AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN KEMAHIRAN MEMBACA KISAH MONYET YANG DEGIL
Pada suatu hari, Sang Kancil sedang berjalan-jalan di kebun buah-buahan bersama rakannya sang Kura-Kura. Sedang asyik mereka menikmati buahbuahan di situ, tiba-tiba datang seekor Monyet yang kelihatan amat kelaparan.
" Tolong-tolong, aku kelaparan. Sudah beberapa hari aku tidak makan" , kata Monyet dengan sedih. “Bolehkah sekiranya kamu berdua memberikan sedikit buah-buahan untuk aku makan" , rayu Monyet.
Kancil dan Kura-Kura amat kasihan terhadap keadaan Monyet yang kelihatan sangat lapar itu. "Baiklah monyet, ambillah apa sahaja yang kau mahu" , kata Kancil.
Melihat pepohon buah-buahan yang merimbun di hadapannya, membuatkan Monyet berasa tamak. Tiba-tiba dia ternampak akan pokok cili yang ranum dengan cili yang merah menyala.
"Aku mahu itu, aku mahu itu" , teriak Monyet. "Jangan Monyet, nanti kau yang menanggung pedihnya" , tegah Kura-Kura. "Betul tu monyet, pilihlah buah yang lain" , sokong Kancil.
Tanpa mempedulikan amaran Kancil dan Kura-Kura, Monyet terus memetik cili-cili yang merah itu dan memakannya dengan gelojoh. Tiba-tiba Monyet menjerit "Pedas! pedas! air! air! mana air!. "
Dengan muka yang merah kerana menahan pedas, Monyet terus berlari mencari air bagi menghilangkan pedas di lidahnya, manakala Sang Kancil dan Kura-Kura menggeleng-gelengkan kepala mereka.
TAMAT