Si Luncai dengan
Labu-labunya
Si Luncai telah dijatuhkan hukuman oleh raja
supaya dibuang ke tengah laut. Si Luncai
dihukum kerana kesalahannya mempermain-
mainkan raja serta pembesar-pembesar
baginda. Oleh itu, dia menerima hukuman itu
dengan tenang.
Pesuruh raja pun bersiaplah membawa Si Luncai
ke dalam perahu untuk dibawa ke tengah laut
kerana Si Luncai akan dibuang ke dalam laut itu
nanti. Si Luncai telah dimasukkan ke dalam
sebuah guni dan dipikul ke pangkalan.
Apabila sekaliannya telah siap, maka perahu itu
pun dikayuhlah ke tengah laut. Dari dalam guni
itu Si Luncai dapat melihat beberapa biji labu
air terdapat di dalam perahu. Setelah lama
mereka berkayuh, maka Si Luncai berkata;
“Kasihan benar aku melihat kamu semua terlalu
teruk berkayuh. Mahukah kamu semua jika aku
ajarkan lagu untuk menghilangkan penat kamu
semua itu?”
Salah seorang daripada mereka berkata;
“Diamlah kamu, sebentar lagi kamu akan
dicampakkan ke dalam laut ini”.
Mendengar kata-kata yang sedemikian itu,
maka Si Luncai pun menyanyilah. “Si Luncai
terjun dengan labu-labunya. Biarkan! Biarkan!”
Mendengar Si Luncai menyanyi itu, pesuruh
raja itu mula tertarik dan beberapa orang
pengayuh mula menyanyi: “Si Luncai terjun
dengan labu-labunya!”
Maka beberapa orang yang lain pun
menjawablah: “Biarkan! Biarkan!” Akhirnya
mereka menjadi dua kumpulan menyanyikan
lagu itu.
“Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”
“Biarkan! Biarkan!”
Demikian lagu itu dinyanyikan berulang-ulang
hingga lekalah mereka semuanya.
Melihatkan keadaan itu, maka Si Luncai pun
keluar dari guni dan dia mengisikan beberapa
biji labu ke dalam guni itu kemudian dia
mengambil dua biji labu yang lain lalu terjun dar
perahu itu.
Si Luncai berenang ke tepian menggunakan
pelampung labu air yang dua biji itu.
Apabila sampai ke tengah laut, pesuruh raja
pun mencampakkan guni itu ke dalam laut. Pada
mereka, matilah Si Luncai dan mereka pun
baliklah memberitahu raja akan hal itu. Tiada
siapa yang tahu bahawa Si Luncai sebenarnya
telah berenang sampai ke pantai.