1
UCAPAN DASAR PRESIDEN
MUKTAMAR AGUNG TAHUNAN PEPIAS KALI KE-30
REKAYASA GERAKAN MUDA, MEMBINA GENERASI KHAYRA UMMAH
Yang Dihormati, Tuan Haji Nik Mohd Yusoff bin Nik Ismail
Pengerusi Majlis Syura Negeri (MSN) Selangor Darul Ehsan,
Yang Dikasihi, Dr. Ahmad Zaki bin Abdul Latif
Pengerusi Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Negeri Selangor,
Yang Dihormati, Kekanda Ahmad Fawwaz bin Dato’ Ahmad Shukri
Pengerusi Majlis Perundingan Pelajar Islam (MPPI) PEPIAS
Merangkap Yang Di-Pertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Selangor.
Yang Dikasihi, Saudara Ahmad Farhan bin Rosli
Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Yang Berusaha Saudara Muhammad Zakir bin Abdul Razak
Setiausaha Agung PEPIAS Sesi 2020/2021
Merangkap Pengarah Muktamar Agung Tahunan PEPIAS Kali Ke-30 yang berkerja keras.
Yang Dimuliakan Ahli-Ahli Majlis Perundingan Pelajar Islam (MPPI) PEPIAS,
Teman rapat seperjuangan seluruh Saf Pimpinan PEPIAS Pusat Sesi 2020/2021,
Seluruh kepimpinan PEPIAS Cawangan,
Wakil kepimpinan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
serta Badan Gabungan Negeri,
Wakil kepimpinan Majlis Belia Negeri Selangor (MBS)
Serta Badan Gabungan dan bersekutu,
Para Tetamu Kehormat dan Tetamu Jemputan,
Seterusnya Para Muktamirin dan Muktamirat sama ada di dalam dewan mahupun dalam alam
maya yang diraikan dan dikasihi sekalian.
2
UCAPAN DASAR PRESIDEN
MUKTAMAR AGUNG TAHUNAN PEPIAS KALI KE-30
1.0 PEPIAS: TIGA DEKAD DI PERSADA DAKWAH
Al-hamdulil’Lah, pertama, dulu, kini, dan selamanya setinggi-tinggi puji dan syukur
dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas segala limpah kurnia-Nya serta izin-Nya dapat
kita meneruskan tradisi harakah tercinta ini untuk berhimpun, berkumpul dan
bermuktamar buat sekian kalinya tahun ini. Juga Selawat dan salam buat junjungan
tercinta penghulu para nabi baginda ar-Rasul Muhammad ﷺ, para sahabat seperjuangan
baginda ﷺ, serta seluruh penerus risalah nubuwwah pewaris amanatud dakwah yang
membawa obor perjuangan dari awal hingga kini yang telah pergi mendahului kita
semua.
Mewakili seluruh saf kepimpinan PEPIAS, kami mengalu-alukan dengan penuh takzim
kehadiran muktamirin-muktamirat seluruh anggota PEPIAS dari hujung Pantai Morib
hingga Sabak Bernam serta seluruh tetamu hadirin yang dimuliakan, ke Muktamar
Agung Tahunan Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan kali ke-30 dan Sambutan
3 Dekad PEPIAS. Ini merupakan suatu tanda pembuktian cinta, kasih sayang,
kesungguhan dan komitmen semua terhadap perjuangan yang sedang kita hadapi
bersama.
Sesungguhnya muktamar ini bukan suatu perhimpunan tahunan semata-mata akan
tetapi ia merupakan suatu manifestasi kepada sebuah gerakan dakwah melalui rukun
jemaah (wehdatul amal) kesatuan amal serta medan muhasabah kepada kita semua
untuk menilai prestasi, menggilap idealisme dan memperteguh khittah perjuangan
dakwah ini untuk terus maju, berdaya dan relevan. Moga-moga dengan kehadiran kita
ini dapat menjadikan kita dai umat yang terus istiqamah menabur jasa untuk Islam dan
mengeratkan lagi hubungan silaturahim kita semua.
Menjangkau usia 30 tahun PEPIAS pada 1 Oktober 2021 semalam, sesungguhnya
pengalaman PEPIAS yang bergelumang dengan kegelitaan umat mungkin sudah sedikit
diterangi islah dan perubahan di negeri yang kita cintai ini. Sejarah perkembangan
PEPIAS ini bagaikan putaran roda, ada kalanya naik, ada kala turun, ada kala mudah,
ada kala payah, dan begitu penuhnya ranjau mehnah dan tribulasi setiap kalangan kita
dalam menempuhnya.
Namun, hakikatnya ramai lagi pelajar, belia mahupun masyarakat awam yang masih
tidak disentuh untuk mendapat keperluan rohani, pendidikan, ekonomi dan sosial yang
baik demi kelangsungan hidup. Apatah lagi kepantasan zaman hari ini yang bergerak
makin bertimbun dan melambak kekangan yang sedang dihadapi. Ini menjadikan kita
ahlud dakwah ialah watak penting sebagai penyelesai masalah untuk membantu
segenap sudut dalam usaha membina dan memimpin tamadun khayra ummah.
3
UCAPAN DASAR PRESIDEN
MUKTAMAR AGUNG TAHUNAN PEPIAS KALI KE-30
2.0 KETETAPAN PENCIPTA
Kehidupan dunia sejatinya ialah perjalanan manusia menuju kembali kepada Allah.
Namun, manusia seringkali lupa diri tentang tujuannya itu kerana tergoda oleh
nikmatnya kehidupan dan gemerlapnya tipu daya dunia. Oleh itu, Allah telah
mengingatkan hamba-Nya berdasarkan firman-Nya,
َوأَنِيبُٓو۟ا إَِٰل َربِ ُك ْم َوأَ ْسلِ ُمو۟ا لَهُۥ ِمن قَْب ِل أَن ََيْتِيَ ُك ُم ٱلْعَ َذا ُب َُُثّ َل تُن َصُرو َن
Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum
datang azab kepadamu, kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).
Surah Az-Zumar (39), Ayat 54
Muktamirin-muktamirat,
Hari ini, Dunia dan Malaysia khususnya masih lagi berhadapan dengan krisis kesihatan
terbesar dunia iaitu pandemik COVID-19. Sehingga hari ini sudah menghampiri 5 juta
manusia telah mati akibat serangan wabak ini. Kita sudah tahun kedua hidup bersama
makhluk Allah SWT ini, semestinya penting untuk kita senantiasa berwaspada,
tingkatkan kawalan keselamatan dan kesihatan kendiri, di samping melaksanakan
setiap amalan pencegahan tatkala kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan ia sebagai
suatu endemik. Pada kala semua orang menjangkakan kes COVID-19 melandai pada
tahun 2021 dan kian menurun, rupanya hikmah takdir ketetapan Allah SWT jauh tidak
terjangkau oleh hamba-Nya.
