The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

MODUL BMKV SEMESTER 3 NASKHAH PELAJAR - UPDATE 19 JUN 2021

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Arif Imran, 2022-06-19 07:14:32

MODUL BMKV SEMESTER 3 NASKHAH PELAJAR - UPDATE 19 JUN 2021

MODUL BMKV SEMESTER 3 NASKHAH PELAJAR - UPDATE 19 JUN 2021

1

Kata Alu-aluan

BAHAGIAN PENDIDIKAN DAN LATIHAN TEKNIKAL VOKASIONAL

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Syukur Alhamdulillah kerana dengan izin dan rahmat-Nya, Modul Bahasa

Melayu Semester 3 SVM untuk tenaga pengajar dan murid ini dapat disiapkan dengan jayanya.
Modul ini dihasilkan berdasarkan Kurikulum Standard Kolej Vokasional (KSKV) Bahasa
Melayu. Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional ingin merakamkan setinggi-
tinggi ucapan terima kasih dan syabas kepada Jurulatih Utama Kebangsaan (JUK BMKV)
selaku penggubal modul kerana telah menyumbang idea dan buah fikiran serta berjaya
menyusun dan menyempurnakan modul ini yang diharap mampu membantu tenaga pengajar
dan murid-murid, khususnya dalam menjalani proses PdPR terutama semasa Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) ini.

Salah satu wahana dalam proses Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) yang berkesan
ialah modul pengajaran dan pembelajaran. Modul yang baik ialah modul yang menarik, mudah
difahami, dan tidak membosankan serta memberi makna. Modul Semester ini merangkumi
rumusan dan karangan berdasarkan tema-tema yang terkandung dalam KSKV Semester 3.

Insya-Allah, pihak penggubal modul berhasrat untuk menerbitkan Modul Bahasa
Melayu mengikut semester yang merangkumi Sistem dan Aplikasi Bahasa serta Pemahaman
di samping Rumusan dan Karangan. Semoga dengan terbitnya Modul Bahasa Melayu SVM
Semester 3 ini diharapkan dapat membantu guru-guru dan meningkatkan pencapaian akademik
murid-murid di Kolej Vokasional, khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Sekian, terima kasih.

2

PANDUAN UMUM MENJAWAB
SOALAN KARANGAN
1. Karangan mestilah menepati tema dan arahan soalan.
2. Idea atau isi hendaklah relevan, dihuraikan dengan jelas dan matang.
3. Karangan mestilah mengandungi bahagian pendahuluan, isi dan penutup. Pemerengganan
pula harus seimbang.
4. Karangan mestilah menggunakan bahasa yang gramatis, kosa kata yang luas dan tepat.
5. Unsur bahasa yang digunakan mestilah bervariasi dan menggunakan ungkapan yang
menarik seperti peribahasa, cogan kata, frasa menarik, petikan ucapan, dan kata-kata
hikmat.
6. Keseluruhan karangan mestilah memperlihatkan kematangan pelajar.
7. Karangan mestilah ditulis dengan tulisan yang kemas, bersih dan jelas.
8. Kepanjangan karangan mesti mematuhi jumlah patah perkataan yang ditetapkan.
9. Terdapat DUA bahagian soalan yang akan diuji dalam Penilaian Akhir (PA).
a. Semester 1 dan Semester 2 - Respons Terhad (Bahagian A)
b. Semester 3 - Respons Terbuka (Bahagian B)
c. Semester 4 - Bahagian A (Respons Terhad) dan Bahagian B (Respons Terbuka)

3

PANDUAN MENULIS KARANGAN
RESPONS TERBUKA
1. Karangan respons terbuka mencakupi semua standard kandungan dan standard
pembelajaran yang terdapat dalam Kurikulum Standard Kolej Vokasional (KSKV) Bahasa
Melayu KSSM.
2. Setiap soalan diberikan pernyataan dan arahan soalan berdasarkan domain-domain
pembelajaran tertentu, seperti domain awam, domain peribadi, domain kerjaya dan domain
pendidikan.
3. Teliti semua soalan sebelum memilih satu daripada empat soalan yang disediakan.
4. Baca arahan soalan dengan teliti dan fahami kehendak soalan.
5. Sediakan rangka karangan yang meliputi pendahuluan, isi-isi dan penutup.
6. Pastikan anda menulis karangan lengkap dengan kepanjangan yang ditetapkan
berdasarkan arahan soalan.
7. Setelah selesai menulis karangan, anda hendaklah membuat semakan tentang aspek
bahasa, terutama ayat, ejaan, imbuhan, dan tanda baca.
8. Karangan Semester 3 meliputi karangan jenis pendapat, rencana, ulasan dan peribahasa.

