Kegemilangan Sains dan Teknologi dalam Tamadun
Islam: Mengambil Iktibar Pengalaman Kerajaan
Abbasiyyah
Roziah Sidik @ Mat Sidek, Farid Mat Zain, Izziah Suryani Arshad & Ezad Azraai Jamsari
Abstrak
Kertas kerja ini mengupas pengalaman kerajaan Abbasiyyah memajukan bidang sains
dan teknologi untuk diambil pengajaran agar boleh dijadikan sebagai mekanisme bagi tujuan
memperkembangkan bidang tersebut di ‘negara Islam’ Malaysia. Kertas kerja ini ditulis
berdasarkan metod kajian kepustakaan dengan meneliti dan menyaring maklumat daripada
sumber primer dan sekunder. Hasil saringan tersebut mendapati bahawa kegemilangan
sains dan teknologi dalam kerajaan Abbasiyyah dipacu oleh faktor seperti peranan khalifah,
peranan orang perseorangan, hubungan dengan negara luar dan amalan polisi sains negara
yang mantap melibatkan kegiatan penterjemahan, penubuhan akademi seperti observatori
dan perpustakaan, serta naungan kepada saintis dan penghasilan karya dalam bahasa Arab.
Pendahuluan
Sains dan teknologi berkembang pesat pada zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyyah.
Ini terbukti melalui kemunculan tokoh-tokoh berwibawa. Antara mereka ialah Muhammad
bin Musa al-Khwarizmi, Jabir bin Hayyan, Muhammad bin Zakaria al-Razi, Thabit bin
Qurrah, Hunayn bin Ishaq, keluarga Bakhtishu’ dan ramai lagi. Penghasilan karya-karya asli
juga menjadi bukti kepada kegemilangan bidang ini pada zaman tersebut. Antara karya yang
dihasilkan ialah Kitab al-Jabr wa al-Muqabalah, al-Hawi, Kitab fi al-Hijamah, Kitab al-
Aghdhiyah, Kitab fi al-Bah dan Kitab Tadhkirat al-Kahhalin serta banyak lagi. Pencapaian
kerajaan ini dalam bidang sains dan teknologi tentu sekali wajar dijadikan panduan oleh
Malaysia untuk turut sama mencapai kegemilangan tersebut.
Pengalaman kerajaan Abbasiyyah memajukan sains dan teknologi
Kerajaan Abbasiyyah berjaya memacu kegemilangan sains dan teknologi kerana ia dititik
beratkan oleh semua lapisan masyarakat. Dari pemerintah hinggalah kepada orang
perseorangan, semuanya memainkan peranan tersendiri. Khalifah sebagai individu yang
terlibat secara langsung dalam politik dan agama, juga turut menampakkan kecenderungan
kepada bidang sains dan teknologi. Khalifah Abu Ja’far al-Mansur (136-158H/754-775M)
misalnya, adalah khalifah pertama yang mendekati ahli astronomi seperti al-Nawbakht
(Sarton 1975). Malah, al-Mansur dikatakan telah mengambil inisiatif mengundang al-
Nawbakht untuk berkhidmat di istananya. Pandangan dan nasihat al-Nawbakht digunakan
bagi tujuan melicinkan urusan pentadbiran negara. Dalam pembinaan kota Baghdad misalnya,
212 / ISoIT 2004
al-Mansur telah meletakkan asas pembinaan mengikut masa yang dianggap sesuai dari segi
pengiraan falak yang dilakukan oleh al-Nawbakht.
Selain al-Mansur, khalifah Harun al-Rashid (179-193H/786-809M) juga turut sama
berperanan memajukan bidang sains dan teknologi. Peranan beliau yang paling utama ialah
mendirikan institusi Khizanat al-Hikmat. Ia berfungsi sebagai pusat aktiviti ilmiah dengan
kegiatan-kegiatan seperti penterjemahan buku-buku dari bahasa Greek, India dan Parsi ke
bahasa Arab, serta penyelidikan, selain daripada turut digunakan sebagai perpustakaan.
