The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by izham4192, 2023-10-31 10:19:48

KESALAHAN EJAAN PADA PAPAN IKLAN

KESALAHAN EJAAN ATBM PDF

KESALAHAN EJAAN PADA PAPAN IKLAN


NAMA: MUHAMMAD IZHAM BIN MOHD ZAHIR ANGKA GILIRAN: 2023192310142 NO. KAD PENGENALAN: 0509090800037 KELAS: C6 NAMA KURSUS: ASAS TATABAHASA BAHASA MELAYU KOD KURSUS: BMMB1084 TUGASAN: PENULISAN TUGASAN 2 NAMA PENSYARAH: PUAN TEO SIEW FANG TARIKH HANTAR: 1 NOVEMBER 2023


PENGENALAN Umumnya, kita sering melihat papan iklan terutamanya di persekitaran jalan. Papan iklan merupakan medium terpenting untuk mendedahkan sesuatu kepada masyarakat. Lazimnya, papan iklan digunakan sebagai medium untuk mempromosikan produk dan menyalurkan maklumat kerana penggunaan warna dan visual pada papan iklan tersebut dapat menarik perhatian orang yang melihat. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2005), papan iklan didefiniskan sebagai papan yang besar dan digunakan untuk memaparkan sesuatu iklan. Namun, masih banyak kesalahan sistem ejaan bahasa Melayu dan kesalahan tatabahasa yang terdapat pada papan iklan. Kesalahan yang sering dijumpai pada papan iklan adalah kesalahan huruf vokal, kesalahan huruf konsonan, kesalahan kata majmuk, kesalahan jenis-jenis imbuhan, kesalahan kata ganda, kesalahan tanda baca dan banyak lagi. Justeru, penulisan ini dilakukan untuk mengkaji tentang kesalahan sistem ejaan bahasa Melayu dan kesalahan tatabahasa yang terdapat pada papan iklan serta huraian yang bersesuaian.


RAJAH 1 Kesalahan ejaan keselarasan vokal


Berdasarkan Rajah 1, kesalahan yang didapati pada papan iklan kedai tersebut adalah pada perkataan ‘serbanika’. Terdapat kesalahan ejaan keselarasan vokal bagi penggunaan huruf ‘i’ di mana huruf tersebut perlu digantikan dengan huruf ‘e’ untuk membentuk perkataan yang betul iaitu ‘serbaneka’. Menurut Kamus Wilkinson (1932) seperti yang dinyatakan dalam Shamsul Aizuwani Nawi & Chong Shin (2016), huruf e terbahagi kepada dua bunyi iaitu e taling ([e]) dan e pepet ([ə]). Dalam situasi pada Rajah 1, huruf e yang yang sesuai menggantikan huruf ‘i’ ialah e taling. Hal ini demikian kerana huruf ‘e’ pada ejaan ‘serbaneka’ perlu dibunyikan seakanakan huruf ‘a’. Maksud bagi perkataan ‘serbaneka’ ialah bermacam-macam manakala perkataan ‘serbanika’ pula tidak membawa apa-apa maksud. Jelaslah bahawa segelintir peniaga masih tidak dapat membezakan penggunaan huruf ‘e’ dalam perkataan tertentu.


Rajah 2 Kesalahan ejaan kata sendi nama ‘dari’


Berdasarkan Rajah 2, kesalahan yang dapat dikenal pasti berdasarkan papan iklan ini adalah kesalahan ejaan kata sendi nama ‘dari’. Penggunaan kata sendi nama ‘dari’ dalam papan iklan di atas adalah salah dan sepatutnya digantikan dengan kata sendi nama ‘daripada’. Hal ini selaras dengan pendapat Jayakaran Mukundan & Norwati Roslim (2009) yang menyatakan bahawa kata sendi nama ‘dari’ hanya boleh digunakan untuk menunjukkan arah atau tempat sesuatu manakala kata sendi nama ‘daripada’ boleh digunakan pada sebelum kata nama yang berkaitan dengan sesuatu sumber. Sumber yang dimaksudkan dalam Rajah 2 ialah ‘getah’. Nik Safiah Karim et al. (2015), turut memberikan pendapat yang hampir sama mengenai penggunaan kata sendi nama ‘daripada’ iaitu hadir di hadapan frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda dan unsur kejadian sesuatu benda.


Rajah 3 Kesalahan ejaan kata majmuk


Rajah 3 di sebelah kiri menunjukkan kesalahan yang ditemui pada papan iklan sebuah kedai yang terletak di Kulai, Johor . Kesalahan pada papan iklan tersebut menunjukkan bahawa ejaan bagi perkataan ‘alatulis’ dieja secara rapat di mana perkataan tersebut tidak mempunyai jarak di antara perkataan ‘alat’ dan ‘tulis’. Ejaan yang tepat bagi perkataan itu adalah ‘alat tulis’. Rajah 3 di sebelah kanan pula menunjukkan ejaan kraf tangan yang dieja secara rapat iaitu ‘kraftangan’ di mana papan tersebut dijumpai di Jalan KU 12, Melaka. Kesalahan pada papan tersebut serupa dengan kesalahan pada papan iklan dalam Rajah 3 di sebelah kiri. Kesalahan ini tidak wajar dilakukan kerana papan tanda tersebut dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah yang merupakan sebuah badan yang rasmi di negeri itu.


