Penghijrahan Melayu Champa: Kesan kepada Warisan,
Seni dan Budaya.
Fazilatul Haida Binti Hidzir1, Mohd Izwan Bin Shaharuddin2, Mohamed Bin Saim3
1Politeknik Seberang Perai, 2Universiti Putra Malaysia, 3Politeknik Kota Kinabalu
*Email: [email protected]
ABSTRAK
Kajian ini ini bertujuan untuk mengkaji peninggalan budaya Melayu Champa di
Kemboja khususnya. Antara objektif utama kajian ini adalah untuk melihat samada
bangsa Melayu Cham masih mengamalkan adat resam mereka ataupun tidak.
Selain itu, kajian ini adalah bertujuan untuk memberi justifikasi yang jelas
mengenai pemerhatian yang dilakukan terhadap pengamalan pemakaian busana
tradisional dalam majlis tertentu, di samping mengkaji tahap pemahaman mereka
kepada seni muzik dan tarian tradisional Champa itu sendiri. Sampel kajian adalah
daripada penduduk tiga daerah kecil yang dipilih iaitu Kampong Chroymatri,
Kampong Spea dan Kampong Rapakram. Kaedah kajian yang digunakan adalah
secara pendekatan kualitatif iaitu kajian kes yang dibina melalui lawatan akademik
dan aktiviti tanggungjawab sosial (CSR) di kawasan tersebut secara pemerhatian,
dan catatan harian/lapangan. Hasil kajian mendapati bahawa bangsa Melayu
Cham yang menetap di kawasan-kawasan tersebut tidak lagi mengamalkan adat
resam mereka dan juga tidak lagi berpakaian tradsional Melayu Cham. Mereka
juga tidak lagi mengetahui tentang seni muzik dan tarian tradisional bangsa
Melayu Cham itu sendiri. Ini berlaku adalah kerana ketiga-tiga kawasan yang
disasarkan pada kajian ini merupakan penduduk yang berstatus rakyat jelata di
mana pengetahuan dan pengamalan mereka terhadap seni dan budaya adalah
terhad dan mereka langsung tidak didedahkan dengan adat resam peninggalan
Melayu Champa. Dalam pada itu, hanya di Kampong Or Ressei sahaja yang masih
mengamalkan budaya Melayu Cham kerana majoriti Melayu Cham yang mendiami
kampong tersebut adalah berstatus kerabat istana Melayu Champa yang masih
mengamalkan budaya Melayu Champa itu sendiri. Beberapa cadangan
penambahbaikan boleh diambil untuk kajian seterusnya bagi memantapkan lagi
1
kajian ini agar ia lebih memberikan impak yang berkesan kepada kelestarian
budaya Melayu Cham itu sendiri terutamanya kepada generasi akan datang.
KATA KUNCI
Champa, kelestarian, Melayu Cham
PENGENALAN
Negeri-negeri Melayu Champa tertegak antara abad ke-3 hingga abad ke-
15 Masihi dengan kekuatan dan pengaruh yang meluas. Sepertimana keseluruhan
Nusantara Melayu, fahaman Hindu-Buddha mencorak pemerintahan beraja
dengan unsur-unsur ketuhanan yang menjadi sumber pujaan rakyat. Kawasan
negeri-negeri Champa terletak di pertengahan dan selatan Vietnam masa kini.
Bahan-bahan artifak dan monumen sejarah yang menakjubkan masih lagi wujud.
Peninggalan ini serta penulisan yang ada memberi gambaran keupayaan bangsa
Cham mengolah pemikiran abstrak serta idea-idea falsafah yang tinggi. Ini
mencernakan budaya Cham yang tersendiri yang berbeza dengan kuasa-kuasa
besar sezaman dengannya iaitu Vietnam, Kh
Melayu Champa yang membina Empayar Champa di Vietnam pada abad ke-2
mencapai zaman kegemilangannya pada abad ke-7 hingga ke-10 dan menerima
pengaruh Islam sekitar abad ke-10 yang dibawa oleh pedagang Arab.
Bagaimanapun, empayar berusia 1643 tahun itu jatuh pada awal abad ke-19
berikutan peperangan dan tekanan daripada Kerajaan Annam yang muncul di
utara Vietnam dan selatan China. Peperangan itu menjadikan Melayu Champa
sebagai pelarian termasuk raja terakhirnya, Po Con yang beragama Islam dan
turun takhta pada 1822 untuk mencari perlindungan di Kemboja.
