3. Gerakan Reformasi
Gerakan Reformasi telah berjaya membebaskan masyarakat Eropah daripada kongkongan
gereja. Gerakan ini telah melahirkan aliran pemikiran baru seperti Protestan, Anglican dan
Presbyterianism. Pembaharuan diperlukan terhadap bidang keagamaan terutamanya dalam bidang
teologi kontemporari yang melihat hubungan manusia dengan tuhan. Ini membawa kepada
pembinaan gereja Protestan kebangsaan baharu. Dari reformasi ini lahirlah ahli-ahli teologi
terkemuka yang merupakan pengikut humanis seperti Erasmus, Zwingli, Thomas, Martin Luther dan
John Calvin. Pemikiran mereka berasaskan Bible dan tidak lagi bergantung kepada paderi. Hal ini
membolehkan idea baru seperti rasionalisme berkembang sekaligus meletakan asas bagi kelahiran
revolusi intelektual di Eropah.
4. Revolusi Sains
Revolusi sains juga memainkan peranan dalam perubahan pemikiran dan perkembangan
ilmu di Eropah. Revolusi ini memberi penekanan kepada ilmu dan akal yang membawa kepada
kemunculan idea-idea baru penyelidikan bercorak saintifik. Sebagai contoh Francis Bacon Isaac
Newton, John Locke merupakan sanintis yang memainkan peranan penting dalam merancakkan
perkembangan ilmu di Eropah.
5. Kegiatan penerokaan dan penjelajahan
Kegiatan penerokaan dan penjelajahan yang pesat berlaku di Eropah juga merupakan faktor
kepada perubahan pemikiran dan perkembangan ilmu. Kegiatan ini menyebabkan bangsa Eropah
memperoleh maklumat tentang bangsa dan budaya lain. Perkembangan ini melahirkan corak
pemikiran baru yang berasaskan empiris dan sebab musabab.
6. Golongan terpelajar
Golongan terpelajar daripada kelas pertengahan turut memainkan peranan penting. Mereka
meninggalkan tabiat lama yang tidak sesuai dengan zaman baharu. Mereka terdiri daripada golongan
berpendidikan, professional dan borjuis yang peka terhadap perkembangan luar. Mereka terdedah
kepada perkembangan semasa menerusi surat khabar dan majalah yang diterbitkan.Perkembangan
ini menyebabkan berlaku permintaan tinggi untuk kamus, ensaiklopedia dan karya-karya pelbagai
disiplin ilmu pengetahuan. Tegasnya kemunculan golongan ini telah meletakan asas kepada peru-
bahan dan perkembangan pemikiran dan ilmu di Eropah.
Kesimpulan
Eropah muncul sebagai tempat yang subur untuk idea-idea baru pada abad ke-18
masihi. Perkembangan ini meletakan asas kepada kelahiran Zaman Pencerahan di Eropah pada
abad ke-18 Masihi.
47
Soalan 27: Kemunculan Zaman Pencerahan telah menyebabkan perkembangan pemikiran dan
kemajuan ilmu dalam bidang politik, ekonomi dan sosial di Eropah pada bad ke-18 Masihi.
Bincangkan.
Pendahuluan
Menjelang abad ke-18 Masihi muncul zaman yang dikenali sebagai Zaman Pencerahan atau
Zaman Enlightment. Zaman ini melahirkan masyarakat yang bersifat terbuka berdasarkan konsep
toleransi, kebebasan dan tidak dikongkong oleh gereja. Tegasnya zaman ini telah meninggalkan
kesan dalam bidang politik,ekonomi dan sosial.
Isi-isi Penting
1. Perkembangan Politik
Muncul raja-raja enlighted despot
Raja-raja enlighted despot seperti Federick The Great dari Prussia, Joseph II dari Austria dan Peter
The Great dari Rusia telah memerintah dengan penuh kesedaran dan menggunakan kuasa politik
untuk membaiki taraf hidup manusia. Antara tindakan yang mereka lakukan adalah :
i) Raja-raja melaksanakan pemusatan kuasa untuk menghapuskan keistimewaan yang dinikmati
oleh provinsi. Dalam teori politik, mereka percaya bahawa kuasa ialah suatu kepercayaan daripada
masyarakat. Doktrin ini telah menggalakkan penentangan radikal terhadap pemerintahan mutlak.
Pemerintah melihat negara sebagai entiti suci dan raja memajukan negara tanpa batas.
ii) Pembaharuan sistem pentadbiran adalah salah satu kesan perkembangan politik pada zaman
pencerahan. Contohnya Raja Federick Agung mewujudkan perkhidmatan awam yang cekap dan
menyeragamkan undang-undang. Raja Joseph II membebaskan golongan serf yang terikat di bawah
sistem feudalisme. Raja-raja berusaha untuk menggantikan pegawai tradisi dengan birokrat yang
terlatih untuk memodenkan pentadbiran negara tanpa campur tangan raja.
iii) Sistem percukaian juga mengalami perubahan, contohnya raja-raja telah menghapuskan imuniti
golongan bangsawan daripada membayar cukai. Pentaksiran cukai adalah berdasarkan kemampuan
penduduk.
iii) Zaman Pencerahan juga menyaksikan kemunculan reformasi dalam bidang kehakiman,
contohnya kod undang-undang yang seragam diperkenalkan berasaskan prinsip yang rasional dan
berperikemanusiaan. Pemerintah menolak hukuman berat dan penyeksaan terhadap pesalah.
Tegasnya Undang-undang pada zaman ini berteraskan prinsip semua warganegara adalah sama
di sisi undang-undang.
2. Perkembangan Ekonomi
i) Memajukan sektor pertanian
Kerajaan mengambil langkah memajukan sektor pertanian seperti meluaskan kawasan pertanian,
membuka kawasan pertanian baru, memperkenalkan tanaman baru dan kaedah pertanian baru. Sis-
tem Serfdom yang tidak berperikemanusiaan dan tidak ekonomik telah dihapuskan. Petani-petani
dibenarkan meninggalkan manor dan mula melibatkan diri dalam bidang industri di bandar.
ii) Memajukan sektor perindustrian
Sektor perindustrian turut berkembang pesat. Contohnya raja-raja telah mengambil langkah seperti
menghapuskan dasar dansistem yang menghalang pertumbuhan industri. Contoh tindakan yang di-
ambil ialah menghapuskan sistem ekonomi merkantil, keistimewaan provinsi dan imuniti bandar.
Kemudahan infrastruktur seperti jalanraya , sungai, terusan dan pelabuhan dibangunkan.
48
iii) Memajukan sektor perdagangan
Pemerintah juga mengambil langkah-langkah untuk menggalakkan sistem perdagangan bebas.
Contohnya sekatan kastam dalam negeri dikurangkan bagi merangsang pertumbuhan perdagangan.
Perkembangan Sosial
i) Perkembangan falsafah idea progresif
Perkembangan falsafah idea progresif amat berpengaruh dalam masyarakat. Mereka percaya
bahawa kehidupan akan menjadi lebih baik daripada zaman nenek moyang mereka dan mereka
berusaha menyumbang kepada kehidupan yang lebih baik untuk generasi akan datang.
ii) Pengurangan kuasa gereja
Raja-raja mengambil langkah untuk mengurangkan kuasa gereja. Contohnya mengurangkan
kuasa Pope dalam hal pelantikan pegawai-pegawai institusi gereja. Disamping itu, agen-agen dari
Rom hilang kuasa untuk melawat monastri gereja. Institusi monastri dihapuskan dan hak milik
institusi itu dirampas.
iii) Sistem pendidikan dimodenkan
Sistem pendidikan dimodenkan contohnya pendidikan di peringkat universiti, sekolah rendah dan
menengah telah diperluaskan. Mata pelajaran praktikal dan kaedah moden disatukan untuk
melatih pegawai-pegawai awam.
Kesimpulan
Zaman Pencerahan telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam bidang politik, ekonomi
dan sosial. Perubahan-perubahan tersebut telah meletakkan asas bagi kemunculan Eropah yang
lebih progresif.
Soalan 28 : Bincangkan idea yang diketengahkan oleh Adam Smith pada Zaman Pencerahan
di England pada abad ke-18 Masihi.
Pendahuluan
Pada abad ke-18 Masihi muncul ramai ahli ekonomi di England. Mereka mengemukakan
idea-idea bagi menyelesaikan masalah ekonomi selepas negara berkenaan mengalami Revolusi
Perindustrian. Antara ahli ekonomi yang terkenal ialah Adam Smith. Beliau dilahirkan di Kirckcaldy,
Fife, Scotland pada tahun 1723 dan meninggal dunia pada 17 Julai di Edinburgh. Beliau telah
memberi sumbangan idea dalam Zaman Pencerahan terutamnya dalam bidang ekonomi moden.
Isi-isi Penting
1. Disiplin ekonomi moden
Beliau ialah pengasas kepada disiplin ekonomi moden. Buktinya beliau telah
memperkenalkan teori yang mengatakan seseorang individu boleh membina kehidupan bermoral dan
berekonomi tanpa bimbingan atau arahan negara. Tambahan lagi sesebuah negara akan menjadi
kuat apabila rakyatnya bebas. Menurut beliau, kerajaan tidak harus melibatkan diri dalam hal ehwal
ekonomi dan perdagangan. Adam Smith menyebarkan doktrin laissez-faire di England dengan
menubuhkan institusi yang dikenali sebagai School of Political Economy. Idea perdagangan bebas
yang disebarkan oleh Adam Smith mendapat perhatian ahli-ahli ekonomi seperti Ricardo dan Thomas
Maltus.
2. Mengkritik sistem ekonomi merkantilisme
Adam Smith mengkritik sistem ekonomi merkantilisme yang diamalkan di Eropah. Beliau
menolak tindakan yang dilakukan oleh kerajaan untuk mengawal koloni tanah jajahan. Menurut
49
beliau, semua tanah jajahan akan berkembang jika diberi kebebasan untuk menjalankan aktiviti
masing-masing. Beliau turut menyelar tindakan negara-negara bangsa mengawal tanah-tanah
jajahan secara politik. Tindakan sedemikian akan meningkatkan beban kewangan negara induk.
Kritikan ini turut ditujukan kepada monopoli yang dilakukan oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris
3. Teori faedah mutlak
Adam Smith menganjurkan teori yang dikenali sebagai faedah mutlak dalam karya Wealth of
Nation. Beliau menyarankan agar sesebuah negara menghasilkan barangan yang mempunyai
permintaan yang tinggi. Selain itu, barangan yang dihasilkan juga sukar diperoleh dalam pasaran dan
terhad pengeluarannya. Beliau berpendapat negara harus mengelak daripada menghasilkan
barangan yang boleh diperoleh dengan harga yang murah di tempat lain. Sesebuah negara perlu
membuat pengkhususan dalam pengeluaran barangan yang mempunyai faedah mutlak. Dua faktor
yang mempengaruhi faedah mutlak iaitu faktor iklim dan struktur tanah.
4. Teori Pengkhususan antarabangsa
Adam Smith menyarankan agar sesebuah negara melakukan pengkhususan antarabangsa.
Menurut beliau pengkhususan antarabangsa akan memacu kemajuan sesebuah negara.
Pengkhususan antarabangsa juga membolehkan sesebuah negara menghasilkan lebihan produk
yang boleh dipasarkan ke luar negara. Perkembangan ini dapat meningkatkan sumber pendapatan
dan kekayaan negara.
5. Teori Pengumpulan modal
Adam Smith berpendapat bahawa proses pengumpulan modal harus dilakukan terlebih
dahulu daripada pembahagian kerja. Pengumpulan modal merupakan syarat utama terjadinya proses
pembangunan ekonomi. Beliau menyatakan bahawa pelaburan dilakukan kerana pemilik modal
mengharapkan keuntungan. Secara ringkasnya tiada siapa yang akan menjalankan perniagaan
sekiranya mendapat kerugian. Pembeli dan peniaga perlu sama-sama mendapat keuntungan. Modal
ini boleh diguna untuk perdagangan dan pertumbuhan stok dalam modal membawa kepada
persaingan antara pengusaha. Apabila modal sudah berkembang maka terjadilah peningkatan dalam
kemakmuran.
6. Teori percukaian
Teori percukaian menurut Adam Smith ialah kerajaan hanya mengenakan cukai dengan cara
tidak menggugat kesejahteraan ekonomi dan rakyat sesebuah negara. Rakyat patut menyokong
negara yang memberi kebebasan mengikut kebolehan sendiri. Antara amalan ekonomi tersendiri
yang dipercayai ialah kekayaan negara dinilai dari segi stok emas dan perak. Selain itu, negara patut
mengekalkan penguasaan ke atas emas dan perak serta mengenakan cukai ke atas barangan im-
port, memberikan subsidi kepada pengeksport dan melindungi industri domestik.
