Pengorbanan
Seorang Ibu
Matahari telah tinggi di atas kepala. Ainun
dan ibunya, Puan Azizah ke pasar mini
berdekatan. Sebelum masuk ke dalam pasar
mini tersebut, mata Ainun telah tertumpu
pada beberapa biji coklat yang berada di
atas kaunter di situ. Ainun terus melintas
jalan tanpa melihat ke kiri dan ke kanan.
Ainun berlari sambil memegang kain baju
kurungnya ke arah kaunter itu seperti
Cinderella, tetapi yang ini versi lain sedikit.
Versi yang ini memakai baju kurung,
bertudung, dan agak berisi. Muslimah sedikit.
“Ainun , hati-hati!” laung Puan Azizah dari
tempat parkir kereta.
Pap!
Kuat kedengaran hentakan Ainun pada
pintu automatik pasar mini tersebut. Semua
orang terkejut melihat wajah Ainun yang
montel itu terlekat pada pintu automatik
pasar mini yang lut sinar tersebut. Ada yang
terpinga-pinga melihat Ainun di muka pintu,
ada yang menangis, ada yang buat tak tahu,
ada yang tahan gelak. Macam-macamlah.
Ainun tahan nangis. Ainun teringatkan
kata-kata yang selalu diucapkan oleh ibunya
jika sakit.
“Anak ibu ni kan kuat, gagah perkasa.”
Begitulah kata-kata ibunya. Di samping itu,
Puan Azizah menunjukkan otot lengannya.
Lemak sahaja lebih. Anak dengan ibu sama
sahaja. Bak kata pepatah, ‘Bagaimana acuan,
begitulah kuihnya’.
Puan Azizah segera ke muka depan pintu
pasar mini. Kasihan melihat anaknya itu.
Habis merah pipi Ainun yang montel itu
terlanggar dengan pintu automatik tersebut.
“Sakitlah ibu, rasa macam kena tampar
sahaja,” kata Ainun sambil mengusap
pipinya yang kemerah-merahan itu.
“Anak ibu kan kuat macam besi. Sudah,
jangan lari-lari,” pujuk Puan Azizah. Sudah
agak, mesti Puan Azizah akan berkata begitu.
Ainun mengangguk dan berjalan ke arah
kaunter yang terdapat beberapa biji coklat
di dalam kotak. Dia melihat satu per satu
coklat itu untuk memilih jenis yang paling
sedap. Dia tertarik pada sebiji coklat. Di atas
pembalut coklat itu tertera perkataan ‘5 in
1’, Ainun memberitahu kepada ibunya
bahawa dia mahu coklat itu. Tetapi, Puan
Azizah tidak memberi kebenaran kerana
harganya cukup mahal.
Ainun pulang ke rumah dengan muka yang
murung. Puan Azizah sudah banyak kali
memujuknya, tetapi langsung tidak memberi
keberkesanan.
*****
Pada keesokan harinya, selepas solat isyak,
Puan Azizah mengeluarkan sebuah kotak
panjang yang comel siap bereben dan
memberikannya kepada Ainun.
Ainun mengambil kotak itu dan bertanya.
“Apa isi di dalam kotak ini, ibu?” Soalan itu
diucapkan oleh Ainun dengan cukup hairan.
“Bukalah kalau mahu tahu,” kata Puan
Azizah dengan senyuman yang manis.
Ainun membuka simpulan reben itu dan
mengangkat topi kotak itu. Ainun gembira
tak terhingga apabila dapat diketahui isi
kotak itu ialah coklat yang dikehendakinya
semalam di pasar mini. Ainun mendakap
erat tubuh Puan Azizah. Puan Azizah masih
lagi dengan senyumannya itu.
“Terima kasih ibu, sayang ibu.” Kata-kata
itu diluahkan dengan gembira oleh Ainun.
‘Ya Allah, betapa besarnya pengorbanan
seorang ibu itu Ya Allah,’ kata Ainun dalam
hati. Sehingga kini, Ainun masih membeli
coklat itu. Tambahan, Ainun kini
mempunyai syarikat coklatnya sendiri
“Tamat. Begitulah pengorbanan seorang ibu.
Ibu sebenarnya sanggup mengorbankan apa-
apa sahaja demi melihat anaknya bahagia.
Jadi pengajarannya ialah janganlah kita
menyusahkan ibu bapa kita. Kadang-kadang,
perkara remeh ialah perkara yang sangat
penting untuk diri kita. Jadi, Syahida dan
Aina jangan lupa untuk hargai ummi,” kata
Ainun kepada anak-anaknya.
“Baik, ummi,” jawab anak-anak Ainun.
“Ainun sayang, mari makan. Sudah selesai
hidang ni”laung Puan Azizah sambil
memegang mangkuk yang berisi lauk di
dapur.
“Baik, ibu.”jawab Ainun di dalam bilik. Dia
sedang menyiapkan kerja sekolahnya.
“Ummi, ummi,” panggil Aina sambil
menggoyang-goyangkan peha ibunya.
“Oh, ada apa?” tanya Ainun sambil
mengelap air matanya dengan hujung
lengan bajunya. Dia terkenangkan arwah
ibunya.
“Aina nak makan,” kata Aina yang
kelaparan.
“Okey, okey. Mari kita makan,” kata Ainun
kepada anaknya.