(https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2019/03/545143/melayu-
champa-kini-golongan-minoriti-di-vietnam)
PENYATAAN MASALAH
Abad ke-12 menyaksikan permulaan pertembungan besar antara kerajaan
Champa, Khmer, Siam dan Annam. Champa pula bukanlah satu persekutuan
negeri-negeri yang kuat. Bahkan ia dikuasai oleh golongan-golongan berdarah raja
yang sering bertelingkah sesama sendiri. Lebih kurang pada tahun 1471 armada
2
perang Annam menyerang Vijaya, ibu negeri Cham. Raja Cham dibunuh bersama
dengan rakyat jelata yang tidak terkira banyaknya. Dari situ, bermulalah
penghijrahan bangsa Cham. Wilayah Cham kemudiannya dijajah secara
berperingkat dengan daerah Cham yang terakhir dijajah secara rasmi pada tahun
1834-35 oleh Bangsa Dai Viet, iaitu penjarah Vietnam sekarang.
Kelompok yang masih ditinggal di sana kemudiannya ditekan orang Dai
Viet dan akhirnya menjadikan Melayu Champa golongan pelarian.Mereka
berhijrah ke wilayah Kemboja terutama di Siem Reap dan Kompong Thom selain
sebahagian berhijrah ke Kelantan serta Melaka juga ke Barat. Melayu Champa di
Kemboja mendiami daerah Siem Reap, Kampong Cham, Kampong Thom,
Battambang, Trakeo dan Phnom Penh, selain wilayah kecil lain.
Melayu Champa ialah rumpun bangsa dengan tiga etnik utama, iaitu Champ
Bani, Champ Balamo dan Cham Islam. Hanya Champ Islam (Champ Lima) yang
kekal mengamalkan Islam bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Champ Bani
(Champ Tujuh) pula mencampurkan Islam dengan amalan animisme, manakala
Champ Balamo mengamalkan campuran Hindu dan animisme.
(https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2019/03/545143/melayu-
champa-kini-golongan-minoriti-di-vietnam)
Pemerhatian awal semasa bertugas dalam program khidmat bakti di
Kampong Rapakram pada 2012 mendapati bahawa penduduk Melayu Cham di
sana tidak mengenakan busana tradisional, tiada alat muzik dan tarian tradisional
dipersembahkan semasa majlis meraikan tetamu. Adat resam juga tidak kelihatan
diamalkan oleh komuniti Melayu Cham di situ. Maka bermula daripada hasil
pemerhatian awal ini, kajian kes dibina berdasarkan beberapa siri lawatan kerja
susulan ke kampong-kampong yang dipilih.
OBJEKTIF
1. Mengkaji samada bangsa Melayu Cham masih mengamalkan adat resam
mereka ataupun tidak.
2. Memberi justifikasi yang jelas mengenai pemerhatian yang dilakukan
terhadap pengamalan pemakaian busana tradisional dalam majlis
3
tertentu,
3. Mengkaji tahap pemahaman mereka kepada seni muzik dan tarian
tradisional Champa itu sendiri.
SOROTAN KAJIAN
Kerajaan Champa yang muncul di abad ke-2 hingga akhir 1900 di bahagian
tengah wilayah Vietnam meninggalkan pelbagai warisan sejarah dan tamadun
budaya yang amat besar maknanya dalam sejarah manusia. Istilah-istilah Cham
Bani, Cham Balamo dan Cham Islam yang merujuk kepada kelompok-kelompok
bangsa Cham yang berbeza-beza amalannya samada di Vietnam atau Kemboja.
Kegemilangan dalam bidang penulisan, sastera, binaan, kesenian dan adat-adat
budaya merupakan bukti wujudnya kerajaan Melayu yang kini hanya tinggal
sejarah.
Nama Champa disebut buat pertama kalinya dalam 2 inskripsi Bahasa
Sanskrit, satunya bertarikh 658 M yang ditemui di bahagian tengah Vietnam dan
satu lagi di Kampuchea bertarikh 668 M (Mohd Zain Musa, 2003: 14). Wilayah
Champa mencapai tahap kemuncak perluasan pada abad ke-8 M. Ia bermula dari
Gate of Annam di utara hingga ke lembah Donnai di selatan Vietnam.
