Mengapa
Bangau
Kurus
Pada suatu hari, Raja
Sulaiman memanggil semua
burung datang mengadap.
Semua jenis burung hadir.
“Beta ingin sampaikan
berita gembira. Hari ini
genaplah seratus purnama
beta memerintah. Oleh itu
beta ingin beri hadiah
istimewa. Kamu boelh
minta apa sahaja. Beta
akan tunaikan permintaan
kamu,” titah Raja
Sulaiman.
Semua burung berasa
gembira. Ada yang
bersorak-sorak. Ada yang
melompat-lompat.
“Bolehkan patik mendapat
bulu yang cantik tuanku?
Patik ingin jadi burung
paling cantik di dunia,” kata
merak.
“Tentu boleh. Beta akan
tunaikan permintaan kamu
itu,” titah Raja Sulaiman
sambil tersenyum.
“Kamu pula hendak apa?”
Tanya Raja Sulaiman
kepada kelicap.
“Kalau boleh, patik ingin
paruh yang panjang,” kata
kelicap.
“Kenapa minta paruh yang
panjang?” Tanya Raja
Sulaiman.
“Patik suka minum madu,
tuanku. Kalau paruh patik
panjang, senanglah hisap
madu bunga,” jawab
kelicap,” jawab kelicap.
“Patik pula ingin kaki yang
lebar supaya mudah
berenang,” kata itik.
“Baiklah, beta akan
tunaikan permintaan kamu
itu, itik. Beta akan beri
kamu kaki yang lebar,”
jawab Raja Sulaiman.
“Patik ingin sarang yang
cantik, tuanku,” kata
tempua.
“Kalau begitu, beta akan
beri kamu kepandaian
membuat sarang,” titah
baginda.
“Tuanku, tubuh patik ini
kecil. Kalau boleh patik
mahu kepala patik
berwarna putih. Dari jauh
lagi sudah dapat dilihat,”
pinta pipit.
“Perkara itu mudah sahaja.
Akan beta tunaikan,” titah
Raja Sulaiman lagi.
Semua burung telah
meminta hajat mereka. Kini
Cuma tinggal giliran
bangau yang sombong.
“Pintalah segera wahai
bangau. Beta pasti
tunaikan,” titah Raja
Sulaiman.
“Baiklah tuanku. Patik
mahu minta makan tujuh
hari sekali,” kata bangau.
“Apa? Boleh kamu ulang?”
soal Raja Sulaiman. Baginda
terkejut.
“Patik mahu minta makan
tujuh hari sekali,” kata
bangau lagi.
Semua burung yang ada
terkejut. Mereka hairan
dengan permintaan itu.
Raja Sulaiman juga berasa
ganjil. Baginda suruh
bangau ulangi lagi
permintaannya. Bangau
tetap berkata seperti itu
juga. Akhirnya Raja
Sulaiman puas hati.
Baginda akan tunaikan
permintaan bangau itu.
Esoknya, bangau pergi ke
tepi tasik. Ia ingin mencari
ikan. Namun, seekor pun
dia tidak dapat. Pada hari
ketujuh barulah dia dapat
seekor.
Kenapa aku susah hendak
dapat makanan? Bukankah
aku minta banyak
makanan daripada baginda?
Bisik bangau dalam hati.
Tiba-tiba bangau teringat
kembali kata-katanya
dahulu. Ia meminta makan
tujuh hari sekali. Bukan
minta makan tujuh kali
sehari.
“Aku dah tersalah cakap.
Patutlah semua burung
hairan. Tak seekor pun
tolong betulkan cakap aku.
Mungkin kerana aku
sombong. Aku menyesal,”
kata bangau sendirian.
Mulai hari itu bangau
sukar dapat ikan. Badannya
semakin kurus. Ia rasa
sedih. Kadang-kadang ia
berdiri lama dalam air. Ia
termenung memikirkan
nasibnya. Itulah sebabnya
badan bangau kurus.
Pengajaran :
1. Jangan bersikap
sombong.
2. Berfikir sebelum
membuat keputusan.
3. Terimalah takdir dengan
redha.