24/5/2022 1
.
24/5/2022 MALAM YANG MENGGETARKAN JIWA 2
Pada 16 Disember 2021, jam menunjukkan pukul 2.45 pagi apabila bebola mataku terbuka luas, seluas lautan. Jam tiba-tiba
berhenti berdetik selepas beberapa saat. Detikan jam yang terhenti membuatkan hatiku gundah gulana. Hentian jam itu seolah-
olah membawa satu perkhabaran dingin. Lebih menakutkan apabila peranggu loceng angin yang tergantung di sengkuap hias
berbunyi nyaring seiring dengan angin yang berderu-deru menghempas kekisi tingkap. Ada kalanya, kilat dan petir sabung-
menyabung; menerangi kegelapan malam di bilikku. Bunyi salakan anjing yang kuat dan bertalu-talu bergema ke setiap sudut
bilikku. Meremang bulu romaku.
Malam ini ternyata menggetarkan jiwa. Malam yang sungguh berbeza dengan malam yang sebelumnya.
Perasaan resah dan gelisah berselang seli di lubuk hatiku. Emosiku meledak-ledak. Kendatipun aku dilahirkan dalam era
milenium, namun pemikiranku masih di takuk lama. Mahu tidak mahu, aku terpaksa melayani perasaan yang menyelimuti diriku
di kala hujan lebat membasahi bumi Shah Alam tanpa henti.
Tanpa berlengah, aku menggagahkan diriku untuk bangun walau bilikku hanya diterangi cahaya dari tiang lampu
yang samar-samar. Aku terus meluru ke kamar kedua ibu bapaku lantas membangunkan mereka yang nyenyak diulit mimpi.
“Papa, adik merasakan sesuatu yang kurang menyenangkan. Jom, kita ke bawah,” ujarku sambil
membangunkan papa yang tidur dalam posisi badan yang meniarap sambil berdengkur. Namun, apakah daya? Papa ralit dibuai
mimpi indah untuk terus hidup bahagia di mahligai perkahwinan yang dibinanya 11 tahun dahulu.
Selepas seketika, sambil menggosok matanya, mama bangun dari tidur yang ternyata terjejas dengan
dengkuran papa. Mama kesayangan memandangku yang berada di sisinya dengan tajam. Biji matanya tampak jelas bersinar
seperti permata dalam keadaan bilik yang gelap gelita. Tanpa menyoal, mama menurut kata-kata si anak teruna tunggalnya dan
menuruni anak tangga menuju ke tingkat bawah. Kedengaran suara Pak Haji Darus yang garau berulang-ulang kali bertempik
memecah hening pagi.
Situasi sebegini acap kali berlaku terutamanya ketika kawasan kejiranan digenangi air. Hati mama mula
dihambat gelisah dan perasaan galau. Mama cemas. Manik-manik peluh terbit di dahinya yang agak berkerut. Bibirnya yang
manis berkumat - kamit membaca mantera. Berderai jatuh air matanya membasahi pipi cengkungnya.
24/5/2022 RUKUN NEGARA TUNJANG PERPADUAN 3
“Vishnu!.....Vishnu! terdengar suara garau Pak Darus di muka pintu depan rumah yang masih tertutup. Belum
sempat menyahut panggilannya, terdengar ketukan pintu pagar dengan menggoyangkan mangga. Mama mempercepatkan
langkahnya untuk membuka pintu. Kelihatan kelibat Pak Darus, Pak Kassim, Pak Cik Arumugam, Pak Cik Harjit Singh dan Pak
Cik Ah Lam; Keluarga Malaysia kami yang berperit jerih menjaga keamanan dan keselamatan kawasan kejirananku..
“Sejuk mata memandang wajah Pak Darus. Sedikit pun tidak ditelan usia walaupun umurnya melangkaui 76
tahun,” aku bermonolog sendirian.
Dari air mukanya yang jernih, terbit sesuci wajah yang begitu tenang. Setenang air di kolam. Raut wajahnya
yang bersahaja dan senyuman mesra yang terukir di bibir Pak Darus seolah olah menggambarkan tiada beban yang
ditanggungnya. Beliaulah pengemudi Keluarga Malaysia tercinta kami di kala kami diuji.
Pak Darus tampil berjubah, berserban putih dan berjanggut terkenal dengan kelembutannya ketika berbicara.
