BAB 1: ISLAM, IMAN & IHSAN
___________________
OBJEKTIF PEMBELAJARAN:
Setelah mempelajari topik ini, pelajar sepatutnya dapat:
1. Menyebutkan definisi Islam, Iman dan Ihsan pada sudut bahasa dan istilah.
2. Menghuraikan perkara membatalkan iman dengan tepat.
3. Menjelaskan konsep Ahli Sunnah wal Jama’ah dengan tepat.
_____________________
1.1 PENDAHULUAN
Pada topik awal, kita akan mempelajari apakah itu konsep ‘Islam’, ‘Iman’ dan Ihsan. Kemudian, kita
akan melihat bagaimana ketiga-tiga konsep ini memberi peranan kepada kehidupan seharian kita
sebagai hamba dan khalifah Allah di bumi ini. Islam yang bertunjangkan Rukun Islam mewakili amalan
zahir umat Islam, manakala Iman pula bertindak sebagai pasak dalam diri sebagai iktikad (pegangan)
dan kedudukan iman pula terkadang boleh menaik dan menurun akibat perlakuan kita sendiri sama ada
amal ibadat ataupun dosa. Ihsan pula bertindak sebagai pelengkap dan kemuliaan seseorang di mana
setiap amalan dianugerahkan Allah akan pahala sempurna sekiranya konsep ihsan dihiasi dengan baik.
Jom kita pelajari bersama!
1.2 ISLAM
Pada sudut bahasa Arab, Islam berasal daripada perkataan Salima ( ) َس ِل ََمdan daripada perkataan salima
itu muncul beberapa perkataan lain:
▪ Aslam ( )أسلم: ertinya menundukkan atau menghadapkan wajah.
▪ Sallama ( )س ّلم: ertinya menyerahkan diri sepenuhnya.
▪ Salaama ( )سلام: ertinya kesejahteraan atau keselamatan.
▪ Sullam ( )س ّلم: ertinya tangga, menggambarkan kepada manusia bahawa ajaran Islam
disampaikan secara berperingkat atau bertahap.
Pada sudut Syarak pula, ‘Islam’ membawa maksud:
▪ Satu amalan ketaatan dan kepatuhan kepada seluruh perintah Allah melalui ajaran yang
disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Nabi s.a.w. menjelaskan makna Islam semasa
menjawab pertanyaan Jibril, iaitu:
وتحج، وتصوم رمضان، وتقيم الصلاة وتؤتي الزكاة،الإسلام أن تشهد أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله
البيت إن استطعت إليه سبيلا
“Islam ialah mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa
di bulan Ramadhan dan menunaikan haji di Mekah jika berkemampuan.”
▪ Patuh dan menyerah diri kepada Allah dengan penuh kesedaran dan kerelaan tanpa paksaan.
Seterusnya mematuhi segala peraturan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Penyerahan
secara terpaksa tidak mendatangkan balasan pahala, malah penyerahan ini tidak sesuai untuk
makhluk seperti manusia yang mempunyai akal fikiran. Firman Allah:
َو َمن َي ۡبتَ ِغ َغ ۡي َر ٱ ۡۡ ِل ۡس َٰلَ ِم ِدي ٗنا فَلَن يُ ۡقبَ َل ِم ۡنهُ َو ُه َو فِي ٱ ۡۡلٓ ِخ َرةِ ِم َن ٱۡل َٰ َخ ِس ِري َن
Maksudnya: Sesiapa yang mencari agama selain dari Islam, tidak akan diterima daripadanya
dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. Surah Ali ‘Imran (3): 85
Bagaimanakah seseorang itu boleh dikatakan masuk Islam atau menjadi muslim? Sudah tentu
ia mesti memasuki melalui pintunya dan pintu Islam adalah dua kalimah syahadah. Seseorang itu mesti
melafazkan dengan lidah dan mengakui dalam hati bahawa Allah adalah Tuhan yang layak disembah
dan Nabi Muhammad adalah nabi dan pesuruh-Nya. Apabila seseorang itu sudah Islam, maka ia
mestilah beramal dengan penuh kepatuhan kepada perintah Allah. Ia dikira sudah mempunyai kunci
pintu syurga, hanya sahaja gigi kepada kunci itu adalah amalan soleh sebagai syarat memasuki syurga
Allah.