Kesimpulan
Melalui dua karya The Theory of Moral Sentiments (1759) dan The Wealth of Nations (1776)
adam Smith telah banyak memberi sumbangan dalam bidang ekonomi moden yang digunapakai
hingga hari ni dan doktrin yang diketengahkan beliau sesuai bagi menguruskan ekonomi negara.
50
Soalan 29 : Bincangkan perubahan yang berlaku dalam dasar pendidikan di Perancis pada
abad ke-18 dan ke-19 Masihi.
Pendahuluan
Sistem pendidikan Perancis mengalami perubahan yang pesat pada pertengahan abad ke-18
dan ke-19 Masihi. Perubahan penguasaan daripada pihak gereja oleh kerajaan turut mempengaruhi
perkembangan sistem pendidikan. Akhirnya muncul sistem pendidikan kebangsaan yang
mengutamakan kepentingan negara.
Isi-isi penting
1. Dasar pendidikan semasa pemerintahan Napoleon
Dasar pendidikan di Perancis berubah semasa pemerintahan Napoleon. Beliau telah
memperkenalkan pendidikan yang seragam di seluruh Perancis. Institusi pendidikan terdiri daripada
sekolah rendah, sekolah menengah seperti Lyceum dan kolej awam, sekolah tinggi, sekolah teknik
dan universiti. Pada tahun 1808, Napoleon menubuhkan pusat latihan guru. Para pelajar akan
menjalankan kaedah dan latihan praktikal pada tahun akhir. Kerajaan turut menyediakan
peruntukan seperti buku-buku sekolah dan memberi insentif kepada guru-guru sekolah rendah. Dari
segi kurikulum pula, peringkat sekolah rendah diajar membaca, menulis dan mengira. Manakala
pada peringkat sekolah menengah terdiri daripada mata pelajaran bahasa kuno, retorik, logik,
matematik, lukisan dan sains. Kurikulum peringkat universiti terdiri daripada pengajian sastera, sains,
perubatan, undang-undang dan teologi.
2. Pendidikan semasa pemerintahan Kerajaan Reaksioner
Selepas zaman pemerintahan Napoleon, Perancis dikuasai oleh Kerajaan Reaksioner.
Pemerintahan kerajaan ini telah melakukan perubahan terhadap dasar pendidikan negara. Dasar
Pendidikan mereka berteraskan teologi dan moral. Seterusnya sistem pendidikan dikuasai oleh
golongan gereja. Selepas Revolusi 1830, pendidikan diletakan di bawah penguasaan kerajaan.
Menjelang Zaman Republik Kedua, sistem pendidikan awam terus dimantapkan.
3. Pendidikan semasa Louis Philippe
Selepas Revolusi 1830, berlaku perubahan dalam sistem pendidikan Perancis. Pada masa
tersebut, pemerintahan negara diterajui oleh Louis Philippe. Beliau telah mengambil langkah-langkah
untuk memantapkan semula sistem pendidikan yang telah diperkenalkan oleh Napoleon. Antara
perubahan besar yang dilakukan ialah membebaskan sistem pendidikan daripada kongkongan
gereja. Sebaliknya, sistem pendidikan diletakkan di bawah penguasaan kerajaan. Selaras dengan
perkembangan ini, sistem pendidikan kebangsaan yang seragam diperkenalkan.
4. Sistem pendidikan semasa kerajaan Republik Kedua
Menjelang pertengahan abad ke-19 , beberapa langkah telah diambil oleh Kerajaan Republik
Kedua untuk memantapkan sistem pendidikan. Antaranya ialah mengkaji semula undang-undang
berhubung dengan sistem pendidikan. Kerajaan Republik Kedua melaksanakan pembaharuan dalam
undang-undang pendidikan. Majlis Tertinggi yang diketuai oleh Menteri Pendidikan ditubuhkan untuk
mengurus sistem pendidikan di Perancis. Bagi melicinkan pengurusan pendidikan, wilayah
dibahagikan kepada 17 daerah atau akademi. Majlis akademi ditubuhkan bagi menguruskan segala
hal ehwal berkaitan dengan pendidikan di peringkat daerah.
5. Perkembangan dalam pendidikan pada abad ke-19
Perkembangan dalam pendidikan berterusan dan menjelang akhir abad ke-19 , langkah-
langkah telah diambil oleh kerajaan dengan mewajibkan pendidikan kepada kanak-kanak berumur 7
hingga 14 tahun. Selain itu kerajaan juga memperkenalkan pendidikan percuma kepada kanak-kanak
di Perancis.
Kesimpulan
Perubahan yang dilakukan oleh pemerintah telah menyebabkan berlaku perkembangan da-
lam sistem pendidikan Perancis. Perubahan ini membawa Perancis kepada sebuah negara yang
berkembang dan berjaya membina masyarakat yang saintifik dan berteknologi.
51
Soalan 30 : Huraikan perkembangan sistem pendidikan di Jerman pada abad ke-18 dan ke-19
Masihi.
Pendahuluan
Menjelang abad ke-18 dan 19 Masihi, berlaku perubahan besar dalam sistem pendidikan
di Jerman. Perubahan ini membawa kepada pembentukan sistem pendidikan Kebangsaan yang
diuruskan oleh kerajaan. Kerajaan Jerman telah berjaya mengambil alih sistem pendidikan daripada
dominasi oleh institusi gereja. Perkembangan ini telah menyebabkan berlaku perubahan ketara
dalam aspek dasar, kurikulum,institusi dan latihan perguruan. Perubahan ini telah meletakan asas
bagi kemunculan sistem pendidikan yang memenuhi aspirasi negara. Tegasnya sistem pendidikan
di Jerman yang sistematik dan teratur dapat dikesan daripada dasar pendidikan, institusi pendidikan
dan kurikulum pendidikan.
Isi-isi Penting
1. Dasar Pendidikan
Semasa pemerintahan Raja Federick II, langkah-langkah diambil untuk mengawal
pentadbiran sekolah di Jerman. Baginda telah memperkenalkan kod undang-undang sekolah pada
tahun 1763 dan 1765. Mengikut undang-undang ini, seorang penyelia dilantik untuk menjalankan
pemeriksaan terhadap sekolah. Menjelang akhir abad ke-18, badan yang dikenali sebagai Lembaga
sekolah ditubuhkan. Badan ini bertanggungjawab untuk melaksanakan kawalan pusat terhadap
sekolah. Menjelang abad ke-19 Masihi, sistem pendidikan di Jerman berada di bawah kawalan dan
penguasaan kerajaan sepenuhnya. Kerajaan pusat akan mengawal segala dasar yang berhubung
kait dengan pengurusan sekolah. Selain itu kerajaan pusat juga menetapkan kurikulum, buku-buku
teks, pelantikan guru dan melaksanakan penyeliaan sekolah.
2. Bantuan Kewangan
Raja Federick William I telah memperuntukkan wang untuk pembinaan sekolah. Buktinya
sepanjang zaman pemerintahannya sebanyak 8000 buah sekolah telah didirikan di seluruh Jerman.
Baginda juga memberikan bantuan sebanyak 50,000 thaler untuk membina bangunan dan membaiki
bangunan yang usang. Selain itu, baginda juga mengurniakan tanah untuk tujuan pembinaan
sekolah. Peruntukan juga diberikan untuk menyediakan kemudahan prasarana dan peralatan
di sekolah.
3. Institusi Pendidikan
Perubahan turut berlaku dalam Institusi pendidikan di Jerman. Menjelang abad ke-19 Masihi,
kerajaan telah mendirikan institusi pendidikan seperti sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah
teknik dan universiti. Sekolah rendah yang dikenali sebagai Volkschulen terbuka kepada semua
lapisan penduduk. Pendidikan peringkat menengah terdiri daripada dua aliran atau sekolah iaitu
sekolah gymnasium dan sekolah awam. Sekolah-sekolah teknik seperti politeknik dan sekolah
perdagangan turut ditubuhkan. Kerajaan-kerajaan negeri memainkan peranan dalam penubuhan
institusi pengajian tinggi. Contohnya Universiti Berlin merupakan universiti tersohor yang telah
melahirkan ramai sarjana yang mempunyai kepakaran dalam bidang penyelidikan.
4. Pentadbiran Pendidikan
Sistem pentadbiran pendidikan turut diperkemaskan. Contohnya kerajaan mengambil langkah
mengadakan sistem pentadbiran pusat yang seragam bagi sekolah-sekolah di Jerman. Semasa
pemerintahan Raja Federick II, pentadbiran sekolah diletakkan di bawah pengawasan Berlin
Consistory. Tegasnya sistem pentadbiran berpusat ini telah meletakan asas kepada kelahiran
sekolah-sekolah Gymnasium.
52
5. Kurikulum
Kerajaan telah menetapkan kurikulum mengikut tahap persekolahan. Contohnya kurikulum
sekolah rendah menekankan pembelajaran sejarah,geografi, dan bahasa Jerman. Manakala
kurikulum sekolah menengah terdiri daripada Bahasa Latin, Greek, Jerman, Matematik, Sejarah dan
Geografi. Selain itu pengajian di universiti menekankan pengkhususan dalam bidang Psaikologi,
Sejarah, Falsafah, Undang-undang, Kimia dan Fizik.
6. Latihan Perguruan
Kerajaan Jerman mengambil langkah-langkah bagi menyediakan latihan perguruan kepada
bakal guru. Pada tahun 1738, Johann Julius Hecker menganjurkan seminar bagi guru-guru di
Prussia. Pada tahun 1747, beliau telah menubuhkan pusat latihan guru yang dikenali sebagai
Lehrerseminar di Berlin. Raja Federick II memberikan dana kepada institusi ini atas kejayaan yang
dicapai dalam melatih tenaga pengajar. Kesan daripada itu muncul pusat-pusat latihan guru di
seluruh Jerman. Contohnya Hanover(1751), Wolfenbuttel (1752), Giatz (1764), Breslau (1765), dan
Carlsruhe (1768).
Kesimpulan
Perubahan dan perkembangan yang berlaku dalam sistem pendidikan di Jerman telah
berjaya melahirkan sistem pendidikan yang berkualiti dan sekaligus dapat melahirkan sistem
pendidikan kebangsaan yang memenuhi aspirasi negara dan bangsa.
53
TEMA 4 : NASIONALISME DAN PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA
Soalan 31 : Bincangkan faktor-faktor yang menyebabkan tercetusnya Dahagi India pada tahun
1857.
Pendahuluan
Pada tahun 1857, berlaku penentangan terhadap pemerintahan British di India yang dikenali
sebagai Pemberontakan Dahagi India. Dahagi India merupakan pemberontakan yang dilancarkan
oleh sepoi-sepoi yang menentang pemerintahan British di India. Orang India menganggap Dahagi
sebagai perjuangan untuk membebaskan negara daripada pemerintahan British. Selain sepoi,
golongan putera, nawab dan pembesar yang kehilangan gelaran, tanah dan kuasa turut menyertai
pemberontakan tersebut. Dahagi berlaku secara setempat dan hanya melibatkan beberapa buah
kawasan tertentu sahaja. Sebahagian besar penduduk tidak terlibat dalam pemberontakan tersebut.
Dalam pada itu, bukan semua askar bangkit menentang British, askar-askar Sikh dan rejimen
tempatan yang lain bertindak menyebelahi British. Terdapat beberapa faktor yang mencetuskan
pemberontakan Dahagi di India.
Isi-Isi Penting
1. Campur Tangan Dalam Adat
British telah campur tangan dalam adat resam masyarakat India yang beragama Hindu.
Campur tangan British jelas ketara apabila mereka memperkenalkan undang-undang melibatkan adat
dan kepercayaan masyarakat India. Amalan Suttee merupakan adat yang diamalkan oleh penduduk
beragama Hindu sejak turun-temurun. Mengikut adat ini, balu yang kehilangan suami dikehendaki
mengorbankan diri dengan dibakar bersama-sama mayat suami semasa upacara pengebumian.
Apabila Lord William Bentick menggubal undang-undang pehapusan adat ini,penduduk beragama
Hindu marah dan memberontak. Amalan adat Thuggee merupakan aktiviti merompak dan
pembunuhan dilakukan oleh kumpulan-kumpulan agama atas nama Dewi Kali. Tindakan Lord William
Bentick mengharamklan amalan ini telah menimbulkan kemarahan golongan agama dan masyarakat
India. Amalan membunuh bayi perempuan untuk mengelak daripada membayar dowri berlaku dalam
masyarakat India turun-temurun, pengharaman adat ini oleh British juga menimbulkan kemarahan
masyarakat India. Pengenalan akta kahwin semula balu-balu oleh Lord William Bentick juga dianggap
sebagai satu penghinaan kepada masyarakat India. Tuntasnya, tindakan British campur tangan
dalam adat resam masyarakat tempatan melahirkan sikap anti-British yang mencetuskan peristiwa
Dahagi.
