The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

edited ANEKDOT mael

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by ipthoismail, 2021-11-08 21:59:26

anekdot

edited ANEKDOT mael

Anekdot
HumoSr i@nikal

JABATAN PENGAJIAN MELAYU IPGKTHO

PENGALAMAN MELANCONG KE AUSTRALIA

Oleh : Nur Qistina Darwisya

Pada cuti sekolah yang lalu, sekitar tahun
2019, saya dan keluarga telah makan
angin ke Melbourne, Australia. Sehari
sebelum kami bertolak, kami berasa
sungguh teruja dan tidak sabar untuk
meneroka tempat yang indah di sana.
Pada malam itu juga kami tidur awal
kerana khuatir kalau-kalau terlewat
bangun dan mengantuk. Barang-barang
dan segala kelengkapan telah disiapkan
beberapa hari sebelum kami bertolak.
Jadi, pada keesokan harinya, kami
bangun awal pada pukul 3:30 pagi dan
bersiap-siap untuk ke Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Kami
bergerak dari rumah pada pukul 5:00
pagi. Dalam perjalanan ke lapangan terbang, kami sempat singgah di McDonald
untuk sarapan pagi. Seterusnya, kami pun meneruskan perjalanan kami ke lapangan
terbang. Perjalanan dari McDonald ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA) hanya mengambil masa 30 minit kerana lokasi tersebut terletak tidak
jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Walaupun pada
waktu subuh, suasana di jalan raya sangat sibuk dengan kenderaan menyusur
masuk dan keluar.

Kira-kira pukul 6:30 pagi, kami selamat tiba di lapangan terbang. Kemudian,
kami pergi ke kaunter untuk ‘check-in’ dan sebagainya. Setelah ‘check-in’ bagasi, kami
pun berjalan-jalan di sekitar lapangan terbang sementara menunggu waktu untuk
berlepas. Kami singgah di medan selera yang terdapat di sana untuk mengalas perut
supaya tidak lapar semasa penerbangan nanti. Apabila selesai makan, kami pun pergi
ke bahagian pemeriksaan imigresen. Setelah bagasi kami diperiksa, kami pun berehat
di ruangan menunggu. Kami mengikuti agensi pelancongan di mana pengusahnya
merupakan kenalan kepada ibu dan ayah saya. Setelah diberi taklimat ringkas oleh
agen pelancongan, kami pun bersiap sedia dengan passport dan tiket penerbangan.
Kami menaiki kapal terbang Air Asia dan duduk berdekatan dalam satu keluarga.
Sebenarnya, ini bukan kali pertama kami menaiki kapal terbang. Jadi, kami sudah
agak terbiasa dengan keadaan di sana. Keadaan di dalamnya sangat selesa. Pramugari
dan pramugaranya pula sangat mesra. Kami juga sempat menjamu selera dalam kapal
terbang tersebut. Selesai sahaja makan, kami tidur kerana penerbangan mengambil
masa selama 8 jam. Beberapa jam berlalu, kami tiba di Lapangan Terbang
Antarabangsa Avalon, Melbourne. Apabila kami turun dari kapal terbang, cuacanya
sangat sejuk dan berangin membuatkan kami menggigil kesejukan. Setelah selesai
pemeriksaan imigresen, kami pun terus menuju ke sebuah van di mana terdapat

pemandu pelancong yang akan membimbing kami sekeluarga sepanjang kami berada
di sana. Kami terus dibawa menuju ke tempat penginapan. Masa yang diambil untuk
ke sana hanyalah satu jam. Setelah sampai, kami terus meletakkan bagasi di bilik dan
berehat.