Selain itu juga kita kini sedang berhadapan dengan krisis politik dan ekonomi yang
sangat tidak stabil dan tidak kukuh. Mungkin sebahagian daripada kita tidak
merasainya secara langsung akan tetapi masyarakat awam di lantai terbawah yang
hidup bagai kais pagi, makan petang, diberhentikan kerja, hilang punca pendapatan dan
pelbagai lagi, amat berasa sakit dan tertekan akibat segala musibah dan malapetaka ini.
Ia dapat dibuktikan lagi melalui kajian yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan yang
mengatakan kadar kemiskinan negara meningkat daripada 5.6% pada tahun 2019
kepada 8.4% pada tahun 2020 berikutan pandemik ini.
Yakinlah semua bahawa pelangi akan muncul selepas hujan lebat. Ini merupakan suatu
pesanan dan petunjuk-Nya kepada kita semua untuk reset, betulkan semula gerak
langkah perjalanan hidup kita tatkala semua sibuk dengan urusan dunia yang tidak
akan habis jika dikejarnya. Apatah lagi kita sebagai ahli gerakan dakwah semestinya
wajib untuk terus giat mempertingkatkan ketakwaan, amal soleh spiritual dan sosial
terhadap sesama manusia. Buya Hamka ada menyebut, “Tali yang paling kuat untuk
tempat bergantung, adalah tali pertolongan Allah.”
4
UCAPAN DASAR PRESIDEN
MUKTAMAR AGUNG TAHUNAN PEPIAS KALI KE-30
3.0 KELESUAN UMAT DALAM MENDEPANI ZAMAN
Putaran masa tidak akan berhenti malah akan terus beredar merentasi zaman dengan
izin-Nya. Akan tetapi keterlihatan fenomena kelesuan umat kian meningkat seiring
keruntuhan moral. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia
(PDRM), sebanyak 1,738 kes bunuh diri yang dicatatkan sejak tahun 2019 sehingga kini
dan rata-ratanya dalam kalangan individu berumur 15-30 tahun. Antara faktor utama
yang dilaporkan adalah disebabkan kesihatan mental rakyat Malaysia yang makin
meruncing. Ini menjadi trend negatif yang sangat serius bilamana tidak dibendung dari
akar umbi, khususnya dalam kalangan anak muda.
PEPIAS sedar akan hal ini lantas terbit usaha kecil mengadakan diskusi, wacana dan
sembang isu semasa ketika usrah dengan mengetengahkan topik berkaitan kesihatan
mental dan kaedah menangani stres. Ditambah pula dengan beberapa program kempen
kesedaran kesihatan mental, “Sayangi diri, Jaga Diri” yang telah diusahakan. Tidak
dilupakan juga daya yang digerakkan oleh jemaah melalui projek Rahmah Support
Team (RST) dalam memberikan sokongan emosi dan psikososial kepada yang
memerlukan. Akan tetapi, ini masih belum cukup untuk membantu melandaikan
keruntuhan moral yang berlaku. Usaha kolektif ini perlu kita tingkatkan lagi dengan
program advokasi dan siri-siri pendidikan awam khususnya kepada adik-adik remaja di
sekolah dan sahabat-sahabat mahasiswa di kampus.
Tidak dinafikan kondisi kelesuan umat ini juga terpalit kepada pimpinan dan ahli
PEPIAS, mungkin akibat pandemik yang tidak berkesudahan ditambah pula dengan
masalah ketika sesi pembelajaran dalam talian, atau mungkin juga akibat tekanan
keluarga yang hilang punca pendapatan. Keterlihatan kurang kesungguhan dalam
melaksanakan tugasan, pengurusan jadual terhadap dakwah dan juga tanggungjawab
hakiki yang lain mungkin asbab utama isu ini berlaku. Oleh itu, marilah kita bersama
berdaya bangkit, menjadi resilient, bangun dan laung senada berganding bahu
mempertajamkan semangat juang dakwah yang kita cintai ini.
ََٰٓيَُيّ َها ٱَلّ ِذي َن ءَاَمنُٓو۟ا إِن تَن ُصُرو۟ا ٱَّلّلَ يَن ُصْرُك ْم َويُثَبِ ْت أَقْ َداَم ُك ْم
Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan
menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.
Surah Muhammad (47), Ayat 7
Pesan Imam Hassan al-Banna, “Jika Allah bersamamu, maka jangan kamu takut kepada
sesiapa, akan tetapi jika Allah sudah tidak lagi bersamamu, maka siapa lagi yang hendak
diharapkan olehmu.”
5
UCAPAN DASAR PRESIDEN
MUKTAMAR AGUNG TAHUNAN PEPIAS KALI KE-30
4.0 KRISIS PENDIDIKAN YANG DIPINGGIRKAN
Ekoran wabak pandemik COVID-19 ini juga, dunia tidak terlepas menghadapi krisis
kemandulan pendidikan serta peningkatan kadar buta huruf yang tinggi khususnya
dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Menurut kajian yang dibuat oleh Tabung
Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), jumlah keciciran pelajar
sedia ada akan meningkat enam kali ganda jika tiada langkah pencegahan diambil
sekaligus meningkatkan jurang sistem sosioekonomi negara. Akibat terlalu lama tidak
ke sekolah untuk mengikuti pembelajaran secara normal bertemu guru, pelajar tidak
lagi mampu menguasai sesuatu ilmu secara holistik dan komprehensif, apatah lagi ilmu-
ilmu tambahan atau pendidikan sosial dalam proses memanusiakan manusia.
Mereka (kanak-kanak dan remaja) yang sudah menghampiri 2 tahun terperangkap di
rumah dengan pembelajaran dalam talian yang harus diikuti tentunya terbeban kerana
terlalu lama menghadap skrin. Ada pula kekangan yang lebih parah bagi pelajar yang
keluarganya kurang berkemampuan memiliki komputer riba, peranti tablet, dan telefon
pintar, bahkan tidak berkemampuan untuk membeli data internet. Sepertinya
pendidikan dilihat sebagai suatu perkara yang membebankan dan membawa punca
kepada masalah sosial lain seterusnya memberi impak besar kepada proses
pembelajaran dan pendidikan kepada anak-anak dan remaja kini.