Pak Darus seorang insan soleh yang senantiasa menjunjung prinsip kelima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan bagi
memelihara keharmonian dalam kalangan jiran tetangga yang berlainan etnik.
“Puan, bersiap untuk berpindah. Paras air di Kunci Air Taman Sri Muda semakin meningkat,” ujarnya tegas.
Walaupun sudah terang lagi bersuluh bahawa kawasan kejiranan telah dilanda air bah untuk kesekian kalinya,
namun mama tetap inginkan kepastian.
“Pak Darus, semua kawasan Seksyen 25 Taman Sri Muda dinaiki banjir?” tanya mama dengan suara bergetar
Jari jemari Pak Darus rancak menekan telefon pintarnya membalas pesanan yang masuk secara bertubi-tubi.
“Saya rasakan banjir kali ini lebih teruk dari sebelumnya. Paras air mencecah setinggi buku lali. Surean, di
tempat kerja atau di rumah, Puan?” menyampuk Pak Cik Arumugam yang merupakan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Surean balik awal sebelum 11.30 malam tadi, Pak Cik,” balas mama.
“Alhamdulillah, Surean selamat. Tolong bangunkan Surean. Kita berganding bahu membantu jiran yang lain,
Puan,” ujar Pak Darus sambil berlalu pergi mengetuk pintu mangga rumah jiran yang lain dengan sebatang besi panjang.
24/5/2022 BANJIR MENGGAMIT NURANI 4
“Papa, oh Papa! Bangun! Anjung rumah kita ditenggelami air,” jeritku sekuat hati dari tingkat bawah.
Mendengar panggilanku, papa terus tersentak dari tidurnya. Papa yang masih mamai, melihat sajian yang
terbentang di hadapan matanya. Terbisu, air matanya berlinang dan mengalir merentasi hidung mancungnya dan pipinya yang
gebu.
Banjir ternyata ujian yang begitu menggamit jiwa dan nurani kami tiga beranak. Mana tidaknya! Ia merupakan
kali keempat tahun ini rumah pusaka peninggalan arwah datuk dan nenek yang berusia 35 tahun digenangi air bah.
Tanpa berlengah, kami berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk memindahkan beberapa perabot,
peralatan memasak, bahan mentah, sayur-sayuran dan buah-buahan ke tingkat atas. Tidak lupa juga pasu bunga yang
merupakan ‘nyawa’ mama. Kelam kabut dibuatnya!
Sebagai seorang yang menitikberatkan ketelitian dan kesempurnaan, mama mengatur semula barang-barang di
kamar sembahyang di tingkat atas. Khusyuk menyusun semula, tangan kanannya mencapai telefon pintarnya untuk
menghubungi Mak Cik Siti Tasneem, jiran kami selama 11 tahun di Taman Sri Muda.
“Bagaimana mama terlupa akan Mek Sening?” luah mama dengan seribu satu kekesalan sambil mundar mandir
di antara bilik sembahyang dan bilik tidur utama.
Mak Cik Siti Tasneem mesra disapa Mek Sening mengikut dialek Kelantan dalam kalangan Keluarga Malaysia
kami. Mek Sening asalnya dari Manek Urai Lama, Kuala Krai, Kelantan dan merantau ke Selangor selepas berkahwin dengan
arwah Pak Cik Wan Deraman. Insan kerdil ini senantiasa diuji. Mek Sening tinggal sebatang kara semenjak kematian
Allahyarham Pak Cik Wan Deraman tahun lepas. Lebih memilukan, Mek Sening tidak dikurniakan cahaya mata. Sudah genap 6
bulan, Mek Sening diserang angin ahmar. Sesi fisioterapinya di Hospital Shah Alam selama 3 bulan mula menunjukkan hasil.
Kendatipun Mek Sening telah mula berjalan, namun Mek masih berada di bawah jagaan rapi Keluarga Malaysia kami yang
cakna akan kebajikannya.
Mengesyaki sesuatu yang tidak diingini kerana panggilan telefon tidak berjawab, aku dan mama meluru ke
rumah Mek. Mama membuka pintu pagar Mek Sening menggunakan kunci pendua.
24/5/2022 MUSYAWARAH MENCARI PERSAMAAN 5
Kami berlalu meninggalkan papa setelah mencium dahinya. Papa ketika itu sedang memakai alat pelindung diri
seperti kasut dan sarung tangan getah sebelum berjumpa dengan Keluarga Malaysia kami untuk mendapatkan persetujuan
secara musyawarah dari semua Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk untuk memindahkan mangsa banjir.