Kerajaan Champa sentiasa menghadapi konflik politik dengan Kerajaan
Nam Viet (kini dikenali sebagai Vietnam). Champa mula tergugat apabila Kerajaan
Nam Viet berjaya membebaskan diri daripada cengkaman China pada tahun 939
M (ibid: 23). Kerajaan Nam Viet telah melakukan banyak serangan ke atas Kerajaan
Champa dan secara beransur-ansur mereka berjaya menakluki wilayah-wilayah
Champa. Menurut Mohd Zain Musa (2003: 24), sehingga tahun 1653 Kerajaan
Champa hanya tinggal Negeri Panduranga sahaja. Pada tahun 1832, Kerajaan Nam
Viet di bawah pemerintahan Raja Minh Menh telah menyerang Panduranga dan
berjaya menamatkan pemerintahan Kerajaan Champa.
Dengan kekalahan Kerajaan Champa pada peperangan ini, maka lenyaplah
sebuah kerajaan yang pernah menjadi kuasa besar dan masyhur pada suatu ketika
dahulu daripada peta dunia buat selama-lamanya (lihat Abdul Rahman al-Ahmadi
1989: 644). Ia merupakan satu titik hitam dalam sejarah umat Islam Asia Tenggara
4
kerana sejak kedatangan Islam ke Champa hampir keseluruhan rakyat Champa
samada di Vietnam atau di luar Vietnam adalah orang-orang Islam (Mohd Zain
Musa 2003: 13).
Selepas kehancuran Kerajaan Champa, orang-orang Cham telah melarikan
diri malah menjadi pelarian di negara sendiri. Mereka sentiasa diburu oleh musuh-
musuh dalam usaha melenyapkan terus ketamadunan Champa dan semangat
untuk mengembalikan semula kerajaan tersebut. Orang Cham pada asalnya
menghuni di kawasan pesisir pantai telah berpecah. Sebahagian mereka telah
melarikan diri ke kawasan pergunungan dan sebahagian lagi telah berasak ke
selatan sehingga sampai ke Kemboja (Kampuchea).
Justeru pada hari ini, masyarakat Islam Cham di Vietnam telah berpecah
menjadi dua kelompok kecil. Satu kelompok masyarakat yang tinggal di dataran
tinggi dan kawasan pergunungan (montagnards) dan satu kelompok masyarakat
lagi mendiami tanah rendah di bahagian tengah Vietnam (Mohd Zain Musa 2003:
35). Kawasan tanah tinggi terletak dalam wilayah Na Trang, Phan Rang, Phan Ri
dan Phan Thit berhampiran pesisir pantai (kawasan asal Kerajaan Champa yang
terdapat sejumlah kecil peninggalan arkeologi terutama di Phan Rang), manakala
kawasan tanah rendah menganjur dari kawasan lembah di Vietnam tengah ke
selatan hingga ke sempadan Kemboja dalam wilayah An Giang.
Ajaran Islam Cham Bani adalah anutan Islam yang diwarisi secara turun-
temurun kepada masyarakat Cham di dataran tinggi dan kawasan pergunungan.
Di peringkat awal kehancuran Kerajaan Champa, ajaran Islam yang diamalkan oleh
mereka adalah ajaran Islam yang benar dan tidak menyeleweng. Sebagaimana
yang dinyatakan sebelum ini, demi menyelamatkan diri dari musuh, mereka telah
melarikan diri bersembunyi di kawasan tanah tinggi dan pergunungan. Mereka
juga memutuskan hubungan dengan orang Islam dari negara luar kerana takut
persembunyian mereka diketahui musuh.
Sehinggalah, setelah generasi yang pertama meninggal dunia dan
digantikan oleh generasi demi generasi selepasnya, ajaran Islam yang diwarisi dari
nenek moyang mereka telah menyeleweng dari ajaran Islam sebenar. Penganut
5
Islam Cham Bani hanya mengupah imam mereka dalam melaksanakan ibadat. Di
bulan Ramadhan contohnya, hanya imam yang berpuasa dan mengambil upah
berpuasa dari orang ramai. Mereka juga mengadakan upacara perayaan
tradisional orang Cham di mana antara acara yang dirayakan ialah penyembahan
Tuhan Hindu. Upacara pengebumian juga tidak lagi menurut ajaran Islam kerana
mayat tidak ditanam tetapi dibakar sebagaimana agama Hindu.
