Kisah “ Sang Tupai si pencuri “
Sinopsis
Cerita “Sang Tupai si pencuri” ini mengisahkan tentang seekor tupai yang amat malas dan
sering mencuri makanan daripada penduduk-penduduk hutan. Sang Tupai hidup dengan
bersenang-lenang dan sering bersuka ria ketika haiwan-haiwan hutan yang lain gigih
mengumpul makanan untuk dijadikan bekalan ketika musim hujan. Ketika musim hujan pun
tiba, Sang Tupai mula mencuri buah-buahan dan bekalan makanan yang dikumpul penduduk
hutan kerana makanannya sudah habis. Sang Kancil dan Sang Semut cuba untuk membantu
penduduk hutan untuk menangkap si pencuri. Sang Tupai ditimba bala apabila dia diburu oleh
dua orang pemburu. Sang Kancil dan Sang Semut membantu melepaskan Sang Tupai dari
cengkaman pemburu. Akhirnya, Sang Tupai mengaku salah dan dia meminta maaf kepada
seluruh penduduk hutan belantara. Sang Tupai juga berjanji tidak mahu menjadi pencuri lagi
dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk bekerja mencari makanan.
Watak dan perwatakan
Sang Tupai
Seekor tupai yang malas bekerja dan suka bersuka-ria. Pada musim tengkujuh, Sang Tupai
sering mencuri makanan penduduk-penduduk hutan.
Sang Kancil
Seekor kancil yang cerdik dan sering membantu haiwan-haiwan yang berada dalam
kesusahan di hutan. Sang Kancil membantu penduduk hutan untuk menangkap si pencuri
makanan di hutan.
Sang semut
Seekor Semut yang merupakan sahabat baik kepada Sang Kancil. Sang Semut bekerjasama
dengan Sang Kancil untuk menangkap si pencuri makanan di hutan.
Sang monyet
Seekor ibu monyet yang rajin dan gigih berusaha. Sang monyet merupakan mangsa kecurian
bekalan makanan di hutan.
Pemburu 1 dan 2
Dua orang pemburu yang masuk ke hutan untuk memburu haiwan-haiwan di hutan. Kedua-
dua orang pemburu tersebut ingin menangkap tupai untuk dijual.
Skrip “ Sang Tupai si pencuri “
BABAK 1
Di sebuah hutan simpan, haiwan-haiwan sedang sibuk bekerja untuk mengumpul bekalan
makanan sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh. Hal ini kerana, pada musim
tengkujuh, haiwan-haiwan tidak dapat keluar mencari makanan kerana hujan lebat dan
keadaan angin kencang di hutan. Namun, ketika haiwan lain sedang sibuk bekerja, Sang
Tupai masih bersuka ria.
Sang Semut :Tentera-tentera semut sekalian, di sana ada pokok ceri yang telah gugur
buahnya. Mari kita ke sana untuk mengambi buah ceri sebagai bekalan
makanan kita nanti.
Tentera semut :Baik kapten, ayuh kita ke sana (balas tentera semut secara serentak)
Sang Tupai : Wah, sibuk sungguh kamu sang semut bekerja. Musim tengkujuh lambat lagi,
apa kata kalau kamu sertai aku bersuka-ria.
Sang Semut : Mana boleh begitu Sang Tupai, kita perlu sediakan paying sebelum hujan.
Lagipun, ketua hutan kata kemungkinan musim tengkujuh pada tahun ini lebih
awal.
Sang Tupai : Alah, apa yang nak ditakutkan, nanti-nanti pun boleh bekerja. Aku masih
belum puas lagi berjalan-jalan dan menyanyi riang di hutan ini. (sambil
bersiul-siul kecil)
Sang Semut : Ikutlah apa kata kau Sang Tupai, aku perlu ke sana untuk mengawasi tentera-
tentera semut bekerja. Aku pergi dulu ye.
Sang Tupai : Baiklah Semut, aku pun mahu sambung menyanyi. Petang nanti aku mahu
tidur pula.