Walaupun rantai dan mangga pintu dibuka, Mek masih tidak bersuara. Justeru, mama mengingatkan aku supaya
tidak memanggil nama Mek.
Kata mama, “Kebarangkalian Mek sedang bersolat,” ujarnya ringkas sambil menyapu helaian dedaun kering
yang terapung di anjung rumah Mek.
Selepas pintu jeriji besi dibuka secara perlahan, kelihatan kelibat Mek khusyuk mengerjakan solat subuh dengan
mengenakan telekung tenunan tangan di atas sejadah wangi bauan mawar yang merupakan buah tangan Mak Cik Vivien Ngu
kepada Mek semasa lawatan kerjanya ke Turki baru-baru ini.
Sementara menunggu Mek mengerjakan solat, mama mengemas keperluan Mek seperti pakaian, kad
pengenalan, surat nikah, sijil kematian arwah Pak Cik Wan Deraman, dokumen tuntutan faedah hilang upaya sementara
PERKESO dan bekalan ubat-ubatan.
“Mek tahu kamu anak beranak akan mencari Mek,” katanya sejurus selepas bacaan salam diucapkan dengan
memalingkan wajah sugulnya ke sebelah kanan dan ke kiri.
Mama dan aku hanya tersenyum kulum.
Tiba-tiba terdengar suara yang menyerupai kelunakan suara Anuar Zain.
“Assalamualaikum! Mek Sening. Puan Shoba di rumah Mek?” tanya abang Abdul Rani.
Mek keluar dan menyahut kembali “Walaikumussalam! Abdul Rani,”.
“Shoba, Abdul Rani cari engkau,” teriak Mek kepada mama.
24/5/2022 KETERBUKAAN KELUARGA MALAYSIAKU 6
“Saya hendak memarkir kereta Encik Surean nun jauh di atas bukit berdekatan kandang lembu Pak Cik Maniam
di Kampung Lombong, Kota Kemuning Shah Alam. Boleh Puan Shoba berikan kunci kereta?” ujarnya kepada mama sambil
meminta kebenarannya.
“Puan menemani Mek di sini. Boleh Vishnu tunjukkan abang di mana papa menyimpan kunci keretanya?” soal
abang Abdul Rani sambil merangkul bahuku dengan erat.
Inilah Keluarga Malaysia kami yang saling menghormati, menyantuni, melengkapi dan mengasihani antara satu
sama lain kerana kami ikhlas bersaudara. Kami sentiasa mencari titik persamaan supaya setiap jalinan ukhuwah yang tercipta
kekal utuh selagi hayat dikandung badan.
Deruman enjin kereta papa yang kuat memaksaku menyelak kain langsir Mek Sening yang kusam dan pudar.
Lensa mataku memerhatikan ‘harta’ sepencarian kedua ibu bapaku itu dipandu keluar dengan waspada.
Tiba- tiba tangisan dan esakan menyelubungi kawasan kejiranan. Aku terkedu seketika melihat limpahan air
deras yang mencecah paras lutut secara mendadak. Aku tidak berfikir panjang lalu menggenggam tangan Mek yang semakin
dimamah usia.
“Mek, tinggalah bersama kami,” kataku dengan nekad.
Mek Sening mengangguk kepalanya sebagai tanda setuju dan memakai tengkuluk batiknya dengan menjuntai
ke sisi kanan bahunya dengan segera.
“Mek dah cukup molek. Berseri macam perempuan Melayu terakhir,” usik mama melihat kerenah Mek Sening
memperbetulkan lilitan tengkuluk mengikut bentuk mukanya. Mek menundukkan kepalanya kerana malu-malu kucing.
Mama dan aku memimpin tangan Mek dengan erat walaupun Mek berjalan bertemankan tongkat.
“Ya Allah,Ya Tuhanku, cucurilah kami dengan hujan yang bermanfaat,” berdoa Mek sambil melihat hujan yang
mencurah-curah tanpa henti.
Kami bertiga berlindung di tingkat atas rumah dua tingkat kami.
.
24/5/2022 NIKMAT DISYUKURI 7
“Mek, mari berehat di bilik tetamu,” jemput mama sambil menghulurkan tangannya ke arah Mek yang duduk
bersila.
