Bahasa Melayu Bahagian 2 Bab 4 Karangan Respons Terhad 109 Model 4 Kepolisan Masyarakat Berdasarkan maklumat yang disediakan, tulis sebuah karangan pendek yang panjangnya antara 50 hingga 80 patah perkataan. Anggota masyarakat menjadi mata dan telinga pihak polis Aktiviti jenayah dapat dibanteras dengan lebih cepat dan berkesan Kepolisan Masyarakat Maklumat tentang aktiviti jenayah disalurkan kepada pihak polis dengan pantasnya Kepolisan masyarakat penting dalam usaha mengurangkan kadar jenayah dalam masyarakat. Usaha murni ini perlu kita sokong. Menerusi usaha ini, anggota masyarakat akan menjadi mata dan telinga kepada pihak polis. Hal ini bermaksud bahawa anggota masyarakat akan bertindak jika mengetahui terdapat aktiviti jenayah seperti penagihan dadah di kawasan mereka. Apabila wujud aktiviti sedemikian, mereka akan segera menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak polis. Berdasarkan maklumat tersebut, pihak polis akan bertindak untuk membanteras aktiviti jenayah tersebut. Kesimpulannya, kepolisan masyarakat amat wajar diwujudkan dalam masyarakat kita. Anggota masyarakat dan pihak polis perlulah bekerjasama bagai aur dengan tebing. (80 patah perkataan) Koridor Peribahasa • mata dan telinga – orang yang menjadi harapan dan yang selalu memberikan pertolongan • bagai aur dengan tebing – tentang orang yang suka bertolong-tolongan
Bahasa Melayu Bahagian 2 Bab 4 Karangan Respons Terhad 110 Model 5 Penggunaan Teknologi dalam Pendidikan Berdasarkan maklumat yang disediakan, tulis sebuah karangan pendek yang panjangnya antara 50 hingga 80 patah perkataan. Penggunaan Teknologi dalam Pendidikan Pembelajaran dan pengajaran menjadi lebih berkesan Proses pencarian maklumat dan penerokaan ilmu menjadi lebih cepat dan mudah Memudahkan murid berinteraksi dan berbincang dengan rakan dan guru Menimbulkan keseronokan dalam pembelajaran Buku Guru Internet Akhbar Penggunaan teknologi dalam pendidikan banyak membawa faedah kepada murid dan guru. Antara faedahnya termasuklah pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas menjadi lebih berkesan. Penggunaan alat multimedia yang menghasilkan visual dan audio dapat merangsang daya fikir murid. Selain itu, murid akan berasa seronok dan terhibur ketika belajar. Seterusnya, proses pencarian maklumat dan penerokaan ilmu menjadi lebih cepat dan mudah. Murid juga dapat berinteraksi dan berbincang dengan rakan dan guru bagi menyiapkan sesuatu tugasan. Kesimpulannya, teknologi amat diperlukan dalam pendidikan kerana manfaatnya yang besar kepada murid dan guru. (80 patah perkataan) Sudut Kata • visual – dapat dilihat • audio – berkaitan dengan bunyi atau pendengaran
126 Format Ujian Akhir Sesi Akademik Kertas 2 Bahagian B 1. Berdasarkan format Ujian Akhir Sesi Akademik Tingkatan 1, 2, dan 3 terkini, aspek karangan respons terbuka atau karangan umum merupakan soalan Bahagian B dalam Kertas 2 Bahasa Melayu (02/ 2). 2. Sebanyak tiga soalan yang berlainan jenis karangan akan dikemukakan. 3. Selain itu, terdapat tema dan bahan rangsangan yang memaparkan gambar-gambar yang berkaitan dengan tema soalan. Gambar-gambar tersebut merupakan pencetus isi daripada soalan yang dikemukakan. 4. Anda dikehendaki untuk menjawab satu soalan daripada tiga soalan tersebut. 5. Masa yang dcadangkan untuk menjawab soalan ini ialah 45 minit. 6. Jumlah markah yang diperuntukkan dalam bahagian ini ialah 30 markah. 7. Panjang karangan anda hendaklah tidak kurang daripada 180 patah perkataan. Panduan Menulis Karangan Respons Terbuka A Jenis Karangan JENIS KARANGAN Berformat • Surat tidak rasmi • Laporan • Surat rasmi • Wawancara/ • Ucapan/ Syarahan/ Ceramah • Dialog • Berita • Perbahasan Tidak Berformat • Keperihalan/ Gambaran • Cereka • Fakta • Peribahasa • Perbincangan/ Pendapat B Langkah Umum 1. Baca semua soalan yang dikemukakan. Pilih satu soalan yang anda rasakan paling mudah dan pastikan formatnya, sama ada berformat khusus atau berformat umum. 2. Anda hendaklah mempunyai pengetahuan yang luas tentang soalan yang dipilih. Pengetahuan ini merangkumi beberapa idea utama, idea sampingan, dan contoh-contoh yang sesuai. 3. Pengetahuan yang luas dapat anda peroleh melalui pembacaan bahan-bahan bacaan umum seperti surat khabar, majalah, dan buku. Isu-isu semasa dalam bahan perlu dicatatkan, dijadikan nota rujukan, dan diulang kaji sebagai persediaan untuk peperiksaan. Pengetahuan yang luas membantu anda menulis karangan dengan baik dan sempurna. 5 Karangan Respons Terbuka
