PUASA RAMADHAN
Disediakan oleh: Ustazah Asyikin
Panitia Pendidikan Islam
SK Batu Kikir
72200 Batu Kikir
N.Sembilan
PUASA RAMADHAN
KANDUNGAN:
1. ERTI PUASA
2. SEJARAH PENSYARIATAN PUASA
3. KELEBIHAN BULAN RAMADHAN
4. NUZUL AL-QURAN
5. RUKUN PUASA
6. PERKARA YANG DISUNATKAN KETIKA BERPUASA
7. PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA
8. MEREKA YANG DIIZINKAN BERBUKA PUASA
PUASA RAMADHAN
PENDAHULUAN
Puasa merupakan Rukun Islam yang kedua. Sebagai umat Islam kita wajib
berpuasa di bulan Ramadhan
ERTI PUASA
Puasa (bahasa Arab: )صومsecara bahasanya boleh diertikan sebagai "menahan diri". Dari segi
istilah syarak, puasa bermaksud "menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang
membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sadik sehingga terbenam matahari berserta niat".
SEJARAH PENSYARIATAN PUASA
Puasa bulan Ramadan telah difardhukan pada bulan sya’ban tahun kedua hijrah. Sebelum ini,
ibadah puasa telah diamalkan di kalangan umat terdahulu dan ahli kitab yang sezaman dengan
Nabi Muhammad SAW. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:
“ Wahai Orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas
orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa”
Akan tetapi kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan belum disyariatkan lagi ketika itu. Persamaan
antara mereka dengan umat-umat terdahulu adalah dari segi pensyariatan puasa itu sahaja.
Kemudian umat Nabi Muhammad SAW secara khususnya telah difardhukan puasa pada bulan
Ramadan.
Dipetik dari kitab Al-fiqh Al-Manhaji Mazhab Al-Syafie
Kelebihan bulan Ramadan
Bulan Ramadan ialah bulan yang penuh dengan keberkatan. Umat Islam mempercayai pada bulan
Ramadan, ada satu malam yang lebih baik dariapada seribu bulan iaitu Lailatulqadar atau Malam
al-Qadar. Lailatulqadar atau Malam Qadar ialah satu malam dalam bulan Ramadan yang lebih baik
daripada 1,000 bulan. Dipercayai sesiapa yang beramal pada malam tersebut, sama seperti
beramal selama 1,000 bulan, iaitu bersamaan 83 tahun 4 bulan.
Rasulullah mengatakan sesiapa yang tidak mendapatnya, dia tergolong daripada orang yang
amat rugi. Lailatulqadar satu malam dalam bulan Ramadan yang tidak diketahui dengan tepat
tarikhnya. Lebih diharapkan untuk mendapatkannya pada 10 malam yang terakhir Ramadan,
terutama malam-malam yang ganjil daripada 10 hari terakhir Ramadan tersebut. Waktunya dikira
apabila masuk waktu maghrib sehingga terbit fajar. Pada malam al-Quran diturunkan, malam Qadar
berlaku pada 17 Ramadan, sementara menurut al-Mubarakfury al-Quran turun pada malam 21
Ramadan.
Orang yang pasti mendapat sebahagian lailatulqadar ialah orang yang solat fardu maghrib dan isyak
secara berjemaah sepanjang bulan Ramadan, dan dia tidur dengan azam yang kuat untuk solat
subuh berjemaah.
Sabda Rasulullah “Sesiapa yang solat isyak berjemaah, maka seolah-olah dia telah
berqiyamulail separuh malam; Dan sesiapa yang solat subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah
bersolat sepanjang malam.”
(Hadis Sahih Riwayat Imam Tarmizi, Ibnu Majah dan Nasai)
Sabda Rasulullah : "Allah berfirman; "Sesungguhnya dia (hamba) meninggalkan makan dan
minum serta syahwatnya kerana-Ku. Puasa (yang dikerjakan) kerana-Ku. Puasa adalah untuk-Ku.
Sedangkan, Aku memberi balasan setiap kebaikan itu dengan sepuluh kali ganda sehingga 700 kali
ganda kecuali ibadah puasa. Hal ini kerana, ia (puasa) adalah untuk-Ku, dan (sudah tentu) Aku
sendiri yang akan memberi balasannya."
(Hadis diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Al-Muwattha, Kitab al-Syiyam. No:603)
NUZUL AL-QURAN
Al-Quran diturunkan oleh Allah s.w.t pada 17 Ramadan yang disebut Malam Qadar. Diturunkan Al-Quran dari Luh
Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia sekali gus ( 30 juzuk ) dan secara beransur-ansur mengikut suasana dan
keperluan kepada Nabi s.a.w.
Firman Allah S.W.T:
" Sesungguhnya Kami(Allah) telah menurunkan Al-Quran pada Malam Qadar".
