Bahasa Malaysia
Kertas 1
Arahan Soalan:
1. Mata pelajaran ini mengandungi 2 kertas :
Kertas 1 (100%)
Kertas 2 (100%)
Kertas ini mengandungi 2 Bahagian :
a) Bahagian A : Karangan ( 80% )
b) Bahagian B : Penterjemahan ( 20% )
2. Pelajar perlu memilih satu tajuk di bahagian A dan jawab semua
soalan di bahagian B.
3. Pastikan pelajar menulis nombor atau tajuk soalan yang telah dipilih.
Jawapan mestilah ditulis dengan pen berdakwat biru atau hitam.
4. Kertas ini mengandungi 2 halaman bercetak termasuk muka hadapan.
Jangan Buka Kertas Soalan Ini Sehingga Diberitahu
Nama Pelajar : _______________________ Tingkatan: ___________
BAHAGIAN A: KARANGAN ( 80% )
Tulis sebuah karangan tentang salah satu daripada tajuk di bawah ini. Panjangnya hendaklah
antara 350 hingga 500 patah perkataan. Markah akan dipertimbangkan berdasarkan isi,
penyampaian, gaya Bahasa, tatabahasa, ejaan, dan susunannya.
1. Belakangan ini hubungan kasih sayang dan keluarga semakin luntur, tanpa kita sedari
sebenarnya hubungan kekeluarga sangat penting. Berikan usaha-usaha untuk
memupuk keluarga penyayang dalam masyarakat.
2. Gejala sosial semakin yang semakin meruncing tidak harus dipandang enteng.
Berikan langkah yang efektif untuk menangani gejala sosial yang kinI berleluasa di
negara kita.
3. Rakan anda sering terbabit dalam perlumbaan motosikal haram. Anda ingin
menasihatinya supaya meninggalkan aktiviti yang tidak berfaedah tersebut. Tulis
sepucuk surat kepada rakan anda itu.
Kampung Batas Paip,
Jalan Kepala Batas,
06500 Alor Setar,
Kedah Darul Aman.
4. Kebelakangan ini pencemaran alam sekitar semakin serius berlaku. Sebagai editor
majalah tulis rencana tentang pencemaran alam sekitar anda selengkapnya.
5. Kes pengabaian warga tua di negara kita semakin meningkat dari setahun ke
setahun. Masalah ini tidak harus dibiarkan berlaku.
Bincangkan kesan-kesan pengabaian warga tua.
Langkah / Cara / Inisiatif / Usaha untuk Melahirkan Keluarga yang Penyayang
Menurut Kamus Dewan edisi keempat, keluarga bermaksud seisi rumah tangga yang terdiri
daripada suami dan isteri atau beserta anak-anak. Di dada-dada akhbar tempatan terutamanya
Berita Harian sering memaparkan isu keluarga yang penyayang. Dalam sidang media baru-
baru ini, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang keenam pernah
berucap bahawa ahli keluarga terutama pihak ibu bapa perlu memberikan kasih sayang
sepenuhnya kepad anak-anak supaya dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dalam
kegiatan yang tidak bermoral. Setiap ahli keluarga perlu berusaha mempererat hubungan
kekeluargaan persis peribahasa Melayu, air yang dicincang tak akan putus. Persoalannya,
apakah langkah-langkah untuk melahirkan keluarga yang penyayang?
Pada pendapat saya, antara langkah untuk melahirkan keluarga yang penyayang ialah pihak ibu
bapa perlu mencari nafkah yang halal untuk ahli keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana,
nafkah yang diberikan kepada anak-anak akan membentuk mereka untuk menjadi seorang
insan, sama ada menjadi insan yang berguna atau sebaliknya. Sebagai contohnya, ibu bapa
membelikan makanan untuk anak-anak daripada sumber yang halal , mereka dapat membesar
dengan sihat dan dapat menyumbang dalam pembangunan negara serta dapat melahirkan
anggota keluarga yang bersih daripada perkara-perkara yang negatif. Benarlah, anak-anak
ibarat kain putih dan ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya . Ibu bapa perlulah
menjadi inspirasI kepada anak-anak untuk bekerja secara halal kerana peribahasa Melayu
menyatakan, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Izharnya, nafkah halal yang
diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak merupakan salah satu langkah melahirkan keluarga
penyayang.
