Isu pemasaran masa kini dan strategi yang bersesuaian:
1. Membina pasukan
Setiap usahawan memerlukan sebuah pasukan yang berupaya menguruskan syarikat
permulaan itu bersama anda. Mereka perlu berupaya menggalas beberapa tanggungjawab
pada masa yang sama dan yang boleh bekerja tanpa bimbingan.
Akan tetapi, individu-individu ini selalunya adalah yang terbaik dalam industri dan
kemungkinan besar tidak akan bersetuju dengan pembayaran gaji yang lebih rendah di
samping risiko kerjaya yang mungkin perlu ditangani.
Gunakan rangkaian keluarga dan rakan-rakan anda untuk mengenal pasti bakat-bakat yang
teruja untuk mengikut serta dalam perubahan dan kembara ini. Salah satu daya tarikan adalah
dengan memberi peluang kepada mereka untuk ‘memiliki’ syarikat melalui Pilihan Saham
Pekerja.
2. Ketahui aliran kewangan
Kebolehan membaca penyata untung rugi perniagaan tidak mencukupi. Walaupun penyata
menunjukkan pulang modal, ini tidak bermaksud perniagaan akan dapat bertahan pada bulan
berikutnya.
Kunci syarikat yang berdaya maju adalah memastikan anda memahami akaun belum terima,
belum bayar, dan kedudukan bersih pada setiap masa supaya anda dapat merancang lebih
awal.
Penyata untung rugi dan kunci kira-kira, serta penyata aliran tunai adalah asas untuk
memantau perolehan perniagaan dan membuat keputusan.
3. Menangani pesaing
Apabila berhadapan dengan pesaing dalam industri yang sama, anda mungkin rasa seperti
kanak-kanak mendongak tatkala melihat kemegahan pergunungan Himalaya. Dan setiap
seorang akan memberitahu anda bahawa alat mainan yang anda impikan berada di puncak
gunung itu.
Agak menakutkan, terutamanya apabila anda membandingkan diri dengan syarikat-syarikat
yang telah bertapak lama. Dapatkan bantuan dan nasihat daripada pakar-pakar. Libatkan diri
dengan mereka dan sentiasa peka.
Anda akan menyedari bahawa anda tidak sepatutnya risau akan pesaing-pesaing anda.
Fokus pada apa yang perlu anda lakukan dan biarkan klien, konsumer dan audiens
menentukan siapa yang ingin mereka sokong.
Keperluan pematuhan dan kawal selia mungkin faktor rumit yang boleh menentukan
kelangsungan perniagaan jika anda gagal untuk mematuhi atau tidak tegas. Sentiasa ambil
tahu tentang undang-undang yang berkaitan dengan perniagaan anda dan berusaha untuk
mematuhinya.
4. Berurusan dengan orang ramai
Seiring dengan perkembangan syarikat, anda perlu menggajikan lebih ramai pekerja. Kos
tenaga kerja akan sentiasa menjadi isu dalam mana-mana syarikat dan anda perlu mencari
penyelesaian terbaik untuknya.
Pada peringkat permulaan, segala-galanya akan nampak ceria tetapi akan tiba masanya
apabila perselisihan faham dan pergeseran akan berlaku. Jangan takut untuk bercakap jujur
dengan pasukan anda, mahupun berpisah dengan pengasas bersama atau para pekerja.
Ini adalah pusing pengurusan pasukan (bentuk, bantah, biasa, laksana), menurut ahli
psikologi Bruce Tuckman.
Selalunya, sesebuah syarikat memerlukan ‘polis baik, polis jahat’ untuk memastikan
keseimbangan dalam pengurusan sumberyang berbeza adalah tugas yang agak
mengentarkan.
Dengan adanya sistem ganjaran dan penalti — yang memberi fokus pada pengukuhan positif
dan negatif, dan bukannya hukuman, akan membantu mengawal situasi.
5. Kenali diri anda
Sebagai syarikat permulaan, setiap orang mempunyai idea berbeza tentang cara anda harus
menguruskan perniagaan anda dan bagaimana anda patut berkembang.
Ini benar terutamanya apabila anda berada di peringkat penubuhan tabung dan pelabur-
pelabur memberitahu anda untuk mengamalkan sesuatu model perniagaan produk.
Ambil masa untuk mencari, dan ada kalanya, membentuk identiti dan visi sendiri, model
perniagaan yang terbaik dan kesesuaian produk dengan pasaran bagi perniagaan anda.
Sekiranya anda tidak tegas dalam identiti dan visi, anda mungkin dipengaruhi oleh pelabur
dan rakan kongsi untuk mengambil hala tuju yang mungkin bukan yang paling sesuai untuk
syarikat anda.
Kuncinya adalah memberi pasukan pengasas masa yang mencukupi untuk menguji pasaran
dan membuat uji kaji pelbagai model perniagaan. Ini memberi mereka peluang untuk
mengenal pasti yang mana yang terbaik untuk syarikat permulaan dan berkongsi visi itu
dengan para pelabur.
6. Pengurusan risiko
Sebahagian besar daripada proses pertumbuhan dan peluasan perniagaan adalah
mengambil risiko. Jika anda asyik mengambil posisi yang selamat, anda tidak akan ke mana
dan ia juga tidak dapat membuktikan jika perniagaan atau idea itu membuahkan kejayaan
atau tidak.
Namun, kemalangan tidak berbau. Pekerja meletak jawatan. Bangunan terbinasa. Jentera
rosak. Sedari risiko yang berkaitan dengan perniagaan anda, dan membuat perancangan
tertentu.
