310. Saya akui bahawa impian membangunkan Dekad Johor adalah satu impian yang
besar. Kepada mereka yang prejudis, ini adalah angan-angan yang tidak berpijak
di bumi nyata. Kepada mereka yang pesimis, ini hanyalah satu mimpi yang tidak
mungkin kesampaian.
311. Namun, pada saya dan seluruh jentera Kerajaan Negeri, adalah tidak bermoral
dan tidak bertanggungjawab, jika sebagai pemimpin, kita tidak mengambil
pendirian patriotik untuk membentangkan satu lembaran baharu demi masa depan
Johor dan anak bangsanya.
312. Janganlah kita sekadar mentadbir negeri ini demi kepentingan sendiri, seperti
enau dalam belukar, yang hanya mahu melepaskan pucuk masing-masing. Dan
janganlah pula kita culas dan malas merancang masa depannya, sehingga Johor
menjadi sebuah negeri yang lesu, ibarat hidup segan mati tak mahu.
313. Lebih teruk, janganlah kita menjadi mereka yang terlalu berfikiran sempit dan
gemar mencari salah dan silap. Ibarat gagak hitam yang suka menyelongkar
sampah dan memakan bangkai.
314. Marilah kita semua, berusaha sehabis kudrat dan daya, memperbaiki kelemahan
dan memberikan yang terbaik, demi menjayakan 10 tahun akan datang. Bukan
sahaja sebagai sebuah dekad yang sarat dengan pencapaian, tetapi dekad yang
dilihat dan dikenali sebagai, Dekad Johor!
315. Saya mohon mencadang, terima kasih.
51