4

LATIHAN 1

Karangan Respons Terbuka
Tema : Perpaduan

Tulis sebuah karangan yang panjangnya antara 300 sehingga 400 patah perkataan.
Domain Awam

KUALA LUMPUR: Tugas penting bagi rakyat Malaysia kini tanpa mengira perbezaan
bangsa, agama dan fahaman politik adalah untuk memastikan keharmonian kaum dan
agama kekal utuh. Setiap orang perlu mempunyai peranan masing-masing untuk
menyatukan Malaysia berdasarkan nilai murni yang diajar oleh semua agama, dan
bukannya mengamalkan atau mengeksploitasi sentimen etnik. Pemimpin masyarakat
dan semua rakyat Malaysia mesti mengamalkan prinsip kesederhanaan yang menjadi
kunci kepada pembangunan negara.

Sumber : Berita Harian Online, September 2019
Petikan di atas menjelaskan betapa pentingnya peranan semua pihak dalam usaha mengekalkan
keharmonian negara.
Ulaskan pernyataan tersebut.

5

LATIHAN 2
Karangan Respons Terbuka

Tema : Jati Diri, Patriotisme dan Kewarganegaraan
Tulis sebuah karangan yang panjangnya antara 300 sehingga 400 patah perkataan.
Domain Peribadi

Kesetiaan, kecintaan dan bersyukur dengan apa-apa yang dinikmati merupakan
manifestasi kepada kecintaan kita kepada negara. Walau bagaimanapun, semangat dan
perasaan ini perlu ditingkatkan agar negara ini terus maju dan makmur. Usaha
meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat tidak hanya
disemarakkan pada bulan kemerdekaan, tetapi dengan cara lain juga yang sesuai dengan
situasi semasa.

Sumber : Berita Harian Online, 30 Ogos 2019

Petikan akhbar di atas memberikan gambaran tentang sikap mereka yang cinta akan negara dan
usaha yang perlu dilakukan untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam setiap jiwa
rakyat.
Huraikan usaha-usaha untuk meningkatkan semangat tersebut.

6

LATIHAN 3
Karangan Respons Terbuka

Tema :Jati Diri, Patriotisme dan Kewarganegaraan
Tulis sebuah karangan yang panjangnya antara 300 hingga 400 patah perkataan.
Domain Kerjaya

Amira berminat untuk memilih kerjaya yang ditawarkan dalam sektor swasta. Dia amat
meminati sektor perhotelan. Namun begitu, ibunya pula menginginkan Amira untuk
bekerja dalam sektor awam. Ibu Amira berharap agar dia mengikut jejak bapanya
menjadi seorang pendidik. Menurut ibu, bekerja dalam sektor awam lebih menjamin
masa hadapan. Amira dalam dilema antara minat atau kehendak ibunya. Setelah
membuat pertimbangan, Amira akhirnya memilih kerjaya dalam sektor awam.

Sumber: Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 5 KSSM

Memilih kerjaya yang tepat sangat penting kerana pemilihan tersebut akan mempengaruhi
corak kehidupan seseorang. Situasi di atas menggambarkan pemilihan kerjaya dalam sektor
awam oleh seorang remaja.
Huraikan kelebihan-kelebihan bekerja di sektor awam.

7

LATIHAN 4
Karangan Respons Terbuka

Tema : Alam Sekitar dan Teknologi Hijau
Tulis sebuah karangan yang panjangnya antara 300 sehingga 400 patah perkataan.
Domain Awam

Sejumlah 54 peratus permukaan bumi Malaysia diliputi hutan. Hutan hujan di Malaysia
merupakan antara hutan hujan tertua di dunia dengan usianya mencapai jutaan tahun dan
mengandungi sekurang-kurangnya 8,000 spesies flora dan 400 spesies fauna. Oleh hal
yang demikian, Malaysia bertuah kerana dianugerahkan khazanah hutan yang tidak
ternilai serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sosio ekonomi negara.

