Teks ucapan pengacara majlis
Mohon perhatian
Para hadirin yang dimuliakan. Berikut merupakan tentatif perjalanan majlis kita pada hari ini.
Setiap peserta perlu mendaftar dengan Ustazah Azian dan Cikgu Hanim supaya kita dapat
pastikan semua hadir. Kemudian, saya akan memberikan kata-kata aluan dan menjemput Ustaz
Rahman untuk membacakan doa. Seterusnya kita akan mendengar ucapan alu-aluan daripada
Cikgu Johari dan Tuan Guru Besar. Selesai mendengar ucapan, kita akan mulakan
pertandingan ini dengan tayangan video penyertaan yang pertama. Juri-juri akan memberikan
komen sebelum kita beralih ke tayangan video penyertaan yang kedua. Kita akan teruskan
acara ini sehingga ke video terakhir iaitu video keenam. Akhir sekali, saya akan umumkan para
pemenang dan seterusnya kita akan bersurai.
Bagi memastikan majlis kita berjalan dengan lancar, para hadirin diminta agar memastikan
menutup fungsi mikrofon anda dan saya meminta kerjasama para hadirin agar bersama-sama
dengan kami sehingga penghujung majlis ini. Majlis akan dimulakan sebentar lagi.
Anak helang mencari makan,
Anak merbah menyanyi menari;
Selamat datang kami ucapkan,
Semoga hadirin selesa di sini.
Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera saya ucapkan. Yang
berbahagia Encik Mohamad Ibrahim bin Ngah Sahib, Guru Besar SK Sauk selaku pengerusi
program kita pada harini. Yang berusaha Encik Najib Hafidz bin Nizam, Penolong Kanan
Pentadbiran SK Sauk. Yang berusaha Encik Ahmad Johari bin Dawud, Penolong Kanan
Kokurikulum SK Sauk. Yang dikasihi barisan juri Pertandingan Video Pendek Memasak Unit
Beruniform SK Sauk, barisan jawatankuasa, guru-guru dan para peserta sekalian.
Bagi pihak Jawatankuasa Pertandingan Video Pendek Memasak Unit Beruniform SK Sauk,
saya dengan sukacitanya mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan, puan-puan, dan
saudara-saudari ke perjumpaan kita di Google Meet pada hari ini. Huan Ying, Vanakam,
Selamat Datang. Semoga kehadiran anda semua pada hari ini bakal memeriahkan lagi majlis
ini serta dapat merapatkan lagi hubungan sesama kita.
Adat berbahasa menyampaikan pesan
Adat majlis menyampaikan ucapan
Sebagai pembuka tirai majlis pertandingan, majlis dengan sukacitanya mempersilakan Encik
Ahmad Johari bin Dawud selaku Penolong Kanan Kokurikulum untuk menyampaikan sepatah
dua kata ucapan kata alu-aluan. Majlis dengan hormatnya mempersilakan.
Majlis merakamkan ribuan terima kasih kepada Encik Ahmad Johari atas ucapan yang telah
disampaikan sebentar tadi. Seterusnya saya dengan sukacitanya menjemput Encik Mohamad
Ibrahim bin Ngah Sahib, Guru Besar, untuk menyampaikan ucapannya. Dengan segala
hormatnya dipersilakan.
Majlis merakamkan ribuan terima kasih kepada Encik Mohamad Ibrahim atas ucapan yang
telah disampaikan sebentar tadi.
Para hadirin yang dihormati, Objektif pertandingan ini diadakan adalah bagi menambahbaik
kemahiran murid-murid dalam penghasilan dan penyuntingan video. Selain itu, pertandingan ini
juga bertujuan untuk mengembangkan bakat murid-murid dalam bidang masakan. Tambahan
lagi, pertandingan ini juga adalah bertujuan untuk menanamkan semangat daya saing yang
sihat dan nilai kreativiti dalam kalangan murid-murid.
