The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by rasyidah09-805, 2022-05-11 01:45:07

Tugasan 2

(D7)NUR RASYIDAH_T2

D7

INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS BAHASA MELAYU
59990 LEMBAH PANTAI, KUALA LUMPUR

PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PERGURUAN
(AMBILAN JUN 2018 SEMESTER 9)

KEBUDAYAAN KEBANGSAAN
(BMMB3163)

DISEDIAKAN OLEH:

NAMA PELAJAR NUR RASYIDAH BINTI RASHID
ANGKA GILIRAN 991111115522
NOMBOR KAD PENGENALAN 2018192340138

KUMPULAN PISMP D7

TUGASAN PENULISAN ESEI

NAMA PENSYARAH DATIN PADLON BINTI ABDUL RAHMAN

TARIKH HANTAR 31 MAC 2022

TARIKH MENERIMA MAKLUM BALAS
DARIPADA PENSYARAH

1.0 PENGENALAN
Manusia dan kebudayaan adalah dua perkara yang saling berkait dan tidak dapat
dipisahkan dalam kehidupan. Manusia menghimpun diri menjadi satuan sosial yang
dipanggil sebagai masyarakat. Malaysia terdiri daripada pelbagai etnik berbilang
bangsa misalnya kumpulan etnik yang terbesar iaitu Melayu, Cina dan India serta
beberapa jenis kaum bumiputera lain yang menetap di Sabah dan Sarawak.
Kepelbagaian etnik dan budaya di negara kita merupakan suatu bukti hidup
bermasyarakat serta asbab kepada kejayaan kemerdekaan negara Malaysia sehingga
dapat dilihat hingga ke hari ini. Malahan, kepelbagaian etnik dan budaya masyarakat
di negara kita merupakan suatu ciri yang menentukan keperibadian kebangsaan
negara Malaysia di mata dunia. Kepelbagaian ini seterusnya mewujudkan pelbagai
budaya yang ada di Malaysia. Budaya merupakan satu perkara yang terhasil daripada
tingkah laku manusia serta dipengaruhi oleh ilmu pengetahuan yang dimiliki dan
diperolehi sama ada melalui pembelajaran, pengamatan terhadap persekitaran atau
pengalaman seseorang. Maka, kepelbagaian etnik yang ada di Malaysia
menghasilkan pelbagai budaya yang mengharmonikan kehidupan masyrakat.

2.0 HUBUNGKAIT ANTARA PROSES PEMBUDAYAAN DAN USAHA MEMBINA
PERADABAN BAGI MEREALISASIKAN DASAR PERPADUAN NEGARA
Proses pembudayaan merupakan satu proses yang menunjukkan bagaimana
manusia mengadaptasi dan menyesuaikan kehidupan mereka apabila budaya
meresap dalam sesuatu kelompok masyarakat. Di Malaysia, proses pembudayaan
sudah lama berlaku sejak zaman dahulu lagi. Menurut Khairuddin & Ahmad Hakimi
(2007), sebuah proses pembudayaan itu boleh berlaku sekiranya terdapat dua atau
lebih kebudayaan yang berlainan dan masing- masing telah mencapai tahap
kestabilan yang dinamik bertembung di dalam satu masyarakat yang sama dan
terkawal. Di samping itu, proses pembudayaan juga merupakan salah satu cara
manusia untuk mencapai tahap kehidupan yang lebih baik dan sejahtera yang
dilaksanakan melalui interaksi antara satu kelompok masyarakat dengan masyarakat
yang lain. Dengan ini, proses pembudayan dalam masyarakat dapat dikategorikan
kepada lima jenis.
Antara salah satu proses pembudayaan ialah asimilasi. Asimilasi merupakan
proses sosial yang dilakukan untuk mengurangkan perbezaan atau jurang yang ada
antara kelompok-kelompok masyarakat sehingga membentuk satu kelompok dengan
kebudayaan dan identiti yang sama (Mansor, Abdul Rahman dan Mohamad Ainudin,
2007). Dalam hal ini, kumpulan minoriti mengubah sifat khas atau identiti dalam unsur

