PENGHAYATAN ETIKA &
PERADABAN
TRAGEDI 13 MEI 1969
PENGHAYATAN ETIKA &
PERADABAN
MPU21032
AMIRUL AFIQ BIN AZMAN
(16DGU21F1047)
MUHAMMAD AMIR BIN MANAN
(16DGU21F1030)
MUHAMMAD ARIF HAFIZIE BIN HASHIM
(16DGU21F1039)
SINOPSIS
Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 ialah insiden rusuhan kaum yang
berlaku dan kemuncak masalah perpaduan di Malaysia. Tragedi ini
telah meragut nyawa serta harta benda dan mempunyai kaitan yang
rapat dengan "Pilihan Raya Umum 10 Mei 1969" merupakan satu
titik hitam dalam sejarah negara Malaysia.
Isi kandungan
• 1.Latar belakang
o 1.1Isu perkauman dalam pilihan raya 1969
o 1.2Pembangkang meraikan kemenangan
o 1.3Perarakan kematian Cina
o 1.4Rumah Menteri Besar Selangor dan rusuhan
pertama
o 1.5Panggung Odeon
o 1.6Persepsi
• 2.Angka korban
• 3.Lokasi Tunku Abdul Rahman semasa peristiwa 13
Mei
• 4.Mageran
• 5.Nota
• 6.Rujukan
1.0 LATAR BELAKANG
1.1 Isu perkauman dalam pilihan raya 1969
Semasa kempen Pilihan Raya 1969, calon-calon pilihan raya serta
ahli-ahli politik dari kalangan parti pembangkang, telah
membangkitkan soal-soal Bangsa Malaysia berkaitan dengan Bahasa
Kebangsaan (Bahasa Melayu), kedudukan istimewa
orang Melayu sebagai bumiputera dan hak kerakyatan orang bukan
Melayu. Hal ini telah memberi kesempatan kepada ahli-ahli politik
yang ingin mendapatkan faedah daripadanya dalam pilihanraya.
Pada pilihanraya umum 1969, Parti Perikatan yang dianggotai
oleh UMNO, MCA, dan MIC gagal memperolehi majoriti 2/3 di
parlimen walaupun masih berjaya membentuk kerajaan
persekutuan. Hal ini disifatkan oleh parti pembangkang sebagai satu
kemenangan yang besar buat mereka. Jumlah kerusi yang dimenangi
Parti Perikatan dalam Dewan Rakyat (Parlimen) telah menurun
daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun
1969.
Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Tindakan
Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat (PPP) menang 25 buah
kerusi dalam Dewan Rakyat manakala PAS menang 12 kerusi.
Pihak pembangkang yang memperoleh pencapaian gemilang dalam
pilihanraya telah meraikan kemenangan mereka dengan berarak
pada 11 Mei 1969. Perarakan tersebut sebenarnya tidak bermotif
untuk menimbulkan isu perkauman. Namun, terdapat segelintir
pengikut perarakan (identiti mereka tidak dapat dikenal pasti) telah
mengeluarkan slogan-slogan bersifat sensitif berkenaan isu
perkauman semasa mengadakan perarakan di jalan-jalan raya sekitar
bandaraya Kuala Lumpur. Perarakan turut dijalankan pada 12 Mei
1969 di mana kaum Cina berarak menerusi kawasan Melayu,
melontar penghinaan sehingga mendorong kepada kejadian
tersebut. Pihak pembangkang yang sebahagian besar darinya kaum
Cina dari Parti Tindakan Demokratik dan Gerakan yang menang,
mendapatkan permit polis bagi perarakan kemenangan melalui jalan
yang ditetapkan di Kuala Lumpur. Bagaimanapun perarakan
melencong dari laluan yang ditetapkan dan melalui kawasan
Melayu Kampung Baru, menyorak penduduk di situ. Sesetengah
penunjuk perasaan membawa penyapu, kemudiannya dikatakan
sebagai simbol menyapu keluar orang Melayu dari Kuala Lumpur,
sementara yang lain meneriak slogan mengenai tengelamnya kapal
Perikatan — logo perikatan. Ia berlarutan hingga ke 13 Mei 1969
sebelum Parti Gerakan mengeluarkan kenyataan meminta maaf pada
13 Mei di atas kelakuan penyokong mereka. Menteri besar
Selangor, Dato' Harun Idris telah mengumumkan bahawa perarakan
balas meraikan kemenangan UMNO akan dijalankan pada pukul 7.30
malam, 13 Mei 1969.
