KERANA NILA SETITIK ROSAK SUSU SEBELANGA
Penerbit Penerbit Addin Resources HAK CIPTA TERPELIHARA 2021 Penulis Norafizah Abdul Razak @ Cikgu Feeza
Puan Suraya guru kelas Tahun Lima Bestari baru selesai menghadiri mesyuarat bersama barisan pentadbir sekolah. Beliau ditugaskan untuk mengendalikan Program Jejak Maklumat untuk murid-murid tahun lima pada tahun ini. Ia akan dijalankan di Banda Hilir Melaka. Program ini bukan sahaja melibatkan murid-murid Sekolah Kebangsaan Seri Setia malah akan dihadiri oleh murid-murid dari sekolah yang berdekatan. Justeru itu, beliau perlu memilih murid-murid yang mempunyai komitmen dan disiplin yang tinggi bagi menjaga nama baik sekolahnya kerana tidak mahu kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
‘Nama murid-murid yang terpilih menyertai Program Jejak Maklumat telah ditampal pada papan kenyataan berhampiran kantin sekolah’ Zamri ketua kelas berkulit kuning langsat membuat pengumuman di hadapan kelas. Pengumuman itu menarik perhatian rakan-rakan yang lain. ‘Saya dapat tahu kem akan diadakan di Melaka Bandaraya Bersejarah’ kata Salmi sambil memandang rakan-rakannya. Suasana bising tadi menjadi senyap apabila terlihat kelibat Puan Suraya memasuki kelas Lima Bestari.‘Tahniah kepada murid-murid yang terpilih, semasa mengikuti Program Jejak Maklumat, saya berharap kamu menjaga nama baik sekolah kerana nila setitik rosak susu sebelanga”
Fauzi antara murid yang terpilih dalam program tersebut. Fauzi anak ahli perniagaan. Beliau seorang yang agak nakal tetapi bijak. “Fauzi, jangan melanggar arahan dan sentiasa patuh nasihat guru” Puan Aini risau untuk melepaskan Fauzi mengikuti program tersebut kerana sikap Fauzi yang agak degil. Beliau tidak mahu menyusahkan guru dan pihak sekolah bak kata peribahasa kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Namun suaminya yakin Fauzi akan menjaga tingkah lakunya ketika di sana nanti.
Malam itu semua peserta dikehendaki menjalani sesi suakenal oleh pihak penganjur. Puan Suraya sentiasa memastikan anak muridnya menjaga disiplin dan mengikuti aktiviti yang ditetapkan oleh pihak penganjur. “Pihak penganjur mengucapkan tahniah kepada semua peserta kerana terpilih menyertai program ini. Program ini bertujuan melatih para peserta untuk menjejak maklumat mengenai sejarah Bandar Melaka. Di samping memupuk sikap bertanggungjawab dan berdisiplin” panjang lebar taklimat yang diberi oleh Encik Faizal selaku ketua urusetia dalam program tersebut. Malam itu, Fauzi dan rakan-rakan yang lain tidur awal kerana esok mereka akan pergi membuat kajian di tapak warisan di Banda Hilir Melaka.
“Fauzi, Karim, Taufik,Irsyad kamu diletakkan dalam satu kumpulan. Semua aktiviti perlu dilakukan secara berkumpulan. Jaga disiplin kamu dan jangan keluar dari kawasan yang telah ditetapkan” Puan Suraya memberikan nasihat terakhir sebelum murid-murid di bawah pemantauannya menjalankan tugas. Beliau berharap murid-muridnya sentiasa mematuhi arahan dan tidak melakukan perkara bersendirian dan beliau tidak mahu kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Setelah mendengar nasihat Puan Suraya mereka bergerak memulakan tugas masing-masing. Fauzi mula terasa bosan dan ingin ke tempat lain yang dianggap lebih menarik. “Fauzi kamu perlu mematuhi pesanan Puan Suraya, jangan keluar dari kawasan yang telah ditetapkan bimbang tersesat nanti” Irsyad mengingatkan Fauzi akan pesanan Puan Suraya sebentar tadi. Fauzi mula meninggalkan ahli-ahli kumpulan untuk pergi membeli cenderahati di gerai-gerai berdekatan. Beliau teruja melihat barangan yang dijual dan mula melupakan tujuan beliau menyertai program tersebut.
Berita kehilangan Fauzi mula tersebar dan menjadi buah mulut dalam kalangan peserta program yang lain. Kelakuan Fauzi menyebabkan nama Sekolah Kebangsaan Seri Setia tercemar seperti kata peribahasa ‘kerana nila setitik rosak susu sebelanga’ . Setelah mendapat kerjasama daripada pihak polis Fauzi berjaya ditemui di sebuah pusat membeli belah. ‘Fauzi kamu bukan sahaja menyusahkan orang lain, malah mencemar nama baik sekolah kita’ Puan Suraya terkilan dengan sikap anak muridnya itu. ‘Maafkan saya cikgu, dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi’ Fauzi bersuara sambil tertunduk malu. Sejak kejadian itu. Fauzi tidak lagi menjadi murid yang degil. Beliau akan belajar bersungguh-sungguh dan tidak akan menjatuhkan nama sekolah bak kata orang ‘kerana nila setitik rosak susu sebelanga’.