The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

NOVEL SERAM PULAU HANTU by Penerbitan Pelangi

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by PENERBITAN PELANGI SDN BHD, 2021-03-10 23:19:30

NOVEL SERAM PULAU HANTU

NOVEL SERAM PULAU HANTU by Penerbitan Pelangi

Pulau
Hantu

Pelangi Novel Sdn. Bhd. (379269-A)

Diterjemahkan daripada Lost Land,
karya Phakinai

Copyright © 2017 Sofa Publishing

Diterbitkan oleh
Pelangi Novel Sdn. Bhd. (379269-A)

Ibu Pejabat:
66 Jalan Pingai, Taman Pelangi,

80400 Johor Bahru,
Johor Darul Takzim, Malaysia.
Tel: (60)7-3316288  Faks: (60)7-3329201
E-mel: [email protected]

Pejabat Jualan:
Lot 8, Jalan P10/10, Kawasan Perusahaan Bangi,

Bandar Baru Bangi, 43650 Bangi,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: (60)3-8922 3993  Faks: (60)3-8926 1223
E-mel: [email protected]

Hak cipta bahasa Malaysia
© Pelangi Novel Sdn. Bhd. 2018

ISBN 978-967-0973-37-1
eISBN 978-967-0973-38-8

Hak cipta terpelihara. Tiada bahagian daripada terbitan ini boleh
diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran, atau ditukarkan dalam
apa-apa bentuk atau dengan alat apa jua pun, sama ada dengan cara

elektronik, sawat, gambar, rakaman atau sebagainya, tanpa kebenaran
daripada Pelangi Novel Sdn. Bhd. terlebih dahulu.

Perpustakaan Negara Malaysia   Cataloguing-in-Publication Data

Phakinai
PULAU HANTU / Phakinai.
ISBN 978-967-0973-37-1
1.  Thai fiction--Translations into Malay.
2.  Graphic novels--Thailand--Translations into Malay.
3.  Ghost stories--Comic books, strips, etc.
I.  Translation of : Phakinai. Lost Land.  II.  Title
895.913

Dicetak di Malaysia oleh
The Commercial Press Sdn. Bhd.
Lot 8, Jalan P10/10, Kawasan Perusahaan Bangi, Bandar Baru Bangi,
43650 Bangi, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

Kandungan

Sembunyi  1
Pulau yang Dilupakan  5
'Mereka' yang Hampir Meragut Nyawa  20
Orang yang Terselamat 39
Mesti Berani Kalau Ingin Lari!  56
Kembali Tetapi Tiada Sesiapa Lagi  71
Hari Terakhir Kita Bersama  87
Kembali untuk Mati?  103
Perjalanan k e Pulau yang Dilupakan  120
Gembira Dapat Bertemu Semula  134
Kembali Mencari Orang yang Tidak Kembali  162
Mencari Orang yang Hilang  170
Silap... Lupa... Lari!  186
Kunci Menjadi Taruhan  201
Rahsia dan Cinta  216

iii

Perebutan  232
Memaksa Seseorang untuk Mati  252
Harapan Baharu... dan Nyawa yang
Dikorbankan  271
Permulaan Baharu... Benarkah Begitu?  288
Pembunuhan!  311
Orang yang Disembunyikan di dalam Bilik
Rahsia  323
Sebelum Saya, Ada yang Lebih Dahulu
Menipu  337
Biarkan atau Bunuh Sahaja  351
Memberikan Pertolongan untuk Menebus
Dosa  365
Kesilapan di Loji Nuklear Nombor 2  377
Bahan Eksperimen  396
Demi Cinta  409
Aku Milikmu  417
Nyawa Terancam Barulah Sayang  427
Mahu Selamat, Ada Pertukarannya  438
Kesudahan - Lupa  445

iv

Sembunyi

Bukan sesuatu yang biasa melihat pintu rumah

ternganga sedangkan tiada sesiapa di dalam
rumah.

