JOHOR
1. Anda merupakan pengerusi kelab pencinta haiwan di sekolah anda. Anda diminta untuk
menyampakan ceramah dalam perhimpunan sekolah. Tajuk ceramah ialah “Cara-cara Murid
Menyayangi Haiwan”.
Sediakan teks ceramah anda selengkapnya.
2. Anak-anak perlu dididik untuk menggunakan barangan buatan Malaysia.
Huraikan peranan ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak membeli barangan buatan
Malaysia.
NOTA: Rujuk soalan yang hampir sama dengan SMK CHUNG HWA MIRI di atas.
3. Tanggungjawab pelbagai pihak untuk memajukan industri pelancongan berasaskan alam
semula jadi wajar dilakukan demi kebaikan rakyat dan negara.
Ulaskan pernyataan di atas.
NOTA: Atas ihsan saya masukkan semula sampel penuh jawapan soalan ini yang dipetik dalam
MMM Edisi 2017, ms 55.
Industri pelancongan merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara.
Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh pihak kerajaan dan pihak lain yang terlibat
untuk memanfaatkan semua potensi yang ada dalam usaha memajukan industri pelancongan.
Mengikut laporan agensi penarafan antarabangsa tentang pelancongan, Malaysia diletakkan
pada kedudukan kesepuluh dalam kalangan negara yang gemar dilawati. Hal tersebut bertepatan
dengan kedudukan Malaysia yang sangat dikenali di seantero dunia sebagai destinasi pelancongan
yang menarik, murah, dan eksotik. Berdasarkan Portal MyTourism, kunjungan pelancong ke Malaysia
pada tahun 2018 berjumlah 25.83 juta orang dengan anggaran tukaran asing sebanyak RM82.2
bilion. Jajaran tersebut menunjukkan sektor pelancongan terus menjadi penyumbang utama
ekonomi negara. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan dan semua pihak yang terlibat harus
memanfaatkan semua potensi daya tarikan pelancong agar industri ini terus berdaya saing.
Memandangkan industri pelancongan menduduki tempat ketiga sebagai penyumbang
ekonomi negara, maka gemblengan usaha hendaklah diterajukan oleh pihak kerajaan melalui
agensi-agensinya. Agensi-agensi yang berkaitan dengan industri pelancongan seperti Kementerian
Pelancongan, Jabatan-jabatan Pelancongan negeri, Kementerian Luar Negeri, dan Kementerian
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 51
Kebudayaan dan Komunikasi hendaklah memainkan peranan yang aktif. Pihak yang terbabit perlu
mengambil tanggungjawab untuk merancangkan pelbagai program promosi dan ‘menjualkan’ nama
Malaysia di persada dunia. Kementerian Pelancongan hendaklah mempunyai KPI yang jelas untuk
menentukan sasaran kemasukan pelancong. Oleh itu, peluang yang terbaik ialah pihak kementerian
mengambil kesempatan daripada kedudukan strategik Malaysia untuk laluan pelancong ke
Singapura, Indonesia, dan Thailand yang sememangnya memiliki daya tarikan yang tersendiri.
Inisiatif seterusnya hendaklah turut digerakkan oleh sektor swasta juga. Memandangkan
industri pelancongan merupakan salah satu lombong emas, justeru pihak swasta tidak boleh terlepas
pandang dalam menyokong matlamat negara untuk menjayakan industri pelancongan. Langkah
paling strategik pihak swasta hendaklah menyokong dan mengambil bahagian dalam program
galakan pelancong di luar negara. Pihak swasta terutama konglomerat utama seperti YTL, Kumpulan
Genting, FELDA, Perbadanan Kemajuan Negeri hendaklah lebih gigih membangunkan prasarana
pelancongan seperti kemudahan penginapan dan pengangkutan. Pihak swasta hendaklah
memanfaatkan peluang daripada program dan penganjuran antarabangsa oleh pihak kerajaan
seperti pameran LIMA, penganjuran sukan dan konvensyen. Pendek kata, kemudahan infrastruktur
dan prasarana hendaklah digemblengkan secara bersama oleh pihak kerajaan dan swasta bermula
dari pelancong menjejakkan kaki hinggalah mereka pulang dengan senyuman puas.