Majlis diteruskan dengan tayangan video penyertaan dari peserta yang pertama, Adam Zafran
bin Khulail dengan menu istimewanya “Sambal Udang Pedas Berbisa”. Mari kita tonton
bersama video masakannya.
Menarik sekali video masakan oleh peserta pertama kita. Nampaknya persaingan bukan
biasa-biasa untuk pertandingan kita ini. Video yang dihasilkan berjaya menunjukkan kesedapan
masakan tersebut. Saya jemput juri-juri untuk memberikan komen serta ulasan bagi video adik
Adam Zafran. Dipersilakan.
Terima kasih diucapkan kepada juri yang dihormati. Kita beralih pula kepada video penyertaan
dari peserta kita yang kedua iaitu Nur Syazwana binti Ilham dengan menu istimewanya,
“Banana Chocolate Popia”. Mari kita saksikan.
Terliur saya melihat video masakan adik Nur Syazwana sebentar tadi. Apa pula kata juri,
dipersilakan.
Terima kasih atas ulasan yang diberikan oleh para juri. Seterusnya kita akan menonton
bersama video penyertaan dari peserta ketiga, Nurul Sofea binti Zahirul dengan menu
istimewanya “Ayam Masak Merah Pasti Tambah Lagi”. Mari kita saksikan.
Setakat ini tiada satu pun video yang gagal membuatkan saya lapar. Kehebatan dalam
menyunting video juga terserlah daripada video-video penyertaan ini. Saya jemput juri-juri untuk
memberi ulasan bagi video adik Nurul Sofea sebentar tadi.
Terima kasih atas ulasan tersebut, para juri. Untuk video seterusnya, kita akan menonton
masakan menu yang diberi nama “Bomboloni Kasih Sayang” yang dibuat oleh adik Laila
Kamilia binti Zahidan. Mari kita sama sama menontonnya.
Nampak gayanya saingan makin sengit. Setiap video menunjukkan keistimewaan yang
tersendiri. Apa pula kata juri untuk video adik Laila, dipersilakan.
Terima kasih diatas ulasan yang diberikan oleh para juri. Kita sudah sampai ke video
penyertaan yang kelima iaitu oleh adik Mikail Zulqarnain bin Muhammad Haziq dengan
menunya yang diberi nama “Pasta Tekak Melayu”. Mari kita sama-sama saksikan.
Ini adalah satu menu gabungan resepi luar negara dan tempatan yang sangat menarik.
Bagaimana kata juri? Mai kita dengarkan.
Terima kasih diatas ulasan tersebut, para juri. Namun, kita sudah sampai ke video penyertaan
yang terakhir iaitu oleh adik Hud Auzaie bin Hazmi dengan menu istimewanya, “Mee Goreng
World”. Mari kita sama-sama menontonnya.
Menarik resepi yang baru dipertontonkan sebentar tadi, ya. Resepi yang mudah tapi nampak
menyelerakan. Kita dengar dulu apa kata juri untuk video adik Hud ini.
Terima kasih diatas ulasan tersebut, para juri. Dengan berakhirnya tayangan video keenam tadi,
tamatlah sudah pertandingan video pendek memasak pada hari ini. Debaran kian terasa. Untuk
makluman hadirin sekalian hanya 3 orang peserta akan dipilih sebagai pemenang utama untuk
pertandingan ini.
Sekarang keputusan sudah berada di tangan saya.
Keputusan Pertandingan Video Pendek Memasak Unit Beruniform SK Sauk 2021.
Tempat ketiga dimenangi oleh Nurul Sofea binti Zahirul
Tempat kedua dimenangi oleh Laila Kamilia binti Zahidan
Tempat pertama dimenangi oleh Adam Zafran bin Khulail
Majlis dengan sukacitanya memaklumkan bahawa hadiah hadiah pemenang telah pun
disediakan dan akan diberikan kepada para pemenang pada perhimpunan pertama sejurus
pembukaan sekolah kita pada September ini.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang menjayakan majlis pertandingan ini dari
awal hingga akhir majlis. Tanpa sokongan anda semua, majlis ini mungkin tidak dapat
dijalankan seperti yang telah dirancangkan.