Sumber: Berita Harian, 22 Jun 2020
Petikan akhbar di atas menerangkan keistimewaan Malaysia yang memiliki kawasan hutan
yang luas dan unik.
Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk mengekalkan
khazanah ini.

8

LATIHAN 5
Karangan Respons Terbuka

Tema : Pertanian, Penternakan dan Perikanan
Tulis sebuah karangan yang panjangnya antara 300 hingga 400 patah perkataan.
Domain – Peribadi / Kerjaya

Usaha gigih seorang lelaki, Mohamad Salleh Angullia bin Isa dari Marang, Terengganu
melakukan kajian selama lima tahun membuahkan hasil apabila berjaya menanam lebih
30 pokok anggur daripada 14 jenis anggur sejak tahun 2015. Pokok-pokok itu berjaya
ditanamnya tanpa belajar secara formal. Salleh hanya belajar dengan membaca buku dan
menonton video dalam Internet. Walaupun pernah gagal, Salleh tidak pernah berputus
asa dan mencari jalan untuk mengatasi kesilapannya.

Sumber: Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 5 KSSM
Petikan berita di atas menggambarkan usaha gigih yang dilakukan oleh seorang pemuda untuk
mencapai impiannya. Hal ini bertepatan dengan peribahasa ‘jika tidak dipecahkan ruyung,
manakan dapat sagunya’ yang perlu kita junjung sebagai satu pedoman hidup.
Tulis karangan berdasarkan peribahasa tersebut untuk menggambarkan kepentingannya kepada
seseorang.

9

LATIHAN 6
Karangan Respons Terbuka

Tema : Ekonomi, Keusahawanan dan Pengurusan Kewangan
Tulis sebuah karangan yang panjangnya antara 300 hingga 400 patah perkataan.
Domain Pendidikan
Hampir 40 peratus generasi milenium berbelanja melebihi kemampuan. Perangkaan Bank
Negara menunjukkan 47 peratus belia Malaysia mempunyai hutang kad kredit yang tinggi.
Oleh itu, usaha memperkukuh budaya menabung sangat penting. Amalan menabung
mengurangkan sikap boros kepada remaja. Meskipun keperluan ini sering ditekankan sejak
kecil lagi, namun tidak ramai yang memberi perhatian sewajarnya.

Sumber: Berita Harian Online, 11 April 2021
Petikan di atas berkaitan dengan masalah kewangan. Sehubungan dengan itu, anda diminta
menulis rencana yang bertajuk ‘Kebaikan Menabung dalam Kalangan Remaja’.
Tulis rencana tersebut selengkapnya.

10

PANDUAN UMUM
MENJAWAB SOALAN RUMUSAN

1. Baca arahan soalan serta teliti semua bahan yang disediakan.
2. Tema atau isu serta kata kunci tidak dinyatakan dalam soalan. Oleh itu, baca dan teliti

semua bahan yang disediakan bagi mengenal pasti tema dan fokus perbincangan.
3. Fokus dan isi rumusan perlu menyentuh semua bahan yang disediakan.
4. Bahan yang disediakan boleh terdiri daripada bahan petikan dan bahan grafik. Contohnya,

dua petikan, satu petikan dengan satu bahan grafik atau satu petikan dengan lebih daripada
satu bahan grafik.
5. Fokus perbincangan mungkin berkaitan dengan ciri-ciri, punca, kesan, peranan, cara
mengatasi, atau halangan mengatasi isu tersebut.
6. Biasanya terdapat dua fokus pada Bahan 1- Petikan, manakala satu fokus lain pada Bahan
2. Berkemungkinan, terdapat juga bahan yang berbeza tetapi menyentuh fokus yang sama.
7. Pendahuluan rumusan boleh mengandungi dua atau lebih fokus berkaitan isu yang
dibincangkan.
• Fokus 1 - aspek perbincangan yang pertama
• Fokus 2 - aspek perbincangan yang kedua
• Fokus 3 – aspek perbincangan yang ketiga
• Mulakan menulis rumusan dengan frasa – Bahan / Rumusan membincangkan ... fokus

1 + fokus 2 + ... isu/tema perbincangan ( Dua Fokus )
• Mulakan menulis rumusan dengan frasa – Bahan / Rumusan membincangkan ... fokus