Perlindungan insurans ada gunanya. Liputan pekerja, kebakaran dan kecurian, perubatan dan
lebihan dapat menangani masalah ini.
Memulakan perniagaan dalam talian dan mengharapkan jualan utama daripada saluran
media sosial juga ada risikonya. Sebuah perniagaan dalam talian mendapati akaun Facebook
mereka digodam, menyebabkan mereka kehilangan kesemua 80,000 pengikut yang telah
dikumpul selama beberapa tahun lamanya.
Mereka terpaksa bermula dari bawah dengan membuka semula halaman peminat Facebook
mereka. Nasihat mereka? Kumpulkan pangkalan data pelanggan dari hari pertama. Selepas
melakukan ini, mereka berjaya menghantar surat berita secara e-mel untuk memaklumkan
pelanggan-pelanggan mereka tentang halaman baharu selepas kejadian tersebut.
7. Kemampanan
Faktor-faktor lain seperti ekonomi dan mata wang yang lembap perlu diambil kira. Jika anda
menjual produk nyata, dan ia berasal dari luar negeri, harganya mungkin meningkat.
Selain itu, cukai barangan juga boleh menyebabkan harga produk menjadi lebih tinggi
berbanding produk tempatan.
Ditambah pula dengan fakta bahawa rakyat Malaysia secara amnya mempunyai kurang
pendapatan berbelanja disebabkan inflasi, cukai, Ringgit yang lemah, setaip pelanggan
kurang berbelanja berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Bagi menangani kejatuhan dalam jualan, anda boleh mengagih-agihkan ‘telur pelaburan’
supaya ia tidak hanya tertumpu kepada pasaran Malaysia semata-mata tetapi juga di
peringkat serantau dan antarabangsa.
Pastikan yang asas kepada segala yang anda kerjakan memberi nilai tambah kepada
suasana persekitaran.
Jika perniagaan anda bergantung pada jenama orang lain, produk orang lain dan risiko yang
dihadapinya, anda pasti tahu itulah haluan untung anda. Di samping itu, kawalan perniagaan
anda sebenarnya kurang dalam tangan anda. Pilih model perniagaan yang betul yang ada gol
jangka panjang.
8. Budaya
Cakap biar serupa bikin. Penuhi setiap janji anda. Apa perkara yang anda bertolak ansur akan
menjadi budaya syarikat.
Peri laku anda menentukan budaya syarikat. Rancang pertumbuhan dalam pasukan anda.
Fahami bahawa dalam peredaran masa, pekerja anda akan tumbuh dan belajar. Jika anda
dapat menyemai fahaman ini dalam suasana kerja anda, ia menjadi alat pengekalan bakat
yang kuat dan pada masa yang sama, membenarkan anda untuk berkembang atau
menggalas peranan dan tanggungjawab yang lebih besar.
Siapa yang lebih pantas untuk mengambil alih dan menguruskan perniagaan anda kalau
bukan pekerja yang sememangnya mengerjakanny setiap hari?
9. Kepimpinan
Pemilik syarikat baharu cenderung untuk menmbuat anggaran berlebihan tentang keupayaan
diri. Fahamilah bahawa anda tidak mengetahui segala-galanya, dan ia sebenarnya okay.
Dapatkan seorang mentor — kepadanya anda boleh mengaku akan kesilapan anda — dan
meminta pertolongan apabila anda tersilap langkah. Mentor anda akan memastikan anda
bertanggungjawab kepada rancangan perniagaan dan perkembangan peribadi serta
menentukan — dan menyelesaikan — kesilapan yang dilihat.
Satu lagi, untuk menjadi pemimpin, anda harus belajar menjadi orang yang lebih besar.
Berikan dahulu. Percayakan mereka. Percaya yang mereka akan memberikan yang terbaik
mungkin biarpun anda menyangsikannya. Menyelia kerja lebih baik daripada mengawal. Beri
ruang untuk kesilapan kerana daripada kesilapan akan timbul pengajaran yang hebat.
Seseorang pemimpin akan memotivasikan mereka di sekitarnya untuk membuat yang terbaik.
Kesihatan, disiplin, tabiat harian dan fokus anda amat penting kerana anda perlu berasa pada
tahap terbaik untuk membuat keputsan yang terbaik.
Jika anda sering mengantuk dan penat, perniagaan anda akan merosot juga. Tetapkan waktu
gendala sekali sekala untuk mengecas diri semula walaupun ini bermakna anda terpaksa
menutup notifikasi fon buat sementara.
10. Pemasaran
Ini adalah perbelanjaan yang perlu. Bagaimanapun, kalau tidak diuruskan dengan baik, ia
boleh mengakibatkan keperitan kewangan kepada syarikat anda. Tidak ramai yang menerima
pulangan daripada pelaburan yang sepatutnya daripada perbelanjaan ini.
Pemasaran perlu dipacu data. Fahamkan corong jualan dan buat penambahbaikan
terhadapnya. Pada kala yang sesuai, buatlah penyumberluaran tugasan walaupun anda boleh
melakukannya sendiri.
Menugaskan kerja dan penyumberluaran akan membolehkan anda memberi fokus kepada
perkara-perkara yang lebih penting.
Kadang-kadang anda mungkin mendapati pasaran anda belum bersedia untuk menerima
penyelesaian inovatif bagi masalah seharian. Ada yang gembira berhadapan isu semasa.
Terus mengajar pasaran sasaran anda dan jangan menyerah. Terus mengemaskini progres
anda sehingga nilai anda dalam perniagaan terang dan jelas.