The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by 1059-9-evva, 2023-03-07 11:04:36

BMMB1104-KKM

Puisi tradisional

Kesusasteraan & kebudayaan Melayu EVVA AINNATASYA BINTI FAUZI 2022192310130 KOD KURSUS: BMMB1104 PENSYARAH AKADEMIK : DR. WAN NORLIDZA BINTI MOHD ZAIN [ PENGHASILAN PRODUK]


Bil. Perkara 1. Pengenalan 2. Konsep Fungsi Contoh pantun Akal budi pantun Pantun 3. Konsep Fungsi Contoh syair Akal budi syair Syair 4. Konsep Fungsi Contoh gurindam Akal budi gurindam Gurindam 5. Rumusan ISI KANDUNGAN


Pengenalan Kesusasteraan Melayu merupakan tradisi turun-temurun yang telah diperkenalkan oleh masyarakat dahulu melalui lisan tanpa diketahui pengarang asalnya. Penciptaan sistem tulisan Jawi telah memudahkan kerja merekodkan puisi dan cerita Melayu tradisional untuk tatapan generasi baharu. Kerja merekod ini juga hasil usaha penulis pada zaman penjajahan British dalam usaha untuk mengumpul semula sastera Melayu yang telah hilang (Siti Zaleha, 2016). Puisi tradisional merupakan salah satu seni tulisan warisan negara kita. Antara puisi tradisional yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu adalah seperti pantun, syair dan gurindam.


Pantun pada asalnya mempunyai empat baris ayat yang mempunyai salah satu rima akhir sama ada a-b-a-b atau a-a-a-a dalam satu rangkap. Dalam satu bentuk pantun, terdapat dua bahagian yang wajib dilengkapi, iaitu pembayang atau sampiran dan maksud. Pembayang yang dimaksudkan adalah dua baris pertama dalam serangkap pantun. Kebiasaannya, pembayang dikaitkan dengan unsur-unsur alam yang menunjukkan budaya masyarakat Melayu. Antara fungsi pembayang adalah sebagai pelengkap rima untuk memudahkan pendengar memahami isi pantun. Dua baris terakhir dalam satu rangkap pantun merupakan isi yang menunjukkan maksud utama pantun. Dalam setiap pantun, setiap baris mengandungi 4 hingga 5 suku kata atau 8 hingga 12 suku kata bagi setiap rangkap. Pantun merupakan sejenis puisi tradisional yang telah lama wujud dalam kehidupan masyarakat Melayu. Pantun dicipta sebagai salah satu bentuk pengucapan bagi menyampaikan perasaan serta fikiran seseorang mengenai sesuatu perkara disamping menyindir, berjenaka dan menyampaikan nasihat. Menurut Za’ba, pantun merupakan kaedah rangkapan yang berasal daripada masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu terdahulu sering berbalas-balas pantun semasa berkomunikasi antara satu sama lain. Melahirkan rasa penghargaan dan ucapan terima kasih Digunakan sebagai alat untuk berkomunikasi dengan masyarakat. Alat hiburan Menggambarkan pemikiran masyarakat Melayu Pantun digunakan untuk menzahirkan rasa penghargaan terhadap orang lain serta sebagai tanda terima kasih untuk membalas budi. Masyarakat Melayu menggunakan pantun sebagai medium untuk meluahkan isi hati atau hajat, seperti sanjungan dan ucapan selamat dalam sesuatu majlis atau upacara. Masyarakat Melayu menggunakan pantun yang berunsur gurauan untuk berjenaka dengan orang lain. Pantun digunakan untuk mendapatkan gambaran hidup masyarakat Melayu serta gaya pemikiran masyarakat Melayu.


Pantun pendidikan Pokok semalu di tepi paya, Tumbuh melata elok sejajar, Kalau mahu diri berjaya, Mestilah suka hendak belajar. Harum sungguh bunga kemboja, Dipetik gadis letak di telinga, Orang berilmu selalu dipuja, Budi di sanjung tidak terhingga. Terbang tinggi si burung nuri, Hinggap di dahan membuat serat, Tidak rugi ilmu dicari, Sebagai bekalan dunia akhirat. Pemuda memancing di tepi sawah, Terjumpa pula si anak dara, Apa guna segulung ijazah, Jika tidak dimanfaatkannya. Dalam semak ada belukar, Terjumpa dengan seekor ular, Jika tuan rajin belajar, Pasti mendapat ilmu yang wajar.