Manakala Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar
hendaklah menjaga dan memperindah kawasan jagaan masing-masing. Semua pihak sudah maklum,
kunjungan pelancong asing ke sini bermatlamat untuk menghirup udara dan persekitaran yang
nyaman dan indah. Dengan hal demikian, pihak terbabit wajar mengutamakan aspek kebersihan dan
keindahan landskap alam. Semua potensi bumi seperti sungai, laut dan gunung perlu dikekalkan
kelestariannya. Pihak berkenaan perlu mengambil inisiatif mewartakan tempat-tempat tersebut
seperti yang dilakukan oleh Thailand yang mewartakan semua pulau sebagai taman laut. Pulau-pulau
seperti Phuket, Koh Adang, Koh Lanta, Koh Samui dan banyak lagi kini menjadi syurga pelancong dan
pusat ‘lombong emas’ kepada negara Thai. Malaysia juga bukan kurang dengan potensi tersebut
kerana beberapa destinasi utama seperti Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Redang, dan gunung
Kinabalu semakin mendapat tempat di hati pelancong. Tegasnya, sudah tiba masa kita belajar
daripada kejayaan negara jiran tersebut dalam usaha memanipulasikan sumber alam sebagai dana
kekayaan negara.
Potensi yang tidak kurang pentingnya juga ialah manfaat daripada kepelbagaian masyarakat,
budaya dan adat resam yang terdapat di Malaysia. Potensi ini merupakan simpanan tetap kepada
pakej tarikan pelancong ke Malaysia. Variasi daripada pemajmukan masyarakat sama ada di
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 52
Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak amatlah bernilai untuk didedahkan kepada
pelancong. Variasi majmuk itu bukan sahaja dalam aspek manusianya, malahan dalam hal yang
berkaitan dengan cara hidup, budaya dan agama. Bermula dengan cara berpakaian, budaya dan adat
resam serta makanan semuanya menunjukkan kekayaan nilai tradisi kaum-kaum di Malaysia.
Kepelbagaian ini jika dimasukkan ke dalam pakej tarikan pelancong sudah tentu boleh memikat
kunjungan mereka ke Malaysia. Oleh itu, keenakan makanan di Malaysia seperti roti canai, nasi
lemak, kuih-muih tradisional dan pelbagai jenis juadah yang mewakili etnk tertentu hendaklah
diketengahkan. Sudah pasti, sekali jamah pasti hendak lagi.
Langkah lain yang sangat strategik ialah penglibatan aktif duta-duta di luar negara. Semua
rakyat Malaysia yang berada di luar negara hendaklah mengambil peluang menarik minat lebih
ramai pelancong. Di peringkat kerajaan, duta-duta di luar negara hendaklah mengadakan program
menjelajah ke merata pelosok untuk mempromosikan program tarikan pelancong. Selain itu,
kumpulan terbesar iaitu pelajar Malaysia di seberang laut hendaklah bijak berkomunikasi dengan
strategi sambil menyelam minum air untuk menyampaikan mesej yang jelas tentang Malaysia.
Sebagai generasi muda yang mempunyai ilmu pengetahuan, mereka sewajarnya boleh menjadi misi
negara untuk menerangkan pelbagai keistimewaan Malaysia tentang pola budayanya, pelbagai cita
rasa makanannya dan tentang indahnya bumi permata yang suatu ketika dahulu pernah dikenali
sebagai ‘Semenanjung Emas’. Pendek kata, jikalau potensi ini digembelngkan secara bijak maka kos
pengiklanan pelancongan dapat diminimumkan.
