The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by NUR SITI FATEHAH BINTI ABDULLAH IPG-Pelajar, 2024-03-18 14:49:34

TUGASAN 2 PENTAKSIRAN DALAM PENDIDIKAN

Pentaksiran Bilik Darjah

INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS BAHASA MELAYU 59990 LEMBAH PANTAI, KUALA LUMPUR PROGRAM PERSEDIAAN IJAZAH SARJANA MUDA PERGURUAN (AMBILAN JUN 2021 SEMESTER 2) PENTAKSIRAN DALAM PENDIDIKAN EDUP3153 NAMA NUR SITI FATEHAH BINTI ABDULLAH NO KAD PENGENALAN 030106020534 ANGKA GILIRAN 2021192340334 KUMPULAN PISMP AMBILAN JUN 2022 KOD KURSUS DAN NAMA KURSUS EDUP3152 PENTAKSIRAN DALAM PENDIDIKAN NAMA PENSYARAH PUAN ELLIE ESTERINA BINTI MOHD FASIAH TARIKH HANTAR TUGASAN 15 MAC 2024 TARIKH TERIMA MAKLUM BALAS


PENGHARGAAN Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Saya panjangkan kesyukuran ke hadrat ilahi dengan limpah kurnia-Nya serta selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, dapat saya sempurnakan tugasan Kerja Kursus bagi kursus Pentaksiran dalam Pendidikan dengan jayanya dalam jangka masa yang ditetapkan. Pertama sekali, setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pensyarah Kursus EDUP3152 Pentaksiran dalam Pendidikan iaitu Puan Ellie Esterina Binti Mohd Fasiah atas segala usaha yang telah dicurahkan oleh beliau dalam memberikan tunjuk ajar kepada saya dan rakan-rakan dalam menyiapkan tugasan ini. Selain itu, ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan-rakan seperjuangan yang sanggup memberikan pendapat dan kerjasama sepanjang proses menyiapkan kerja kursus ini. Di samping itu, ribuan terima kasih dan penghargaan turut saya ucapkan kepada keluarga saya atas segala dorongan dan sokongan yang diberikan dari aspek fizikal dan mental kepada saya sehingga dapat saya siapkan tugasan yang diberikan ini. Akhir sekali, terima kasih juga diucapkan kepada mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam membantu saya menyiapkan tugasan yang diberikan ini sehingga akhir. Dalam masa yang sama juga, sekalung penghargaan turut diucapkan kepada penaja iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada saya dalam proses pembelajaran ke arah menjadi seorang guru di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu.


ISI KANDUNGAN 1.0 PENGENALAN.....................................................................................................................4 2.0 PENTAKSIRAN BILIK DARJAH (PBD) ...............................................................................4 3.0 ANALISIS INSTRUMEN PENTAKSIRAN BILIK DARJAH...................................................4 3.1 JENIS PENTAKSIRAN BILIK DARJAH .........................................................................5 3.2 KAEDAH PENTAKSIRAN BILIK DARJAH ....................................................................6 4.0 PENILAIAN PROFESIONAL TERHADAP INSTRUMEN PENTAKSIRAN BILIK DARJAH...................................................................................................................................10 4.1 PENGETAHUAN...........................................................................................................10 4.2 TANGGUNGJAWAB PROFESIONAL..........................................................................10 4.3 INPUT MURID...............................................................................................................10 4.4 PENGALAMAN.............................................................................................................10 5.0 REFLEKSI ..........................................................................................................................10 5.1 KEKUATAN ..................................................................................................................10 5.2 KELEMAHAN ...............................................................................................................10 5.3 CADANGAN PENAMBAHBAIKAN ..............................................................................10 RUJUKAN ................................................................................................................................11 LAMPIRAN...............................................................................................................................11