kebudayaan mereka dan menyesuaikannya dengan kebudayaan kumpulan yang
dominan sehingga menyebabkan mereka kehilangan identiti kebudayaannya.
Kejayaan asimilasi bergantung kepada kesanggupan dan penerimaan etnik minoriti
menghilangkan identiti mereka dan menerima identiti kumpulan etnik yang dominan
serta kesanggupan kumpulan etnik majoriti menerima kumpulan etnik minoriti.
Contohnya, masyarakat Baba dan Nyonya terhasil melalui proses asimilasi daripada
perkahwinan campur antara pedagang dari wilayah Fujian, China dengan masyarakat
tempatan di Melaka. Ini menunjukkan masyarakat Baba Nyonya telah menyesuaikan
unsur kebudayaan mereka dengan kumpulan etnik dominan dengan mengamalkan
cara hidup orang Melayu sama ada dari segi pemakaian, makanan mahupun
percakapan seperti bertutur dalam bahasa mereka sendiri iaitu campuran Melayu
dialek Baba (Koh Kim Bok, 2013). Kewujudan masyarakat Baba Nyonya membuktikan
bahawa jika tiada percampuran budaya dan adat antara masyarakat Cina dan
masyarakat Melayu, maka masyarakat Baba dan Nyonya tidak akan wujud sehingga
sekarang sehingga masyarakat yang berlainan kaum mampu bersatu hati untuk
menjalani kehidupan yang harmoni. Berdasarkan objektif Dasar Perpaduan Negara,
hal ini jelas menunjukkan asimilasi mampu melahirkan rakyat Malaysia yang
menghargai dan mengamalkan perpaduan.

Proses pembudayaan seterusnya ialah akulturasi. Akulturasi merupakan satu
proses perubahan, penerimaan dan pinjam-meminjam unsur kebudayaan dalam
kalangan individu mahupun kelompok yang datang dari sesuatu budaya yang berbeza
(Madiana dan Hasnah, 2003). Dalam erti kata lain, akulterasi terjadi apabila satu
kelompok masyarakat tertentu diperkenalkan dengan unsur dari budaya asing
sehingga menyebabkan unsur budaya tersebut diterima dan diolah mengikut
kesesuaian dengan kehendak masyarakat tempatan sehingga tidak menghilangkan
budaya sendiri. Perkara ini berbeza dengan proses asimilasi kerana proses akulturasi
tidak menyebabkan kehilangan identiti asal masyarakat penerima. Sebagai contoh,
penggunaan tali leher dalam golongan lelaki masyarakat Melayu apabila menghadiri
majlis- majlis formal yang telah diserap menjadi unsur kebudayaan tempatan. Semua
sedia maklum bahawa tali leher itu tidak mewakili pakaian masyarakat Melayu Islam,
namun kesan daripada proses akulturasi ini, tali leher telah dianggap sebagai satu kod
etika pemakaian formal yang harus diikuti oleh semua masyarakat bukan hanya di
Malaysia malah di seluruh dunia. Maka, akulturasi merupakan satu proses budaya
yang tidak menjejaskan budaya masyarakat asal.

Seterusnya, proses akomodasi. Akomodasi merupakan proses yang
menyebabkan setiap kumpulan etnik menyedari dan menghormati norma dan nilai
kumpulan etnik yang lain, namun dalam masa yang sama masih mempertahankan