Dari kaca mata yang sama, ibu bapa sebagai suri teladan kepada anak-anak juga merupakan
salah satu langkah untuk melahirkan keluarga yang penyayang. Peranan ibu bapa dalam usaha
membentuk keluarga sakinah adalah amat penting. Ibu bapa perlu menjadi uswah teladan
kepada anak-anak supaya dapat dicontohi oleh mereka. Tamsilnya, seorang bapa boleh
berbicara dengan penuh kelembutan apabila berkomunikasi dengan isteri dan anak-anak selain
ahli keluarga saling menghormati antara satu sama lain. Kata orang, yang tua dihormati yang
muda disayangi, barulah keluarga harmoni. Apabila anak-anak melihat keharmonian kedua-
dua orang tua mereka, mereka juga akan meneladani sikap baik itu apabila berinteraksi sesama
mereka kerana bagaimana rentak begitulah tarinya. Tegasnya, tingkah laku baik yang
dipaparkan oleh ibu bapa kepada anak-anak bakal dapat mewujudkan keluarga yang bahagia
kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Jika ditelusuri dengan lebih teliti, pemberian didikan agama dan moral yang sempurna dalam
kalangan generasi muda daripada pihak ibu bapa juga dapat menyumbang ke arah
pembentukan sebuah keluarga yang bahagia dan penyayang. Hal ini disebabkan oleh pegangan
agama serta nilai moral yang kuat membentuk nilai sahsiah yang tinggi dalam kalangan
generasi muda. Kualiti ini akan melahirkan ibu dan bapa yang bertanggungjawab serta dapat
memikul tugas membangunkan rumah tangga dengan efektif.. Sebagai ibu bapa, mereka perlu
memberikan didikan agama serta menerapkan nilai-nilai akhlak dan moral dalam kalangan
anak-anak. Anak-anak yang sopan akan menghormati orang tua mereka dan saling bekerjasama
sesama adik-beradik. Benarlah kata orang tua-tua, yang berat sama dipikul, yang ringan sama
dijinjing. Maka, jika semangat ini dapat diwujudkan dalam jiwa setiap ahli keluarga, sudah
pasti sebuah keluarga yang mantap dan harmoni dapat dilahirkan.
Secara intihanya, terdapat pelbagai sinergi yang proaktif dan pragmatik dapat
diimplimentasikan bagi melahirkan keluarga penyayang. Sinergi yang padu daripada semua
pihak penting bagi memastikan keluarga penyayang dapat diwujudkan sekali gus melahirkan
remaja yang progresif kerana golongan inilah yang akan memegang tampuk pemerintahan pada
masa akan datang. Setiap usaha daripada badan kerajaan dan bukan kerajaan amat signifikan
bagi memastikan keluarga yang penyayang dapat dilahirkan. Kejayaan sesebuah institusi yang
besar iaitu negara dapat dicapai melalui kejayaan institusi yang kecil iaitu keluarga. Oleh itu,
semua rakyat Malaysia perlu bersama-sama menggembleng tenaga bagi melahirkan
keluarga penyayang
Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap penjuru dunia
tentang masalah sosial dalam kalangan remaja seperti merempit, melepak , penyalahgunaan
dadah, pergaulan bebas dan sebagainya. Umum mengetahui bahawa masalah sosial dalam
kalangan remaja semakin membimbangkan. Seandainya kita terus leka dan memandang remeh
terhadap isu ini pasti usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pasti akan
menjadi omomg kosong sahaja. Persoalannya mengapakah masalah sedemikian berlaku?
Siapakah yang harus dipersalahkan? Tiada prnyakit yang tiada penawarnya, maka langkah-
langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar
masalah ini boleh diatasi hingga ke akar umbi.
Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa, antara tindakan yang boleh diambil
untuk mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja ialah melalui peranan ibu bapa dan
keluarga. Hal ini demikian kerana kita sedia maklum bahawa kebanyakan masa para remaja
banyak dihabiskan di rumah terutamanya sewaktu cuti persekolahan. Ibu bapa sewajarnya
memberikan perhatian dan kasih sayang kepada anak-anak remaja. Sebagai analoginya ibu
bapa hendaklah bertanya kepada anak-anak remaja tentang permasalahan yang dihadapi dan
berusaha untuk membantu mereka menyelesaikannya atau dengan kata lain ibu bapa adalah
pakar rujuk kepada anak – anak semasa di rumah. Hal ini menyebabkan anak – anak akan
berasa diri mereka dihargai dan disayangi oleh ibu bapa mereka. Bak kata mutiara anak adalah
anugerah Tuhan yang tidak ternilai. Tegaslah,perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa
amat penting dalam usaha menangani masalah sosial dalam kalangan remaja.
Pihak masyarakat dan pemimpin setempat juga perlu memainkan peranan yang signifikan
dalam menangani masalah ini. Hal ini tercetus kerana para remaja merupakan ahli kepada
masyarakat setempat yang perlu diberikan perhatian. Daripada realiti ini dapat kita katakan
bahawa jika masyarakat mendapati terdapat remaja yang melakukan perbuatan negatif, mereka
mestilah menegur dan memberi nasihat secara berhemah. Dengan kata lain, pihak masyarakat
setempat perlu menjadi mata dan telinga dalam membentuk tingkah laku remaja. Contoh yang
ketara paling dekat dengan kita ialah masalah vandalisme. Justifikasinya, sekiranya masalah
ini berlaku, masyarakat boleh menegur para remaja yang melakukan masalah tersebut dengan
berhemah dengan harapan remaja akan lembut hati dan makan nasihat. Bertepatanlah dengan
kata-kata mutiara iaitu tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati. Dengan keadaan
sedemikian sekiranya masyarakat setempat sentiasa ambil cakna terhadap permasalahan
remaja, masalah ini akan dapat diatasi.
Umum mengetahui bahawa antara langkah yang pragmatik untuk menangani masalah
sosial dalam kalangan remaja ialah peranan pihak media massa. Dalam konteks ini, media
massa perlu memainkan peranan yang berkesan dalam mempengaruhi hati dan minda para
remaja. Media massa seperti televisyen, radio,Internet ataupun media cetak yang merupakan
perantara yang paling dekat dengan jiwa remaja perlu menyiarkan program- program yang
boleh memberi kesedaran kepada remaja terutama dalam usaha remaja mencari jati diri
mereka.. Oleh hal yang demikian pemilihan progam yang berkualiti dapat memberi banyak
faedah dan pihak media massa sewajarnya tidak menjadikan remaja sebagai alat untuk mengaut
keuntungan semata – mata tetapi menjadi wadah penting untuk menjana remaja yang
berwawasan.Yang pasti, masalah sosial dalam kalangan pelajar akan dapat diatasi sekiranya
pihak media massa sama- sama bahu – membahu memainkan peranan dan tidak hanya
memikirkan keuntungan sahaja.
Kesimpulannya, remaja merupakan aset negara yang penting dan harus didisiplinkan supaya
menjadi insan berguna. Maruah negara kita berada dalam tangan anak-anak remaja kini. Pihak
yang berkenaan harus barganding bahu supaya remaja menjauhi darimasalah sosial. Sebagai
anggota dalam masyarakat, setiap dari kita harus memainkan peranan masing-masing dalam
membendung masalah sosial remaja.
Kampung Batas Paip,
Jalan Kepala Batas,
06500 Alor Setar,
Kedah Darul Aman
29 Ogos 2021.
Menemui sahabatku, Chris yang kini berada di Kota Kemuning semoga saudara berada dalam
keadaan sifat di samping keluarga yang tersayang.
Saudara,
Terlebih dahulu, saya ingin memohon maaf kepada saudara kerana telah sekian lama
tidak berutus surat dengan saudara. Saudara tentu maklum bahawa kita akan menduduki
peperiksaan Sekolah Persendirian Cina (UEC) tidak lama lagi. Saya amat sibuk dengan
persediaan-persediaan untuk peperiksaan ini. Bagaimanakah pula persediaan saudara? Saya
mendapat maklumat bahawa saudara terbabit dalam perlumbaan motosikal haram. Saya amat
terkejut dan juga berharap agar khabar angin tersebut tidak benar. Perlumbaan haram banyak
mendatangkan keburukan bukan sahaja pada diri kita, malah kepada ahli keluarga kita yang
disayangi dan pengguna jalan raya yang lain.