Sebagai sebuah negara yang aman dan harmoni, Malaysia amat strategik untuk dikunjungi
oleh pelancong-pelancong sama ada dari timur atau barat. Peluang harus dimanfaatkan dengan
sebaik-baiknya pada masa ini apabila Malaysia begitu popular kepada pelancong dari Timur Tengah
dan Asia Timur jauh. Peluang yang sedia terhidang hendaklah bijak direbut, bak kata peribahasa
rezeki jangan ditolak, aral jangan diraih.
4. Usaha membanteras aktiviti penyeludupan seperti penyeludupan manusia, barangan dan
haiwan perlu ditingkatkan oleh Malaysia dan negara-negara jiran.
Jelaskan usaha-usaha tersebut.
5. Peribahasa ‘Muafakat membawa berkat’ bermaksud kejayaan dapat dicapai sekiranya
masyarakat bersatu dan mengamalkan sikap bekerjasama.
Bincangkan kepentingan-kepentingan sikap bekerjasama dalam kehidupan bermasyarakat.
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 53
NEGERI SEMBILAN
1. Kejayaan cemerlang seseorang murid banyak bergantung pada amalan disiplin yang tinggi.
Bincangkan.
NOTA: Sila padankan soalan ini dengan sampel sedia ada dalam modul saya 2015.
“Disiplin Sebagai Teras Kejayaan”. Demikianlah sebuah tajuk pidato yang telah anda sampaikan
dalam satu pertandingan pidato di peringkat sekolah anda.
Tulis semula teks pidato itu selengkapnya.
Assalamualikum dan salam sejahtera,
Yang saya hormati Pengacara Majlis. Tuan-tuan Panel Hakim yang sentiasa peka dengan misi
keadilannya. Yang Berusaha, Tuan Pengetua dan seterusnya guru-guru serta rakan-rakan
seperjuangan yang dihormati sekalian.
Hadirin sekalian,
Pada waktu ini saya sedang berdiri di hadapan saudara dan saudari. Hadirin sekalian begitu
setia untuk menghayati setiap kata yang bakal saya titipkan. Kita bersama-sama menghayati suatu
wadah keilmuan dalam suasana yang tenang dan harmoni. Peserta, masing-masing dapat berhujah
dalam kapasiti dan kemampuan masing-masing. Soalannya, mengapakah kita mampu mewujudkan
situasi yang sedemikian rupa? Semuanya terjawab dengan sendirinya kerana kita masih
mempertahankan disiplin yang baik, saling membantu dan saling menyokong. Lantas, hadirin
sekalian marilah bersama-sama saya kita lunasi suatu wacana yang bakal saya hidangkan kepada
anda dengan mauduk wacana saya, “Disiplin Teras Kejayaan”.
Hadirin sekalian,
Disiplin Teras Kejayaan ialah rangkuman konsep yang menyatakan suatu sistem tatacara
mengurus diri yang betul pasti menatijahkan kejayaan dalam setiap urusan dan tindakan kita.
Sehubungan dengan itu, disiplin menjadi jurupandu untuk seseorang memperoleh kejayaan dalam
mencapai sesuatu sama ada belajar, bekerja dan melunaskan rutin harian. Pesan orang tua-tua,
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 54
“Mengaji dari alif, membilang dari esa, hujan berpokok, dan kata berpangkal”. Segala-galanya
perlu kita lalui dalam proses dan sistem yang betul.
Sejarah telah menjadi sumber rujukan yang paling penting kepada kita akan kejayaan tokoh-
tokoh terkemuka. Kejayaan yang telah dikecapi oleh mereka adalah dengan berkat disiplin yang
tinggi. Sama ada dalam bidang keilmuan atau kerjaya semuanya memerlukan disiplin. Lihatlah
betapa sengsaranya Thomas Alva Edison dalam usahanya untuk menyumbangkan cahaya kepada
alam sejagat. Beliau memerlukan ketelitian dan disiplin yang amat tinggi. Begitulah tokoh-tokoh
dalam bidang keilmuan seperti Socrates, Plato, Aristotle, Imam Al Ghazali, Imam Shafie dan
sebagainya. Mereka bangkit sebagai personaliti dunia yang menyemarakkan budaya ilmu melalui
disiplin yang tinggi.