2. Pengenalan Sistem Pendidikan Barat
Tindakan British memperkenalkan perubahan dalam sistem pendidikan turut menimbulkan rasa
tidak puas hati dalam kalangan masyarakat terhadap penjajah. British menjadikan bahasa Inggeris
sebagai bahasa pengantar di sekolah dan kolej. Malah bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi dalam
bidang pentadbiran serta kehakiman. Jawatan-jawatan penting dalam kerajaan diberikan kepada
penduduk tempatan yang berpendidikan Inggeris. Perubahan ini tidak disenangi oleh penduduk
tempatan kerana jawatan tinggi dalam kerajaan dan tentera tidak diberikan kepada penduduk
tempatan. Malah perubahan yang diperkenalkan oleh British dalam bidang pendidikan dianggap
sebagai percubaan British untuk menyebarkan agama Kristian dalam kalangan masyarakat India.
Justeru, pendidikan Barat yang diperkenalkan oleh British turut memainkan peranan dalam
mencetuskan peristiwa Dahagi.
3. Dasar Pengilhakan
Dasar pengilhakan yang diperkenalkan oleh Lord Dalhousie merancakkan penentangan
penduduk India terhadap penjajahan British. Menerusi dasar ini, Lord Dalhousie telah merampas hak
dan kedaulatan pemerintah tempatan dengan mengilhakan wilayah-wilayah yang ditadbir oleh
mereka. Dasar pengilhakan ini dilaksanakan berpandu kepada tiga alasan iaitu Undang-undang
Lesap Waris, Hak menakluk Kuasa Agung dan Salah Tadbir Tempatan. Menerusi dasar ini,
Lord Dalhousie bertindak mengilhakan beberapa wilayah seperti Punjab, Karnatik, Tanjor, Jhansi,
Baghat, Jaitpur, Oudh dan Sambalpur. Dasar ini telah menjejaskan maruah pemerintah tempatan
54
hingga menyebabkan putera-putera raja tempatan seperti Nana Saheb, Nawan dari Karnatik dan
Tanjor menyertai penentangan terhadap penjajah British. Nana Saheb merupakan anak angkat
Baji Rao (pemerintah wilayah Peshawar) tidak berpuas hati dengan tindakan British membatalkan
bayaran pencen yang patut diberikan kepadanya serta merampas tanah milik ayahnya. Manakala
Nawab menentang Tindakan British meletakkan wilayah Oudh di bawah pentadbiran mereka atas
alas an keadaan huru-hara di Oudh dan amalan rasuah berleluasa dalam kalangan pemerintah Oudh.
Tegasnya, dasar pengilhakan membangkitkan kemarahan pemerintah tempatan dan meyebabkan
tercetus peristiwa Dahagi.
4. Perasaan Dendam Sepoi-sepoi India
Faktor serta-merta yang menyebabkan Dahagi India tercetus ialah perasaan tidak puas hati
dalam kalangan sepoi-sepoi India. British telah melantik sepoi-sepoi daripada kalangan kaum Brah-
min dan Rajput yang terdiri daripada golongan kasta tinggi di wilayah Oudh. Tindakan British
menghantar sepoi-sepoi India ke luar negara menimbulkan kemarahan kerana Tindakan tersebut
mencemarkan imej dan maruah mereka yang berkasta tinggi. Malah terdapat kepercayaan dalam
kalangan penganut agama Hindu bahawa kesucian mereka kana hilang apabila mereka
menyeberangi lautan. Perkembangan ini menyebabkan sepoi-sepoi India dari Rejimen 47 yang
diarahkan untuk berkhidmat di Myanmar enggan mematuhi arahan hingga menyebabkan rejimen
tersebut terpaksa dibubarkan. Jelas ternyata perasaan dendam sepoi-sepoi India terhadap British
turut memainkan peranan penting mencetuskan peristiwa Dahagi.
5. Akta Pengambilan Khidmat Awam
Semasa pentadbiran Lord Canning, Akta Pengambilan Khidmat Awam yang memberi kuasa
kepada British untk menghantar tentera berkhidmat di dalam dan luar negara diperkenalkan. Akta ini
tidak disokong oleh tentera India kerana mereka tidak diberikan elaun tambahan untuk berkhidmat di
luar negara. Selain itu tentera India juga menentang amalan diskriminasi yang diamalkan oleh
pentadbiran Brtitish dalam soal kenaikan pangkat dan jawatan dalam tentera. Tentera India diberi gaji
yang lebih rendah dan mendapat layanan yang kurang baik daripada pentadbiran British.Tuntasnya,
perkembangan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan sepoi India terhadap
pemerintahan British.
6. Isu Senapang Royal Enfield
Kemarahan terhadap pentadbiran British memuncak apabila sepoi-sepoi India mendapat tahu
bahawa minyak yang digunakan untuk membersihkan senapang rifel Royal Enfield mengandungi
lemak babi dan lemak lembu. Selain itu, tersebar berita bahawa sepoi-sepoi India yang menggunakan
senapang tersebut perlu menggigit hujung peluru yang telah disapu dengan lemak babi dan lemak
lembu. Perkembangan ini menyebabkan sepoi-sepoi yang beragama Hindu dan Islam merasakan
bahawa pentadbiran British sengaja melakukan hal-hal yang demikian untuk menghina kedua-dua
agama yang menjadi anutan penduduk tempatan. Tegasnya, isu senapang riffle Royal Enfield
membangkitkan kemarahan sepoi-sepoi India yang bertindak melancarkan serangan terhadap British
dan mencetuskan peristiwa Dahagi.
7. Pengenalan Peraturan Baru
Penentangan terhadap pemerintahan British juga disebabkan oleh pengenalan dasar dan
peraturan baharu oleh British. Salah satu peraturan yang menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk
terhadap pemerintahan British ialah akta Penjajahan Punjab 1907. Menerusi akta ini, kerajaan British
bertindak meninggikan cukai tanah dan mengenakan bayaran bagi bekalan air yang disalurkan
ke kawasan pertanian. Tindakan ini telah menambahkan beban golongan petani dan mereka
terpaksa menanggung hutang serta hidup dalam keadaan miskin. Selain itu, pihak pemerintah British
juga tidak menggalakkan penghasilan barangan oleh penduduk tempatan. Sebaliknya mereka
menggalakkan kegiatan mengimport barangan dari negara luar. Perkembangan ini telah menjejaskan
pendapatan penduduk tempatan yang terlibat dalam sektor pertukangan dan kemahiran tangan.
Sementara itu, penduduk tempatan di wilayah-wilayah yang ditawan oleh Syarikat Hindia Timur
Inggeris telah kehilangan tanah pusaka mereka. Tanah milik penduduk tempatan dirampas oleh
pemerintah British ekoran daripada kegagalan mereka untuk membuktikan hak milik tanah secara
sah. Tuntasnya pengenalan peraturan oleh pihak British menambah beban dan kesengsaraan hidup
menyebabkan rakyat India melancarkan Dahagi.
55
Kesimpulan
Selepas menumpaskan Dahagi, British melakukan rombakan dalam sistem pentadbiran
di India. British membubarkan Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) dan meletakkan pentadbiran
India di bawah pentadbiran Mahkota British. Peristiwa ini juga menyebabkan pemerintahan Moghul di
India berakhir apabila Maharaja Bahadur Shah ditangkap dan dibuang negeri ke Myanmar.
Soalan 32 : Huraikan faktor-faktor yang menyebabkan tercetus Perang Candu Kedua
(1856-1860) di China.
Pengenalan
Perang Candu Kedua (1856-1860) yang tercetus pada tahun 1856 merupakan rentetan
daripada peristiwa Perang Candu Pertama. Penyelesaian Perang Candu Pertama dicapai apabila
kerajaan China dan British bersetuju menandatangani Perjanjian Nangking. Namun begitu, perjanjian
ini gagal menyelesaikan masalah dan pertikaian antara kuasa-kuasa Barat dengan China. Kerajaan
China bertindak tidak menghormati syarat-syarat perjanjian, pada masa yang sama bertindak
menyekat perluasan kuasa-kuasa Barat. Kerajaan China tidak mematuhi hubungan diplomatik be-
rasaskan prinsip persamaan taraf dengan kuasa-kuasa Barat. Perkembangan tersebut telah
mengeruhkan hubungan antara kuasa-kuasa Barat dengan kerajaan China dan akhirnya tercetus
perang antara kedua-dua belah pihak.
Isi-Isi Penting
1. Kepentingan Perdagangan
Faktor pertama yang menyebabkan tercetus Perang Candu Kedua adalah kepentingan
perdagangan. Kuasa-kuasa Barat tidak puas hati terhadap pelbagai sekatan yang dikenakan oleh
kerajaan China terhadap pedagang-pedagang asing. Kuasa-kuasa Barat mahu meluaskan
kepentingan perdagangan selaras dengan dasar perdagangan bebas yang diamalkan oleh mereka.
Mereka tidak puas hati dengan kerajaan China yang enggan membuka pelabuhan-pelabuhan lain
(selain daripada lima pelabuhan persetiaan awal) kepada pedagang-pedagang asing. Selain itu,
pedagang-pedagang Barat tidak dibenarkan menjalinkan hubungan perdagangan secara langsung
dengan saudagar-saudagar tempatan. Dasar antiperdagangan yang diamalkan oleh kerajaan China
menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pedagang-pedagang asing. Justeru, kepentingan
perdagangan mendorong kuasa Barat melancarkan Perang Candu Kedua pada tahun 1856.
2. Hubungan Diplomatik Renggang
Sikap permusuhan yang ditonjolkan oleh kerajaan China terhadap kuasa-kuasa asing
menyebab hubungan mereka semakin renggang. Usaha kuasa-kuasa Barat menjalinkan hubungan
perdagangan dengan kerajaan China turut menemui jalan buntu. Di samping itu, tindakan kerajaan
China enggan menerima perwakilan asing telah memburukkan hubungan antara mereka. Pada tahun
1849, kerajaan China telah bertindak dengan tidak menjawab surat yang dihantar oleh
Lord Palmerston, Setiausaha Luar Britain kepada Maharaja China. Malah, percubaan Pesuruhjaya
Amerika Syarikat Peter Parker untuk megadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai China tidak
mencapai kejayaan. Tegasnya, isu hubungan diplomatik yang renggang turut memainkan peranan
dalam mencetuskan Perang Candu Kedua.
3. Sikap Antiorang Asing
Sikap anti orang asing yang menebal dalam masyarakat China telah menimbulkan rasa tidak
puas hati kuasa-kuasa Barat. Pada tahun 1847, tentera British menyerang Pelabuhan Canton ekoran
sikap penduduk Canton yang enggan membenarkan pedagang-pedagang British berdagang dengan
bebas. Hsu Kang Ching dan Yeh Ming Chen yang merupakan pegawai hal ehwal luar Canton
mengambil sikap antiorang asing. Mereka bertindak membangkitkan perasaan antiorang asing dan
menghasut orang China menghalang kemasukan pedagang British ke Pelabuhan Canton.
Perkembangan ini menyebabkan hubungan antara China British menjadi semakin renggang.Justeru,
sikap antiorang asing yang menebal dalam kalangan pemimpin dan rakyat China turut menyebabkan
tercetus Perang Candu kedua.
56
4. Rasa Tidak Puas Hati Terhadap Perjanjian Nanking
Syarat-syarat Perjanjian Nanking menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan
kuasa-kuasa Barat terhadap kerajaan China.Pembukaan lima buah pelabuhan kepada kuasa-kuasa
Barat tidak memuaskan hati kepada pedagang-pedagang Barat. Kuasa barat mendesak agar lebih
banyak pelabuhan dibuka kepada mereka untuk menjalankan perdagangan. Selain itu, pihak British
masih tidak berpuas hati dengan hak istimewa yang dijanjikan dalam Perjanjian Nanking. Pihak Brit-
ish mendesak kerajaan China memberi lebih banyak hak keistimewaan kepada mereka. Kerajaan
China juga tidak berpuas hati dengan Perjanjian Nanking yang langsung tidak menyentuh tentang
perdagangan candu, Tuntasnya, rasa tidak puas hati terhadap perjanjian Nanking oleh kedua-dua
pihak juga punca meletus Perang Candu Kedua.