1.2 Pembangkang meraikan kemenangan
Peristiwa ini berlaku berikutan pengumuman keputusan Pilihanraya
Umum pada 10 Mei 1969.
Dr. Tan Chee Khoon dari parti Gerakan telah menang besar di
kawasan Batu, Selangor. Beliau minta kebenaran polis untuk berarak
meraikan kemenangan parti tersebut di Selangor yang menyaksikan
50:50 di Selangor. Perarakan tersebut menyebabkan kesesakan jalan
raya di sekitar Kuala Lumpur. Perarakan hingga ke Jalan Campbell
dan Jalan Hale dan menuju ke Kampung Baru. Sedangkan di
Kampung Baru, diduduki lebih 30,000 orang Melayu yang menjadi
kubu UMNO, berasa terancam dengan kemenangan pihak
pembangkang. Di sini letaknya rumah Menteri Besar Selangor ketika
itu, Dato' Harun Idris.
Dikatakan kaum Cina yang menang telah berarak dengan mengikat
penyapu kepada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan
mereka menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan. Ada pula
pendapat yang mengatakan penyapu tersebut sebagai lambang
mereka akan menyapu ('menyingkir') orang-orang Melayu dari Kuala
Lumpur. Dalam masyarakat Melayu, penyapu mempunyai konotasi
yang negatif (sial). Ada yang mencaci dan meludah dari atas lori ke
arah orang Melayu di tepi-tepi jalan.
1.3 Perarakan kematian Cina
Di Jinjang, Kepong, kematian seorang Cina akibat sakit tua diarak
sepanjang jalan dengan kebenaran polis. Namun perarakan kematian
bertukar menjadi perarakan kemenangan pilihan raya dengan
menghina Melayu.
Pada hari Selasa 13 Mei, Yeoh Tech Chye selaku Presiden Kongres
Kesatuan Sekerja Malaysia yang bertanding untuk Gerakan
memohon maaf di atas ketelanjuran ahli-ahlinya melakukan
kebiadapan semasa perarakan. Yeoh menang besar di kawasan Bukit
Bintang, Kuala Lumpur tetapi permohonan maaf sudah terlambat.
1.4 Rumah Menteri Besar Selangor dan
rusuhan pertama
UMNO telah mengadakan perarakan balas pada pagi 13 Mei 1969
yang mengakibatkan terjadinya peristiwa ini.
UMNO bercadang untuk mengadakan perarakan balas pada 7.30
petang 13 Mei hari Selasa, tetapi kebanyakan orang Melayu mula
berkumpul di depan rumah menteri besar Selangor pada awal pagi.
Orang Melayu dari luar Kuala Lumpur turut serta dalam perarakan ini
seperti dari Morib, Banting dan juga Perak. Menurut laporan
rasmi Majlis Gerakan Negara (Mageran), pergaduhan mula berlaku di
Setapak dalam pukul 6 petang apabila sekumpulan pemuda Cina
menghalang beberapa orang Melayu yang dalam perjalanan ke
Kampung Baru untuk menyertai perarakan UMNO dengan
membaling botol kaca dan batu ke arah mereka. Pergaduhan ini
diketahui oleh orang Melayu yang berkumpul di Kampung Baru Jalan
Raja Muda. Dalam pukul 6.30 petang orang Melayu mula bergerak
dari Kampung Baru dan menyerang orang Cina dengan bersenjatakan
parang dan keris. Mereka membakar rumah-rumah kedai di sekitar
kawasan Kuala Lumpur dan juga kereta. Orang Cina yang
terserempak dibunuh. Menurut laporan majalah Time, sekurang-
kurangnya 8 orang Cina terbunuh dalam rusuhan pertama yang
berlaku.
