Assalamualaikum & salam sejahtera, nama saya MUHAMMAD ALIF AKMAL BIN
ZAILAINI, saya merupakan pengawas Pusat Sumber di Sekolah Menengah Kebangsaan
Hutan Melintang, Perak.
Pada hari ini, saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang sebuah buku yang
sangat menarik untuk dibaca. Buku yang ingin saya kongsikan ini berjudul “Ibu,
Kaulah Segalanya”.
Buku ini adalah hasil karya Siti Nur Nadiah Zakaria yang merupakan seorang bekas
graduan dari Universiti Malaya. Dalam dunia pengkaryaannya, beliau telah
menghasilkan buku-buku yang berkonsepkan tentang masakan, kesihatan & seni
masyarakat tempatan. Antara buku yang dikarang oleh beliau termasuklah Kuih-Muih,
Herba, Tarian, Alat Muzik, Kraftangan & Binaan Warisan.
Buku ini diterbitkan pada tahun 2015 oleh penerbit Prisma Sdn Bhd. Buku ini
mengandungi sejumlah 118m/s, berharga RM_____ dan merupakan sebuah buku
Fiksyen Melayu.
Saya begitu tertarik dengan cara olahan pada buku ini kerana menggunakan bahasa &
perkataan yang jelas & mudah difahami serta sesuai dibaca oleh pelbagai peringkat
umur. Dari aspek gaya penulisan buku, buku ini adalah berunsurkan rekaan daripada
pengarang. Gaya penulisannya juga mampu menimbulkan emosi kepada pembaca.
Beralih ke sinopsis, buku ini mengisahkan tentang Imah, anak bongsu Mak Leha yang
begitu rapat dengan ibunya sejak kecil lagi. Hal ini kerana hanya dia seorang sahaja
yang masih bersekolah pada ketika itu berbanding kakak dan abang-abangnya yang
sudah berjaya dalam hidup masing-masing. Segala suka & duka Imah dengan ibunya
dikongsi Bersama memandangkan anak-anaknya yang lain kurang mengambil berat
tentang ibunya. Imah yang meminati bidang jahitan begitu bersungguh-sungguh
bekerja untuk mengubah nasib dia & ibunya yang hidup dalam kesusahan supaya dia
dapat memberikan keselesaan & kebahagiaan kepada ibu tersayangnya.
Pada pandangan saya, buku ini dapat memberikan impak kepada pembaca mengenai
hubungan kekeluargaan yang perlu dititikberatkan dalam kehidupan. Hal ini kerana
bermula daripada hubungan kekeluargaan yang baik dapat melahirkan generasi yang
berakhlak mulia.
Antara keistimewaan buku ini adalah berdasarkan teknik plotnya seperti imbas
kembali. Sebagai contoh, Mak Leha teringatkan arwah suaminya yang meninggal
dunia akibat penyakit usus perut serta mengenangkan kesukaran hidup yang mereka
lalui. Seterusnya, terdapat juga unsur saspens di dalam buku ini. Sebagai contoh,
Abang Mail yang sebelum ini tidak mempedulikan tentang ibunya tiba-tiba sahaja
sudi menjejakkan kaki ke rumah Imah untuk bertemu dengan ibunya. Selain itu,
terdapat juga unsur konflik di mana berlaku pertelingkahan antara Imah dengan
Abang Mail mengenai tanah pusaka yang dimiliki oleh Imah daripada arwah ibunya.
Kelebihan-kelebihan buku ini ialah pengisian cerita yang dapat menimbulkan
kesedaran kepada pembaca melalui peristiwa-peristiwa yang melibatkan masalah
hubungan baik seorang ibu dengan anak-anaknya. Buku ini juga tidak lari daripada
mempunyai kelemahannya iaitu kemunculan watak yang terlalu kerap dalam jalan
penceritaannya.
Sebagai penutup bicara akhir, salah satu nilai yang saya peroleh ialah nilai kasih
sayang. Sebagai anak-anak, kita hendaklah menyayangi & menghargai jasa serta
pengorbanan yang telah dicurahkan oleh ibu bapa agar memperoleh kebahagiaan &
keberkatan dalam hidup berkeluarga. Buku ini dapat memberi pengajaran kepada
kita mengenai seorang ibu yang perlu diberi kasih sayang & keselesaan kerana syurga
ditelapak kaki ibu.
Buah jambu di bawah tangga,
Buah kelapa di hujung desa,
Kasih ibu membawa ke syurga,
Kasih bapa sepanjang masa.