PUNCA PENCEMARAN SUNGAI
Sungai merupakan sumber kehidupan manusia pada zaman dahulu. Namun, saban hari sungai semakin dilupakan malah dicemari tanpa sebarang rasa serba salah sehingga menimbulkan pelbagai kesan yang memudaratkan. Keadaan sekarang memperlihatkan bahawa manusia alpa dengan tanggungjawab mereka untuk menjaga kebersihan sungai kerana terlalu sibuk mengejar kemewahan dunia. Maka, mustahak untuk kita mengetahui puncapunca berlakunya masalah ini supaya langkah yang terbaik dapat dilaksanakan.
Pembuangan sampah sarap Antara punca pencemaran sungai ialah pembuangan sampah sarap ke dalam sungai. Tabiat segelintir masyarakat yang suka membuang sampah ke dalam sungai adalah suatu sikap yang tidak bertanggungjawab. Amalan ini timbul disebabkan oleh sikap segelintir masyarakat yang tidak prihatin dan tidak menyedari kepentingan sungai dalam kehidupan seharian. Sampah sarah dan sisa buangan domestik yang dibuang ke dalam sungai memberikan kesan yang buruk kepada sungai
Penggunaan baja pertanian berlebihan Seterusnya, pencemaran air juga berlaku di kawasan pertanian yang menggunakan baja berlebihan. Kita sedia maklum bahawa aktiviti pertanian memerlukan bekalan dan sumber air yang cukup dan berdekatan bagi mengurangkan kos pengusaha tani. Namun begitu, terdapat aktiviti pertanian seperti membaja terlalu banyak sehingga menyebabkan bahan kimia tersebut mengalir ke sungai berdekatan dan mencemarinya.
Pembuangan sisa toksik dari kilang Selain itu, pencemaran sungai berlaku akibat daripada pembuangan sisa toksik daripada kilang. Kebanyakan pengusaha kilang sering mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap kebersihan sungai. Kilang-kilang ini menghasilkan sisa buangan beracun dan berbahaya. Sisa toksik tersebut akan dialirkan ke dalam sungai tanpa dirawat terlebih dahulu dan ini menyebabkan mutu air sungai semakin merosot dan tercemar.
Aktiviti pembalakan haram Di samping itu, kegiatan pembalakan juga antara punca pencemaran sungai. Kegiatan pembalakan merupakan kegiatan penebangan pokok-pokok yang bertujuan untuk industri pembuatan dan pembangunan. Pencemaran sungai akan berlaku susulan daripada kelonggaran ikatan zarah tanah disebabkan matinya akar yang mengikat struktur tanah tersebut akibat daripada aktiviti penebangan. Hakisan tanah akan berlaku dengan lebih mudah dan menyebabkan tanah tersebut akan mencemari sungai berdekatan.
Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat pelbagai punca yang menyebabkan masalah pencemaran ini berlaku. Masyarakat harus sedar bahawa pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar adalah sangat penting demi kesejahteraan hidup bersama