TOKOH WARISAN Nama : Md. Ghani bin Mat Bidang Kraf : Hasil Logam Adiguru Kraf : Blok Batik Negeri : Kelantan Tarikh Lahir : 23 Disember 1956 Lantikan Adiguru Kraf: Tahun 2011
Biodata Tokoh
Encik Md. Ghani bin Mat dilahirkan pada 23 Disember 1956 di Pasir Mas, Kelantan. Beliau mempunyai lima orang adik-beradik yang semuanya terlibat dalam perusahaan batik termasuklah dirinya. Abangnya kini tidak lagi membuat batik manakala adiknya, Johari bin Mat masih aktif membuat batik hingga kini. Kedua-dua ibu bapanya menyara keluarga dengan berniaga di warung. Kini, seorang daripada lima orang anak beliau turut mewarisi kemahiran membuat blok batik ini. Beliau bersekolah dalam aliran Inggeris sehingga darjah enam di SIS Primary School, Pasir Mas. Setelah tamat persekolahan, beliau mengambil keputusan untuk bekerja. Beliau berhijrah ke Kota Bharu dan mula mempelajari kemahiran pembuatan blok batik sejak tahun 1972 iaitu ketika berusia 16 tahun. Di sana, beliau bekerja dengan seorang pembuat blok batik bernama Mohd. Zin bin Ali di Kampung Lundang selama dua tahun. Pada masa itu, beliau belajar sambil bekerja membuat blok batik yang dihasilkan menggunakan kepingan besi (zink) yang dibeli dari kilang tin di Kota Bharu dengan harga 0.30 sen sekilogram. Pada tahun 1974, beliau memulakan perusahaan membuat blok batik sendiri dengan membina bengkel di bawah rumah keluarga beliau di Sungai Budor.
Namun begitu, pada tahun 1975 beliau telah mendapat tawaran kerja sebagai pembuat blok dengan seorang pengusaha batik di Singapura. Memandangkan pasaran batik di sana yang agak kurang menentu dan permintaan blok batik yang agak kurang, beliau pulang semula ke Kelantan setelah dua tahun di Singapura dan kembali mengusahakan bengkel blok batik di Sungai Budor. Beliau meneruskan pembuatan blok batik di Sungai Budor sehinggalah pada tahun 2006, beliau telah menerima bantuan bengkel blok batik bertempat di Wakaf Bharu, ihsan dari Kraftangan Malaysia. Selain itu, beliau turut menerima bantuan mesin belt sander dari Kraftangan Malaysia pada tahun 2010. Encik Ghani tiada kemahiran membuat blok dari kayu namun sepanjang pengetahuan beliau, blok kayu digunakan untuk mengecap warna pada kain putih tanpa menggunakan lilin pada sekitar tahun 1940-an. Menurutnya lagi, pada masa itu hasil terapan atau cap dengan menggunakan blok besi adalah lebih halus berbanding dengan blok kayu. Ini kerana blok besi yang dihasilkan pada tahun 1940-an adalah lebih cantik dan kemas untuk digunakan dalam penghasilan batik. Tokoh Adiguru dalam bidang kraftangan blok batik di Malaysia telah diterima oleh Encik Md. Ghani Bin Mat. Bapa kepada lima orang anak ini memulakan kerjaya sebagai pembuat kraftangan blok batik sejak berumur 21 tahun. Pada permulaan menceburi bidang ini, En Md Ghani mempelajari kemahiran membuat blok batik dengan menghadiri kursus di Lundang, Kota Bharu Kelantan. Dalam setiap penghasilan blok batik, beliau sering mengguna dan mengubah reka corak yang berunsurkan motif flora untuk disesuaikan mengikut kehendak dan cita rasa pelanggan.
Apa itu Batik Blok ?
