Patuhilah peraturan
di dalam bas sekolah
Loceng berbunyi nyaring menandakan
berakhirnya sesi persekolahan pada hari itu. Ali,
Chong dan Gopal berjalan menuju ke pintu pagar
utama sekolah. Mereka menunggu bas sekolah
untuk pulang bersama-sama.
Mereka bertiga duduk di bangku di perhentian
bas itu. Tidak lama kemudian, bas sekolah yang
mereka tunggu telah pun tiba. Murid-murid
berebut-rebut menaiki bas itu. Ali yang
memerhatikan kejadian itu terus menegur.
“Jangan berebut-rebut. Sila beratur semasa
menaiki bas.”
Ada murid yang menurut nasihat Ali namun
ada juga yang tidak mengendahkannya.
“Mengapalah mereka degil? Bukankah cikgu
sudah ingatkan supaya beratur ketika menaiki
bas,” kata Chong sambil menggeleng-gelengkan
kepalanya melihat sikap murid-murid yang
tidak berdisiplin itu.
“Betul tu. Mereka bukannya tidak tahu
peraturan, cuma kadang-kadang mereka
bersikap pentingkan diri sendiri. Semuanya
hendak cepat, padahal setiap orang akan dapat
tempat duduk di dalam bas ini,” celah Gopal pula.
Di dalam bas, Ali dan Gopal duduk
bersebelahan manakala Chong duduk di
belakang mereka. Setelah pintu bas ditutup,
bas mulai bergerak. Namun tidak semua murid
duduk di tempat masing-masing. Ada juga yang
lebih suka berdiri di tepi tingkap.
“Tengoklah kelakuan mereka itu,” kata Gopal.
Bibirnya dijuihkan kea rah murid-murid yang
sedang bermain di dalam bas. “Bukannya boleh
duduk diam. Mereka lebih suka berdiri di tepi
tingkap sambil melambai-lambaikan tangan,”
jelas Gopal lagi.
“Jangan keluarkan tangan melalui tingkap tu.
Bahaya!” Jerit pemandu bas kepada murid-
murid nakal dan tidak mendengar kata. Ada
sesetengah murid yang mematuhi larangan
tersebut namun ada juga yang ingkar.
Tiba-tiba kedengaran bunyi yang agak kuat.
“Eh, bunyi apa itu?” Tanya Chong terkejut
sambil menoleh ke belakang.
Rupa-rupanya salah seorang murid di
bahagian belakang bas telah menarik ranting
pokok yang berada di luar tingkap lalu
melepaskannya dengan kuat.
Ali dan Gopall turut menoleh ke belakang
untuk memastikan bunyi apakah yang mereka
dengar sebentar tadi. Alangkah terkejutnya
mereka apabila mendapati beberapa orang
murid lelaki sedang memegang ranting pokok
dari dalam bas.
Ali segera bertindak. Dengan pantas dia
memberitahu kepada pemandu bas. Pemandu
bas memarahi mereka kerana perbuatan itu
berbahaya. Ranting pokok itu mungkin patah
dan mencederakan wajah mereka. Paling
berbahaya jika tercucuk mata.
Tiba-tiba, tiga sekawan itu terdengar
seseorang mengaduh kesakitan.
:Aduh, sakitnya!” Jeritan seseorang
mengaduh kesakitan jelas kedengaran.
“Apa berlaku?” Pemandu bas segera
memberhentikan bas di tepi jalan dan berpaling
untuk bertanyakan tentang hal tersebut.
“Mata Siti terkena ranting pokok,” jerit
seorang murid perempuan.
Pemandu bas segera mendapatkan Siti yang
sedang menutup matanya yang cedera dengan
tapak tangan.
“Mari sini pak cik tengok mata kamu itu,”
kata pemandu bas kepada Siti.
Siti menunjukkan keadaan matanya yang
sedikit merah kepada pemandu bas.
“Mujur tidak teruk sangat. Lain kali dengarlah
nasihat pak cik,” pemandu bas segera
mengingatkan.