Khalifah al-Ma’mun (198-218H/813-823M) juga turut memainkan peranan tersendiri dalam
memajukan bidang sains dan teknologi. Beliau telah mengambil inisiatif dengan mewujudkan
hubungan dengan negara luar seperti Byzantium dalam usaha untuk mendapatkan buku-buku
yang tersimpan di tanah jajahan Byzantium seperti Pulau Sicily dan Pulau Cyprus. Hubungan
ini ternyata berhasil apabila al-Ma’mun dengan kebenaran Maharaja Byzantium, telah
menghantar rombongan seperti Ibn al-Batriq dan Yuhana bin Masawayh untuk mendapatkan
buku-buku dari tanah jajahan Byzantium (Ibn al-Nadim 1970: 339).
Selain khalifah, orang perseorangan juga turut memainkan peranan memajukan sains dan
teknologi. Keluarga Banu Musa bin Shakir misalnya, mengambil inisiatif dengan menghantar
sarjana seperti Hunayn bin Ishaq ke tanah jajahan Byzantium untuk mendapatkan buku-buku
dan manuskrip. Hasilnya, mereka berjaya membawa pulang buku-buku falsafah, muzik dan
juga perubatan. Lebih dari itu, keluarga Banu Musa bin Shakir juga turut memberi ganjaran
kepada sarjana-sarjananya seperti Hunayn bin Ishaq, Thabit bin Qurrah dan Hubaysh bin al-
Hassan yang berusaha menterjemah dan menyalin buku-buku dari bahasa asing. Malah
dikatakan bahawa keluarga Banu Musa bin Shakir menghabiskan 500 dinar setiap bulan
untuk usaha menterjemah dan menyalin ini. Selain daripada itu, mereka turut sama
berkecimpung dalam perkembangan ilmu sains dan teknologi dengan menghasilkan karya-
karya mereka sendiri terutamanya dalam bidang aritmetik dan astronomi (Tuqan 1954: 158).
Selain daripada keluarga Banu Musa bin Shakir, keluarga Barmaki juga turut memainkan
peranan memajukan sains dan teknologi. Yahya bin Khalid al-Barmaki misalnya telah
mengambil inisiatif meminta seorang pendeta menterjemahkan buku pertanian yang
diperolehi daripada Byzantium ke dalam bahasa Arab.
Di samping faktor pemerintah dan orang perseorangan, kegemilangan sains dan teknologi
pada zaman Abbasiyyah juga turut dibantu oleh faktor hubungan luar negara. Hubungan
dengan Byzantium misalnya, nyata membuahkan hasil. Ini kerana Byzantium terkenal dengan
khazanah ilmu yang diwarisi daripada tamadun Greek terutamanya bidang falsafah dan
perubatan. Apabila wilayah Byzantium jatuh ke tangan Islam pada zaman pemerintahan
khalifah Harun al-Rashid, maka berlakulah pemindahan ilmu Greek ke negara Islam.
Kerajaan Byzantium diminta supaya menghantar buku dan manuskrip lama ke negara Islam
untuk diterjemahkan. Antara buku-buku itu termasuklah karya Pythagoras, Socrates, Aristotle
dan Archimedes.
Khalifah al-Ma’mun juga turut mengadakan hubungan dengan Maharaja Byzantium. Ini
terbukti apabila beliau menghantar beberapa orang sarjana seperti al-Hajjaj bin Matar dan Ibn
al-Batriq untuk memilih buku-buku yang tersimpan di wilayah-wilayah Byzantium dan
dibawa ke Baghdad untuk disalin semula. Khalifah al-Ma’mun juga pernah menghantar
rombongan yang diketuai oleh Hunayn bin Ishaq ke Konstantinople untuk mendapatkan
buku-buku Greek dalam bidang perubatan dan falsafah (Ibn al-Nadim 1970: 243; al-Daffa’
1983: 38).