Perlumbaan haram merupakan satu aktiviti yang tidak sihat dan salah di sisi undang-
undang. Kerajaan sentiasa mengorak langkah untuk membanteras aktiviti ini.Dalam surat
khabar baru-baru ini, kerajaan menegaskan bahawa tiada maaf untuk `mat rempit’ yang kian
berleluasa di bandar-bandar besar. Bukan itu sahaja, pihak polis juga telah menahan pelumba-
pelumba haram untuk dijatuhi hukuman yang sewajarnya. Sebagai rakan , saya tidak sampai
hati melihat saudara dimasukkan ke dalam lokap. Saya merayu kepada suadara supaya
kembalilah ke pangkal jalan kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
Selain itu, perlumbaan haram juga merupakan satu aktiviti yang membazirkan masa.
Kita sangat memerlukan masa untuk mengulang kaji pelajaran atau membaca buku. Masa kini
begitu genting kerana kita bakal menduduki peperiksaan UEC tidak lama lagi. Masa yang
terluang seharusnya digunakan untuk menelaah pelajaran dan bukannya menyertai aktiviti-
aktiviti yang tidak berfaedah. Saudara harus ingat bahawa UEC merupakan penentu segala-
galanya. Dalam zaman sekarang, saingan untuk mencapai kejayaan dan merebut peluang untuk
ke peringkat yang lebih tinggi amat sengit. Institusi-institusi pengajian tinggi hanya
menawarkan peluang pendidikan kepada mereka yang mencapai keputusan yang cemerlang
dalam peperiksaan. Masa depan kita pula bergantung pada kecemerlangan kita dalam
peperiksaan.
Di samping itu, pergaulan yang tidak sihat turut timbul jika saudara terus terbabit dalam
aktiviti perlumbaan haram. Kebanyakan pelumba haram bukanlah calang-calang
orangnya.Saudara tidak akan tahu latar belakang mereka yang sebenarnya. Kebanyakan antara
mereka berasal daripada latar belakang keluarga yang bermasalah. Mereka berlumba haram
untuk mencari keseronokan dan kepuasan serta untuk menghilangkan tekanan yang dihadapi
daripada keluarga. Mereka juga mungkin merupakan penjenayah yang sanggup melakukan
apa-apa sahaja demi mencapai matlamat hidup.Mereka akan mempengaruhi kenalan baharu
dan memimpin kawan baharunya ke jalan yang salah. Misalannya, remaja dipujuk untuk lari
dari rumah atau melakukan jenayah dan juga mengambil pil-pil ekstasi. Saya berharap semoga
saudara tidak terpengaruh dengan tabiat-tabiat negatif ini.
Sebelum mengakhiri surat ini, saya sekali lagi menasihati saudara agar meninggalkan
aktiviti yang tidak sihat ini dan menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran.Ibu bapa
saudara sudah tentu risau akan pelajaran saudara. Saya yakin bahawa saudara masih belum
terlambat lagi untuk mengubah tabiat ini.. Saya juga berdoa agar Tuhan melembutkan hati
saudara. Sebelum mengundur diri, saya berharap agar kita dapat berjumpa lagi dalam warkah
yang akan datang.
Sahabatmu,
Kithon
Pencemaran Alam
Oleh: Lailatul
Terdapat pelbagai punca berlakunya pencemaran alam. Namun, adakah manusia sahaja yang
bertanggungjawab bagi semua pencemaran alam yang berlaku? Pencemaran alam boleh
ditakrifkan sebagai kotoran sekeliling yang menjejas kualiti kebersihan air, udara dan
bumi. Arus pembangunan ke arah menjadikan negara-negara di dunia ini serba maju telah
mencetuskan pelbagai masalah. Pembangunan pesat sektor ekonomi dan perindustrian telah
memberikan taraf hidup yang selesa dan ini telah menaikkan imej negara tersebut di kaca mata
dunia. Namun begitu, manusia alpa bahawa dibalik keselesaan dan pembangunan yang mereka
miliki ada kesan yang boleh memudaratkan hidupan sekeliling mereka. Oleh itu, tidak dapat
dinafikan bahawa manusia adalah punca utama berlakunya pencemaran alam.