Amal soleh yang utama disebutkan di dalam hadis Jibril sebelum ini yang mewakili paksi utama
amalan Islam iaitu solat 5 waktu sehari semalam, berpuasa di bulan ramadhan, menunaikan zakat,
melaksanakan ibadat haji di Mekah jika berkemampuan. Amalan ini merupakan amalan wajib untuk
dilaksanakan oleh mereka yang sudah Muslim (mengucapkan dua kalimah syahadah). Amalan soleh
seterusnya adalah sunat sahaja seperti solat sunat, sedekah, puasa selain Ramadhan dan lain-lain lagi.
1.2.1 Rukun-rukun Islam
Dalam hadis Jibril, apabila ditanya Jibril akan konsep Islam, maka Nabi s.a.w. menjawab Islam adalah
mengucapkan dua kalimah syahadah, solat lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan ramadhan,
menunaikan zakat dan mengerjakan fardhu haji di Mekah jika berkemampuan. Apa yang dijawab Nabi
s.a.w. di atas bukanlah bermaksud ‘Islam itu adalah rukun Islam’ tetapi ia membawa maksud tonggak
bagi Islam adalah rukun-rukun Islam. Sekiranya seseorang muslim itu meninggalkan amalan rukun
Islam ini, bermakna ia telah meruntuhkan Islam bagi diri sendiri. Ia telah mendedahkan diri kepada
dosa besar.
Islam juga mewakili amalan zahir seseorang muslim seperti rukun-rukun Islam ini. Apabila ia
dilaksanakan, maka ia terselamat dari diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama (kerajaan Islam).
Amalan zahir ini merupakan bukti keimanan seseorang. Iman akan berada pada tahap yang baik
sekiranya amalan zahir daripada Rukun Islam ini terjaga dan diambil berat.
1.2.2 Penghayatan Rukun Islam dalam Kehidupan
Rukun Islam merupakan amalan zahir yang mesti diamalkan dan dipenuhi dalam kehidupan setiap
mukallaf. Keislaman seseorang akan tergugat jika meninggalkan amalan Rukun Islam ini, bahkan boleh
menjadi kafir jika menafikan kewajipan ini. Justeru, penghayatan Rukun Islam ini perlu dilaksanakan
oleh setiap muslim bagi memastikan amalan ini terus menyuburkan iman dan istiqamah di atas jalan
diredhai Allah:
1. Kalimah syahadah merupakan umpama anak kunci syurga. Ia mesti diususli dengan amalan
Rukun Islam yang lain bagi ‘mengukir gigi’ anak kunci ke syurga itu. Syahadah juga
mengingatkan manusia akan Allah yang mesti disembahi dan dituju segala doa, tawakkal dan
hajat. Kita dilarang sama sekali mensyirikkan Allah dalam Uluhiyah, Rububiyah dan Asma’
wa SifatNya. Begitu juga rangkap kedua kalimah syahadah mengingatkan manusia bahawa
Muhammad itu adalah pesuruhnya dan wajib diimani oleh setiap Muslim. Nabi Muhammad
juga berperanan sebagai teladan manusia dalam kehidupan seharian setiap Muslim.
2. Solat berperanan membersihkan jiwa manusia dan menghubungkan seorang hamba dengan
Tuhannya. Solat juga mengingatkan manusia agar sentiasa menyembah Allah dan sentiasa
mengingati erti kata Tauhid. Solat berperanan menggilap rohani manusia dan membersihkan
segala kotoran yang ada dalam jiwa manusia. Solat adalah penyeri seorang Muslim. Solat
menjadi tempat mengadu ketika susah sepertimana dilakukan Nabi s.a.w. Solat mencegah
pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran kerana dalam solat manusia
membaca al-Quran, memuja, menyebut dan mengagungkan Allah. Semua ini mengingatkan
seorang hamba akan dirinya dan memelihara dirinya agar tidak melakukan kesilapan dan
maksiat.
3. Puasa pula mendidikan manusia supaya sentiasa mengutamakan kecintaannya kepada Allah
daripada hanya tenggelam dalam syahwat. Puasa mendidik seorang Muslim tentang erti tekad
dan sabar. Kesemua sifat-sifat yang mulia ini adalah perlu bagi seorang Muslim. Sifat cakna
kepada orang miskin juga akan sentiasa ada kerana telah merasa bagaimana perasaan dan cara
hidup orang miskin yang kekurangan makanan.
4. Zakat pula berperanan membersihkan jiwa seorang muslim daripada penyakit kedekut, tamak,
menghambakan diri kepada harta, sebaliknya perlu mengutamakan Allah lebih daripada
kecintaan kepada harta. Malah, zakat menjadi saham bagi mencapai konsep saling menolong
yang dituntut oleh syarak bagi membantu golongan yang memerlukan.
