The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Mari kita baca untuk tahu makna di sebalik ikhlas.

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by 725-3-norazwa, 2024-03-12 11:08:39

SIAPA YANG IKHLAS

Mari kita baca untuk tahu makna di sebalik ikhlas.

B A B 1 D u a D a r j a t k e S e k o l a h


Jam menunjukkan sudah pukul 7:00 pagi. Kamal masih berada di meja makan untuk sarapan. Kamal berasa sedih kerana setiap pagi dia perlu makan bersama pembantu rumahnya sahaja. Ibu dan bapa Kamal sibuk bekerja sehingga berasa dirinya terabai.


Berlainan pula dengan kehidupan Wani. Semasa perjalanan ke sekolah, Wani akan singgah di Warung Pak Atan untuk meletak nasi lemak jualan ibunya. Wani tidak pernah mengeluh walaupun hidup dalam serba kekurangan. Hal ini kerana ibu dan bapa Wani amat menyayanginya.


Cikgu Zainab memulakan sesi pembelajaran pada pagi tersebut. “Hari ini cikgu akan berikan keputusan ujian Matematik kamu pada dua minggu lepas, ” kata Cikgu Zainab. Semua murid 5 Harmoni berdebar-debar menunggu Cikgu Zainab memanggil nama seorang demi seorang.


Setelah 21 orang nama murid disebut, tibalah giliran Wani. “Tahniah Wani, kamu mendapat keputusan paling tinggi. Teruskan usaha kamu, ” kata Cikgu Zainab. Rakan-rakan lain menepuk tangan atas kejayaan Wani tersebut, namun Kamal hanya menjelingnya. Dia tidak berpuas hati dengan keputusan Wani yang cemerlang.


“Bangun, terima kasih cikgu” ucap Amin menandakan waktu Cikgu Zainab telah tamat. “Pak!” bunyi pinggan Kamal yang diletak dengan sangat kuat. Amir dan Fairuz menjadi bingung. Mereka memandang antara satu sama lain. “Kau berdua tengoklah muka Wani. Berlagak kerana mendapat keputusan cemerlang, ” kata Kamal dengan nada tinggi.


“Oh, kau marah seperti ini sebab Wani. Aku tengok muka dia biasa saja sejak dari tahun 1. Tiada yang berubah, ” jawab Fairuz sambil ketawa bersama Amir. “Sudahlah kamu berdua! Aku mahu sebentar lagi kita mengejek Wani di dalam kelas, ” arah Kamal dengan tegas. Amir dan Fairuz hanya mengangguk.


Nurul pergi ke hadapan kelas sewaktu Cikgu Junita belum tiba. “Rakan-rakan, saya ingin menjemput semua ke majlis ulang tahun kelahiran saya pada hari Ahad ini, ” kata Nurul dengan penuh berharap.


“Biar betul Nurul kau jemput semua. Wani si miskin itu tiada duit nak beri hadiah pada kau. Nanti kau jangan menyesal kalau dia hanya beri nasi lemak yang tidak habis di Warung Pak Atan, ” kata Kamal sambil ketawa bersama Amir dan Fairuz. Wani hanya berdiam diri melihat situasi tersebut.


“Tidak mengapa Kamal. Saya hanya ingin rakan-rakan ada bersama, ” jawab Nurul. “Bangun… selamat pagi cikgu” kata Amin setelah Cikgu Junita masuk ke dalam kelas. Murid-murid 5 Harmoni terus berjalan pantas mengambil tempat masing-masing.


B A B 2 H a d i a h u n t u k N u r u l


Pada suatu malam, sebuah keluarga sedang berkumpul di ruang tamu. Wani sedang membuat kerja sekolah, manakala ibu dan ayahnya sedang menonton televisyen. Wani bersikap lain dari biasa. Dia hanya diam tanpa sebarang kata.


Ibu dan ayah Wani memandang antara satu sama lain kerana amat mengenali akan sikap anak tunggal mereka itu. “Wani, kamu ada masalah? Kongsi pada ibu dan ayah, ” kata ibu Wani. Wani menjelaskan perkara yang berlaku dengan riak wajah yang sedih. Demi melihat senyuman di wajah Wani, ayahnya mengajak untuk pergi ke kedai buku pada esok hari. Wani gembira kerana dapat menghadiahkan buku kepada Nurul.


