Angan-angan
Mat Jenin
Pada Zaman dahulu, di sebuah kampung terdapat seorang
pemuda bernama Mat Jenin. Dia sangat dikenali di seluruh
kampung kerana suka berangan-angan. Mat Jenin
merupakan seorang pemuda yang pemalas tetapi selalu
berangan untuk menjadi kaya raya. Dia menghabiskan
hari-harinya hanya dengan berangan-angan.
Pada suatu hari, Ketua kampung yang bernama Pak Mat
ingin memetik kelapa namun pokok kelapanya terlalu
tinggi. 0leh itu, dia ingin meminta pertolongan Mat Jenin.
"Panjang umur kau Mat. Aku baru mahu ke rumah kau,"
kata Pak Mat dengan gembiranya apabila melihat Mat
Jenin berjalan sambil bercakap-cakap sendiri di hadapan
rumahnya. Mat Jenin menghentikan langkahnya.
Pak Mat mengatur langkah menghampiri Mat Jenin.
"Ada apa Tok??.," soal Mat Jenin apabila Pak Mat sudah
berdiri di hadapannya. Ketua Kampung itu mengukirkan
senyuman. Bahu Mat Jenin ditepuk-tepuk perlahan.
"Kau tolong aku petik kelapa kat belakang rumah tu.
Nanti aku berikan daging kambing sebagai balasannya,"
Kata Pak Mat sambil menunjukkan pokok kelapa yang
tinggi melangit dibelakang rumahnya. Mat Jenin
tersenyum. Dia sudah lama tidak merasa daging kambing.
Mat Jenin membetulkan selempangnya. Senyumannya
makin lebar membayangkan daging kambing yang
dijanjikan oleh Pak Mat itu sebentar tadi.
"Baik Pak Mat. Saya akan petik sekarang juga," kata Mat
Jenin lalu meminta diri untuk memanjat pokok kelapa yang
tinggi itu.
"Jangan berangan kat atas pokok kelapa tu pula.
Bahaya," pesan Pak Mat sebelum bayangan Mat Jenin
menghilang ke belakang rumah.
Sebaik sahaja sampai dibelakang rumah, Mat Jenin
terus memanjat kelapa itu dengan penuh semangat. Demi
daging kambing yang dijanjikan. Sampai sahaja di atas ,dia
terus memetik buah kelapa satu persatu. Dalam
kekhusyukan memetik kelapa, dia terlihat anak gadis Pak
Mat yang menjadi idaman para jejaka di kampung itu
menjemur baju. Tanpa sedar dia mula berangan-angan.
Mula-mula, Mat Jenin memetik dan menjual kelapa.
Setelah itu dia membeli kambing. Akhir sekali dia membeli
lembu dan menjadi saudagar yang menjual daging. Dia
mulai dikenali oleh saudagar-saudagar yang lain dan
dihormati semua orang. Berderet-deret anak gadis yang
menawarkan diri untuk menjadi isterinya.
Duit dan emas permata memenuhi rumahnya dan dia
tidak lagi berjalan kaki ke mana-mana sebaliknya
menunggang kuda dan unta. Mat Jenin tersenyum lebar
dengan kekayaannya. Kemudian, dia melamar anak gadis
Pak Mat untuk dijadikan isteri dan hidup kaya dan bahagia
selamanya.
"Aku kaya!!!!!." jeritnya di atas pokok kelapa itu
keriangan. Kedua-dua tangannya diangkat tinggi
'meraikan' kekayaan yang hanyalah angan-angan itu
sebentar tadi.
Mat Jenin begitu gembira hingga terlupa yang dia
sebenarnya masih memetik kelapa dan begitu tinggi
kedudukannya di atas pokok. 0leh kerana dia sudah
melepaskan pautannya pada pokok kelapa itu, tubuhnya
hilang imbangan lalu terus jatuh melayang ke bawah.