1 HIJRAH Oleh: Putera M. Nazree Cikgu? Guru? … Ah! Aku memang tak pernah fikir untuk menjadi seorang guru. Gelaran cikgu? Janggal sekali rasanya apabila pertama kali orang memanggilku cikgu. Tetapi, sesekali rasa bangga juga. 23 MEI 2012 “.…. Sebenarnya tak jauh pun dari PPD Kulai ke SMK Sultan Alauddin (SSA). Tapi kalau tak biasa, memang rasa jauh,” itulah celoteh GPK Pentadbiran SMK Sultan Alauddin, Hj Norhaimi kepada kami. Aku, Cikgu Anuar, dan Cikgu Aril dibawa Haji Norhaimi daripada PPD Kulai segera menuju ke SSA. Sangat ramah orangnya. Selalu sahaja bercerita dan memberi gambaran yang magis kepada kami bertiga. Kisah daripada murid nakal menjadi murid yang berbakti kepada sekolah. Kisah murid yang sering gagal dalam mata pelajaran tetapi akhirnya menjadi pelajar terbaik SPM. Mendengar kata-katanya, rasa terinpirasi dan bersemangat menjadi seorang guru yang hebat. “Wahhh, cikgu Hj Norhaimi ni mesti hebat orangnya,” fikirku. Terpampang gah nama SMK SULTAN ALAUDDIN di hadapan pagar sekolah. Pengawal keselamatan membuka pagar sekolah bagi membenarkan kereta kami masuk ke perkarangan sambil tabik hormat pada kami semua. Barangkali itu budaya mereka ketika pelawat datang. Ini bukan sembarangan sekolah. Tentu juga pengetua sekolah ini bukan calang-calang orangnya. Dan aku tidak sabar melihat kelibatnya. “Cantiknya sekolah ini,” bicara hati kecilku. Penuh dengan landskap warna warni. Dihiasi dengan pelbagai pokok bunga dan tumbuh-tumbuhan lainnya. Ada pokok bunga kertas, bunga orked, bunga ros, dan paling gah sekali ialah bunga raya. Bunga kebangsaan itu paling banyak mewarnai sekolah itu. Sangat dijaga rapi setiap dahan dan rantingnya. Berkotak-kotak dan bersegi-segi. Tentu sekali sekolah ini memiliki pekebun yang mahir memotong dan membentuk pokok-pokok itu dengan kemas sekali. Sesudah sampainya kami bertiga di sekolah itu. Kami bertiga dibawa menuju ke Bilik Gerakan 1 . Kedudukan meja dan kerusi di dalam bilik itu begitu kemas dan tersusun. Sepanjang aku berada di dalam bilik tersebut, aku tidak ingat sudah berapa kali aku mengangkat bahu sambil memeluk tubuh. Sejuk … Penghawa dingin bilik itu berfungsi sangat baik sekali. Para guru kelihatan amat selesa berada di dalam bilik itu. 1 Bilik mesyuarat guru.
2 “Hujung sekali itu Cikgu Anuar, sebelah kanannya cikgu Aril dan di sebelah saya ialah Cikgu Putra!!!,” kuat sekali tona suara cikgu lelaki itu seakan-akan suara wrestler WWE “The Rock”. Fizikal tubuhnya sasa, berkulit sedikit gelap dan bola matanya sedikit istimewa. Mataku merenung tajam pada tanda namanya. “HAMZAH” yang berada di kocek bajunya disebelah kiri. “Mesti cikgu ni cikgu disiplin.” Aku hanya mengagak sahaja. Tepukan dan sorakan bergema. Gegak gempita benar dalam bilik gerakan itu. Sesekali ketukan meja bertalu-talu kedengaran. Aku tidak pasti agenda mesyuarat mereka ketika itu. Sampai-sampai sahaja kami ke sekolah itu, kami bertiga dibawa masuk ke Bilik Gerakan tersebut. Tatkala itu aku mula buat persepsi, barangkali mereka menerima kehadiran kami bertiga 2 dengan rasa gembira. Dan aku mulai meneka bahawa yang duduk di tengah-tengah dalam barisan kami tentu pengetua sekolah. Wajahnya menyambut kami dengan penuh rasa sukacita. Hari pertama aku tiba di sekolah itu, aku suka! Satu minggu selepas itu … Suasana perhimpunan rasmi pagi itu hingar bingar. Kelihatan guru bertugas serta pengawas-pengawas sekolah mengawal ketat murid-murid lain bagi memastikan perjalanan perhimpunan rasmi pagi itu berjalan dengan lancar. Sesudah perhimpunan rasmi pagi itu, aku dipanggil pengetua. Aku berdua sahaja dengannya. “Ingat Putra, awak tu penjawat awam. Awak harus bertingkahlaku selaku penjawat awam,” pesan ketua jabatan 3 aku, Encik Zainal bin Haji Mesran namanya. Aku hanya tunduk mendengar kata-katanya. Tidak