Tunku Abdul
Rahman Putra
Al-Haj
Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni
Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah (8 Februari 1903 -
6 Disember 1990) merupakan Ketua Menteri
Persekutuan Tanah Melayu dari 1955, dan Perdana
Menteri pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957
sehingga 1970.
Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan
salah satu daripada pencapaiannya yang teragung.
Biasanya dikenali sebagai "Tunku", beliau juga
dikenang sebagai "Bapa Kemerdekaan" dan "Bapa
Malaysia".
Tunku Abdul Rahman dilahirkan di Istana Tiga Tingkat,
Alor Setar, Kedah yang lebih dikenali sebagai Istana
Pelamin. Tunku merupakan anak lelaki yang ketujuh
dan anak yang kedua puluh kepada Sultan Abdul
Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang ke-24.
Bondanya, Cik Menyelara, seorang isteri Sultan Abdul
Hamid yang tidak berdarah gahara, ialah anak
perempuan Luang Naraborirak (Kleb), seorang pegawai
daerah Thailand.
Tunku bermula pendidikannya pada 1909 di sebuah
sekolah rendah Melayu di Jalan Baharu, Alor Setar.
Biasa berbahasa Siam di rumah, beliau belajar bahasa
Melayu di sekolah itu. Seorang guru pula datang ke
rumahnya untuk mengajar bahasa Inggeris.
Tunku kemudian berpindah ke sebuah sekolah
kerajaan bahasa Inggeris yang kini dinamakan Kolej
Sultan Abdul Hamid. Di sini, beliau belajar di sekolah
pada waktu siang dan membaca Al-Quran pada waktu
petang.
Pada tahun 1913, sewaktu berumur 10 tahun, Tunku
dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku
Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, abang sulungnya, dan
belajar di Sekolah Thebsirintrawat (Debsirindir School).
Pada tahun 1915, Tunku pulang dan meneruskan
pendidikannya di Penang Free School. Antara gurunya
ialah HR Cheeseman dan SM Zainal Abidin. Seorang
yang aktif, beliau menyertai Pengakap dan Kor Kadet.
Pada tahun 1919 ketika berumur 16 tahun, Tunku
menerima Biasiswa Negeri Kedah untuk melanjutkan
pendidikannya di Kolej St Catharine di Universiti
Cambridge. Beliau merupakan penuntut pertama untuk
menerima pendidikan di United Kingdom dibawah
tajaan Kerajaan Negeri Kedah.
Ketika Tunku tidak dibenarkan tinggal di asrama St
Catharine kerana dasar aparteid ('kulit berwarna')
masih diamalkan, beliau membantah kepada William
Peel, Penasihat British kepada Kedah. Akhirnya,
pengetua sekolah itu terpaksa meminta maaf.
Pada tahun 1927, Tunku dihantar semula ke England
untuk belajar undang-undang di Universiti Cambridge
kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan
keputusannya yang lalu.
Beliau lulus semester pertama dalam jurusan undang-
undang di Inner Temple pada tahun 1930. Selepas
pemulangannya, Tunku bertugas sebagai Pegawai
Latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kedah
pada tahun 1931, dan dilantik sebagai Pegawai
Jajahan untuk Kuala Nerang pada tahun berikutnya.
Pada tahun 1938, Tunku pergi semula ke England buat
kali yang ketiga untuk menyambung pelajaran undang-
undangnya. Antara temannya ialah Sardon Haji Jubir.
Beliau kembali ke Kedah pada tahun 1939 kerana
terdapatnya berita bahawa perang akan meletus
di Eropah. Pada 1940, beliau dilantik sebagai Timbalan
Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan
Kedah.
Selepas kepulangannya ke Malaya pada tahun 1949,
Tunku ditugaskan untuk bekerja di sebuah pejabat
Pegawai Undang-undang di Alor Star. Beliau kemudian
meminta perpindahan ke Kuala Lumpur di mana beliau
menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan selepas itu,
dilantik sebagai Yang Dipertua Mahkamah Sesyen.
Dalam tempoh itu, semangat nasionalisme bertambah
hebat dalam kalangan kaum Melayu di tengah-tengah
pengisytiharan penubuhan Malayan Union oleh Britain.
Datuk Onn Jaafar mengetuai Pertubuhan Kebangsaan
Melayu Bersatu (UMNO) untuk menentangi Malayan
Union (sila lihat: Sejarah Malaysia) dan Tunku
menyertai partinya. Pada Ogos 1951, suatu krisis di
dalam UMNO memaksa Datuk Onn meletakkan jawatan
sebagai presiden parti dan Tunku dilantik sebagai
presiden yang baru. Beliau memegang jawatan itu
selama 20 tahun.
Pada tahun 1954, Tunku Abdul Rahman mengetuai satu
rombongan ke England untuk berbincang bagi
menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu, tetapi
kunjungan itu tidak berhasil.
Pada tahun 1955, pilihan raya persekutuan umum
yang pertama diadakan, dan Parti Perikatan(Barisan
Nasional) memenangi 51 daripada 52 kerusi yang
dipertandingkan. Dengan majoriti ini, Tunku Abdul
Rahman telah dilantik sebagai Ketua Menteri Tanah
Melayu yang pertama. Satu lagi rombongan ke London
diadakan.
England bersetuju untuk memberikan kemerdekaan
kepada Tanah Melayu pada tahun 1956. Sebaik pulang
dari England, Tunku mengisytiharkan berita gembira
ini buat kali pertamanya pada 20 Februari 1957 di
Bandar Hilir, Melaka.
Pada tahun 1957, Persekutuan Tanah Melayu mencapai
kemerdekaan pada 31 Ogos.
Seorang yang bersemangat kesukanan, Tunku
memulakan pertandingan bola sepak antarabangsa
yang digelar "Pesta Bola Merdeka" pada tahun 1957.
Pada tahun berikutnya, beliau dipilih sebagai presiden
pertama untuk Konfederasi Sepak Bola Asia (AFC),
sebuah jawatan yang beliau memegang sehingga 1976.
Selepas menjadikan Islam sebagai agama Malaysia
yang rasmi pada 1960, Tunku mengasaskan
Pertubuhan Kebajikan Agama Islam(PERKIM), sebuah
pertubuhan untuk membantu mualaf Islam untuk
menyesuaikan diri kepada penghidupan baru. Beliau
memegang jawatan Presiden PERKIM sehingga setahun
sebelum kematiannya.
Pada 1961, Malaysia menjadi tuan rumah kepada
"Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat
Antarabangsa" yang pertama, suatu peristiwa yang
diperkembangkan daripada gagasan Tunku sewaktu
beliau mengadakan pertandingan tahap negeri yang
pertama di Kedah pada tahun 1951.
Pada 1969, Tunku membantu menubuhkan Pertubuhan
Persidangan Islam (OIC) dan dilantikkan sebagai
Setiausaha Agung yang pertama. Beliau kemudian
menubuhkan Bank Pembangunan Islam sebagai sebuah
institusi yang khusis di dalam OIC.
Tunku juga merupakan Presiden "Majlis Da'wah
Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik" (RISEAP)
dari 1982 sehingga 1988.
Dalam tahun-tahun terakhirnya, Tunku tinggal di
sebuah rumah di Pulau Pinang. Apabila sakit, beliau
dirawat di Hospital Besar Kuala Lumpur .Beliau
meninggal dunia pada 6 Disember 1990 sewaktu
berumur 87.
Jenazah dibawa ke kediamannya di Bukit Tunku dan
esoknya disemadikan di Makam Diraja Langgar, Alor
Star.