1.0 PENGENALAN Sejajar dengan kemajuan era globalisasi yang dilingkari dengan transformasi dalam bidang pendidikan, kurikulum di Malaysia sentiasa mengalami transformasi yang memfokuskan kepada pembelajaran berorientasikan perkembangan murid bagi menjana keberhasilan utama pendidikan dari perspektif kemenjadian murid dan sekolah berkualiti. Transformasi kurikulum dilakukan bagi menambahbaikan pembelajaran dari aspek kandungan, pedagogi dan pentaksiran. Oleh hal yang demikian, Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan alat penting dalam melaksanakan perubahan dalam sistem pendidikan untuk memperkasakan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berpusatkan murid. PBD merupakan pentaksiran yang bersifat autentik dan holistik, serta lebih memfokuskan perkembangan dan pembelajaran murid dan bukan lagi berorientasikan peperiksaan. Komitmen dalam kalangan guru dalam melaksanakan pentaksiran adalah amat penting dalam memacu pencapaian prestasi kemenjadian murid meliputi kehendak Falsafah Pendidikan Negara. 2.0 PENTAKSIRAN BILIK DARJAH (PBD) Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) diperkenalkan pada tahun 2019 oleh mantan Menteri Pendidikan Malaysia, Yang Berusaha Dr. Maszlee Malek, dengan matlamat utama untuk mengurangkan bebanan peperiksaan pada peringkat awal pendidikan serta dan dapat memastikan pembinaan karakter murid dapat dilakukan sepanjang tempoh murid-murid di sekolah. Ini sejajar dengan idea bahawa setiap murid mempunyai potensi dan kebolehan yang berbeza sekaligus memerlukan pendekatan holistik serta jangka masa yang panjang untuk mengenal pasti potensi mereka (Yates & Johnston, 2018). PBD juga membolehkan guru-guru untuk mengukur perkembangan pembelajaran murid secara menyeluruh sambil memberi ruang kepada murid untuk memupuk minat dan keseronokkan dalam proses pembelajaran. Keberkesanan sesuatu pembaharuan dalam sistem pendidikan bergantung kepada peranan dan faktor guru yang melaksanakan pentaksiran (Norazilawati et al., 2015). Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan PBD sebagai langkah untuk menyahut cabaran global dalam menilai pembelajaran secara holistik. Walaupun perubahan ini dilaksanakan dalam tempoh yang singkat tanpa latihan khusus kepada guru-guru, namun perubahan ini penting untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di peringkat sekolah rendah. Oleh hal yang demikian, kemahiran pentaksiran oleh guru dalam setiap


matapelajaran membolehkan murid mencapai objektif pembelajaran dan kemahiran yang dikehendaki dalam kurikulum Malaysia (Ahmad & Mahamod, 2016). Guru telah diberi kuasa autonomi sepenuhnya untuk menentukan proses pengajaran serta membentuk dan menguruskan sendiri semua pentaksiran yang telah dilakukan (Lee Hoi Yeh, 2021). Oleh itu, guru perlu mahir memilih kaedah dan jenis pentaksiran yang sesuai digunakan mengikut keperluan murid di sekolah. 3.0 ANALISIS INSTRUMEN PENTAKSIRAN BILIK DARJAH Untuk memastikan pelaksanaan PBD berjalan dengan lancar, guru perlu memahami isi kandungan kurikulum termasuk mereka perlu bijak merancang pelbagai bentuk instrumen pentaksiran yang sesuai untuk mengukur pencapaian murid dalam pelbagai aspek pembelajaran (Lim et al., 2014). Kajian ini telah dirancang untuk menganalisis instrumen PBD melalui tiga elemen penting, iaitu reka bentuk kajian, kaedah pengumpulan data serta kaedah analisis data. Berdasarkan hasil dapatan kerja lapangan yang dilaksanakan, sejumlah 55 instrumen yang telah dikumpul untuk dianalisis bagi mengenal pasti jenis dan kaedah penilaian yang digunakan dalam pelaksanaan PBD di SKST. Kajian ini bersifat kuantitatif dan kualitatif yang dilakukan secara serentak dengan menggunakan kaedah tinjauan di SK Seri Tasik. Pendekatan kualitatif dapat dilihat melalui pelaksanaan temu bual sebagai kaedah utama pengumpulan data, kemudian data disusun secara terperinci hasil daripada temu bual tersebut. Sebaliknya, pendekatan kuantitatif diterapkan dengan penggunaan aplikasi Google Form bagi pengumpulan data yang terukur secara numerik bagi mendapatkan analisis statistik yang jelas. Secara tidak langsung, melalui analisis data yang dikumpul ini berdasarkan jenis dan kaedah pentaksiran yang digunakan, saya dapat melihat gambaran yang komprehensif tentang bagaimana pentaksiran dilaksanakan dalam konteks PBD di sekolah. 3.1 JENIS PENTAKSIRAN BILIK DARJAH Pelaksanaan pedagogi abad ke-21 yang berunsur futuristik, fleksibel, dan dinamik telah membawa implikasi yang signifikan terhadap jenis pentaksiran yang digunakan oleh guruguru di sekolah (Mahaya Salleh et.al, 2024). Terdapat pelbagai jenis pentaksiran yang digunakan oleh guru untuk menilai tahap pencapaian akademik murid di SK Seri Tasik seperti yang ditunjukkan dalam jadual 1 di bawah. Penyelidikan yang telah dilakukan di