1 + fokus 2 + focus 3 + ... isu/tema perbincangan ( Tiga Fokus )
9. Dua atau tiga isi boleh digabungkan dalam satu ayat untuk menjimatkan perkataan. Jumlah

isi bagi gabungan semua bahan dan fokus ialah lapan isi.
10. Ayat isi yang lengkap mestilah terdiri daripada subjek dan predikat. Huraian dan contoh

tidak perlu diambil. Jawapan rumusan mestilah tidak melebihi 120 patah perkataan.
11. Kesimpulan rumusan perlu mengandungi dua elemen, iaitu:

• Bahagian 1 - cadangan (contoh : haruslah, hendaklah, perlulah)
• Bahagian 2 - harapan/kesan daripada cadangan (contoh : supaya, agar)
• Mesti masukkan TEMA / ISU yang dibincangkan.
• Kesimpulan ditulis dalam satu ayat.
12. Jumlah markah rumusan ialah 30 markah. Markah isi (20 markah) dan markah bahasa
(10 markah)
13. Markah bahasa dinilai secara holistik.
(Cemerlang 8-10, Baik 5-7, Sederhana 3-4, Lemah 1-2)

11

LATIHAN 1

Rumusan
Tema – Kesihatan dan Kebersihan

Baca petikan dan teliti bahan grafik yang disertakan di bawah. Kemudian buat satu rumusan
yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat
anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan dan bahan.

Bahan 1 – Petikan

Kes keracunan makanan terutamanya di sekolah semakin kerap disiarkan oleh media
sejak akhir-akhir ini. Isu ini bukan suatu perkara yang baharu tetapi telah lama dibincangkan
oleh pihak-pihak yang terlibat. Kes keracunan makanan yang sering berlaku di kebanyakan
sekolah pada hari ini disebabkan oleh pelbagai punca. Antaranya ialah tempat penyediaan
makanan yang tidak bersih seperti tempat memasak yang kotor disebakan udara yang
tercemar.

Selain itu, minuman dalam tin atau kotak yang mudah basi juga menjadi penyebab
berlakunya permasalahan ini jika minuman ini dibiarkan terdedah tanpa disimpan di tempat
yang sewajarnya. Di samping itu, keadaan persekitaran kantin yang kotor menjadi punca
kepada keracunan makanan seperti lantai kantin tidak pernah dibasuh dan terlalu kotor,
terutamanya di bahagian tempat memasak. Tambahan pula, makanan yang tidak dimasak
dengan sempurna akan menyebabkan berlakunya pembiakan mikroorganisma berbahaya
terutamanya dalam bahan makanan yang berprotein tinggi seperti daging, ayam, makanan
laut, telur dan hasil tenusu. Sehubungan dengan itu, bagi mengelakkan keracunan, makanan
dari peti sejuk mestilah dinyahbekukan dengan sempurna dan dimasak secukupnya untuk
memastikan bakteria berbahaya terhapus.

Keracunan makanan di sekolah amat berbahaya dan boleh membawa maut kepada
murid-murid. Oleh itu, pelbagai usaha perlu diambil untuk menangani masalah ini.
Pengusaha-pengusaha kantin perlu mematuhi syarat-syarat penyediaan makanan yang telah
ditetapkan dan memastikan makanan disimpan dalam keadaan yang bersih. Selain itu, pihak
kantin perlu sentiasa membersihkan kawasan kantin, terutamanya di bahagian tempat
memasak. Isu keracunan makanan dapat diatasi jika semua pihak memainkan peranan
masing-masing kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.

Dipetik dan diubah suai daripada
‘Keracunan Makanan’

Dewan Siswa, Oktober 2015

12

Bahan 2 – Grafik

13

LATIHAN 2

Rumusan
Tema – Kebudayaan, Kesenian dan Estetika

Baca petikan dan teliti bahan grafik yang disertakan di bawah. Kemudian buat satu rumusan
yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat
anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan dan bahan.

Bahan 1 – Petikan

Malaysia kaya dengan kepelbagaian budaya dan kesenian masyarakat. Oleh itu, kraf
tangan yang dihasilkan di negara ini amat sinonim dengan identiti masyarakat yang berbilang
kaum dan budaya tersebut. Masyarakat Melayu sangat sinonim dengan seni ukiran kayu dan
tenunan. Masyarakat Cina popular dengan seni tembikar dan kaligrafi. Kolam pula sering
disebut-sebut sebagai seni masyarakat India dan kelompok peribumi pula sangat berkait
rapat dengan seni anyaman.

