ELMELDA LUMIE ANAK MATTHEW
PISMP BIBB JUN 2020
REFLEKSI PENGALAMAN BERASASKAN
SEKOLAH (PBS) BERDASARKAN
PENILAIAN KEBERKESANAN
PENGGUNAAN SUMBER PENGAJARAN
DAN PEMBELAJARAN SEJARAH DI
SEKOLAH RENDAH
REFLEKSI PENGALAMAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS) BERDASARKAN
PENILAIAN KEBERKESANAN PENGGUNAAN SUMBER PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN SEJARAH DI SEKOLAH RENDAH
Semasa menjalankan tugasan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di Sk Ulu
Sungai Naman, saya telah menggunakan kaedah pemerhatian dan temu bual
terhadap keberkesanan penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran (PdP)
Sejarah yang digunakan oleh guru Sejarah di sekolah tersebut. Berdasarkan
pemerhatian saya, guru Sejarah Sekolah itu menggunakan pelbagai strategi dan
pendekatan yang menarik untuk menyampaikan ilmu kepada muridnya. Antaranya,
beliau menggunakan bahan elektronik seperti tayangan video, menggunakan buku
teks sebagai rujukan utama dan menggunakan bahan maujud. Hal ini dapat
membantu guru tersebut menyampaikan ilmu dalam proses pengajaran dan
pembelajaran.
Penilaian pertama terhadap keberkesanan penggunaan sumber pengajaran
dan pembelajaran Sejarah dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran
kondusif di sekolah tersebut adalah penggunaan buku teks sebagai sumber
pengajaran dan pembelajaran Sejarah oleh guru Sejarah di sekolah tersebut.
Tanpa buku teks guru tersebut sukar hendak mengajar dan murid juga sukar
mengikuti kurikulum dengan lebih tersusun. Buku teks merupakan bahan rujukan
utama kepada murid dan guru untuk memahami kehendak kurikulum dan sukatan
pelajaran sesuatu mata pelajaran. Hal ini kerana, buku teks memainkan peranan
sebagai wadah yang membawa idea kandungan dan aktiviti cadangan bagi
sesuatu kurikulum (Abdul Rahim Abdul Rashid, 2000). Oleh itu, wajarlah jika guru
Sejarah tersebut menggunakan buku teks sebagai sumber PdP Sejarah untuk
menyajikan fakta dan maklumat yang menjadi butiran utama dalam peperiksaan.
Seterusnya, proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan bahan
elektronik seperti tayangan video merupakan salah satu pendekatan yang menarik
untuk beliau menyampaikan ilmu kepada murid. Sebagai contoh, guru Sejarah di
sekolah tersebut menghantar video pengajaran berkenaan dengan Unit 5 dalam
kumpulan kelas melalui aplikasi Whatsapp. Tayangan peristiwa yang sebenar
membolehkan murid-murid tahu sesuatu peristiwa-peristiwa tersebut dengan lebih
jelas. Murid juga dapat menginterpretasi maklumat daripada peristiwa Sejarah.
Menurut Noresah (2005), interpretasi merujuk kepada tafsiran yang membantu
murid meneroka bukti dan membentuk perasaan empati mereka terhadap sesuatu
peristiwa bersejarah.
1
Akhir sekali, penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran seperti bahan
maujud dapat meransang pemikiran murid. Guru Sejarah tersebut menyuruh murid
tahun 4 yang diajarnya membuat model artifak menggunakan plastisin semasa
belajar Unit 1 Sejarah dan Kita. Penggunaan sumber bahan maujud akan dapat
membantu mereka membuat persepsi berdasarkan apa yang telah dilihat secara
realiti dan bukan satu persepsi atas andaian sahaja.