Pemandu bas itu segera kembali ke tempat
duduknya. Bas mulai bergerak semula. Siti
hanya duduk sahaja di kerusinya. Dia tidak
berani bermain-main lagi. Tangannya masih
menekup matanya yang sakit.
Tidak lama selepas itu, suasana sepi tadi
kembali gamat dengan gelak ketawa murid lain.
Ali dapat melihat murid-murid yang duduk di
bahagian belakang bas sedang asyik bergurau-
senda.
Apabila bas membelok ke kanan, mereka akan
sama-sama tolak-menolak dan mengiring ke
kanan. Kemudian, apabila bas membelok ke kiri,
mereka juga akan turut mengiringkan badan ke
kiri sambil berhimpit-himpit.
Ali, Chong dan Gopa hanya mampu
menggeleng-gelengkan kepala. Nampaknya
mereka tidak serik lagi dengan kejadian yang
menimpa Siti. Mereka tetap ingin bergurau di
dalam bas.
Tidak lama kemudian, seorang murid
menjerit. Chong menoleh ke belakang. Rupa-
rupanya murid-murid di kerusi belakang tadi
menjerit keriangan. Abu dan rakan-rakannya
sedang menjulurkan kepala mereka ke luar
tingkap bas sambil bersorak-sorak.
Gopal tidak senang dengan kelakuan Abu dan
rakan-rakannya itu.
“Abu, lebih baik awak duduk diam-diam.
Perbuatan awak itu berbahaya. Cuba bayangkan
kalau ada kenderaan berat lalu dan terkena
kepala awak,” kata Gopal memberi peringatan.
Abu terdiam seketika. Dia tertunduk malu
kerana ditegur oleh Gopal. Abu dan rakan-
rakannya kemudian terus duduk di kerusi
masing-masing. Pemandu bas tersenyum
kerana Gopal telah membantu menasihati
rakan-rakannya.
Bas mula membelok ke kawasan perumahan.
Ting! Loceng bas dibunyikan. Bas melewati
rumah Sarah dahulu diikuti rumah Ahmad. Sarah
menuruni tangga bas dengan berhati-hati.
Ahmad menurutinya dari belakang.
“Ahmad, bukankah rumah awak di hadapan
sana?” tegur Ali.
“Saya hendak bersedia untuk turun,” jawab
Ahmad.
Kemudian, Ahmad berdiri di tangga bas.
Pemandu bas menasihati Ahmad agar tidak
berdiri di situ namun tidak diendahkannya.
Sebaik sahaja tiba di hadapan rumah Ahmad,
dengan pantas dia menuruni tangga bas. TIba-
tiba Ahmad terjatuh. Kakinya tersadung pada
tangga bas akibat tidak berhati-hati. Serta-
merta pemandu bas turun mendapatkannya.
“Ha, itulah akibatnya jika tidak mendengar
nasihat orang lain,” kata Gopal sambil ketawa.
“Tidak baik awak cakap begitu, Gopal.
Walaupun Ahmad melakukan kesalahan, tetapi
sekarang ini dia mengalami kemalangan. Kita
tidak boleh mentertawakannya,” ujar Ali.
“Saya tidak faham mengapa kawan-kawan
kita sukar mengikut peraturan, Bukankan
peraturan yang ditetapkan itu untuk
kebaikan?” Rungut Chong.
“Betul tu. Kadang kala mereka sengaja pula
mencari bala,” balas Gopal pula.
“Sebenarnya mereka lebih memikirkan
keseronokan daripada kesan atau akibat yang
bakal diterima apabila berlaku sesuatu
musibah,” celah Ali.
“Bukankah lebih baik jika mereka beratur
ketika menaiki bas. Selepas itu, duduk dengan
tertib. Janganlah bergurau berlebih-lebihan
semasa di dalam bas. Keselamatan akan lebih
terjamin,” sambung Ali.
“Saya setuju sangat dengan kata-kata awak
itu, Ali,” ucap Gopal sambil tersengih.
Tidak lama kemudan, bas yang mereka naiki
tiba di hadapan rumah mereka. Ali, Chong dan
Gopal pun turun bersama-sama dari bas sambil
mengucapkan terima kasih kepada pemandu
bas itu.