Usaha mengembangkan produk kraf menghadapi pelbagai halangan. Halangan
utama yang mengganggu perkembangan produk kraf di kawasan bandar ialah lambakan
produk berasaskan bahan kimia dan sintetik seperti plastik di pasaran. Penggunaan teknologi
moden ini mampu menghasilkan produk sintetik yang banyak dengan harga yang murah. Hal
ini berbeza dengan produk kraf yang terpaksa menawarkan harga yang agak tinggi sedikit
kerana menggunakan bahan semula jadi. Keadaan ini menjadi lebih mencabar apabila pada
masa ini sangat sukar untuk mencari bahan utama pembuatan produk kraf kerana
pembangunan yang pesat dan tidak terancang telah menjejaskan habitat semula jadi flora dan
fauna.

Produk kraf tempatan perlu menembusi pasaran global agar lebih dikenali. Namun
begitu, produk kraf tempatan menghadapi cabaran apabila terpaksa bersaing di pasaran
antarabangsa dan perlu mempunyai keunikan tersendiri. Oleh itu, produk kraf tempatan perlu
memenuhi cita rasa penggunanya. Di samping itu, ketiadaan pewaris dalam kalangan
generasi muda juga menyukarkan perkembangan produk kraf. Bagi mengatasi halangan ini,
golongan muda perlu lebih meminati produk kraf dan memainkan peranan mempopularkan
produk ini. Kesimpulannya, halangan mengembangkan produk kraf perlu diatasi segera
kerana seni ini merupakan warisan turun-temurun, mempunyai nilai estetik yang amat tinggi
dan berdaya saing dari segi ekonomi.

Dipetik dan diubah suai daripada
‘Kekangan dalam Industri Kraf Negara’,

Dewan Budaya, Julai 2016

14

Bahan 2 – Grafik

Rabu, 9 Jun 2021, 8:30pm

RM150,000 insentif
penghasilan rekaan kraf
baharu

KUALA TERENGGANU: Kementerian
Pelancongan, Seni dan Budaya melalui
Kraftangan Malaysia memperuntukkan
sebanyak RM150,000 menerusi Insentif
Pembangunan Produk Baru bagi
penghasilan rekaan baharu untuk produk
kraf songket, kayu dan tembaga oleh
pengusaha tempatan.

15

LATIHAN 3

Rumusan
Tema – Sains, Teknologi dan Inovasi

Baca petikan dan teliti bahan grafik yang disertakan di bawah. Kemudian buat satu rumusan
yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat
anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan dan bahan.

Bahan 1 – Petikan

Pada era digital ini, perkembangan teknologi terutama media sosial memberikan
pelbagai implikasi terhadap pengguna khususnya Internet. Trend baharu masyarakat kita
dilihat begitu terikat dengan peranti digital untuk berinteraksi dan berkomunikasi di alam
siber tanpa mengendahkan dunia fizikal di sekelilingnya.

Amat membimbangkan apabila melihat sekelompok remaja atau sekumpulan dewasa
terdiri daripada rakan taulan, malah satu keluarga yang duduk bersama-sama, tetapi tidak
berkomunikasi antara satu sama lain. Mereka asyik menggunakan peranti digital masing-
masing. Situasi sebegini jelas menceritakan bahawa mereka lebih selesa untuk berkongsi dan
bertukar maklumat di alam siber daripada dunia realiti. Lebih membimbangkan, kanak-
kanak seawal usia dua hingga tiga tahun mula bermain peranti digital seperti tablet dan
telefon pintar, seolah-olah peralatan ini menjadi peneman atau pengasuh selain ibu bapa dan
penjaga.

Di Malaysia, Kajian Pengguna Internet 2018 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati, golongan remaja memperuntukkan secara purata
8 jam sehari berada dalam talian. Amalan bersosial seperti ini pastinya mengundang
kebimbangan apabila seseorang individu menghabiskan masa lebih dari empat jam
menggunakan Internet untuk sesuatu perkara yang tidak berfaedah.