127 Bahasa Melayu Bahagian 2 Bab 5 Karangan Respons Terbuka 4. Kuasai sesuatu topik dengan menggunakan kaedah peta minda. Melalui kaedah ini, anda akan dapat mengetahui keseluruhan isu yang berkaitan dengan sesuatu topik. 5. Anda hendaklah mengetahui kehendak soalan sebelum membuat pemilihan soalan. Elakkan daripada memilih tajuk yang sukar dan mengelirukan anda. Sebagai contoh, jika anda memilih karangan jenis peribahasa, pastikan anda benar-benar mengetahui maksud peribahasa yang diberikan. 6. Seandainya anda meminati sesuatu tajuk tetapi kurang memahami kehendak soalannya, hal ini bermakna tajuk tersebut bukan pilihan yang tepat. 7. Penggunaan unsur bahasa yang bervariasi mampu membentuk karangan yang cemerlang, manakala kesalahan struktur ayat yang ketara akan menjejaskan mutu karangan. C Kaedah Menganalisis Tajuk 1. Anda perlu menganalisis tajuk soalan untuk memastikan anda menulis karangan yang bertepatan dengan kehendak soalan. 2. Karangan yang ditulis tanpa mengikut kehendak soalan dianggap terpesong dan menyebabkan anda hanya memperoleh markah yang minimum. 3. Semasa menganalisis tajuk, pastikan format tajuk tersebut. Patuhi format yang betul. 4. Gariskan elemen-elemen penting dalam karangan kerana hal ini akan membantu kelancaran anda menulis karangan. Contoh elemen yang penting dalam soalan ialah: (i) Nyatakan langkah-langkah untuk menangani gejala vandalisme. (ii) Perihalkan suasana dan pengalaman anda semasa menyambut suatu perayaan. (iii) Jelaskan usaha-usaha untuk menangani kebejatan sosial dalam kalangan remaja. 5. Kenal pasti kata kunci dalam soalan seperti bincangkan, huraikan, jelaskan, tulis sebuah laporan, balas surat rakan anda, dan tulis ceramah. Kata kunci ini membantu anda menulis karangan mengikut kehendak soalan dan mengemukakan isi yang betul. 6. Skop penulisan juga perlu diketahui agar anda dapat mengaitkan isi utama dengan perkaraperkara lain yang berkaitan dengan tajuk dan yang dapat dijadikan huraian atau contoh. D Kaedah Menulis Karangan 1. Sesebuah karangan terbina daripada hasil cantuman beberapa perenggan ayat yang dihuraikan dan disokong dengan contoh-contoh yang relevan. 2. Kaedah penghuraian fakta dalam sesuatu perenggan adalah seperti yang berikut: Fakta + Huraian + Contoh (i) Fakta – Isi pokok atau isi utama. (ii) Huraian – Penjelasan dan penghuraian kepada isi pokok. Lazimnya, terdapat beberapa huraian dalam satu perenggan. (iii) Contoh – Isi sokongan yang menguatkan fakta dan huraian. Gabungan ketiga-tiga komponen ini akan menghasilkan sebuah karangan yang menarik dan berkesan. 3. Perkara penting yang dinilai dalam sesebuah karangan ialah isi yang relevan dengan kehendak soalan, gaya bahasa yang menarik, struktur ayat yang betul, dan pengolahan yang sistematik.
128 Bahasa Melayu Bahagian 2 Bab 5 Karangan Respons Terbuka 4. Setiap perenggan mestilah mempunyai kesinambungan isi yang dihuraikan secara matang dan seragam antara satu perenggan dengan perenggan yang berikutnya. 5. Kematangan fikiran merujuk keupayaan anda menulis dengan baik, dibantu oleh pengetahuan dalam isu-isu semasa yang berjaya dikaitkan dengan fakta dan huraian. Keutamaan penulisan isi adalah daripada yang paling penting kepada yang kurang penting. E Kaedah Merangka Karangan 1. Penyediaan rangka karangan amat penting dibuat sebelum menulis sesebuah karangan. Rangka karangan merupakan perancangan awal dalam penulisan sesebuah karangan. 2. Rangka karangan merupakan panduan asas bagi memulakan karangan anda. Kebaikan menulis berpandukan rangka karangan ialah: (i) Fakta atau isi dapat disusun mengikut urutan yang betul, iaitu mendahulukan isi yang paling penting. (ii) Memastikan perkara-perkara yang penting tentang tajuk yang dipilih tidak ketinggalan. (iii) Mengelakkan pengulangan isi. (iv) Panjang karangan serta jumlah perenggan dapat ditentukan. 3. Rangka karangan terdiri daripada: (i) Pendahuluan (ii) Isi (iii) Penutup 4. Rangka karangan tidak perlu terlalu terperinci dan memadai dengan membuat coretan ringkas yang dapat anda fahami. F Kaedah Menulis Pendahuluan 1. Pendahuluan merupakan pengenalan awal penulisan anda kepada pembaca atau pemeriksa. Pendahuluan yang berkesan akan menarik minat pembaca untuk terus membaca karangan yang ditulis. 2. Perenggan pendahuluan juga berfungsi sebagai penggerak awal minda pembaca tentang pembentangan perkara yang seterusnya. 3. Pendahuluan hendaklah ditulis secara ringkas. Empat hingga lima baris ayat adalah memadai. 4. Dalam bahagian pendahuluan, anda perlu membuat gambaran secara umum tentang tajuk, walau bagaimanapun masih belum memasukkan isi-isi karangan. 5. Terdapat beberapa teknik dalam penulisan pendahuluan, contohnya teknik definisi, teknik gambaran, teknik sedutan, dan sebagainya. Teknik yang mudah dan popular merupakan teknik definisi dan gambaran. Walau bagaimanapun, anda boleh menggabungkan dua teknik dalam satu perenggan. Teknik Definisi (i) Anda memberikan pengertian atau definisi konsep asas sesuatu tajuk. (ii) Anda tidak perlu mendefinisikan semua frasa dalam tajuk. Teknik Gambaran (i) Anda menulis gambaran umum tentang sesuatu perkara. (ii) Anda mengaitkan senario semasa tentang perkara yang berkaitan dengan tajuk. Teknik Sedutan (i) Anda memulakan karangan dengan mengambil sedutan tajuk daripada surat khabar. (ii) Anda memulakan karangan dengan menulis pantun.