5. Haji pula bertindak sebagai suatu latihan amali bagi seorang muslim. Pendekatan Islam dalam
mendidik tidak terhad kepada sekadar memberi arahan supaya mereka menjadi seorang muslim
yang baik malah selain arahan, ia disertakan dengan panduan praktikal yang perlu dilaksanakan
untuk menjadi seorang muslim yang baik. Sebahagian daripada panduan praktikal ini adalah
ibadat haji. Ibadat haji berperanan memperlihatkan ubudiyah seorang kepada Tuhannya dalam
bentuk yang amali dan cara-cara yang tertentu. Semua ini mampu menghapuskan unsur-unsur
kekufuran dan penyakit yang tertanam di jiwa seorang muslim kerana setiap manusia ada
kecenderungan untuk melakukan kekufuran.
Ibadah-ibadah daripada Rukun Islam ini turut berperanan memantapkan iman, membersihkan jiwa dan
menghubungkan seorang hamba dengan Tuhannya. Ibadah-ibadah ini akan mengisi jiwa seorang hamba
dengan erti sebenar ‘Ubudiyah kepada Allah. Seterusnya ibadah-ibadah secara umumnya berperanan
sebagai pembentuk akhlak yang mulia. Iman bertindak sebagai input, manakala ibadah bertindak
sebagai proses, akhirnya gabungan Iman dan Islam menghasilkan akhlak yang sempurna, sesuai dengan
hadis Nabi s.a.w.:
إنما بعثت لأتمم مكارم اللأخلاق
Maksudnya: Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang
mulia. Riwayat Ahmad
1.3 IMAN
‘Iman’ membawa maksud percaya, seperti contoh disebutkan ‘beriman kepada Allah’ maka ia
bermaksud ‘percaya kepada Allah’. Namun, kepercayaan ini perlu memenuhi tiga unsur untuk
menjadikannya sempurna, iaitu:
▪ Berikrar dengan lidah
▪ Mengakui dalam hati
▪ Melaksanakan dengan anggota badan
Ia sesuai dengan ayat al-Quran yang berikut di mana ia menyebutkan ketiga-tiga unsur tersebut:
إِنممَا ٱۡل ُم ۡؤِمنُوَن ٱلم ِذي َن ءَاَمنُواْ بِٱَّمللِ َوَر ُسولِِهۦ ُثم ََۡل يَۡرََتبُواْ َو ََٰج َه ُدواْ ِبَۡمََٰوِِلِ ۡم َوأَنُف ِس ِه ۡم ِف َسبِي ِل ٱَّملِِۚل أُْوَٰلَئِ َك
ُه ُم ٱل َٰمص ِدقُو َن
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah
orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus
percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan
jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan
imannya). Surah al-Hujurat (49): 15
Pengertian ‘Iman’ pada sudut bahasa ialah mengakui, membenarkan, percaya atau amanah. Pengertian
‘Iman’ pada sudut Syarak pula ialah membenarkan ( )التصديقdan meyakini dalam hati, berikrar dengan
lidah serta mengamalkannya dengan anggota. Dalam erti kata lain, al-tasdiq atau ‘membenarkan’
bermaksud: “Membenarkan dan mengikuti kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. serta apa yang dibawa
dan disampaikan oleh Baginda s.a.w.”
Tempat Iman itu di hati, iaitu tempat yang berlaku padanya tasdiq jazam (pembenaran putus)
kerana firman Allah: َولَمما يَ ۡد ُخ ِل ٱ ۡلِإ ٰيََ ُن ِف قُلُوبِ ُك ۡم
Maksudnya: Kerana Iman itu belum masuk ke dalam hati mereka.
Surah al-Hujurat (49): 14
Iman itu melahirkan penyerahan diri kepada Allah dinamakan sebagai Islam. Ini bermaksud,
seseorang yang beriman itu hendaklah menyerahkan diri kepada Allah dan menerima segala hukum-
hakamnya walaupun tidak diketahui akan hikmahnya. Penyerahan dan penerimaan itu berlaku dengan
dua perkara iaitu dengan kepercayaan dan pegangan hati yang dinamakan iman, dan juga dengan
sifat-sifat lahiriah iaitu melalui perkataan dan amalan yang dinamakan Islam.