bermakna aku menerima kata-katanya. Ternyata aku sudah buat silap besar. Aku tidak menghadiri program orientasi guru baharu. Sedangkan cikgu Aril dan cikgu Anuar hadir ke sekolah melakukan tugas yang diarahkan pengetua. Mengecat bangunan! …. Oh Tuhan! … Pegawai Pendidikan Siswazah DG41 buat kerja kontraktor ??? Apakah ??? … Ironinya, aku, cikgu Aril dan cikgu Anuar tinggal sebumbung. Menyewa bersama-sama di teratak yang sangat sederhana. Rumah teres 3 bilik, masing-masing berlainan saiz. Bilik seorang satu. Aku dapat bilik master bedroom. Huhu … Tapi jangan risau. Aku sanggup bayar sewa lebih berbanding mereka berdua. Sepatutnya tidak ada alasan untuk aku tidak menghadirkan diri ke sekolah melalukan kerja bersama-sama dengan mereka. Lebih kurang 13 KM jarak rumah kami ke sekolah. Sebenarnya ada cerita udang di sebalik batu ketika itu yang membuatkan aku tidak hadir. Aku berada di kampung halaman kerana urusan peribadi. Aku tidak memaklumkan kepada sesiapa. Baik kepada ketua jabatan mahupun rakan-rakan sejawatku. Sah, ini satu kesilapan besar seseorang penjawat awam! 2 Guru-guru baharu 3 Ketua Jabatan merujuk kepada “Pengetua”.
3 Aku merupakan lulusan Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian (Sejarah). Tentulah aku mahu mengajar subjek Sejarah. Dan aku bernasib baik dapat mengajar subjek yang aku inginkan. Aku ditawarkan untuk mengajar subjek Sejarah, Bahasa Melayu, serta Pendidikan Jasmani Dan Kesihatan. Ikutkan hati tentulah mahu mengajar subjek opsyen kita sahaja. Tetapi, selaku guru baharu aku tahu posisi aku. Tidak boleh demand … Akur dan wajib. Mesti pegang pada satu ungkapan “Saya Menurut Perintah…” Oh, aku benci ungkapan itu. Dasar hamba abdi pada pemerintah berkuku besi ! “Putraaaaa !!!!” Suara itu memecah langit yang terang benderang. Cuaca sangat panas ketika itu. Aku fikir suara itu lebih memanaskan. Murid-murid telah berada di dalam bilik darjah setelah 10 minit loceng menandakan waktu rehat tamat. Kelibat Encik Zainal di aras tiga blok baharu sekolah amat memeranjatkan aku. Beliau memandang tajam wajah aku dengan wajahnya yang penuh bengis. Lagak sang tentera Nippon “Jeneral Yamashita” yang ditakuti penduduk Malaya hingga digelarkan orang “Harimau Malaya”. Begitulah seakan-akan wajahnya. Aku fobia mendengar suara garau dan garang itu. Aku tidak ingat ini kali ke berapa beliau memanggilku dengan nada membunuh itu. Aku tahu. Kali ini nasib aku tidak baik. Beliau di aras tiga dan aku di aras terbawah di hadapan bilik guru. Aku culas!. Lewat masuk ke kelas. Aku mengandaikan murid kelasku bising dan tidak belajar. Aku hanya sibuk menyiapkan kertas kerja projek garaj parkir guru. Sibuk menelefon tauke kedai hardware bagi menanyakan harga barang keperluan semasa projek itu yang akan berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi. Apapun alasan aku. Pasti tak diterima. Aku sangat pasti. Aku ternyata salah kerana kerja hakiki aku ialah mengajar. Aku bergegas lari naik ke atas dan segera menghadapnya. Hierarki tertinggi klien seseorang guru ialah murid. Harus mengutamakan kepentingan murid daripada perkara-perkara lain ketika bertugas di sekolah. Aku tahu perkara ini. Akan tetapi ….. “Habis kelas datang bilik saya…” ungkap beliau. Murid-muridku kelihatan tunduk dan duduk bersila di kaki lima luar bilik darjah. Barangkali pengetua telah mengarahkan mereka begitu. Hina rasanya aku ketika itu. Kerdil dan tidak berupaya di hadapan murid-muridku. Seolah-olah mereka tahu cikgu mereka melakukan kesalahan terhadap pengetua mereka. Paling utama yang aku rasakan. Aku bersalah terhadap anak-anak muridku. Hak mereka ialah “belajar”. Oh, aku mencuri hak mereka. Mereka semua memandang wajahku dengan rasa penuh sesal. Aku tahu, seburuk mana aku di hadapan orang-orang lain. Anak-anak muridku tetap menghormati aku. Aku tak tahu kenapa. Itu yang