129 Bahasa Melayu Bahagian 2 Bab 5 Karangan Respons Terbuka Tajuk: Kempen kitar semula banyak mempunyai kebaikan, malangnya kurang mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat. Bincangkan kebaikan kitar semula. (a) Teknik Definisi Kitar semula didefinisikan sebagai langkah memproses barangan terpakai kepada barangan yang dapat digunakan semula. Bahan-bahan yang dapat dikitar semula adalah seperti kertas, plastik, tin-tin, dan barangan logam. Barangan terpakai ini lazimnya dikumpulkan untuk dijadikan bahan mentah semula bagi menghasilkan produk yang baharu. Walau bagaimanapun, program kitar semula kurang mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat sedangkan banyak kebaikannya. (b) Teknik Gambaran Setiap hari rakyat Malaysia menghasilkan lebih daripada 50 tan sampah. Sampah dalam kuantiti sebanyak ini jika tidak diuruskan dengan baik, mampu menenggelamkan Menara Berkembar Petronas dalam masa sembilan hari. Sampah yang dibuang di merata-rata tempat juga dapat mendatangkan kesan yang buruk seperti banjir kilat, manakala tempat longgokan sampah menjadi sarang pembiakan pelbagai serangga pembawa penyakit. Oleh itu, sampah sarap perlu diuruskan dengan baik. Amalan kitar semula merupakan langkah penyelesaian yang wajar diamalkan oleh masyarakat. (c) Teknik Sedutan Tikar pucuk, tikar mengkuang, Alas nikah anak raja Melayu; Ikan busuk jangan dibuang, Buat perencah si daun kayu. Pantun di atas bermaksud barang-barang yang telah buruk atau lusuh tidak wajar dibuang kerana dapat dimanfaatkan lagi. Barang-barang terpakai seperti kertas, kaca, plastik, dan barangan logam dapat dikitar semula. Kitar semula dapat mengatasi masalah pembuangan sampah yang semakin serius dari sehari ke sehari. Oleh itu, setiap anggota masyarakat harus berperanan aktif dalam menjayakan program kitar semula. 6. Ketiga-tiga teknik yang diberikan di atas hanya sesuai untuk karangan tidak berformat seperti karangan fakta, cereka, peribahasa, perbincangan, dan pendapat. G Kaedah Menulis Perenggan Isi 1. Perenggan isi merupakan aspek perkembangan dalam sesebuah karangan. Dalam bahagian ini, anda perlu menghuraikan kehendak soalan dengan jelas, dengan menyertakan huraian dan contoh-contoh yang bersesuaian. 2. Isi-isi perlu dikembangkan dalam beberapa perenggan yang disusun secara seragam dan sistematik. 3. Catatkan satu isi utama berserta beberapa ayat huraian dan contoh yang sesuai dalam satu perenggan. Elakkan daripada mencampuradukkan beberapa isi dalam satu perenggan.
130 Bahasa Melayu Bahagian 2 Bab 5 Karangan Respons Terbuka 4. Perenggan yang menarik bergantung pada keupayaan anda mengembangkan isi dengan ayat-ayat yang gramatis. 5. Memandangkan bahagian ini merupakan bahagian yang utama dan amat penting dalam sesebuah karangan, kesalahan dan kelemahan yang berlaku lebih ketara. Elakkan daripada melakukan kesalahan dari segi struktur ayat dan sebagainya dalam bahagian ini. 6. Anda boleh menggunakan kaedah deduktif atau induktif semasa menulis perenggan isi. Teknik Deduktif (i) Memulakan perenggan dengan isi utama. (ii) Menghuraikan isi utama dengan beberapa ayat huraian. (iii) Menyokong isi dan huraian tersebut dengan data, statistik, atau contoh pengetahuan semasa. Teknik Induktif (i) Memulakan perenggan dengan mengemukakan beberapa ayat contoh dan huraian terlebih dahulu. (ii) Menyertakan contoh-contoh, sama ada data atau statistik dan pengetahuan semasa yang relevan. (iii) Menulis ayat huraian atau contoh selepas ayat fakta. Tajuk Anda telah berpeluang mengikuti program motivasi di sekolah anda. Huraikan faedah-faedah yang anda peroleh daripada program tersebut. (a) Teknik Deduktif Program motivasi yang saya ikuti di sekolah dapat meningkatkan motivasi diri selain menaikkan semangat saya agar terus berusaha untuk mencapai kejayaan. (Fakta) Setiap murid harus menyertai program seumpama ini untuk memastikan cita-cita mereka tercapai. (Huraian 1) Program motivasi dapat menyuntik semangat baharu dalam diri murid supaya berusaha dengan bersungguh-sungguh demi mencapai kecemerlangan akademik. (Huraian 2) Perasaan jemu, bosan, dan mudah berputus asa perlu dijauhi. (Contoh) (b) Teknik Induktif Perasaan seperti jemu, bosan, dan mudah berputus asa hendaklah dijauhi oleh setiap murid. (Contoh) Setiap murid harus menyertai program motivasi agar berjaya mengejar cita-cita mereka. (Huraian 1) Program motivasi dapat menyuntik semangat baharu kepada murid supaya belajar dengan bersungguh-sungguh. (Huraian 2) Oleh itu, program motivasi yang saya ikuti di sekolah dapat meningkatkan motivasi diri selain menaikkan semangat saya agar dapat terus berusaha untuk mencapai kejayaan. (Fakta) 7. Anda boleh mengaplikasikan teknik deduktif dan induktif secara berselang-seli antara satu perenggan dengan perenggan yang lain. 8. Panjang perenggan isi terletak pada beberapa ayat huraian dan contoh yang ditulis.