Rusuhan ini mula tersebar di sekitar Kuala Lumpur dalam masa 45
minit dari Jalan Campbell, Jalan Tunku Abdul Rahman (Batu
Road), Kampung Datuk Keramat, Kampung Pandan, Cheras, Kampung
Kerinchi dan Sentul.
Tentera dari Askar Melayu lebih awal dikerahkan menjaga
keselamatan sekitar Kuala Lumpur.
Pasukan FRU di keluarkan dari Kampung Baru dan Askar Melayu
dikerah untuk mengambil alih kawalan. Rusuhan dapat dikawal
dengan mengunakan gas pemedih mata, perintah berkurung 24 jam
(curfew order) diumumkan oleh radio pada pukul 7.30 petang dan di
televisyen pada 8 malam.
Perintah tembak di keluarkan oleh Ketua Polis Negara Mat Salleh.
Pihak askar mula meronda kawasan-kawasan rusuhan sehingga pukul
10 malam, ramai yang tidak tahu berkenaan perintah berkurung
ditembak mati, ada juga yang ditembak kerana berdiri di depan
koridor rumah sendiri. Laporan wartawan asing menyatakan
segelintir Askar Melayu melepaskan tembakan rambang ke arah
kedai dan rumah milik orang cina tanpa sebab.
Pada hari seterusnya 5 pagi, Hospital Kuala Lumpur memberi laporan
bahawa 80 orang meninggal dunia pada rusuhan pertama yang
berlaku dan majoritinya adalah orang Cina. Kebanyakan daripada
mereka mengalami luka teruk akibat tetakan dan juga tembusan
peluru. Ini hanya sebahagian orang atau mangsa yang dapat dihantar
untuk rawatan, kebanyakan mayat orang yang terkorban diangkut
oleh pihak PDRM menggunakan lori ke Balai Polis Travers.
Kebanyakan mayat dalam keadaan yang tidak sempurna.
1.5 Panggung Odeon
Pemuda-pemuda Cina telah bertindak mengepung Panggung Odeon,
di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Beberapa iklan
disiarkan dalam bahasa Cina di skrin pawagam menyuruh penonton
dari kalangan Cina keluar dari panggung. Penonton Melayu di
panggung tersebut langsung tidak tahu membaca tulisan bahasa
Cina. Kesan daripada itu, pemuda-pemuda Cina tersebut telah
menyerbu masuk ke dalam panggung dan menyerang dan
menyembelih penonton yang ada dan membakar pawagam tersebut.
Hampir semua penonton di dalam panggung tersebut mati di dalam
keadaan yang sangat mengerikan. Ini termasuklah dua orang Askar
Melayu yang tinggal di Sungai Ramal, Kajang. Manakala di pasar pula
askar Melayu telah menembak orang Cina yang melanggar perintah
berkurung dengan kereta perisai mereka. Di lebuh raya persekutuan
pula, penduduk Melayu Kampung Kerinchi telah membuang pasu di
atas lebuh raya tersebut dan mengakibatkan kesesakan lalulintas dan
kemalangan.
Pemuda yang bernama Rahim Desa bersama seorang kawannya yang
berjawatan kapten ketika itu yang tinggal di Kuala Lumpur yang turut
menonton wayang di Odeon terkena tetakan di kepala dan berpura-
pura mati. Beliau masih hidup hingga sekarang. Sementara Mohd
Radzi mengalami pengalaman yang sama di Pawagam Federal, Jalan
Chow Kit, Kuala Lumpur ketika menonton filem They Came To Rob
Las Vegas arahan Antonio Isasi-Isasmendi.
Abdul Rafai Alias bersama rakan-rakannya dari Semenyih yang
datang ke Kuala Lumpur turut terperangkap dan terkejut dengan
rusuhan kaum yang tidak disangka-sangka pada 13 Mei itu. Beliau
turut melangkah-langkah mayat mereka yang telah terbunuh di atas
jalan.