Melalui hasil dapatan usrah dan diskusi berkaitan pendidikan, bermula awal tahun
2021 PEPIAS memulakan inisiatif projek peranti elektronik (gadjet) terpakai yang telah
mensasarkan bantuan kepada pelajar asnaf dari golongan B40. Alhamdulillah, sebanyak
25 buah peranti tablet telah berjaya dikumpulkan melalui sumbangan orang ramai dan
telah disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Semestinya usaha ini
tidak memadai dengan keperluan mereka untuk belajar. Ekoran itu satu perancangan
yang holistik perlu kita sama-sama fikirkan sejenak kedepan berkenaan kaedah dan
pendekatan yang paling sesuai dalam mendepani permasalahan ini, seterusnya dapat
mengurangkan jurang krisis pendidikan ini.
Soalan yang tidak henti-henti menjadi tanda tanya, sampai bila agenda pendidikan kita
harus didera sebegini? Sedangkan pendidikan yang sebenarnya adalah bertujuan
membangun pertumbuhan yang seimbang dalam personaliti manusia sebagai makhluk
yang mempunyai emosi dan perasaan. Maka, dengan senario yang berlaku hari ini, kita
tidak boleh berpeluk tubuh. PEPIAS lantas bangun memainkan peranan semampu
mungkin bagi memastikan misi pendidikan mengangkat martabat karamah insaniyah
ini terus membumi. Ada pepatah menyebut, “Jika mahu hidup setahun tanamlah padi,
jika mahu hidup seratus tahun didiklah manusia.”
6
UCAPAN DASAR PRESIDEN
MUKTAMAR AGUNG TAHUNAN PEPIAS KALI KE-30
5.0 TERUS MEMPERKASA TARBIYYAH
َولْيَ ْخ َش ٱَلّ ِذفَيْليََنَتّلَُقْوو۟اتَٱَرَُّكلّلَو۟اَولِْميَْنُقولَُخولْ۟اِفقَِهْْموًَلذُِرَيَّسةًِدي ًِدضاَٰعًفا َخافُو۟ا عَلَْيِه ْم
Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya
meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap
(kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah, dan
hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar.
Surah An-Nisa' (4), Ayat 9
Muktamirin dan Muktamirat seperjuangan sekalian,
Kita sering diperingatkan dakwah dan tarbiah ialah suatu aspek paling penting
khususnya dalam kelangsungan gerakan Islam. Ia menjadi suatu awlawiyat pertama
dalam proses pembinaan ahli dan kepimpinan. PEPIAS harus tampil dengan agenda
dakwah dan tarbiah yang disebut oleh Mustafa Masyhur, “Aslih nafsak wad‘u ghairak,”
yang bermaksud, “perbaikilah dirimu dan ajaklah juga selainmu,” melalui pendekatan
yang bersepadu (integrated approach) dalam merealisasikan misi tanwiri-tahriri-
taghriri.
Oleh yang demikian, perlu kita memperkasa unsur tarbiah khususnya tarbiyah ruhiyah
dengan mendidik kekuatan jiwa melalui amalan kendiri seperti qiamullail, solat-solat
sunat, puasa sunat, zikrullah, membaca al-Quran dan menghayati tuntutannya, serta
banyak bersedekah. Di samping itu, amalan tarbiyah harakiyah harus sentiasa
dilaksanakan secara berterusan dengan acuan kita yang mencakupi Budaya 7 PEPIAS
yang telah diwarta. Dr. Abdul Halim El-Muhammadiy telah menyatakan dalam buku
Risalah Tarbiyah bahawa, “Tarbiyah harakiyah yang bercorak pengisian kesedaran
pemikiran Islam secara umum berasaskan al-Quran, hadits, sirah pemikiran gerakan dan
pemikiran semasa yang mencakupi kepentingan masyarakat Islam. Ia bertujuan mendidik
anggota meresap sahsiah Islamiyah sehingga dapat diterjemahkan melalui fikiran, sikap
dan tindakan kerja seharian.”
Tarbiyah ini sarana yang amat penting bagi setiap ahli gerakan dalam pembinaan
karakter, melindungi khazanah budaya keilmuan, mengukuhkan kewujudan dan
peranan khalifah di tengah-tengah kegelisahan masyarakat dalam membina generasi
masa depan. Cabaran berat kita hari ini ialah menghapuskan sikap bergantung harap
tanpa usaha, kalah diri (low self-esteem), kecelaruan perancangan dan lebih parah
kekeliruan pemikiran. Oleh itu, adalah menjadi kewajiban buat
seluruh diri kita untuk meletakkan kebergantungan besar ini kepada Allah SWT
mengatasi segala kehendak dan kuasa lain, yakni menghakupaya amalan kerohanian
serta berusaha meningkatkan ketakwaan kepada Allah dengan dibaluti aspek pemikiran
dan kerja lapangan.
7
UCAPAN DASAR PRESIDEN
MUKTAMAR AGUNG TAHUNAN PEPIAS KALI KE-30
6.0 MEMPERSIAP GENERASI KHAYRA UMMAH
Sepanjang tiga dasawarsa mengalirnya PEPIAS dalam gelita umat, PEPIAS akan terus
komited dengan kenyataan misi kita sebagai gerakan pelajar yang akan terus menerus
dalam melahirkan generasi penerus khayra ummah yang bersedia dalam mendepani
mehnah dan halangan perjuangan seperti yang disebut oleh Syeikh Rashid Al-
Ghannoushi iaitu dengan jiwa yang besar, jiwa negarawan rijal ad-daulah yang
berfungsi.
Oleh yang demikian, kedepan mendatang ini kita perlu lebih banyak lagi semarakkan
diskusi, wacana, perbincangan yang intim dan rapat terhadap isu masyarakat setempat
khususnya dalam kalangan mahasiswa, pelajar dan belia di samping konsisten dalam
mencurah khidmat bakti dan kemasyarakatan seperti yang selalu disebut think global,
act local.
Syeikh Fathi Yakan dalam buku Generasi Muda Dan Perubahan menyebutkan peranan
pemuda Islam ialah peranan mengubah dan ia suatu perkara yang amat sulit dan berat.
Maka, seharusnya persediaan generasi penerus ini harus sesuai dengan besarnya
tanggungjawab yang harus ditempuhi. Daripada itu terdapat beberapa perkara asas
dalam mempersiap sebelum merempuhi hal mendatang.
i. Sempurna dan menyempurnakan.