Rakan-rakan sekalian,
Ketika sedang mendaki tangga kejayaan, ingatlah tiada tonik dan kapsul lain yang lebih
mujarab boleh membantu kita mencapai matlamat melainkan dengan amalan disiplin. Tanpa disiplin
hasrat kita akan longlai, urusan kita tidak langsai, justeru impian kita akan berkecai. Kita akan
kecundang di tengah-tengah medan perjuangan. Oleh sebab itu, kita perlu bermuhasabah diri,
memilih segala-gala yang baik dengan mengetepikan perkara-perkara yang dangkal. Uruslah diri
anda, merancang masa dan mengurus personel yang baik. Kita perlu memiliki hala tuju yang betul,
cita-cita yang jelas, dan sanggup menterjemahkan matlamat hidup dalam perancangan yang teliti.
Inilah sumber orang-orang yang pasti berjaya.
Ingatlah, untuk berjaya kita mesti merancang sistem belajar yang betul, rutin harian yang
terancang, dan sentiasa meletakkan perkara-perkara yang positif sebagai keutamaan. Bayangkanlah!
Tanpa disiplin, berapa banyakkah masa yang dibazirkan untuk menekan butang telefon semata-mata
berceloteh dalam WhatsApp, Facebook, Twitter dan Instagram? Tanpa disiplin, berapa lamakah
masa yang berlalu dengan hanya asyik berserakah dengan rakan-rakan? Semakin lama kita melayani
perkara-perkara yang membazir, justeru semakin jauhlah kita dihanyutkan oleh ilusi tanpa realiti.
Kita telah membazir masa dan usia, bak seratus tahun bah melanda kapar tetap tidak berlalu.
Saudara dan saudari,
Peribahasa menyatakan, meminta pada yang ada, bertanya pada yang tahu dan tuah
jangan ditolak, rezeki harus dituntut. Masa dan peluang harus kita kejar. Demi menjadi insan yang
berguna pada masa depan, uruslah disiplin dengan cara yang terbaik. Rujukan kita mesti kepada
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 55
tokoh-tokoh yang telah berjaya. Merekalah yang menjadi idola kita. Gerak dan langkah mereka, cara
berfirkir dan cara mereka merancang hidup hendaklah dijadikan panduan. Mereka yang telah
berjaya mungkin para pemimpin, para guru, malah rakan-rakan kita. Kita wajar memiliki perasaan
cemburu terhadap kejayaan orang lain demi menyaingi mereka secara sihat.
Setelah kita menyediakan strategi memburu kejayaan secara terancang, kita juga perlu
berhati-hati kerana dalam setiap masa dan apa-apa keadaan pun pelbagai dugaan boleh mengancam
konsentrasi. Oleh itu, jauhilah parasit dan pengaruh yang boleh merosakkan diri. Orang-orang yang
tidak berdisiplin sentiasa berdampingan dengan anasir-anasir yang tidak berfaedah. Berwaspadalah
terhadap pengaruh hiburan yang berlebih-lebihan. Elakkan bergaul dengan rakan-rakan yang tidak
mempunyai maltlamat dan hilang jati diri. Elakkan diri terjebak dalam kegiatan negatif seperti
melepak, berpelesiran, lumba haram dan seribu satu macam lagi angkara antimoral yang sedang
menunggu untuk menjeratkan kita.
Rakan-rakan seperjuangan sekalian,
Sesungguhnya peribahasa ingat sebelum kena, jimat sebelum habis benar-benar mendidik
kita untuk mendisiplinkan diri. Tanpa disiplin tiada sekelumit pun kejayaan yang bakal diraih. Jikalau
inginkan kejayaan, berpeganglah kepada falsafah, “Disiplin Teras Kejayaan”.
Sekian terima kasih.