5. Perdagangan Candu
Salah satu faktor yang mencetuskan permusuhan antara kerajaan China dengan
kuasa-kuasa Barat ialah perdagangan candu. Kerajaan China telah bertindak mengeluarkan perintah
mengharamkan perdagangan candu selepas Perang Candu Pertama. Namun demikian, kuasa-kuasa
Barat terutama British masih meneruskan perdagangan candu yang mendapat keuntungan yang
lumayan. Perdagangan candu telah meningkat daripada 46 000 buah peti candu pada tahun 1848
kepada 52 929 buah peti candu pada tahun 1850. Sikap kuasa Barat yang mahu mengaut
keuntungan melalui perdagangan candu menimbulkan rasa tidak puas hati kerajaan China. Dalam hal
ini, kerugian yang dialami oleh kerajaan China melalui pengaliran keluar emas (ketidakseimbangan
dalam perdagangan) menyumbang kepada meletusnya peperangan antara kedua-dua
pihak.Ternyata, sifat tamak kuasa Barat mahu mengaut keuntungan maksimum melalui perdagangan
menimbulkan rasa tidak puas hati kerajaan China menjadi faktor meletus peperangan.
6. Penyemakan Semula Perjanjian
Kuasa-kuasa Barat tidak berpuas hati kerana kerajaan China enggan menyemak semula
perjanjian-perjanjian yang telah ditandatangani. Perjanjian Whanghia dengan Amerika Syarikat dan
perjanjian Whangpoa dengan Perancis pada tahun 1844 mengandungi syarat tentang penyemakan
semula perjanjian tersebut selepas 12 tahun. Kerajaan China enggan semak semula perjanjian
dengan alasan syarat-syarat perjanjian tersebut berat sebelah. Kerajaan China berpendapat,
perjanjian yang dipaksa terhadap mereka harus dibatalkan. Bagi pihak British pula, mereka
berpendapat konsesi yang diberikan dalam Perjanjian Nanking dan Bogue tidak mencukupi untuk
menjalankan perdagangan bebas. Oleh itu, British berpendapat Perjanjian Nanking harus disemak
semula oleh kerajaan China pada tahun 1854. Usaha British, Perancis dan Amerika Syarikat untuk
mengadakan perbincangan menemui kegagalan. Perkembangan tersebut menyebabkan
saudagar-saudagar British mendesak kerajaan British menggunakan kekerasan untuk memaksa
kerajaan China menyemak semula perjanjian tersebut. Jelaslah keengganan kerajaan China berbuat
demikian menjadi faktor meletus Perang Candu Kedua.
7. Peristiwa Lorcha Arrow
Faktor serta-merta yang menyebabkan tercetusnya Perang Candu Kedua ialah peristiwa
kapal Lorcha Arrow. Kapal ini dimiliki oleh seorang berbangsa Cina tetapi didaftarkan di Hong Kong.
Kapal ini berlayar di bawah bendera Britain dan kapten kapal ini merupakan seorang berbangsa
Inggeris. Pada 8 Oktober 1856, ketika kapal berlabuh di Pelabuhan Canton, anggota polis telah
memberkas 12 orang anak kapal dengan tuduhan penyeludupan dan perlanunan. Pada 12 Oktober
1856, Harry Parker yang merupakan seorang Konsul British di Canton telah mengemukakan
bantahan terhadap kerajaan China. Beliau menuntut supaya tawanan tersebut dibebaskan dan
kerajaan China memohon maaf atas kejadian tersebut. Walaupun anak-anak kapal tersebut
dibebaskan, kerajaan China enggan meminta maaf atas peristiwa tersebut. British mengambil
kesempatan ini untuk melancarkan serangan ke atas China.Ternyata, peristiwa ini menjadi faktor
serta-merta meletus Perang Candu Kedua.
Kesimpulan
Peperangan yang mengambil masa 5 tahun berakhir dengan kekalahan kerajaan China. Kuasa-
kuasa Barat seperti Britain, Perancis, Amerika Syarikat dan Rusia menantangani Perjanjian Tientsin
dengan China pada tahun1858. Pada peringkat kedua pula, kerajaan China terpaksa
menandatangani Konvensyen Peking pada 24 Oktober 1860. Konvensyen peking telah menyebabkan
kedaulatan dan maruah kerajaan China tercabar.
57
Soalan 33 : “Sentimen antiorang asing merupakan faktor terpenting kebangkitan Boxer
di China pada tahun 1899.” Bincangkan
Pendahuluan
Pada tahun 1899, tercetus pemberontakan yang dikenali sebagai Pemberontakan Boxer
di negara China. Pemberontakan ini bertujuan untuk menghalau orang asing dari China dan
membunuh orang Cina yang beragama Kristian. Pemberontakan Boxer merupakan reaksi orang Cina
terhadap tekanan yang diberikan oleh kuasa asing terhadap kerajaan China. Anggota Gerakan Boxer
menganggap orang asing bertanggungjawab terhadap keruntuhan kerajaan Manchu. Mereka
menganggap orang asing sebagai punca segala kepincangan yang berlaku dalam bidang ekonomi,
politik dan sosial di China.Gerakan Boxer berasal daripada sebuah kongsi gelap Cina dikenali
sebagai I Ho Chuan (Persatuan Tinju Keadilan dan keharmonian).Orang Barat menamakan Boxer
kerana mereka mengamalkan sejenis tinju Cina yang disertai ilmu sihir. Perasan antiorang asing
merupakan faktor penting tercetus pemberontakan ini, di samping beberapa faktor lagi seperti
ekonomi, agama,bencana alam dan sokongan istana.
Isi-Isi Penting
1. Sentimen Antiorang Asing
Sentimen ini berlaku dalam kalangan rakyat Cina dan pihak istana menjadi faktor utama yang
mencetuskan Pemberontakan Boxer. Pencerobohan yang dilakukan oleh kuasa-kuasa Barat sejak
Perang Candu Pertama (1839-1842) menimbulkan semangat antiorang asing dalam kalangan rakyat
Cina. Sentimen ini juga meningkat ekoran tindakan kuasa-kuasa Barat berlumba-lumba mendapatkan
konsesi di China. Malah tindakan kuasa-kuasa Barat merebut konsesi telah menjatuhkan maruah
orang Cina dan mencemarkan kedaulatan kerajaan China. Semangat antiorang asing menebal dalam
kalangan sarjana dan pembesar China. Tokoh-tokoh istana seperti Maharani Dowager, Putera
Chuang dan Kang-I menganmalkan sikap antiorang asing terhadap kuasa-kuasa Barat dan Jepun
di China. Maharani Dowager Tzu Hsi bertindak menamatkan Hak Wilayah Asingan yang telah
diberikan kepada kuasa-kuasa asing di China. Rakyat dan pihak istana telah berganding tenaga
untuk mengusir orang asing dari China. Jelas ternyata, sentimen antiorang asing merupakan faktor
penting yang menyebabkan tercetus pemberontakan Boxer.
2. Sentimen Anti-Kristian
Sikap dan tindakan golongan mubaligh menyebar agama Kristian dalam kalangan
masyarakat Cina juga merupakan faktor tercetus Pemberontakan Boxer. Melalui Perjanjian
Whangpoa dan Konvensyen Peking, telah membenarkan golongan mubaligh Kristian menjalankan
aktiviti keagamaan di pelabuhan-pelabuhan dan di kawasan pedalaman. Penyebaran agama Kristian
telah mencemaskan golongan konservatif yang menganggap ajaran Kristian amat bertentangan
dengan ajaran Confucianisme, Buddhisme dan Taoisme yang diamalkan sejak turun-temurun.
Di samping itu, mubaligh-mubaligh Kristian juga telah campur tangan dalam kes-kes mahkamah yang
melibatkan orang-orang Cina yang bukan beragama Kristian. Golongan mubaligh Kristian juga
memperjuangkan hak-hak istimewa bagi penganut-penganut agama Kristian, malah tindakan
mubaligh-mubaligh Kristian campur tangan dalam hal ehwal tempatan menimbulkan kemarahan
orang Cina. Orang Cina yang telah beragama Kristian dibenci kerana mereka bersikap sombong dan
menganggap diri mereka lebih tinggi dan mulia. Perkembangan ini menyebabkan hubungan orang
Cina beragama Kristian dan orang Cina bukan Kristian menjadi renggang. Mereka juga dianggap se-
bagai pengkhianat bangsa kerana diperalat oleh orang asing. Tuntasnya, kebencian terhadap orang
Kristian telah mendorong orang Cina melancarkan Pemberontakan Boxer.
3. Penguasaan Ekonomi Oleh Kuasa Asing
Penguasaan ekonomi oleh kuasa-kuasa asing juga merupakan faktor tercetus pemberontakan
Boxer. Kemasukan barang-barang asing telah menyebabkan perusahaan tempatan seperti
perusahaan tekstil dan pertukangan tangan mula merosot. Pasaran tempatan mula dikuasai oleh
orang-orang asing kerana barangan buatan Barat lebih murah dan bermutu tinggi berbanding dengan
barangan tempatan. Kemasukan pelabur-pelabur asing telah menyebabkan pengusaha-pengusaha
tempatan hilang sumber pendapatan. Tambahan pula, bilangan penduduk tempatan yang mengang-
gur meningkat. Penguassaan ekonomi negara China oleh kuasa-kuasa asing telah menimbulkan
perasaan benci rakyat tempatan terhadap orang-orang asing. Justeru, penguasaan ekonomi oleh
kuasa asing merancakkan sentimen antiorang asing dalam kalangan orang Cina bagi melancarkan
Pemberontakan Boxer.
58
4. Masalah Kewangan
Kerajaan China juga menghadapi masalah kewangan dan ekonomi yang serius. Masalah
kewangan timbul kerana terpaksa membelanjakan wang yang banyak bagi membayar ganti rugi
perang kepada kuasa-kuasa Barat. Bagi menghadapi masalah ini, kerajaan China telah mengenakan
cukai-cukai baharu. Kerajaan China telah bertindak memperkenalkan cukai-cukai baharu yang
membebankan rakyat. Perkembangan ini telah menyebabkan golongan petani dan penganggur
menyertai pemberontakan bagi menghalau orang asing dari negara China. Jelaslah bahawa masalah
kewangan yang dihadapi oleh kerajaan China dan kesannya kepada rakyat orang Cina melancarkan
pemberontakan.
5. Bencana Alam
Kejadian bencana alam seperti banjir, kemarau yang melanda China menyebabkan rakyat
terpaksa menanggung pelbagai jenis penderitaan. Antara bencana alam yang melanda China adalah
seperti pada tahun 1898, berlaku banjir di wilayah-wilayah di sekitar Sungai Yangtze dan Sungai
Hwang Ho. Kesannya, wilayah terjejas teruk adalah Szechuan, Shantung, Kiangsi dan Anhwei.
Kemarau juga melanda di bahagian utara negara China termasuk Peking. Bencana alam ini
menyebabkan kebuluran dan kemusnahan harta benda. Masyarakat Cina menyalahkan orang asing
sebagai punca segala bencana alam yang melanda negara mereka. Mereka berpendapat
projek-projek pembangunan seperti pembinaan landasan kereta api, pemasangan kabel telegraf dan
pembinaan kilang telah mengganggu keharmonian alam dan menyinggung perasaan dewa dewi
mereka. Selain tu, penyebaran agama Kristian yang dilakukan oleh mubaligh-mubaligh Kristian telah
mengganggu roh nenek moyang dan golongan pendeta. Bencana lama yang melanda negara
mereka merupakan balasan daripada dewa-dewi. Tuntasnya, kepercayaan bahawa bencana alam
yang berlaku disebabkan oleh orang asing mendorong mereka melancarkan Pemberontakan Boxer.
6. Sokongan Istana
Sokongan yang diberikan oleh kerajaan Manchu juga merupakan faktor pencetus
pemberontakan ini. Pada 20 Jun 1900, kerajaan Manchu secara rasmi telah memberikan sokongan
kepada pemberontak untuk mengusir keluar orang Barat dari negara China. Maharani Dowager Tzu
His telah mengarahkan pemimpin tentera dan pegawai-pegawai istana untuk memberikan bantuan
senjata kepada pemberontak. Sokongan daripada pihak istana menggalakkan ahli-ahli Boxer
menyerang orang asing dan orang Cina yang beragama Kristian. Jelaslah bahawa pemberontakan
Boxer tercetus juga disebabkan sokongan pihak istana dalam usaha mengusir orang-orang asing dari
China.
Kesimpulan
Pemberontakan Boxer mendedahkan kelemahan dan kepincangan yang wujud dalam kerajaan
Manchu. Pemberontakan ini memberi kesedaran kepada kerajaan Manchu untuk melakukan
pembaharuan sebagai langkah untuk menguatkan diri bagi menghadapi ancaman kuasa-kuasa asing.
Pemberontakan Boxer meletakkan asas bagi kejatuhan kerajaan Manchu dan kemunculan kerajaan
Republik di negara China.
59
Soalan 34 : Perang Dunia Pertama bermula apabila Jerman menyerang Belgium pada 4 Ogos
1914. Bincangkan faktor-faktor tercetus perang tersebut.
Pendahuluan
Perang Dunia Pertama yang meletus pada awal bulan Ogos 1914 merupakan peperangan
yang melibatkan Britain, Perancis, Jerman, Rusia, Austria-Hungary,Belgium, Serbia, Italy, Bulgaria
dan Turki. Peperangan ini bermula dengan serangan Jerman ke atas Belgium pada 04 Ogos 1914.