Dalam erti kata merangkumi semua sudut persiapan dari segi pemikiran,
kejiwaan, rohani, sahsiah dan fizikal. Jangan hanya ditumpu hanya kepada satu
perkara sahaja kerana dengan itu ia mampu bertahan menghadapi cabaran
berterusan untuk mencapai matlamat.
ii. Seimbang.
Dengan menitikberatkan setiap sudut dengan kadar yang sepatutnya tidak
berlebihan dan tidak pula kurang. Hal ini kerana dengan ketidakseimbangan itu
membawa keburukan dan mudharat terhadap persiapan generasi.
iii. Praktikal.
Persediaan itu hendaklah tidak hanya dalam bentuk teori semata bahkan
bergantung kepada uslub dan kaedah semasa dalam usaha pembentukan
keperibadian khayra ummah.
Tabiat jalan dakwah tidak mudah bahkan jalan yang sangat sukar dan panjang. Pak
Natsir dalam bukunya Fiqhud Da’wah memberi perumpamaan seorang pesawah padi
yang mengharapkan tanamannya berhasil. Oleh yang demikian, pesawah perlu tahu
cara penanaman, semaian dan semua kaedahnya dalam mendapatkan hasil. Ia
menggambarkan seorang pendakwah itu perlu semampu mungkin menguasai disiplin
ilmu dakwah dalam mendapatkan hasilnya.
8
UCAPAN DASAR PRESIDEN
MUKTAMAR AGUNG TAHUNAN PEPIAS KALI KE-30
7.0 REKAYASA DAKWAH DALAM PEMBANGUNAN PEPIAS
7.1 Perkasa Latihan Kaderisasi Dan Tarbiah
Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menulis dalam kitab Wajibu Syabab Islami bahawa terdapat 4
kewajiban bagi belia dan pemuda Islam iaitu berilmu, beramal, berjemaah dan
melaksana. Proses ini mudah fahamnya sebagai proses pendidikan dalam pembinaan
kader. Tarbiah, latihan dan pembangunan ahli sewajarnya berlaku secara sistematik
dan berdisiplin. Barangkali kita kerap terlepas pandang dan peluang, kurang fokus dan
berlaku pengabaian terhadap aspek ini tetapi sebagai ahli gerakan perlu kita
meletakkan fokus pertama dalam khittah pergerakan.
Maka suatu kesan buruk akan berlaku kelak jika sering terulang. Tidak dinafikan
keadaan pandemik ini sedikit merencatkan proses latihan yang saban tahun berlaku
apatah lagi terhadap kekuatan kita menyusuli (follow up) perkembangan adik-adik
dengan penuh semangat ukhuwah. Maka, bersiapsiagalah menaiktaraf kebijakan dalam
mengadaptasi keadaan norma baharu ini lantas membentuk acuan tersendiri
membincang solusi dalam kerangka Pelan Pemulihan Pengkaderan.
Komitmen WAP Selangor dalam mengukuhkan ahli, alhamdulillah, telah membuahkan
hasil dengan penubuhan Majlis Kaderisasi & Tarbiah (MAKTAB) peringkat negeri
Selangor. Kedepan ini, terdapat keperluan untuk menyusun kerangka dan strategi
dalam menyelesaikan beberapa isu tarbiah dan pengkaderan dai ini. Beberapa fungsi
utama yang boleh digerakkan bersama antaranya:
i. Memastikan keberlangsungan rukun jemaah.
ii. Mewujudkan silibus usrah dan tamrin yang lebih komprehensif.
iii. Memperkasa sistem Murabbi dalam kalangan ahli WAP Selangor.
Dengan usaha bersama ini, diharapkan proses latihan dan pengkaderan memberikan
kesan dan impak besar dalam memperkasa kualiti ahli WAP Selangor, khususnya
PEPIAS bagi memastikan setiap transisi berlaku dengan lancar disulami semangat
ukhuwah silaturahim dan sinergi tiga generasi yang terjalin lamanya ini akan terus
terjaga dan dipelihara.
9
UCAPAN DASAR PRESIDEN
MUKTAMAR AGUNG TAHUNAN PEPIAS KALI KE-30
7.2 Gerhana Semangat Relawan Dan Kemanusiaan
Pada tahun 2018, PEPIAS berjaya menubuhkan secara rasmi Majlis Sosial Dan
Kesukarelawanan bawah jawatan yang baru diperkenalkan iaitu Naib Presiden Sosial
Dan Kesukarelawanan daripada sebelum ini yang hanya bawah kendalian Setiausaha
Agung. Memasuki tahun ketiga majlis ini, kelihatan seperti muncul pelangi selepas
hujan lebat yang suram sebelum ini.
Hari ini aktiviti kesukarelawanan menjadi suatu fenomena dalam kalangan rakyat
Malaysia apabila pandemik yang berlaku memberi impak ekonomi dan sara hidup yang
membebankan rakyat lantaran itu, muncul tanda pagar #kitajagakita
#rakyatjagarakyat, #benderaputih yang dilihat dapat membantu masyarakat sekeliling
ditambah pula dengan kemunculan pelbagai aplikasi dalam talian yang dibina bagi
memudahkan serta menguruskan sebarang laporan dan permasalahan.
PEPIAS juga tidak terkecuali dalam hal ini. Agenda kesukarelawanan kini menjadi topik
bualan setiap sembang santai ahli, “Hari ini nak turun mana? Hari ini nak bantu siapa?”
Ini membuktikan uslub dakwah bil hal ini dibeli ramai cuma kedepan ini bagaimana
untuk kita terus menyusun dan memperkemas langkah dalam memastikan pintu
kaderisasi melalui medan atau jalur ini mampu memberi impak yang bermakna kepada
pertumbuhan ahli serta manfaat yang diperoleh masyarakat.
Selain itu, ia juga dilihat sebagai suatu promosi untuk PEPIAS ke pentas awam melalui
agihan sumbangan yang dijalankan. Projek-projek bantuan dan sumbangan yang telah
dijalankan pada kali ini seperti Foodbank for The Needs, Kempen Seorang Sekampit
Beras (KSSB), kerjasama agihan fidyah bersama JAIS, Bantuan Merah Care, bantuan
mahasiswa Selangor dan lain-lain, wajar dikekalkan dan ditambahbaik pada masa akan
datang bersama dengan pelbagai rangkaian kerjasama dan silaturahim yang telah
berjaya disambungkan.
Teman seperjuangan sekalian, semuanya tidak lain dan tidak bukan adalah demi saham
akhirat kita iaitu dengan melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar serta memberi
manfaat kepada orang lain. Rasulullah ﷺbersabda, “Orang beriman itu bersikap ramah
dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik
manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.” Pesan Pak Hamka, “Kalau
hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga
bekerja.”
