merupakan pembalikan susunan perkataan. Inversi boleh diterapkan
dalam pantun untuk murid sekolah menengah saja dan bukannya untuk sekolah rendah. Ini
untuk mengelakkan kekeliruan murid sekolah rendah daripada melakukan kesalahan
tatabahasa dalam membina ayat. Aspek ini boleh didedahkan dalam buku teks apabila
mereka memasuki alam sekolah menengah.

Air hujan turun mencurah, (Khazanah Pantun Melayu Riau)
Jatuh ke tanah terus ke laut;

Binasa badan menahan gundah,
Kasih kucurah tiada bersambut.

12

Nilai estetik sesebuah pantun sebenarnya bukan sahaja terikat dalam buku teks
Bahasa Melayu sahaja. Sepatutnya penggunaan pantun ini boleh merentas subjek. Salah
satu seni puisi ini boleh diungkap untuk menyampaikan sesuatu maksud atau konsep dalam
subjek yang lain seperti Sejarah, Sains, Geografi dan sebagainya. Kaedah sebeginilah yang
akan mendekatkan murid dengan jiwa atau roh kebudayaan Melayu. Kita tidak boleh
bergantung harap kepada peranan buku teks Bahasa Melayu sahaja.

Waktu siang terbang sang helang,
Meredah lembah merentas hutan;

Laksamana Hang Tuah pahlawan terbilang,
Taat setia kepada sultan.

Tiung hinggap di dahan patah,
Melihat kerbau di dalam bendang;

Apa dititah tidak dibantah,
Meminang Si Puteri di Gunung Ledang.

Tun Teja sudah percaya,
Disangka Tuah yang jatuh cinta;

Teja dibawa ke dalam bahtera,
Rupanya Teja untuk Si Raja.

Hang Tuah bijak orangnya,
Dalam diam berfikirlah dia;

Akhirnya melihat wajah Maharaja,
Kangkung dimasak dipotong tiada.

(Buku Teks Sejarah Tahun 4)

Perhatikan rangkap pantun dalam buku teks di atas. Pembayang yang begitu baik
untuk dipadankan dengan maksud yang hendak disampaikan. Walau bagaimanapun, penulis
harus berhati-hati dalam membina rima tengah dan rima akhir pantun berkenaan untuk
menjadikannya lebih puitis. Sebaik-baiknya rima tengah baris pertama mestilah sama
dengan rima tengah baris yang ketiga dan rima tengah baris yang kedua mestilah sama
dengan rima tengah baris akhir. Begitu juga dengan rima di hujung baris pantun.

Dapatlah disimpulkan bahawa pemilihan pantun dalam buku teks Bahasa Melayu
sekolah rendah dan menengah adalah sangat teliti, terkawal dan berestetik. Pantun yang
dipilih adalah tepat dan bersesuaian dengan aras murid rendah dan menengah. Walau
bagaimanapun, pantun hanya merentas kepada subjek-subjek tertentu sahaja seperti buku
teks Sejarah. Adalah diharapkan pantun dapat disisipkan dalam mana-mana buku teks yang
lain. Pantun boleh disisipkan dalam halaman rangsangan buku teks sebagai hiburan
senggang untuk menghilangkan tekanan murid sewaktu belajar. Dengan cara ini kita dapat
menghapuskan tanggapan murid bahawa pantun hanya diajar dalam buku teks Bahasa

13

Melayu sahaja. Sedangkan pantun telah lama digunakan dalam alam Melayu untuk
mengungkap sesuatu perkara atau konsep dalam pelbagai bidang secara halus ataupun
berlapik.

14


Click to View FlipBook Version