Penyertaan Amerika Syarikat pada tahun 1917 di pihak Britain-Perancis menyebabkan Jerman dan
sekutunya dapat ditewaskan. Perang ini ditamatkan menerusi beberapa perjanjian yang dibuat secara
berasingan antara pihak yang menang dengan pihak yang kalah. Dalam hal ini, Perjanjian Versailles
yang diadakan antara Jerman dengan pihak yang menang merupakan perjanjian yang amat penting
dan meninggalkan implikasi yang amat mendalam terhadap sejarah Eropah selanjutnya.
Isi-Isi Penting
1. Perlumbaan Senjata
Persaingan untuk kemajuan kelengkapan perang dalam kalangan negara-negara Eropah
merupakan salah satu faktor tercetus Perang Dunia Pertama. Perlumbaan untuk menambahkan
senjata melahirkan perasaan syak wasangka dalam kalangan negara-negara Barat. Jerman dan
Britain bersaing untuk menambahkan kekuatan tentera laut masing-masing. Bagi mengukuhkan
kedudukannya sebagai kuasa laut yang unggul, Britain telah membina kapal perang laut yang
canggih jenis Dreadnought. Menjelang tahun 1909, Britain mempunyai 8 buah kapal perang jenis
Dreadnought. Kemuculan Britain sebagai kuasa besar dalam angkatan tentera laut menjadi ancaman
kepada kuasa-kuasa Barat yang lain. Perancis dan Rusia pula meningkatkan kekuatan tentera darat
masing-masing. Kuasa-kuasa besar seperti Britain, Jerman, Perancis, Italy, Austria-Hungary dan
Rusia mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk meningkatkan kekuatan tentera masing-masing.
Tuntasnya, kecenderungan kuasa-kuasa Barat untuk mengukuhkan kekuatan tentera-tentera menjadi
pemangkin kepada Perang Dunia Pertama.
2. Imperialisme Kuasa-kuasa Barat
Revolusi perindustrian yang bermula di Britain menyebabkan kuasa-kuasa Barat menjalankan
dasar imperialisme. Kuasa-kuasa Barat berlumba-lumba untuk menguasai tanah jajahan bagi
mendapatkan bahan mentah dan pasaran. Penguasaan tanah jajahan meningkatkan kemegahan
kuasa-kuasa Barat.Umpamanya Jerman dan Perancis bertelingkah untuk menguasai Morocco.
Perkembangan ini hampir mencetuskan peperangan. Britain bimbang dengan usaha Jerman untuk
memperoleh tanah jajahan di Asia dan Afrika. Persaingan untuk menguasai tanah jajahan
menimbulkan permusuhan dalam kalangan kuasa-kuasa Barat. Justeru, dasar imperialisme yang
dilaksanakan oleh kuasa-kuasa Barat juga merupakan faktor tercetus peperangan.
3. Kebangkitan Nasionalisme
Kebangkitan semangat nasionalisme yang melampau menimbulkan permusuhan dalam
kalangan negara-negara bangsa di Eropah. Umpamanya orang Jerman menganggap diri mereka
sebagai bangsa tuan yang paling berkuasa di dunia. Sikap ini menyebabkan orang Jerman tidak
dapat menerima kebangkitan negara Eropah lain khususnya Perancis. Semangat nasionalisme
mendorong Perancis untuk mendapatkan kembali wilayah Alsace dan Lorraine yang diserahkan
kepada Jerman ekoran kekalahan Perancis dala Perang Perancis-Rusia(1870-1871). Britain tidak
dapat menerima kebangkitan kuasa-kuasa Barat lain dalam meningkatkan kekuatan tentera laut.
Jelaslah, kebangkitan nasionalisme yang melampau turut memainkan peranan mencetuskan
Peperangan Dunia Pertama.
4. Pengaruh Autokrasi
Golongan aristokrat dan elit yang menerajui pemerintahan di Jerman, Rusia dan
Austria-Hungary memainkan peranan dalam mencetuskan perang Dunia Pertama. Golongan ini
menggunakan perang sebagai alat untuk mengukuhkan kekuasaan dan pengaruh mereka.
Umpamanya maharaja Jerman, Kaiser Wilhem II bercita-cita untuk mewujudkan empayar Jerman
yang kuat dan berpengaruh di benua Eropah. Baginda membelanjakan sebahagian besar kekayaan
negara untuk mengukuhkan sistem pertahanan negara. Antara usaha yang dilakukan oleh Kaiser
60
Wilhem II untuk mengukuhkan tentera ialah membina kapal-kapal perang, peluru berpandu (torpedo),
menggali terusan Keil agar kapal-kapal perang yang besar dapat berlabuh. Selain itu, Kaiser Wilhem
II juga merancang untuk membina landasan kereta api menghubungkan Berlin dengan Baghdad bagi
mengukuhkan pengaruh Jerman di Timur Tengah. Percubaan Maharaja Kaiser Wilhem II telah
menimbulkan perasaan curiga dan kebimbangan kuasa-kuasa Barat lain. Tegasnya, tindakan
golongan autokrasi menggunakan perang bagi mengukuhkan kedudukan menjadi faktor tercetus
peperangan.
5. Pakatan Tentera
Salah satu faktor utama tercetus Perang Dunia Pertama ialah kemunculan pakatan tentera.
Kemunculan pakatan tentera telah menyebabkan negara-negara Eropah terbahagi kepada dua blok
yang saling bertentangan antara satu sama lain. Kemunculan pakatan ini berpunca daripada
permusuhan antara Perancis dan Jerman. Pada tahun 1879, Jerman telah membentuk pakatan
tentera dengan Austria-Hungary yang dikenali sebagai Perikatan Berdua. Tujuan perikatan ini
dibentuk adalah untuk memencilkan Perancis. Pada tahun 1882, Italy telah menyertai perikatan
tersebut untuk menubuhkan Perikatan Bertiga (Triple Alliance). Tujuan Pakatan ini adalah untuk
`memberi bantuan ketenteraan sekiranya mana-mana negara anggota diserang oleh kuasa lain. Pada
tahun 1894, Rusia menjalinkan pakatan tentera den gan Perancis yang dikenali sebagai Pakatan
Berdua. Pada peringkat awal, Britain tidak melibatkan diri dalam persaingan kuasa-kuasa besar.
Walau bagaimanapun, pada akhir kurun ke-19, Britain mula risau terhadap kekuatan Jerman dalam
bidang ekonomi dan ketenteraan. Pada tahun 1907, Britain menyertai Perancis dan Rusia untuk
menubuhkan Pakatan Bertiga bagi menghadapi ancaman Jerman. Jelas ternyata, penubuhan
Pakatan melahirkan ketegangan antara negara, hal ini menambahkan kemungkinan tercetus Perang
Dunia Pertama.
6. Krisis Balkan
Permusuhan antara Austria-Hungary dengan Serbia menimbulkan ketegangan di rantau
Balkan. Kerajaan Austria-Hungary menganggap negara Serbia menghasut rakyat Austria keturunan
Serb berjuang membebaskan diri daripada pemerintahan Austria. Kerajaan Austria-Hungary juga
bimbang rakyatnya daripada keturunan Serb melancarkan revolusi ekoran kebangkitan negara
Serbia. Tambahan pula, perkembangan nasionalisme etnik dalan kalangan orang Serb ekoran
Gerakan “Pan-Slav” melahirkan sentimen anti-Austria-Hungary. Pada tahun 1908, Austria telah
menakluk Bosnia dan Herzegovina yang mempunyai populasi penduduk Serb yang ramai daripada
Turki Uthmaniyah. Penakluan Bosnia dan Herzegovina oleh Austria-Hungry membangkitkan
kemarahan Serbia dan Rusia. Dalam pada itu, Jerman menyokong tindakan Austria menakluk Bosnia
dan Herzegovina. Kemuncak kepada krisis Balkan ialah peristiwa pembunuhan Archduke Ferdinand,
putera mahkota Austria dan isterinya oleh seorang pemuda Serb pada 28 Jun 1914. Pembunuhan ini
berlaku di Sarajevo, ibu kota wilayah Bosnia. Kerajaan Austria mengambil kesempatan ini untuk
menghapuskan kedaulatan Serbia. Austria mengisytiharkan perang ke atas Serbia pada 28 Julai
1914. Rusia bertindak memberi bantuan ketenteraan kepada Serbia. Jerman mengambil keputusan
untuk membantu Austria-Hungary dan mengisytiharkan perang terhadap Rusia. Perancis turut
melibatkan diri dalam perang ini dengan menyebelahi pihak Rusia. Penyertaan Perancis
menyebabkan Jerman mengisytiharkan perang terhadapnya. Apabila Jerman menceroboh Belgium
untuk menyerang Perancis, Britain menyertai Rusia dan Perancis. Perkembangan ini telah
menyebabkan tercetusnya Perang Dunia Pertama(1914-1918). Tegasnya, perkembangan di rantau
Balkan merupakan faktor penting tercetus Perang Dunia Pertama.
Kesimpulan
Perang Dunia Pertama meninggalkan perubahan yang amat ketara dalam sistem politik,
ekonomi dan sosial antarabangsa. Perang ini menyebabkan pemerintahan monarki di Jerman, Rusia
dan Turki tumbang dan digantikan oleh pemerintahan demokrasi. Perang ini berjaya melumpuhkan
kekuatan Jerman dan meletakkan asas bagi peletusan Perang Dunia Kedua.
61
Soalan 35 : Huraikan kesan Perang Dunia Pertama (1914-1918) dalam bidang politik.
Pendahuluan
Perang Dunia Pertama bermula apabila Jerman melancarkan serangan terhadap Belgium
pada 4 Ogos 1914. Perang yang berlangsung selama empat tahun berakhir apabila Jerman dan
sekutunya ditewaskan oleh Pihak Berikat. Perang ini melibatkan Perikatan Kuasa Tengah yang terdiri
daripada Jerman, Austria-Hungary dan Italy dengan Pakatan Bertiga yang diwakili oleh Rusia,
Perancis dan Britain. Perang ini ditamatkan menerusi beberapa siri perjanjian melibatkan pihak yang
menang dengan pihak yang kalah. Sehubungan dengan ini, Perjanjian Versailles yang dimeterai
antara Jerman dengan pihak yang menang telah meninggalkan kesan yang amat mendalam. Pada
amnya, perang ini telah meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam sistem politik dunia.
Isi-Isi Penting
1. Keruntuhan Pemerintahan Monarki
Perang Dunia Pertama telah melenyapkan pemerintahan monarki di benua Eropah. Perang ini
telah menyebabkan sistem pemerintahan beraja di Jerman, Rusia dan Turki berakhir. Pada tahun
1925,Sultan Empayar Turki Uthmaniyah turun daripada takhta ekoran kekalahan Turki dalam Perang
Dunia Pertama. Perkembangan ini menyebabkan Empayar Turki Uthmaniyah yang meliputi Poland,
Bulgaria, Czechoslovakia dan Finland berakhir. Perang ini menyebabkan sistem pemerintahan beraja
berakhir di Jerman apabila Kaiser William II, raja Jerman dibuang negeri ke Belanda. Pemerintahan
beraja berakhir di Rusia apabila tercetus revolusi Rusia pada tahun 1917. Jelas ternyata Perang
Dunia Pertama merupakan faktor utama keruntuhan sistem pemerintahan monarki di Eropah.
2. Kebangkitan Demokrasi
Selepas tamat perang, kerajaan monarki berakhir dan diganti dengan kerajaan bercorak
demokrasi di benua Eropah. Peperangan ini menyaksikan kemuculan kerajaan republik
di Rusia,Turki,Czechoslovakia, Jerman, Austria, Poland, Lithuania,Latvia dan Estonia. Kerajaan
republik diasaskan di bawah pimpinan Mustafa Kamal Ataturk di Turki pada tahun 1923 selepas
kerajaan Turki Uthmaniyah tumbang. Di Jerman, sebuah kerajaan republik didirikan apabila bekas
maharaja empayar Jerman dibuang negeri. Austria menjadi sebuah republik apabila pemerintahan
Habsburg dihapuskan. Revolusi Rusia telah menumbangkan kerajaan beraja dan muncul kerajaan
komunis yang pertama di bawah pimpinan Vladimir Lenin. Tegasnya, Perang Dunia Pertama telah
menggantikan sistem pemerintahan monarki dengan pemerintahan demokrasi menerusi penubuhan
kerajaan republik. Tegasnya, Perang Dunia Pertama telah menggantikan sistem pemerintahan
monarki kepada pemerintahan demokrasi menerusi penubuhan kerajaan republik.