4 aku rasa. Walaupun banyaknya khilaf aku di mata orang lain. Gelaran ‘cikgu’ itu sebenarnya begitu mahal. Apapun, aku perlu berhadapan dengannya untuk memberi pencerahan. Hmm, pencerahan? Mungkin ya mungkin tidak. Sebenarnya tidak! Mulutku terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci. Mengharapkan agar sedikit tenang untuk aku menghadapnya. Langkahku longlai ketika menuju ke biliknya. “Kenapa putra? Kenapa tak masuk kelas!!?” tinggi nadanya. “Maafkan saya Encik Zainal, sebenarnya saya sibuk berurusan dengan tauke kedai hardware untuk uruskan projek garaj parkir kenderaan guru” ujarku. Kelihatan beliau terdiam sebentar. “Awak tak boleh buat macam tu, banyak manapun kerja kita. Kelas tetap kena masuk” tegas beliau. “Ingat putra… Kejayaan itu datangnya daripada ….” sambung beliau. Fikiran aku sebenarnya melayang-layang ketika itu. Aku tak fokus langsung butir-butir yang keluar daripada mulutnya. Aku hanya melihat wajahnya tanpa fokus terhadap apa yang dikatakannya. “Saya tahu Encik Zainal ... Tapi saya ……” “Sudah, saya tak nak dengar alasan awak!. Awak pun tahu kan awak dah banyak buat masalah. 1. “Tak datang orientasi”. 2. “Tinggalkan kerja-kerja mengecat bangunan pada cikgu Aril dan Cikgu Anuar tanpa awak bantu mereka apa-apa” 3. “Awak kata program gotong-royong sekolah tak penting”. 4. “Sering lewat masuk ke kelas”. “Ingat Putra, awak datang ke sekolah ini bertiga. Awak tengok mereka. Komitmen, ikut arahan dan disiplin.” Ahhhh…., suka sangat membanding-bandingkan aku dengan orang lain! AKU RASAKAN, AKU LANGSUNG TIADA SATU KEBAIKAN DI MATANYA. “Sekali lagi awak buat perkara macam ni. Saya akan minta awak buat surat tunjuk sebab …” tegas beliau. “Hmmm…. aku tak rasa aku buat salah besar pun.” Yang sebenarnya sudah tiga kali aku bertentang mata dengannya di Bilik Pengetua. Tujuannya ialah supaya aku dapat menjelaskan masalah yang aku lakukan.
5 APA-APA YANG AKU JELASKAN, TAKDA MANFAAT APA PUN. PENJELASAN AKU TIDAK AKAN MEMBUATKAN AKU RASA AKU DI PIHAK YANG BETUL. MEMANG AKU SUDAH BUAT SILAP. TAK PERLULAH JUMPA-JUMPA LAGI… Aku masih memikirkan, mengapa orang yang ditangkap bersalah itu masih perlu menjelaskan sesuatu kepada sang penangkap? Apakah kerana semata-mata ingin memberi peluang kepada pesalah untuk menerangkan kewajaran tindakannya. Tapi itu hanya omongan kosong. Yang salah jelas salah. Kebatilan sememangnya tak dapat ditegakkan di atas muka bumi ini. Aku pernah menangis di hadapannya pada pertemuan ketiga. Aku bingung bagaimana ia boleh berlaku. Apakah aku sudah tidak tertahan lagi menanggung beban ini? Apakah aku rasa aku tidak layak dimarahi? Ketika itu aku tidak masuk ke kelas kerana tersilap baca jadual. “ALASAN OK!” Tambah pula murid-murid kelas itu buat hal yang tak sepatutnya. Kelas 2F. Cermin kelas pecah?! Mereka main bola kertas sampai berkecai cermin kelas. “Putra lagi….” Cikgu-cikgu dalam bilik guru tak hairan lagi bila mendengarkan namaku dipanggil pengetua. 1 Februari 2015 Encik Zainal menghubungi aku melalui telefon bimbit. Beliau menyatakan hasratnya ingin bertemu denganku sekali lagi di biliknya. “Apa lagi si Yamashita ini mahukan daripada aku?” Kali ini aku melangkah menuju ke biliknya lebih lemah daripada sebelum-sebelum ini. Ini kali keempat aku menghadapnya. Kali ini apa pula? Atas kesalahan apa lagi? “Buka surat ini,” perintahnya padaku. ARAHAN PERTUKARAN GURU DALAM DAERAH. “SAYA YANG MENURUT PERINTAH …” “….………………… #$%$#$@#$%^@#$”, gigi aku mengetap kuat. Ungkapan ini sekali lagi menghantuiku. Aku sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku. Kerana sudah terdengar khabar-khabar angin yang bertiup kencang di dalam bilik guru. Sebenarnya aku sudah siapkan mental daripada awal.
