The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by NATHASHER FEREARER SULAN ANAK GERALD RANDI IPG-Pelajar, 2025-02-25 09:16:54

RICHIE MENCARI HARTA KARUN

RICHIE MENCARI HARTA KARUN

NATHASHER FEREARER SULAN


KOD KURSUS: BMMB3283 NAMA KURSUS: KESUSASTERAAN KANAK-KANAK DALAM PENDIDIKAN BAHASA MELAYU TUGASAN 1: PENULISAN Hak Cipta Terpelihara. Tidak dibenarkan mana-mana pihak mengeluarkan mana-mana bahagian artikel, ilustrasi dan isi kandungan buku ini dalam apa-apa bentuk dan dengan apa-apa jua cara sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman atau cara lain tanpa mendapat keizinan bertulis daripada penulis. DISEDIAKAN OLEH: NATHASHER FEREARER SULAN ANAK GERALD RANDI PISMP BMMB 2 (SK) OGOS 2022/2027 2022032340048 TEL: 019-7488038 EMAIL: [email protected] Nathasher Ferearer nthshrfrrr


1


Di sebuah kampung yang tenang, hiduplah seorang anak lelaki bernama Richie. Richie sangat gemar membaca buku pengembaraan dan mempunyai impian untuk menjadi seorang penjelajah yang hebat. Setiap hari dia menghabiskan masa di loteng rumahnya, membaca dan berimaginasi tentang pengembaraan hebat yang suatu hari nanti akan dialaminya sendiri. Suatu hari, ketika Richie sedang bermain di loteng, dia terlihat sebuah peti kayu lama yang berhabuk di sudut bilik. Dengan penuh rasa ingin tahu, dia membersihkan habuk di permukaan peti dan mencuba membukanya. Setelah beberapa cubaan, kunci akhirnya berjaya dipulas dan peti terbuka dengan bunyi berkeriut. "Apa ini?" Richie berbisik sendiri sambil mengeluarkan isi peti. Di dalamnya terdapat sebuah peta kuno yang lusuh dan beberapa keping duit syiling emas yang tampak sangat lama. Richie berasa teruja. "Mungkinkah ini peta harta karun?" Dia berkata dengan nada bersemangat. Matanya bersinar dengan rasa ingin tahu yang membuak-buak. Tanpa membuang masa, dia berlari turun dari loteng untuk berkongsi penemuan ini dengan sahabatnya, Ali dan Mei. 2


3


Richie segera menemui Ali dan Mei di tempat persembunyian rahsia mereka di belakang rumah Mei. Dia menunjukkan peta dan syiling emas yang ditemuinya. "Kamu pasti ini peta harta karun sebenar?" tanya Mei sambil meneliti setiap inci peta tersebut dengan penuh perhatian. "Ya, lihatlah tanda ini! Pulau Mistik! Aku pernah membaca tentangnya dalam buku sejarah lama," jawab Richie dengan mata bersinar-sinar. Ali tersenyum dan menepuk bahu Richie. "Jadi, kita akan mencari harta karun itu? Ini peluang sekali seumur hidup!" Richie mengangguk penuh semangat. "Tapi kita harus merahsiakannya. Kalau orang lain tahu, pasti kita tak dapat mencapainya dulu." Mei menghela nafas. "Aku setuju. Tapi bagaimana kita hendak ke Pulau Mistik? Kita perlukan rancangan yang teliti." Mereka bertiga duduk bersama dan merancang perjalanan mereka dengan penuh teliti agar misi mereka berjaya tanpa sesiapa mengetahuinya. 4


5


Keesokan harinya, mereka berkumpul di tepi sungai dengan sebuah sampan kecil yang dipinjam dari Pak Samad, seorang nelayan tua yang tinggal di kampung mereka. Mereka telah menyediakan bekalan makanan, air, dan beberapa alat yang mungkin berguna dalam pengembaraan mereka. "Bersedia?" tanya Richie sambil memegang pendayung dengan erat. "Ya!" jawab Ali dan Mei serentak dengan wajah penuh keyakinan. Mereka mula berdayung ke arah laut mengikut panduan peta yang menunjukkan arah ke Pulau Mistik. Namun, perjalanan tidak semudah yang disangka. Ombak besar mula menghalang laluan mereka diikuti dengan angin kencang yang menghayun sampan mereka ke kiri dan kanan. "Pegang kuat-kuat! Jangan panik!" jerit Richie, cuba mengekalkan kawalan ke atas sampan. Mereka bertiga berusaha keras untuk mengekalkan keseimbangan sehingga ribut mula reda dan mereka akhirnya dapat meneruskan perjalanan mereka dengan lebih lancar. 6