10
UCAPAN DASAR PRESIDEN
MUKTAMAR AGUNG TAHUNAN PEPIAS KALI KE-30
7.3 Revolusi Pemerkasaan HELWANI
Memetik penulisan dari Imam Badiuzzaman Sa‘ied an-Nursi, beliau berkongsi madah
yang dinukilkan oleh Niyazi al-Misri sebagai peringatan daripada kehidupannya ketika
usia tua dan muda, “Satu demi satu binaan umurku jatuh ke tanah dari sehari ke sehari.
Si lalai yang jiwanya tidur; runtuh binaannya tiada dia sedari.” Ayat ini menjadi
tamparan besar kepada kita dalam mengharungi ombak-ombak keduniaan dan
kadangkala terhanyut olehnya. Adakah kehidupan kita sehari-hari banyak berhibur
daripada banyak mengingati ayat-ayat Allah?
Kekuatan kerohanian haruslah diperkasa dan didahulukan oleh HELWANI dengan tidak
mengenepikan Budaya 7 PEPIAS yang disebut berkali-kali sewaktu usrah dan program
untuk dimaknai dalam setiap nadi pergerakan ahli PEPIAS. “Value matters more than
volume” adalah hikmah penganjuran Sunrise HELWANI yang dilaksanakan secara
istiqamah pada setiap pagi Ahad tahun ini. Walaupun penyertaannya tidak 'mewah'
namun kualitinya dapat dibuktikan dengan kehadiran ahli-ahli HELWANI yang setia.
Sekaligus, pengisian yang dikongsikan dan diisi oleh barisan pimpinan selepas bacaan
al-Ma'tsurat telah menjadi penguat HELWANI dalam mengharungi liku-liku sepanjang
pandemik ini.
Ideologi feminisme yang riuh dalam media sosial telah banyak mempengaruhi wanita
untuk bergiat ala ekstrimis dalam membawa panji-panji hak wanita. Seharusnya segala
pendapat yang diterima perlulah melalui disiplin ilmu yang berpandukan al-Quran dan
as-Sunnah. Janganlah HELWANI menjadi buta dan tuli dalam mengamati warkah
kelompok feminisme yang lemah kekuatan imannya terhadap pegangan agama
berlandaskan syariah. Peranan ahli HELWANI PEPIAS adalah untuk senantiasa
mendepani isu sosial yang berlaku dalam masyarakat terutamanya belia wanita dan
remaja perempuan. Tuntasnya, hal ini perlu diupayakan supaya kita dapat menjadi
peneraju dalam mengatasi kelemahan yang ada terhadap panji hak-hak wanita yang
realitinya terpesong sekaligus dapat menyelamatkan wanita-wanita yang sedang
keasyikan dengan rencam dan helah dunia. Sebagai sandaran dalam pengisian usrah-
usrah HELWANI, buku karya Buya Hamka, Berbicara Tentang Perempuan, dijadikan
rujukan kerana banyak ditekankan hujah-hujah tentang hak wanita Islam beserta dalil
al-Quran yang sesuai untuk dijadikan pegangan buat semua wanita Islam.
11
UCAPAN DASAR PRESIDEN
MUKTAMAR AGUNG TAHUNAN PEPIAS KALI KE-30
Wanita juga bukan hanya perlu dibanggakan dengan kelembutan dan kecantikannya
tetapi mestilah dihormati kedudukannya dalam segala aspek. Jadilah wanita solehah
yang bukan seperti stereotaip tetapi terbatas dengan prinsip (limited with principle).
Gayakan diri dengan keluhuran dan kemahiran, bukan dengan kezahiran mengikut
trend fesyen terkini semata-mata. HELWANI adalah peneraju utama pembangunan
masyarakat dan perlu menjadi penguat buat wanita yang lain. Bertemakan “HELWANI
Murni Dan Tangkas” adalah bukan sekadar omong kosong yang dinukilkan di dalam
ucapan dasar yang lepas. Gagasan tersebut membawa makna besar terhadap jati diri
ahli HELWANI dan menjadi kunci utama dalam merencana strategi pembangunan
Majlis HELWANI.
Pendekatan program pendidikan dan advokasi seperti HELWANI Talk (H-Talk), H-Talk
Mega dan kempen-kempen kesedaran telah banyak memberi impak dan menjadi
pascarevolusi terhadap pembangunan ahli HELWANI sejajar dengan peredaran zaman.
Tinjauan HELWANI telah berjaya mengumpulkan sebanyak 186 responden ahli
HELWANI pada awal sesi adalah merupakan hala tuju dalam merangka pergerakan
Majlis HELWANI dengan lebih kemas dan strategik. Usaha sinergi HELWANI yang
digerakkan sebelum ini dimanfaatkan dengan pergerakan yang lebih tangkas untuk
memberdaya lebih ramai HELWANI melalui penubuhan Team Advokasi HELWANI.
Walaubagaimanapun, pendekatan secara 'turun padang' harus diberikan penekanan
pada masa hadapan dengan persiapan yang rapi melalui latihan-latihan yang
diperlukan. Isu-isu yang dikupas dalam setiap usrah HELWANI dan sesi meja bulat akan
direalisasikan dengan solusi yang relevan melalui projek sosial contohnya Bantuan
Merah Care yang membuat pengedaran tuala wanita secara percuma bagi membantu
menangani isu kemiskinan haid di sekitar Selangor atau program Generasi Gadis
Solehah (GEGAS) di sekolah-sekolah.
Buat HELWANI sekalian, ingatlah pesan Kiai Haji Ahmad Dahlan, “Berjuanglah disertai
dengan keikhlasan hati, menunaikan tugasmu sebagai wanita Islam sesuai dengan bakat
dan kecakapanmu, tidak menghendaki sanjung puji dan tidak mundur selangkah kerna
dicela, penuh keinsafan bahwa beramal itu harus berilmu, jangan mengadakan alasan
yang tidak sah oleh Tuhan hanya untuk menghindari tugas yang diserahkan
kepadamu…Jangan sampai urusan dapur membuatmu lupa dengan dakwah di
masyarakat.” Semoga HELWANI akan terus cekal dan akan mampu untuk memberdaya
wanita-wanita lain di luar sana juga menerusi gagasan “HELWANI Murni dan Tangkas”.