SK Seri Tasik menunjukkan bahawa terdapat 9 jenis pentaksiran yang telah digunakan oleh guru-guru dalam menilai tahap pencapaian akademik murid seperti yang dihuraikan melalui rajak dan jadual di bawah: Rajah 1 Analisis statistik berkaitan jenis pentaksiran melalui aplikasi Google Form Jadual 1 Jadual di bawah menunjukkan huraian analisis statistik berkaitan jenis pentaksiran yang digunakan di SKST. Jenis Pentaksiran Bilangan Jenis Pentaksiran Peratus Bilangan Jenis Pentaksiran (%) 1. Formatif 4 7.3 % 2. Sumatif 1 1.8 % 3. Pentaksiran Alternatif Rakan Sebaya 2 3.6 % 4. Pentaksiran Alternatif Projek 9 16.4 % 5. Pentaksiran Alternatif Pemerhatian 2 3.6 % 6. Pentaksiran Alternatif Pembentangan Lisan 2 3.6 % 7. Pentaksiran Alternatif 20 36.4 %


Amali 8. Pentaksiran Alternatif Tugasan Bertulis 14 25.5 % 9. Pentaksiran Alternatif Penghasilan Produk 1 1.8 % Berdasarkan jadual 1 di atas, pentaksiran alternatif amali merupakan jenis instrumen yang kerap digunakan oleh guru-guru di SKST iaitu 36.4% yang mewakili sebanyak 20 instrumen pentaksiran. Menurut responden, pentaksiran alternatif amali amat menekankan kepada pengalaman amali atau praktikal dalam pembelajaran. Guruguru akan membuat pemerhatian dan menggunakan instrumen seperti senarai semak dan skala kadar untuk merekod perkembangan murid dalam pentaksiran jenis ini. Sebagai contoh, guru bagi subjek Sains yang ingin menilai murid berkaitan eksperimen, mereka akan menggunakan pentaksiran alternatif amali kerana pentaksiran ini amat sesuai digunakan bagi melihat pencapaian murid dalam kerja amali sains. Hal ini kerana, kaedah amali lebih banyak melibatkan kecekapan dalam kemahiran inkuiri murid (Abdul Rahim Hamdan & Saliza Ahmad, 2008). Contoh instrumen penilaian alternatif amali yang digunakan di SKST dapat dilihat dalam rajah di bawah: Rajah 2 Eksperimen Sains Rajah 3 Eksperimen Sains


Seterusnya, pentaksiran alternatif tugasan bertulis berada pada tahap sederhana dalam hasil dapatan analisis data ini iaitu sebanyak 25.5% mewakili 14 instrumen daripada 55 instrumen yang digunakan. Menurut responden, pentaksiran jenis ini merupakan salah satu instrumen pentaksiran yang mudah diuruskan kerana murid hanya memerlukan alat tulis dan kertas atau buku tulis untuk menulis. Tambahan pula, guru boleh menilai murid dalam jumlah yang besar sekaligus memberi peluang kepada murid untuk mengembangkan kemahiran menulis mereka dalam konteks yang bermakna. Sebagai contoh, guru bagi mata pelajaran bahasa Melayu di SKTS memberi lembaran kerja penilaian yang merangkumi struktur cerita, perkembangan plot dan penggunaan frasa yang sesuai. Bukan itu sahaja, guru juga dapat menilai pemahaman murid mengenai format penulisan khususnya untuk tugasan penulisan berformat. Ini amat penting dalam persediaan murid untuk membuat karangan dalam peperiksaan atau situasi penulisan yang formal. Rajah-rajah di bawah menunjukkan contoh instrumen pentaksiran alternatif tugasan bertulis di SKST: Rajah 3 Buku tulis murid Rajah 4 Buku tulis murid