Kedua-dua situasi tersebut berlaku disebabkan kurangnya pendedahan tentang pengejaan sesuatu perkataan dalam kalangan masyarakat. Perkara ini perlulah dibetulkan dan didedahkan sejak daripada bangku persekolahan lagi. Menurut kajian yang dilakukan oleh Anne Jeffrey Kihob & Saidatul Nornis Mahali (2021), banyak murid sekolah yang keliru akan pengejaan sesuatu perkataan sama ada harus ditulis rapat atau terpisah. Jadi, guru memainkan peranan penting dalam aktiviti pengajaran di sekolah kerana aspek ejaan berperanan penting untuk memastikan mesej yang disampaikan oleh seseorang itu mudah difahami dan berkesan.


RAJAH 4 Kesalahan ejaan fonetik


Iklan dalam kain rentang pada Rajah 4 di atas menunjukkan bahawa terdapat kesalahan ejaan pinjaman bahasa Cina pada perkataan ‘Kuew Teow’. Kuetiau merupakan sejenis mi yang popular dalam masakan Cina dan Asia Tenggara. Ejaan yang tepat menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2005), ialah ‘kuetiau’ iaitu membawa maksud makanan yang berkeping-keping dan lembut serta diperbuat daripada tepung beras. Kesalahan ini sering dilakukan oleh kedai-kedai makan yang menghidangkan hidangan berunsurkan kuetiau. Menurut tinjauan yang dilakukan oleh Abdul Razak (1983) dalam Khadijah Mohd Salleh et al. (2009), beliau pernah membuat tinjauan berkenaan penggunaan bahasa Melayu di Kampus induk UKM Bangi. Ejaan perkataan ‘kuetiau’ ini merupakan salah satu kesalahan yang banyak dipaparkan dalam kampus UKM pada ketika itu.


RAJAH 5 Kesalahan ejaan pinjaman bahasa Arab


Berdasarkan Rajah 5, kesalahan yang dapat dikenal pasti dalam papan di atas adalah kesalahan ejaan pinjaman Bahasa Arab bagi perkataan ‘wudhuk’. Rajah di atas diambil di Masjid Ar-Rahman, Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur. Ejaan yang sebenar bagi perkataan tersebut ialah ‘wuduk’ di mana gabungan huruf /dh/ bertukar menjadi /d/. Ini selaras dengan pendapat Indirawati dan Mardian (2006) dalam Any Rozita Abdul Mutalib (2023) yang menyatakan bahawa terdapat perubahan sebutan pada istilah Bahasa Arab apabila ditukar kepada bahasa Melayu contohnya, huruf gabungan /dz/ akan digantikan dengan /z/, /dh/ menjadi /d/, /th/ menjadi /s/ manakala /sh/ bertukar menjadi /sy/. Antara contoh perkataan pinjaman bahasa Arab yang bertukar apabila ditulis dalam bahasa Melayu ialah perkataan mithal di mana berubah menjadi misal, dzalim menjadi zalim dan sharat menjadi syarat. Perubahan kata dan istilah Bahasa Arab tidaklah mudah kerana perbezaan bunyi dan ejaan merupakan faktor utama dalam peminjaman bahasa Arab. Perubahan ini perlulah dilakukan untuk penyesuaian natif iaitu menerbitkan bentuk kata mengikut sistem bunyi dan peraturan bahasa sasaran (Nik Safiah Karim et al., 2013).


RAJAH 6 Kesalahan ejaan kata sendi nama ‘di’


Rajah 6 menunjukkan kesalahan yang dijumpai di sebuah kedai runcit. Kesalahan tersebut dikategorikan sebagai kesalahan kata sendi nama bagi ‘di’. Penggunaan ‘di’ boleh terbahagi kepada dua jenis sama ada imbuhan awalan bagi sesuatu perkataan atau digunakan sebagai kata sendi nama. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2015) seperti yang dinyatakan dalam Anne Jeffrey Kihob & Saidatul Nornis Mahali (2021), imbuhan awalan diyang membentuk kata kerja perlu dieja rapat. Kemudian, kata sendi nama bentuk ‘di’ yang digunakan di hadapan kata nama untuk menunjukkan tempat perlu ditulis secara terpisah. Contohnya, ejaan yang tepat bagi penggunaan kata sendi nama ‘disini’ dalam rajah di atas adalah ‘di sini’.