12
UCAPAN DASAR PRESIDEN
MUKTAMAR AGUNG TAHUNAN PEPIAS KALI KE-30
7.4 Kemampanan Kewangan Dan Ekonomi
Muktamirin dan Muktamirat sekalian,
Kita mungkin sering dikisahkan tentang kekayaan Saidina Utsman RA. Beliau
merupakan sahabat Rasulullah ﷺyang mempunyai latar belakang perniagaan yang
begitu berjaya. Kerap menjadi orang pertama yang menyumbang dalam jalan dakwah
apatah lagi di medan perang ketika itu sehingga memperoleh kemenangan. Ini menjadi
tauladan jelas bahawa kekuatan kewangan dalam dakwah juga turut penting dalam
mengurus dan merancang pergerakan. Manusia mengemudi perubahan tamadun
berdasarkan tiga aspek utama iaitu (i) idea besar, (ii) kelompok yang komited, serta (iii)
dana yang mencukupi.
Ruang perniagaan hari ini dilihat semakin luas, orang tidak lagi perlu menyewa kedai
untuk menjual dan ada juga tidak menyimpan barang yang dijual. Keadaan hari ini
melihat ramai ahli kita yang mula berniaga secara kecil-kecilan secara dalam talian
untuk meneruskan kelangsungan kehidupan. Soalannya hari ini adakah ahli kita hanya
mengisi poket sendiri sahaja tanpa memikirkan untuk berinfak dalam tabung PEPIAS
demi kelangsungan dakwah?
Dasawarsa lalu membuktikan beberapa usaha yang telah PEPIAS jalankan dalam
melahirkan usahawan mulai tampak hasilnya. Antara program yang dirangka ialah
penjualan barangan PEPIAS seperti baju, buku dan lain-lain serta program
keusahawanan bersiri kendalian Majlis Ekonomi. Hakikatnya kita sedar ia tidak
menyumbang banyak kepada kemandirian ekonomi PEPIAS akan tetapi ia masih perlu
dan wajib untuk diperbanyakkan lagi pada masa akan datang dalam memastikan
budaya meminta ini dapat dikurangkan, seterusnya dapat melahirkan lebih ramai
usahawan sosial (social entrepreneur) dalam kalangan ahli PEPIAS.
Antara cabang baru yang boleh diterokai oleh PEPIAS ialah sistem wakaf. Wakaf
sebelum ini hanya tertumpu kepada tanah dan pusaka semata-mata. Namun, kini wakaf
dilihat lebih segar dengan pengembangannya, sudah ada wakaf tunai, wakaf emas,
wakaf khidmat, wakaf seni dan pelbagai lagi. Dengan pengembangan kedepan, pelbagai
perkara bermanfaat dapat diperoleh melalui amalan berwakaf ini, bahkan secara tidak
langsung dapat melancarkan lagi gerak kerja dakwah kita di negeri ini.
13
UCAPAN DASAR PRESIDEN
MUKTAMAR AGUNG TAHUNAN PEPIAS KALI KE-30
7.5 Ruang Dakwah Digital
Sesebuah tamadun berevolusi mengikut arus kecanggihan teknologi. Semenjak COVID-
19 mengejutkan satu dunia dan menormalisasikan hidup kita dengan Pembelajaran
Jarak Jauh (PJJ) atau Online Distanced Learning (ODL) dan Bekerja Dari Rumah (BDR)
atau Work From Home (WFH), dahulu pernah timbul persoalan tentang kesediaan
negara dengan cabaran Revolusi Industri Keempat (RI4.0), kini tidak lagi menjadi
sebuah tanda tanya. Malah, kemahiran teknologi tidak menjadi pilihan tetapi menjadi
keterpaksaan untuk dikuasai oleh masyarakat. Sekalian manusia secara terpaksa perlu
mencari jalan penyelesaian bagaimana untuk mengharungi survival mode masing-
masing dengan kekangan yang menyesakkan pelbagai pihak termasuklah gerakan
dakwah. Sekatan pergerakan yang pelbagai ini telah banyak mengubah corak
pergerakan PEPIAS ke arah digitalisasi dakwah. Peluang ini digarap seoptimum
mungkin oleh PEPIAS dalam situasi pandemik ini dengan penganjuran program
Webinar Menara Gading Selangor (WMGS), Kursus Kepemimpinan Pelajar Islam Virtual
(KKPIV), Kuliah Dhuha Online dan lain-lain program. Diskusi yang membincangkan
secara kritis tentang idea-idea dikerah sebaiknya oleh PEPIAS untuk memastikan
pergerakan dapat diteruskan meskipun tidak melibatkan sebarang komunikasi secara
bersemuka seperti sebelum ini.
Apabila kita bercakap tentang dakwah, proses yang menjadi bayangan kita adalah
penyebaran maklumat secara bersemuka (face-to-face). Walaubagaimanapun, kaedah
baharu dalam berdakwah sangat penting dalam situasi rencam ini dan juga perlu
dipertingkatkan penguasaannya terutama dalam soal, “How the social media affects
social change?”, “Big Data and Cloud Computing”, “Virtual Learning” dan “Virtual
Fatigue”. Tidak dinafikan, pelbagai rintangan dihadapi oleh PEPIAS untuk menjana
kelangsungan dakwah ini. Sekretariat PULPA kini sedang giat dilengkapkan dengan
kemudahan untuk Studio PEPIAS dalam menggerakkan program-program secara maya.
Proses adaptasi ini penting supaya PEPIAS akan menjadi sebuah organisasi yang
bergerak ke arah pertubuhan pintar dalam era digital (smart organisation in digital
age). Pergerakan urusan dunia begitu pesat dan kita sudah pun berhijrah daripada Era
Perindustrian (Industrial Age) kepada Era Digital (Digital Age). Segala ruang dan
peluang yang ada di depan mata haruslah digarap sebaiknya dengan menyediakan ilmu
dan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat. Kalau dulu orang boleh berkata,
“Bidang IT ini hanya untuk yang minat komputer dan peranti canggih sahaja,” mungkin
sekarang tidak lagi kerana sebagai dai yang dinamik perlu segera rekayasa kemahiran
ini sebagai persediaan yang asas dalam gerakan. PEPIAS harus mendepani kecanggihan
teknologi yang ada untuk beradaptasi dengan keadaan semasa.