3. Kemunculan Negara Baru
Perjanjian Versailles(1919) telah mengubah peta Eropah dan menyaksikan kemunculan
negara-negara baharu. Negara-negara baharu yang ditubuhkan daripada empayar Rusia ialah
Poland, Finland, Estonia, Latvia dan Lithuania. Perpecahan Empayar Turki Uthmaniyah
menyebabkan muncul negara baharu seperti Lebanon, Syria dan Iraq. Keruntuhan Empayar
Austria-Hungary menyebabkan lahir negara-negara seperti Austria, Hungary, Czechoslovakia dan
Yugoslavia. Ternyata, perang ini menyaksikan keruntuhan empayar-empayar agung dan lahir
beberapa negara baru di dunia.
4. Penubuhan Liga Bangsa
Kesan amat signifikan ekoran tercetus Perang Dunia Pertama ialah penubuhan Liga Bangsa.
Badan antarabangsa ini ditubuhkan ekoran persetujuan yang dicapai dalam Perjanjian Versailes pada
tahun 1919. Tujuan Penubuhan Liga Bangsa adalah memastikan syarat-syarat Perjajian Damai Paris
dipatuhi. Pada masa yang sama bertujuan mengekalkan keamanan dunia. Masalah-masalah
negara-negara diselesaikan melalui mesyuarat.Tuntasnya, Perang Dunia Pertama mendorong
pemimpin dunia mengasaskan Liga Bangsa bagi menyelesaikan polemik antara negara.
62
5. Jerman Kehilangan Wilayah
Perjanjian Versailes (1919) telah menyebabkan Jerman kehilangan wilayah dan jajahan
takluknya. Wilayah Alsace dan Lorraine telah diserah kepada Perancis, manakala Euphen dan
Malmedy diserahkan kepada Belgium.Wilayah-wilayah Memel, Lithuania dan Barat Prusia diserahkan
kepada negara Poland yang baharu diwujudkan. Wilayah Lembah Saar diserahkan kepada Perancis
sebagai pampasan perang. Wilayah ini berada di bawah pentadbiran Liga Bangsa bagi tempoh 15
tahun. Jerman juga dikehendaki mengiktiraf kemerdekaan Belgium, Poland dan Czechoslovakia.
Pelabuhan Dunzig dijadikan wilayah merdeka di bawah penguasaan Liga Bangsa, Jerman juga
kehilangan sebahagian besar tanah jajahan di Afrika dan Rantau Pasifik kepada British, Perancis dan
Jepun. Wilayah Shantung dan Kiachow(China) diserahkan kepada Perancis manakala Cameroon dan
Togoland diserahkan kepada Britain dan Perancis. Jerman juga dikehendaki menyerahkan hak
istimewanya terhadap China, Thailand, Mesir, Morocco dan Liberia. Tegasnya, kekalahan Jerman
dalam Perang Dunia Pertama merupakan punca Jerman kehilangan wilayahnya.
6. Kekuatan Jerman Dilumpuhkan
Menerusi Perjanjian Versailles, asas ketenteraan Jerman dihapuskan sama sekali. Antara
peruntukan utama dalam perjanjian ini adalah perlucutan senjata terhadap Jerman. Staf angkatan
bersenjata yang menjadi nadi organisasi ketenteraan Jerman dimansuhkan.Jerman dikehendaki
menghadkan jumlah tenteranya kepada 100,000 orang tentera sahaja. Keputusan dibuat dalam
Perjanjian Versailles untuk menghapuskan pangkalan tentera laut di Heligoland dan Dune. Jerman
juga dilarang membeli senjata-senjata perang,meriam besar dan kereta kebal. Jerman juga dilarang
menempatkan tenteranya di wilayah Rhineland yang terletak berhampiran dengan Perancis.
Tuntasnya, syarat-syarat Perjanjian Versailles(1919) telah melumpuhkan kekuatan tentera Jerman
dan menjadikan negara tersebut lemah.
7. Kebangkitan Nasionalisme
Perang Dunia Pertama juga telah melahirkan sentimen kebangsaan dalam kalangan
negara-negara bangsa. Konsep nasionalisme menjadi teras kepada pembentukan negara bangsa.
Pengumuman Presiden Woodrow Wilson mengenai hak menentukan nasib sendiri telah
mempengaruhi gerakan nasionalisme di India dan Asia Tenggara. Umpama Persatuan
Pemuda-pemuda Buddha di Myanmar mula bersifat politik menjelang tahun 1916. Jelaslah
kebangkitan nasionalisme dan pembetukan negara bangsa menjadi aspirasi negara-negara yang
dijajah berusaha menuntut kemerdekaan menerusi konsep dekolonisasi dan mencapai kemerdekaan
menjadi sebuah negara yang bebas dan berdaulat.
8. Perkembangan Semangat Antarabangsa
Perang Dunia Pertama meletakkan asas bagi kemunculan semangat antarabangsa dalam
kalangan bangsa Eropah dan di seluruh dunia. Kesengsaraan dan kemusnahan yang berlaku ekoran
daripada Perang Dunia Pertama telah memberi kesedaran tentang kepentingan kerjasama antara
negara bagi memulihkan keamanan dan keharmonian sejagat. Kesedaran ini meletakkan asas bagi
Persidangan Damai Paris yang diadakan di Paris pada 18 Januari 1919. Tegasnya, peperangan telah
menyedarkan masyarakat dunia betapa peperangan dan permusuhan merugikan, semua pihak
berusaha mencari jalan perdamaian dan membina hidup yang lebih bererti dan selesa.
Kesimpulan
Perjajian Versailles yang ditandatangani bagi menamatkan Perang Dunia Pertama
meninggalkan kesan dalam bidang politik. Selain merubah sistem politik dunia, perang ini
menyebabkan Jerman kehilangan sebahagian besar wilayah dan jajahan. Perang ini melumpuhkan
kekuatan tentera negara Jerman dan kedaulatan negara tersebut tercabar. Perkembangan ini
meletakkan asas kepada perletusan Perang Dunia Kedua.
63
Soalan 36 : Sejauh manakah Doktrin Truman telah mencetuskan Perang Dingin di Eropah
antara tahun 1945-1955? Bincangkan.
Pendahuluan
Istilah Perang Dingin dipelopori oleh Bernard Baruch dalam ucapannya kepada
Jawatankuasa Penyelidikan Senat pada tahun 1948. Ini merujuk kepada keadaan tegang yang wujud
antara Amerika Syarikat dengan Soviet Union. Hubungan tegang antara kedua-dua kuasa besar ini
berlaku tanpa sebarang pertempuran bersenjata. Negara-negara komunis diketuai oleh Soviet Union
dengan negara-negara barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat. Apabila tercetus Perang Dingin,
kedua-dua pihak menjalinkan kegiatan subversif, propaganda, pengintipan dan perang secara tidak
langsung menerusi sekutu mereka. Menurut sejarawan, Perang Dingin bermula pada tahun 1947,
apabila Presiden Harry Truman, mengisytiharkan dasar antikomunis yang dikenali sebagai „Doktrin
Truman.‟ Perang ini berlanjutan hingga akhir tahun 1980-an. Selain Doktrin Truman, terdapat
faktor-faktor lain yang mencetuskan Perang Dingin di Eropah sekitar tahun 1945-1955.
Isi-isi penting
Isi wajib
1. Doktrin Truman
Perang Dingin tercetus apabila Presiden Harry Truman mengumumkan bahawa segala
bantuan yang diberikan kepada Soniet Union dihentikan. Pada Oktober 1945, beliau menegaskan
Amerika Syarikat tidak mengiktiraf mana-mana kerajaan yang ditubuhkan tanpa persetujuan
penduduknya. Pada tahun 1946, Presiden Harry Truman menekankan dasar Amerika Syarikat yang
akan menggunakan apa cara sekalipun untuk membendung pengaruh komunis. Kenyataan ini,
menjadi asas kepada pembentukan „Doktrin Truman‟ yang membawa kepada usaha Amerika
Syarikat menentang peluasan pengaruh Soviet Union dan ideologi komunis keseluruh dunia.
Berpandukan kepada doktrin, Amerika Syarikat telah memberi bantuan ketenteraan dan kewangan
kepada Turki dan Greece untuk menghadapi ancaman komunis. Doktrin ini menjadi asas kepada
dasar luar Amerika Syarikat bagi tempoh tiga dekad berikutnya.
Isi-Isi Lain
2. Tirai besi
Tirai besi merujuk kepada kewujudan dua buah blok di Eropah. Pada bulan Mac 1946,
Perdana Menteri Britian Winston Churchill memberitahu bahawa terdapat „tirai besi‟ yang
memisahkan Eropah kepada 2 blok yang bermusuhan, iaitu blok komunis dan blok bukan komunis.
Pandangan ini dikemukakan oleh Churchil jelas menunjukkan wujud perpecahan antara Timur
dengan Barat. Kewujudan tirai besi menyebabkan hubungan perdagangan antara blok-blok ini amat
terhad, manakala hubungan biasa secara perseorangan hampir tidak wujud.
3. Rancangan Marshall
Pada tahun 1947, Amerika Syarikat melancarkan perancangan Rancangan Marshall untuk
membantu negara-negara Eropah memulihkan ekonomi dan mengukuhkan pemerintahan demokratik
di negara tersebut. Soviet Union menolak Rancangan Marshall walaupun pada awalnya menyertai
perbincangan rancangan ini. Soviet Union menolak Rancangan Marshall yang didakwa sebagai
campur tangan Amerika Syarikat dalam hal negara lain. Soviet Union enggan menerima bantuan dan
memaksa negara-negara Eropah timur yang lain untuk berbuat demikian. Di bawah Rancangan
Marshall, Amerika Syarikat membekalkan bahan-bahan mentah, jentera, minyak dan baja bernilai
$ 3000 juta dollar Amerika.
4. Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Eropah (OEEC)
Penubuhan OEEC untuk menguruskan Rancangan Marshall menambahkan ketegangan
antara timur dan barat. Pertubuhan ini dianggotai oleh 16 buah negara Eropah termasuk Amerika
Syarikat dan Kanada. Melalui pertubuhan ini, Amerika Syarikat membelanjakan sejumlah besar wang
bagi menjalinkan kerjasama ekonomi dalam kalangan negara. Ekoran dari bantuan itu, Eropah barat
mengalami pemulihan ekonomi yang ketara. Pembangunan ekonomi dan kemakmuran yang dikecapi
oleh penduduk menyebabkan perkembangan fahaman komunis dapat disekat di Eropah Barat.
64
5. Perkembangan pengaruh komunis di Eropah Timur
Selepas Perang Dunia Kedua tamat, Soviet Union mula mengukuhkan kedudukannya
di Eropah Timur, dengan menempatkan tenteranya di Poland, Hungary, Romania, Bulgaria,
Czechoslovakia, bahagian timur Jerman dan Austria. Soviet Union menggunakan kekuatan tentera
untuk membentuk kerajaan-kerajaan komunis, malah menggunakan kuasanya untuk mengendalikan
dasar-dasar dalam dan luar negara-negara tersebut. Dasar Soviet Union mengukuhkan pemerintah
komunis jelas ketara di Poland, Czechoslovakia dan Yugoslovia. Perkembangan pengaruh komunis
di Eropah Timur menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemimpin-pemimpin politik di Eropah.
6. COMECON (1949)
Selepas penolakan terhadap Rancangan Marshall, Soviet Union mula mengawal
negara-negara Eropah Timur di bawah pengaruh komunis. Stalin telah menubuhkan Biro Penerangan
Komunis Cominform untuk menyelaraskan kegiatan parti-parti komunis di Eropah. Pertubuhan ini
bertujuan untuk mewujudkan kerjasama ekonomi antara negara-negara Eropah Timur dalam
COMECON. Perkembangan ini semakin melebarkan jurang antara Timur dengan Barat di Eropah.
Kesimpulan
Doktrin Truman jelas telah mencetuskan peristiwa besar dalam sejarah dunia apabila
wujudnya perang tanpa senjata iaitu Perang Dingin. Perang Dingin telah menyebabkan muncul blok
dunia dan pakatan ketenteraan seperti NATO, SEATO, dan pakatan WARSAW. Perang ini juga
menyebabkan kedua-dua kuasa besar berlumba-lumba untuk menambahkan senjata dan kekuatan
tentera. Menjelang Perang Dingin juga menyaksikan kemunculan negara-negara yang mengamalkan
dasar berkecuali menerusi NAM. Pakatan ketenteraan dapat mengimbangi kekuatan kedua-dua pihak
dalam menghadapi ancaman musuh.
Soalan 37 : Perang Dingin telah membawa perubahan landskap terhadap politik dunia pada
abad ke-20. Huraikan pernyataan ini dengan contoh-contoh yang releven.