Maka, disebutkan di dalam hadis Jibril sebelum ini bahawa Nabi s.a.w. menyatakan Iman itu
adalah beriman dengan Allah, Malaikat, Kitab-kitab yang diberikan kepada para Nabi dan Rasul-Nya,
Malaikat, Hari Kiamat dan Qadha’ dan Qadar; ini menunjukkan paksi utama keimanan sempurna adalah
meyakini sepenuhnya dengan putus bahawa segala Rukun Iman yang enam ini adalah benar dan di
setiap cabang kehidupan kita mestilah meyakini bahawa ianya berlegar di sekitar kita dalam kehidupan.
Contohnya:
▪ Bila beribadat, ingat bahawa ia adalah arahan Allah, berniat kerana Allah, mengikuti sunnah
Nabi s.a.w. (tidak memandai melakukan ibadat seperti berbuat bid’ah), lalu ia akan dicatat oleh
malaikat dan dibalas oleh Allah pada hari kiamat nanti.
▪ Apabila kita ditimpa ujian kesusahan hidup seperti kesakitan, kemiskinan, kematian dan lain,
ketahuilah bahawa Allah takdirkan dia menjadi seperti itu supaya dia bersabar (lalu diangkat
darjatnya dengan sabar itu), dan juga disarankan agar mengubah takdir susah itu kepada takdir
lebih baik, melalui jalan yang dibenarkan Allah. Dia sedar Allah akan menilai jika amalan dia
jahat maka akan dibalas jahat di hari kiamat nanti. Maka, dia akan berbuat kebaikan dan tidak
menzalimi pihak lain dalam mengubah takdir buruknya itu.
▪ Apabila kita berjaya dalam bidang kehidupan, ketahuilah bahawa ia adalah ujian Allah untuk
dia lebih bersyukur, lalu dia terus berikan khidmat terbaik kepada orang lain kerana meyakini
malaikat mencatatnya dan segalanya akan dibalas berganda oleh Allah pada hari kiamat nanti.
Namun, tidak semua keyakinan terhadap rukun-rukun iman ini tersedar dalam jiwa seseorang
muslim ketika beramal. Justeru, terkadang sifat manusia yang lupa, jahil, malas dan cenderung menurut
hawa nafsu menyebabkan mereka melakukan dosa. Oleh yang demikian, terdapat ulama’
membahagikan Iman kepada beberapa kategori:
• Iman yang sentiasa mantap, bertambah dan tidak berkurang: Iman para Nabi dan Rasul
• Iman yang tidak bertambah dan berkurang: Iman para malaikat
• Iman yang bertambah dan boleh berkurang: Iman orang Islam secara umumnya
• Iman yang sentiasa berkurang dan menyusut: Iman ahli maksiat / orang fasiq
Kesimpulannya, Iman merupakan keyakinan yang mantap di dalam hati. Ia boleh bertambah
dan berkurang dari semasa ke semasa. Ia akan bertambah dengan sentiasa berzikir, beramal soleh,
berdoa kepada-Nya, menuntut ilmu dan beramal dengan ilmu tersebut. Iman juga akan berkurang
dengan sebab kejahilan, melakukan maksiat, meninggalkan perintah Allah dan lain-lain lagi. Peranan
lisan dan anggota badan cukup diperlukan bagi membolehkan iman sentiasa berada pada tahap yang
baik dan optimum pada setiap masa. Inilah istiqamah yang sangat dianjurkan oleh agama. Berdoa
kepada-Nya dan bermujahadah dalam melakukan amal soleh tanpa jemu.
1.3.1 Rukun-rukun Iman
Dalam hadis Jibril yang menjelaskan tentang konsep Iman, di sana Nabi s.a.w menjawab (apabila
ditanya Jibril), Iman adalah mempercayai Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, Rasul-
RasulNya, hari akhirat dan beriman kepada takdir yang baik atau yang buruk. Ini bukanlah membawa
maksud bahawa itu adalah definisi Iman. Ia membawa maksud bahawa tonggak keimanan adalah
memeprcayai dan meyakini semua enam rukun tersebut. Jika keyakinan tidak kukuh dan berasa ragu
terhadap salah satu daripadanya, maka iman boleh rosak.
