Syarahan Amalan Berjimat-cermat
Mendatangkan Manfaat kepada
Sesebuah Negara
Nurul Asyrah Suhadah binti Kamar
Istilah berjimat-cermat sering diuar-uarkan oleh pihak kerajaan
pada zaman muasir ini. Adakah masyarakat Malaysia tidak tahu berjimat-cermat?
Sebenarnya berjimat-cermat merupakan istilah keramat yang memacu kepada kejayaan
sesebuah bangsa dan negara.Tanpa amalan tersebut maka tidak mustahilah negara akan
terdedah kepada krisis ekonomi,maka mundurlah ekonomi negara tersebut. Dalam konteks
ini, semua individu dalam sebuah negara memainkan peranan penting dalam mengamalkan
amalan berjimat-cermat.Terdapat banyak faedah yang diperoleh daripada amalan itu.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
Apakah faedah amalan berjimat-cermat? Salah satu faedah berjimat-cermat ialah
ekonomi negara dapat distabilkan. Hal ini kerana, tanpa kestabilan ekonomi negara,
sesebuah negara tidak dapat dibangunkan atau dimajukan. Seterusnya, bagaimanakah
amalan berjimat-cermat perlu dilakukan? Seseorang itu dapat berjimat cermat dengan cara
membeli barangan buatan tempatan atau melancong dalam negara mereka sendiri. Jika kita
membeli barangan buatan tempatan dan bukannya barangan import, wang yang kita bayar
atau belanjakan itu akan diterima oleh pengeluar tempatan dan wang tersebut boleh mengalir
dalam negara.
Impaknya, ekonomi menjadi lebih mampan. Apabila hal ini berlaku, maka secara tidak
langsung mereka telah memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi. Ekonomi negara
akan menjadi lebih teguh dan mantap. Wang yang dibelanjakan akan diterima oleh
pengusaha tempatan dan hal ini bermakna wang itu seterusnya akan berada dalam kalangan
rakyat tempatan.
Kesimpulannya, amalan berjimat-cermat perlu diamalkan oleh setiap lapisan
masyarakat agar hasrat murni kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi akan
tercapai. Sesungguhnya, amalan berjimat-cermat dapat melepaskan diri daripada belenggu
inflasi yang melanda negara. Secara tidak langsung, hal ini akan melahirkan warga negara
yang bijak dan berhemah dalam mengurus ekonomi keluarga,masyarakat dan negara. Maka,
sekiranya kita sayang akan keluarga dan negara daripada dibebani kebejatan ekonomi,kita
perlu menggembleng tenaga dalam mengamalkan budaya berjimat-cermat.