Batik Blok dikenali juga sebagai Batik Terap atau Batik Pukul merupakan salah satu daripada seni kraf buatan tangan tradisional yang terkenal di Malaysia.Ia dihasilkan melalui proses penerapan lilin dan penerapan warna. Sejarah perkembangan batik di Malaysia dipercayai bermula pada abad ke-15 Masihi dan ianya terus berkembang terutama selepas tamat Perang Dunia Kedua. Pengusaha batik di Kelantan dan Terengganu merupakan perintis kepada perkembangan batik di negara ini. Hasil hasil batik tempatan tinggi mutu ciptaan dan rekacoraknya dan ianya melambangkan kerja tangan masyarakat tempatan. Di Malaysia, teknik terawal yang diperkenalkan ialah Batik Blok. Proses awal dalam perkembangan membuat Batik Blok adalah menggunakan ukiran sarang acuan kayu dengan menerap sejenis pewarna hitam dan teknik awal ini dikenali sebagai ‘terap hitam’.Pada tahun 1930 an, penggunaan lilin dalam proses penerapan mula diperkenalkan oleh pembuat batik di pantai Timur. Sejajar dengan itu, acuan yang diperbuat daripada kepingan keluli mula digantikan dengan acuan kayu sebelumnya. Corak-corak acuan ini lebih kemas dan halus buatannya.Acuan khas disediakan untuk menerap lilin pada sarung di bahagian kepala kain, kapit kain, badan kain dan kaki kain. Batik Blok adalah adaptasi daripada unsur alam semulajadi. Kebanyakannya berdasarkan kepada flora dan fauna. Corak flora dipilih daripada bahagian-bahagian tumbuhan yang ditiru berasaskan bentuk bunga. Gubahan motif dan corak direka secara realistik, abstrak dan stilisasi dalam bentuk geometrik atau organikk
Sumbangan Tokoh
SUMBANGAN TOKOH BERKEMAHIRAN DAN PAKAR DALAM BIDANG KRAF WARISAN Mendapat Pendidikan tertinggi di Sekolah Kebangsaan Ibrahim, Pasir Mas, Kelantan. Mempelajari kemahiran membuat blok batik dengan menghadiri kursus di Lundang, Kota Bharu, Kelantan.Blok batik yang dihasilkan oleh En. Md.Ghani Bin Mat sentiasa menjadi ikutan atau contoh kepada pengusaha kraf blok batik disekitar negeri Kelantan khususnya. Hasil produk beliau sentiasa dikagumi kerana kualiti dan kekemasan yang dihasilkan. INOVASI DALAM MENGHASILKAN KARYA ATAU REKA CIPTA Encik Md. Ghani Bin Mat turut menggunakan alatan moden dalam proses membuat blok batik sama ada yang hendak dijual atau tempahan khas kerana alatan ini dapat mempertingkatkan lagi proses kerja disamping menjaga kualiti produk. Pada masa yang sama beliau juga menggunakan kaedah tradisional didalam pembuatan blok batik ini. Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan memberikan bantuan berupa mesin belt sander untuk mempertingkatkan lagi kualiti blok batik yang dihasilkan oleh beliau. Produk yang dihasilkan oleh En. Md.Ghani Bin Mat juga sering mendapat liputan daripada media massa (cetak dan elektronik) antara Sinar Harian, TV3, RTM dan banyak lagi rencana mengenai beliau.
SUMBANGAN DALAM PEMBANGUNAN INDUSTRI KRAF NEGARA En. Md.Ghani Bin Mat juga turut memberi sumbangan dalam membangunkan dan mengembangkan indsutri kraf negara. Sumbangan beliau adalah seperti menurunkan kemahiran kepada para pekerja-pekerja beliau terutamanya dan anak-anaknya. En. Md.Ghani Bin Mat menurunkan kemahiran yang dimilikinya melalui latihan yang diberikan kepada pekerjanya. Beliau juga menurunkan kemahiran tersebut kepada 2 orang anak-anak beliau iaitu Mohd Erri Azri dan Ahmad Adi Adli. Disamping itu juga, En. Md Ghani Bin Mat menurukan kemahiran yang dimiliki melalui kursus Latihan Jangka Pendek ( Blok Batik ) dan menyertai Skim Perantisan Kraf Warisan yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan. SUMBANGAN TOKOH Antara reka corak dan motif yang beliau gubah:- a. Pucuk Rebung b. Abstrak c. Bunga d. Daun
Pencapaian Tokoh
Pengiktirafan ke atas Kepakaran Beliau tidak pernah mendapat pengiktirafan dari mana-mana pihak sepanjang 32 tahun menceburi bidang pertukangan kraf blok batik. Pencapaian Kerjaya Sepanjang menceburkan diri dalam perusahaan pertukangan kraf blok batik, Md. Ghani Mat telah berjaya menubuhkan sebuah bengkel dengan lima (5) orang tenaga kerja hasil bantuan dari Kraftangan Malaysia. Dokumentari Produk yang dihasilkan oleh Md. Ghani Mat sering mendapat liputan daripada media massa (cetak dan elektronik) antaranya ruang INFO Berita Harian pada 9 Mei 2008. PENCAPAIAN TOKOH
Lampiran