Al-Quran yang dibaca oleh orang Islam Cham Bani juga berbeza dengan
Al-Quran sebenar. Al-Quran mereka hanyalah manuskrip tulisan tangan Cham
kuno setebal 20 halaman sahaja. Alunan Al-Quran mereka tidak jelas. Walau
bagaimanapun, masih boleh didengar sebutan seakan-akan ayat-ayat lazim dari
surah Al-ikhlas, Al-fatihah dan lain-lain.
Ringkasnya, walaupun jumlah komuniti Islam di Vietnam pada hari ini
sekitar 80,000 orang (40% Islam Sunni dan 60% Bani Islam) daripada jumlah
penduduk Vietnam seramai 97 juta orang (anggaran statistik Julai 2018) tetapi
masyarakat yang benar-benar mengamalkan ajaran Islam sebenar tidak sampai
separuh darinya. Ini menjadikan masyarakat Islam Cham di Vietnam amat minoriti
dan amat terpencil.
Masyarakat Islam Cham yang melarikan diri sehingga ke negara Kemboja
dan sebahagian kecil menetap di sempadan Vietnam-Kemboja di wilayah An Giang
didapati masih mengamalkan ajaran Islam sebenar dan tidak menyeleweng.
Antara faktor yang menyebabkan komuniti Islam Cham ini dapat mengekalkan
anutan Islam tulen ialah kerana adanya hubungan dengan orang Islam luar
terutama dari negara Islam lain di Asia Tenggara.
Menurut Mohd Zain Musa (2003: 37), ramai orang Cham meninggalkan
tanahair tercinta disebabkan Nam Tien iaitu pergerakan Vietnam ke selatan.
Mereka mencari tempat perlindungan yang selamat untuk terus hidup.
Kebanyakan mereka menetap di Kampuchea (Kemboja). Di sana, mereka bertemu
dengan saudara Islam mereka iaitu orang Melayu yang datang dari nusantara.
Terjadilah akulturasi budaya kerana persamaan agama, dan rumpun Bahasa
Austronesia ke dalam masyarakat baru. Sejak kedatangan mereka di Kampuchea,
6
orang Melayu dan Cham disebut secara mudah sebagai masyarakat Melayu-Cham
atau Jva-Cam (Cam-Chvea) atau dikenali sebagai Khmer Islam, hidup aman damai
bersama masyarakat Khmer yang membentuk masyarakat majoriti Kampuchea.
Kedua-dua kelompok masyarakat ini, iaitu Cham dan Melayu telah bersama
membentuk satu masyarakat Islam yang homogen di Kemboja hingga kini.
Sumber: Mohamad Zain Musa (2012).
Gambar 1: Peta Penempatan Orang Melayu-Cham di Kemboja
KAEDAH KAJIAN
Bahagian ini menjelaskan metodologi kajian yang digunakan dalam kajian
ini. Dalam kajian ilmiah, metodologi kajian adalah alat utama untuk menjawab dan
mencapai objektif kajian. Secara keseluruhannya, kajian ini mengaplikasikan
pendekatan kualitatif sebagai panduan dalam proses pengumpulan data dan
menganalisis data kajian ini. Data kualitatif berbentuk deskriptif, berupa kata-kata
lisan atau tulisan tentang tingkah laku manusia yang dapat diamati (Taylor dan
Bogdan, 1984). Data kualitatif terhasil daripada tiga jenis data sebagai mana
berikut (Patton, 1990):
(1) Hasil pemerhatian: uraian terperinci tentang situasi, kejadian, interaksi, dan
tingkah laku yang diamati di lapangan.
(2) Hasil pembicaraan: kutipan langsung dari pernyataan orang-orang tentang
pengalaman, sikap, keyakinan, dan pemikiran mereka dalam kesempatan
temubual mendalam
(3) Bahan tertulis: petikan atau keseluruhan dokumen, surat-menyurat,
rakaman, dan kes sejarah.
7
Kaedah kajian yang digunakan adalah secara pendekatan kualitatif iaitu
kajian kes yang dibina melalui lawatan akademik dan aktiviti tanggungjawab sosial
(CSR) di kawasan tersebut secara pemerhatian dan catatan harian/lapangan.
Kajian ini menggunakan teknik pemerhatian iaitu sebanyak tiga kali lawatan iaitu
pada tahun 2012, 2014 dan 2019 sebagai panduan dan rujukan untuk
mendapatkan hasil kajian. Dalam kaedah kualitatif ini secara automatik akan
melakukan pemerhatian berperanan terhadap subjek pengkajiannya.