Akal budi pantun Ketinggian akal budi pantun yang dicipta ini jelas mendidik masyarakat supaya menjadi insan yang berpendidikan serta rajin menuntut ilmu. Ilmu tidak akan datang dengan sendirinya tanpa seseorang itu sendiri yang mencarinya. Sebagai contoh, berdasarkan rangkap pertama pantun ini pengarang menjelaskan bahawa usaha yang gigih dalam menuntut ilmu adalah amat penting bagi seseorang itu untuk mencapai suatu kejayaan. Dalam usaha menuntut ilmu, tidak rugi bagi seseorang itu apabila ilmu yang diperolehnya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Ilmu yang dipelajari bukan sekadar untuk lulus dalam peperiksaan atau mendapat segulung ijazah namun menjadi bekalan di akhirat kelak. Selain itu, orang yang berilmu juga akan disegani oleh masyarakat. Budaya masyarakat Melayu sememangnya menghormati golongan ilmuwan oleh kerana pengetahuan serta kearifan yang dimiliki oleh mereka.


Dalam satu rangkap syair, terdapat empat baris rangkap yang mempunyai rima akhir yang sama iaitu 'a','a','a','a'. Keempat-empat baris dalam satu rangkap syair mempunyai maksud tersirat yang tersendiri yang ingin disampikan oleh penyair. Setiap rangkap syair memerlukan rangkap syair yang lain untuk menghasilkan syair yang lengkap. Penyampaian syair boleh disampaikan dalam pelbagai jenis irama. Antara irama yang sering didendangkan adalah seperti irama SIti Zubaidah, Selendang Delima dan Tok Kenali. Syair merupakan satu bentuk puisi terikat yang tidak mempunyai pembayang. Setiap rangkap syair mempunyai empat baris tetap di mana setiap baris mengandungi 4 hingga 5 patah perkataan. Bilangan suku kata dalam setiap baris juga tetap, iaitu antara 8 hingga 12 suku kata. Terdapat beberapa jenis syair yang sering disampaikan oleh penyair seperti syair nasihat, kiasan, ilmu, romantis, sejarah, alam sekitar, patriotik dan cerita. Syair merupakan satu bentuk puisi tradisional yang berasal daripada puisi Arab, iaitu sy'ir namun bentuk syair Melayu mempunyai perbezaan yang ketara dengan bentuk syair dalam kesusasteraan Arab (Menurut Mohd. Yusuf Md. Nor , 1985). Menurut Harun Mat Piah (1986), syair Melayu tidak berasaskan syair daripada tradisi Arab atau puisi Arab-Parsi malah dicipta berdasarkan bentuk dan acuan asli masyarakat Melayu. Pada abad ke-16, syair telah diperkenalkan oleh Hamzah Fansuri untuk mengajarkan agama Islam. Dalam masyarakat Melayu, syair sering didendangkan dalam majlis-majlis tertentu seperti majlis keramaian sebagai salah satu bentuk hiburan. Syair juga sering dipertandingkan dalam masyarakat Melayu sebagai salah satu langkah untuk memartabatkan budaya dan bahasa Melayu. Penyampai syair juga menyampaikan syair sebagai salah satu cara untuk memberi pengajaran kepada masyarakat Syair sering dilagukan untuk mengiringi tarian tertentu seperti boria dan dabus.


Syair pengalaman hidup (Anak perantau) Dengarkan tuan, sebuah kisah, Pemuda dari desa hidup terpisah, Tinggalkan keluarga walaupun resah, Meniti jalan hidup yang susah. Hidupnya penuh onak berduri, Tetap berani gagahkan diri, Walaupun sakit tidak berperi, Teguh melangkah mencari rezeki. Pelbagai rintangan telah dirasa, Namun semangat tetap perkasa, Melangkah jauh dari keluarga, Untuk mencapai impian dan cita, Terkadang rindu menyapa di hati, Yang jauh di mata dekat di sanubari, Namun terpaksa keraskan hati, Tanamkan tekad di dalam diri. Dalam berjuang perlu bersungguh, Onak dan liku perlu ditempuh, Adat resam tetap dipatuh, Membentuk jati diri yang teguh.


Akal budi syair Dalam aspek akal budi, syair Anak Perantau ini dicipta berkisarkan tentang perjalanan hidup seorang anak dari desa yang terpaksa berjauhan dengan ahli keluarganya demi mencari rezeki untuk mengubah nasib keluarganya agar menjadi lebih baik. Meskipun hidupnya penuh dengan rintangan dan kesulitan, pemuda tersebut tetap teguh berjuang demi mencapai kejayaan yang diimpikan olehnya. Walaupun kadang kala perasaan rindu terhadap ahli keluarganya datang mendampinginya kerana terpaksa tinggal berjauhan namun penyair tetap berusaha keras di samping menanamkan semangat yang kuat dalam dirinya agar terus berjuang dalam kerjayanya. Penyair yakin dan percaya bahawa segala usaha kerasnya selama ini akan membuahkan hasil yang lumayan pada suatu hari kelak. Selain itu, syair ini dicipta bertujuan untuk mengajar masyarakat agar sentiasa tabah dalam mengharungi cabaran hidup walaupun halangan yang dihadapi perit untuk dilalui seorang diri. Melalui syair ini juga, penyair menyatakan bahawa walau di mana sahaja kita berada, adat resam Melayu perlu sentiasa diingati supaya tidak menjadi manusia yang hilang jati diri. Hakikatnya, dalam kehidupan kita sudah semestinya akan dipenuhi dengan perkara suka atau duka serta halangan yang mencabar terutamanya untuk mencapai suatu kejayaan. Oleh hal yang demikian, kita seharusnya sentiasa bersiap sedia dengan segala dugaan yang bakal ditempuhi dengan tidak mengharapkan bantuan daripada orang lain.