Malam Qadar dikurniakan Allah pada setiap datangnya Bulan Ramadan. Kelebihan dan kemuliaannya adalah
lebih baik dari 1,000 bulan. Ini dinyatakan oleh Allah dalam Al-Quran:
"Malam Qadar itu adalah lebih baik dari seribu bulan"
Bila berlakunya dan berapa lama Malam Qadar itu tidaklah dinyatakan secara tepat oleh nabi s.a.w. Setengah
pendapat menyebut pada malam-malam ganjil dan setengahnya menyebut pada 10 malam terakhir dalam bulan
Ramadan.
Turunnya Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca semata-mata walaupun membacanya merupakan ibadah yang
diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. sebagaimana dinyatakan oleh nabi :
"Barangsiapa yang membaca satu huruf dari Al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan itu diganjarkan
dengan sepuluh. Aku tidak mengatakan bahawa Alif Lam Mim itu satu huruf tetapi Alif itu satu huruf, lam itu satu
huruh dan mim itu satu huruf"
Tetapi turunnya Al-Quran adalah sebagai petunjuk dan panduan untuk diikuti dan diamalkan oleh manusia agar
sejahtera dunia adan akhirat.
Allah nyatakan dalam Al-Quran:
" Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran dimana al-Quran itu menjadi pertunjuk kepada manusia dan
yang menerangkan tentang pertunjuk dan pembeza antara hak dan batil"
Manusia yang hanya membaca semata-mata dan tidak mengamalkan peraturannya dalam kehidupannya samalah
seperti seorang yang sakit dan mengambil ubat untuk dimakannya tetapi hanya dibaca setiap hari :" Makan tiga
kali sehari" tetapi tidak dimakannya maka bagaimana penyakitnya akan sembuh.
Sama juga halnya apabila membaca al-Quran tetapi tidak mengambilnya sebagai peduman maka Al-quran itu
sendiri yang akan melaknatnya. Ini dijelaskan dalam hadis nabi s.a.w :
" Berapa banyak orang yang membaca Al-Quran sedangakan Al-quran itu melaknatnya".
Mereka membaca ayat-ayat yang mengharamkan atau menhalalkan sesuatu. Tetapi sebaliknya dalam
kehidupannya mereka menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah atau sebaliknya.
Sebagai seorang muslim kita menjadikan Al-quran, As-sunnah, Qias dan Ijmak sebagai pedoman. Apapun
perkara yang hendak dilakukan atau diputuskan, kita hendaklah merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah insyaallah
kita tidak akan sesat di dunia dan diakhirat.
Firman Allah s.w.t:
"Jika kamu berselisih tentang apa juga perkara maka kembalikan perselisihan itu kepada Allah (Al-Quran ) dan
rasulnya (hadis)"
Nabi berpesan:
" Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang kepada keduanya
iaitu Kitab allah (Al-Quran) dan Sunnah rasulnya"
Rukun puasa
Rukun puasa ada dua, iaitu:
● Berniat pada malam harinya
● Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam
matahari
Perkara yang disunatkan ketika berpuasa
Perkara-perkara berikut disunatkan ketika berpuasa:
● Makan sahur serta melambatkannya
● Menyegerakan berbuka dan sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang
manis atau air
● Menjamu orang-orang berbuka puasa
● Solat Tarawih pada malam harinya
● Memperbanyak ibadah dan berbuat kebaikan
● Berungguh-sungguh dan tekun berjaga malam pada 10 malam terakhir Ramadan untuk
mendapatkan malam al-Qadar atau Lailatulqadar
Perkara yang membatalkan puasa
Perkara-perkara berikut akan membatalkan puasa jika terjadi:
● Makan dan minum dengan sengaja walaupun pada nilaian dan kadaran yang sedikit, seperti
memakan saki baki makanan kecil yang terlekat pada celah gigi dan lain-lain lagi.
● Muntah dengan sengaja
● Bersetubuh di siang hari
● Mengeluarkan air mani dengan sengaja
● Keluar darah haid atau nifas
● Hilang akal (seperti gila)
● Pitam(termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari.
● Merokok di siang hari (termasuk menghisap ganja atau dadah)
● Murtad (keluar dari Islam)
● Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka seperti menyembur pewangi atau penyegar
mulut dan sebagainya. Larangan ini tidak termasuk memasukkan air atau udara ke dalam
rongga terbuka kerana ingin berwuduk atau melegakan kesakitan dan ketidakselesaan pada
rongga (dengan syarat air tersebut tidak diminum atau ditelan dengan sengaja).
Mereka yang diizinkan berbuka puasa sebelum waktunya
Terdapat kelonggaran (harus) kepada golongan yang berikut untuk berbuka:
● Orang yang sakit
● Orang yang berkerja buruh
● Orang yang dalam perjalanan lebih daripada 2 marhalah (musafir)
● Orang tua yang sudah lemah
● Orang yang hamil dan ibu yang menyusukan anak
Sumber: Wikipedia Puasa