Pemerhatian berperanan serta merujuk pada proses kajian yang
mempersyaratkan interaksi sosial antara pengkaji dan subjek pengkajiannya
dalam lingkungan subjek pengkajian itu sendiri. Interaksi ini bertujuan untuk
memperoleh data melalui teknik yang sitematik.
Sampel kajian adalah daripada penduduk kepada tiga daerah kecil yang
dipilih iaitu Kampong Chroymatri, Kampong Spea dan Kampong Rapakram. Borang
soal selidik dielakkan di dalam proses pengumpulan data ini kerana kekangan
bahasa untuk mereka dan pengkaji memahami.
DAPATAN KAJIAN
Berdasarkan dapatan dari pemerhatian dan catatan daripada buku log
kembara pengkaji, keputusan kajian telah dibentuk untuk menjawab objektif
kajian yang dibina seperti berikut:
Bagi objektif pertama adalah untuk mengkaji samada bangsa Melayu Cham
masih mengamalkan adat resam mereka ataupun tidak. Hasil kajian kes yang
dibina iaitu daripada beberapa siri lawatan ke Wilayah Kampong Cham, iaitu
Kampung Rapakram, Kampong Chroymatri dan Kampong Spea, pengkaji tidak
pernah melihat sebarang adat resam yang diamalkan oleh penduduk kampong
tersebut. Hasil temu bual bersama seorang penduduk Kampong Chroymatri,
berbangsa Melayu Cham, En Yussof Bin Yakob 39 tahun iaitu seorang Pemandu
Pelancong yang fasih berbahasa Melayu. Beliau memberitahu tiada lagi amalan
adat resam yang diamalkan oleh orang Melayu Cham di kampong-kampong
tersebut malah seingat beliau ia tidak diamalkan sejak berpuluh tahun dahulu dari
beliau dibesarkan. Menurut catatan sejarah, dua batu bersurat berbahasa Arab
dengan jelas menzahirkan kewujudan kelompok Islam di Champa pada tahun 1000
8
Masihi. Tidak semua Melayu Champa beragama Islam, mereka lebih terikat
dengan fahaman Hindu-Buddha. Perbezaan fahaman agama antara golongan
istana dan rakyat jelata masih boleh dikesan hingga ke hari ini. Perkampungan Or
Ressei, lebih kurang 50 km daripada Phnom Penh, merupakan kelompok
keturunan istana Raja Champa. Amalan Islam mereka banyak dipengaruhi oleh
unsur-unsur batiniah serta upacara-upacara mistik kehinduan. Ini berbeza sekali
dengan rakyat Cham yang lain, yang rata-rata ahli Sunnah Wal Jamaah bermazhab
Syafi'e, yang tiada bezanya dengan amalan Islam di Malaysia.
Di dalam objektif kedua pula, pengkaji perlu memberi justifikasi yang jelas
mengenai pemerhatian yang dilakukan terhadap pengamalan pemakaian busana
tradisional dalam majlis tertentu. Melalui pemerhatian awal iaitu pada tahun 2012
dan seterusnya pemerhatian yang dibuat pada tahun 2014 dan 2019 pada
kampong-kampung yang dipilih, pengkaji dapat melihat tiada busana khusus
bangsa Melayu Cham yang dipakai oleh komuniti tersebut di majlis-majlis
tertentu. Busana mereka adalah lebih kepada jubah, kain batik, kain pelikat, baju
Melayu, baju Kurta dan tshirt. Pemakaian busana mereka adalah lebih cenderung
kepada pemakaian bangsa Arab. Proses Islamisasi bangsa Cham meningkat
dengan mendadak apabila Putera Raja Khmer, Ponhea Chan menaiki takhta
Kemboja dengan bantuan golongan Islam pada tahun 1642. Beliau memeluk
agama Islam dengan mengambil nama Ibrahim. Sementelaah pula majoriti
penduduk di kampong-kampong yang telah dilawati itu adalah terdiri daripada
bangsa Melayu Cham dari etnik Champ Islam (Champ Lima), maka pemakaian
mereka lebih cenderung kepada para pedagang bangsa Arab.