“Mek boleh berehat dengan kamu di bilik tidur utama. Mek tak nak menyusahkan kamu Shoba,” bertegas Mek.
Itulah sifat Mek Sening yang sentiasa memahami dan mensyukuri nikmat-Nya.
Sebelum fajar menyingsing, mama membuat persiapan untuk merebus ubi kayu dan memasak sambal sardin
sebagai pencicah menggunakan periuk aruhan di bilik tidur utama.
“Shoba, boleh Mek menghiris bawang?” tanya Mek kepada mama.
Cukup masak dengan perangai Mek Sening yang tak senang duduk, mama ketawa terbahak-bahak.
“Shoba, kerja menghiris bawang alah biasa, tegal biasa buat Mek,” katanya sambil mencapai papan pemotong.
“Sedapnya sambal sardin berkuah kamu dan pedasnya sedang, Shoba,” puji Mek Sening sambil menjilat jarinya
selepas selesai menjamah makanan.
“Untung Suraen. Patutlah perutnya makin ke depan,” kata Mek Sening berseloroh.
“Hahahahahaha”, kami bertiga ketawa terkekeh-kekeh segirang hati mengimbas kembali gurauan Mek Sening
yang ada betulnya.
“Vishnu, tahukah kamu ubi rebus adalah makanan ruji masyarakat Tanah Melayu ketika zaman penjajahan
Jepun?” soal Mek sambil meneguk secangkir teh Ceylon.
“Nenek moyang kita merebus ubi kayu kerana ia ditanam di sekitar rumah. Masyarakat dahulu rajin berbudi
kepada tanah dan mengusahakan tanaman sendiri seperti ubi kayu, pisang dan ubi keledek,” sambungnya lagi.
“Ubi kayu agak istimewa kerana bukan sahaja sedap malah mengenyangkan perut seperti makan nasi,” tambah
Mek sambil memandang ke langit yang sudah gelap.
.
24/5/2022 KEBERSAMAAN MENEMPUH SAAT GETIR 8
“Betul kata Mek. Cikgu Shavathri pernah menjelaskan beras susah didapati kerana beras dicatu dan dikawal
oleh pemerintah Jepun. Ubi kayu sarat dengan karbohidrat dan kalori membekalkan tenaga kepada tubuh badan kita, Mek”
petah mulut kecilku menjawab.
“Dah pandai, cucu Mek. Ingat, jangan sesekali malas menuntut ilmu. Ilmu itu pelita hidup, Vishnu,” nasihat Mek
sambil mengusap rambutku.
Selepas seketika, aku memimpin Mek Sening ke kamarnya.
“Boleh Vishnu tidur menemani Mek malam nanti?” ujarku kepada Mek.
“Apa salahnya, Vishnu? Bolehlah, Mek merasa nikmat seorang nenek,” sambung Mek sambil tersenyum tawar.
Aku menyelimuti tubuh Mek yang menggigil kesejukan. Melihat jari kakinya mula bertindih antara satu sama lain
kerana kesejukan, mama menyarungkan Mek sepasang stoking.
“Mek terharu dengan keprihatinan kamu bertiga. Semoga Allah SWT membalasnya dengan ganjaran pahala
yang besar,” ujarnya sambil memegang erat tangan mama dan aku.
Selepas bertasbih, Mek mengunjurkan kakinya dan merebahkan badannya ke atas tilam yang empuk.
Sementara Mek terlena, kami ke tingkat bawah untuk membawa peralatan seperti ketuhar, cerek dan barang
makanan yang tertinggal.
Rumahku kini digenangi air bah sehingga paras dada. Bayangkan dalam tempoh 45 minit, tangga dengan 13
anak tangga hanya tinggal dua anak tangga yang belum dinaiki air bah. Fikiran kami buntu dan bercelaru. Pelbagai persoalan
berkerawang di benak mama dan aku.
Mama menadah kedua tangannya berserah diri dan memohon bantuan kepada-Nya. Aku berjalan ke hulu dan ke
hilir seperti kucing hendak beranak dengan sesekali memandang Mek yang hanya tidur-tidur ayam sementara menunggu
kepulangan papa.
.
.
24/5/2022 KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN 9
Mendengar tangisan jiran tetangga yang menusuk kalbu, Mek terjaga dari tidurnya.