Pengenalan
Perang Dingin merujuk kepada konflik antara negara-negara Komunis yang diketuai oleh
Soviet Union dengan negara-negara Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat. Perang Dingin juga
merujuk keadaan tegang yang wujud antara kedua-dua negara ini. Yang dikesan sejak Perang Dunia
Kedua lagi. Perang ini melambangkan konflik antara negara-negara untuk memajukan kepentingan
nasional melalui cara-cara politik, ekonomi, dan psikologi. Tercetus Perang Dingin apabila Presiden
Henry Truman menisytiharkan Doktrin Truman pada tahun 1947 menyebabkan kedua-dua pihak
menjalanan kegiatan subversif, propaganda, pengintipan, dan perang secara tidak langsung
menerusi sekutu mereka. Peperangan yang berlanjutan hinga ke tahun 1980an ini telah membawa
perubahan landskap terhadap politik dunia.
Isi-Isi penting
1. Kemunculan Perikatan Tentera
Perubahan yang berlaku terhadap landskap dan politik dunia akibat Perang Dingin ialah
kemunculan Perikatan Tentera. Selepas Perang Dingin Kedua, Soviet Union muncul sebagai kuasa
militer yang paling kuat. Kebangkitan Soviet Union menyebabkan negara-negara Eropah Barat
mewujudkan Perikatan Tentera. Antara Perikatan Tentera yang diwujudkan ialah Persetiaan Dunkirk
dan Perjanjian Brusells. Perikatan Tentera diwujudkan untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang
ketenteraan dan ekonomi dalam kalangan negara-negara Eropah Barat. Jelaslah bahawa berlaku
perubahan terhadap arena politik antarabangsa apabila muncul perikatan-perikatan tentera di antara
negara-negara Eropah.
2. Penubuhan Pakatan NATO, WARSAW dan SEATO
Seterusnya, perkembangan politik dunia berlaku dengan tertubuhnya Pakatan NATOdan
WARSAW. Pada tahun 1949 pula, Blok Komunis menyertai China selepas Parti Komunis China
(PKC) memenangi Perang Saudara dimana PKC dipimpin oleh Mao Tse-Tung. Kerana perbezaan
pengamalan sistem politik dan ekonomi, kedua-dua blok bersiap sedia dengan sebarang
kemungkinan seperti perang kilat. Amerika Syarikat (AS) membentuk pakatan tentera yang digelar
65
sebagai North Atlantic Treaty Organisation (NATO). NATO disertai oleh negara-negara yang
mengalami ancaman daripada komunis. Sebagai balasan, Blok Komunis menubuhkan Pakatan
WARSAW yang beranggotakan seluruh negara-negara Eropah Timur. NATO dan Pakatan WARSAW
ini masing-masing mempunyai senjata nuklear. Manakala satu lagi pakatan iaitu South-East Asia
Treaty Organisation (SEATO) yang disertai oleh Amerika Syarikat, Australia, Britain, New Zealand,
Perancis, Filipina, Pakistan dan Thailand ditubuhkan bagi menghalang komunis ataupun kerajaan
Rusia dan China berpengaruh di Asia.
3. Dunia terbahagi kepada Blok Kapitalis dan Blok Komunis
Akibat Perang Dingin yang paling ketara adalah, terbahaginya dunia kepada dua blok yang
berbeza iaitu Blok Kapitalis dana Blok Komunis. Perang Dingin ini menyaksikan kewujudan blok
dunia. Blok Dunia ini menyaksikan negara-negara yang sehaluan yang akan bertindak Bersama
menjaga kepentingan anggotanya. Dapat dilihat bahawa, Jerman telah berpecah kepada dua iaitu
Jerman Timur dan Jerman Barat dimana ini melambangkan bagaimana blok-blok ini wujud . Jerman
Barat diduduki oleh Tentera Berikat manakala tentera Rusia berpihak di Jerman Timur. Sistem
demokrasi diamalkan oleh Jerman Barat dan Jerman Timur pula mengamalkan sistem komunis.
Tembok Berlin telah dibina bagi memisahkan dua negara Jerman, dimana ibu kota lama Jerman
dibahagikan dua kepada Kuasa Berikat dan Tentera Rusia.
4. Perlumbaan senjata dan ketenteraan
Perkembangan politik dunia diperhebatkan dengan perlumbaan senjata dan ketenteraan oleh
negara-negara kuasa besar aiitu Amerika Syarikat dan Rusia. Pertelagahan dua kuasa besar ini
menyebabkan masing-masing mahu memberi perhatian terhadap keupayaan ketenteraan. Akibatnya
berlaku perlumbaan senjata tetapi masing-masing cuba mengelakkan perselisihan yang mungkin
akan tercetusnya peperangan yang lebih besar. Amerika Syarikat dan Rusia menggunakan pelbagai
inisiatif bagi memperjuangkan kepentingan masing-masing termasuklah melakukan kegiatan
subversive, pengintipan , dan berperang melalui sekutu-sekutu mereka sehingga melibatkan benua
Asia. Contohnya yang berlaku di China, AS cuba membantu Chiang Kai-Shek menentang Parti
Komunis China (PKC). Namun, PKC memenanginya dan membawa kepada penyatuan Amerika
Syarikat dengan Jepun yang sebelumnya adalah negara musuh yang sangat ditakuti . Ini kerana,
Amerika Syarikat mahu membantu Jepun menggugat keselamatan China. Ternyata bahawa
perlumbaan senjata antara dua kuasa besar ini mewarnai perkembangan politik dunia pada abad
ke-20..
5. Kemunculan Negara-Negara Berkecuali ( NAM )
Perang Dingin menyebabkan negara-negara dunia ketiga menjadi rebutan antara dua kuasa
besar. Negara-negara dunia ketiga tidak mahu memihak kepada blok komunis atau blok kapitalis.
Blok Komunis dan blok kapitalis berusaha mempengaruhi negara-negara dunia ketiga dengan
menawarkan bantuan pertahanan dan ekonomi. Negara-negara dunia ketiga todak mahu memihak
kepada blok komunis mahupun blok kapitalis. Perkembangan ini menyebabkan Pergerakan
Negara-Negara Berkecuali (NAM) ditubuhkan. Matlamat utama NAM adalah mengekalkan keamanan
dunia tanpa menyokong blok Barat ataupun blok komunis.
Kesimpulan
Perang Dingin yang bermula di benua Eropah tersebar ke bahagian-bahagian lain di dunia.
Perang ini berlanjutan hingga tahun 1980-an dan berakhir ekoran keruntuhan negara-negara komunis
di Eropah Timur pada tahun 1989. Biarpun politik dunia di pengaruhi oleh Perang Dingin, tetapi
banyak negara yang tidak mahu melibatkan diri dalam persengketaan tersebut. Mereka tidak mahu
menyokong komunis dan kapitalis. Negara-negara tersebut digelar negara-negara dunia ketiga.
Persaingan antara dua kuasa besar iatu Rusia dan Amerika Syarikat mewujudkan pakatan
ketenteraan telah membawa perubahan kepada landskap politik dunia.
66
Soalan 38 : Huraikan faktor-faktor yang telah mencetuskan Gerakan 4 Mei 1919.
Pengenalan
Gerakan 4 Mei merujuk kepada demonstrasi yang dilancarkan oleh pelajar-pelajar
Universiti Peking pada 4 Mei 1919. Merupakan kebangkitan nasionalisme rakyat China
terhadap kegiatan imperialisme yang ditekankan ke atas mereka dan juga merupakan
sebahagian daripada gerakan intelektual yang berlaku antara tahun 1917-1923. Kemunculan
gerakan 4 Mei disebabkan oleh perasan tidak puas hati terhadap keputusan Perjanjian
Versailles yang memihak kepada Jepun. Lebih kurang 5000 pensyarah dan mahasiswa
Universiti Peking mengadakan demonstrasi membantah keputusan Perjanjian Versailles dan
demonstrasi pelajar mendapat sokongan dan sambutan yang amat menggalakkan daripada
rakyat Cina. Perkembangan tersebut telah menyebabkan rusuhan dan pemogokan diadakan
di seluruh negara dan matlamat utamanya adalah menyelamatkan China daripada ancaman
kuasa-kuasa asing. Terdapat beberapa faktor yang mencetuskan Gerakan 4 Mei 1919.
Isi-Isi Penting
1. Ketidakstabilan politik
Antara faktornya ialah berlakunya ketidakstabilan politik di negara China. Keadaan politik
di negara China tidak stabil selepas kerajaan Manchu digulingkan. Perselisihan faham timbul dalam
kalangan pemimpin-pemimpin di China menyebabkan mereka tidak dapat membentuk
sesebuah kerajaan yang kukuh. Mereka juga gagal mengatur program-program bagi
membangunkan negara yang mundur. Pada masa itu, perselisihan faham antara Presiden
Yuan Shih-kai dengan Dr. Sun Yat Sen memburukkan lagi keadaan politik di China. Keadaan
politik semakin meruncingkan apabila munculnya zaman kehulubalangan selepas kematian
Yuan Shih-Kai. Pergolakan politik ini menyebabkan rakyat tidak puas hati dan hilang kepercayaan
terhadap kerajaan yang seterusnya membawa kepada berlakunya Gerakan 4 Mei 1919.
2. Kemunculan golongan saudagar dan pekerja
Kemunculan golongan saudagar dan pekerja juga dapat dikaitkan dengan Gerakan 4 Mei
1919. Semasa Perang Dunia Pertama (1914-1918), perusahaan besi dan keluli berkembang
pesat di China. Pihak Berikat memerlukan bekalan besi dan keluli serta kelengkapan perang.
Perkembangan tersebut menyebabkan permintaan untuk bekalan besi dan keluli meningkat
dan muncul golongan saudagar dan pekerja. Golongan saudagar dan pekerja tidak berpuas
hati dengan pergolakan politik yang berlaku di China dan juga amalan rasuah serta
penyelewengan yang dilakukan oleh pegawai-pegawai kerajaan. Perkembangan ini menyebabkan
golongan saudagar dan pekerja melibatkan diri dalam Gerakan 4 Mei.
3. Perkembangan intelektualisme
Berlakunya perkembangan intelektualisme dalam kalangan rakyat China juga mencetuskan
Gerakan 4 Mei 1919. Antara tahun 1903 hingga 1919, semakin ramai pelajar China dari luar
negeri pulang ke tanah air. Mereka menyedari pelbagai kepincangan yang berlaku di dalam
negara mereka. Mereka mula mengatur langkah-langkah untuk melakukan pembaharuan bagi
membangunkan negara mereka. Dalam masa itu, Universiti Peking memainkan peranan
sebagai pusat perkembangan intelektual di China. Tenaga pengajar universiti tersebut
memainkan peranan menyebarkan idea baharu kepada pelajar-pelajar. Mereka yang
terpengaruh dengan idea baharu berperanan dalam kebangkitan Gerakan 4 Mei.
4. Faktor luar negeri
Peristiwa yang berlaku di luar negara turut mempengaruhi timbulnya Gerakan 4 Mei.
Peristiwa penting yang memberi kesan mendalam ialah Revolusi Bolshevik yang berlaku
di Rusia pada tahun 1917. Kejayaan Revolusi Bolshevik menggulingkan kerajan Tsar Russia
dan membentuk sebuah kerajaan yang moden. Selain itu, revolusi sosial yang tercetus
di Finland, Jerman, Australia, dan Hungary turut mempengaruhi pencetusan Gerakan 4 Mei.
Jelaslah bahawa situasi yang berlaku di luar negara turut mempengaruhi Gerakan 4 Mei 1919.
67
5. Pengambilan wilayah Shantung oleh Jepun
Tindakan Jepun mengambil wilayah Shantung di China turut membawa kepada berlakunya
Gerakan 4 Mei. Jepun bertindak menguasai wilayah Shantung daripada Jerman pada Perang
Dunia Pertama dan menempatkan pasukan tenteranya bagi mengukuhkan kedudukan
di wilayah tersebut. Jepun telah mengalahkan Jerman di Shantung dan merampas konsesi
Jerman di Shantung. Pada 18 Januari 1915, Jepun telah mengemukakan tuntutan yang dikenali
sebagai “21 permintaan” untuk dilaksanakan oleh China dan menjadikan negeri China sebagai
protektorat Jepun. Antara perkara-perkara yang terkandung dalam tuntutan tersebut ialah; China
tidak menyerahkan atau memajak mana-mana wilayahnya kepada kuasa ketiga; China
dikehendaki melantik penasihat-penasihat Jepun dalam bidang kewangan, ketenteraan, dan
pasukan polis dan China harus menerima keputusan yang dicapai oleh Jepun dengan Jerman
berhubung dengan hak-hak Jerman di wilayah Shantung.