Kea yang baru melangkah keluar dari
keretanya, tersentak curiga. Kaki yang sepatutnya
melangkah ke hadapan, terhenti, sebelum
berundur perlahan. Kea masuk semula ke dalam
kereta, membuka tempat penyimpanan barang,
lantas menarik keluar sepucuk pistol.

Peluh dingin membasahi tubuhnya ketika
kakinya mula melangkah perlahan, menyusuri
titisan cecair pekat dan busuk sepanjang laluan
masuk. Kea tunduk, mahu menyentuh dan
merasa cecair itu dengan tangannya, namun
tidak jadi kerana cecair itu terlalu busuk sehingga
dia hampir termuntah. Bau darah hanyir yang
tentunya bukan cecair dari badan manusia!

Kea terus melangkah mengikut arah titisan
cecair itu. Matanya memandang penuh waspada

1

Pulau Hantu

ketika sebelah tangannya menolak jeriji besi pintu,
yang berkeriut terbuka.

Bunyi keriutan itu menyebabkan ‘sesuatu’ yang
berada di suatu penjuru di dalam rumah, berhenti
daripada melakukan apa yang dilakukannya
dan pantas menoleh. Kea membongkok lalu
merangkak dan menyorok di balik pintu. Dia
mengintai ke dalam dan melihat ’sesuatu’ itu
mengerang perlahan sambil memandang ke arah
bunyi pintu. Sebaik sahaja tidak melihat apa-
apa, ‘sesuatu’ itu melangkah perlahan ke dapur
pula. Kegelapan malam yang hanya bertemankan
cahaya bulan membuatkan Kea melihat dalam
kesamaran. Peluh dingin membasahi dahi lelaki
bertubuh tinggi itu yang kini sedang menyorok
di balik pintu. Nafasnya berdengus kuat dan
pantas. Jelas dia gentar. Pistol di tangan semakin
digenggam kemas ketika matanya memandang
tepat ke arah pintu dapur. ‘Sesuatu’ itu dilihatnya
sedang menyelongkar mencari entah apa. Adakah
‘sesuatu’ itu pencuri? Kea lebih suka kalau ‘sesuatu’
itu sekadar pencuri biasa.

Rak pinggan mangkuk berdentangan jatuh,
menyerakkan kaca di lantai. ‘Sesuatu’ itu terus
menyelongkar, memusnahkan barang-barang.
Bagaimana benda itu boleh sampai ke sini? Kea
benar-benar tidak percaya. Dia sudah tidak dapat

2

Sembunyi

membohongi diri sendiri lagi. ‘Hantu pulau’ sudah
sampai ke tanah besar!

Kea membilang dalam hati. Dengan tangan
masih kemas menggenggam pistol, dia bangun
perlahan-lahan. Jelas kedengaran di telinganya
yang hantu pulau itu sedang mengheret kaki
untuk keluar.

Kea memandang tepat ke arah daun pintu.
Nafasnya semakin kencang ketika dia mengintai
ke arah mayat hidup yang berjalan terhuyung-
hayang itu. Dia kemudian menghalakan pistol
dengan kedua-dua belah tangan ke arah mayat
hidup itu, sebelum menekan picu dan melepaskan
tembakan.

Tam!
Hantu itu rebah ke lantai.
Kea masih tidak yakin. Pistolnya masih
diacukan ke arah lembaga yang terbujur itu ketika
dia melangkah mendekat. Dikuisnya lembaga itu
dengan kaki kanannya. Dia mahu benar-benar
pasti.
Sesuatu yang tidak disangka-sangka berlaku.
Kakinya dipaut oleh hantu tadi yang kini
mengerang perlahan. Kea menarik-narik kakinya
tetapi gagal melepaskan diri. Dia rebah. Pistol
dalam genggaman terlucut dari tangan. Sambil
meronta-ronta, Kea cuba menggapai pistol di

3

Pulau Hantu

lantai dengan sebelah tangan sementara sebelah
tangan lagi menahan kepala mayat hidup itu
daripada membahamnya. Jika mayat hidup itu
menggigitnya, dia akan senasib dengan hantu itu.