Majlis mohon mengundur diri.
Tersilap tersalah harap diampun
Terkasar bahasa maaf dipohon
Akhir kata, xie xie (syeh-syeh), Nandri, terima kasih.
Teks Ucapan Penolong Kanan Kokurikulum
Terima kasih saudara pengerusi majlis, Cik Norulhuda.
Yang dihormati,
Tuan Guru Besar, Encik Mohamad Ibrahim bin Ngah Sahib, Penolong Kanan Pentadbiran,
Encik Najib Hafidz, Ketua Program, Puan Anita binti Ishak. Barisan Jawatankuasa Pertandingan
Video Pendek Memasak Unit Beruniform SK Sauk 2021. Para peserta yang diraikan sekalian.
INDAH BERBALAM SI AWAN PETANG,
BERARAK DI CELAH PEPOHON ARA;
PEMANIS KALAM SELAMAT DATANG,
AWAL BISMILLAH PEMBUKA BICARA…
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
ALHAMDULILLAHIRABIL ALAMIN, WASSOLATU WASSALAMU ALA ASYRAFIL ANBIYAI
WAL MURSALIN WA ALA AALIHI WASOHBIHI AJMAIIN. Segala Puji-pujian bagi Allah S.W.T,
Tuhan sekalian alam yang telah mengizinkan kita untuk sama-sama berhimpun di dalam acara
Pertandingan Video Pendek Memasak Unit Beruniform SK Sauk 2021. Marilah kita panjatkan
kesyukuran dengan limpah kurnia dan nikmat yang begitu mendalam dan bermakna untuk kita
semua.
Sepertimana yang telah kita semua sedia maklum, kita kini sedang dilanda pandemik
COVID-19 yang berbahaya sehingga telah meragut ratusan nyawa di negara kita. Terlalu rindu
bagi kami para guru untuk bertemu anak-anak murid di sekolah bagi melaksanakan aktiviti
kurikulum mahupun kokurikulum. Namun, perjumpaan bersemuka adalah sangat berbahaya
buat masa sekarang. Pun begitu, kita masih mempunyai alternatif lain untuk menjalankan
aktiviti kita. Itulah yang sedang kita laksanakan dalam Pertandingan Video Pendek Memasak ini
yang mana kita lakukan secara atas talian. Semestinya ini menjadi pengalaman baru buat kita
semua, dan ianya adalah pengalaman yang memberi memori manis walaupun disaat kesukaran
kita yang perlu mempraktekkan penjarakan sosial sekarang.
Para hadirin yang di hormati sekalian,
Pada kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah kepada semua peserta Pertandingan Video
Pendek Memasak UNit Beruniform yang berani menyahut cabaran untuk menyertai
pertandingan yang julung kalinya dibuat oleh sekolah kita. Masing-masing mempunyai
semangat daya saing yang sihat dan memikul nama unit beruniform dalam pertandingan ini.
Saya ucapkan tahniah kepada para peserta dan saya pasti, jika pertandingan secara atas talian
diadakan lagi selepas ini, murid-murid akan semakin yakin untuk menyertainya. Jutaan terima
kasih juga saya ucapkan kepada jawatankuasa pertandingan ini yang telah meluangkan masa
dan tenaga bagi merancang pertandingan ini. Semoga dengan usaha kita dapatlah kita
melahirkan modal insan dalam kalangan murid-murid kita yang bukan sahaja berbakar malah
berkemahiran dalam bidang teknologi.
Para hadirin yang di hormati sekalian,
Di sini juga saya mengambil peluang untuk mengucapkan selamat maju jaya untuk etiap
peserta pertandingan ini. Cikgu doakan setiap daripada kamu terus maju jaya untuk setiap yang
kamu sertai selepas ini. Semangat para pserta amat saya hargai.