6 “Sebenarnya putra, ini perkara biasa yang kita akan hadapi. Sebagai seorang penjawat awam. Kita mesti bersedia menerima apa sahaja keadaan. Pertukaran guru ke sekolah-sekolah lain ialah perkara biasa” bicara beliau padaku. Aku hanya mengangguk tanda faham. “Isteri awak bekerja di mana?” “Indahpura, Kulai …” ujarku. “Oklah tu.. Sekolah baru awak itu dekat dengan tempat kerja isteri awak” beliau cuba merasionalkan aku. Tapi aku hanya menganggap dia hanya cuba memujuk aku supaya aku menerima keputusan perpindahan aku ke sekolah lain. Aku hanya memikirkan satu perkara. Beliau tidak sukakan aku dan beliau hanya memikirkan akulah cikgu yang patut disingkirkan daripada sekolah itu. “Ingat putra… Kejayaan itu datangnya daripada …. “ beliau cuba mengingatkan aku sekali lagi nasihatnya. Aku tdak memandang wajahnya dan mengendahkan nasihat itu. Dan sebenarnya. Aku mula sukakan sekolah itu pada awal tahun 2015. Terpaksa mengambil masa hampir tiga tahun untuk menyesuaikan diri. Tahun tersebut jugaklah aku mulai mendapatkan angin perubahan dan keserasian. Malang sekali, waktu itu jugaklah aku diarahkan berpindah ke sekolah lain. “Saya sebenarnya dah cakap dengan pihak PPD. Kalau boleh nak kekalkan semua cikgu-cikgu yang saya ada. Tetapi ini arahan PPD, saya tak mampu berbuat apa-apa…” tegas beliau. Sekali lagi aku menganggap beliau cuba merasionalkan aku. Aku hanya diam seribu bahasa. Aku sangat kecewa. Sungguh, tahun 2015 aku memang sudah sukakan SSA. Barangkali ada hikmah. Aku berusaha untuk memujuk diri sendiri supaya menerima garis takdir aku pada hari itu. Keesokan paginya di awal perhimpunan. Aku diberi kesempatan untuk memberikan kata-kata akhir kepada semua warga sekolah. Aku hanya menyimpulkan kata-kata jutaan terima kasih yang tak terhingga kepada pihak pentadbir sekolah, rakan-rakan guru dan anak-anak murid yang aku kasihi. Sambil berucap, mataku melirik-lirik pada murid kelas 1UKM4 yang menangis teresak-esak. Umpama seorang bapa yang meninggalkan anaknya untuk menuju ke medan perang. Tak terkecuali anak didik bola sepak sekolah. Mereka sangat menyukaiku kerana hanya aku sahaja yang mampu bersama mereka berlatih bersama-sama hingga lewat petang di padang sekolah. 4 Aku bertindak selaku guru kelas 1UKM. Pada tahun inilah aku sangat menyukai SSA kerana ada anak-anak murid yang comel dan sangat rapat denganku. Tidak keterlaluan jika aku katakan aku umpama bapa mereka.
