Harimau dengan
bayAng-bayangnya
Di dalam sebuah hutan, ada seekor harimau
yang besar dan garang. Semua binatang yang
kecil takut akan dengan harimau itu. Apabila
Sang Harimau mengaum, semua binatang akan
bersembunyi. Binatang yang tidak sempat
bersembunyi pasti akan menjadi mangsa
harimau tersebut.
Pada suatu hari, Sang Kancil sedang mencari
makanan di satu kawasan yang redup. Ia
seronok memakan daun-daun muda. Tiba-tiba
ia terdengar bunyi ranting patah dari arah
belakangnya. Ia terus menoleh. Ia nampak
seekor harimau sedang menghampirinya.
Harimau itu mengaum dengan kuatnya dan
sungguh menakutkan. Sang Kancil tidak sempat
untuk melarikan diri.
"Kali ini kau tidak boleh lari kan diri lagi, aku akan
makan kau, Kancil," kata harimau dengan
garang.
"Kalau engkau makan aku, kau akan dimakan
oleh binatang yang lebih besar," kata Sang
Kancil.
"Binatang yang mana pula berani melawanku?"
tanya harimau dengan marah.
"Pagi tadi aku terjumpa dengan seekor harimau
yang jauh lebih besar daripadamu. Kata
harimau itu, dialah harimau yang paling kuat di
hutan ini," kata Sang Kancil.
Harimau menjadi sangat marah dan mengaum
dengan sekuat hati.
"Tunjukkan aku di mana harimau itu. Aku akan
mengalahkannya," kata harimau dengan nada
yang amat angkuh.
Sang Kancil pun berlari pantas meninggalkan
tempat itu manakala harimau terus mengekori.
Sekali-sekala harimau mengaum kerana marah.
Semua binatang lain bertempiaran lari
ketakutan tetapi mereka berasa pelik kenapa
Sang Harimau hanya mengekori Sang Kancil
pada hal mudah untuk harimau membaham
Sang Kancil. Sampai di sebuah kolam, kancil pun
berhenti.
"Di sinilah aku berjumpa dengan harimau itu,
cubalah kamu tengok, aku takut."
Sang Harimau menjadi lebih marah dengan
kata-kata Sang Kancil. Ia pun menjenguk ke
dalam kolam dengan beraninya. Bayang-
bayangnya segera muncul di permukaan air
yang jernih dan tenang itu. Sang Harimau
mengaum dan membuka mulut seluas-luasnya
menunjukkan taringnya yang panjang dan
tajam. Harimau di dalam kolam pun membuka
mulut seluas-luasnya.
"Kalau engkau harimau yang paling kuat,
pergilah lawan dan tewaskannya," kata Sang
Kancil.
Sang Harimau bertambah berang dan terus
terjun mendapatkan harimau itu sambil
mengeluarkan kukunya yang tajam. Bila ia
terjun, bayang-bayang pun hilang. Barulah ia
sedar yang ia telah ditipu oleh kancil.
Sang Harimau cuba untuk naik ke tebing kolam
tetapi tidak berjaya kerana tebing itu tinggi.
Sang Kancil pun sudah melarikan diri. Oleh
kerana terlalu angkuh, akhirnya harimau tewas
dengan bayang-bayang sendiri.