“Mek, berbaki 2 anak tangga yang belum dinaiki air bah. Mama buntu sama ada untuk berpindah ke pusat
pemindahan sementara atau terus kekal di rumah,” kataku tatkala bebola mata Mek terbuka.
“Beginilah, biar Mek mengerjakan solat sunat Istikharah untuk membuat suatu pilihan, nak,” ujarnya dengan
penuh kebimbangan.
Sudah menjadi kebiasaan bagi Keluarga Malaysia kami berdoa dan mematuhi segala suruhan-Nya
berlandaskan pegangan agama masing-masing tanpa mengguris perasaan ahli Keluarga Malaysia yang berlainan agama.
“Shoba, kita teruskan di sini sahaja, nak,” jawab Mek dengan tenangnya selepas beristikharah.
Aku dan Mama reda dengan ketentuan-Nya.
Maka, bermulalah episod ‘berkurung’ di dalam rumah sendiri tanpa air bersih dan elektrik. Kebebasan untuk ke
mana jua direntap pada kali kedua selepas pandemik Covid-19.
Setelah beberapa hari, kami terputus bekalan makanan. Justeru, papa dan aku menunggu dengan setianya
di ceruk kekisi tingkap menunggu bot sukarelawan. Kami terpaksa memanjat bumbung rumah untuk mengambil makanan yang
diagihkan di penghujung setiap lorong.
Kami anak beranak mengagihkan makanan kepada Keluarga Malaysia kami yang tinggal selorong sambil
bertanya perkhabaran mereka.
“Dev! Akmal! Eugene! Tara Kaur!” teriakku gembira sebelum mengagihkan pek makanan sumbangan Gurdwara
Sahib, Petaling Jaya. Kerinduanku sedikit sebanyak terubat melihat wajah-wajah teman sepermainan aku.
Keadaan semakin pulih apabila air bah dipam keluar oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!” terdengar lafaz Keluarga Malaysia beragama Islam.
.
24/5/2022 SEJALUR SINAR CAHAYA 10
Sangkaanku betul. Akhirnya, sejalur sinar cahaya menerangi awan selepas sekian lama. Terikan Sang Matahari
yang disertai dengan hembusan bayu dingin nyata membawa kesegaran pada benakku dan ahli Keluarga Malaysia yang lain.
“Vishnu setiap perjalanan yang berliku, pasti akan ada pertolongan dari Ilahi. Percayalah, nak, Tuhan akan
menggenggam semua doa kita lalu mengabulkannya pada waktu yang difikirkan-Nya tepat dan bukan pada waktu yang kita
inginkan,” tegas Mek.
“Setiap musibah yang berlaku adalah sebagai peringatan buat kita supaya kita sentiasa menghargai segala
pemberian-Nya,” kata Mek sambil memandang ke arah timbunan sampah sarap di atas jalan raya.
“Mek selama ini Vishnu beranggapan bahawa menjelajah ke seantero dunia mampu mengecapi kebahagiaan.
Namun, Vishnu sedar bahawa kebahagiaan sebenar ialah sikap keterbukaan menerima keunikan kaum lain. Keunikan inilah
yang menjadi tunjang kekuatan Malaysia yang kita cintai di saat-saat getir, Mek,” kata aku pada Mek.
Walaupun flora dan fauna dirobek air bah dalam sekelip mata dan kesuraman menyelubungi kawasan
kejirananku, namun 9 hari yang ‘redup’ ini mengajar aku dan Keluarga Malaysiaku seribu satu pengertian dan penghayatan.
“Sungguh, ini ialah 9 hari yang terindah dalam hidupku. 9 hari yang menyaksikan keikhlasan rakyat dari pelbagai
strata, 9 hari yang memberikanku peluang menjamah makanan semua kaum, 9 hari yang membuktikan Keluarga Malaysiaku
boleh berganding bahu, 9 hari yang mencerminkan Keluarga Malaysiaku semakin matang dan inklusif sifatnya sejak Tanah
Melayu mencapai kemerdekaan,” kataku dengan penuh optimistik berbekalkan kudrat yang berbaki.
“Generasi muda seperti Vishnu harus bersatu hati mempertahankan kedaulatan negara dengan berpegang
teguh kepada peribahasa sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. Itulah semangat Keluarga Malaysia yang
menjunjung perpaduan. Ingat, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh,” kata Mek Sening dengan menyentuh urat yang
tersembul di pergelangan tanganku.
.