7 1 MAC 2015. Aku tidak mengira berapa kali jantungku berdetak kencang. Bulu romaku kekal berdiri dan degil untuk kendur. Melangkahnya aku ke sekolah baharu. Pagi itu sejuk yang amat. Antartika? Keterlaluan jika aku katakan begitu. Aku datang lebih awal, masa menunjukkan jam 6:30 pagi. Langit masih tidur. Bintang-bintang masih jelas kelihatan. Almaklumlah, sekolah baharu mesti mulakan langkah baharu. Barulah berkelananya kita akan sentiasa berjalan lancar selepas itu. Yang sebenarmya aku sungguh takut bersama teruja. Tanganku longlai, kaki langkah penuh gemalai. Sekolah ini ada reputasi besar di daerah Kulai. Sekolah terbaik Kulai. Sekolah Kluster Kecemerlangan … SMK BANDAR PUTRA, KULAI (SMKBP) Ohhh tidak. Nama sekolah ini sangat dekat dengan namaku. Aku dimaklumkan sekolah ini sekolah yang hebat. Betapa ramainya murid perfect score A SPM lahir di sekolah ini. Aku sudah berkira-kira mahukan sesi petang. Mahukan sesi petang! …. Ajar anak-anak murid tingkatan satu sahaja. Tidak yakin sekali untuk mengajar serta mendidik anak-anak yang sudah sedikit dewasa. Sekali lagi rasa girang kerana bebas daripada bayangan maharaja berkuasa mutlak. Bebas….! Saat aku jejak di sekolah ini. Aku harus ubah sikap aku. Wajib paksa diri sukakan kata-kata “Saya Menurut Perintah …” Walaupun hakikatnya aku benci ungkapan itu. Tetapi sekurang-kurangnya aku mencuba. Entah-entah ungkapan itu membawa diriku ke pintu gerbang yang baharu. Boleh jadi kamu membenci sesuatu. Padahal ia amat baik bagimu. Dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. (Surah al-Baqarah: ayat ke-216) Sebulan setelah itu, mendapat khabar berita yang menggetar tulang rusukku. “ Dengar cerita Encik Zainal berpindah ke SMK Bandar Putra…,” ujar Cikgu Wan rakan sejawat di SSA menghubungiku melalui telefon. “Apa???!!!,” aku seakan tidak percaya. “Iya, dia ikut kau…” rakanku bernama Wan cuba meyakinkanku. Bagaimanapun, hatiku cuba menafikan. Tidak mungkin perkara ini berlaku. Aku seboleh-bolehnya tidak mahu menghadapnya lagi. “Mengapa aku terpaksa ketemu lagi dengannya?” hatiku berbisik gusar. Punah!. Harapan aku ingin berubah menjadi guru yang lebih baik mungkin terganggu disebabkan kehadirannya. Aku mula berasa tidak selesa. Aku fobia mendengar suara kerasnya “Putraaaa!!!”.
8 Tidak mengapa, kebetulan aku diminta untuk bekerja di sesi petang. Dan beliau selaku pengetua lazimnya menghabiskan masa di sesi pagi. Aku cuba memujuk diriku agar tidak terganggu dengan apa-apa perkara. Yang sebenarnya aku sudah selesa bekerja di bawah pentadbiran GPK Petang, Encik Mohd Nor Bedran. Setibanya beliau di SMKBP. Aku meneruskan kerja harianku seperti biasa. Tidaklah hairan, rakan-rakan sekerja bertanyakan kepadaku tentang gaya bekas pengetua SSA itu. Rakan-rakanku semua tahu yang aku datang daripada SSA. “Aku hanya menjawab, “dia tegas”. “Itu sahaja?,” rakan-rakan membawang di kantin tak puas hati jawapan ringkasku. “Cikgu-cikgu kat SSA semua tunduk pada dia, mungkin disebabkan cikgu-cikgu disitu kebanyakannya bekas anak muridnya,” ujarku lagi. “Lagi?”, rakan-rakan membawang di kantin tak puas lagi. “Itu jelah” aku matikan air. “Yang dihormati, Encik Mohd Nor bin Mohd Bedran, Guru Penolong Kanan Petang Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Putra, barisan guru, barisan pengawas dan anak-anak murid yang dikasihi sekalian … Assalamualaikum w.b.t.” guru bertugas sesi petang memulakan bicara sebelum membentangkan laporan pada minggu lepas. Seperti biasa, aku tidak gemar duduk di barisan hadapan ketika perhimpunan rasmi sekolah. Aku akan memilih tempat duduk yang jauh dengan barisan guru pentadbir. Tak lama selepas itu. Seorang guru memanggilku untuk turun ke bawah dan pengetua menunggu aku di luar pintu dewan. “Hah? Kenapa pula….?” “Awak menanda kertas SPM Sejarah bukan?” Encik Zainal bertanya. “Iya saya …” aku menjawab. “Esok kerja pagi.” Jawab ringkas beliau. ….……………………………………………………………………………………… Ketika itu aku hanya memandang langit. Sangat cerah. Awan kelihatan bergumpal-gumpal. Sesekali burung pipit menjengah laluan pandanganku. Tambah pula burung-burung itu berkicauan-kicauan dan sahut-menyahut. Sekurang-kurangnya dapat menenangkan sedikit perasaanku. Aku termenung. Terpaku. Terpanar. #!!@#$%^&*!@#