Akhir sekali, berdasarkan hasil analisis instrumen pentaksiran tersebut, jenis pentaksiran yang paling kurang digunakan ialah pentaksiran sumatif dan pentaksiran alternatif penghasilan produk iaitu sebanyak 1.8% mewakili satu insturmen sahaja. Responden berpendapat bahawa, penggunaan instrumen penghasilan produk sukar diaplikasikan di dalam kelas kerana sukar membandingkan prestasi antara murid-murid. Hal ini kerana, produk-produk yang dihasilkan berbeza dan menyebabkan guru sukar untuk mengenal pasti pencapaian sebenar murid. Contohnya, guru melaksanakan pentaksiran alternatif penghasilan produk dalam subjek bahasa Melayu dan meminta murid menghasilkan produk “Gasing Futuristik” bagi tajuk alat permainan tradisional. Sementara itu, guru menggunakan pentaksiran sumatif hanya pada akhir unit pembelajaran, penggal, bulan atau tahun seperti pelaksanaan peperiksaan akhir tahun (Wong Li Li, Kamisah Osman & Siti Mistima Maat, 2018). Rajah 5 Aktiviti Gasing Futuristik Oleh itu, dengan mengintegrasikan pelbagai jenis pentaksiran dalam PBD, guru dapat memberikan penilaian yang lebih menyeluruh dan relevan kepada murid-murid serta memastikan pembelajaran yang berkesan dan berdaya maju. Kemahiran guru dalam memilih jenis pentaksiran yang sesuai adalah sangat penting untuk memperoleh penilaian yang efektif dan memenuhi keperluan pembelajaran murid. 3.2 KAEDAH PENTAKSIRAN BILIK DARJAH Menurut Siti Hayati Haji Mohd Yusoff dan Lee (2018), setiap guru memiliki kaedah pentaksiran yang tersendiri untuk menganalisis muridnya. Kaedah pentaksiran merupakan langkah yang penting dalam menentukan aspek, aktiviti, dan jenis instrumen yang sesuai untuk mentaksir murid bagi memastikan hasil pembelajaran tercapai secara efektif.


Lazimnya, guru sering menggunakan tiga kaedah pentaksiran dalam pelaksanaan PBD untuk menilai pencapaian murid iaitu kaedah Pemerhatian, Lisan dan Bertulis. Kaedah pentaksiran dapat membantu memperbaiki PdP, meningkatkan motivasi murid, dan memberikan maklum balas yang komprehensif tentang pencapaian murid secara berterusan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa guru-guru di SKST mengaplikasikan ketiga-tiga kaedah pentaksiran secara efisien dalam proses PBD. maka, hujah dapat disokong berdasarkan hasil pengumpulan data secara kuantitatif daripada carta bar di bawah: Rajah 6 Analisis statistik berkaitan kaedah pentaksiran melalui aplikasi Google Form Berdasarkan rajah 1, hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa kaedah pentaksiran yang paling kerap digunakan oleh guru SKST ialah kaedah pemerhatian iaitu sebanyak 58.2 %. Dalam kaedah pentaksiran ini, guru dapat memerhatikan proses dan hasil kerja murid untuk menilai kemahiran serta sikap mereka. Guru akan menilai murid berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan sebelumnya, seperti kebolehan murid dalam melaksanakan tugas dengan betul, keberanian untuk mencuba, dan kefahaman terhadap konsep yang dipelajari. Berdasarkan analisis data kajian, didapati majoriti instrumen-instrumen dalam kaedah pentaksiran secara pemerhatian kerap digunakan bagi pentaksiran alternatif