2. Ibu bapa memainkan peranan utama dalam pembentukan keluarga bahagia.
Berikan pendapat anda.
Pendahuluan: Kalangan bijaksana berpendapat bahawa, rumah ialah syurga kepada kehidupan,
namun ada kalanya boleh menjadi neraka. Pengertian daripada pendapat tersebut menerangkan
bahawa, rumah tangga menjadi nukleus utama yang dapat membentuk keluarga yang bahagia
mahupun di sebaliknya. Pelopor paling penting untuk melahirkan sebuah keluarga yang harmoni dan
bermawaddah tentulah ibu bapa. Elok corak yang dilakarkan nescaya eloklah keluarga yang dibina.
Sehubungan dengan perkara tersebut, ibu bapa memainkan peranan yang amat besar demi
mencorakkan sesebuah rumah tangga yang sentiasa dilingkungi oleh rahmat dan kasih sayang.
Isi 1: Ibu bapa hendaklah menjadi insan yang bertakwa dan patuh pada hukum Allah – insan
seperti ini sentiasa berfikiran positif dan mengetepikan perihal yang negatif – sentiasa memupuk
kecenderungan untuk hidup yang diredai di dunia mahupun akhirat – contoh teladan mudah dituruti
anak-anak
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 56
Isi 2: Ibu bapa mengutamakan pendidikan kekeluargaan dengan limpahan kasih sayang kepada
anak-anak – anak-anak yang diajari erti berkasih sayang lebih cenderung untuk saling hormat dan
saling menyokong
Isi 3: Ibu bapa berkomunikasi secara lembut dan sopan dengan anak-anak – melahirkan
persekitaran rumah tangga yang harmoni, sepakat dan memperoleh berkat
Isi 4: Anak-anak hendaklah dididik supaya patuh kepada ibu bapa – ibu bapa senang dengan sikap
anak-anak yang mudah ditunjuk ajar – tidak wujud jurang komunikasi – anak-anak yang patuh dan
akan menjadi ikon baik mengenalkan zuriat keturunan
Isi 5: Ibu bapa berusaha memperluas jalinan silaturahim dan persaudaraan dengan kaum keluarga
dan jiran tetangga – mendedahi anak-anak tentang cara hidup bermasyarakat yang harmoni –
wujud kasih sayang dan saling hormat dalam kalangan jiran tetangga
Penutup/Kesimpulan: Sesungguhnya keluarga menjadi markas utama untuk membentuk insan
penyayang lagi cemerlang. Anak-anak yang baik lagi hebat dalam bidang akademik mahupun sahsiah
ialah mereka yang membesar dalam sebuah keluarga yang harmoni. Anak-anak seperti ini menjadi
kebanggaan ibu bapa kerana mengenal pokok lihatlah daunnya. Oleh sebab itu, ibu bapa yang
berwawasan sentiasa memandang jauh ke hadapan dalam merintis jalan yang penuh bahagia untuk
anak-anak.
3. Kes kemalangan jalan raya menggusarkan banyak pihak terutamanya kerajaan dan ahli keluarga
yang terlibat. Sebagai ketua polis daerah, anda diminta menyampaikan ceramah yang bertajuk,
‘Punca dan Cara untuk Menangani Kes Kemalangan Jalan Raya’
Sediakan teks ceramah tersebut.
4. Menguasai pelbagai bahasa amat penting terutama dalam dunia tanpa sempadan. Banyak
faedah yang diperoleh jika kita menguasai pelbagai bahasa asing.
Ulaskan pernyataan ini.
Pendahuluan: Bahasa ialah lambang-lambang bunyi yang tersurat daripada hati nurani insan. Bahasa
menjadi penghubung secara fitrah yang diperoleh secara azali yang dikurniakan kepada setiap insan.