Kesimpulan
Pada bulan April 1919, Persidangan Versailles membuat keputusan agar wilayah
Shantung diserahkan kepada Jepun dan keputusan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati
dalam kalangan golongan radikal dalam masyarakat cina. Demonstrasi serta pemulauan yang
dilakukan oleh saudagar-saudagar telah melumpuhkan ekonomi China. Perkembangan ini telah
menyebabkan pihak berkuasa bertindak membebaskan pelajar-pelajar yang ditangkap pada 7
Mei 1919. Dalam masa yang sama, Presiden Hsu Shih-chang mengarahkan perwakilan China
yang menyertai Persidangan Versailles supaya menolak syarat-syarat Perjanjian Versailles.
Pada 28 Jun 1919, perwakilan China tidak menghadiri upacara menandatangani Perjanjian
Versailles. Tindakan perwakilan China yang meninggalkan Versailles tanpa menandatangani
Perjanjian Versailles membuktikan Gerakan 4 Mei telah mencapai matlamatnya.
Soalan 39 : Bincangkan matlamat penubuhan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara
(NATO).
Pengenalan
Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara ( NATO) ditubuhkan pada 4 April 1949. Pada asalnya
12 buah Negara sahaja menganggotai pertubuhan ini. Ibupejabat NATO terletak di Paris. NATO
telah menonjolkan Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dan keselamatan di Eropah barat. Pada
peringkat awal, Negara yang terlibat dengan NATO ialah Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada,
Perancis, Itali, Belgium, Belanda, Norway, Denmark, Portugal, Iceland, dan Luxembang. Kini
keanggotaan dalam NATO telah meningkat kepada 28 anggota. NATO memperlihatkan Amerika
Syarikat sebagai kuasa besar yang memainkan peranan dalam pertahanan Eropah Barat. Terdapat
beberapa matlamat penting penubuhan NATO.
Isi-Isi Penting
1. Menyekat Komunisme
Matlamat utama penubuhan NATO adalah untuk membendung penyebaran fahaman
komunisme yang diterajui oleh Rusia. Rusia berjaya menyebarkan dan mengukuhkan pengaruh
komunis di negara-negara Eropah Timur selepas Perang Dunia Kedua. Perkembangan komunis di
negara-negara Eropah Timur membimbangkan Amerika Syarikat dan Britain. Perkembangan ini
mendorong Amerika Syarikat dan Britain menubuhkan NATO sebangai benteng menyekat
penyebaran fahaman komunis.
2. Menghalang kebangkitan semula kuasa ketenteraan Jerman di Eropah
NATO ditubuhkan dengan tujuan menghalang kebangkitan semula kuasa ketenteraan
Jerman di Eropah. Kebangkitan Jerman membimbangkan Britain dan Perancis kerana kebangkitan
ketenteraan Jerman dikhuatiri mencetuskan pergolakan dunia. Dalam konteks ini pakatan tentera
seperti NATO DAPAT MENYEKAT KEBANGKITAN Jerman sebagai kuasa tentera yang mengancam
kestabilan politik di benua Eropah. Strategi NATO adalah bagi mewujudkan sistem pertahanan
bersama yang melibatkan semua negara anggotanya terhadap keselamatan dan kedaulatan setiap
negara anggota.
68
3. Melibatkan Amerika dalam hal ehwal ketenteraan dan politik Eropah
NATO megesahkan kehadiran Amerika Syarikat dan Britian selepas tahun 1945 di Eropah
terutamanya di Jerman dan Turki supaya komunisme yang diarah dari Moscow dapat disekat dengan
berkesan. Tambahan pula, pada tahun 1949, Soviet Union telah meletupkan bom atomnya yang
pertama. Hal ini kebimbangan negara-negara Eropah, lantas Britain berpendapat bahawa penyertaan
Amerika Syarikat dalam NATO akan lebih efektif demi menjaga kestabilan politik di Eropah.
4. Mengekang perluasan ideologi komunis dan ketenteraan Rusia di Eropah
Soviet Union sering dipersalahkan dan dilihat sebagai tidak demokratik, tidak menghormati
hak asasi manusia, dan tindakan menghormati kebebasan individu sebagaimana yang dipraktikan
di Eropah. Soviet Union didakwa oleh pihak Barat lebih komited untuk melebarkan pengaruh politik
yang berideologikan komunisme di Eropah atau di Asia. menyebabkan Britian dan Amerika Syarikat
mengambil inisiatif untuk menubuhkan NATO. Soviet Union pula memberi satu persepsi bahawa
NATO ialah Amerika syarikat dan Amerika Syarikat ialah NATO. Ini bermakna NATO didominasikan
oleh Amerika Syarikat berbanding negara-negara lain.
5. Mengatasi ketidakupayaan Eropah terhadap kemampuan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu)
Dari sudut ketenteraan mahupun sudut pendekatan dan strategi bagi menyelesaikan atau
mengatasi pelbagai konflik antarabangsa, khususnya dalam konteks dunia secara berkesan. Dalam
PBB kelemahan yang dipersoalkan ialah pihak atau negara mana yang akan mengetuai misi
ketenteraan PBB dan Negara mana yang akan membiayai segala perbelanjaan sepanjang misi
ketenteraan PBB. Implikasinya ialah kuasa-kuasa besar dunia yang merupakan anggota Majlis
keselamatan PBB yang memiliki kuasa veto ketika itu selalunya lebih banyak bersetuju untuk tidak
bersetuju dalam menangani mana-mana konflik antarabangsa.
Kesimpulan
NATO memainkan peranan sebagai badan yang mempertahankan keselamatan dan
pertahanan negara-negara anggota. Keadaan politik yang tidak stabil ketika Perang Dingin
menyebabkan kerjasama dalam bidang ketenteraan sangat penting. Komitmen berterusan Amerika
syarikat dalam NATO dilihat sebagai kunci keseimbangan, keutuhan, dan kestabilan NATO. Fokus
NATO sering berubah mengikut keadaan apabila memberi tumpuan kepada Soviet Union, kini
selepas peristiwa 9 September fokusnya juga berubah kepada menangani bahaya pengganas dan
serangan siber.
69
Soalan 40 : Terangkan penglibatan Amerika Syarikat dan United Kingdom dalam Pertubuhan
Perjanjian Atlantik Utara ( NATO )
Pengenalan
NATO atau Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara ditubuhkan pada 4 April 1949 beribu pejabat
di Paris. Pada peringkat awalnya, hanya 12 buah negara sahaja yang menganggotai pertubuhan ini.
Negara-negara berkenaan adalah Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Italy, Portugal,
Denmark, Norway, Belgium, Perancis.. Strategi Nato untuk mewujudkan sistem pertahanan bersama
yang melibatkan semua negara anggota terhadap keselamatan dan kedaulatan setiap negara
anggota. Pada dasarnya NATO bertujuan membendung pengaruh komunis yang diterajui oleh Soviet
Union . Faktor penubuhan NATO ialah untuk menghalang kebangkitan semula kuasa ketenteraan
Jerman di Eropah, melibatkan secara langsung Amerika Syarikat dalam hal ehwal ketenteraan dan
politik Eropah dan mengatasi ketidakyakinan Eropah terhadap kemampuan Pertubuhan Bangsa-
Bangsa Bersatu ( PBB ).
Isi-Isi Penting
1. Penglibatan Amerika Syarikat dalam NATO
NATO yang beribu pejabat di Paris telah menonjolkan Amerika Syarikat sebagai kuasa besar
yang memainkan peranan utama dalam pertahanan dan keselamatan di Eropah Barat. NATO
ditubuhkan untuk menghalang semula kebangkitan Jerman di Eropah, mengheret dan melibatkan
secara langsung Amerika Syarikat dalam hal ehwal ketenteraan dan politik Eropah, mengekang
peluasan idealogi komunis dan ketennteraan Rusia di Eropah dan seterusnya mengatasasi
ketidakyakinan Eropah tentang ketidakmampuan PBB sama ada dari sudut pendekatan dan strategi
bagi menyelesaikan atau mengatasi pelbagai konflik antarabangsa khususnya dalam konteks dunia
secara berkesan. Bagi mencapai matlamat NATO, strategi yang digunakan ialah mewujudkan sistem
pertahanan bersama yang melibatkan semua negara anggotanya terhadap keselamatan dan
kedaulatan setiap negara anggota. NATO yang bertujuan untuk membendung pengaruh komunis
yang diterajui oleh Soviet Union termasuk negara-negara Eropah Timur yang prokomunis juga telah
menambah kekuatan ketenteraan. Oleh itu, NATO telah mengesahkan kehadiran tentera Amerika
Syarikat dan Britain selepas tahun 1945 di Eropah terutamanya di Jerman dan Turki supaya
komunisme yang diarah dari Moscow dapat disekat dengan berkesan. Tambahan pula pada tahun
1949 Soviet Union telah meletupkan bom atomnya yang pertama.
2. Peranan United Kingdom dalam NATO
Britain adalah negara yang memainkan peranan penting dalam proses penubuhan NATO.
Jika dirujuk kepada koleksi surat-surat peribadi Ernest Bevin, Setiausaha Luar Britain dari tahun 1946
hingga 1951 dan dokumen yang dihasilkan oleh Foreign Office, pihak British sememangnya
menyusun strategi dengan mengetengahkan peranan besar Amerika Syarikat dalam proses
penubuhan NATO. Ini bermakna pihak British berjaya untuk tidak menonjolkan peranan mereka wa-
laupun British merupakan Key Player dalam proses pembentukan NATO. Britain yang diterajui oleh
Parti Buruh telah menyusun pelbagai strategi bagi memastikan pertubuhan antara bangsa yang bakal
dibentuk akan turut disertai oleh Amerika Syarikat . Berdasarkan pengalaman Britain sesuatu
pertubuhan itu kurang berkesan jika tidak disertai oelh Amerika Syarikat seperti yang berlaku ke atas
Liga -Liga Bangsa.
Andrew Priest dalam bukunya Kennady Johnson and NATO menyatakan Ernest Bevin, Setiausaha
Luar Britain dipertanggungjawabkan untuk Educating The Americans bagi menghadapi ancaman
Soviet Union khususnya selepas tahun 1945. Prisiden Henry Truman dikatakan masih belum
bersedia menghadapi ancaman Soviet Union di Eropah dan bagi pihak United Kingdom perlu
membuat perancangan jangka panjang penglibatan Amerika Syarikat dalam soal keselamatan
di Eropah.
3. Hubungan United Kingdom dan Amerika Syarikat dalam NATO
Selepas Perang Dingin menyebabkan hubungan antara United Kingdom dan Amerika
Syarikat menjadi lebih baik dan ianya boleh dilihat melalui tiga bentuk hubungan iaitu perundingan
diplomatik, merunding dan membincangkan pelbagai peringkat diplomasi kerjasama ketenteraan,
kerjasama bilateral terutama tentera udara dan laut, dan kerjasama perisikan yang menuntungkan
70
kedua-dua pihak khususnya menerusi Federal Bureau of Investigation ( FBI ) dan Centrel
Intelliagence ( CIA ) di pihak Amerika dan M16 Secret Intellegence Service ( SIS ) dan M15 Security
Service di pihak Britain. Hubungan keduanya menjadi renggang apabila Atomic Energy Act
diperkenalkan yang melarang Amerika mengadakan kerjasama nuklear dengan negara-negara lain.
Ianya mengecewakan Britain yang bercita-cita menbangunkan senjata nuklear dan ingin meminta
bantuan Amerika . Britain akhirnya mendirikan sendiri senjata nuklear setelah mengadakan beberapa
siri rundingan nasihat dari Amerika. Akhirnya pada tahun 1952, Britain berjaya menghasilkan empat
senjata nuklear dii belakang Amerika Syarikat dan Rusia. NATO dianggap oleg Soviet sebagai
Amerika dan Amerika adalah NATO ianya menunjukkan pengaruh Amerika sangat besar dan kuat
dalam NATO berbanding negara-negara lain. Komitmen berterusan Amerika dalam NATO dilihat
sebagai kunci keseimbangan keutuhan dan kestabilan NATO sebagai institusi yang berperanan
memelihara keamanan dan keselamatan dunia secara praktikal bukan sahaja di Eropah malah
di seluruh dunia.
Kesimpulan
Menurut seorang ahli psikologi, mengatakan orang Amerika tidak akan menyertai
sepenuhnya sesuatu organisasi yang tidak boleh dikuasai oleh mereka. Jika tidak mahu kuasa NATO
merosot mereka mesti memberi kuasa yang lebih kepada Amerika. Jelas Amerika menguasai NATO
dan mendominasi NATO. Komitmen berterusan Amerika Syarikat dalam NATO dilihat sebagai kunci
keseimbangan, keutuhan dan kestabilan NATO. Ini bermakna NATO didominasi oleh Amerika
Syarikat berbanding negara-negara lain.
71