Keesokan harinya, kami solat subuh pada pukul 5:00 pagi dan bersiap-siap
untuk ke tempat menarik pada hari tersebut. Sekitar pukul 7:00 pagi waktu di sana,
kami bersarapan sekeluarga bersama dengan keluarga lain yang juga turut mengikuti
agensi pelancongan ini. Tempat pertama yang kami lawati ialah ‘Victoria Market’. Di
sini, terdapat begitu banyak barangan jualan murah dan makanan yang enak. Kami
dapat melihat pelbagai makanan laut yang segar boleh didapati di sana. Seterusnya,
kami pergi ke ‘Twelve Apostles’ di mana persekitaran pulau yang sangat bersih dan
nyaman. Ombak di lautan seolah-olah memanggil saya untuk berenang. Kami
sekeluarga mengambil gambar sambil menikmati udara segar di tepi laut. Setelah puas
bersiar-siar, kami pergi ke tepi pantai yang dinamakan ‘Bath Box, Brighton By The
Beach’. Di sana, kami dapat melihat ramai pengunjung yang mandi-manda. Ada juga
yang mengambil gambar di ‘Bath Box’ tersebut. Apabila hampir senja, kami pulang ke
tempat penginapan. Keesokan paginya, kami bersarapan di apartmen tempat
penginapan kami. Pada pukul 8 pagi, kami menuju ke ladang strawberi dan raspberi.
Udara di sana yang sungguh menyegarkan memberikan tempat tersebut satu
pengalaman yang menyeronokkan untuk kami. Kami menikmati setiap saat di sana
dan ingin menjadikannya sebagai perkara yang kami tidak akan lupa.

Pagi ini merupakan hari terakhir kami di Australia. Sebelum pulang, kami
sempat menaiki trem untuk melihat kawasan di sekeliling bandar Melbourne. Kami
juga sempat singgah di pusat beli-belah yang besar untuk membeli sedikit cenderahati
untuk dibawa pulang ke Malaysia. Keesokan harinya pula, kami bangun awal di
apartmen untuk kemaskan barang dan bersiap untuk ke lapangan terbang. Kami
meminta diri untuk pulang. Kami menaiki van syarikat pelancongan dan terus menuju
ke lapangan terbang. Awal pagi lagi kami sudah tiba di situ kerana prosedurnya yang
perlu kami patuhi. Kami menaiki pesawat Air Asia. Kali ini, saya mendapat tempat
duduk di bahagian tengah, manakala adik-beradik saya di bahagian kiri dan kanan
saya. Saya berharap akan datang ke sini lagi pada masa akan datang. Saya berazam
dalam hati. Pengalaman sepanjang berada di Australia takkan luput dari ingatan saya.

KUCINGKU

Oleh : Nurfahanis ( PPISMP BM1 )

Jam sudah menunjukkan tepat pukul
7.00 petang ,tetapi Si Comot masih belum
pulang ke rumah.Aku berasa sungguh
risau dan bimbang jika terjadi apa-apa
terhadap Si Comot. Si Comot merupakan
satu-satunya kucing peliharaanku. Aku
sudah menjaga dan memelihara Si Comot
sejak Si Comot kecil lagi.

‘’Kamu dah kenapa ini Farah. Sejak
tadi ibu melihat kamu seperti cacing
kepanasan’’, ujar ibuku sambil melipat
baju yang menggunung tinggi. Aku
membalas, ‘’ Saya risau dari tadi Si Comot masih belum pulang ke rumah
Takut jika terjadi apa-apa dekat Si Comot. Biasanya, waktu sebegini Si Comot
mesti dah berada kat rumah. Tetapi hari ini bayangnya pun tiada. Manalah Si
Comot pergi’’, aku mengeluh. ‘’ Tunggulah dulu, mungkin sekejap lagi Si
Comot akan pulang’’, ibu cuba menenangkan diriku.

Tiba-tiba,kedengaran suara memberi salam dari luar rumah.A ku
menuju ke pintu rumah untuk melihat siapakah gerangan yang memberi
salam itu. Aku membuka pintu, lantas ternampak susuk tubuh Alia.

‘’ Assalamualaikum Farah’’, ucap Alia. Aku membalas salamnya. ‘’Ada
apa kau ke sini’’, tanyaku kepada Alia sambil cuba memaniskan raut wajahku.
‘’Aku datang ni aku nak beritahu sesuatu. Tadi aku ada ternampak bangkai
seekor kucing berwarna putih kekuningan di taman permainan. Serupa Si
Comot kucing kau ’’ , kata Alia.

Aku berasa sungguh cuak apabila mendengar kata-kata Alia itu.
Kemungkinan besar memang benar kata kawanku itu. Aku terus berlari
mendapatkan basikalku dan menunggangnya ke taman permainan. Setiba aku
di sana, memang benar itu adalah bangkai Si Comot yang sudah dihinggapi
dengan lalat dan semut serta berbau busuk. Aku berasa sedih lalu membawa
bangkai Si Comot pulang. Dengan sedih aku memberitahu ibu bahawa Si
Comot sudah tiada lagi.

