The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Cerita mengenai seekor ayam yang ingin terbang seperti burung di udara.

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by BM0622 Muhammad Abrar Bin Mohd Khairudin, 2024-02-24 06:35:37

Ayam Terbang?

Cerita mengenai seekor ayam yang ingin terbang seperti burung di udara.

Muhammad Abrar Mohd Khairudin@ BM D Ayam Terbang?


Di dalam sebuah hutan yang jauh dari bandar, terdapat tiga ekor haiwan yang berkawan baik. Ciki merupakan seekor anak ayam jantan yang ceria. Ciki mempunyai dua kawan rapat yang terdiri daripada haiwan yang berbeza. Dia berkawan dengan Lulu iaitu seekor arnab dan Dodo iaitu seekor katak. Mereka telah berkawan baik sejak dari kecil lagi. Kehidupan mereka berjalan dengan lancar seperti biasa. Sehinggalah suatu hari, berlaku sesuatu perkara yang berjaya menarik minat Ciki.


Pada suatu pagi yang indah, Lulu dan Dodo sedang makan sambil berbual-bual di tepi sungai. Ketika mereka berdua sedang bersembang, kedengaran jeritan yang sangat kuat dari jauh. Mereka mencari arah bunyi berkenaan. Mereka mengecam akan suara tersebut. Lulu berkata, ”Eh, itu suara Ciki!”. Dodo menyambung, ” Iyelah, mengapakah dia menjerit-jerit?.” Mereka berdua kelihatan bingung dengan kelakuan Ciki yang kebiasaannya lebih tenang. Ciki berlari dengan pantas sambil memanggil mereka berdua. ” Lulu, Dodo, aku mahu terbang”. Kata-kata Ciki itu membingungkan mereka. Lulu dan Dodo saling berpandangan dan berasa hairan dengan kelakuan Ciki ketika itu.


Ciki mula bercerita kepada mereka dengan bersungguh-sungguh. Dia mengatakan bahawa dia melihat sekumpulan burung berterbangan di langit. Burung-burung itu terbang dengan bebas bersama-sama. Pergerakan burung-burung di udara berjaya menarik minat Ciki untuk terbang. Ciki pun mengajak mereka berdua untuk terbang bersama-sama.


Lulu dan Dodo saling berpandangan. Mereka ketawa dengan kuat sesama mereka. Wajah Ciki mula berubah. Ciki terdiam seketika lalu bertanya ” Mengapakah kamu berdua ketawa?”. Dodo menjawab ”Tidak ada satu pun antara kita yang boleh terbang”. Lulu bersetuju dengan kata-kata Dodo. Reaksi muka Ciki sudah menggambarkan bahawa dia terasa dengan kata-kata Dodo. Dia bermonolog dalam hati, ”Betul juga, sepanjang kami berkawan, tiada satu pun antara kami yang pernah terbang.” Ciki secara tiba-tiba berdiri lalu memandang mereka. Ciki berkata, ”Aku akan buktikan bahawa aku boleh terbang”. Hal ini membuatkan mereka berdua terkejut. Mereka tidak menyangkakan bahawa Ciki benar-benar mengambil serius untuk terbang. Namun begitu, mereka berdua masih percaya tiada satu pun antara mereka berdua yang boleh terbang. Ciki yang marah pergi begitu sahaja. Walaupun telah diperlekehkan oleh rakan rakannya, Ciki masih bercita-cita tinggi untuk terbang. Dia masih merasakan dirinya mampu terbang di udara seperti burung-burung lain. Hal ini kerana dia sedar bahawa dia mempunyai sayap. Namun begitu, dia masih lagi belum melihat ayam yang berterbangan menyebabkan dia kurang yakin dengan dirinya.


Pada keesokkan harinya, Ciki mula mencari jalan untuk memastikan impiannya tercapai. Dia berkata, ”Jika aku mahu terbang, aku perlu cari tempat yang tinggi”. Selepas itu, dia mula mencari pokok yang bersesuaian untuk terbang. Ciki mempunyai satu masalah yang besar. Dia tidak mempunyai tangan untuk memanjat pokok. Oleh yang demikian, Ciki perlu mencari pokok yang mudah untuk dipanjat. Tidak lama kemudian, Ciki ternampak tangga yang tersandar di sebuah pokok. Ciki teruja kerana dengan adanya tangga, sudah pasti dia mampu untuk memanjat pokok setinggi-tingginya.