7


Setelah beberapa hari di lautan, akhirnya mereka tiba di Pulau Mistik. Pulau itu kelihatan sunyi dan penuh misteri dengan hutan lebat yang menutupi hampir keseluruhannya. Burung-burung berkicauan di dahan dan udara terasa lebih sejuk dari biasa. "Seram juga tempat ini," kata Ali sambil melihat sekeliling dengan rasa curiga. "Tapi kita tak boleh berundur sekarang," balas Richie dengan penuh keyakinan. Dengan berhati-hati, mereka memasuki hutan mengikuti petunjuk di peta. Setiap langkah yang diambil oleh mereka terasa seolah-olah mereka sedang diperhati oleh seseorang. Mereka bertiga berasa seram sejuk. Dengan perasaan yang bercampur aduk, mereka memberanikan diri untuk meneruskan perjalanan memasuki pulau tersebut. Richie sentiasa meyakinkan kedua-dua rakannya itu agar tetap semangat meneruskan pengembaraan itu. "Kita harus berhati-hati. aku rasa ada sesuatu yang memerhati kita," kata Mei perlahan sambil menoleh ke kiri dan kanan. 8


9


Setelah berjalan jauh, mereka akhirnya menemui sebuah gua yang gelap dan sunyi dan dikelilingi oleh batu-batu besar yang tampak seperti penjaga purba. Richie terpegun melihat keindahan ciptaan Tuhan serta kagum dengan bentuk batuan yang unik seolah-olah telah diukir oleh tangan ghaib. "Berdasarkan peta ini, harta karun tersembunyi di dalamnya," kata Richie dengan suara berbisik dan matanya bersinar penuh semangat. "Kita masuk?" tanya Ali dengan ragu-ragu. Langkahnya sedikit teragak-agak ketika dia memandang ke dalam kegelapan gua yang kelihatan seperti mulut raksasa yang sedang menunggu mangsanya. "Sudah tentu!" Richie menjawab dengan penuh keyakinan. Dengan hanya menggunakan lampu suluh yang mereka bawa, mereka meneroka gua tersebut dengan berhati-hati. Dinding gua terasa lembap dan bunyi titisan air yang jatuh dari siling gua menggema di sekeliling mereka. Tiba-tiba, Mei menghentikan langkah. "Tunggu... kamu dengar sesuatu?" bisiknya cemas. Mereka semua terdiam. Dari dalam kegelapan, kedengaran bunyi desir halus seolah-olah sesuatu sedang bergerak. Ali menelan liur. "Kita betul-betul perlu teruskan ke dalam?" soalnya lagi, kali ini suaranya sedikit bergetar. "Kita sudah sampai sejauh ini. Mundur bukan pilihan," jawab Richie sambil melangkah ke hadapan, lampu suluh di tangannya menembusi kegelapan yang semakin mencengkam. 10


11


Di dalam gua, mereka berhadapan dengan pelbagai rintangan yang menguji keberanian dan kebijaksanaan mereka. Ada perangkap tersembunyi yang hampir mencederakan mereka, teka-teki kuno yang memerlukan pemikiran mendalam dan lorong-lorong yang menyesatkan hingga mereka hampir kehilangan arah. "Kita harus fikir dengan bijak," kata Richie sambil meneliti ukiran misteri di dinding gua. Lambang-lambang pelik yang terukir itu seperti memberi petunjuk tetapi maksudnya sukar untuk difahami. "Apa maksud simbol ini?" tanya Mei, jari telunjuknya menelusuri corak yang terukir di batu. Mei mengerutkan dahi dan cuba menghubungkan simbol tersebut dengan petunjuk yang mereka temui sebelum ini. "Mungkin ia berkaitan dengan teka-teki yang kita jumpa tadi," katanya. Setelah beberapa percubaan dan kesilapan, mereka akhirnya menyusun jawapan yang betul. Tiba-tiba, bunyi batu menggeser kedengaran dan sebuah pintu rahsia terbuka perlahan-lahan, mendedahkan sebuah laluan yang gelap tetapi jelas membawa mereka ke destinasi seterusnya. "Kita hampir sampai," kata Mei dengan penuh harapan, suaranya bergetar dengan keterujaan. Mereka saling berpandangan dan mengangguk. Dengan hatihati, mereka melangkah masuk ke dalam lorong yang baru ditemui dan bersedia menghadapi apa sahaja yang menanti di hujungnya. 12


13


Akhirnya, mereka tiba di sebuah ruangan besar yang bercahaya samar. Dindingnya dipenuhi ukiran kuno dan lantainya berdebu seolah-olah sudah lama tidak dijejaki sesiapa. Di tengah-tengah ruangan itu, terdapat sebuah peti harta karun yang berkilauan seolah-olah memancarkan cahaya sendiri. "Kita berjaya!" jerit Ali dengan penuh kegembiraan, tangannya menepuk bahu Mei dan Richie. Nafas mereka masih tersengal setelah melalui pelbagai rintangan sebelum sampai ke situ. Mei melangkah perlahan ke arah peti itu. "Adakah ini benar-benar harta yang kita cari?" bisiknya, suaranya bergetar antara keterujaan dan kebimbangan. Richie menelan air liur. "Hanya ada satu cara untuk mengetahuinya." Dengan berhati-hati, dia dan Ali menanggalkan selak peti itu sementara Mei mundur sedikit untuk bersedia jika berlaku sesuatu yang tidak dijangka. Saat penutup peti diangkat, mata mereka membulat melihat kilauan emas, perak, dan permata yang bertaburan di dalamnya. "Ini... lebih banyak dari yang aku bayangkan!" kata Mei dengan mata terbelalak sambil tangannya menutup mulut kerana terkejut. Ali menghulurkan tangan dan mengambil sekeping syiling emas. "Ini mesti bernilai ribuan ringgit!" katanya dengan suara penuh kagum. Richie menghela nafas panjang. "Kita betul-betul telah menemui harta karun sebenar," katanya. Namun di sudut hatinya, dia tidak dapat menghilangkan rasa hairan mengapa tiada sesiapa yang pernah menemuinya sebelum ini? 14