9 Bermulalah aku mengajar di sesi pagi. Tidak puas rasanya mengajar tiga bulan di sesi petang. Tambah pula aku diminta untuk mengajar murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan SPM. Pertama kalinya aku diberi peluang mengajar murid-murid Tingkatan 5 setelah empat tahun berkhidmat. Apakah ini peluang ataupun bencana buatku? Jika peratusan lulus menurun…. Mungkin akulah punca? Hanya kerana aku mengajar subjek wajib lulus SPM! Dan sekolah ini selama bertahun-tahun tidak pernah tidak kurang daripada 100% Lulus SPM! Setiap hari aku memaksa diri untuk mengulang kaji pelajaran bagi mengasah bakat mengajarku. Agar lebih bersedia menghadapi murid-murid paling berbakat di daerah Kulai. Ternyata hasilnya memuaskan. Kebanyakan murid suka belajar di bawah asuhanku. Katanya best… “Cikgu ajar sejarah best, tak membosankan” kata murid A. “Sejak cikgu ajar sejarah, saya jadi minat subjek Sejarah” kata murid B. “Cikgu ajar Sejarah lain daripada lain, ajar perkara-perkara yang bukan sahaja dalam buku teks, tapi luar buku teks yang saya tak jangka perkara-perkara itu” kata murid C. “Cikgu tak buat tuisyen ke?, buatlah cikgu …” kata murid D. Reaksi anak-anak murid di sekolah ini sangat mengesankan. Sangat proaktif. Minat belajar. Bercita-cita tinggi. Justeru aku bertambah semangat untuk mengajar. Mungkin inilah hikmahnya aku berada di sekolah terbaik Kulai. Hari demi hari masa berlangsung dengan begitu pantas. Pejam celik sudah sebulan Encik Zainal bertugas selaku pengetua baharu di SMKBP. Kelihatan wajahnya tidak gembira. Khabarnya dipaksa arah berpindah oleh PPD Kulai. Tambahan pula kata orang beliau sedang menjaga ayahnya yang sakit tenat di kampung. Kampungnya dekat dengan SSA. Patutlah murung wajahnya. Saban hari aku memerhati gerak geri beliau daripada jauh. Sentiasa mengelak daripada bertembung dengannya. Jika laluan beliau itu sama dengan laluan aku untuk berkemungkinan akan bertembung, aku pasti mencari alternatif lain untuk tidak bertembung dengannya. Bila difikirkan balik, aku terasa diriku aneh. Adakah ini dimaksudkan benci? Beliaulah punca aku ditendang keluar daripada SSA. Walaupun ada suara-suara lain menafikan. Tetapi aku berkeras mengatakan “iya, dia yang lakukan!”. Apakah perwatakan beliau sama sebagaimana beliau bertugas di SSA. Menurutku sangat menakutkan… Namun aneh sekali, sepanjang di SMKBP. Beliau sangat santun dan rasional orangnya. Sering dilihat ke surau sekolah. Bukan sahaja solat fardhu, bahkan berzikir
10 dan berdoa panjang sesudah solat di situ. Pelik? Apakah ada sesuatu yang menimpanya hingga beliau sangat akrab dengan Penciptanya? Aku tidak tahu. Banyak juga babak-babak yang tidak menyenangkan kepadanya di sekolah itu termasuklah isu referendum petisyen guru-guru tanda tidak setuju “Program Kelas Tambahan Putra Terbilang” yang akan diadakan pada hari jumaat.5 Program itu adalah ideanya. Tentu sekali isu itu begitu mengecewakan beliau. Itu aku amat pasti. Keesokan paginya selesai perhimpunan pagi, di ruang English Zone. Guru-guru dikumpulkan. GPK Kokurikulum, Puan Kamsiah bt Mohd Ali meminta semua guru tunggu sebentar. Manakala murid-murid di tahan di dataran perhimpunan dan belum digerakkan ke bilik darjah. Mereka semua dikawal oleh guru disiplin dan barisan pengawas supaya tidak bising. Seolah-olah seperti ada peristiwa tergempar berlaku. Kelibat pengetua tidak ada. Tiba-tiba … “Saya kecewa dengan cikgu-cikgu semua. Siapa yang buat laporan pada PPD yang kita menentang idea pengetua buat kelas tambahan pada hari jumaat? Siapa? Kenapa cikgu-cikgu tak suarakan di bilik mesyuarat yang cikgu-cikgu semua tak bersetuju? Jika dikirakan, setiap cikgu hanya dapat dua kali setahun sahaja untuk hadir ke program kelas tambahan pada hari jumaat. Adakah cikgu-cikgu rasa itu satu bebanan?. Kita semua juga bersetuju