10 Fakta tentang Bumi yang
Kita Patut Tahu
Bumi kita ini adalah satu-satunya planet yang didiami oleh manusia, haiwan dan tumbuh-
tumbuhan sejak ribuan tahun lalu. Ratusan juta tahun lalu, dinosaur-dinosaur mendiami planet
ini dan kemudian selepas era dinosaur berakhir, kita pula yang hidup di sini. Planet ini ialah
tempat kehidupan kita. Rumah kita. Segala urusan kehidupan kita, dilakukan di Bumi. Semakin
kita melata di Bumi, semakin kita kagum dengan segala yang ada di Bumi. Namun, sebanyak
mana yang kita ketahui tentang Bumi kita ini? Dalam artikel ini, kita akan lihat 10 fakta yang
menarik tentang Bumi kita ini.
1. Bumi ialah planet ketiga dari Matahari
Bumi kita ini terletak dalam sebuah sistem bintang yang dikenali sebagai sistem suria. Di dalam
sistem suria ini, Matahari berada di pusatnya, dan terdapat 8 planet yang mengelilingi Matahari
pada jarak masing-masing. Bumi merupakan salah satu planet ini dan ia merupakan planet ketiga
daripada susunan jarak planet ke Matahari dengan purata jarak 150 juta kilometer dari Matahari.
2. Bumi bukan berbentuk sfera unggul
Bumi sebenarnya bukanlah sebuah sfera yang betul-betul sfera tetapi Bumi ini terbonjol sedikit
disebabkan oleh putaran Bumi. Bagi sfera yang unggul, ia akan mempunyai jejari yang sama di
semua lokasi. Jarak dari permukaan ke pusat sfera adalah sama panjang. Bumi berbentuk sfera
oblat iaitu sfera yang ‘dipenyekkan’ pada kawasan kutub utara dan selatan. Oleh itu, jarak dari
kutub utara dan selatan ke pusat Bumi adalah lebih hampir berbanding jarak dari khatulistiwa ke
pusat Bumi.
3. Satu putaran Bumi pada paksinya
bukan 24 jam
Kita tahu bahawa 1 hari adalah bersamaan dengan 24 jam dan kita juga tahu bahawa Bumi ini
berputar pada paksinya. Namun, satu putaran 360° Bumi adalah lebih kecil daripada 24 jam iaitu
hanya sekitar 23 jam 56 minit dan 4 saat. Perbezaan ini adalah disebabkan oleh kesan gerakan
Bumi pada orbitnya. Bumi bukan sahaja berputar, tetapi ia juga mengorbit Matahari. Jika anda
berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut, anda boleh membuat carian perbezaan hari
sidereus dan hari suria.
4. Benua dan Lautan Gergasi di Bumi
Bumi kita pada hari ini terdiri daripada 7 benua dan 4 lautan. Namun, keadaan Bumi jutaan tahun
lalu berbeza dengan keadaan pada hari ini. Sekitar 300 juta tahun lalu, Bumi hanya terdiri
daripada 1 benua gergasi yang diberi nama Pangea serta 1 lautan gergasi yang diberi nama
Panthalessa. Dinosaur yang ada pada ketika ini dapat melata ke seluruh kawasan daratan di
Bumi. Benua Pangea ini tidak kekal lama. Benua ini melalui beberapa proses pemisahan
sepanjang ratusan juta tahun sehinggalah kepada keadaan pada hari ini.
5. Umur Bumi ialah 4.5 bilion tahun
Segala makhluk yang ada di alam semesta ini mempunyai tarikh lahir masing-masing. Begitu juga
dengan Bumi. Bumi kita berumur sekitar 4.5 bilion tahun (atau 4500 juta tahun). Umur ini dapat
ditentukan berdasarkan kajian mengenai Matahari, Bulan dan juga batu-batuan yang wujud di
Bumi. Kelahiran Bumi ini berlaku serentak dengan kelahiran sistem suria. Oleh sebab itu, Matahari
dan planet-planet di dalam sistem suria mempunyai umur yang hampir sama iaitu sekitar 4.5
bilion tahun.
6. Peparit Mariana ialah dasar laut paling
dalam di Bumi
Bumi kita ini dipenuhi oleh lautan. Jika kita pergi ke lautan, berapa dalam kita boleh pergi sebelum
mencapai dasarnya? Kalau di tepi pantai, sudah pasti dasarnya tidaklah begitu dalam. Tak sampai
10 meter pun. Namun apabila kita pergi ke tengah-tengah laut, dasar laut tersebut akan menjadi
sangat dalam. Dasar laut yang paling dalam di muka Bumi ini adalah di suatu kawasan peparit
yang dinamakan sebagai peparit Mariana. Kawasan ini terletak di barat Lautan Pasifik dan 200
kilometer timur dari pulau Mariana.
7. Lebih ¾ udara Bumi ialah nitrogen
Antara sebab Bumi kita ini dapat didiami oleh manusia adalah sebab atmosferanya yang selamat
untuk manusia. Seperti yang kita sedia maklum, manusia memerlukan oksigen untuk bernafas.
Namun, sebenarnya udara atau atmosfera di Bumi kita ini bukanlah oksigen sepenuhnya. Udara
yang kita hirup ini mengandungi 78% nitrogen, 20% oksigen dan 2% gas-gas lain. Pecahan udara
ini yang membolehkan kita bernafas. Jika peratus oksigen terlalu tinggi, kita boleh mengalami
keracunan oksigen dalam darah kita.
8. Oksigen merupakan unsur paling
banyak di Bumi
Eh, bukankah nitrogen yang paling banyak seperti pada nombor 4? Ya, nitrogen merupakan unsur
paling banyak dalam atmosfera, namun dalam kerak Bumi, unsur yang paling banyak ialah
oksigen yang merangkumi 46.4% daripada jisim Bumi diikuti oleh silikon (28.2%) dan aluminium
(8.3%).
9. Planet dengan hanya 1 bulan
Sistem suria kita terdiri daripada 8 buah planet. 2 daripadanya tidak mempunyai bulan iaitu planet
Utarid dan Zuhrah. Manakala 6 planet lain mempunyai bulan masing-masing yang mengelilingi
planet tersebut termasuklah Bumi. Bumi ialah satu-satunya planet dengan hanya 1 bulan yang
mengelilinginya.
10. Paksi Bumi condong 23.5° dari
orbitnya
Bumi kita berputar pada paksinya dan juga mengelilingi Matahari. Putaran Matahari menyebabkan
perubahan siang dan malam. Manakala pusingan orbit Bumi mengelilingi Matahari pula
menyebabkan berlakunya 4 musim. Kejadian 4 musim ini adalah disebabkan kecondongan Bumi
pada paksinya iaitu sebanyak 23.5° daripada satah orbitnya. Disebabkan kecondongan ini, pada
bulan tertentu, sebahagian Bumi akan menerima cahaya Matahari dengan lebih lama berbanding
bahagian Bumi yang lainnya.
by Izzat Zubir 19 September
2020 in Artikel AJAR