budaya hidup masing-masing (Shamsul Amri, 2007). Akomodasi amat menekankan
kerjasama antara setiap kumpulan etnik yang mempunyai matlamat yang berbeza, ke
arah membentuk satu matlamat yang dapat memuaskan hati semua pihak. Akomodasi
dapat dibuktikan melalui keharmonian yang dicapai oleh masyarakat di Malaysia
kerana setiap kumpulan etnik bebas mengamalkan budaya mereka dalam keadaan
sejahtera. Hal ini demikian kerana, walaupun Malaysia dihuni oleh pelbagai etnik,
namun masing-masing sentiasa mengamalkan sikap hormat-menghormati antara satu
sama lain (Abdul Halim, 2015). Contohnya, meskipun agama Islam diiktiraf oleh
Perlembagaan sebagai agama tertinggi negara dan diangkat sebagai agama
Persekutuan, namun penganut-penganut agama lain masih bebas untuk menganut
dan mengamalkan agama mereka. Hal ini dapat mengukuhkan perpaduan dan
integrasi nasional berteraskan Perlembagaan dan Persekutuan dan Rukun Negara
seperti yang digariskan dalam objektif Dasar Perpaduan Negara. Kesefahaman dan
tolak ansur yang menjadi teras akan membantu mengukuhkan perpaduan dan
integrasi nasional yang menjadi pegangan rakyat Malaysia.

Tambahan pula, proses kebudayaan ialah amalgasi. Amalgasi merupakan satu
proses yang terjadi apabila budaya atau ras bercampur bagi membentuk jenis budaya
atau ras yang baru. Syarat dalam proses amalgasi adalah apabila kumpulan yang
dominan sanggup membenarkan percampuran budaya berlaku dalam kumpulan
mereka dan kumpulan minoriti pula sudi atau dipaksa berbuat demikian. Namun
begitu, jarang berlaku bahawa kumpulan majoriti sanggup untuk melepaskan hak
istimewa mereka. Kesanggupan dan kesediaan untuk meninggalkan adat resam dan
budaya asal kumpulan masyarakat tersebut merupakan satu cabaran yang perlu
dihadapi. Contohnya, masyarakat campuran Jawi Peranakan di Pulan Pinang
merupakan kacukan Melayu dan etnik India di bahagian utara iaitu Arab, Punjabi,
Benggali, Gujerat dan Parsi. Masyarakat ini terbentuk apabila saudagar dari India
berkahwin dengan wanita Melayu tempatan. Perkahwinan ini berlangsung kerana
golongan ini ingin mengekalkan tempat dan status mereka dalam masyarakat Islam di
Pulau Pinang (Omar Yusoff & Noriah Mohamed, 2010). Walaupun begitu, dalam
usaha mereka untuk menjadi Melayu, banyak adat resam mereka yang didapati
bertentangan dengan akidah Islam tidak lagi dipertahankan. Maka, ini jelas
menunjukkan melalui proses kebudayaan amalgasi dapat membentuk identity
nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, tolerasi, salin hormati dan
bertanggungjawab seperti yang digariskan dalam Dasar Perpaduan Negara. Identiti
yang dibentuk menjadi tali perpaduan bagi rakyat Malaysia untuk bersatu hati.

Akhir sekali adalah proses segregasi. Segregasi merupakan pemisahan atau
pengasingan yang meletakkan had-had da sekatan tertentu ke atas hubungan, sosial,

kontrak dan komunikasi antara satu kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain
dalamsesebuah negara (Johnston et al., 2000). Pengasingan boleh berlaku dalam
beberapa keadaan seperti tempat tinggal, jenis pekerjaan, sistem persekolahan dan
penerbitan akhbar yang disebabkan oleh perbezaan ras, dasar, agama, kebudayaan
dan kepercayaan dalam masyarakat. Proses segregasi dapat dibahagikan kepada dua
iaitu segregasi yang didasari undang-undang dan segregasi yang tidak didasari
undang-undang. Contoh segregasi yang didasari undang-undang adalah seperti
sistem pendidikan vernakular yang merupakan sistem pendidikan yang berasaskan
bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar telah menyebabkan pemisahan Sekolah
Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis
Kebangsaan India (SJKT) di Malaysia. Selain itu, segregasi juga boleh dilihat semasa
zaman kolonial, apabila penjajah British telah melaksanakan dasar pecah dan perintah
di Tanah Melayu terhadap tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India. Dasar ini
telah mewujudkan jurang dalam kalangan etnik sama ada dari sudut ekonomi dan
sosial. Tujuan utama dasar ini diperkenalkan adalah untuk mengukuhkan kuasa politik
dan ekonomi British di tanah Melayu. Perkara tersebut jelas sekali telah memberikan
impak yang ketara sehingga hari ini. Jelaslah, daripada proses kebudayaan tersebut
banyak budaya yang wujud pada hari ini merupakan hasil proses kebudayaan yang
baik dan sesuai dengan masyarakat di Malaysia dengan menggariskan Dasar
Perpaduan Negara sebagai teras untuk menyatukan rakyat Malaysia.