Secara umumnya, gurindam merupakan sejenis bentuk puisi terikat yang terdiri daripada dua baris dalam satu rangkap. Setiap baris dalam satu rangkap gurindam mengandungi tiga hingga enam patah perkataan dengan rima akhir yang sama, iaitu 'a','a'. Setiap baris isi dalam gurindam mengandungi maksud dan fikiran yang bernas yang disampaikan dengan cara nyanyian dalam bahasa yang riang dan indah bagi tujuan hiburan. Gurindam merupakan satu bentuk puisi tradisional yang telah dipelopori oleh Raja Ali Haji melalui "Gurindam Dua Belas" yang dikarang olehnya sendiri pada tahun 1846. Menurut tokoh bahasa terkenal iaitu Za'ba, gurindam adalah sejenis syair melarat yang mempunyai bilangan rangkap atau sukatan yang tetap. Menurut Kamus Dewan (1984) pula, gurindam ialah sebuah puisi yang mengandungi dua baris dalam satu rangkap dengan pelbagai jenis pengajaran. Gurindam merupakan satu bentuk puisi tradisional yang disampaikan kepada masyarakat bertujuan untuk mendidik atau menghibur. Selain itu, gurindam juga berfungsi sebagai salah satu medium yang digunakan untuk menggambarkan gaya hidup masyarakat Melayu dalam menjalani kehidupan mereka. Di samping itu, masyarakat Melayu juga menggunakan gurindam sebagai salah satu cara berkomunikasi antara satu sama lain terutamanya dalam majlis-majlis formal.


Gurindam Ilmu Jika ilmu tersemat di dada Sekuat mana iman digoyah tidak ternoda Walaupun sedikit ilmu dicari Jangan disimpan untuk diri sendiri Menuntut ilmu tiada penghujung Orang berilmu sentiasa disanjung Apabila belajar sentiasa taat Nescaya ilmu mendapat berkat Jangan malas menuntut ilmu Di situ letaknya kejayaan untukmu


Akal budi gurindam Akal budi dalam gurindam ini menjelaskan kepada pembaca bahawa ilmu pengetahuan amat penting bagi seseorang individu. Pengarang menyatakan bahawa seseorang yang sentiasa menyematkan ilmu dalam dirinya akan mempunyai keimanan yang teguh walaupun menghadapi pelbagai rintangan atau ujian dalam kehidupannya. Namun, ilmu pengetahuan sahaja tidak cukup untuk menjamin keimanan seseorang malah dia juga perlu berusaha untuk mempraktikkan nilai-nilai keagamaan dalam diri dengan memperkuat hubungan dengan Tuhan melalui ibadah dan amalan-amalan yang mulia. Selain itu, gurindam ini juga memperlihatkan bahawa pentingnya seseorang yang berilmu untuk berkongsi ilmu pengetahuan yang dimiliki dengan orang lain. Ilmu yang dimiliki bukan sahaja berperanan untuk memperkuat iman seseorang namun ilmu juga dapat membantu seseorang untuk mencapai kejayaan di samping memberi manfaat kepada orang lain di sekitarnya. Menuntut ilmu dikatakan sebagai suatu proses yang tidak pernah menemui penghujungnya. Hal ini demikian bermakna seseorang itu perlulah berusaha untuk terus belajar bagi meningkatkan pengetahuannya dalam suatu bidang kerana proses pembelajaran tidak akan pernah berhenti sepanjang hayat. Secara umumnya, seseorang yang memiliki ilmu pengetahuan yang luas dan mendalam sering disegani dan dihormati oleh masyarakat. Namun, ilmu hanya berguna jika digunakan dengan cara yang benar. Oleh itu, penting bagi seseorang untuk mempraktikkan ilmu yang dimiliki serta menggunakan ilmu tersebut untuk membantu orang lain demi mencapai tujuan yang baik.


Rumusan Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa puisi tradisional mempunyai pelbagai fungsi serta kepentingannya yang tersendiri. Puisi tradisional seharusnya dikekalkan warisan serta keasliannya agar dapat menjaga identiti negara bangsa. Sebagai generasi muda, kita seharusnya menghayati seni warisan sastera Melayu agar tidak luput ditelan zaman. Walaubagaimanapun, semua pihak haruslah berganding bahu dalam mengekalkan warisan seni budaya kita agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.


Click to View FlipBook Version