Nasib menyebelahinya. Pistol di lantai berjaya
dicapai pada saat mayat hidup tadi mengangakan
mulut, bersedia hendak membaham kakinya. Kea
segera mengacukan pistol tepat ke kepala mayat
hidup itu lalu melepaskan tembakan berulang kali.

Tam! Tam! Tam! Tam!
Otak lembaga itu berkecai. Bau hanyir
bertebaran. Kea terus menyepak mayat hidup itu
yang kini tidak berkutik lagi sebelum bangun dan
menyalakan lampu di ruang utama. Sebaik sahaja
lampu bernyala, seluruh tubuh lelaki itu longlai.
Dia meraung sekuat-kuat hati.
“Tidaaaak!”

4

Pulau yang Dilupakan

Pulau yang Dilupakan

Kenangan silam ibarat pisau yang menghiris

hati. Walaupun lukanya sudah sembuh, parutnya
akan kekal. Kehilangan wanita yang dicintai di
Pulau Manta yang terletak di bahagian selatan
negara kecil di kawasan Lautan Hindi itu, memang
amat memeritkan.

Semua orang menasihatinya supaya
melupakan kekasihnya, tetapi tidak semudah
itu untuk lupa. Bukan seperti memadamkan
contengan di atas kertas atau tulisan pada papan
tulis. Ingatan manusia begitu istimewa. Terlalu
istimewa sehingga kita tidak akan mampu
memadamkan ingatan yang memeritkan.

“Jom kita keluar, Kea!” pelawa rakan sekerja
sambil menepuk bahunya. Kea yang sedang
mengelamun jauh, tersentak lantas menoleh.

“Tak naklah!” dia menolak. “Aku nak balik,

5

Pulau Hantu

rehat. Tak ada mood nak ke mana-mana,” katanya
lagi sambil tersenyum.

Kea memang tidak mahu ke mana-mana. Dia
hanya mahu melelapkan mata dan bermimpi. Dia
hanya mahu mengelamun dan membayangkan
wajah kekasih hati, mengenang-ngenang wanita
yang dicintai yang kini terdampar di Pulau Manta,
sebuah pulau yang ditinggalkan terbiar. Pulau
yang kini menjadi kawasan larangan. Kalau ada
kebenaran masuk sekalipun, tidak ada sesiapa
yang berani. Semua orang takut. Kesan sinaran
radiasi di pulau itu sangat menggerunkan. Orang
yang terdedah pada radiasi tersebut akan dihidapi
kanser, penyakit yang membawa maut.

Rakan yang mempelawanya hanya
memandang. Mereka faham perasaan Kea. Tidak
ada sesiapa yang sanggup kehilangan orang
yang tersayang. Namun, jika itu berlaku, kita
mesti cekal meneruskan hidup dan tidak harus
dibelenggu kisah silam.

Memang rakan-rakannya tahu apa yang
dilaluinya amat memeritkan. Namun sebagai
sahabat, mereka mahu Kea bebas daripada rasa
terseksa.

“Janganlah macam tu! Jomlah kita keluar
makan, sembang-sembang, pergi karaoke, lepas
itu baliklah. Dah setahun, Kea. Aku bukan suruh

6

Pulau yang Dilupakan

kau lupakan dia. Aku cuma tak mahu kenangan
pahit itu menghantui hidup kau sampai bila-bila.
Kau kena tabah. Jangan matikan hidup hanya
kerana satu peristiwa. Jomlah! Aku tak mahu
tengok kau sedih lagi.”

Kea hanya mampu mengeluh.
Sudah setahun. Setahun yang amat
menyeksakan, sehingga pernah terlintas di
fikirannya untuk membunuh diri. Sesuatu yang
dirasakannya lebih baik daripada dia terus
dibayangi kenangan silam yang memeritkan.
Akhirnya, Kea mengangguk. Harapannya,
minuman keras akan memudahkannya tidur lena.
Sekurang-kurangnya untuk malam itu.