Apa yang disebutkan oleh Nabi s.a.w. dalam hadis tersebut merupakan Rukun Iman, iaitu:
1. Percaya kepada Allah
2. Percaya kepada para malaikat
3. Percaya kepada kitab-kitab-Nya
4. Percaya kepada rasul-rasul-Nya
5. Percaya kepada hari kiamat
6. Percaya kepada qadha’ dan qadar Allah, baik dan buruknya
Bagaimanakah anda percaya kepada Allah dan percaya kepada rukun Iman yang lain itu? Bincangkan
ia bersama rakan-rakan anda.
1.3.2 Perkara Membatalkan Iman
Syarak memberi peringatan kepada umat Islam supaya menjauhi daripada melakukan beberapa perkara
yang bertentangan iman yang sebenar dan boleh mencacatkan iman itu sendiri. Orang melakukannya
boleh dihukumkan sebagai kafir. Antaranya ialah:
1. Sujud kepada berhala dengan pilihan sendiri
2. Menghina perkara yang dihormati oleh agama seperti al-Quran, hadis Nabi s.a.w., syariat Islam,
Rasulullah s.a.w., segala perintah dan larangan Rasulullah s.a.w. dan seumpama dengannya.
3. Melafazkan kalimah kufur.
4. Tidak mempercayai mana-mana nas al-Quran yang telah sabit secara yakin seperti ayat-ayat al-
Quran atau hadis-hadis mutawatir.
5. Menghalalkan perkara yang haram dan disabitkan pengharaman dengan dalil yang qat’i
(muktamad) seperti membunuh jiwa yang tidak berdosa, berzina, mencuri dan lain-lain lagi.
1.3.3 Kaedah Memperkukuhkan Iman
Keadaan iman seseorang muslim menurut Ahli Sunnah wal Jama’ah adalah naik dan turun.
Bagaimana untuk memastikan iman sentiasa naik meningkat dan istiqamah? Cuba lihat dan
cuba praktikkan kaedah ini:
• Menuntut ilmu: Kita hendaklah sentiasa menuntut ilmu bagi mendapatkan saranan
Allah dan Rasul-Nya untuk beramal dengan sempurna. Membaca buku dan mendengar
kuliah daripada tuan guru mengenai galakan beramal dan ancaman melakukan dosa
sedikit sebanyak akan mendekatkan diri kepada Allah. Diri akan berasa takut akan
neraka dan merasa bersemangat untuk menuju syurga Allah.
• Sentiasa bersama dengan orang yang beramal soleh. Ini juga kaedah yang baik dan
praktikal kerana kehidupan kita dikelilingi orang dan kita akan mudah terkesan dengan
tingkah laku orang sekitar.
• Beramal soleh dengan cara istiqamah. Jalan-jalan ke arah kebaikan sangat banyak.
Pilihlah beberapa amalan yang sangat besar pahalanya seperti solat berjemaah,
berpuasa dan bersedekah untuk sentiasa amal. Kekalkan amalan ini untuk seminggu
contohnya mengikut kadar kemampuan dan target kita.
• Berdoa kepada Allah meminta hati yang tetap di atas jalan-Nya. Segala usaha dan amal
kita adalah atas anugerah dan keizinan Allah. Justeru, ucaplah syukur dan sentiasa doa
agar istiqamah. Antara doa yang boleh diamalkan adalah:
ثَبِ ْت قَلبي علَى دينِك، يا مقلِ َب القلو ِب
Maksudnya: Wahai Tuhan yang membolak balikkan hati, tetapkan hati
aku atas agamamu. Riwayat al-Tirmizi; status hadis sahih.
1.4 IHSAN
Orang yang memperoleh ‘ihsan’ dikatakan telah mencapai kenikmatan ibadah. Mereka seolah-olah
melihat Allah ketika melakukan sesuatu amalan. Sehubungan dengan itu, untuk mencapai peringkat
ihsan memerlukan sifat takut, gerun dan tunduk patuh kepada Allah. Sifat ini akan menimbulkan rasa
ikhlas dalam beribadat sekaligus seseorang itu akan sentiasa berusaha memperbaiki ibadatnya agar ia
menjadi lengkap dan sempurna. Ini kerana mereka dapat merasakan setiap masa bahawa Allah sedang
memerhatikannya dalam setiap gerak geri kehidupan.
Pengertian ‘Ihsan’ pada sudut bahasa ialah berbuat baik. Berbuat baik di sini bermaksud
berbakti kepada Allah, berbuat sesuatu bermanfaat, sama ada utk diri sendiri, sesama manusia ataupun
untuk makhluk lain. Semua perbuatan itu dilakukan semata-mata kerana Allah. Ia seolah-olah
merasakan ia sedang berhadapan dengan Allah.