131 Bahasa Melayu Bahagian 2 Bab 5 Karangan Respons Terbuka 9. Gabungan perenggan yang menarik mampu memikat pembaca atau pemeriksa untuk meneruskan pembacaan. Karangan yang menarik dianggap karangan yang cemerlang lantas memungkinkan anda memperoleh markah yang tinggi. H Kaedah Menulis Penutup 1. Semua karangan mesti diakhiri dengan perenggan penutup. Perenggan penutup merupakan kesimpulan atau kesudahan karangan. Perenggan penutup lazimnya bersifat umum dan tidak mengandungi isi tambahan. 2. Perkara-perkara yang ditulis dalam perenggan penutup ialah kesimpulan atau rumusan isi-isi yang telah dicatatkan dalam perenggan isi. 3. Anda tidak perlu mengulangi isi dalam perenggan penutup, sebaliknya menyentuh secara umum sahaja. 4. Dalam perenggan ini juga anda boleh memberikan cadangan atau pandangan tentang tajuk yang dibincangkan. 5. Anda perlu menulis perenggan penutup yang sederhana panjangnya, tidak terlalu ringkas, dan tidak terlalu meleret. Seperti perenggan pendahuluan, empat atau lima ayat adalah memadai. 6. Penutup bagi karangan berformat hendaklah mengikut keperluan dan kehendak format karangan yang ditulis. I Menyemak Karangan 1. Selepas menulis karangan, anda dinasihatkan supaya menyemak karangan yang telah ditulis semula. 2. Semakan amat penting kerana melalui semakan, anda akan dapat mengesan dan memperbaiki kesalahan jika ada. Contohnya, kesalahan dari segi isi, ejaan, tatabahasa, atau struktur ayat. 3. Selain itu, perkara lain yang perlu dipertimbangkan ialah keseragaman perenggan dan kesinambungan isi antara perenggan. 4. Mengabaikan semakan dan penyuntingan mungkin menjejaskan perolehan markah anda sekalipun karangan anda mempunyai isi yang padat dan dihuraikan dengan baik. Hal ini dikatakan demikian kerana kemungkinan banyak terdapat kesalahan yang tidak dikesan dalam karangan tersebut. Penyemakan dapat mengelakkan kemungkinan ini. 5. Penyemakan juga dapat memastikan anda memperbaiki contoh yang tidak sesuai dan menggantikan perkataan yang berulang-ulang dengan perkataan yang lain. 6. Jika jumlah perkataan kurang daripada yang sepatutnya atau karangan terlalu meleret, anda boleh menokok tambah atau membuang bahagian yang tidak perlu. 7. Tulisan yang tidak jelas dan mengelirukan juga dapat dibaiki, seterusnya meningkatkan mutu hasil penulisan. 8. Kesalahan dalam struktur ayat seperti ayat yang tergantung, frasa yang tidak lengkap, dan ayat terlalu meleret sehingga menjejaskan maksud juga dapat dibaiki. Kesalahan-kesalahan sebegini banyak menjejaskan markah.
Bahasa Melayu Bahagian 2 Bab 5 Karangan Respons Terbuka 132 1. Surat rasmi ditulis bagi pelbagai tujuan seperti membuat permohonan, aduan, bantahan, cadangan, rayuan, pemberitahuan, dan sebagainya. 2. Kandungan surat rasmi bersifat formal, maka bahasa yang digunakan mestilah baku selain ringkas. 3. Penggunaan bahasa yang berbunga-bunga atau bahasa kiasan tidak digalakkan. 4. Singkatan perkataan juga tidak harus digunakan. 5. Memandangkan surat rasmi merupakan karangan berformat, maka format khususnya seperti alamat pengirim, alamat penerima, tarikh, kata panggilan hormat, tajuk surat, dan penutup surat mesti ditulis. 6. Kata panggilan hormat yang sesuai digunakan ialah Yang Berhormat, Yang Berbahagia, Datuk, Datin, Tan Sri, Tuan, Puan, dan sebagainya. 7. Perkara yang menjadi tajuk surat rasmi hendaklah digariskan dan setiap huruf awal perkataan ditulis dengan huruf besar. 8. Setiap perenggan perlu dinomborkan, kecuali perenggan pendahuluan dan penutup. 9. Pengakuan penulis hendaklah ditulis di akhir surat disusuli nama penuh dalam huruf besar, serta jawatan jika perlu. 10. Panduan format surat rasmi adalah seperti yang berikut: Sampel Tajuk Persatuan yang anda anggotai di sekolah bercadang hendak mengadakan lawatan sambil belajar ke sebuah tempat. Sebagai setiausaha persatuan, anda telah diminta untuk menulis sepucuk surat kepada pihak yang berkenaan bagi meminta kebenaran mengadakan lawatan tersebut. Tulis surat anda itu selengkapnya. Kata kunci • menulis sepucuk surat kepada pihak yang berkenaan Perkara utama • lawatan sambil belajar • setiausaha persatuan • meminta kebenaran A Surat Rasmi Tip Karangan yang cemerlang lazimnya melebihi 180 patah perkataan. Namun begitu, anda dinasihatkan agar peka akan masa yang diperuntukkan, iaitu 45 minit.