Orang ramai, yang terdiri daripada penduduk
setempat dan pelancong luar, telah memenuhi
ruang gerai di kiri dan kanan jalan. Lagu-lagu
berkumandang di sana sini, tidak ubah seperti
suara-suara pekikan yang memekakkan telinga
Kea. Bukan sekadar lagu. Suara perbualan dua
orang sahabat yang bersama-samanya juga
tidak masuk ke gegendang telinga. Tangan yang
memegang kole bir masih kaku, tidak diangkatnya
untuk meneguk cecair memabukkan di dalamnya
seperti yang sepatutnya. Matanya merenung jauh,

7

Pulau Hantu

membuat dia tidak ubah seperti jasad tanpa jiwa.
“Kea! Kea!” teriak rakannya dalam kebingitan

muzik yang bergema.
Nampaknya Kea tidak mendengar, lantas

badannya ditolak, membuat dia tersentak.
“Ada apa?!”
“Kenapa mengelamun ni? Bir pun masih tak

luak. Aku tambahkah ais untuk kau, ya?” kata
rakannya itu sambil bergerak untuk mengambil
kole dari tangannya.

Kea menggeleng. Diletakkannya kole itu di
atas meja kecil di depannya.

“Penatlah! Aku nak balik dulu. Pening
kepala… sebab tak cukup tidur agaknya,” dia
memberi alasan untuk beredar, walaupun memang
ada kebenarannya.

Entah berapa jam sahaja dia dapat tidur tanpa
sebarang gangguan. Itu pun sebab dia menelan pil
tidur. Doktor Bim, sahabat baiknya, berulang kali
mengingatkannya supaya tidak kerap mengambil
pil tidur kerana boleh membahayakan nyawa.
Tetapi, tanpa bantuan ubat, dia semakin sukar
melelapkan mata. Sudah lama tidak mengambil
pil tidur, nampaknya malam itu dia terpaksa juga
menelan sebiji dua.

“Kan kita baru sampai?” kawan-kawannya
mulai merungut.

8

Pulau yang Dilupakan

Kea tersenyum tawar. Kalau bersama-sama
mereka pun fikirannya entah ke mana, apa
gunanya.

“Lain kalilah! Hari ini aku memang tak larat.”
“Haiiii… baliklah kalau macam tu! Jangan
banyak fikir. Kalau ada apa-apa nanti, bagi tahu
kami.”
Kea mengangguk sambil menyeluk kocek beg
galasnya untuk mengeluarkan dompetnya. Dia
bercadang untuk membayar harga makanan dan
minuman dia dan kawan-kawannya itu.
Tiba-tiba dompet yang ditarik keluar terjatuh
ke lantai. Wang syiling di dalamnya berdentingan
jatuh, bertaburan dan bergolek ke sana sini. Kea
tunduk mengutip wang syilingnya satu demi satu…
sehingga ke kaki lima tempat orang sedang lalu-
lalang. Kea tidak malu untuk tunduk mengutip
syiling. Setiap sen begitu dihargai walaupun tidak
besar nilainya.
Ketika Kea mengutip syiling terakhir, dia
terpandang seorang penjual barangan lusuh. Entah
mengapa, Kea seperti ditarik untuk mendapatkan
lelaki pertengahan usia itu walaupun dia tidak
tertarik dengan barangan yang dijual. Dia menyelit
di celah kumpulan pelancong asing yang sedang
membelek jam berjenama Rolex yang dipamerkan
di atas hamparan tikar mengkuang. Barangan yang

9

Pulau Hantu

disangka barang tiruan pada mulanya, mungkin
barangan tulen sehingga mata pelancong yang
melihat-lihat itu terbuka luas kerana jam Rolex itu
dijual dengan harga yang begitu murah!

“Two hundred dollars? Are you sure?” tanya
pelancong itu.

“Yes… two hundred… two hundred…” kata si
penjual sambil mengangguk-angguk.