3.0 RUMUSAN
Tuntasnya, budaya dan masyarakat merupakan satu elemen yang saling berkaitan
antara satu sama lain yang berperanan dalam mengharmonikan dan membantu dalam
interaksi antara satu sama lain. Hal ini kerana, budaya terbentuk daripada tingkah laku
manusia yang didorong oleh pelbagai aspek seperti peraturan, nilai, norma, adat
resam, kepercayaan dan pelbagai aspek yang kompleks. Tambahan pula, proses-
proses kebudayaan yang ada membuktikan bahawa pembentukan sesebuah budaya
yang dibina berasaskan atas sikap tolak ansur antara masyarakat dalam kumpulan
minoriti dan kumpulan majoriti ataupun dominan. Oleh itu, setiap masyarakat
hendaklah menggalas tanggungjawab dalam memelihara kebudayaan Melayu dan
berusaha memajukan masyarakat Melayu agar menjadi satu contoh yang baik kepada
masyarakat yang lain, namun dalam masa yang sama menghormati masyarakat lain
yang mempunyai perbezaan dari segi pandangan dan fahaman supaya masyarakat
majmuk yang harmoni dapat diwujudkan di Malaysia. Tegasnya objektif berasaskan
Dasar Perpaduan Negara haruslah disematkan di minda dan hati supaya segala

perbuatan yang dibuat bermanfaat kepada kehidupan berbudaya yang diamalkan oleh
masyarakat yang berbilang bangsa dan kaum di Malaysia.

RUJUKAN

Abdul Halim Ramli. (2015). Perlembagaan Persekutuan Menangani Cabaran Semasa dan
Mendatang. Undang-Undang Malaysia: 50 Tahun Merentasi Zaman. Fakulti Undang-
undang Universiti Kebangsaan Malaysia.

Johnston RJ, Gregory D, Pratt G, Watts M. (2000). The Dictionary of Human Geography (4th
ed.). Blackwell Publishers Ltd.

Khairuddin & Ahmad Hakimi. (2007). Falsafah di Sebalik Kaedah Penelitian Turut Serta. Satu
Kaedah Penyelidikan Antropologi Kebudayaan, dalam Wacana Persuratan.

Koh Kim Bok. (2013). Pembentangan kertas kerja: Sejarah cabaran dan masa hadapan
masyarakat baba dan nyonya. Seminar wacana Badan Kesenian Baba Nyonya Negeri
Melaka pada 9 Disember 2013 di Auditorium Hang Tuah, Perkampungan Hang Tuah,
Duyong, Melaka.

Mansor Mohd Noor, Abdul Rahman Abdul Aziz & Mohamad Ainuddin Iskandar Lee. (2007).
Hubungan etnik di Malaysia. Prentice Hall Sdn. Bhd.

Madiana Nordin & Hasnah Hussin. (2000). Pengajian Malaysia. Multimedia Sdn.Bhd.

Omar Yusoff & Noriah Mohamed. (2010). Daripada Jawi Peranakan kepada Melayu: Tinjauan
terhadap Komuniti Jawi Peranakan di Pulau Pinang pada Abad ke-21. International
Journal of the Malay World and Civilisation, 63-82.

Shamsul Amri. (2007). Modul hubungan etnik. Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.


Click to View FlipBook Version