Kesan pencemaran alam sekitar yang paling ketara dan sedang hangat diperkatakan oleh
seluruh warga dunia pada masa kini adalah kesan pemanasan bumi yang disebabkan komposisi
gas-gas rumah hijau meningkat melebihi tahap kebiasaan. Kenaikan suhu bumi dan penipisan
lapisan ozon menjadi punca kepada pemanasan global ini yang dapat dirasakan oleh seluruh
penduduk bumi. Kenaikan suhu bumi disebabkan oleh pembebasan gas-gas karbon dioksida
yang terkumpul di dalam udara. Kilang-kilang yang memproses dan membakar minyak untuk
menjana elektrik supaya manusia dapat membuat aktiviti-aktiviti seharian mereka akan
mengeluarkan gas-gas toksik dan gas rumah hijau. Gas karbon dioksida yang terlalu banyak
menyebabkan haba di bumi terperangkap dan akhirnya suhu bumi meningkat , persekitarannya
menjadi panas.
Penipisan lapisan ozon juga menyebabkan kejadian pemanasan global ini. Pemanasan global
menyebabkan keadaan bumi menjadi panas, ekosistem terganggu, banjir berlaku secara kerap
dan juga berlakunya kejadian alam yang tidak normal. Penipisan lapisan ozon bumi yang
melindungi hidupan di bumi ini daripada sinaran matahari. Pembebasan gas klorofluorokarbon
atau CFC berlaku melalui aktiviti manusia yang menggunakan alat-alat seperti semburan
aerosol dan varnis telah menyebabkan lapisan ozon untuk menipis hari demi hari. Pendedahan
secara terus kepada cahaya matahari boleh menyebabkan kanser kulit yang amat berbahaya
kepada manusia dan juga hidupan lain. Pancaran matahari yang terik juga menyebabkan
berlakunya pencairaan kepada ais-ais di bahagian kutub-kutub bumi dan menyebabkan
berlakunya ketidakseimbangan ekosistem di dunia pada masa kini. Sebagai contohnya,kegiatan
tsunami yang berlaku di Indonesia telah banyak mengorbankan nyawa manusia dan harta
benda. Kebakaran hutan yang berlaku juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada suhu di
bumi ini dan juga menjejaskan kualiti udara.
Selain pencemaran udara, terdapat beberapa perbuatan manusia yang juga menyebabkan air
tidak terkecuali daripada dicemar. Antaranya tumpahan minyak, dan pembuangan sampah
secara sembarangan. Punca utama pencemaran air ialah pembuangan sampah sarap daripada
kawasan perumahan atau kilang-kilang ke tepi tasik dan laut. Bahan yang dibuang seperti
sampah, minyak dan najis secara tidak terkawal akan menyebabkan kualiti kebersihan air
terjejas. Selain itu, sikap segelintir pengusaha kilang yang tidak bertanggungjawab membuang
sisa toksik ke dalam sungai atau laut juga mendorong kepada pencemaran air. Pembuangan ini
dianggap mudah kerana tidak memerlukan kos pelupusan. Masalah timbul apabila cecair kimia
yang disalurkan ke dalam sungai tidak dirawat dan mengandungi bahan toksik yang
mencemarkan air sungai. Pertumpahan minyak yang berlaku disebabkan oleh pelanggaran
kapal atau kebocoran dalam paip saluran minyak turut menyebabkan berlakunya pencemaran
air. Minyak yang mengalir ke laut akibat kebocoran tangki minyak akan menutupi lapisan air
dan menyebabkan belakunya pencemaran laut. Pencemaran air akan memberi kesan kepada
kesihatan menusia. Air yang tercemar mengandungi bahan kimia seperti sodium, nitrat,
merkuri dan sebagainya yang boleh memudaratkan kesihatan manusia. Terdapat pelbagai
penyakit yang berjangkit melalui air minuman dan air mandian. Tumpahan minyak yang
berlaku di kawasan perairan akan membentuk lapisan minyak yang boleh mengancam
kehidupan lautan.Hidupan laut seperti ikan, siput, udang dan ketam akan mati disebabkan oleh
pembuangan sampah dan sisa toksik yang telah mengakibatkan pencemaran air yang
merupakan habitat hidupan laut. Hal ini akan mendorong kepada kepupusan hidupan laut.