Tahap pemahaman mereka kepada seni muzik dan tarian tradisional
Champa itu sendiri juga amatlah rendah. Selama pengkaji melawat ke tiga-tiga
kampong itu tiada alat muzik khusus daripada bangsa Melayu Cham yang dapat
dilihat. Alat muzik yang dilihat di luar daerah seperti di Phnom Penh atau di Siem
Reap hanyalah daripada bangsa Khmer seperti Korng Vong Thom, Tre, Tro Ou,
Roneat Ek dan bermacam macam lagi. Alat-alat muzik bangsa Khmer ini selalu
dipersembahkan untuk mengiringi tarian tradisional mereka seperti Tarian Apsara.
Begitu juga dengan tarian tradisional bagi bangsa Melayu Cham. Tiada tarian yang
pernah ditarikan oleh bangsa Melayu Cham ini sepanjang lawatan pengkaji di sana.
9
Semasa pengkaji bertugas di kampong-kampong tersebut, salah satu pengisiannya
adalah persembahan kebudayaan dari negara Malaysia. Salah satu tarian yang
rombongan ekspedisi pengkaji tarikan adalah Tarian Asyik. Peduduk kampong
tersebut hanya berkata bahawa mereka juga ada tarian seperti itu iaitu Tarian
Apsara. Tarian Apsara adalah tarian dari bangsa Khmer iaitu sebuah tarian yang
ditarikan pada era Kerajaan Angkor beribu tahun dahulu. Namun mengikut
beberapa penggiat seni dan tarian daripada bangsa Khmer dan juga dari sumber
rujukan http://www.vtaide.com/ASEAN/Cambodia/dances.html, mereka
mengatakan bahawa Tarian Rakyat yang mereka biasa pentaskan kepada
pelancong di dewan-dewan seni adalah daripada bangsa Melayu Cham. Daripada
dapatan itu, jelaslah di sini bahawa pemahaman bangsa Melayu Cham terhadap
seni tarian dan muziknya adalah kurang.
Keadaan yang mungkin terjadi untuk menerangkan dapatan kajian bagi
ketiga-tiga objektif tersebut adalah kesan peperangan di Champa yang telah
menyebabkan bangsa Melayu Cham terpaksa berhijrah dan ada di antaranya
berpecah mencari tempat yang selamat bagi meneruskan hidup mereka.
Penghijrahan tanpa pewaris budaya yang bersama di dalam kelompok mereka
mungkin menyebakan adat resam, busana dan seni muzik serta tarian tradisional
tidak diketahui serta tidak diamalkan sejak zaman berzaman.
CADANGAN
Beberapa cadangan penambahbaikan boleh diambil untuk kajian seterusnya
bagi memantapkan lagi kajian ini agar ia lebih memberikan impak yang berkesan
kepada kelestarian budaya Melayu Cham itu sendiri terutamanya kepada generasi
akan datang.
Kajian yang berterusan adalah perlu daripada para akademik, sejarahwan
dan pengkaji dalam budaya Melayu Cham ini dari pelbagai sudut kajian. Dapatan
daripada kajian ini penting dalam memperbanyakkan maklumat dan ilmu bagi
melestarikan budaya mereka sendiri.
Hasil daripada dapatan kajian ini bolehlah dikongsi dan disebarluas di
dalam kolokium, seminar atau majlis ilmu yang lain. Sebaran luas ilmu ini amat
10
membantu kepada pemahaman budaya Melayu Cham dan kelestarian budaya itu
juga.
Dapatan kajian ini juga membolehkan para budayawan mereka sendiri
memperbanyakkan bengkel-bengkel semai budaya di wilayah Kampong Cham
kepada generasi muda mereka. Generasi muda pemangkin kelestarian budaya
bangsa yang perlu diambil perhatian agar budaya mereka tetap terus terpelihara.
Mengadakan sesi perkongsian ilmu bersama warga tua Melayu Cham
mengenai seni budaya warisan Melayu Cham. Selain itu, perbanyakkan kursus dan
aktiviti kebudayaan bersama mereka untuk mendapatkan informasi yang tepat
mengenai seni budaya dan warisan Melayu Cham.
Mendapat sokongan dan komitmen oleh semua pihak Wilayah Cham
khususnya dan Kerajaan Kemboja amnya dalam usaha melestarikan semula
budaya Melayu Cham yang makin hilang menyelusuri tahun agar "tidak lapuk dek
hujan, dan tak lekang dek panas". Sokongan dan pengiktirafan daripada pihak
UNESCO juga boleh memberi nilai tambah dalam usaha memartabatkan semula
seni budaya warisan Melayu Cham.