API MARAK

Oleh: Nurul Insyirah Binti Mohamad (BM1 PPISMP)

Nama aku Nurul Insyirah Binti Mohamad. Umur aku
sekarang sudah mencecah 18 tahun. Kini, aku sedang
menyambung pelajaran di salah sebuah pusat pengajian
tinggi di Batu Pahat. Alhamdulillah, rezeki bagiku kerana
ditakdirkan untuk menjadi seorang guru suatu masa
nanti.

Aku dahulu merupakan seorang pelajar yang
tinggal di asrama. Sebenarnya aku tidak suka tinggal di
asrama tetapi kerana permintaan ibu bapa, aku turutkan
jua. Walaupun pada awalnya seperti terpaksa tetapi
akhirnya aku gembira tinggal di sana. Di asrama, aku dikenali sebagai Mek Yah, lebih
mesra katanya.

Seperti yang diketahui, hidup di asrama memang dipenuhi dengan banyak
kenangan manis dan kenangan pahit. Namun pada kali ini,apa yang terawang-awang
di benak fikiran aku adalah mengenai satu peristiwa yang paling sukar untuk aku
lupakan sewaktu tinggal di asrama iaitu kejadian sewaktu latihan kebakaran sekolah.
Mengenangkannya sahaja pun telah membuatkan aku tersenyum sendiri. Lucu
apabila mengenangkan perkara tersebut.

Sehari sebelum hari kejadian, aku dan kawan-kawan perlu mengikuti bengkel
disiplin selepas waktu persekolahan. Bengkel tersebut bertujuan untuk mengasah
bakat kepimpinan dalam diri pelajar. Namun, pada hakikat sebenarnya bengkel
tersebut dilaksanakan bagi tujuan mendisiplinkan murid yang suka melanggar
peraturan sekolah. Nampaknya, aku tergolong juga dalam golongan tersebut. Apalah
nasib. Bengkel tersebut dilaksanakan selama dua jam dalam tempoh dua hari.

Sememangnya aku berasa penat dengan bengkel tersebut. Lagipun kerja
sekolah yang diberikan oleh guru juga banyak dan perlu disiapkan dengan secepat
mungkin. Kalau aku masih tidak boleh siapkannya sudah pasti bulan depan aku
akan mengikuti bengkel tersebut sekali lagi. Muak sungguh aku dengan bengkel
itu.Tidak mahu aku libatkan diri lagi dengan bengkel tersebut kedua kalinya.

Tamat sahaja bengkel tersebut, aku dan sahabat karibku Iwana pulang ke
asrama. Kami bercadang untuk tidur lewat bagi menyiapkan kerja sekolah yang perlu
dihantarkan esok.

“Wana jom tidur lambat malam ini. Kita perlu siapkan tugasan yang cikgu
berikan dengan segera. Kalau tidak susah kita nanti”, kataku kepada Iwana. “Baiklah
Mek Yah, kita buat kopi malam ini,biar tidak tidur terus”, jawab Iwana. Kami gelak
terbahak-bahak.

Pulang sahaja ke bilik,kami terus gigih menyiapkan satu demi satu tugasan.
Sedar ataupun tidak,jam telah menunjuk pukul tiga pagi. Akhirnya, kami berjaya
menyiapkan kesemua tugasan tersebut. Tanpa sedar, aku dan Iwana terus tertidur
kerana terlampau mengantuk dan penat. Tiba-tiba, loceng kebakaran yang
membingitkan telinga berbunyi dengan sangat kuat. Dapat aku rasakan bahawa aku
baru sahaja melelapkan mata kurang dari tiga puluh minit. Hal ini menyebabkan aku
rasa sangat marah dan sakit hati kerana tidurku terganggu.

Aku bertekad untuk tidak bergerak dari tempat tidur aku walaupun seinci.
Kukira bahawa hanya aku sahaja yang tidak turun,rupa-rupanya semua rakan bilik
aku seramai sepuluh orang tidak berganjak dari tempat tidur masing-masing. Kami
langsung tidak berasa panik walaupun kami dengar warga asrama berlari di koridor
untuk keluar dari asrama. Kami tidak menghiraukan sedikitpun keadaan tersebut
dan hanya meneruskan tidur.