Secara kesimpulan, masalah pencemaran alam sekitar adalah daripada kita sendiri. Kita
haruslah mempunyai kesedaran untuk menjaga alam sekitar. Melalui mengenali punca-punca
pencemaran kita dapat mengambil langkah-langkah pembetulan dan mengelak daripada
terlibat dalam golongan yang merosakkan alam sekitar.
Ia penting demi memastikan kehidupan dibumi ini terjamin dan terhindar dari masalah
pencemaran yang semestinya membahayakan dan mengancam kesihatan serta kehidupan
flora dan fauna. Apabila alam sekitar kita bersih dan bebas daripada segala pencemaran, ia
akan menjaminkan generasi yang akan datang keindahan alam semula jadi yang boleh mereka
nikmati bersama.
Warga tua ialah golongan yang berumur 60 ke atas. Mereka ini merupakan golongan yang
sering diabaikan kerana dianggap sebagai golongan yang tidak lagi memberi sumbangan
kepada negara. Kebanyakan warga tua telah bersara. Mereka lebih berpengalaman dan
berpengetahuan daripada orang muda. Golongan tersebut memerlukan perhatian dan kasih
saying yang secukupnya kerana mereka selalu sakit dan kurang keupayaan dari segi tenaga.
Kini, didapati bahawa ramai orang tua sering diabaikan oleh ahli keluarga mereka kerana
kesibukan dalam pekerjaan.
Mereka akan berasa sedih apabila tiada orang yang mengambil berat tentang kebajikan
mereka. Golongan warga tua sememangnya akan ingat dengan jelas bagaimana mereka pernah
bergaul dan menghabiskan masa melalui pelbagai cara dengan orang yang tersayang. Setelah
mereka menjadi tua dan memerlukan banyak penjagaan yang rapi, seperti dari seqi kesihatan,
kebersihan,keterampilan dan pemakanan harian, kebanyakan daripada mereka akan diabaikan.
Hal ini demikian kerana ahli keluarga mereka sibuk mencari wang setiap hari. Oleh itu, warga
tua akan berasa kecewa dan tersinggung apabila mereka tidak menerima seberapa tumpuan
atau kasih sayang yang diharapkan.
Banyak rumah penjagaan dan rumah orang tua akan dibina kerana kebanyakan anak-anak
bertindak untuk menghantar ibu bapa mereka yang sudah tua ke situ. Pada persepsi mereka
ibu bapa akan memperoleh penjagaan yang rapi di rumah orang-orang tua. Keadaan ini akan
meningkatkan kos kerana kerajaan terpaksa membina lebih banyak pusat jagaan warga tua.
Bilangan pekerja di rumah warga tua juga terpaksa ditambah. Seterusnya, kos untuk makan
dan minum warga tua yang tinggal di situ pun turut meningkat. Akhirnya, jika tindakan
menghantar ibu bapa yang sudah tua ke rumah orang-orang tua ini menjadi suatu kelaziman,
masalah ini memang membebankan negara.
Selain itu, ahli keluarga yang mengabaikan warga tua akan dipandang sinis atau serong oleh
masyarakat. Ibu bapa kita telah bersusah payah mengasuh dan memberikan keperluan kepada
kita dari kita kecil sehingga kita dewasa. Oleh itu, generasi muda sepatutnya menjaga ibu bapa
mereka sebagai balasannya. Seorang anak yang tahu mengenang jasa pasti akan menjaga orang
tua mereka secara ikhlas dengan sentiasa mengambil berat terhadap kesihatan dan keperluan
mereka. Oleh itu, masyarakat mudah memandang serong terhadap perbuatan anak-anak yang
tergamak mengabaikan orang tua mereka sendiri. Akibatnya, masyarakat sanggup
meminggirkan golongan yang mengabaikan warga tua dalam keluarga terhadap mereka
sendiri kerana mereka merupakan golongan yang tidak bertanggungjawab dan tidak
mengenang budi.
Kesimpulannya, dalam keghairahan mengejar kemajuan material, terdapat segolongan
masyarakat kita,iaitu warga tua yang terabai dan memerlukan perhatiandan kasih sayang
masyarakat. Layanlah kehendak dan kerenah mereka, asalkan hidup mereka bahagia dan
gembira. Jasa bakti mereka seharusnya kita sanjung dan hargai selagi hayat dikandung badan.