KISAH TIGA
BERADIK
Pada masa dahulu, ada tiga
orang adik-beradik yang
mengembara di sebatang
jalan berbengkak-bengkok
yang sunyi sepi pada waktu
tengah malam.
Pada suatu hari, ketiga-
tiga bersaudara ini tiba di
sebuah sungai yang terlalu
dalam untuk diranduk dan
terlalu bahaya untuk
direnang. Bagaimanapun,
ketiga-tiga bersaudara ini
sangat mahir dalam ilmu
sihir. Mereka sekadar
menghayunkan tongkat
sakti mereka dan
menjelmakan sebatang
jambatan merentas sungai
yang berbahaya itu. Di
tengah jambatan , suatu
lembaga berkelubung
mengalang laluan mereka.
Maut pun berkata kepada
mereka. Maut sebenarnya
berasa sangat marah
kerana telah ditewaskan
oleh ketiga-tiga
bersaudara itu kerana
pengembara biasanya akan
lemas ketika menyeberang
sungai tersebut. Tetapi
Maut amat licik. Dia
berpura-pura
mengucapkan tahniah
kepada 3 bersaudara itu
atas kehebatan ilmu sihir
mereka dan memberitahu
mereka bahawa mereka
boleh meminta hadiah
kerana berjaya
menewaskannya.
Jadi, abang yang sulung,
seorang lelaki yang suka
berperang, meminta
sebuah tongkat sakti yang
lebih berkuasa daripada
semua tongkat sakti yang
wujud di dunia - tongkat
sakti yang dapat membuat
pemiliknya memenangi
semua perang tanding,
tongkat selayaknya bagi
ahli sihir yang dapat
mengatasi Maut. Maut pun
pergi ke sebuah batang
pokok elder di tebing
sungai, membuat sebatang
tongkat sakti daripada
sebatang dahan yang
terjuntai di situ, lantas
diberikannya kepada abang
yang sulung.
Kemudian, abang yang
tengah, seorang lelaki yang
angkuh, memutuskan untuk
lebih memalukan Maut
lantas meminta kuasa
untuk menyeru semula
orang yang sudah mati.
Maut pun mengambil
seketul batu dari tebing
sungai itu lantas
diberikannya kepada abang
yang tengah dan
memberitahu lelaki itu
bahawa dia mempunyai
kuasa untuk menghidupkan
orang yang telah mati.
Maut kemudian bertanya
kepada adik bongsu apa
yang diinginkannya . Adik
yang bongsu, seorang yang
lebih rendah hati dan
bijaksana daripada abang-
abangnya, tidak percaya
kepada Maut. Dia pun
meminta sesuatu yang
membolehkannya pergi dari
satu tempat ke satu
tempat tanpa dapat
dikesan oleh Maut. Maut
dengan amat keberatan,
memberikan sehelai Jubah
Ghaib kepadanya.
Maut kemudian memberi
laluan kepada 3 bersaudara
untuk menyeberangi
sungai. Ketiga-tiga beradik
itu kemudian meneruskan
perjalanan mereka sambil
bercerita tentang
pengalaman menakjubkan
mereka itu dan mengagumi
pemberian Maut.
Abang yang sulung
mengembara lagi selama
seminggu dua kemudian
tiba di sebuah
perkampungan terpencil,
mencari seorang rakan ahli
sihir yang pernah
bersengketa dengannya.
Semestinya, dengan
tongkat sakti pemberian
Maut sebagai senjata, dia
beroleh kemenangan.
Dengan membiarkan
musuhnya mati terbujur di
lantai, si abang datang ke
sebuah rumah penginapan.
Dia kemudian dengan
bongkak bermengah-
mengah tentang betapa
hebatnya tongkat yang
didapatkannya daripada
Maut dan bagaimana
tongkat itu menjadikannya
kebal.
Pada malam itu juga,
seorang ahli sihir lain
menyusup masuk ke bilik
abang yang sulung ketika
lelaki itu sedang terbaring
mabuk di katilnya. Pencuri
itu mengambil tongkat
sakti si abang dan mengelar
leher lelaki itu.
Jadi Maut pun berjaya
mengambil nyawa abang
yang sulung. Sementara itu,
abang yang tengah berjalan
pulang ke rumah, tempat
dia tinggal seorang diri. Dia
kemudian mengeluarkan
batu azimatnya yang
berupaya mengembalikan
orang yang sudah mati lalu
memusing-musingkan batu
itu 3 kali di tangannya. Apa
yang menggembirakannya,
lembaga seorang gadis,
kekasih yang ingin
dikahwininya dahulu
sebelum gadis itu
meninggal dunia dalam usia
muda, muncul di depannya.
Bagaimanapun, gadis itu
kelihatan sugul dan dingin,
terasing daripadanya
seolah-olah dipisahkan oleh
suatu hijab. Walaupun gadis
itu telah kembali ke dunia
fana, dunia itu bukan
tempat sebenarnya
menyebabkan dia
menderita.
Akhirnya abang yang
tengah menjadi gila kerana
kerinduan tidak
terbendung. selepas itu
membunuh diri supaya
dapat benar-benar
bersama kekasihnya.
Dan Maut pun mengambil
nyawa abang yang tengah.
Tetapi bagi Si Bongsu,
walaupun Maut mencarinya
selama bertahun-tahun,
Maut tidak dapat
menjejakinya. Hanya apabila
Si Bongsu mencapai usia
yang sangat lanjut
barulah dia menanggalkan
Jubah Ghaibnya dan
memberikan jubah itu
kepada anak lelakinya. Dia
kemudian menyambut Maut
seperti kawan lama dan
pergi bersama-sama Maut
dengan berlapang dada lalu
meninggal dunia.