Bahasa Melayu Bahagian 2 Bab 5 Karangan Respons Terbuka 133 Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Syed Nasir Ismail, Jalan Bunga Raya Kecil, Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, 81100 Johor Bahru, Johor Darul Takzim. Pengarah Jabatan Arkib Negara Melayu, 3 Jalan Duta, 50568 Kuala Lumpur. 4 16 MAC 20XX. Tuan, 5 Meminta Kebenaran Mengadakan Lawatan 6 Berhubung dengan perkara di atas, dimaklumkan bahawa Persatuan Sejarah sekolah kami merancang untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke Jabatan Arkib Negara pada minggu hadapan. 2. Tujuan lawatan ini adalah untuk mendedahkan murid dengan khazanah warisan negara dan bahan-bahan sejarah, di samping meningkatkan kesedaran tentang pemeliharaan khazanah warisan negara. Lawatan ini juga diharap dapat memupuk minat yang lebih mendalam tentang sejarah dalam diri murid. 3. Untuk makluman tuan, butiran lawatan adalah seperti yang berikut: Tarikh : 12 Mei 20XX Masa : 10:00 pagi – 12:30 tengah hari Bilangan murid : 80 orang Bilangan guru : 6 orang 4. Diharapkan agar permohonan kami ini mendapat pertimbangan sewajarnya daripada tuan. Selain itu, kami berharap agar tuan dapat memberikan jawapan secepat mungkin memandangkan kami perlu membuat persediaan bagi lawatan tersebut. Kerjasama tuan kami dahului dengan ucapan ribuan terima kasih. Sekian. Yang benar, 10 Siti Khairiah 11 ........................................................... (SITI KHAIRIAH BINTI SAMURI) 12 Setiausaha, Persatuan Sejarah, SMK Tun Syed Nasir Ismail, Johor Bahru. 1442443 1 2 14243 13 8 7 9 1. Alamat pengirim 2. Garisan 3. Alamat penerima (baris terakhir digariskan) 4. Tarikh (bulan ditulis dengan huruf besar) 5. Kata panggilan hormat 6. Perkara/ Tajuk (digariskan) 7. Pendahuluan 8. Isi-isi 9. Penutup 10. Pengakuan pengirim 11. Tandatangan 12. Nama pengirim (Dalam huruf besar) 13. Jawatan pengirim
Bahasa Melayu Bahagian 2 Bab 5 Karangan Respons Terbuka 134 Model 1 Program Bulan Bahasa Melayu Persatuan Bahasa Melayu sekolah anda bercadang untuk mengadakan program Bulan Bahasa Melayu. Sebagai setiausaha persatuan, anda ditugaskan untuk menulis sepucuk surat kepada pengetua sekolah anda untuk memaklumkan program tersebut. Tulis surat itu selengkapnya. Rangka Karangan Pendahuluan menulis alamat pengirim, alamat penerima, tarikh, dan kata panggilan hormat Isi-isi penting • Persatuan Bahasa Melayu – bercadang untuk mengadakan program Bulan Bahasa Melayu – menyatakan butir-butir program – tarikh, tujuan program, aktiviti, bilangan peserta, dan guru yang terlibat • aktiviti yang dirancang – ceramah bahasa – pertandingan forum, pidato, perbahasan, puisi, dan mengarang esei • memohon sokongan daripada pihak sekolah – kemudahan dewan dan sumbangan hadiah • berharap akan mendapat maklum balas segera – kerjasama dihargai Penutup ucapan sekian dan terima kasih, pengakuan pengirim, tandatangan, nama, dan jawatan Model Karangan Mantap Persatuan Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Setia, Jalan Padang Tembak, 36000 Teluk Intan, Perak. Tuan Pengetua, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Setia, Jalan Padang Tembak, 36000 Teluk Intan, Perak. 15 MEI 20XX. Tuan, Program Bulan Bahasa Melayu Peringkat Sekolah Merujuk perkara di atas, Persatuan Bahasa Melayu akan mengadakan program Bulan Bahasa Melayu peringkat sekolah pada bulan Julai ini. 2. Tujuan program ini adalah untuk meningkatkan kecintaan murid-murid terhadap bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di negara ini. Selain itu, program ini dapat meningkatkan keterampilan murid-murid dalam seni berbahasa seperti berpantun, bersyair, berbahas, dan berpidato. Pemenang pertandingan ini akan menjadi wakil sekolah dalam pertandingan-pertandingan yang dianjurkan pada peringkat daerah.