Hubungan negara Islam dengan negara China juga turut membantu kegemilangan sains
dan teknologi. Hubungan ini terjalin sama ada dalam bentuk perdagangan ataupun
penaklukan. Melalui penaklukan misalnya, orang Islam berjaya menemui cara membuat
kertas apabila Gabenor Samarqand di Asia Tengah telah menghantar angkatan tentera ke
China pada tahun 751M. Mereka membawa balik beberapa banduan yang mahir dalam
Roziah Sidik @ Mat Sidek at.el. / 213
pembuatan kertas. Kemahiran ini telah diperturunkan kepada orang Islam yang kemudiannya
telah dimajukan oleh al-Fadl bin Yahya al-Barmaki pada tahun 794M.
Selain hubungan dengan negara luar, kerajaan Abbasiyyah juga memperkenalkan
beberapa polisi sains yang jelas seperti kegiatan penterjemahan, penubuhan akademi,
observatori dan perpustakaan, serta naungan kepada saintis. Kegiatan penterjemahan
dititikberatkan oleh khalifah-khalifah Abbasiyyah seperti al-Mansur, al-Rashid dan al-
Ma’mun. Pada zaman merekalah terjemahan buku-buku daripada tamadun Yunani dan juga
Hindi telah dipergiatkan. Ia meliputi bidang perubatan, astronomi dan matematik. Antara
buku-buku dari bahasa asing yang diterjemahkan pada zaman pemerintahan kerajaan
Abbasiyyah ialah Siddhanta (diterjemahkan ke bahasa Arab dengan nama Kitab al-Sindhind),
Jadual Dahlavi (diterjemahkan dengan nama Zij) dan Almagest (diterjemahkan dengan nama
al-Majisti) (al-Daffa’ 1985: 212).
Melihat kepada usaha penterjemahan yang dilakukan ini, boleh disimpulkan bahawa
kerajaan Abbasiyyah menyedari adalah sukar memajukan bidang sains dan teknologi jika
maklumat dalam bidang tersebut masih wujud dalam bahasa asing. Oleh kerana bahasa Arab
adalah bahasa yang digunakan di dunia Islam pada masa itu, sama ada di sebelah timur
mahupun di sebelah barat, maka wajar sekali karya sains dan teknologi juga diwujudkan
dalam bahasa Arab. Ini bertujuan untuk memberi peluang yang luas kepada masyarakat Islam
untuk memanfaatkan ilmu tersebut. Inilah keajaiban bagi tamadun Islam yang mampu
menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa tulisan dan percakapan semua orang yang tinggal
antara Baghdad dan Cordova, bukan sahaja dalam bidang sastera dan sains, malah mencakupi
semua bidang ilmu pengetahuan.
Kerajaan Abbasiyyah mungkin sedar pengalaman tamadun Hellenistik dan
mengambilnya sebagai panduan. Dalam tamadun Hellenistik, hanya bahasa Greek digunakan
sebagai bahasa sastera dan saintifik di sekolah-sekolah seperti di Alexandria dan bandar-
bandar lain. Manakala bahasa yang diisytiharkan sebagai bahasa kebangsaan ialah bahasa
Aramaic dan Coptic. Situasi ini menyukarkan masyarakat awam yang memang tidak
memahami bahasa Greek untuk mendapatkan sebarang maklumat tentang sains dan
teknologi. Ia secara tidak langsung telah mewujudkan sempadan yang besar antara
masyarakat awam dengan golongan yang terlibat dalam bidang sains. Justeru, bidang ini juga
telah menjadi eksklusif hanya kepada golongan yang boleh memahami bahasa Greek.
Apabila kerajaan Abbasiyyah mengambil inisiatif menterjemahkan karya-karya
sains dan teknologi tamadun lain ke dalam bahasa Arab, mereka nampak seperti cuba untuk
menyediakan maklumat dalam bidang ini dalam bahasa yang digunakan oleh semua orang di
dunia Islam, menghilangkan sempadan budaya serta menjadikan bidang itu tidak hanya
eksklusif kepada golongan tertentu sahaja.