“Okay… I’ll buy!”
Lelaki mat salih itu menyeluk koceknya
lantas mengeluarkan wang kertas AS$200.00
lalu diberikan kepada si penjual. Dia kemudian
cepat-cepat menyumbatkan jam tadi ke dalam
beg galasnya, bimbang si penjual berubah fikiran
dan tidak jadi menjual jamnya. Jam Rolex seperti
itu sebenarnya boleh dijual dengan harga lebih
AS$5000.00!
Nampaknya si penjual tidak tahu bahawa
barangan yang dijualnya merupakan barangan
tulen, bukan tiruan. Berulang kali dia mengangguk
berterima kasih sebelum menyumbatkan wang
AS$200.00 itu ke dalam kocek baju lusuh yang
dipakainya. Sebaik sahaja keadaan agak lengang
apabila kumpulan pelancong tadi beredar, si
penjual menyusun semula barang jualannya
sebelum melaung-laung ke arah orang yang lalu-
lalang.

10

Pulau yang Dilupakan

Kea mencangkung di hadapan lelaki itu
untuk melihat-lihat barangan yang dijual. Ada
jam berjenama, rantai perak, kamera video,
telefon bimbit… semuanya kelihatan seperti
barangan terpakai. Hendak dikatakan bahawa
semua barangan itu memang milik si penjual,
agak tidak munasabah.

“Pak cik dapat barang-barang ini dari mana?”
Pertanyaan itu menyebabkan orang yang
sedang leka menyusun barangan jualannya,
tersentak lantas mengangkat kepala memandang.
“Barang pak cik,” jawab lelaki itu sambil
melarikan pandangan.
“Barang pak cik? Kenapa pak cik jual?
Barang ini elok semua…” kata Kea lagi, cuba
mencari salah. Lelaki itu kelihatan semakin
resah. Dia terus mengaut semua barangan
jualannya lalu dimasukkan ke dalam sebuah
beg. “Eh… pak cik! Nak ke mana? Saya baru
nak tengok-tengok.”
“Pak cik nak balik… tak nak jual,” jawabnya
mudah namun bernada agak kasar.
“Barang curi ya, pak cik! Kalau pak cik
tak nak bagi tahu, saya akan laporkan pada
anggota polis yang meronda di sana tu… biar
dia periksa,” gertak Kea sambil menuding jari
ke arah sebuah pondok polis yang terletak

11

Pulau Hantu

tidak jauh dari situ. Lelaki itu semakin tidak
senang duduk. Dia bagaimanapun diam, tidak
menjawab. “Baik cakap, pak cik ambil barang
siapa?”

“Boleh tak jangan kacau saya!” tiba-tiba dia
membentak sebelum mula melangkah untuk
beredar.

Kea lebih pantas. Ditariknya tangan lelaki
itu. Seketika itu juga dia terpandang seutas
rantai perak di leher lelaki tersebut. Walaupun
cuma rantai biasa, loketnya yang berhuruf ‘KP’
mengejutkan Kea. Dia pernah menempah loket
yang sama khas untuk kekasihnya sempena hari
lahir kekasihnya itu. Huruf ‘KP’, singkatan untuk
Kea & Pipatcha.

Dunia seperti berhenti berputar. Telinganya
berdesing, tidak mampu mendengar apa-apa lagi.
Dipandangnya tepat ke arah rantai dan loket
tersebut dengan jantung berdegup kencang.

Spontan Kea menarik rantai leher itu. Dia
semakin yakin rantai itu milik kekasihnya yang
terdampar di Pulau Manta tahun lalu!

“Dari mana pak cik dapat rantai ini? Saya
tanya, dari mana pak cik dapat rantai ini?!” Kea
menengking sehingga orang yang lalu-lalang
mulai memandang-mandang.

Si penjual menarik tangan Kea untuk

12

Pulau yang Dilupakan

melepaskan dirinya tetapi bukan mudah. Kea
terus merenungnya dengan pandangan bengis.

“Pak cik… pak cik dapat dari…”
“Dari mana?!” bentak Kea, tidak sabar.
“Er… pak cik rasa baik kita cari tempat sunyi
sikit. Tak sesuai bercakap di sini.”