amali eksperimen dalam subjek Sains. Contoh instrumen pentaksiran yang digunakan ialah borang skor individu, rakaman video dan gambar aktiviti yang dapat dilihat seperti rajah di bawah: Rajah 6 Gambar Aktiviti Rajah 7 Rakaman Video Borang skor individu merangkumi skala penilaian yang disesuaikan dengan objektif eksperimen dan kemahiran yang hendak dinilai. Guru dapat mencatat prestasi murid berdasarkan kriteria yang ditetapkan dalam borang tersebut seperti ketepatan prosedur, kemahiran manipulatif, kebolehan menganalisis data, kemahiran mengaplikasikan pengetahuan sains dan sebagainya. Sebaliknya, gambar aktiviti dan rakaman video dapat membantu guru memerhatikan dengan lebih teliti berkaitan langkahlangkah yang dilakukan oleh murid. Secara tidak langsung, guru dapat menilai kemahiran amali dan pemahaman konsep murid dengan lebih sistematik sekaligus memberikan maklum balas yang lebih terperinci untuk membantu murid dalam meningkatkan prestasi mereka dalam subjek Sains. Ini juga membantu dalam pembangunan murid secara


menyeluruh yang tidak hanya dari segi akademik tetapi juga perkembangan peribadi dan sosial mereka. Seterusnya, berdasarkan graf 1, dapat dinyatakan bahawa kaedah pentaksiran secara bertulis mendapat penilaian yang sederhana iaitu 36.4% mewakili 20 instrumen daripada taburan data instrumen. Berdasarkan hasil taburan data, instrumen bagi pentaksiran secara bertulis yang kerap digunakan di SKST ialah buku tulis, lembaran peta I-think, lembaran kerja, hasil penulisan dan ujian bertulis. Tambahan pula, menurut responden, kaedah pentaksiran ini sering diaplikasikan dalam pelaksanaan pentaksiran formatif, sumatif dan pentaksiran alternatif bertulis. Bukti hasil dapatan kajian dapat dilihat dalam rajah-rajah di bawah: Rajah 8 Lembaran Bertulis Rajah 9 Aktiviti menulis dalam tulisan Jawi


Penggunaan kaedah pentaksiran secara bertulis memberi ruang kepada guru untuk menilai pemahaman dan pencapaian pelajar berdasarkan kriteria penilaian yang telah ditetapkan. Hasil kerja pelajar dalam bentuk penulisan dapat didokumentasikan dan disimpan sebagai bukti untuk penilaian masa depan serta untuk merekod perkembangan murid dari semasa ke semasa. Akhir sekali, kaedah pentaksiran secara lisan mendapat penilaian yang paling rendah dalam analisis data hasil daripada kajian lapangan tersebut iaitu 10.9% yang mewakili 6 instrumen penilaian. Kaedah pentaksiran ini banyak diaplikasikan dalam pelaksanaan pentaksiran alternatif pembentangan lisan dan pentaksiran amali . Sebagai contoh, kaedah pentaksiran ini dapat ditaksir melalui aktiviti seperti bercerita, ujian bertutur dan pembentangan dalam kelas. Kaedah ini kurang digunakan kerana guru mungkin sukar untuk mencatat setiap aspek penampilan lisan murid. Hal ini disebabkan beberapa faktor-faktor seperti perbezaan dalam kemahiran berbicara dan kecenderungan untuk melibatkan aspek-aspek tidak formal dalam interaksi lisan. Rajah 10 Senarai Semak Lisan 4.0 PENILAIAN PROFESIONAL TERHADAP INSTRUMEN PENTAKSIRAN BILIK DARJAH Penilaian profesional atau pertimbangan profesional merupakan suatu proses yang dilakukan oleh guru dengan menggunakan pengetahuan mereka untuk menilai kemajuan pelajar berdasarkan kurikulum yang ditetapkan, termasuk pengetahuan, kemahiran, nilai, bukti pencapaian, strategi pengajaran, kaedah pentaksiran, serta kriteria dan standard yang telah ditetapkan. Penilaian profesional terhadap instrumen PBD memerlukan pertimbangan menyeluruh yang merangkumi beberapa aspek penting seperti pengetahuan, tanggungjawab profesional, input murid, dan pengalaman. Dengan mempertimbangkan semua aspek ini secara


