TAJUK CERITA: SANG KELDAI DAN SANG MUSANG
NAMA PENGARANG: NUR AZREEN ELIZA BINTI NORAZAM
Pada suatu masa dahulu, terdapat seekor keldai yang
tinggal bersama tuannya di sebuah kampung. Tuan Sang
Keldai tersebut bekerja sebagai petani. Beliau sangat suka
bercucuk tanam. Pada waktu siang, Sang Keldai akan
membantu tuannya membawa guni yang penuh dengan hasil
tanaman seperti buah tomato, jagung, dan pelbagai jenis
sayur-sayuran. Pada waktu malam pula, Sang Keldai akan
dilepaskan oleh tuannya untuk memakan rumput di sebuah padang secara bebas.
Walau bagaimanapun, Sang Keldai sebenarnya akan menyelinap masuk di ladang
tanaman berdekatan dan makan sayuran yang segar di situ.
Pada suatu malam, sedang Sang Keldai sedang
merayau-rayau sendirian, dia telah terserempak
dengan seekor musang. Mereka menjadi akrab
dan mereka pun bermula untuk berjumpa pada
setiap malam. Sang Keldai sering mengajak Sang
Musang untuk mengikuti dia menyelinap masuk ke
ladang-ladang tanaman pada malam hari. Ketika
hari sudah masuk waktu siang, Sang Keldai akan balik semula ke rumah tuannya.
Pada suatu hari, ketika mereka sedang
berjalan bersama, Sang Musang mula
bercerita kepada Sang Keldai tentang
perjalanannya semasa berjalan seorang diri di
hutan. Sang Musang berkata,
“Eh, aku ada berita gembira untuk kau.
Semalam ketika aku berjalan seorang diri di hutan, aku ada terjumpa sebuah
ladang yang penuh dengan hasil tanaman lobak yang segar tidak jauh dari sini.
Aku tahu kau pasti akan menyukainya. Aku juga yakin di situ ada haiwan
ternakan untuk aku jadikan santapan. Ayuhlah kita ke sana pada malam ini.”
Sang Keldai yang mendengar kata-kata Sang Musang mula berasa teruja.
Kedua-duanya sudah mula membayangkan makanan yang mereka akan dapat
pada malam yang akan menjelma tidak lama lagi.
Ketika hari malam sudah menjelma, Sang Keldai dan
Sang Musang pun pergi ke ladang yang dikatakan oleh
Sang Musang untuk menyelinap masuk ke ladang lobak
itu. Sang Keldai makan dengan lahapnya sehingga dia
berasa kenyang. Perutnya yang membuncit
membuatkan Sang Keldai tersandar kekenyangan.
“Hei Musang, aku sangat senang hati pada
malam ini. Sudah lama aku tidak dapat merasa
lobak yang segar begini. Lihatlah di langit itu,
ada bulan penuh dipagari bintang-bintang yang
bergemerlapan. Malam ini terlihat sangat
indah sehingga aku rasa mahu menyanyi di
sini”, ujar Sang Keldai dengan nada yang sangat gembira kepada Sang Musang.
Sang Musang yang berasa cemas terus memarahi Sang
Keldai, “Hei Keldai, aku tahu kau binatang yang dungu tapi
kau perlu tahu kita di sini menyelinap masuk untuk mencuri
makan hasil tanaman orang di sini. Kita tidak boleh
membuat sebarang bunyi. Kalau kau bernyanyi, petani-
petani di sini akan terbangun dari tidur mereka dan mereka akan menangkap
kita. Nahaslah kita. Lebih baik kau makan dengan diam dan jangan bernyanyi!”
Sang Keldai ketawa besar dengan kata-
kata Sang Musang. Dia pun berkata,
“Binatang liar seperti kau langsung
tidak menghargai seni muzik. Sini, aku
akan dengarkan kau seni muzik yang
sebenar dengan bakat terpendam aku!”, ujar Sang Keldai kepada Sang Musang.
Mendengar kata-kata sindiran Sang Keldai, Sang Musang yang
cemas dengan pantas dia berkata,
“Sebentar, jangan kau bernyanyi lagi. Jika kau tekad mahu
bernyanyi juga, tunggu sehingga aku selesai keluar dari
kawasan ladang ini. Aku mahu mengawasi petani-petani di sini
sambil bersembunyi.”
Sang Musang pun terus berlari keluar menyembunyikan diri dan Sang Keldai
pun mula bernyanyi dengan suara yang kuat.
Sang Keldai menyandar dengan senang hati sambil
memandang ke langit terus bernyanyi tanpa
menghiraukan keadaan di sekelilingnya. Suaranya
yang kuat dan menjengkelkan terus menyebabkan
para petani di kawasan itu terjaga dari tidur
mereka. Walau pun sudah larut malam, dengan
bantuan sinaran bulan yang penuh, para petani dapat melihat dengan jelas
keberadaan Sang Keldai di kawasan ladang tanaman mereka.
Mereka terus keluar mengejar Sang keldai
dan menghalau Sang Keldai dengan
membawa senjata tajam dan ungun api
untuk menakutkan Sang Keldai. Mereka
turut membaling batu ke arah Sang Keldai.
Akibat daripada itu, seketul batu telah
mengenai kaki Sang Keldai menyebabkan
Sang Keldai tersungkur ke atas tanah.
Melihat para petani yang masih mengejar,
Sang Keldai pun menangis ketakutan lalu bertempiaran lari keluar dari kawasan
ladang itu.
Sang Keldai dengan terkedek-kedek keluar
dari kawasan ladang itu sambil menahan sakit
di bahagian kakinya. Untungnya, kaki Sang
Keldai hanya mengalami luka ringan. Sang
Musang yang memerhati dari tempat
persembunyiannya terus keluar pergi ke Sang
Keldai sambil tergelak besar.
“Suara kau sangat menakjubkan sehingga para
petani pun memberikan anugerah yang banyak
kepada kau. Aku sudah menegur tapi kau yang
tidak mahu dengar. Kau ada bakat terpendam
tapi aku rasa lebih baik kau pendamkan saja”,
ejek Sang Musang kepada Sang Keldai sambil
tergelak sakan yang tidak dapat ditahan. Sang
Keldai terus menangis dan menyesal untuk mencuri makanan di ladang itu.