Penggunaan Internet secara ekstrim boleh mengakibatkan pengguna Internet menjadi
ketagihan sehingga mengancam kesihatan fizikal dan mental. Pengguna Internet juga
terdedah ancaman siber seperti penipuan dalam talian, gangguan siber, kecurian identiti, buli
siber dan spam sehingga mengakibatkan kerugian dan kemudaratan. Menyedari wujudnya
ancaman dan jenayah siber semakin berleluasa, usaha perlu digembleng bagi meningkatkan
kesedaran mengenai penggunaan Internet secara positif dan beretika.

Dipetik dan diubah suai daripada
‘Kesejahteraan siber tanggungjawab bersama’,

Berita Harian Online, Disember 2019

16

Bahan 2 – Grafik

17

LATIHAN 4

Rumusan
Tema – Pertanian, Penternakan dan Perikanan

Baca petikan dan teliti bahan grafik yang disertakan di bawah. kemudian buat satu rumusan
yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat
anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan dan bahan.

Bahan 1 – Petikan

Bidang pertanian bukanlah suatu bidang yang baru diteroka memandangkan bidang
ini sudah sebati dengan penduduk di negara kita. Mendorong anak muda terbabit dalam
pertanian sangat penting kerana merupakan peluang keemasan untuk mengurangkan
pengganguran belia yang mencatatkan 58.2 peratus pada tahun lalu. Sebelum kita
mementingkan bidang perindustrian, pertanian merupakan salah satu sumber pendapatan
kebanyakan penduduk di negara ini terutamanya di luar bandar. Malangnya, anak-anak muda
sekarang tidak berminat untuk menceburi bidang pertanian ini dengan lebih serius.

Golongan muda disaran bergiat aktif dalam bidang pertanian kerana bidang ini dapat
menjamin sumber bekalan makanan yang mencukupi agar negara tidak terlalu bergantung
kepada negara lain. Menteri Pertanian dan Asas Tani menjelaskan bahawa, hasrat tersebut
dapat dicapai menerusi kreativiti penghasilan pelbagai sumber pertanian untuk dipasarkan
di dalam dan di luar negara. Dalam soal ini, kita dapat melihat betapa anak muda perlu
mengubah mentaliti mereka selama ini daripada konsep pertanian tradisional kepada
pertanian moden.

Selain itu, kementerian juga turut mewujudkan program AgroSiswa bagi lepas
graduan menceburkan diri dalam bidang pertanian dan yakin bahawa program ini dapat
menarik golongan muda untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian. Setakat ini hanya
30 peratus anak muda bergerak secara aktif dalam bidang pertanian terutamanya
membabitkan penternakan dan fertigasi. Di samping itu, bagi memastikan anak muda
berminat menjadi petani moden, kementerian akan mengenal pasti halangan yang
menjadikan mereka kurang berminat dalam bidang ini. Hal ini turut dikaitkan dengan
kurangnya keyakinan mereka kerana berlakunya turun naik harga komoditi pertanian di
pasaran.

Jika dilihat di luar negara seperti di Jepun, Korea dan juga Eropah, penduduk di sana
benar-benar menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan dan profesion. Oleh hal
demikian, tidak semestinya negara kita tidak boleh menjadikan bidang pertanian sebagai
profesion memandangkan pelbagai kemudahan dan kemajuan sudah digunakan dalam
bidang ini.

Dipetik dan diubah suai daripada
‘Orang Muda Perlu Sahut Cabaran Petani Moden’,

Berita Harian, Julai 2018

18

Bahan 2 – Grafik

19

1. ENCIK AHMAD AZAN BIN AB. LATIF - KV WAKAF TEMBESU (K)
2. PUAN MAZNAH BINTI CHE MAT - KV SUNGAI PETANI 2
3. PUAN HAJAH ROHANAH BINTI KAMARUDIN - KV DATUK SERI MOHD ZIN
4. ENCIK KAMARUL BAKRI BIN ABDULLAH - KV PASIR MAS
5. PUAN LATIFAH BINTI ABDUL MUTALIB - KV LEBUH CATOR
6. PUAN HINDON BINTI IBRAHIM - KV KERIAN
7. ENCIK ZULHISHAM BIN HASAN - KV MUADZAM SHAH
8. ENCIK MOHD SAAD BIN ADAM - KV KLUANG

20


Click to View FlipBook Version