holistik, guru dapat melakukan penilaian profesional yang efektif terhadap instrumen PBD untuk memastikan setiap instrumen berfungsi dengan baik dalam menilai pencapaian murid dan menyokong pembelajaran yang berkesan. 4.1 PENGETAHUAN Penilaian profesional terhadap instrumen PBD memerlukan guru untuk memiliki pengetahuan yang mendalam tentang kurikulum dan objektif pembelajaran yang diinginkan. Guru perlu memahami dengan jelas bagaimana instrumen PBD dapat membantu dalam menilai kemajuan pelajar untuk mencapai objektif pembelajaran yang ditetapkan. Tambahan pula, guru juga perlu berpengetahuan luas berkaitan ciri-ciri setiap jenis dan kaedah pentaksiran yang boleh digunakan kepada murid-murid. Sebagai contoh, berdasarkan objektif pembelajaran, guru di SKTS bijak dalam merancang instrumen pentaksiran yang sesuai dengan keupayaan setiap murid-murid. Seorang guru bagi subjek Matematik menggunakan kuiz digital kerana beliau mahir dalam cara pelaksanaan kuiz secara atas talian. Ini memastikan bahawa penilaian yang dilakukan adalah relevan dengan apa yang diajar dan memberikan maklum balas yang bermakna kepada murid untuk membantu mereka memperbaiki pemahaman mereka tentang numerasi. 4.2 TANGGUNGJAWAB PROFESIONAL Penilaian profesional terhadap instrumen PBD dari segi tanggungjawab profesional memerlukan guru untuk menjalankan penilaian dengan adil, cermat, beretika, dan bertanggungjawab tanpa melibatkan kepentingan sendiri atau emosi. Guru perlu bertanggunjawab mematuhi ciri-ciri pentaksiran seperti kesahan, kebolehpercayaan, objektif, mudah tadbir dan tafsir. Guru juga harus telus memastikan hasil pentaksiran mencerminkan pencapaian sebenar murid tanpa bias, manipulasi atau penyembunyian maklumat. Sebagai contoh, guru di SKST menjalankan pemerhatian menggunakan instrumen senarai semak atau rekod anekdot untuk mengumpul data bagi mentaksir tingkah laku murid-murid. Tidak dilupakan, guru juga perlu menjaga prinsip kerahsiaan untuk memastikan hasil pentaksiran murid dilindungi dengan teliti. Di SK Seri Tasik, guru-guru


menggunakan pelantar Microsoft Excel untuk mengisi hasil pentaksiran murid dan mereka telah memastikan langkah-langkah keselamatan seperti penggunaan kata laluan untuk mengakses dokumen tersebut. 4.3 INPUT MURID Seterusnya, penilaian yang profesional terhadap instrumen PBD dalam konteks input murid sangat penting untuk memastikan kesan yang optimal dalam proses PdP. Hal ini merujuk kepada pandangan, respons, dan reaksi yang diberikan oleh murid terhadap pengalaman pembelajaran termasuk aktiviti pembelajaran, tugasan dan penilaian yang diberikan oleh guru. Melalui input murid, guru dapat menyesuaikan bahan pembelajaran dan aktiviti penilaian untuk memenuhi keperluan individu murid. Hal ini kerana, input murid memberikan perspektif yang penting tentang pemahaman, pencapaian, dan keperluan pembelajaran mereka. Tamsilnya, guru-guru di SK Seri Tasik menggunakan hasil penilaian aktiviti lisan untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang kemajuan setiap murid dalam kemahiran bertutur. Dengan mengambil kira elemen-elemen input murid seperti yang dinyatakan di atas, guru dapat memperbaiki proses pentaksiran, merancang pengajaran yang lebih efektif dan menyokong perkembangan murid secara holistik. 4.4 PENGALAMAN Akhir sekali, penilaian profesional terhadap instrumen PBD berdasarkan pengalaman membolehkan guru dapat menghasilkan atau memilih instrumen yang sesuai dengan keperluan murid. Pengalaman merujuk kepada pengalaman pembelajaran, pengajaran, dan kehidupan yang telah dilalui oleh guru serta pengalaman pembelajaran yang dialami oleh murid. Guru yang berpengalaman dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan setiap murid dengan lebih tepat. Pengalaman guru dalam merancang dan melaksanakan PBD merupakan asas kepada keberkesanan proses penilaian terhadap murid. Sebagai contoh, menurut guru bahasa Melayu di SK Seri Tasik, beliau gemar meminta murid untuk berkongsi pengalaman mereka dalam menulis karangan naratif di dalam kelas. Secara tidak langsung, guru dapat memanfaatkan pengalaman mereka