Sebelum mula memanjat, Ciki berasa sedikit ragu-ragu dengan dirinya. Hal ini kerana, tangga yang ada di pokok tersebut terlihat sedikit usang. Mungkin tangga itu telah ditinggalkan oleh manusia dalam tempoh masa yang lama. Ciki menggelengkan kepalanya. Dia perlu berani untuk mengambil risiko bagi memastikan impiannya tercapai. Tanpa berfikir panjang, Ciki memanjat tangga sehinga mencapai ke puncak pokok. Ketika sedang memanjat, tangga tersebut tiba-tiba bergoyang. Hal ini membuatkan Ciki berasa sangat panik. Dia memanjat dengan lebih pantas dan berjaya berada pada dahan pokok yang tinggi. Sebaik sahaja dia sampai, tangga tersebut jatuh ke tanah. Dia tidak mempunyai jalan untuk turun selain terbang. Dia mula tidak yakin diri apabila memandang ke arah bawah pokok. Dia berasa gayat kerana tidak pernah berada pada tempat yang sangat tinggi. Ciki menjerit sekuat hatinya untuk meminta pertolongan rakan-rakannya.


Ciki menyanyi. Kawan-kawan di mana kamu Dari tadi aku menunggu Lama sekali aku di situ Tolonglah kawan selamatkan aku Aku di sini tak dapat pergi Tiada tempat untuk berlari Terasa lama benar sekali Tolonglah kawan aku di sini -irama lagu nenek si bongkok tiga-


Semasa Lulu dan Dodo berjalan-jalan, mereka terdengar suara Ciki yang sangat kuat. Nada suaranya menunjukkan bahawa dia dalam kesusahan. Nampaknya Ciki sekarang berada dalam bahaya. Mereka dengan segeranya bergegas menuju ke arah suara jeritan berkenaan. Selepas berlari dengan pantas, mereka mendapati Ciki berada pada sebatang pokok yang tinggi.


Mereka melihat Ciki dari bawah. Tiada cara lain untuk Ciki turun melainkan dengan terbang dari situ. Tangga yang digunakan tadi sudah patah. Mereka perlu mencari benda yang lembut untuk memastikan Ciki dapat melakukan pendaratan dengan lebih selamat. Mereka pun mula mencari benda yang sedia ada. Nasib mereka sangat baik apabila Lulu menjumpai kain putih yang besar. Dengan ini, keselamatan Ciki lebih terjamin. Kini, semuanya bergantung kepada Ciki sendiri. Jika dia mahu turun, dia perlu melompat dan terbang dari pokok yang tinggi.


Ciki kelihatan kaku di atas pokok. Ciki hanya terdiam sambil memandang mereka dengan wajah yang ketakutan. Lulu dan Dodo terus mencuba meyakinkan Ciki. Mereka mula memberikan kata-kata semangat untuk terbang. Lulu berkata, ”Inilah masanya untuk kau terbang.” Dodo menyambung, ”Kamu perlu lompat dan terbang dari situ. Kami berdua ada di bawah untuk menyambutmu.” Mendengar kata-kata daripada kawan-kawannya membuatkan Ciki bersemangat. Semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh mereka menjadikan Ciki lebih yakin. Kini dia tidak merasa takut untuk melompat dan bersedia untuk terbang.


Ciki memberanikan diri. Dia berjaya mengatasi ketakutannya lalu melompat. Setelah melompat, Ciki terus-menerus mengepakkan sayapnya. Dia sedar dia berjaya terbang di udara. Tidak lama kemudian, dia berjaya mendarat turun ke bawah dengan selamat. Walaupun hanya mampu terbang dalam tempoh masa yang singkat, sudah cukup untuk menggembirakannya. Sebaik sahaja turun, dia terus memeluk dan berterima kasih kepada rakan-rakan baiknya.


Ciki berjaya membuktikan bahawa ayam juga mampu untuk terbang. Lulu dan Dodo bersyukur kerana Ciki tidak cedera. Ciki gembira dapat mencapai impiannya. Dia juga berasa bertuah kerana mempunyai rakan yang sentiasa membantu semasa dia dalam kesusahan. Ciki berkata, ”Walaupun ayam mempunyai sayap seperti burung, ayam lebih sesuai untuk hidup di darat.” Lulu dan Dodo bersetuju dengan kata-katanya. Selepas itu mereka pun pulang ke rumah dan bersyukur tidak berlaku sebarang perkara yang buruk kepada mereka.


TAMAT


Click to View FlipBook Version