Bahasa Melayu Bahagian 2 Bab 5 Karangan Respons Terbuka 135 3. Bagi menjayakan program ini, beberapa program telah kami aturkan sepanjang bulan bahasa ini. Antara program tersebut ialah ceramah bahasa yang akan disampaikan oleh Munsyi Dewan, Tuan Zainal Abiddin bin Osman. Selain itu, kami juga akan mengadakan pertandingan forum yang melibatkan murid tingkatan empat dan lima. Pertandinganpertandingan lain yang akan dijayakan ialah pertandingan pidato, perbahasan, puisi, dan pertandingan mengarang esei. 4. Kami berharap agar tuan dapat memberikan sokongan yang padu bagi menjayakan program ini. Sokongan ini penting supaya murid-murid sekolah ini dapat melibatkan diri secara aktif dalam setiap kegiatan yang dianjurkan sepanjang program bulan bahasa ini. Selain itu, kami berharap agar tuan membenarkan kami menggunakan segala kemudahan yang terdapat di sekolah seperti dewan, alat pembesar suara, dan peralatan yang lain. 5. Sokongan dan kerjasama tuan dalam hal ini sangat kami hargai dan didahului dengan ucapan terima kasih. Sekian, terima kasih. Yang menjalankan tugas, Samsul Bahar .................................................. (SAMSUL BAHAR BIN ARSHAD) Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Setia. Model 2 Permohonan Lawatan ke Syarikat Penerbitan Persatuan yang anda sertai di sekolah ingin mengadakan lawatan ke sebuah syarikat penerbitan buku. Sebagai setiausaha persatuan tersebut, anda diminta untuk menulis sepucuk surat kepada pihak syarikat itu bagi memohon kebenaran melawat ke tempat tersebut. Tulis surat anda selengkapnya. Rangka Karangan Pendahuluan menulis alamat pengirim, alamat penerima, tarikh, dan kata panggilan hormat Isi-isi penting • permohonan lawatan – mengadakan lawatan sebagai aktiviti tentatif persatuan • tujuan lawatan – memberikan pendedahan tentang cara penerbitan buku kepada ahli • butir-butir lawatan – tarikh, masa, dan bilangan peserta serta guru pengiring • harapan terhadap permohonan Penutup ucapan terima kasih, pengakuan pengirim, tandatangan, nama, dan jawatan Sudut Kata • keterampilan – kecekapan • munsyi – guru bahasa • forum – perbincangan terbuka tentang sesuatu perkara
Bahasa Melayu Bahagian 2 Bab 5 Karangan Respons Terbuka 136 Model Karangan Mantap Persatuan Kemahiran Hidup, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Bahaman, Jalan Kota, 80400 Johor Bahru, Johor Darul Takzim. Tuan Pengarah, Penerbitan Pelangi Sendirian Berhad, Lot 8, P10/10, Kawasan Perusahaan Bangi, Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan. 18 JULAI 20XX. Tuan, Memohon Kebenaran Melawat ke Syarikat Penerbitan Merujuk perkara di atas, Persatuan Kemahiran Hidup sekolah kami ingin mengadakan lawatan ke syarikat tuan. 2. Program lawatan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti tentatif yang kami aturkan kepada ahli persatuan pada tahun ini. Aktiviti ini mendapat persetujuan semua ahli memandangkan syarikat tuan merupakan penerbit yang aktif dalam agenda membanyakkan bilangan bahan bacaan di negara ini. 3. Tujuan lain lawatan ini adalah untuk mendedahkan cara-cara penerbitan buku kepada ahli-ahli persatuan kami. Berdasarkan maklumat yang dikumpulkan, banyak ahli persatuan ini yang berminat dalam bidang penulisan. Mereka berharap agar lawatan ini dapat membina jambatan bagi menjayakan hasrat tersebut. Selain itu, lawatan ini diharap dapat membina hubungan silaturahim antara sekolah ini dengan syarikat tuan. Hubungan silaturahim ini dapat dimanfaatkan demi kepentingan bersama. 4. Yang berikut ialah butiran lawatan tersebut. Tarikh : 23 Ogos 20XX Masa : 10:00 pagi hingga 12:30 tengah hari Bilangan peserta : 36 orang 5. Besarlah harapan kami agar permohonan ini mendapat kelulusan daripada pihak tuan. Kami berharap akan mendapat respons yang segera daripada pihak tuan untuk memudahkan kami menguruskan hal yang berkaitan. Kerjasama tuan dalam hal ini sangat kami hargai. Sekian, terima kasih. Yang menjalankan tugas, ……….........……… Amilah (AMILAH BINTI DANI) Setiausaha Persatuan Kemahiran Hidup, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Bahaman. Sudut Kata • tentatif – buat sementara waktu • respons – reaksi; jawapan
Bahasa Melayu Bahagian 2 Bab 5 Karangan Respons Terbuka 137 Model 3 Aduan tentang Sungai Dicemari Sisa Buangan Kilang Sebatang sungai yang terletak berhampiran dengan tempat tinggal anda telah dicemari oleh sisa buangan sebuah kilang. Tulis sepucuk surat aduan kepada pihak yang berkenaan untuk memaklumkan perkara tersebut. Rangka Karangan Pendahuluan menulis alamat pengirim, alamat penerima, tarikh, dan kata panggilan hormat Isi-isi penting • surat kepada Jabatan Alam Sekitar negeri – masalah sungai yang tercemar • kilang memproses kelapa sawit – membuang bahan sisa ke dalam sungai • air sungai digunakan untuk kegiatan ekonomi – bertani dan menangkap ikan – kesan pencemaran – air sungai berbau busuk dan kotor – banyak ikan mati • penduduk, terutama kanak-kanak mengalami kudis – terpaksa dirawat – kedudukan hospital yang jauh – kos perubatan yang tinggi – haiwan ternakan terjejas – terpaksa ditutup Penutup berharap agar tindakan segera diambil – sungai perlu dipelihara untuk kepentingan semua – ucapan terima kasih – pengakuan pengirim, tandatangan, nama, dan jawatan Model Karangan Mantap No. 85, Kampung Siakap, 13310 Kepala Batas, Pulau Pinang. Pengarah, Jabatan Alam Sekitar, 13500 Butterworth, Pulau Pinang. 