14
UCAPAN DASAR PRESIDEN
MUKTAMAR AGUNG TAHUNAN PEPIAS KALI KE-30
Penguasaan digitalisme dan teknologi harus bergerak dengan tidak melupakan
keperluan bersandar kepada sunnah Rasulullah ﷺdalam berdakwah. Rasulullah ﷺpada
zaman baginda telah menggunakan pelbagai saluran, dalam usaha menyampaikan ilmu
kepada sebanyak mungkin manusia yang menjadi sasaran dakwahnya. Namun begitu, di
dalam membicarakan tentang kecanggihan dan kepesatan teknologi, kita masih tidak
dapat menjamin bahawa sesuatu dakwah Islam boleh difahami oleh manusia. Ini kerana
kefahaman seseorang individu terhadap sesuatu itu bukan hanya terletak pada
kehebatan teknologi tetapi terletak pada mutu kandungan serta kaedah penyampaian
yang menarik dan berkesan sehingga membolehkan ilmu tersebut masuk ke dalam jiwa
manusia. Ahli PEPIAS perlu memahami kedudukan sebenar media sosial hanyalah
merupakan salah satu alat sebaran yang perlu disesuaikan dengan manfaat yang
dikehendaki agama. Adakah program-program sekolah yang dilaksanakan secara
Latihan Dalam Kumpulan (LDK) itu wajar dalam situasi sekarang? Apakah kaedah yang
terbaik dalam menggabungjalin dakwah dan teknologi? Dalam hal ini kita simpulkan
dengan sebuah soalan yang boleh difikirkan bersama dalam menggerakkan PEPIAS
lebih terkehadapan dalam membentuk generasi khayra ummah, “How virtual do we
want our future to be?”
ۖ ٱَتّبَعَِن ۚ َعلَ ٰى بَ ِصيرٍَة أََ۠ن َوَم ِن إَِل ٱَّلِّل َسبِيلِٓى أَ ْدعُٓو۟ا َٰه ِذهِۦ قُ ْل
ِم َن ٱلْ ُم ْش ِركِ َي َوَمآ أََ۠ن َو ُسْب َٰح َن ٱَّلِّل
Katakanlah: “Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak
(kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk
orang-orang yang musyrik.”
Surah Yusuf (12), ayat 108
15
UCAPAN DASAR PRESIDEN
MUKTAMAR AGUNG TAHUNAN PEPIAS KALI KE-30
7.6 Kesuburan Literasi Politik Dalam Dakwah.
Saudara-saudari sekalian,
Apabila disebut politik maka tergambarlah seribu satu persepsi yang melihat politik ini
dengan segala kekotoran, kejelikan dan pengkhianatan. Pendangkalan polemik politik
ini kadangkala turut menyebabkan terheret sama masyarakat secara amnya. Manusia
yang gila kuasa sanggup melakukan apa sahaja demi merebut kuasa dan kemewahan.
Kepimpinan tidak lagi dianggap suatu taklif yang berat tetapi dilihat satu bentuk tasyrif
semata-mata yang menjadi lesen besar untuk memuaskan nafsu serakah dan akhirnya
beban dan kesannya menimpa rakyat.
Namun, ada pula satu golongan yang langsung menolak politik dengan tidak
mengendahkan mahupun mengambil peduli lantaran kecewa dengan sepak terajang
politik. Mendepani perubahan zaman, politik hari ini tidak boleh terpisah dengan rakyat
apatah lagi golongan anak muda. Kita sebagai kumpulan daya ketiga (third force) perlu
memainkan peranan penting dalam memberikan pemahaman yang jelas dan searifnya
terhadap politik dan demokrasi. PEPIAS sejak berzaman lagi tetap dengan sikap non-
partisan yakni tidak ada sebarang keterikatan langsung dengan mana-mana pihak dan
parti politik sehingga menghalang pertimbangan rasional dan keadilan sejagat. Kita
akan terus menjadi jurubicara umat dalam menegakkan kebenaran dan menetang
sebarang kezaliman yang menimpa masyarakat cuma sebagai ahli gerakan, kita perlu
melihat secara halus peranan kesalinghubungan antara dakwah dan siasah. Siasah
bukan sekadar politik kepartian semata-mata bahkan lebih daripada itu sehingga
terbina sebuah negara.
Namun, tidak dinafikan hari ini banyak usaha-usaha kesuburan literasi politik dan
demokrasi telah diwujudkan dan digagaskan dengan pelbagai medan dan saluran.
PEPIAS tidak boleh lagi duduk di tepi-tepian melihat produk-produk pendidikan orang
lain di samping mengikuti dari jauh kegawatan dan ketandusan kepimpinan yang
berlaku. PEPIAS perlu mengikuti rapat usaha dan inisiatif agenda literasi politik, pada
masa yang sama berusaha untuk menimbulkan produk pendidikan politik tersendiri
mengikut neraca kita khususnya terarah kepada golongan mahasiswa dan remaja di
peringkat sekolah menengah. Perkiraannya dengan usaha pendemokrasian pada
peringkat awal ini sedikit sebanyak mampu memberi kesan besar dalam pembangunan
kepimpinan negara, seterusnya mampu memberi manfaat kepada rakyat secara amnya
pada masa akan datang.
16
UCAPAN DASAR PRESIDEN
MUKTAMAR AGUNG TAHUNAN PEPIAS KALI KE-30
8.0 2021: PEPIAS BAHARU
Teman-teman yang dimuliakan,
PEPIAS hari ini memasuki dasawarsa baharu dan semestinya suatu anjakan paradigma
dalam dakwah yang objektif, sistematik dan pragmatik perlu dirangka dan disusun bagi
mendepani cabaran moden ini. Kita tidak mahu apa yang disebut oleh Saidina Ali RA,
“Kebatilan yang terancang akan dapat mengalahkan kebenaran yang tidak terancang”.
Saudara Anwar Ibrahim dalam bukunya, Jelaskan Wadah Memperbaharui Tekad
menyebut, “Perubahan dan pembaharuan harus dianjur oleh gerakan kita menuntut
peralihan daripada pendekatan lama kepada satu perspektif baharu dalam bidang
pemikiran, idea atau tindakan.”
Di dalam Bab 7 buku Persada PEPIAS menukil tentang beberapa idea dan hala tuju
PEPIAS dalam mengharungi masa hadapan. Hari ini kita boleh menilai sendiri tempoh
panjang PEPIAS dalam menempuhnya dan soalan yang patut disemak, adakah kita
boleh berasa selesa dengan selesainya hala tuju yang dirangka oleh pimpinan
terdahulu? Sudah tercapaikah misi dakwah kita dalam membina Tamadun Khayra
Ummah?