Di dalam hutan belantara
Burung belatuk membuat rumah
Tok tok tok burung bertukang
Bekerja pagi sehingga pentang
Ikan di sungai berenang-renang
Katak di pinggir mencari makan
Krok krok krok katak berbunyi
Menunggu kumbang leka menari
BABAK 2
Beberapa hari kemudian, hujan pun telah turun dengan lebatnya. Haiwan-haiwan berada di
rumah masing-masing. Ada yang tidur, ada yang bermain, ada yang sedang makan. Mereka
tidak lagi khuatir dengan musim hujan kerana bekalan makanan mereka sudah cukup. Lain
pula jadinya dengan Sang Tupai. Dia berasa sangat lapar kerana dia tidak mempunyai
makanan di rumah.
Sang Tupai : Lapar sungguh perut aku. Makanan pula tidak ada di rumah ini. Aku perlu
keluar juga mencari makanan. (kata sang tupai sendirian)
Sang Tupai kelaur dari rumah, namun dia tidak dapat melompat dengan laju kerana hujan
sangat lebat dan angin pula bertiup kencang.
Sang Tupai : Aduh, bagaimana aku hendak mencari makanan jika keadaan cuaca
sebegini. Aku tidak mahu mati kelaparan. Hah, aku ada akal. Apa kata kalau
aku curi sahaja makanan di rumah Sang Monyet. Dia pasti mempunyai banyak
bekalan makanan kerana anak-anaknya ramai.
Sang Monyet : Anak-anak, ibu mahu keluar sebentar untuk mengambil daun-daun di hujung
tasik. Daun-daun itu boleh kita gunakan untuk memanaskan badan
Anak-anak
Sang Monyet : Baik ibu, kami akan menjaga rumah kita dengan sebaiknya.
Sang Monyet :Baiklah, ibu pergi dulu ye.
Anak-anak monyet pun sambung bermain. Namun, mereka terlupa untuk menutup pintu.
Sang Tupai dengan pantas masuk ke rumah Sang Monyet untuk mengambil makanan secara
berhati-hati.
Sang Tupai : Ha ha ha ha, berjaya juga aku mencuri makanan dari rumah Sang Monyet.
Sekarang, aku boleh makan dengan banyak dan bersuka ria.
BABAK 3
Keesokan harinya, penduduk hutan dikejutkan dengan suara teriakan Sang monyet yang riuh-
rendah. Suasana masih gelap dan kebanyakan penduduk hutan juga masih nyenyak diulit
mimpi. Namun, akibat teriakan yang kuat itu, Sang Kancil dan Sang Murai tersedar dari tidur.
Sang Kancil : Hei Sang Semut, kau dengar tak suara teriakan Sang Monyet tadi ?
Sang semut : Aku dengar Sang Kancil, entah mengapalah Sang Monyet berteriak pagi-pagi
buta begini.
Sang Kancil : Aku juga tidak tahu, apa kata kalau kita pergi melihat Sang Monyet. Mungkin
Sang Monyet sedang berada dalam kesusahan.
Sang Semut : Kalau begitu, marilah.
Sang Kancil dan Sang Semut berjalan menuju ke pohon besar yang dihuni oleh Sang Monyet
di pinggir hutan belantara itu.
Sang Kancil : Sang Monyet, oo Sang Monyet. Kenapa kamu berteriak pagi-pagi begini?
Sang Monyet : Sang Kancil, bekalan makanan yang aku simpan telah habis dicuri.
Bagaimana aku hendak memberi anak-anakku makan pada musim hujan ini
Mesti mereka akan kelaparan nanti (ingin menangis)
Sang Semut : Oh begitu rupanya, bersabar lah Sang Monyet. Aku dengar-dengar, sejak
musim hujan ini, ramai penduduk hutan yang mengadu bahawa makanan
mereka telah dicuri.
Sang Kancil : Betul Sang Monyet, ini mesti angkara si pencuri itu. Haih, kita tidak boleh
biarkan perkara ini berlarutan di hutan kita. Perbuatan mencuri itu suatu
perbuatan yang terkutuk.
Sang Monyet : Kalau begitu, kita perlu laporkan perkara ini kepada ketua hutan. Kalau tidak,
habis semua bekalan penduduk hutan dicurinya nanti.
Sang semut : Mari, kita laporkan sekarang juga.
BABAK 4
Setelah pulang dari rumah ketua hutan, Sang Semut dan Sang Kancil terlihat Sang Tupai
yang sedang cuba mencuri makanan di rumah Sang Arnab. Tanpa membuat masa, mereka
terus mengejar Sang Tupai.
Sang Kancil : Hoi Tupai, kau mencuri ye.