Rantai berloket ‘KP’ itu sudah dalam genggaman
Kea. Dia bingung memikirkan bagaimana rantai
itu boleh berada dalam tangan lelaki yang tidak
dikenalinya itu. Jawapannya bakal diketahui tidak
lama lagi.

“Rantai itu pak cik dapat daripada seorang
perempuan di… di Pulau Manta.”

Spontan rantai itu terlepas dari tangan Kea
lalu jatuh ke lantai. Kea merasakan tubuhnya
menggeletar. Jantungnya berdegup laju, dengan
perasaan bercampur baur. Tetapi bukan itu
jawapan yang dimahukan Kea. Dia mahu tahu
adakah Pipatcha masih hidup… atau sudah mati?

“Dia masih hidup ke?” tanya Kea, cuba
mengawal perasaan. Itu sahaja harapan yang ada.
Harapan untuk mengetahui bahawa wanita yang
dicintai masih hidup dan belum mati seperti yang
didakwa pemerintah

“Pak cik tak pasti,” suara lelaki tua itu bergetar.

13

Pulau Hantu

“Maksud pak cik?”
“Panjang ceritanya. Kamu nak dengar?”
Kea segera mengangguk. Tidak ada sebab
untuk dia menolak walaupun kenyataan adakalanya
begitu pahit untuk diterima. Mengetahui perkara
sebenar walaupun perit lebih baik daripada tidak
mengetahui apa-apa sama sekali.
“Semuanya terjadi minggu lepas. Hari
itu pak cik dan kawan pak cik ke laut seperti
biasa. Tapi bukan untuk menangkap ikan seperti
selalu. Entah kenapa, kami teringin sangat nak
ke Pulau Manta. Kami bukan nak tengok sangat
pulau itu. Kami cuma terfikir nak ambil barang-
barang yang boleh dijual dari pulau itu selepas
dengar cerita orang. Orang cakap semasa kerajaan
pindahkan penduduk dari sana, banyak kedai-
kedai ditinggalkan begitu saja. Sudah tentulah
banyak barang berharga yang boleh kami ambil
untuk dijual.”

Walaupun hanya bulan sabit yang kelihatan di
tengah laut, tetapi jika dipandang dari buritan bot
nelayan, kelihatan sebuah pulau yang agak besar
nun di kejauhan. Pulau yang hampir dijadikan
bandar kedua terbesar oleh pemerintah negara
kecil itu kerana sama pentingnya seperti bandar-

14

Pulau yang Dilupakan

bandar lain di tanah besar serta pernah menjana
pendapatan negara. Pulau Manta.

Pulau besar yang ditinggalkan begitu sahaja
selepas berlakunya bencana besar itu, hanya
diterangi cahaya bulan dan bintang. Walaupun
Pak Cik Uan bukan berasal dari Pulau Manta,
tetapi sebagai nelayan, Pak Cik Uan kerap melalui
perairannya. Sudah setahun Pulau Manta berada
dalam kegelapan malam yang hanya disinari
bulan. Setiap kali melintas kawasan perairannya,
hati terasa sayu mengenangkan malapetaka yang
berlaku.

“Pak Cik Uan… pak cik pernah dengar tak
cerita tentang hantu pulau?” tanya Ai Leng, anak
buahnya.

Pak Cik Uan memandang lelaki kurus dan
berkulit gelap itu lantas mengangguk.

“Pernah… tapi aku rasa semua cerita tu
bohonglah… sengaja direka supaya orang tak
berani datang ke pulau itu. Mungkin kerajaan
bimbang ada orang akan terkena bahan radioaktif
dari loji nuklear yang meletup dulu tu,” Pak Cik
Uan memberi pandangan. Dia memang tidak
pernah percaya akan hantu dan hal-hal yang
seumpamanya. Sudah 30 tahun dia ke laut. Tidak
pernah sekali pun dia melihat sesuatu yang pelik
seperti yang didakwa.

15


Click to View FlipBook Version