Tiba-tiba, warden asrama yang garang datang untuk memastikan agar semua
pelajar sudah tiada di asrama sewaktu latihan kebakaran.Warden yang dikenali
sebagai Kak Su itu terkejut apabila mendapati bahawa aku dan rakan sebilik aku
masih lagi tidur. Dia pun tanpa mengucapkan salam kepada kami terus menjerit
dengan sekuat hati.

“Bangunnnn. Kau orang ni memang nak rentung dalam api ke kalau ini
memang betul-betul kebakaran? Jerit Kak Su.

Aku yang dibuai mimpi itu tanpa membuang masa, terus mencelikkan mata.
Segar-bugar mata aku melihat wajahnya yang bengis itu. Mujurlah aku bukan pesakit
jantung. Kalau tidak, sakit jantung aku mendengar jeritannya. Bukan sahaja sakit
jantung,silap-silap gugur jantung. Kami dimarahi dengan teruk oleh Kak Su. Selesai
dimarahi, kami diarahkan untuk mengosongkan asrama dan pergi ke padang sekolah.
Dari jauh sudah dapat kami lihat semua pelajar sedang berkumpul di sana.Kami
terpaksa menebalkan muka untuk pergi ke sana kerana semua pelajar memandang
kearah kami dan ada yang gelak melihat kami. Kurang asam betul mereka semua itu.

Kukira aku dan rakan bilik aku yang paling lambat. Rupanya ada satu bilik
lagi yang penghuninya lebih lambat daripada kami. Aku bersyukur kerana kumpulan
kami sudah kurang tumpuannya. Penghuni bilik yang lambat itu telah dimarahi oleh
pegawai bomba yang datang ke sekolah aku untuk sesi latihan kebakaran. Sudahlah
lambat,dimarahi pula di khalayak ramai. Rasa memang tebal seinci muka.

Rakan aku yang merupakan ahli bilik paling lambat tersebut memberitahu
bomba bahawa mereka menyangkakan loceng tersebut adalah loceng subuh. Oleh hal
yang demikian, mereka dengan yakinnya pergi mandi dan bersiap untuk turun ke
surau. Namun sangkaan mereka meleset apabila mendapati jam baru sahaja
menunjukkan pukul tiga pagi sewaktu mereka kembali dari bilik air. Semua pelajar
ketawa terbahak-bahak apabila mendengar cerita mereka. Kalau diikutkan perasaan,
aku mahu ketawa sepuas hatiku juga, namun aku sedar aku juga lewat sampai.
Simpan sahaja niat tersebut.

Peristiwa ini telah mengajarkan aku kepada banyak perkara. Antaranya, kita
perlu sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia walaupun penat dan letih. Hal ini
dapat mengelakkan kita daripada ditimpa masalah. Bila difikirkan semula,
bagaimana jika loceng itu berbunyi kerana kebakaran benar-benar berlaku. Sudah
pasti kami akan rentung dalam kebakaran tersebut. Seterusnya,kita perlu berdisiplin
terhadap semua kerja atau tugasan yang diberikan dengan menyiapkan tugasan tepat
pada waktunya agar tidak membebankan diri dengan tugasan yang banyak pada
sesuatu masa.

PERJALANAN SEBAGAI PELAJAR TAHFIZ MODEL ULUL ALBAB

Oleh : Nur Adlina

Saya menghabiskan hafalan saya pada umur 16 tahun.
Apabila bergelar hafizah, banyak perkara yang saya kena
lalui. Kena kecam dengan tingkatan-tingkatan lain. Masih
segar dalam ingatan, semasa saya di tingkatan 1, saya dan
kawan-kawan pernah digelar ‘acah malaikat’ kerana pada
masa itu hanya tingkatan 1 yang mempunyai aliran TMUA.
Jadi, kami selalu kena perli dengan akak-akak dan abang-
abang. Mahu mengadu kepada ibu bapa takut akan
memperbesar masalah.

Saya dan kawan-kawan pernah kena marah dengan
akak dan abang tingkatan 4 sehingga pukul 2.30 pagi.
Mereka pernah marah hanya untuk perkara-perkara kecil.
Antara kata-kata yang masih saya ingati;

“Korang memang tak tahu hormat senior eh. Suruh bagi salam tapi tak buat”.