Namun begitu, masih terdapat kelemahan penggunaan sumber pengajaran
dan pembelajaran Sejarah oleh oleh guru tersebut. Satu aspek yang
dipertimbangkan dalam penggunaan buku teks ialah kesukaran pelajar memahami
istilah di luar pengalaman mereka. Guru Sejarah tersebut harus membantu murid
merujuk buku teks secara berkesan khususnya di kalangan pelajar yang
berprestasi rendah. Penggunaan buku teks sebagai sumber PdP Sejarah
merupakan kaedah pengajaran objektivisme yang menekankan pengajaran
berpusatkan guru di mana pembelajaran hanya berlaku apabila guru
menyampaikan maklumat dan pelajar menerimanya secara terus untuk disimpan
di dalam memori (Abdul Razaq et al, 2007).
Selain itu, masalah yang dihadapi oleh guru Sejarah itu ketika menggunakan
video adalah sesetengah murid tidak dapat melihat video tersebut atas masalah
pencapaian internet. Mereka hanya dapat merujuk gambar yang terdapat pada
buku teks sahaja. Ini menyebabkan beliau sukar untuk menerangkan dengan lebih
teliti mengenai isi pembelajarannya.
Manakala penggunaan bahan maujud pula, terdapat pelajar yang tidak dapat
menyiapkan tugasan mereka kerana tidak mempunyai bahan untuk menyiapkan
tugasan tersebut. Tambahan pula kawasan rumah mereka jauh di pendalaman
menyebabkan mereka sukar untuk pergi ke pasar membeli barangan tersebut.
Maka, murid tersebut tidak dapat merasai dan melihat bagaimana menghasilkan
model artifak tersebut.
Kesimpulannya, guru Sejarah tersebut sewajarnya menggunakan pelbagai
sumber pengajaran dan pembelajaran Sejarah khususnya bahan bercetak, bahan
elektronik, dan Bahan Bantu Mengajar (BBM) dalam pengajaran dan pembelajaran.
Hal ini kerana penggunaan sumber-sumber tersebut dalam PdP Sejarah akan
meransang pemikiran pelajar yang lebih berkesan. Ini bertepatan dengan
pendapat Abdul Rahim Abdul Rashid (1999), penggunaan sumber pengajaran dan
pembelajaran amat perlu kerana bahan tersebut, pembelajaran murid akan lebih
bermakna berbanding proses pembelajaran yang berlangsung tanpa penggunaan
sumber.
2
Rujukan
Abdul Rahim Abdul Rashid. (2000). Model dan Pendekatan Pengajaran Sejarah
KBSM. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Rahim Abdul Rashid. (1999). Pendidikan Sejarah, Falsafah Teori dan
Amalan. Percetakan Cergas Publication Sdn. Bhd.
Abdul Razaq Ahmad, & Andi Suwirta. (2007). Sejarah dan Pendidikan Sejarah:
Perspektif Malaysia dan Indonesia. Historia Utama Press.
Noresah Baharom. (2005). Kamus Dewan. (4th ed). Dewan Bahasa dan Pustaka.
Lampiran
Gambar pusat sumber sekolah SK Ulu Sungai Naman
Gambar persekitaran sekolah SK Ulu Sungai Naman
Gambar ini merupakan papan alamat SK Ulu Sungai Naman
Gambar menunjukkan perbincangan dengan guru Sejarah SK Ulu Sungai Naman
Gambar menunjukkan hasil tugasan pelajar menggunakan plastisin iaitu model
tembikar
Gambar menunjukkan arahan aktiviti pembelajaran dan pengajaran Sejarah yang
dilakukan oleh murid menggunakan bahan maujud iaitu model tembikar
Gambar menunjukkan contoh aktiviti PdPr yang diberikan oleh guru kepada murid-
murid
Gambar menunjukkan buku skrap yang dibuat oleh murid. Jenis sumber pengajaran
dan pembelajaran ini dikenali sebagai bahan maujud jenis model
Gambar menunjukkan jenis sumber pengajaran dan pembelajaran Sejarah yang
menggunakan bahan elektronik.
Gambar menunjukkan jenis sumber pengajaran dan pembelajaran Sejarah bahan
cetak iaitu buku teks Sejarah
Gambar menunjukkan gambar bunga raya yang merupakan salah satu bahan
maujud yang dikenali sebagai bahan maujud jenis realia