Rajah 7 Kesalahan ejaan tanda baca


Poster digital dalam Rajah 7 menunjukkan kesalahan ejaan tanda baca iaitu tanda sempang (-). Tujuan poster tersebut dibuat adalah untuk memberitahu orang ramai tentang tujuan dan maklumat berkenaan mesyuarat tersebut. Kesalahan tanda sempang dalam poster di atas boleh dikenal pasti pada frasa ‘ke 2’ di mana tanda sempang (-) perlu diletakkan di antara perkataan ‘ke’ dan ‘2’ yang membentuk perkataan ‘ke-2’. Hal ini bertepatan dengan pendapat Nor Farah Ain & Mazlan Ibrahim (2023) yang menyatakan bahawa nombor yang didahului dengan kata sendi nama ke hendaklah menggunakan tanda sempang (-) di antara kedua-dua perkataan dan nombor tersebut.


Rajah 8 Kesalahan penggunaan imbuhan


Berdasarkan iklan grafik dalam Rajah 8, terdapat kesalahan penggunaan imbuhan pada perkataan ‘mempercepatkan’. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2015) seperti yang dinyatakan dalam Faizul Abd Hamid et al. (2022), beliau menyatakan bahawa kata terbitan berawalan ‘memper-…-kan’ hanya boleh digunakan pada kata kerja dan kata nama, manakala kata adjektif pula hanya boleh menerima imbuhan yang berawalan ‘memper-…’. Maka, imbuhan yang tepat untuk digunakan pada perkataan ‘mempercepatkan’ di atas adalah ‘mempercepat’ kerana kata dasar bagi perkataan tersebut iaitu ‘cepat’ merupakan sebuah kata adjektif. Ramai individu yang keliru akan penggunaan imbuhan yang tepat pada sesuatu perkataan kerana kurangnya pengetahuan dan pendedahan tentang peraturan dalam sistem ejaan ini.


Rajah 9 Kesalahan ejaan huruf konsonan


Rajah 9 menunjukkan bahawa terdapat kesilapan yang sering kita lihat di kedaikedai salun rambut. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2005), perkataan ‘kerinting’ membawa maksud siput yang diasinkan atau sejenis tumbuhan (palma) manakala, perkataan ‘keriting’ pula membawa makna rambut yang bergulung-gulung. Jelaslah di sini bahawa perkataan yang sesuai untuk digunakan bagi kedai salun rambut seperti dalam Rajah 9 di atas adalah ‘keriting’ iaitu dengan menggugurkan huruf konsonan ‘n’. Ramai peniaga dan orang awam keliru akan penggunaan perkataan yang tepat kerana ejaan perkataan ‘kerinting’ dan ‘keriting’ hampir sama.


Rajah 10 Kesalahan ejaan kerancuan bahasa


Rajah 10 menunjukkan kesalahan ejaan penggunaan bahasa Melayu yang bercampur dengan bahasa Inggeris pada sebuah papan iklan di sebuah kedai salun rambut. Perkataan ‘saloon’ tersebut seharusnya diubah kepada ‘salun’ kerana perkataan lain yang digunakan pada papan iklan tersebut adalah dalam bahasa Melayu. Kesalahan ini boleh dikategorikan sebagai kerancuan bahasa. Menurut Hishamudin Isam et al. (2018) dalam Anne Jefrey Kihob & Saidatul Nornis Mahali (2021), kerancuan bahasa diistilahkan sebagai hukum bahasa yang salah dan menyebabkan ketidaktenteraman suasana linguistik standard. Bukan hanya pada papan tanda, masyarakat kini juga gemar bertutur menggunakan bahasa rojak iaitu penggunaan bahasa yang bercampur aduk dan tidak mengikut peraturannya sehingga ketiadaan tertib dalam bahasa. Fenomena ini juga mendorong masyarakat untuk melakukan kesalahan seperti dalam Rajah 10.


Rumusan Setelah menjalankan kerja kursus penulisan tugasan 2 ini, dapat disimpulkan bahawa masih terdapat segelintir masyarakat yang kurang cakna akan ejaan-ejaan dalam bahasa Melayu sehingga kesalahan yang tidak sepatutnya dibuat terutamanya pada papan iklan. Kesalahan yang paling banyak dijumpai semasa menjalankan kajian ini adalah kesalahan ejaan vokal. Papan iklan yang dipaparkan seharusnya menggunakan ejaan yang betul kerana tujuan utama papan iklan adalah untuk memberikan maklumat dan informasi kepada umum. Ejaan yang salah pada papan iklan boleh menyebabkan banyak impak negatif kepada masyarakat contohnya, kanak-kanak akan terpengaruh dengan ejaan pada papan iklan yang salah dan maklumat yang diberikan kemungkinan membawa kekeliruan. Diharapkan agar pihak yang bertanggungjawab dapat menyelesaikan masalah ini dengan sebaik mungkin untuk kebaikan generasi masa akan datang.


Rujukan


Click to View FlipBook Version