Oleh itu, sahabat-sahabat sekalian, dengan kesempatan yang ada harus kita manfaatkan
seluruh kekuatan, pengalaman dan tekad yang kita punyai dalam melakukan rejuvenasi
gerakan PEPIAS pasca tiga (3) dekad di persada dakwah. Gagasan “PEPIAS 2021” sudah
selesai, apa pula gagasan dan hala tuju PEPIAS yang lebih segar perlu untuk kita
perbaharui kelak. Terokailah sebanyak mungkin pendekatan uslub yang ada sesuai
dengan zaman dengan nafas baharu dalam dakwah, akan tetapi jangan sesekali
lunturkan dan meninggalkan tradisi, keunikan, kebedaan dan budaya baik kita yang
sering kita amali.
Kehidupan dunia sangat singkat, kawan-kawan. Pungut sedaya upaya mungkin pahala
sepanjang kita atas jalan dakwah ini. Ustaz Razali Nawawi menulis dalam buku Erti
Perjuangan, “Dunia hari ini amat mengharapkan kebangkitan umat Islam dan umat
Islam mesti menilai diri mereka sendiri bahawa sesungguhnya diangkatkan darjah oleh
Allah, jangan berasa takut dan lemah dalam menjalankan kerja-kerja dakwah”.
Rasulullah ﷺpernah bersabda, mafhumnya, “Apabila seseorang anak Adam itu
meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu
yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya.”
17
UCAPAN DASAR PRESIDEN
MUKTAMAR AGUNG TAHUNAN PEPIAS KALI KE-30
9.0 KHATIMAH
Muktamirin dan muktamirat sekalian,
Marilah kita bersama-sama mengukuhkan tekad dan beriltizam tinggi kepada Allah
SWT dan senantiasa berusaha menjalankan perintah-Nya sesuai dengan kemampuan
diri dan waktu. Dalam mendepani cabaran global dan lokal hari ini, kita perlu lebih
bersikap dinamik, progresif dan proaktif dalam memperkasa perancangan gerakan di
samping mempertajam sarwapandang (worldview) terhadap sesuatu mengikut
keperluan umat.
Cukup kita memeluk tubuh kesejukan sewaktu pandemik ini. Terlalu ramai masyarakat
dan generasi muda hari ini hanyut dengan kepelbagaian ujian dan cabaran. Imam
Badiuzzaman Sa‘ied an-Nursi di dalam Risalah an-Nur menyebut bahawa perjuangan
memerlukan pengorbanan yang tidak sedikit dan bukan hanya ucapan semata-mata.
Bahkan ia menjangkau harta benda, masa, fikiran, sehinggalah sampai diri sendiri mesti
menjadi taruhan. Paling mengesan jika kita merenung makna sebalik apa yang beliau
ungkap, “Kerehatan seorang pejuang adalah dalam perjuangannya”.
ۚ ٱنِفُرو۟ا ِخَفافًا َوثَِقاًَل َو َٰج ِه ُدو۟ا ِبَْم َٰولِ ُك ْم َوأَنُف ِس ُك ْم ِف َسبِي ِل ٱَّلِّل
ٰذَلِ ُك ْم َخيْرٌ َلّ ُك ْم إِن ُكنتُ ْم تَ ْعلَ ُمو َن
Berangkatlah kamu baik dalam keadaan berasa ringan mahupun berat, dan berjihadlah
kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik
bagimu, jika kamu mengetahui.
Surah at-Taubah (9), Ayat 41
Akhirnya, bersempena ulang ingat 30 tahun PEPIAS di persada umat ini, marilah kita
bersama-sama bermuhasabah serta melakukan tazkiatun-nafs yang berterusan bagi
membina daya tahan dan keutuhan gerakan dalam memastikan kita tidak tergelincir
dalam haluan dakwah yang hakiki demi mendapatkan redha Allah SWT. Bersamalah
kita bersaing dalam melakukan amal kebaikan dan kebajikan dengan penuh ikhlas,
ihsan dan itqan semata-mata mengharapkan rahmat dan redha Allah SWT, istiqamah
sehingga kemenangan atau kematian. Memetik puisi yang dinukil oleh Pak Nik:
Dakwah satu perjuangan sepanjang zaman,
Memenuhi tuntutan-tuntutan Tuhan,
Sebagai ‘abdillah yang beriman,
Sebagai khalifah yang berkebajikan.
Selamat bermuktamar!
Salam 30 tahun PEPIAS!
Takbir, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar! Walillahi-Hamd.
18
UCAPAN DASAR PRESIDEN
MUKTAMAR AGUNG TAHUNAN PEPIAS KALI KE-30
RUJUKAN
1. Al-Quran dan Hadits
2. Hasri Harun & Mohd Fauzi Fadzil, 2017, “Ucapan Pemimpin Millennium:
Gagasan Pemikiran & Idea-Idea Dakwah ABIM”, ABIM Selangor
3. Ahmad Fahmi Adzha Mohd Nasarudin, 2020, “Membangun Generasi Penerus,
Menyantuni Kepelbagaian Rintangan”, Ucapan Dasar MATP Kali Ke-29
PEPIAS.
4. Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri, 2019, “Membina Peribadi, Menyantuni
Ummat”, Ucapan Dasar Muktamar Belia Islam Selangor Kali Ke-47.
5. Abdullah Izzuddin Abdul Hamid, 2019, “Generasi Harapan Yang Mendahului
Zaman”, Ucapan Dasar MATP Kali Ke-28 PEPIAS.
6. AKAPENA, 2016, “PEPIAS Di Persada Dakwah”, PEPIAS.
7. Imam Baiduzzaman Sa‘ied an-Nursi. 2021. Pedoman Para Wanita.
Terjemahan Bahasa Melayu. Penerbitan Hayrat.
8. Mustafa Masyur, Jalan Dakwah.
9. Data COVID-19, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM).
10. Data Kadar Kemiskinan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Ekonomi) melalui Jabatan Perangkaan Malaysia.
11. Data Kes Bunuh Diri, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
12. Data Kadar Buta Huruf Kanak-Kanak Malaysia, Tabung Kanak-Kanak
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
13. Dr. Abdul Halim El-Muhammadiy, 1994, Risalah Tarbiyyah ABIM, ABIM.
14. Syeikh Fathi Yakan, Generasi Muda Dan Perubahan.
15. Muhammad Natsir, Fiqhud Da’wah.
16. Dr. Razali Nawawi, 2020 “Erti Perjuangan” Wadah Pencerdasan Umat
Malaysia.
17. Ahmad Fahmi Mohd Nasaruddin, 2012, “Ucapan Dasar MPAT PKPIM Kali Ke-
51”.
18. Anwar Ibrahim, 2010, Jelaskan Wadah Perbaharui Tekad, IKDAS & ABIM.
19