Buku laporan Program Inkubator Peladangnita Selangor (PERANTIS 2024) merupakan dokumentasi menyeluruh mengenai pelaksanaan satu inisiatif strategik yang bertujuan untuk memperkasa kepimpinan wanita dalam sektor pertanian dan keusahawanan agro. Program ini dirangka dengan pendekatan berasaskan model mentor-mentee, melibatkan penyertaan aktif wanita yang terlibat dalam pelbagai industri sektor pertanian di Negeri Selangor.
Laporan ini mengandungi pelbagai komponen utama seperti objektif program, sasaran peserta, kaedah pelaksanaan, senarai bengkel serta sesi bimbingan yang dilaksanakan secara bersemuka dan atas talian. Ia juga menampilkan senarai pembimbing (coach), tokoh perantis inspirasi, serta pencapaian dan ulasan prestasi berdasarkan empat bengkel utama yang dijalankan. Melalui pendedahan dalam aspek kepimpinan, penampilan diri, komunikasi dan perancangan strategik, laporan ini menampilkan kesan langsung kepada perkembangan peserta dari segi keyakinan diri, kemahiran profesional, dan jalinan rangkaian.
Dilengkapi dengan maklum balas peserta dan kajian impak, buku ini turut memaparkan kisah kejayaan peserta yang mendapat manfaat langsung daripada program. Ia menjadi rujukan penting kepada pihak Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam menilai keberkesanan program, di samping menyokong pelaksanaan berterusan inisiatif yang menyasarkan wanita dalam sektor pertanian.