Khabar angin mengatakan Tentera Sabil dari Sungai Manik hendak
datang ke Kampung Baru tetapi tersekat. Begitu juga dengan Tentera
Selempang Merah dari Muar dan Batu Pahat tersekat dan disekat
oleh polis di Balai Polis Kajang dan Cheras.
Apa yang pasti, Askar Melayu juga telah menyelamatkan orang
Melayu di Kampung Baru ketika itu.
Namun rusuhan kaum tidak terjadi
di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Di Perak, Kedah, Pulau
Pinang serta Perlis tiada sebarang pergaduhan.
Negeri Johor dan Negeri Sembilan juga tidak terjadi apa-apa kerana
telah diberi amaran oleh PKM. Cuma ada sedikit kekecohan
di Melaka. Di Betong ada tembakan dilepaskan oleh PKM.
Ada yang menyifatkan pergaduhan ini sebenarnya adalah
pergaduhan "politik". Seperti yang dinyatakan pergaduhan tidak
berlaku di negeri seperti Kelantan, Pahang dan Kedah. Jika ia
merupakan isu perkauman, sudah tentu pada hari itu orang Cina dan
Melayu akan berbunuhan sesama sendiri di negeri-negeri tersebut
seperti di selatan Thai.
1.6 Persepsi
Kalangan orang Melayu mempunyai pandangan yang negatif
terhadap kaum Cina yang dilihat sebagai tidak mengenang budi
dengan taraf kerakyatan yang diberikan pada mereka pasca
kemerdekaan. Persepsi negatif masyarakat Melayu terhadap kaum
Cina juga berlaku kerana orang Cina merupakan majoriti
menganggotai pasukan Bintang Tiga yang ingin menjadikan negara
ini sebagai negara komunis berpaksikan negara komunis China.
Pada tahun 2007, satu buku — May 13: Declassified Documents on
the Malaysian Riots of 1969 yang ditulis oleh akademik, bekas ahli
Democratic Action Party, dan bekas ahli parlimen Kua Kia Soong —
telah diterbit oleh Suaram. Berdasarkan dokumen yang baru
'declassified' di pejabat maklumat awam London, buku tersebut
mengatakan bahawa rusuhan tersebut bukannya disebabkan parti
pembangkang sepertimana cerita rasmi yang diberikan, tetapi
rusuhan tersebut dimulakan oleh "ascendent state capitalist class" di
UMNO sebagai 'coup d'etat' untuk menumbangkan Tunku Abdul
Rahman.[8]
Bagaimanapun ia hanyalah merupakan suatu pendapat sahaja atau
cerita dari sebelah pihak lain yang belum lagi pernah dibuktikan
kesahihan atau sebaliknya.
Satu lagi persepsi yang kurang tepat disebarkan ialah penglibatan
Lim Kit Siang dalam peristiwa 13 mei ini. Menurut Penasihat DAP itu,
beliau tidak berada di Kuala Lumpur pada 11, 12 dan 13hb Mei
1969.[9]
"Saya masa itu bertanding di Bandar Melaka, dan berada di pusat
pengiraan undi di Melaka sehingga awal pagi 11hb Mei 1969 kerana
menunggu keputusan, hanya kembali kepada keluarga saya di
Petaling Jaya pada 11hb Mei (hari Ahad)," kata Lim.[10]
Pada hari Isnin seterusnya, iaitu 12hb Mei 1969, beliau pulang ke
Bandar Melaka untuk mengucapkan terima kasih kepada para
pengundi di perarakan terima kasih kepada pengundi pada petang
dan menghadiri satu rapat umum terima kasih kepada pengundi
pada sebelah malamnya.
Kedua-dua acara itu katanya telah berlangsung secara aman.