sendiri dan pengalaman murid untuk merancang dan melaksanakan penilaian yang lebih berkesan. Pengalaman ini membolehkan guru memberikan maklum balas yang sesuai dan membina kepada murid untuk meningkatkan prestasi mereka dalam pembelajaran. 5.0 REFLEKSI Keberkesanan pelaksanaan PBD dalam proses pengajaran dan pembelajaran sangat bergantung kepada penerimaan dan penguasaan guru. Selain itu pihak-pihak lain yang terlibat secara langsung juga mungkin mempengaruhi keberkesanan pelaksanaan PBD. Selepas selesai menjalankan kajian lapangan di SK Seri Tasik dan membuat analisis penilaian pentaksiran, saya telah menganalisis kekuatan dan kelemahan pelaksanaan PBD dan penggunaan instrumen pentaksiran. Saya juga telah memberi beberapa cadangan penambahbaikan untuk mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi oleh guru-guru di SKST. 5.1 KEKUATAN Pelaksanaan PBD dan penggunaan pelbagai kaedah serta jenis pentaksiran mempunyai beberapa kekuatan yang penting dalam konteks pembelajaran dan penilaian. Di SKST, pelaksanaan PBD membolehkan guru untuk mendapatkan maklum balas secara berterusan tentang kemajuan dan pencapaian murid. Ini kerana aktiviti penilaian dijalankan secara berkala di dalam bilik darjah sekaligus membolehkan guru untuk mengesan pencapaian setiap murid. Di samping itu, menurut responden di SKST, pelaksanaan PBD juga dapat membina hubungan yang lebih dekat antara guru dan murid. Guru dapat memberikan sokongan yang lebih individu dan personal kepada murid, serta memberikan maklum balas yang bermakna untuk membantu mereka mencapai objektif pembelajaran. Buktinya, murid-murid bergiat aktif ketika melaksanakan pentaksiran lisan di dalam kelas. Dengan menggabungkan pelbagai kaedah dan jenis pentaksiran yang sesuai, guru-guru di SK Seri Tasik menunjukkan pengetahuan, kemahiran, dan autonomi mereka dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan mendukung pembangunan holistik murid-murid. Hal ini mencerminkan kesungguhan dan komitmen mereka dalam menjalankan tanggungjawab profesional sebagai pendidik serta memberikan persepsi yang positif tentang dedikasi mereka terhadap pembangunan murid secara menyeluruh.


5.2 KELEMAHAN Secara keseluruhannya, hasil pengumpulan data di SK Seri Tasik menunjukkan beberapa kelemahan dalam penggunaan kaedah dan instrumen untuk melaksanakan penilaian Pembelajaran Berasaskan Projek (PBD). Salah satu masalah utama adalah kekangan masa dan tenaga untuk menguruskan dan melaksanakan pentaksiran. Contohnya, jika guru melaksanakan ujian bertulis, projek, dan pemerhatian secara serentak, ini mungkin memerlukan lebih banyak masa dan tenaga berbanding hanya melaksanakan satu jenis penilaian. Responden berpendapat bahawa pelaksanaan PBD dan memerlukan kemahiran penilaian yang tinggi dari guru. Mereka perlu memahami dengan jelas objektif penilaian, kriteria penilaian serta teknik dan instrumen penilaian yang sesuai untuk setiap kaedah atau jenis pentaksiran. Dalam beberapa kes, penggunaan pelbagai kaedah dan jenis pentaksiran mungkin menyukarkan perbandingan antara hasil penilaian murid. Setiap pentaksiran mungkin menghasilkan data yang berbeza-beza dalam bentuk dan format sehingga membuatnya sukar untuk membandingkan pencapaian murid secara konsisten. Akhir sekali, penggunaan pelbagai kaedah dan jenis pentaksiran telah menghasilkan banyak data yang perlu dikelola oleh guru. Mereka perlu mengumpulkan, menyimpan dan menganalisis data dari pelbagai sumber penilaian untuk memberikan maklum balas yang bermakna dan membuat keputusan yang berdasarkan bukti. Ini mungkin menjadi sukar jika guru tidak mempunyai sistem yang baik untuk menguruskan data atau jika mereka tidak mempunyai peluang untuk meluangkan masa yang mencukupi untuk aktiviti pengurusan data. 5.3 CADANGAN PENAMBAHBAIKAN Untuk menambahbaik kelemahan-kelemahan yang disebutkan sebelum ini dalam pelaksanaan PBD dan penggunaan pelbagai kaedah serta jenis pentaksiran, pihak pentadbir perlu menyediakan latihan dan pembangunan profesional kepada guru dalam bidang pentaksiran. Ini termasuk kursus atau bengkel yang memberi tumpuan kepada