yang kita tak mahu kelas tambahan diadakan pada hari sabtu. Kenduri kahwinlah, apalah, bla bla bla ….” Puan Kamsiah kelihatan sangat marah dan menyatakan kekesalannya pada semua guru di hadapannya. Siapa yang buat laporan itu?, siapa? !!! Lebih baik bertanggungjawab mengaku di hadapan saya dan semua orang disini !!!” sambungnya lagi. Suasana ketiku itu begitu tegang. Tak dapat aku bayangkan. Walaupun ketika itu aku masih belum menyukai Encik Zainal, tetapi aku masih ada akal yang waras dan menyatakan tidak sepatutnya cikgu itu buat perkara tersebut. Aku tak ambil peduli tentang apa-apa dasar yang pengetua ingin lakukan. Ikut sahaja. Walaupun tidak menyukainya. Aku sudah katakan sejak aku mula melangkah ke sekolah baharu “Saya Yang Menurut Perintah”. Sejak isu itu menular di sekolah aku, aku tidak nampak kelibat beliau dalam tempoh dua minggu. Pada minggu berikutnya dengar berita kereta beliau dilanggar orang. Satu per satu insiden yang tak diinginkan menimpanya. Aku hanya mampu berdoa agar beliau jauh daripada malapetaka. 5 Sultan Johor, Sultan Ibrahim menitahkan bermula 1 April 2014, jumaat merupakan cuti minggu bagi negeri Johor.
11 Suatu hari di pejabat, kedengaran riuh rendah kakitangan sokongan serta barisan guru pentadbir. Encik Zainal mula menyapaku. “Putra alahai Putra, ……..teringat lagi kisah dia tak datang sekolah, gara-gara terkurung dalam rumah.. HaHaHaHaHa….”, Encik Zainal tak sudah-sudah membahankan aku bermodalkan kisah itu berulangkali. Mereka ketawa berdekah-dekah terkenangkan kisahku yang menurut mereka begitu lucu. Mungkin karya agung Ujang “Majalah Lawak Antarabangsa” tak boleh cari makan setelah mereka mendengar kisah seorang guru terkurung di dalam rumah yang menyebabkan tidak dapat hadir ke sekolah. “Boss, dia dah lain la boss, bagus dia ni ….” ujar Puan Kamsiah. “Itu zaman jahiliah saya boss …” Aku tiba-tiba berani bersuara. Ketawa mereka masih lagi tak dapat dihentikan. Aku segera beredar daripada zon keseronokan mereka. Mereka tidak tahu yang aku tidak seronok dibahan begitu rupa. Muka aku merah padam bagaikan orang tergigit cili Carolina Reaper. Petang itu, suasana di bilik mesyuarat berjalan seperti biasa. Ternyata di dalam bilik mesyuarat itu ada dua orang penghibur. Cikgu Hafiz Amirul Mukminin 6 dan Cikgu Hisyam MacGyver.7 Ada sebab kenapa mereka mendapat gelaran itu. Kedua-dua mereka itu memang layak digelar penghibur. Telatah dan karenah mereka begitu mencuit hati. Kadangkala kelihatan tidak waras tetapi mengasyikkan. Takdalah cikgu stress sahaja sepanjang masa. Tak begitu? Tetapi apa yang aneh menurutku… Mengapa mereka langsung takda perasaan berkecil hati jika diusik teruk oleh pengetua? Sampai sekarang aku masih belum mampu merungkai misteri itu… Apakah hati aku seumpama tisu? Mudah koyak? Mungkin …. Perjalanan mesyuarat menelan masa hampir 3 jam termasuklah sesi menjamu selera. “Akhir kata cikgu sekalian,” “Kejayaan itu datangnya daripada SIKAP ….” “SIKAP mewakili 80 peratus kejayaan. Selebihnya 20 peratus itu hanyalah berbekalkan pengetahuan serta kemahiran. Cikgu-cikgu, sehebat manapun kita jika sikap kita tidak baik. Maka kejayaan tidak akan kita perolehi. Tengok sahaja cikgu Putra. Sebelum dia berpindah ke sini saya sudah ingatkan dia, berubah! ” ujar Encik Zainal. Semua guru memandangku dengan renungan “ya atau tidak.” Aku ambil langkah diam seribu bahasa. “Dia memujiku? Benar ke apa yang aku dengarkan sebentar tadi?” hatiku berbisik. “Saya ada pengumuman nak bagitahu pada cikgu-cikgu. Saya akan berkhidmat ke tempat lain. Saya akan berkhidmat ke SMK Kota Kulai mulai minggu hadapan. Dan pengetua baharu 6 Gelaran Amirul Mukminin itu disandarkan kepadanya kerana dia selalu menyanjungi kepimpinan PM Malaysia ke-6. 7 Mendapat gelaran tersebut kerana dia seorang guru yang serba boleh. Jika terdapat masalah yang berkaitan dengan kerosakan prasarana-prasarana sekolah. Hanya dia sahaja yang mampu menyelesaikan masalah tersebut. Justeru itu dia salah seorang tulang belakang sekolah yang sangat penting.
