The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

ANA SOFEA BINTI MOHD IQBAL
PISMP TESL SJKC1
MPU3112m TUGASAN 3

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by 1757-24-ana, 2023-11-01 05:33:43

PESANAN AYAH TERHADAP PUTERI SULUNGNYA

ANA SOFEA BINTI MOHD IQBAL
PISMP TESL SJKC1
MPU3112m TUGASAN 3

Pesanan Ayah Kepada Puteri Sulungnya KARYA: ANA SOFEA


PESANAN PERTAMA:KAKAK HARAPAN DADY “Kakak, kakak mesti belajar bersungguh-sungguh dan jaga adab waktu bergaul sama orang. Kakak harapan dady sama mami, jadi contoh yang baik kepada Atul, Rayyan dan Peena.” Semenjak kelahiran cahaya mata kedua dalam keluarga kami, orang tuaku sentiasa mengingatkan diriku berkaitan dengan tanggungjawab yang wajarku pikul sebagai anak sulung. “Kakak, tolong ajar adik Bahasa Cina.” “Kakak, tolong kemas rumah.” “Kakak, jangan lupa jemur kain.” Tanggungjawabku kian terasa apabilaku menginjak ke alam sekolah menengah. Di kala aku masih tidak mengenali diriku, aku berasa terbeban dengan komitmen yang harusku utamakan. Walaupun mungkin di mata orang, komitmen tersebut hanya merangkumi tugastugas yang kecil. Namun, pada waktu itu, aku dihentam dengan pelbagai cabaran, aku tidak tahu cara untuk menyeimbangkan semua tanggungjawabku dari segi komitmen terhadap akademik, peranan diriku sebagai anak sulung dan kemahuan serta kemampuan diriku sendiri. Dalam hanyutan laut penuh dengan dugaan, aku bersyukur kerana ayah dan ibuku sentiasa ada di sampingku untuk memberi panduan dan pertolongan di saatku lemah. Mereka sentiasa memberi semangat kepada diriku untuk terus berjuang kerana banyak lagi cabaran yang bakal membentuk diriku yang menanti kelak. Doa mereka, merupakan senjata terkuatku dan anugerah terbaik yang aku terima selama ini. Ibu dan ayahku, merupakan tempatku bersandar di saat aku lelah, tempat yang selamat untuk aku berteduh bagi mengembalikan semangatku yang pudar agar menjadi bintang yang membawa harapan mereka.


PESANAN KEDUA:KAKAK JANGAN RISAU, DADY ADA 2020, merupakan tahun yang dimulai dengan optimisme dan harapan. Segalanya berubah setelah laporan berkenaan wabak penyakit virus Corona yang muncul di Wuhan, China tersebar di seluruh pelosok dunia. Ramai kakitangan yang kehilangan punca rezeki dan tempat bergantung termasuklah ayahku. Kehidupanku sepanjang menjalani perintah kawalan berkurung yang telah dikuatkuasa oleh kerajaan menjadi semakin rumit. Meskipun dibebani masalah yang menimpa, ayah tidak pernah mengeluh letih demi menampung sumber kewangan kami sekeluarga. Pada suatu hari, aku berhasrat untuk membeli sebuah komputer riba bagi kegunaanku untuk menyertai kelas atas talian memandangkan pada waktu tersebut, kelas bersemuka tidak dapat digiatkan rentetan wabak yang melanda. Aku dihimpit perasaan bersalah untuk meminta, namun kata-kata yang diucapkan oleh ayahku membuatka aku berasa sungguh terharu. “Kakak, walaupun mami sama dady sedang susah dalam ekonomi sekarang, jangan risau. Dady sama mami akan berusaha kasih lengkap keperluan kamu. Tapi, kakak mesti ingat waktu besar nanti kakak lagi yang kena bantu adik-adik.” Pengorbanan yang ditunjukkan oleh ayah demi memberikan keperluan yang terbaik, meninggalkan impak yang sangat besar kepada kami sekeluarga. Sungguhpun hidup kami ditimpa musibah pada ketika itu, ayah menjadi tokoh utama dalam keluarga kerana beliau tidak pernah jemu berusaha bersungguh-sungguh demi memperbaiki ekonomi keluarga dan melaksanakan amanahnya untuk memenuhi keperluan kami walaupun beliau tertekan sehingga menjadikannya tampak botak. Peristiwa tersebut menjadi sumber semangatku untuk tidak mudah putus asa walau apa pun yang menghalangku sewaktu belajar. Peristiwa itu juga menjadi sebuah ingatan kepada diriku bahawa aku mesti lakukan yang terbaik untuk membanggakan kedua-dua ibu dan ayahku.