kemahiran penilaian, pengurusan data dan teknik untuk merancang dan melaksanakan pentaksiran yang berkesan. Seterusnya, guru-guru di sekolah juga boleh berkolaborasi untuk berkongsi idea, strategi, dan sumber untuk meningkatkan amalan penilaian. Ini dapat dilakukan melalui sesi berkongsi pengalaman, kumpulan pembelajaran profesional atau platform dalam talian yang membolehkan pertukaran idea dan sokongan antara rakan sejawat. Tambahan pula, pihak sekolah boleh menyediakan peralatan dan perisian yang sesuai untuk membantu guru mengumpulkan, menyimpan, dan menganalisis data pentaksiran dengan mudah dalam pengurusan data yang cekap. Selain itu, mereka boleh memberikan latihan kepada guru tentang cara menggunakan alat-alat ini dengan berkesan. Dengan mengambil langkah-langkah ini, sekolah dan guru dapat bekerjasama untuk mengatasi kelemahan-kelemahan yang timbul daripada pelaksanaan PBD.


RUJUKAN Abdul Rahim Hamdan & Saliza Ahmad (2008). Tahap penguasaan guru dalam melaksanakan pentaksiran kerja amali (PEKA) Sains Menengah Rendah. In Seminar Kebangsaan Pendidikan Sains dan Matematik (pp. 11-12). Aniza Ahmad, & Zamri Mahamod. (2015). Tahap kemahiran guru bahasa Melayu sekolah menengah dalam melaksanakan pentaksiran berasaskan sekolah berdasarkan jantina, opsyen dan tempat mengajar. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu ;Malay Language Education (MyLEJ), 5(1), 18–29. https://journalarticle.ukm.my/8593/ Bahagian Pembangunan Kurikulum (2019). Panduan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (edisi ke-2). Kementerian Pendidikan Malaysia. Lim, L. H., Wun, Y. T., & Chew, M. C. (2014). Enhancing Malaysian Teachers’ Assessment Literacy. International Education Studies, 7(10) Mahaya Salleh, Suzana Abd Mutalib, Hashiroh Hussein & Zakirah Imana Ho Abdullah. (2024). Pentaksiran dalam Pendidikan. Local Publications Sdn. Bhd. Mohd, & Lee Hoi Yeh. (2018). Pengetahuan dan Kesediaan Guru PSV Hilir Perak dan Bagan Datuk dalam Melaksanakan PBS dalam PdP. Jurnal Penyelidikan Dedikasi, 14, 112– 130. Norazilawati Abdullah, Noraini Mohamed Noh, Rosnidar Mansor, Abdul Talib Mohamed Hashim, Wong, K. T. (2015). Penilaian pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dalam kalangan Guru Sains. Jurnal Pendidikan Sains Dan Matematik Malaysia, 5(1), 89-102. https://ejournal.upsi.edu.my/index.php/JPSMM/article/view/2145 Wong, Li Li, Kamisah Osman, & Siti Mistima Maat (2018). Analisis faktor pengesahan bagi instrumen pengetahuan guru matematik sekolah rendah dalam pentaksiran berasaskan sekolah. Jurnal Pendidikan Malaysia, 43(1 (SI)), 11-20. Yates, A., & Johnston, M. (2017). The impact of school-based assessment for qualifications on teachers’ conceptions of assessment. Assessment in Education: Principles, Policy & Practice, 1–17. Yeh, L. H. (2021). Challenges faced by Visual Art Education with the Existence of Classroom Based Assessment in Primary School within the District of Hilir Perak. KUPAS SENI, 9(1), 46–57. https://doi.org/10.37134/kupasseni.vol9.1.5.2021


Click to View FlipBook Version