12 MEI 20XX. Tuan, Aduan Sungai yang Dicemari Bahan Sisa Kilang Berhubung perkara di atas, saya Amar bin Bahari, wakil penduduk Kampung Siakap ingin membuat aduan kepada pihak tuan tentang masalah sungai di kampung kami yang telah tercemar akibat aktiviti pihak yang tidak bertanggungjawab. 2. Untuk makluman tuan, masalah ini berpunca daripada sebuah kilang memproses kelapa sawit yang beroperasi sejak setahun yang lalu. Hasil tinjauan penduduk, pihak pengurusan kilang didapati telah membuang bahan sisa kelapa sawit ke dalam Sungai Siakap yang terletak kira-kira satu kilometer dari kilang tersebut. Tindakan tidak bertanggungjawab ini menyebabkan air sungai tercemar dan tidak dapat digunakan lagi oleh penduduk. 3. Sungai Siakap amat penting bagi penduduk Kampung Siakap kerana digunakan untuk kegiatan ekonomi penduduk seperti bertani dan menangkap ikan. Pencemaran telah
Bahasa Melayu Bahagian 2 Bab 5 Karangan Respons Terbuka 138 menyebabkan air sungai berbau busuk dan kotor. Ikan-ikan yang sebelum ini menjadi sumber makanan penduduk serta sumber pendapatan nelayan turut mati. 4. Pencemaran Sungai Siakap turut menjejaskan kesihatan penduduk. Memandangkan hospital terletak jauh dari kampung, penduduk terpaksa menanggung kos perubatan yang tinggi untuk mendapatkan rawatan. Hal ini amat menyulitkan penduduk yang rata-rata bekerja sebagai petani atau nelayan dengan pendapatan yang kecil. Di samping itu, haiwan ternakan juga turut terjejas apabila banyak haiwan yang semakin kurus dan mati. Sebelum ini juga terdapat sebuah kawasan rekreasi berhampiran dengan sungai tersebut yang menjadi tempat penduduk beriadah, namun telah ditutup memandangkan persekitaran sungai yang tercemar teruk dan tidak selamat. Akibatnya, kawasan yang dahulunya menjadi tumpuan penduduk kini dipenuhi semak samun. 5. Pihak kami telah menulis sepucuk surat aduan kepada pihak pengurusan kilang tersebut dua bulan yang lalu, namun tiada sebarang tindakan susulan diambil oleh pihak kilang. Oleh hal yang demikian, saya berharap agar tuan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya pada kadar segera untuk mengatasi masalah ini memandangkan sungai merupakan antara khazanah alam yang perlu dipelihara demi kepentingan semua. Kerjasama tuan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih. Yang benar, Amar Bahari .................................. (AMAR BIN BAHARI) Wakil Penduduk, Kampung Siakap. Model 4 Cadangan Memajukan Koperasi Sekolah Akhir-akhir ini, koperasi sekolah anda kurang mendapat sambutan daripada murid-murid. Sebagai setiausaha koperasi, anda diminta untuk menulis sepucuk surat kepada pengetua bagi mencadangkan cara-cara memajukan koperasi sekolah. Tulis surat anda selengkapnya. Rangka Karangan Pendahuluan menulis alamat pengirim, alamat penerima, tarikh, dan kata panggilan hormat Isi-isi penting • menjelaskan peranan koperasi sekolah – menyediakan perkhidmatan seperti menjual alat-alat tulis, baju sukan, dan perkhidmatan fotostat • usaha-usaha memajukan koperasi sekolah – mewajibkan murid membeli buku-buku yang berlogo sekolah – hanya dijual di koperasi sahaja • persatuan akademik, kelab dan sukan, serta badan beruniform hendaklah membeli hadiah-hadiah atau cenderamata di koperasi sekolah – harga berpatutan – membantu memajukan koperasi sekolah Sudut Kata • beroperasi – menjalankan kegiatan • bahan sisa – bahan buangan • rekreasi – tempat beriadah • susulan – berikutnya • khazanah – harta benda, hak milik
Bahasa Melayu Bahagian 2 Bab 5 Karangan Respons Terbuka 139 • mendaftar koperasi sekolah bawah akta koperasi dan bekerjasama dengan pihak ANGKASA – mendapatkan nasihat, tunjuk ajar, dan kursus-kursus – koperasi yang maju memberikan keuntungan kepada pihak sekolah Penutup ucapan terima kasih – pengakuan pengirim – tandatangan, nama, dan jawatan Model Karangan Mantap Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Melati, Taman Melati, 81200 Johor Bahru, Johor Darul Takzim. Pengetua, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Melati, Taman Melati, 81200 Johor Bahru, Johor Darul Takzim. 7 MEI 20XX. Tuan, Cadangan untuk Memajukan Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Melati Merujuk perkara di atas, saya selaku setiausaha Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaaan Seri Melati ingin mencadangkan langkah-langkah untuk memajukan koperasi sekolah. 2. Untuk makluman pihak tuan, koperasi sekolah yang sedang beroperasi kini ibarat hidup segan mati tak mahu kerana kurang mendapat sambutan daripada murid-murid. Alat-alat tulis dan barang-barang yang dijual di koperasi ini bukan sahaja murah, malahan kualitinya setanding dengan barangan di kedai-kedai buku atau pasar raya. Selain alat tulis, koperasi sekolah juga menjual baju sukan dan perkhidmatan fotostat. 