Pengertian ‘Ihsan’ pada sudut Syarak pula ialah berbakti dan mengabdikan diri kepada Allah
dengan dilandasi kesedaran dan keikhlasan.
Apabila dikaitkan dengan ‘Ihsan’ seperti dalam hadis Jibril yang disebutkan sebelum ini iaitu
“Ihsan adalah kamu beribadat kepada-Nya seperti mana kamu melihatnya atau merasakan Allah melihat
kamu”, maka boleh difahami ‘Ihsan’ itu adalah melakukan amal ibadat dan amal soleh yang lain ikhlas
hanya kerana Allah, dalam masa yang sama sentiasa merasai kehadiran Allah dengan segala perhatian
dan pengetahuan Allah terhadap diri kita.
1.4.1 Pembahagian Ihsan
Konsep Ihsan dengan makna yang lebih luas iaitu ‘melakukan kebaikan hanya kerana Allah’, maka ia
boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu:
1. Ihsan dalam ibadat: Bersungguh dan khusyuk dalam mengerjakan ibadat, ikhlas kerana Allah.
2. Ihsan dalam pekerjaan: Melakukan kerja dengan ikhlas, sempurna, tekun dan berkualiti.
3. Ihsan terhadap diri sendiri: Menyempurnakan hak diri yang boleh membawa kebaikan dan
kebahagiaan kepada diri di dunia dan akhirat. Hendaklah juga menjauhi sikap menzalimi dan
memudaratkan diri sendiri.
4. Ihsan terhadap sesama insan: Melakukan kebaikan, memberi khidmat bakti, beri pertolongan,
bersikap adil, belas kasihan dan berperi kemanusiaan kepada sesama insan.
5. Ihsan terhadap binatang: Memelihara dengan baik dengan mencukupkan keperluan hidupnya,
tidak menganiayainya dan menyembelih dengan cara yang paling baik.
6. Ihsan terhadap alam sekitar: Memelihara dan memulihara alam sekitar supaya sentiasa bersih
dari segala bentuk kotoran, pencemaran dan kerosakan. Seterusnya menjadikan alam sekitar
sesuai dan selesa didiami oleh manusia.
1.4.2 Kepentingan Ihsan dalam Kehidupan
Ihsan sangat penting dalam kehidupan seharian kita. Ia menjadi pelengkap dan penyempurna
kepada amal ibadat dan amal duniawi. Tanpanya, boleh jadi amalan harian menjadi sia-sia dan
tidak berpahala. Berikut adalah bentuk ihsan dan kepentingannya:
1. Ihsan dalam ibadat: Menyempurnakan amalan ibadat hingga mendapat pahala yang
sempurna dari Allah. Kita akan berusaha melakukan amal ibadat dengan penuh ikhlas, tulus
kerana Allah, dan bukan kerana mahukan pujian dan tatapan makhluk lain.
2. Ihsan dalam amalan duniawi: Kita akan selalu berusaha menyempurnakan amalan seperti
kerja seharian. Seseorang itu akan bekerja dengan penuh dedikasi walaupun tanpa pantauan
ketua, kerana tahu (di akal) dan sedar (di hati) bahawa Allah Maha Melihat dan Allah ada
ketua segala ketua di dunia ini. Allah akan menilai segala kerja kita di dunia ini dan
termaktub dalam kitab catatan amal yang bakal dibentangkan di padang mahsyar. Dalam
kehidupan seharian juga, daripada ihsan ini akan muncul sifat muraqabah iaitu sentiasa
berasa diri diawasi oleh Allah. Ini akan menghindarkan perasaan ingin berbuat dosa kerana
malu dipandang Allah.
3. Ihsan dengan binatang: Kita akan memelihara binatang dengan menyempurnakan
keperluan makanan dan minumannya. Penganiayaan terhadapnya tidak akan berlaku
kerana prinsip ihsan dan kasihan belas muncul dari dalam hati yang takut akan balasan
Allah. Hati sentiasa ingat hadis riwayat al-Bukhari yang mana Allah mengampunkan dosa
pelacur disebabkan kasihan belasnya memberi minum anjing yang sedang dahaga yang
amat. Hati juga sentiasa takut dengan sebuah hadis mengenai seorang perempuan yang
diazab di neraka kerana mengurung binatang tanpa makanan.