Sekian. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.
Teks Ucapan Guru Besar
Bismillahirrahmanirrahim….
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..
Terima kasih Pengacara Majlis, Cik Norulhuda.
Yang Berusaha, barisan guru-guru Penolong Kanan, barisan jawatankuasa pertandinagn,
guru-guru SK Sauk, serta para peserta Pertandingan Video Pendek Memasak Unit Beruniform
SK Sauk 2021.
Saya rasa bertuah dan bersyukur kerana pada pagi yang penuh bermakna ini kita dapat
berkumpul bersama-sama bagi mengadakan pertandingan online yang julung kalinya kita
adakan. Ini juga adalah sesuatu yang baru buat saya. Jelas bahawa kita semakin searus
dengan era teknologi dimana kini majlis juga boleh kita adakan secara online. Sudah tentu tidak
dapat melawan majlis bersemuka yang biasa kita adakan di sekolah yang tercinta. Namun,
pengalaman ini adalah sesuatu yang patut kita jadikan sesuatu yang boleh mengajar kita.
Semoga COVID-19 ini akan diangkat dari bumi Allah ini dan kita akhirnya dapat bersama-sama
seperti dahulu. Mungkin ini salah satu cara Tuhan mengajar kita untuk lebih menghargai
masa-masa kita bersama selepas ini.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Walaubagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana kita masih berpeluang untuk mengadakan
aktiviti seperti pertandingan kita pada hari ini bersama murid-murid kita. Meskipun kita tidak
bersemuka, aktiviti pembelajaran tidak sepatutnya terhenti. Pertandingan secara online ini akan
dapat mengajar kamu tentang banyak perkara termasuk cara-cara merakam video, menyunting
video dan juga memasak. Harapan cikgu juga adalah supaya kamu dapat memanfaatkan masa
lapang kamu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dengan aktivit-aktiviti
yang berfaedah.
Para hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Pertandingan Video Pendek anjuran Unit Kokurikulum SK Sauk ini diadakan sejak minggu lalu
dimana para peserta diberi masa untuk menghantar video penyertaan mereka sebelum tarikh
tutup. Terdapat kategori lain bagi pertandingan ini selain memasak iaitu membuat kraftangan
dan juga membuat simpulan dan ikatan. Sepanjang perjumpaan kokurikulum yang lepas, setiap
ahli unit beruniform telah diberikan tunjuk ajar bagi kategori-kategori pertandingan ini. Kini tiba
masanya untuk menguji murid-murid atas pengetahuan mereka dalam aktiviti kokurikulum.
Maka pihak jawatankuasa telah merancang pertandingan ini dan di improvisasikan agar boleh
dijalankan secara online. Setiap unit beruniform diminta menghantarkan wakil masing-masing
bagi setiap kategori. Hasilnya, kita telah mendapat penyertaan sebanyak 26 orang bagi
keseluruhan pertandingan ini.
Sekalung tahniah juga untuk semua jawatankuasa yang telah berusaha merancang dan
melaksanakan pertandingan ini. Harapan kita untuk murid-murid kita sama, iaitu untuk
menjadikan mereka seorang modal insan yang baik dan berguna. Syabas juga diucapkan
kepada para peserta yang telah berusaha menghasilkan video yang terbaik sebagai penyertaan
untuk pertandingan ini. Cikgu doakan semoga usaha kamu membuahkan hasil dan dapat
memberikan kamu ilmu baharu. Semoga kamu berjaya dalam segala yang kamu lakukan.
Akhir kata, dengan lafaz mulia BISMILLAHHIRROHMANIROHIM, saya rasmikan Pertandingan
Video Pendek Unit Beruniform SK Sauk Tahun 2021.
Ikan sembilang sepat dan kelah,
Guna bubu biasa di hujung,
Pencapaian cemerlang dapat hadiah,
Petanda ilmu sentiasa dijunjung.
Sekian sahaja ucapan saya. Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi
wabaratuh.