Keesokan paginya... Setelah selesai membeli hadiah kepada Nurul, Wani berdiri seorang diri di luar kedai buku. Dia sedang menunggu ayahnya ke tandas. Wani melihat hadiahnya, iaitu buku nota bercorak dan pensel berwarna sambil tersenyum seorang diri. ‘Nurul pasti suka!’ bisik Wani di dalam hati.


Tiba-tiba, seorang budak lelaki bersama seorang lelaki dewasa jalan menghampirinya. “Wani! Kau buat apa dekat sini?” kata Kamal. “Oh, Kamal. Saya membeli hadiah kepada Nurul sambil menunggu ayah saya, ” jawab Wani. Kamal dengan senyuman yang sinis ingin melihat hadiah tersebut. “Apa yang kau beli, Wani? Mesti murah, ” kata Kamal. Wani hanya memandang muka Kamal tanpa sebarang kata.


“Wani, jom. Ayah dah selesai, ” ajak ayah Wani. Wani berlari ke arah ayahnya dan mencapai tangan untuk berjalan bersama-sama ke motosikal. Kamal memandang dengan perasaan yang penuh cemburu. “Ah sudahlah! Jom Pak Hami, kita pergi ke kedai itu. Saya ingin membeli cawan yang paling mahal kepada Hani, ” ajak Kamal dengan nada yang tinggi.


B A B 3 T e r i m a K a s i h , W a n i !


Hujung minggu yang ditunggu oleh murid-murid 5 Harmoni telah tiba. Rumah Nurul dipenuhi oleh rakanrakannya dan jiran terdekat. Kamal tiba ke rumah Nurul dengan memegang sekotak hadiah yang terbalut rapi. Wani hanya melihat riak wajah Kamal yang sombong itu.


Sewaktu ingin mengambil makanan, Kamal ternampak Wani seorang diri. Dia menghampiri Wani dengan berkata “Hai Wani, kau mesti penat kan datang sini jalan kaki. Kesian kau, aku naik kereta kena penyaman udara, ”. “Taklah, Kam...” belum sempat Wani menghabiskan ayatnya, Nurul berdiri di hadapan kek dan mereka menyanyikan lagu “Selamat Ulang Tahun” bersamasama.


Para tetamu menikmati hidangan pada petang tersebut. Kamal sedang berjalan ke arah Amir, tiba-tiba dia terlanggar meja hadiah. “Pap!” bunyi sekotak hadiah terjatuh dengan sangat kuat. Dia cepat-cepat meletakkan semula hadiah itu di atas meja. ‘Aduh bagaimana dengan hadiah Nurul ini? Sudah tentu cawan itu akan pecah, ’ bisik Kamal dalam hati seorang diri.


“Baiklah semua. Sekarang kita akan ke sesi membuka hadiah, ” kata ibu Nurul. Semua tetamu bertepuk tangan kecuali Kamal yang risau akan keadaan hadiahnya di dalam kotak tersebut. Wani hanya melihat dari jauh tingkah laku Kamal yang pelik itu. Nurul dengan wajah gembira memilih kotak yang kecil terlebih dahulu. “Wah, saya dapat buku nota dan pen berwarna! Cantiknya!” jerit Nurul keseronokan. Dia terus melihat kad ucapan untuk mengetahui nama pemberi.


“Wani, pandainya awak beli hadiah kepada saya! Terima kasih Wani, ” kata Nurul lagi. Wani mengucapkan sama-sama sambil ketawa melihat kerenah Nurul yang amat gembira itu. Kamal cemburu dengan situasi tersebut.


B A B 4 D i S e b a l i k H a d i a h


Sudah tiba hadiah yang terakhir, Kamal melihat Nurul memegang hadiahnya untuk dibuka. Degupan jantung Kamal semakin laju. “Alamak!!!” kata Nurul sambil menutup mulut dengan kedua tangannya. Para tetamu terkejut dengan reaksi Nurul. Kamal hanya menundukkan mukanya.