Kegiatan penterjemahan pada zaman ini dibantu oleh akademi-akademi seperti Bayt al-
Hikmah. Malah, akademi ini juga turut mempunyai kakitangan yang terdiri daripada saintis
terkemuka seperti Banu Musa bin Shakir, Hunayn bin Ishaq dan Thabit bin Qurrah.
Perpustakaan juga turut dibangunkan seperti Khizanat al-Hikmah yang diusahakan oleh
keluarga Barmaki pada zaman pemerintahan khalifah Harun al-Rashid. Selain itu, ovservatori
juga turut ditubuhkan. Ia bukan hanya menjalankan kajian, tetapi juga untuk tujuan
pengajaran. Contoh observatori yang dibangunkan ialah observatori yang diasaskan oleh
keluarga Banu Musa bin Shakir.
Satu lagi faktor yang membawa kepada kegemilangan sains dan teknologi pada zaman
Abbasiyyah ialah naungan istimewa yang diberikan kepada saintis. Saintis diberi kemudahan
seperti gaji, pencen, tempat tinggal dan juga bilik untuk menjalankan kajian saintifik.
Khalifah al-Mu’tadid (279-289H/892-902M) misalnya, telah menyediakan kemudahan
kepada saintis seperti tempat tinggal di istananya dan bilik untuk semua cabang sains. Beliau
juga mengambil inisiatif untuk menggaji profesor untuk mengajar di istananya.
214 / ISoIT 2004
Selain daripada itu, antara faktor pendorong lain kepada kemajuan sains dan teknologi
ialah kemudahan yang disediakan kepada para pelajar yang mendalami ilmu pengetahuan
sama ada disediakan oleh pemerintah ataupun orang perseorangan. Bayangkan, pada zaman
pemerintahan kerajaan Abbasiyyah ini, terdapat tokoh-tokoh tertentu yang membina
perpustakaan dan menyediakan kemudahan penginapan, makanan dan minuman, malah
saguhati kepada para pelajar yang mentelaah kitab-kitab di perpustakaannya. Malah, terdapat
tuan punya perpustakaan yang merupakan ilmuan memberi kuliah percuma kepada pelajar
tersebut. Dengan ini, para pelajar tidak perlu lagi risaukan masalah kewangan dan boleh
menjalankan penyelidikan dan kajian dengan kadar yang maksima.
Iktibar kepada kerajaan Malaysia
Apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Abbasiyyah harus diambil iktibar oleh kerajaan
Malaysia dalam usaha Malaysia untuk memajukan bidang sains dan teknologi. Kerajaan
misalnya, boleh memainkan peranan yang tersendiri dalam membantu memajukan bidang ini.
Mendekati golongan saintis dan teknologis, serta menyediakan insentif dan dana yang
mencukupi untuk mereka menjalankan penyelidikan saintifik adalah antara beberapa perkara
yang telah dilakukan oleh kerajaan. Isu penghargaan kepada individu cemerlang dalam
bidang ini juga patut diberi pujian. Kewujudan Anugerah Saintis Muda Negara misalnya,
merupakan penghargaan yang tinggi kepada golongan yang terlibat dalam bidang ini.
Selain itu, kerajaan juga perlu mengambil inisiatif memasyarakatkan bidang sains dan
teknologi, sepertimana isu hiburan. Semua lapisan masyarakat boleh duduk semeja dan
berbincang soal hiburan ekoran pendedahan meluas yang diberikan kepada industri tersebut.
Namun, berapa kerat anggota masyarakat yang boleh duduk semeja dan berbincang tentang
bidang sains dan teknologi, kalau bukan hanya orang yang terlibat dalam bidang ini? Ia
menggambarkan betapa lebarnya sempadan yang wujud antara bidang ini dengan masyarakat.
Menyamatarafkan bidang sains dan teknologi dengan industri hiburan adalah satu tindakan
yang kurang wajar, kerana masing-masing mempunyai peranan tersendiri dalam
pembangunan negara. Namun, memberi pendedahan yang meluas kepada masyarakat tentang
bidang sains dan teknologi sama seperti pendedahan yang diberikan kepada bidang hiburan,
adalah satu perkara yang wajar difikirkan.