Bahasa boleh menyatukan manusia malah bahasa boleh menatijahkan perang. Allah SWT, Tuhan
yang maha kaya menganugerahi hamba-Nya dalam pelbagai rupa, warna kulit dan perbezaan yang
begitu ketara. Oleh sebab itu, bahasalah yang mengenalkan sesuatu bangsa dengan slogan, ‘Bahasa
Jiwa Bangsa’. Dalam era pasca-Milenium ini, interaksi antarabangsa semakin luas sejajar dengan
perkembangan teknologi maklumat (ICT). Sehubungan dengan perkara tersebut, keperluan
menguasai pelbagai bahasa adalah amat relevan kepada semua pihak agar jaringan komunikasi
global menjadi lebih lancar, efisien dan sofistikated. Sesungguhnya, amat banyak impak positif
apabila manusia sejagat mampu menguasai pelbagai bahasa yang merentas sempadan geografi,
bangsa dan budaya.
Isi 1: Dalam hubungan antara negara dan kerajaan penguasaan bahasa rentas sempadan dapat
mengakrabkan hubungan diplomatik.
- Wujud kemesraan antara pemimpin dan pegawai kerajaan silang negara
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 57
- Terbentuk hubungan baik dalam kalangan rakyat
- Mengendurkan rasa syak dan ragu
- Kemajuan ekonomi dan sosial antara negara berkembang dengan pantas
Isi 2: Dalam bidang pendidkan dan ilmu pula, penguasaan pelbagai bahasa menjadi jendela
mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan.
- Ilmu pengetahuan sentiasa berkembang dengan setiap bangsa memiliki keistimewaan
tertentu – (dunia Barat, Jepun dan Cina dalam bidang sains dan teknologi, Asia Tengah
dalam bidang pembinaan dan arkitek, dunia Arab dalam bidang agama dan falsafah)
- Boleh menuntut ilmu sacara terus tanpa perantaraan perterjemahan
Isi 3: Dalam sektor pelancongan, interaksi dan hubungan yang merentas benua, penguasaan
banyak bahasa ialah bonus yang terbaik.
- dapat menghayati sumber keindahan, budaya dan etika masyarakat setempat apabila
menguasai bahasa setempat dengan baik
- wujud jalinan kemesraan apabila tiada jurang berbahasa
- Interaksi masyarakat global semakin akrab – mengelakkan salah faham dan benci-membenci
kerana dibatasi oleh bahasa
Isi 4: Sementara dalam dunia perniagaan, pengetahuan pelbagai bahasa membantu urus niaga
berjalan dengan lancar.
- Era globalisasi kini, hubungan dagang berlaku dengan luas yang merentasi sempadan
antarabangsa.
- Interaksi pasaran global semakin aktif, mesra dan urus niaga lebih lancar
- mewujudkan situasi menang-menang dalam kalangan masyarakat peniaga apabila
kemampuan saling memahami dalam pelbagai bahasa
Penutup/Kesimpulan: Berdasarkan mafhum dalam Firman Allah yang menyatakan, “Aku jadikan
manusia dalam berbagai-bagai bangsa dan bahasa supaya manusia dapat saling berkenal-kenalan
dan berbaik-baik antara satu sama lain” membuktikan bahawa manusia perlu hidup dalam saling
memerlukan. Perbezaan bahasa bukan alasan untuk manusia berpecah dan meletakkan perasaan
buruk sangka antara satu dengan yang lain. Sebaliknya saling mempelajari dan saling memahami
bahasa silang budaya merupakan rahmat yang amat besar dalam mewujudkan kesepaduan umat
sejagat di atas muka bumi Tuhan yang luas terbentang ini.
5.Sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit.
Peribahasa di atas bermaksud melakukan sesuatu pekerjaan secara sedikit-sedikit yang akhirnya
akan memberikan hasil yang banyak.
Tulis sebuah cerpen berdasarkan peribahasa tersebut.
SALAM HORMAT DAN SELAMAT MAJU JAYA KEPADA SEMUA ANAK
DIDIK CALON SPM 2019 DI SEANTERO PELOSOK NUSA. ANDALAH
BUNGA KESUMA YANG BAKAL BERKEMBANG MEKAR.
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 58