“Korang fikir korang je penat,kami pun penat juga tapi tak ada la sampai
menjeling-jeling”.

“Memang tak tahu nak ikut peraturan ke”.

“Korang ni dah la hafal Al-Quran tapi perangai tak melambangkan yang korang
ni penghafal”.

“Dalam kelas jangan bising. Buka buku baca bukan bersembang”.

Perkara itu berlanjutan sehingga pertengahan tahun. Ada sahaja salah kami
pada mata mereka. Semasa perjumpaan bersama ibu bapa, saya memberitahu ibu saya
mengenai perkara tersebut dan ibu saya terus berjumpa dengan pengetua sekolah.
Pihak sekolah terus mengambil tindakan dengan memberi amaran supaya tidak
membuat perjumpaan melebihi pukul 12. Selepas itu tiada lagi perjumpaan tetapi
akak-akak itu masih memerli kami kerana membuat aduan kepada pengetua.

Tahun berganti tahun. Masa silih berganti. Tanpa sedar saya sudah berada di
tingkatan 5. Saya mengambil aliran sastera. Pada tahun itu saya merasakan sangat
takut untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana belajar di rumah tidak
sama seperti belajar di sekolah. Saya banyak kali mengadu kepada ibu bapa saya
dengan ayat yang lebih kurang sama seperti ini,

“Alin tak faham la apa yang cikgu ajar,laju sangat”.

Ayat seperti itu yang sering saya ulang kepada ibu bapa saya. Duduk di rumah
membuatkan saya tidak fokus kerana pengaruh telefon pintar dan televisyen. Kenapa
saya selalu mengatakan susah kerana saya perlu seimbangkan akademik dan hafazan
Al-Quran. Di sekolah saya mempunyai seorang ustazah yang bernama Nur Syuhada
binti Mohd Shapeni. Beliau merupakan guru halaqah saya selama 5 tahun di SMKA
Dato Haji Abu Hassan Haji Sail (SEMADAH). Beliau selalu memberi nasihat supaya
jangan bersedih kerana lambat khatam. Nasihat beliau yang saya ingat sehingga ke
hari ini.

“Biar kita lambat menghabiskan 30 juzuk asalkan kita dapat mengingati semua
ayat-ayat Al-Quran. Bukannya laju, tetapi apabila ditebuk terus senyap”, kata Ustazah
Syuhada.

Saya pegang nasihat Ustazah Syuhada kerana kata-kata beliau membuatkan
saya bersemangat untuk khatam 30 juzuk Al-quran dengan cemerlang. Akhirnya,pada
1 Disember 2019 saya sudah khatam 30 juzuk dengan jayanya. Banyak perkara yang
saya perlu lalui untuk jadi seperti diri saya sekarang. Salah satunya tidak berjumpa
dengan keluarga untuk tempoh yang sangat panjang. Saya pernah tidak berjumpa
dengan ibu bapa saya untuk tempoh 3 bulan kerana musim covid, pihak sekolah saya
tidak membenarkan kami untuk menerima pelawat. Ibu bapa hanya dibenarkan untuk
menghantar makanan, tetapi hanya diletakkan di pondok pengawal keselamatan
sahaja. Sedih.

Jadi, dari situ saya belajar untuk berdikari dan berjimat cermat kerana
berjauhan dengan ibu bapa membuatkan saya banyak belajar perkara baharu.

ANEKDOT
Oleh: Nur Aina Fatihah Binti Sofian

Aku melangkah keluar daripada kereta Exora hitam
yang dipandu oleh ayah. Suasana di tadika swasta
itu amat riuh dengan gelak tawa kanak-kanak yang
gembira bermain setelah tamatnya waktu
persekolahan. Ada juga yang sedang setia duduk di
tepi pagar menantikan kehadiran ibu bapa mereka
untuk dibawa pulang.

“Tengok apa tu? Cepat tolong pakaikan kasut
adik kamu tu”, ibu menyiku lenganku. “Oh tak ada
apa la”, balasku sambil mataku meliar melihat suasana di tadika ini.

Secara tiba-tiba aku teringat kejadian tahun lalu, semasa aku menjadi
salah seorang guru di sebuah tadika.