12 yang akan berkhidmat di sekolah kita ialah pengetua daripada Sekolah Menengah Tunku Abd Rahman Putra (STARP),” tambah beliau lagi. Ketika itu aku menyaksikan riak wajah sebahagian guru berkerut. Ada yang meleleh air mata terutamanya Encik Mohd Kamal iaitu GPK HEM. Dia begitu rapat dengan Encik Zainal. Ke mana Encik Zainal berada, disitu beliau berada. Tidak kiralah sama ada di kantin sekolah, di restoran, di rumah murid, dan di rumah-rumah kebajikan. Encik Kamal sentiasa berada disampingnya. Aku terkenangkan kata-kata Encik Kamal di kantin ketika minum bersamanya. “Kau ingat nak jumpa pengetua macam Encik Zainal ada lagi ke sekarang? Melawat rakan-rakan sakit, pergi ziarah kematian keluarga daripada kalangan keluarga guru-guru… Ada ke? Takda!” tegas beliau. Aku pun mengangguk tanda setuju. “Tak dapatlah saya nak usik-usik dia lagi..” usik Encik Zainal. Encik Zainal sering mengusik nakal penolong setianya. Siapa lagi jika bukan Puan Norazzah bt Misban iaitu GPK Pentadbiran yang sangat rupawan meskipun usianya hampir menjengah separuh abad. Tidak keterlaluan jika aku menganggap Puan Norazzah sebagai Siti Hajar isteri baginda SAW pada abad ini. Sementara itu orang yang paling sedih yang aku lihat setelah Encik Mohd Kamal ialah Puan Kamsiah bt Mohd Ali iaitu GPK Kokurikulum. Sering diusik pengetua tetapi dia hanya menunjuk reaksi wajah mencebik comel tetapi tidak melawan kata. Inilah contoh-contoh guru hebat di hadapan mataku. Encik Zainal Mesran, seorang pemimpin agung yang penuh kecindan. Tetapi selalu disalah tafsir oleh orang-orang yang tidak mengenali beliau secara penuh. Bagiku, beliau hanya melakukan tugasnya dengan penuh dedikasi. Perhimpunan rasmi yang terakhir Encik Zainal di pagi itu, beliau berseloka dengan sangat bersahaja… Beliau memetik setiap nama guru-gurunya. Usikan itu juga terukir namaku. “Cikgu Putera, semakin hari semakin terserlah kehebatannya. Bergerak sibuk ke sana sini mengalahkan sibuknya Cikgu Zaki …..” Saat itu, pandanganku terhadapnya mula berubah total. Dahulunya aku berfikir, aku hanyalah seorang guru yang tiada apa-apa nilai pada pandangan matanya. Yang dibencinya. Yang tidak disukainya. Kini … Encik Zainal, aku masih memegang nasihat engkau yang selama ini aku anggap sampah. Tetapi aku pegang erat nasihat itu… “Kejayaan seseorang itu bukanlah datang daripada tinggi ilmunya, hebat kemahirannya, tetapi SIKAP yang betul. Ingat, 80 peratus kejayaan manusia itu berpunca daripada sikap
13 kita! …” Itulah nasihat yang berulangkali aku dengarkan ketika beliau mempengerusikan mesyuarat. Semoga Encik Zainal terus sukses di tempat kerja yang baharu dan diberi kesihatan yang berpanjangan oleh Yang Maha Pencipta. Sungguh, dia pemimpin yang hebat. Sentiasa membawa anjakan paradigma kepada sekolah-sekolah yang berada di bawah genggamannya. -TAMAT -