Salah satu cara untuk memasyarakatkan bidang ini dan menghilangkan sempadan yang
lebar itu, ialah menerusi bahasa. Pengkajian dan penghasilan karya sains dan teknologi harus
dilakukan dalam bahasa rasmi yang ditutur dan digunakan oleh semua rakyat Malaysia. Ini
bertujuan untuk memudahkan masyarakat memperolehi maklumat tersebut. Secara tidak
langsung, ia menjadi bidang yang mesra rakyat. Jika disorot pengalaman bangsa Eropah pun,
isu bahasa ini begitu menonjol peranannya. Mereka telah mengambil inisiatif
menterjemahkan karya-karya sains dan teknologi dari bahasa Arab ke bahasa Latin, supaya
masyarakat mereka boleh memahami dan seterusnya memajukan bidang tersebut di negara
mereka. Antara karya tersebut ialah buku aritmetik yang dihasilkan oleh al-Khwarizmi telah
diterjemahkan ke bahasa Latin dan dikenali sebagai Algoritmi De Numero Indomi (al-Daffa’
1985: 38).
Satu perkara lagi yang boleh diambil iktibar oleh Malaysia untuk memajukan bidang ini
ialah menubuhkan institusi atau akademi khusus untuk menangani soal penterjemahan karya
asing. Dalam hal ini, Malaysia nampaknya sudah lama mengambil langkah ini menerusi
penubuhan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Namun, fungsinya harus
diperkemaskan agar ia boleh memainkan peranan tersendiri dalam membantu negara
memajukan bidang sains dan teknologi. Selain itu, kewujudan Bahagian Sains dan Teknologi
di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 25 Januari 1995 serta Pusat Sains dan Teknologi
Roziah Sidik @ Mat Sidek at.el. / 215
di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 1 Februari 2004 juga boleh membantu
negara memajukan bidang sains dan teknologi.
Penutup
Pengalaman kerajaan Abbasiyyah membuktikan bahawa bidang sains dan teknologi
boleh mencapai kegemilangan kerana faktor-faktor seperti peranan pemerintah, orang
perseorangan, hubungan dengan negara luar, penterjemahan karya sains dan teknologi dari
tamadun lain ke dalam bahasa yang dituturkan di negara tersebut, penubuhan akademi,
perpustakaan dan observatori serta naungan kepada saintis. Malaysia juga perlu mengambil
iktibar daripada kerajaan Abbasiyyah dengan faktor-faktor yang disebutkan. Namun, apabila
kerajaan mengambil langkah memperkenalkan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa
Inggeris, timbul pula persoalan sejauhmana pendekatan ini boleh memberi kegemilangan
kepada bidang terbabit. Walhal kerajaan Abbasiyyah, malah Eropah sendiri telah berjaya
membuktikan bahawa bidang ini boleh mencapai kegemilangan apabila ia diperibumikan,
khususnya dari segi bahasa.
Bibliografi
Al-Daffa’, ‘Ali ‘Abd Allah. 1983. A’lam al-Arab wa al-Muslimin fi al-Tibb. Beirut: Mu’assasat al-
Risalah.
Al-Daffa’, ‘Ali ‘Abd Allah. 1985. Nawabigh ‘Ulama’ al-‘Arab wa al-Muslimin fi al-Riyadiyyat. T.tp:
Dar al-I’tisam.
Ibn al-Nadim, Muhammad bin Ishaq. 1970. al-Fihrist. Mesir: Maktabat al-Rahmaniyyah.
Sarton, G. 1975. Introduction to the History of Science. Florida: Robert E. Krieger Publishing
Company.
Tuqan, Qadri Hafiz. 1954. Turath al-‘Arabi al-‘Ilmi fi al-Riyadiyyat wa al-Falak. Kaherah: Matba’at
Lajnat al-Ta’lif wa al-Turjumah wa al-Nashr.
Roziah Sidik @ Mat Sidek, Farid Mat Zain, Izziah Suryani Arshad & Ezad Azraai Jamsari
Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam
Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 Bangi
Selangor