Sang Semut : Oh kamu rupanya yang mencuri makanan penduduk-penduduk hutan pada
musim hujan ini.
Sang Tupai : Err…errr…errr aku bukan mencuri. Aku hanya tolong Sang Arnab
mengalihkan makananya sahaja.
Sang Kancil : Usahlah berdalih Sang Tupai, kami tahu bahawa kamu berniat hendak
mencuri. Baik kamu mengaku, kalau tak aku laporkan kamu kepada ketua
hutan.
Sang Tupai : Betul! Aku tidak menipu. Err…err…err…aku balik dulu ye.
Sang Semut : Hei, jangan lari. Jom kancil kita kejar si pencuri itu.
Sang Tupai pun berlari dengan laju untuk melepaskan diri. Sang Kancil dan Sang Semut pun
mengejar Sang Tupai. Namun, Sang Tupai lebih pantas melompat dan berlari di sebalik hutan.
Sang Tupai : Fuh, berjaya juga aku larikan diri. Kalau tidak, nahas aku sekiranya tertangkap
mencuri. Pasti Sang Kancil dan Sang Semut akan laporkan kepada ketua
hutan nanti.
Tiba-tiba Sang Tupai terdengar bunyi tembakan yang amat kuat. Kelihatan dua orang
pemburu sedang mengahala senapang ke arahnya. Satu das tembakan tepat mengenai kaki
Sang Tupai.
Sang Tupai : Aduh, sakitnya kaki aku. Tolong….tolong…aku ditembak oleh pemburu.
Sang Semut dan Sang Kancil terdengar jeritan Sang Tupai. Mereka bergegas ke arah suara
teriakan itu.
Sang Kancil : Eh, Sang Tupai. Kenapa dengan kaki kau?
Sang Tupai : Tolong aku Sang Kancil. Aku ditembak oleh pemburu.
Sang Semut : Kita perlu tolong Sang Tupai dengan segera. Kalau tidak pasti pemburu itu
akan datang ke sini untuk mencari Sang Tupai.
Sang Kancil : Kalau begitu, naik ke atas belakangku Sang Tupai. Kita akan menyorok di
kawasan semak itu.
Sang Semut : Kalau begitu, aku akan panggil tentera-tentera semut untuk berkumpul di sini.
Jika pemburu itu datang, kami akan serang mereka.
Tentera-tentera semut pun berkumpul di kawasan bawah pokok itu. Kelihatan dua orang
pemburu tadi sedang menuju ke arah pokok di mana Sang Tupai terjatuh tadi.
Pemburu 1 : Aku rasa, tembakan aku tadi terkena kepada Si Tupai yang berada di atas
pokok itu.
Pemburu 2 : Mungkin tupai itu terjatuh di kawasan ini, apa kata kalau kau cari disitu dan
aku cari di sana.
Sang Semut : Tentera-tentera semut, jom kita serang pemburu-pemburu itu.
Pemburu 1 : Aduh, banyaknya semut yang menggigit kakiku.
Pemburu 2 : Kaki dan tangan aku juga digigit oleh semut. Jom kita pergi dari sini.
Pemburu 2 : Jom, biarkan saja lah tupai yang kita tembak tadi. Aku sudah tidak tahan
dengan gigitan semut-semut si sini.
Kedua-dua pemburu itu sudang pun beredar dari kawasan hutan itu. Apabila pemburu-
pemburu itu sudah pergi, Sang Kancil dan Sang Tupai pun keluar daripada semak.
Sang Tupai : Terima kasih Sang Kancil dan Sang Semut kerana menolong aku. Aku janji,
aku tidak akan mencuri lagi.
Sang Semut : Sama-sama Sang Tupai, aku berharap bahawa kau berpegang pada janji.
Sang Kancil : Kalau begitu, kau perlu meminta maaf kepada penduduk-penduduk hutan
yang telah engkau curi makanan mereka. Kau juga perlu berazam untuk tidak
mengulangi lagi perbuatan itu.
Sang Tupai : Baiklah, aku akan meminta maaf kepada Sang Monyet, Sang Arnab dan
haiwan-haiwan lain yang telah aku curi makanan mereka. Setelah mendapat
balasan pada hari ini, aku berazam untuk tidak malas dan mencuri lagi.
(janji Sang Tupai bersungguh-sungguh)
Tamat.