"Saya mungkin merupakan satu-satunya wakil rakyat dalam tahun
1969 yang sempat mengadakan perarakan dan rapat umum
berterimakasih kepada pengundi selepas pilihan raya kerana saya
telah menempah tiket untuk terbang ke Sabah pada awal pagi hari
Selasa, 13hb Mei 1969 untuk membantu dalam kempen pilihanraya
calon-calon bebas di situ, kerana pada masa itu, hari mengundi
Sabah dan Sarawak adalah diadakan seminggu selepas keputusan
pilihan raya diumumkan di Semenanjung.
"Semasa saya berucap di rapat umum di Kota Kinabalu pada malam
13 Mei, barulah saya terima berita bahawa huru hara Mei 13 telah
berlaku di Kuala Lumpur," kata Lim.
Beliau juga memberitahu, dalam ucapan pertamanya di Parlimen
pada 23 Februari 1971 setelah beliau dibebaskan daripada tahanan
ISA pertamanya, serta selepas Parlimen dipulihkan, semasa
membahas Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan 1971,
beliau telah menyeru supaya satu Suruhanjaya Parlimen ditubuhkan.
"Saya meminta suruhanjaya ini yang keahliannya termasuk wakil-
wakil bukan Ahli Parlimen yang dihormati dalam bidang mereka
masing-masing, untuk antara lain, 'mengenal pasti punca rusuhan
Mei 13' dan 'membuat cadangan bagaimana untuk mencegah
berulangnya rusuhan kaum Mei 13' di masa depan, dan
menghentikan masalah polarisasi kaum di Malaysia'," kata Lim.
2.0 Angka korban
Angka rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143
ditahan. 211 kenderaan musnah.
Statistik tidak rasmi jumlah kematian:
• Melayu : 86 orang
• Cina : 342 orang
• Lain-lain : 3 orang
Statistik tersebut tidak begitu tepat kerana daripada kacamata orang
ramai yang menjadi saksi, mereka melihat berderet-deret lori
membawa mayat yang tidak sempurna ke balai polis Jalan Travers
waktu itu
3.0 Lokasi Tunku Abdul Rahman semasa peristiwa
13 Mei
Ketika itu (13 Mei 1969), Tunku Abdul Rahman baru pulang dari Alor
Star meraikan kemenangan beliau di sana.
6.45 petang Encik Mansor selaku Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur
memaklumkan kejadian pembunuhan kepada Tunku Abdul
Rahman. Darurat diisytiharkan pada jam 7.00 malam 13 Mei 1969.
4.0 Mageran (Majlis Gerakan Negara)
Negara diisytiharkan darurat pada malam 16 Mei 1969. Dengan
pengistiharan ini, Perlembagaan Persekutuan telah digantung.
Negara diperintah secara terus oleh Yang DiPertuan Agong dibawah
undang-undang tentera. Dalam pada itu, Majlis Gerakan Negara
(Mageran) telah dibentuk. Tunku Abdul Rahman telah menarik diri
dari mengetuai majlis tersebut. Tempat beliau telah digantikan oleh
Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak. Berikutan itu, Parlimen
juga digantung.
Sepanjang tempoh darurat, Mageran telah melakukan pelbagai
tindakan untuk mencari punca dan penyelesaian agar tragedi
tersebut tidak berulang. Antara tindakan yang diambil ialah
membentuk satu Rukun Negara bagi meningkatkan kefahaman
rakyat tentang perlembagaan negara. Turut dilakukan ialah
melancarkan Dasar Ekonomi Baru untuk menghapuskan pengenalan
kaum dengan satu aktiviti ekonomi dan membasmi kemiskinan tegar
dan membentuk Barisan Nasional yang bersifat sebagai sebuah
kerajaan perpaduan.
RUJUKAN
• Google : https://www.rmp.gov.my/infor-korporate/polis-
diraja-malaysia/sejarah/peristiwa-13-mei
• Google
:https://www.sinarharian.com.my/article/27800/BERITA/Nasi
onal/Peristiwa-13-Mei-Pengajaran-perlunya-masyarakat-
bersatu-padu