PESANAN KETIGA:DADY BANGGA SAMA KAKAK “Kakak, jangan malu-malu, kakak mesti yakin sama diri kakak, kakak kebanggaan dady.” Aku suka menyanyi sejak berumur 5 tahun. Apabila aktiviti keluarga diadakan, aku kerap menyanyikan lagu Disney dan artis-artis lain lalu membayangkan diriku sebagai seorang puteri. Ayahku sentiasa menyokong hobiku dan menggalakkan aku untuk membuat persembahan di acara sosial keluarga seperti majlis perkahwinan. Sejujurnya, aku berasa segan kerana tidak yakin dengan kemahiran menyanyiku. Namun, ayahku menjadi tulang belakangku dan sentiasa memberi sokongan yang jitu setiap kali aku membuat persembahan di pentas. Ayahku mengajarku satu peribahasa yang menjadi peganganku hingga kini. Peribahasa tersebut berbunyi: “Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dulu, bersenang-senang kemudian.” Untuk meningkatkan keyakinan diriku bagi bersosial secara terbuka, ayahku menggalakkanku menyertai pelbagai pertandingan. Sebagai contohnya, pertandingan forum, aktiviti debat, serta pengucapan awam. Usahanya sememangnya membuahkan hasil kerana ia berjaya membentuk keyakinan diriku. Pada 11 Ogos 2023, majlis resepsi perkahwinan abang sepupuku dianjurkan. Atas dorongan keluargaku, aku dipilih untuk mewakili keluargaku mendendangkan dua buah lagu bahasa Cina. Pada awalnya, aku sedikit hairan mengapa lagu bahasa Cina dipilih untuk didendangkan di sebuah majlis perkahwinan bangsa Melayu. Namun persoalanku terjawab apabila aku teringat bahawa sepupuku mempunyai darah kacukan bangsa Cina dalam keluarganya. Oleh itu, lagu bahasa Cina dipilih bagi meraihkan kepelbagaian bangsa. Sebelum aku naik pentas, aku berasa sangat gementar kerana ini merupakan kali pertamaku menyanyi di hadapan ratusan mata yang memandang. Akan tetapi perasaan gusarku berlalu pergi sejurus aku memandang senyuman dan tawa ayahku yang lebar. Riak wajah ayahku pada saat itu menjadi satu petanda bahawa aku telah membanggakan beliau. Memori terindah akan tersemat dalam kalbu sehingga akhir hayat.


DADY, JANGAN PERGI 21 Ogos 2023, merupakan tarikh keramat hidupku yang mengubah hidupku 360 darjah. Setelah melafazkan dua kalimah syahadah, ayahku menghembuskan nafas terakhir. Kehidupan kami yang selama ini diterangi cahaya matahari kini diliputi awan yang gelap-gelita. Ayahku meninggal dunia akibat serangan jantung, Peninggalan ayahku membuatku rasa ibarat aku kehilangan satu sayap yang membangkitkan diriku untuk terbang di langit, Seminggu setelah peninggalan ayahku, masih sukar untuk aku percaya kenyataan. Kenyataan bahawa aku tiada ayah di sampingku lagi, kenyataan bahawa aku kini digelar anak yatim. Aku menangis, aku cuba untuk redha, namun kehilangan ini menusuk sanubariku. Walaubagaimanapun, aku sedar bahawa aku perlu kuat. Aku harus cekal demi mengharungi segala cabaran hidup, aku harus kuat untuk ibu dan adik-beradikku kerana aku mendengar sayup suara arwah ayahku. “Kakak harapan dady.” DADY, KAKAK RINDU DADY Meskipun tiga bulan sudah berlalu, kenangan manis bersama ayah tetap mengisi hatiku. Setiap kali aku dibelenggu kesepian atau membutuhkan nasihat, aku mengingati ayahku yang pernah menjadi tempat perlindungan dan sumber inspirasiku. Setiap kali aku melihat ibu dan adik-beradikku berduka, aku rindukan kehadiran ayahku yang sering menceriakan hati kami. Walaupun ayahku telah tiada, kasih sayangnya tetap abadi dalam hati dan aku berdoa agar suatu hari nanti aku akan bertemu denganmu wahai Ayah. Tiba masa kakak nanti, kita jumpa di sana dady.


Click to View FlipBook Version