Batu Ajaib Buku Cerita Kanak-Kanak NUR NAZIFA IZWIN
Di sebuah kampung yang dikelilingi hutan yang hijau, tinggalah seorang budak lelaki bernama Amir. Amir merupakan seorang budak yang sangat suka berimaginasi. Setiap hari selepas pulang dari sekolah, dia akan pergi ke dalam hutan untuk menjelajah alam semula jadi yang indah dengan haiwan kesayangannya, Chiki iaitu kucing kampung yang berwarna hitam.
Suatu hari, ketika Amir sedang bermain di hutan, dia terjumpa sesuatu yang sangat ajaib. Ianya adalah sebuah batu berkilauan yang dikelilingi oleh pokokpokok yang besar dan rimbun. Amir berjalan mendekati batu tersebut dengan berhati-hati. Tiba-tiba, batu itu bersinar terang dan mengeluarkan cahaya yang memukau. "Wow, apa ini?" tanya Amir kepada dirinya sendiri.
Kemudian, dari dalam cahaya itu, muncul paripari yang cantik. Pari-pari itu tersenyum pada Amir. "Aku adalah penjaga hutan," kata pari-pari dengan suara lembut. "Kau telah menemukan batu ajaib yang memberikan kekuatan untuk menyatukan semua makhluk hidup dan menjaga alam."
Amir terperanjat. Dia tidak pernah membayangkan bahawa sesuatu yang begitu ajaib berada di hutan yang dia jelajahi setiap hari. "Gosok batu ajaib ini, maka kau boleh berbual dengan makhluk hidup lain, termasuk haiwan dan tumbuhan, " jelas penjaga hutan itu. Amir merasakan hatinya berdebar-debar. Dia sangat bersemangat untuk memulakan pengembaraan baru ini. "Terima kasih, penjaga hutan!" kata Amir dengan penuh kegembiraan.
Dari hari itu, Amir menggunakan kuasa batu ajaib untuk menjalankan misinya. Dia berbual dengan burung-burung di langit, rusa-rusa di hutan, dan berunding dengan pokok-pokok untuk menjaga alam semula jadi. Kemudian Amir berpantun, Walaupun hitam rupa berseri, Batu permata memancarkan cahaya; Tetapkan azam di dalam diri, Gigih usaha pasti berjaya.
Suatu hari, ketika Amir sedang berbual dengan seekor rusa, dia mendengar cerita tentang konflik di antara haiwan-haiwan dari hutan dengan manusia yang ingin memusnahkan hutan untuk pembangunan.
Amir berasa sedih. Dia tahu dia perlu melakukan sesuatu untuk menyatukan semua pihak. Dengan kuasa batu ajaib, Amir mengumpulkan semua makhluk hidup di hutan bersama dengan penduduk kampung untuk berunding.
Melalui perbincangan dan kebijaksanaan Amir, mereka telah mencapai kesepakatan yang saling menguntungkan. Masing-masing bersatu padu iaitu manusia bersetuju untuk memelihara alam semula jadi, sementara haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan bersedia untuk berkongsi ruang dengan mereka.
Akhirnya, wujudlah kebahagiaan di antara manusia dan haiwan bagai aur dengan tebing apabila saling bertolak ansur. Amir turut merasa gembira dan berharap agar manusia terus menjaga dan memelihara hutan dengan baik kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Dengan kuasa batu ajaib, Amir terus menjalankan tugasnya sebagai Penjaga Hutan, menjaga keseimbangan alam semula jadi dan memastikan perdamaian di kampungnya.
GLOSARI Menjelajah : Pergi berjalan ke merata-rata tempat. Ajaib : Sesuatu yang luar biasa. Rimbun : Lebat daunnya, berdaun dan bercabangcabang banyak. Memukau : Sesuatu yang luar biasa (menakjubkan) Pengembaraan : Aktiviti atau proses melawat atau menjelajah tempat-tempat baru. Berunding : Bercakap-cakap (tentang sesuatu hal). Walaupun hitam rupa berseri, Batu permata memancarkan cahaya; Tetapkan azam di dalam diri, Gigih usaha pasti berjaya : Dengan usaha yang gigih dan azam yang kukuh, kejayaan pasti dapat dicapai.
GLOSARI Konflik : Perselisihan atau pertentangan antara individu, idea, kepentingan dan lain-lain. Mencapai kesepakatan : Mencapai satu persetujuan. Bersatu padu : Perikatan (permuafakatan) yang kukuh. Bagai aur dengan tebing : Tolong-menolong di antara satu sama lain. Bertolak ansur : Bersikap mahu saling memberi dan menerima. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh : Persefahaman dalam sesebuah masyarakat dapat membuahkan kejayaan manakala perbalahan akan menyebabkan perpecahan. Perdamaian : Pencapaian kesejahteraan hidup manusia melalui keadilan dan keadaan yang aman.
SINOPSIS Amir, seorang yang suka berimaginasi, menjelajah hutan dengan kucing kesayangannya, Chiki. Suatu hari, dia menemukan batu ajaib yang memberikan kekuatan untuk menyatukan makhluk hidup dan menjaga alam. Dengan batu itu, Amir berbual dengan haiwan dan tumbuhan, menyelesaikan konflik di antara mereka dan manusia yang ingin memusnahkan hutan. Melalui kebijaksanaan Amir, mereka mencapai kesepakatan untuk menjaga alam semula jadi, membawa kebahagiaan dan perdamaian di kampungnya.