1.5 HUBUNGAN ISLAM, IMAN DAN IHSAN
Hubungan antara Iman, Islam dan Ihsan secara umumnya ialah; Iman berkaitan dengan akidah,
Islam berkaitan dengan syariah, dan Ihsan berkaitan dengan akhlak. Berasaskan tiga perkara tersebut,
maka dalam perkembangan ilmu Islam, ia membentuk tiga bidang utama, iaitu Akidah, Syariah (Fiqh)
dan Akhlak. Dalam hadis Jibril yang lalu, unsur Islam, Iman dan Ihsan disebutkan sebagai gabungan
membentuk agama, iaitu agama Islam. Ini kerana di akhir hadis tersebut Nabi s.a.w. menyebutkan:
“Jibril datang kepadamu mengajarkan agama kamu.”
Agama itu apabila ditinjau sudut amalan-amalan zahir ia disebut dengan nama ‘Islam’.
Seandainya pula jika ia dipandang dari sudut kepercayaan dan keyakinan hati disebut dengan nama
‘Iman’. Seterusnya, jika ia dipandang dari sudut kesempurnaan cara pelaksanaan dua perkara itu, ia
disebut dengan nama ‘Ihsan’.
Konteks tersebut, Agama itu boleh diibaratkan sebagai sebatang satu pokok, di mana akar
umbinya (bahkan benihnya juga) adalah ‘iman’; sedangkan seluruh pokok itu meliputi batang, dahan,
ranting, daun, bunga dan buahnya adalah ‘Islam’. Manakala kesuburannya, keharumannya, kemanisan
dan keindahannya boleh disebut sebagai ‘ihsan’.
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa iman yang mantap akan melahirkan amalan Islam yang
baik dan konsisten. Ihsan bertindak sebagai pelengkap supaya amalan itu menjadi lebih sempurna dari
sudut kualitinya. Amalan Islam sahaja tanpa ihsan hanya sekadar amalan zahir yang boleh jadi sekadar
kuantiti dan tiada kualitinya. Malah, jika amalan Islam dan Ihsan sahaja tanpa keimanan yang mantap
boleh menggugurkan keutuhan sesuatu pegangan dan amalan seperti juga pokok tadi boleh jatuh akibat
kelemahan akar (iman).
1.6 KONSEP AHLI SUNNAH WAL JAMA’AH
Istilah Ahli Sunnah Wal Jama’ah (ASWJ) ini terbahagi kepada beberapa patah perkataan:
1. Ahli: Pengikut
2. Sunnah: Cara Nabi/ Sunnah Nabi Muhammad
3. Wa: bermaksud ‘dan’
4. Al-Jama’ah: bermaksud jemaah para sahabat Nabi, tabi’in dan tabi’ al-Tabi’in (golongan salaf)
Secara mudahnya, istilah ASWJ ini membawa maksud pengikut atau pendukung Sunnah Rasulullah
s.a.w. dan para ulama’ salaf dan orang Islam yang mewarisi cara dan pendekatan mereka itu sama ada
dalam urusan akidah, ucapan ataupun amalan. Mereka juga istiqamah dalam mengikut sunnah dan
menjauhi bid’ah. Hal ini bertepatan dengan hadis Nabi s.a.w. yang berikut:
فعلي ُكم بسنمتي وسنمِة الخلفاِء المراشدي َن المَْهديِيَن ع ُّضوا عليها بالنمواج ِذ
Maksudnya: Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ al-
Rasyidin yang mendapat petunjuk. Kamu gigitlah dengan geraham (peganglah
bersungguh-sungguh). Riwayat Abu Daud
Nabi s.a.w. juga bersabda:
و ُسنمة نبيِه،كِتاب الله: لن تضُلّوا ما تمسكتم بهما،ترك ُت فيكم أمرين
Maksudnya: Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-
lamanya, selagi kamu berpegang kepada kedua-duanya iaitu kitab Allah (al-Quran)
dan Sunnah Nabi-Nya. Riwayat Malik
Berkenaan keutamaan para ulama’ salaf, Nabi s.a.w. pernah bersabda:
ُثم الذين يَلُونهم، ُثم الذين يَلُونهم،َخْْيُ أُمتي قَْرني
Maksudnya: Sebaik-baik umatku adalah mereka yang berada pada kurun aku (para
sahabat), kemudian mereka yang menyusul selepas itu (Tabi’in), kemudian mereka
yang menyusul selepas itu (Tabi’ al-Tabi’in). Riwayat al-Bukhari
Nabi s.a.w. pernah juga bersabda mengenai istilah al-Jama’ah:
ِاَّملل ًوا ِحدة النما ِر كُلّهم، ًوتفتر ُق أمتي على ثلا ٍث وسبعيَن ملمة
قا َل ؟ رسوَل يا ه َي َمن : قالوا ، ًملمة إملا ِف ما أَنا علَيِه وأَصحاب: وِف رواية.الجماعة:
Maksudnya: Umatku akan berpecah kepada 73 golongan. Semua kelompok akan ke
neraka melainkan satu, iaitu al-Jama’ah (setengah riwayat menyebutkan: Apa yang
aku dan para sahabatku berada di atasnya). Riwayat Abu Daud & al-Tirmizi.