“Oh, ini ke cikgu baru tu? Muda lagi ya”, kata seorang perempuan yang aku
rasa merupakan seorang ibu kepada seorang budak perempuan yang berambut
ikal mayang. “Comel je”, kataku dalam hati seraya memberikan senyuman
kepada ibu budak comel tersebut.

“Ya Puan, saya Cikgu Aina. Baru je kerja kat sini. Sementara nak tunggu
keputusan SPM”, kataku sambil terus tersenyum serta menghulurkan tanganku
kepada budak kecil comel itu.

“Mari ikut cikgu masuk kelas? Kita jumpa kawan-kawan kat sana”. Aku
cuba untuk memberikan senyuman yang paling manis kepada budak
perempuan itu yang masih memegang hujung baju ibunya, tidak menunjukkan
tanda-tanda untuk melepaskan ibunya pergi.

“Tak nak. Nak ikut Mama”. Budak kecil yang sudah aku ketahui namanya
Tasnim itu, tiba-tiba menangis. Esakkannya semakin kuat sehinggakan budak-
budak yang lain berlari ke arah pintu untuk melihat ‘persembahan’ pada awal
pagi.

Aku berbalas pandang dengan ibu kepada Tasnim. Ibunya memberikan
isyarat mata kepadaku. Belum sempat aku memproses isyarat itu, ibunya
sudah berlari ke pintu pagar, bergegas mahu meninggalkan Tasnim di tadika.
Apa lagi? Makin kuat esakan budak kecil itu.

Dengan segala kudrat dan kekuatan yang aku ada, walaupun masih belum
bersarapan pada hari itu, aku mendukung budak kecil yang bernama Tasnim
itu, lalu membawanya masuk ke dalam kelas. Mujur badannya agak kecil dan
aku yang agak kurus ini mampu mendukungnya ke kelas.

Sejurus tiba di kelas 4 Tahun, aku melihat pelbagai ragam anak muridku
yang lain di dalam kelas ini. Ada yang sedang duduk mengira jumlah
penselnya, ada yang sedang duduk termenung di kerusi dan ada yang sedang
bermain dengan alat permainan.

“Cikgu, cikgu. Hari ini adik ada tiga pensel!” kata seorang budak lelaki
bernama Haiyi yang menggelarkan dirinya sebagai adik. Barangkali panggilan
manjanya di rumah. “Wah, bagus Haiyi”, pujiku sambil menenangkan Tasnim
yang masih menangis.

Setelah hampir 10 minit, akhirnya aku dapat menghentikan tangisan Tasnim
dengan memberinya menonton video “Didi And Friends” di dalam telefon
bimbitku ini. Selepas itu, keadaan menjadi semakin tenang dan lancar semasa
sesi pembelajaran apabila tiba-tiba salah seorang anak muridku menjerit.

“Cikgu Aina, dia kencing!” jerit Iqi sambil menuding jari kecilnya ke arah
Haiyi. Aku lihat lantai juga sudah basah dengan cecair kekuningan yang datang
dari seluarnya. Aku terkedu. “Haih, mengapa semua benda nak jadi hari ini
juga!” jerit ku di dalam hati.

Setiap kali aku teringat peristiwa itu, aku tidak mampu menahan ketawaku
kerana hari itu merupakan hari yang paling kelam-kabut bagi aku sebagai
seorang guru tadika. Sudah setahun berlalu dan kini aku hanya dapat melihat
gambar-gambar dan video mereka yang sempat aku rakamkan sebagai
kenangan.

Perasaan rindu akan mereka sentiasa ada. Aku tidak sabar mahu berjumpa
dengan mereka kembali setelah tamatnya wabak Covid-19 ini. Mungkin
barangkali aku akan berjumpa kembali dengan mereka sebagai seorang guru
di sekolah rendah nanti? Hanya takdir yang akan menentukan.

BUDAK MINYAK!

Oleh : Nur Insyirah Binti Abidin

Sedang aku membersihkan diri di bilik mandi,tiba-
tiba kedengaran telefonku berbunyi minta diangkat.

“Salam,ni Insyirah ka? Esok awak dah boleh
mula kerja di Petronas ya. Lapor diri jam 8 pagi
esok”, kata pemanggil itu tadi.

Keesokan pagi, hidupku dimulai dengan
persekitaran baharu… Alam pekerjaan.