3. Untuk memajukan koperasi sekolah, pihak pentadbir sekolah dan guru-guru memainkan peranan penting. Pihak sekolah harus mengeluarkan arahan mewajibkan semua murid membeli buku yang mempunyai logo sekolah yang hanya dijual di koperasi sahaja. Pihak koperasi telah berurusan dengan pembekal bagi mendapatkan buku latihan ini dengan harga yang rendah. Koperasi akan dibuka setiap hari pada waktu rehat dan waktu pulang dari sekolah. 4. Selain itu, pihak pengurusan persatuan akademik, kelab dan sukan, serta badan beruniform hendaklah membeli hadiah atau cenderamata melalui koperasi sekolah. Pihak koperasi memberikan jaminan bahawa barangan yang ditawarkan berkualiti dan harga berpatutan. Tindakan ini dapat membantu dalam memajukan koperasi sekolah. 5. Saya juga mencadangkan agar Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Melati ini didaftarkan bawah akta koperasi. Pendaftaran ini akan memudahkan kolaboratif antara pihak koperasi sekolah dengan pihak ANGKASA. Koperasi ini akan dipantau dan diaudit
Bahasa Melayu Bahagian 2 Bab 5 Karangan Respons Terbuka 140 oleh pegawai-pegawai yang bertauliah daripada pihak ANGKASA dari semasa ke semasa. Tambahan pula, mereka akan memberikan nasihat, tunjuk ajar, dan kursus-kursus kepada ahli-ahli koperasi. Koperasi akan berkembang pesat dan menjana keuntungan yang besar. Keuntungan ini akan dikembalikan kepada murid melalui bantuan dan sumbangan kewangan seperti bantuan murid miskin dan sebagainya. Seluruh warga sekolah akan mendapat manfaat hasil kecemerlangan koperasi sekolah ini. 6. Saya amat berharap agar tindakan segera dilakukan bagi memajukan koperasi sekolah. Keprihatinan dan kerjasama daripada pihak tuan amat dihargai. Sekian, terima kasih. Yang benar, Amir Hamzah ............................................................ (AMIR HAMZAH BIN ANUAR SYAH) Setiausaha, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaaan Seri Melati. Koridor Peribahasa • hidup segan mati tak mahu – hidup melarat Model 5 Permohonan Bantuan dan Sumbangan bagi Program Gotong-royong Perdana Sekolah anda akan mengadakan program gotong-royong perdana. Selaku setiausaha Kelab Keceriaan sekolah, anda diminta untuk menulis sepucuk surat kepada pihak yang berkenaan untuk meminta bantuan dan sumbangan bagi menjayakan program tersebut. Tulis surat anda itu selengkapnya. Rangka Karangan Pendahuluan menulis alamat pengirim, alamat penerima, tarikh, dan kata panggilan hormat Isi-isi penting • sekolah akan mengadakan program gotong-royong – membersihkan kawasan sekolah – nyatakan butiran seperti tarikh dan masa • pelbagai aktiviti keceriaan – pembahagian tugas berdasarkan unit beruniform • memohon jasa baik – menyumbangkan peralatan – tong sampah yang besar – lori sampah untuk mengangkut sampah • sumbangan pokok bunga – ditanam di sekitar kawasan sekolah • keceriaan sekolah penting – kawasan sekolah yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran Penutup berharap agar permohonan mendapat pertimbangan – ucapan terima kasih, pengakuan pengirim, tandatangan, nama, dan jawatan Sudut Kata • logo – lambang khas yang mempunyai maksud yang tersirat • akta – undang-undang yang digubal • kolaboratif – usaha sama antara dua pihak atau lebih
Bahasa Melayu Bahagian 2 Bab 5 Karangan Respons Terbuka 141 Model Karangan Mantap Kelab Keceriaan, Sekolah Menengah Teknik, 56300 Lahad Datu, Sabah. Pengarah, Majlis Perbandaran Lahad Datu, 56300 Lahad Datu, Sabah. 2 MEI 20XX. Tuan, Memohon Sumbangan Sempena Program Gotong-royong Perdana Berhubung perkara di atas, dimaklumkan bahawa kami akan mengadakan program gotongroyong perdana untuk membersihkan kawasan sekolah pada tarikh dan masa yang berikut. Tarikh : 19 Mei 20XX Hari : Sabtu Masa : 8:00 pagi 2. Pelbagai aktiviti akan dijalankan pada hari tersebut. Pembahagian tugas dibuat berdasarkan unit beruniform. Beberapa taman angkat telah dibentuk dan setiap unit beruniform ini diberikan tanggungjawab membersihkan taman tersebut. Selain membuang rumput-rampai, kerja-kerja lain yang akan dilakukan ialah menanam pokok bunga, mengecat bangunan, mencantikkan kawasan padang sekolah, dan membersihkan kawasan persekitaran seperti longkang dan tandas. 3. Sehubungan dengan itu, pihak kami ingin memohon jasa baik tuan untuk menyumbangkan bantuan peralatan seperti pongkes, cangkul, penyodok, dan sebuah tong sampah yang besar bagi melancarkan aktiviti kami. Kami juga berharap agar lori pengangkut sampah disediakan bagi mengangkut sampah sarap ke tempat pelupusan sampah. 4. Di samping itu, untuk menceriakan kawasan sekolah, kami berharap agar pihak tuan dapat menyumbangkan pokok-pokok bunga untuk ditanam di sekitar kawasan sekolah kami. Keceriaan amat penting untuk mewujudkan kawasan sekolah yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran. 5. Besarlah harapan kami agar permohonan kami ini diberikan pertimbangan yang sewajarnya oleh pihak tuan. Kerjasama daripada pihak tuan amat kami hargai. Sekian, terima kasih. Saya yang menjalankan tugas, Nur Amira Hamid ............................................... (NUR AMIRA BINTI HAMID) Setiausaha, Kelab Keceriaan Sekolah Menengah Teknik, Lahad Datu, Sabah. Sudut Kata • taman angkat – kawasan yang diletakkan di bawah penjagaan • pelupusan – proses menghilangkan atau menghapuskan sesuatu • menceriakan – mencantikkan, menggembirakan • kondusif – sesuai, baik bagi sesuatu