Kita mengikut akidah Islam yang dibawa oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat RA, kemudian
diperjelaskan dan diperkukuhkan semula oleh ulama’-ulama’ muktabar yang hidup di zaman salaf.
Selepas kewafatan Nabi s.a.w. muncul pelbagai firqah (kelompok) yang pelbagai seperti Khawarij,
Murji’ah, Muktazilah, Syiah, Jabariyah, Qadariyah dan sebagainya, sehingga memaksa ulama’ ASWJ
bangkit menangkis hujah aliran-aliran sesat ini dengan membuat penjelasan sebenar tentang akidah
yang dimaksudkan dan diperjuangkan oleh Nabi s.a.w. dan para Sahabat. Maka, akhirnya ulama’ seperti
Imam Ahmad bin Hanbal, Abul Hasan al-Asy’ari, Abul Mansur al-Maturidi dan ramai lagi bangkit
memperjuangkan akidah Ahli Sunnah wal Jama’ah dan menggelarkan diri mereka ASWJ sesuai dengan
hadis-hadis di atas. Maka selain daripada ASWJ adalah sesat daripada manhaj atau metodologi ASWJ
(tidak semestinya kafir, bergantung kepada topik perbahasan).
ASWJ memahami perihal iman dengan konsep yang wasati iaitu bersifat pertengahan antara
melampau dan rigid. Contohnya, jika seseorang melakukan dosa besar, muslim masih dikira Islam tetapi
menjadi muslim yang fasiq (berdosa). Imannya sebagai seorang Islam masih ada, namun iman
bermasalah disebabkan dosa tersebut. Ini kerana iman adalah pengakuan melafazkan dengan lisan dan
mengamalkan dengan anggota, manakala amalan terkait dengan iman sama ada ia berfungsi menaikkan
kualiti iman atau menurunkannya.
Kelompok melampau seperti Khawarij berpendapat apabila seseorang muslim meninggalkan
kewajipan solat, puasa, zakat dan lain-lain dosa besar atau dosa kecil, ia akan menjadi kafir, dan boleh
diperangi, serta boleh dirampas harta mereka.
Manakala kelompok rigid seperti Murji’ah pula menganggap iman adalah pengakuan hati dan
tiada kaitan dengan amal, jika seseorang itu berbuat dosa, ia tiada kaitan dengan iman. Ia masih seorang
mukmin yang sejati. Ia tidak juga menjadi kafir seperti pendapat Khawarij. Pendapat itu juga sangat
berbeza dengan ASWJ.
1.7 KESIMPULAN
Islam, Iman dan Ihsan adalah saling berkait antara satu sama lain. Ia merupakan istilah tiga
serangkai yang merupakan tonggak agama ini. Seseorang yang beriman akan merasa bahawa dirinya
terpanggil dengan seruan Allah dalam al-Quran (Wahai orang yang beriman!) agar menyahut dan
mematuhi segala suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya. Amalan zahir yang mewakili ‘Islam’
seseorang pula merupakan petanda seseorang itu muslim dan mukmin. Jika seorang muslim itu
meninggalkan amalan zahir ini, ia menjadi fasiq dan imannya boleh terganggu. Ihsan pula bersifat
sebagai pelengkap dan penyempurna di mana apabila seseorang yang mengakui beriman (dengan
Rukun Iman) melakukan amal soleh (Rukun Islam, mesti disulami dengan niat yang ikhlas kerana
Allah. Ikhlas itulah dikenali sebagai ihsan dan akan dianugerahkan pahala di sisi Allah. Ihsan peringkat
tinggi pula menjadikan seluruh cabang kehidupan disulami dengan ikhlas, sempurna, dan merasakan
diri sentiasa diawasi Allah hingga akhirnya ia bersifat wara’ dan berjaga-jaga daripada melakukan
perkara yang dimurkai Allah.