“Selamat datang cik. Terima kasih cik,datang
lagi ya”. Itulah perkataan yang perlu aku lazimi. Ayat yang membasahi bibirku setiap
kali ingin menyapa pelanggan dengan mesra. Bagi diriku yang merupakan seorang
yang ‘introvert’, ya susah pada mulanya...Tapi jika bukan aku, siapa ? Aku cuba
menyelesakan diriku seadanya.

Sedang diri ini khusyuk mengira wang di dalam laci duit, kedengaran suara
pelanggan,

“Minyak RM10”.

Langsungku beralih ke arah suara tersebut, namun figuranya telah hilang...Ya!
Ada pelanggan yang hanya mencampakkan duit mereka di kaunter pembayaran
lantas menuju ke kenderaan dengan harapan, juruwang sudah dapat mengetahui
keberadaan mereka...Agak terpinga-pinga aku disitu. Mujur selalunya aku dapat
mengesan di pam mana kenderaan pelanggan tersebut kerana suasana pada ketika
itu tidak terlalu sibuk dengan pelanggan. Aku pun terfikir, susahkah jika mereka
menunggu juruwang menerima wang belian isian minyak dengan sempurna sebelum
beredar...Bukankah kalau kita mudahkan urusan orang , Insya Allah akan
mudahkan urusan kita? Hurmmmmmmmm.

Pekerjaan yang pada mulanya dibayangkan mudah, tapi tak semudah yang
disangka. Sering meniti dibibir orang sekeliling,

“Alah, kerja cashier je pun mana susah pun”. Tempat lain atau pekerjaan lain,
mungkin kerana sudah dibahagikan bahagian dan tugas masing-masing…Tapi
mungkin tidak bagi pekerja stesen minyak Petronas. Iyalah. Takkan ketika menjaga
kaunter bayaran ternampak kedai kotor tak ada rasa nak cuci dan bersihkan kedai?
Takkanlah barang rak kosong tidak di tambah? Itu semua tugas yang perlu kami
lakukan...Ada lagi, bila lori tangki minyak sampai untuk “refill” minyak dalam tangki
stesen, perlu juga kami keluar menyukat minyak…Senang kata untuk membidas kata
orang tadi,

“Kerja apa yang senang di era ini?”

Tapi apa yang boleh aku katakan keistimewaan bekerja di tempat ini ialah
semua pekerja tahu apa yang perlu dilakukan dalam setiap keadaan. Lebih-lebih lagi
pekerjaan ini memerlukan kami berhadapan dengan pelanggan yang pelbagai
ragamnya.

Perjalananku dalam pekerjaan yang memakan masa selama empat bulan ini
cukup indah. Banyak memori yang dapat aku ukir samada bersama pelanggan
mahupun dengan rakan sekerja yang amat baik. Mana tidaknya, aku sebagai pekerja
baru seringkali akan diletakkan untuk bersedia walau dalam apa jua keadaan. Rakan
sekerja kemalangan dan pekerja tidak cukup? Ya... akulah yang akan menggantinya.
Tapi ianya tidak begitu menjadi masalah kepadaku, asalkan dibayar gaji bekerja lebih
masa. Huhuhuu..Bagiku juga, saat bekerja itu, seolah-olah masa emas bagiku untuk
belajar mencedok ilmu dan membaiki kemahiran berkomunikasiku. Agar lebih baik
dan lebih cekap, sebagai persediaanku untuk sambung belajar.

“Din,Insyirah dapat IPG, nak kena hantar notis berhenti dah tak lama lagi”,
kataku pada Din.

Din lantas berkata,

“Alah tak seronoknya. Nanti Din nak melawak dengan siapa..ya”.

Kata-kata itu cukup mengundang hiba di hati ini. Mana tidaknya,selama
empat bulan,waktu bekerjaku kebanyakkannya bersama Din..seolah sudah wujud
pertalian adik-abang antara kami. Lantas aku meneruskan kata,

“Takpa, nanti kita boleh ja jumpa, rumah Insyirah dekat ja”.

Pantas dipintas oleh Din,

“Tapi tak sama dengan kalau kau datang kerja”. Lalu aku yang tidak ingin
terlalu bersedih terus mengubah topik,

“Cita-cita nak jadi pegawai tentera, nak jadi pertahanan negara tapi rabun
pula. Tapi tidak mengapalah, insyaAllah kalau semua dipermudahkan ni nanti
Insyirah jadi pendidik jela untuk didik jati diri bakal pejuang boleh kan? Din
doakanlah”…Lantas ada ketawa kecil yang terbit. Itu sudah memadai untuk
melegakan hatiku...