“Hadiah ini sudah pecah!” sambung Nurul. Dia terus melihat kad ucapan dan mendapati bahawa pemberinya ialah Kamal. “Kamal, cawan kau dah pecah, ” kata Nurul dengan nada kecewa. “Aduh, Nurul! Aku minta maaf. Aku yang bagi jatuh hadiah ini tadi, ” kata Kamal. Malangnya, pemberian yang mahal itu hanya sia-sia.


Kamal berasa amat malu dengan kejadian tersebut. Dia terngiangngiang akan sikapnya yang sering mengejek Wani. Jam sudah menunjukkan 6:00 petang. Tinggallah Wani, Kamal, Amir dan Fairuz sahaja di rumah Nurul. “Kamal, kau ambillah semula cawan kau ini. Nurul tidak boleh guna untuk minum, ” kata Fairuz. Amir cuba menutup mulut Fairuz. Kamal hanya memandang mereka berdua kerana masih berasa malu.


Wani memanggil Kamal untuk berada di halaman rumah Nurul. Kamal berfikir Wani ingin mengejeknya semula. “Kamal, aku bersimpati dengan kejadian yang menimpa kau sebentar tadi. Aku harap kau bersabar, ” kata Wani. Kamal terkejut dengan kata-kata Nurul.


“Aku cemburu apabila melihat Nurul begitu seronok dengan hadiah kau, ” kata Kamal. “Kerana itulah pentingnya keikhlasan. Aku hanya memberi hadiah mengikut kemampuanku. Lagipun Nurul itu rakanku jadi aku ingin beri tanpa niat ingin bertanding dengan sesiapa, ” jelas Wani.


Hati Kamal menjadi sedikit tenang selepas perbualan itu. Kamal menyedari bahawa Wani mempunyai hati yang sangat baik. Dia tidak pernah membalas perbuatannya, malah memberi nasihat selepas kejadian yang memalukan itu. “Wani, aku ingin meminta maaf atas perbuatanku yang sering mengejek kau. Aku sebenarnya cemburu. Kau hidup dalam kekurangan, tetapi kau mendapat kasih sayang yang cukup daripada ibu dan ayah. Ibu dan bapaku sering tiada di rumah. Kau juga murid yang paling pandai di dalam kelas.” jelas Kamal atas tindakannya selama ini.


“Jadi kerana itulah kau bersikap sebegitu padaku. Tidak mengapa Kamal, kita boleh belajar bersamasama. Soal ibu dan ayah pula, kau boleh sahaja datang ke rumahku untuk makan bersama-sama. Lagipun aku anak tunggal. Ibu dan ayahku pasti gembira jika kau ada, ” kata Wani.


Sejak dari itu, Kamal sudah insaf atas perbuatannya selama ini. Dia sedar bahawa pemberian hadiah tidak dinilai pada harga murah atau mahal. Akan tetapi, keikhlasan kita untuk memberi. Dia juga menyedari bahawa dia tidak patut menghina sesiapa sahaja yang kurang bernasib baik dari segi kewangan. Hal ini kerana setiap kehidupan pasti ada takdir hidupnya masing-masing.


T A M A T


Nama penulis ialah Norazwa binti Darus. Beliau lahir di Hospital Taiping pada 8 Jun 2003. Awal pendidikannya adalah di SK Padang Gajah dan menyambung ke sekolah menengah di SMK Tat Beng. Anak kelahiran jati Perak ini terus menyambung pelajarannya di IPGMK Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. “Siapa yang Ikhlas” ini merupakan karya penulisannya yang pertama dalam melengkapkan pentaksiran berterusan bagi kursus BMMB3283 Kesusasteraan Kanak-Kanak Dalam Pendidikan Bahasa Melayu. Buku kanak-kanak ini sesuai untuk dibaca oleh kanak-kanak berumur 10-12 tahun. Kanak-kanak dapat membaca buku ini dengan memperoleh banyak pengajaran tentang kehidupan realiti yang dikaitkan dengan realiti hidup kanak-kanak. Melalui tajuk “Siapa yang Ikhlas” , mari kita baca untuk tahu makna di sebalik ikhlas ini.


Click to View FlipBook Version