Semoga cadangan ini dapat diberi perhatian oleh para pengkaji,
sejarahwan, budayawan dan badan berkepentingan dalam usaha melestarikan
semula seni budaya warisan Melayu Cham.
KESIMPULAN
Nama Champa pernah kekal dalam peta dunia hingga abad ke-15 sebelum
pupus dan digantikan dengan nama Vietnam hingga kini. Berdasarkan penjelasan
dan perincian yang jelas di atas, penghijrahan Melayu Cham banyak memberi
kesan kepada seni budaya dan warisan mereka sendiri. Hilangnya budaya
daripada sesuatu bangsa itu maka hilanglah identiti sesuatu bangsa negara
tersebut serta usaha untuk menyemai jati diri kepada generasi muda agak sukar.
Ini kerana budaya adalah identiti bagi seseorang dan masyarakat. Melestarikan
identiti yang dimiliki dan diwarisi daripada nenek moyang adalah amanah.
11
Diharapkan bangsa Melayu Cham terutamanya generasi muda mampu
mempertahankan seni budaya warisan mereka biarpun tidak semua kesenian dan
budaya dapat dilestarikan sepenuhnya. Bagi pengkaji, walaupun setiap bangsa
Melayu mempunyai dan mengamalkan adat resam budaya daripada nenek
moyang masing-masing, namun ia bukan pemicu perbezaan tapi wadah untuk
merapatkan hubungan di dalam rumpun Melayu. Perbezaan budaya yang dikaji
dan dipelajari ini semoga menjadi satu semangat dalam bersama-sama
melestarikan seni budaya dan warisan alam Melayu.
RUJUKAN
[1] Cambodia Dances. Tradisional Dances of Cambodia.
(http://www.vtaide.com/ASEAN/Cambodia/dances.html). Capaian muat
turun pada 25 Januari 2020, 7:04 pm.
[2] Vietnam 2018 International Religious Freedom Report.
(https://d2v9ipibika81v.cloudfront.net/uploads/sites/40/VIETNAM-2018-
INTERNATIONAL-RELIGIOUS-FREEDOM-REPORT.pdf). Capaian muat turun
pada 29 Januari 2020, 6:57 pm.
[3] Melayu Champa kini golongan minoriti Vietnam.
(https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2019/03/545143/melayu-
champa-kini-golongan-minoriti-di-vietnam). Capaian muat turun pada 25
Januari 2020, 4.42 pm.
[4] Menyelusuri Negara Champa Raja Islam Melayu Yang Kehilangan Negara.
(http://tangisanmelayu.blogspot.com/2012/05/menyelusuri-negara-champa-
raja.html). Capaian muat turun pada 25 Januari 2020, 4:42 pm.
[5] Mohamad Zain Musa. 2012. Perkembangan Islam di Asia Tenggara: Kajian
Kemboja.(http://ejournal.umm.ac.id/index.php/salam/article/viewFile/1631/
1768). Capaian muat turun pada 29 Januari 2020, 10:05 am.
[6] Mohd Ali bin Mohd Yusuf, Dr. Rohaizan bin Baru, dan Wan Hishamuddin bin
WanJusoh.
(https://www.researchgate.net/profile/Mohd_Mohd_Yusuf/publication/308
318038_PENGAJARAN_AL-
QURAN_KEPADA_GOLONGAN_MINORITI_SOROTAN_PENGALAMAN_MASYA
RAKAT_ISLAM_CHAMPA_DI_SELATAN_VIETNAM/links/57e092fa08ae52b307
8a824f/PENGAJARAN-AL-QURAN-KEPADA-GOLONGAN-MINORITI-SOROTAN-
12
PENGALAMAN-MASYARAKAT-ISLAM-CHAMPA-DI-SELATAN-VIETNAM.pdf).
Capaian muat turun pada 29 Januari 2020, 9:35 am.
[7] Temubual dengan En. Yusoff Bin Yakob Latarbelakang: Lahir pada tahun 1981
di Chongkenes Pnom Krom, Siem Reap wilayah, Cambodia. Pernah mengikuti
pengajian di beberapa Madrasah Agama di Thailand seperti Bangkok, Kandal
Province, Yala dan Golok serta pernah menuntut sekolah pondok di Kelantan,
Malaysia. Beliau kini menetap di Phnom Penh. Temuramah pada: 18 Julai 2008,
jam 5.00 ptg).
13