Hari bekerjaku yang sepatutnya berakhir pada 31 Ogos 2021 tapi dilanjutkan
hingga 5 September 2021, sehari sebelum hari pendaftaranku! Perancangan awalnya
31haribulan, tapi apabila majikanku ‘turun padang’ untuk memintaku bekerja hingga
sebelum aku mula sesi pembelajaran walaupun notis sudah dihantar. Disebabkan

kekurangan pekerja aku rela.. kesempatan ini juga aku gunakan untuk terus melihat
situasi karenah masyarakat kini yang pelbagai.

Untuk yang kesekian kalinya, keredhaan ibu bapa amat penting dalam
kehidupan kita. Apa yang dapat aku lihat dari pengalamanku bekerja sepanjang
empat bulan ini..mana taknya, pada mulanya aku sepatutnya bekerja di restoran
Black Canyon. Walaupun dah dapat dah dengan kawanku, tapi ibu bapaku kurang
bersetuju kerana atas faktor keselamatan untukku pergi berseorangan berbanding
bekerja di Petronas yang mana mereka memberi sepenuhnya keredhaan..Kalau aku
ikut kata hati ,pasti waktu empat bulan tersebut hanya dibuang saja kerana
ialah...restoran tidak boleh dibuka untuk “dine-in” hanya “take-away” sahaja
berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di negara ini. Tentu kami yang baru ini akan
dibuang kerja dahulu, demi menjimatkan operasi syarikat.

Sekarang aku percaya akan keredhaan ibu ayah dan kebaikan jika kita tidak
membuatkan hati ibu bapa risau. Jika aku ikutkan kata hati untuk bekerja di
restoran, mungkin sekarang dalam akaun simpananku masih tiada ada empat
angka…eh menyempat, tapi bolehla wang tersebut digunakan untuk membeli
keperluan untuk sambung belajar nanti. Aku juga mengambil sisi positif dalam kisah
ini untuk kita jangan terlalu meletakkan batas kebolehan kita dibawah selagi mana
kita tidak mencuba. Sentiasa percaya pada diri sendiri dan cuba untuk mesra dengan
semua orang agar mudah urusan kita kemudiannyaJ.

Bekerja di stesen minyak langsung tidak menerbitkan rasa menyesal dalam diri
ini walau perlu melaksanakan pelbagai tugas kerana disebalik kesusahan ada
kemanisannya. Pekerjaan ini menjadi sebagai sesuatu yang sudah mengubah sikap
dan cara hidupku untuk menjadi lebih bertanggungjawab. Terima kasih warga PS
Jalan Sultanah. Semoga bisnes bertambah maju.

KAMPUNGKU, OH KENANGANKU!

Oleh:Nik Nur Halisa Nik Mat (PPISMP BM1)

Bagi sesetengah orang, kampung sudah tidak
bernilai lagi. Mungkin juga disebabkan oleh arus
pemodenan masa yang menyebabkan mereka
sudah semakin lupa akan kampung masing-
masing. Berbeza dengan saya, saya sangat
rindukan kampung halaman saya. Mungkin
sudah dua tahun saya tidak menjejakkan kaki
ke Thailand. Ya, itulah kampung saya.
Tambahan pula,musibah covid-19 yang melanda
negara kita semakin membuatkan hubungan
kekeluargaan jadi terpinggir.

Setiap kali tiba musim perayaan Aidilfitri, automatik kenangan beraya di
kampung terimbau. Kembali dalam fikiran saya satu persatu. Memikirkan
yang nenek saya sudah kehilangan suami sejak enam tahun lalu. Beliau
merupakan satu-satunya nenek yang saya masih ada sampai sekarang.
Imbauan ini membuatkan saya berasa semakin sebak.

Di Thailand, saya jarang merantau kerana lebih meluangkan masa
bersama keluarga. Namun,sekarang semuanya sudah berubah. Namun bagi
saya, apa yang penting ingatan saya terhadap mereka. Bak kata pepatah, air
yang dicincang tidak akan putus. Itu harapan saya dan mungkin juga harapan
anda.


Click to View FlipBook Version