15


Walaupun tergoda dengan harta itu, mereka memutuskan untuk tidak mengambil semuanya. Kilauan emas dan permata seakan-akan memanggil mereka. Namun mereka sedar bahawa tamak hanya akan membawa masalah. "Kita tak boleh tamak. Harta paling berharga adalah persahabatan kita," kata Richie dengan penuh makna dan matanya memandang rakan-rakannya dengan tulus. Mei memegang sebutir permata biru sebelum menghela nafas dan meletakkannya semula. "Betul. Apa gunanya semua ini kalau kita kehilangan nilai sebenar dalam hidup?" Ali tersenyum dan mengambil sekeping syiling emas. "Cukuplah sedikit sebagai kenang-kenangan. Supaya kita tak lupa pengembaraan ini." Richie mengangguk. "Jom kita keluar sebelum sesuatu yang buruk berlaku." Dengan hati yang puas, mereka menutup kembali peti itu dan meninggalkan gua, membiarkan harta karun itu terus tersembunyi di dalam kegelapan, menunggu penemuan oleh generasi lain. 16


17


Perjalanan pulang mereka penuh dengan cabaran. Mereka melalui hutan tebal dan sungai deras. Namun akhirnya mereka tiba dengan selamat di kampung. Kisah mereka segera menjadi buah mulut penduduk kampung yang teruja mendengar cerita pengembaraan mereka. Namun, mereka bertiga sepakat untuk merahsiakan lokasi sebenar harta karun itu lalu menjaga misterinya agar tetap tersembunyi. "Aku harap kita dapat mengembara lagi suatu hari nanti," kata Mei sambil tersenyum dan matanya penuh harapan. "Sudah tentu! Ini baru permulaan," jawab Richie dengan penuh keyakinan. Ali mengangguk. "Siapa tahu apa yang menanti kita di masa hadapan?" Mereka bertiga tetap menjadi sahabat karib dan sering merancang petualangan baru bersama. Persahabatan mereka semakin erat dan setiap kali mereka mengimbau kembali pencarian harta karun itu, mereka sedar bahawa pengalaman dan kebersamaan jauh lebih bernilai daripada segala emas dan permata di dunia. 18


19 PENGAJARAN Cerita ini mengajarkan kita bahawa nilai sebenar dalam kehidupan terletak pada persahabatan yang ikhlas, kerjasama dan keberanian untuk menghadapi cabaran. Selain itu, cerita ini juga mengingatkan kita agar menggunakan kecerdasan dalam membuat keputusan. Dalam mengejar kekayaan, kita sering lupa bahawa persahabatan dan pengalaman adalah harta yang paling berharga. Cerita ini juga mengingatkan kita agar tidak tamak dan serakah kerana sifat-sifat ini boleh merosakkan hubungan dan membawa keburukan. Sebaliknya, dengan menghargai persahabatan dan bekerja sama, kita dapat mencapai kejayaan dan kebahagiaan yang sejati. Pengajaran ini penting untuk dihayati dalam kehidupan seharian kita. TAMAT


20


SINOPSIS Di sebuah kampung yang tenang, seorang anak lelaki bernama Richie bercita-cita menjadi seorang penjelajah hebat, terinspirasi oleh buku-buku pengembaraan yang sering dibacanya. Suatu hari, dia menemui sebuah peti kayu berisi peta kuno dan duit syiling emas di loteng rumahnya. Dengan semangat tinggi, dia berkongsi penemuan itu dengan sahabatnya, Ali dan Mei. Mereka bertiga memutuskan untuk mencari harta karun yang dipercayai tersembunyi di Pulau Mistik, tempat yang ditunjukkan oleh peta. Sepanjang perjalanan, mereka menghadapi cabaran besar seperti ombak dan ribut tetapi terus bersemangat. Setibanya di pulau, mereka menyusuri hutan misteri, memasuki gua gelap serta menghadapi pelbagai rintangan. Setelah berjaya menyelesaikan teka-teki dan mengatasi beberapa perangkap, mereka menemui peti harta karun yang penuh emas dan permata. Walaupun tergoda, mereka memilih untuk tidak mengambil semuanya, menyedari bahawa persahabatan dan pengalaman adalah harta yang lebih bernilai. Mereka kembali ke kampung dengan rahsia harta karun itu. NATHASHER FEREARER SULAN


Click to View FlipBook Version