F3_PROJ_Oren_S01
DEFINISI MATLAMAT PEMBANGUNAN LESTARI PBB
Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ialah
seruan sedunia untuk bertindak bagi membasmi kemiskinan, melindungi bumi
dan memastikan semua warga bumi dapat menikmati keamanan dan
kemakmuran. Matlamat-matlamat ini saling berhubung kait di mana kejayaan
dalam satu matlamat sering memerlukan tindakan dalam isu-isu yang
berhubung dengan matlamat lain.
ARAHAN: Anda akan melaksanakan sebuah projek berlandaskan Matlamat 13:
Tindakan Iklim dan SATU Matlamat elektif. Anda perlu memilih salah satu
elektif berikut sebagai fokus untuk projek anda. Baca definisi Matlamat di
bawah sebagai persediaan projek.
MATLAMAT 13: Tindakan Iklim
Mengambil tindakan segera untuk memerangi perubahan iklim dan kesannya
Tiada negara yang tidak mengalami kesan perubahan iklim yang drastik.
Pembebasan gas rumah hijau kini adalah 50 peratus lebih tinggi daripada
tahun 1990. Pemanasan global menyebabkan perubahan jangka panjang
terhadap sistem iklim kita, yang akan membawa kesan-kesan yang berkekalan
jika kita tidak bertindak.
Purata kerugian tahunan ekonomi daripada bencana yang berkaitan dengan
iklim adalah beratus-ratus bilion dolar. Ini belum termasuk kesan manusia
terhadap bencana geo-fizikal, yang 91 peratusnya adalah berkaitan dengan
iklim dan membunuh 1.3 juta orang (dan mencederakan 4.4 bilion orang) di
antara tahun 1998 dan 2017. Matlamat 13 bertujuan untuk menggerakkan
US$100 bilion setiap tahun menjelang 2020 untuk menangani keperluan
negara-negara membangun untuk menyesuaikan diri dengan perubahan iklim
dan membuat pelaburan di dalam pembangunan karbon rendah.
Membantu kawasan-kawasan yang terdedah kepada perubahan iklim akan
secara langsung menyumbang bukan sahaja kepada Matlamat 13 tetapi juga
kepada Matlamat-Matlamat yang lain. Tindakan ini juga perlu dilakukan
dengan usaha untuk mengintegrasikan langkah-langkah risiko bencana,
pengurusan sumber semula jadi yang mampan dan keselamatan manusia ke
dalam strategi pembangunan negara.
Kita boleh, dengan keinginan politik yang kuat, peningkatan pelaburan dan
menggunakan teknologi yang sedia ada, untuk menghadkan peningkatan suhu
Hak Cipta Terpelihara 2019 © Agensi Inovasi Malaysia dan Yayasan Genovasi
F3_PROJ_Oren_S01
purata sejagat kepada dua darjah Celsius di atas paras pra-perindustrian, iaitu
kira-kira pada 1.5 ° C, tetapi ini memerlukan tindakan bersama secara segera.
Contoh sasaran Matlamat 13:
● Memastikan semua negara mempunyai daya tahan dan keupayaan
menangani bahaya-bahaya berkaitan alam sekitar dan bencana alam.
● Mengintegrasikan langkah perubahan iklim ke dalam dasar, strategi dan
perancangan negara.
● Meningkatkan pendidikan, kesedaran dan keupayaan manusia dan
institusi mengenai pengurangan, penyesuaian, pengurangan impak dan
amaran awal perubahan iklim.
MATLAMAT 7: TENAGA YANG MURAH DAN BERSIH
Memastikan akses kepada tenaga yang murah, boleh diharap, lestari dan
moden untuk semua
Antara tahun 1990 dan 2010, bilangan orang yang mempunyai akses kepada
elektrik telah meningkat sebanyak 1.7 bilion orang dan populasi global yang
semakin meningkat juga bermakna permintaan untuk tenaga murah akan turut
meningkat. Ekonomi global yang bergantung kepada bahan api fosil dan
peningkatan gas rumah hijau sedang mengakibatkan perubahan yang drastik
kepada sistem iklim kita. Ini memberi kesan kepada setiap benua.
Pada tahun 2011, kita telah mencapai rekod di mana 20% daripada kuasa
dunia dihasilkan oleh sumber boleh diperbaharui. Namun, satu daripada setiap
tujuh orang masih tidak mempunyai akses kepada bekalan elektrik, sementara
keperluan tenaga semakin meningkat. Oleh itu, kita memerlukan peningkatan
dalam penghasilan tenaga yang boleh diperbaharui di seluruh dunia.
Untuk memastikan akses global kepada tenaga elektrik yang harganya
berpatutan menjelang 2030, kita perlu melabur dalam sumber tenaga bersih
seperti solar, angin dan tenaga haba di samping menggunakan standard kos
efektif bagi produk teknologi. Perkembangan infrastruktur dan
penambahbaikan teknologi untuk menyediakan tenaga bersih dalam
negara-negara membangun akan membantu dalam pembangunan negara dan
pemeliharaan alam sekitar.
Contoh sasaran Matlamat 7:
● Memastikan akses global kepada tenaga yang murah dan konsisten,
serta perkhidmatan tenaga moden menjelang 2030.
● Menggandakan kadar global untuk penambahbaikan dalam keefisienan
tenaga menjelang 2030.
● Meningkatkan peratus penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui di
serata dunia menjelang 2030.
● Memantapkan kerjasama antarabangsa untuk membolehkan akses
kepada kajian dan teknologi tenaga bersih, termasuk tenaga yang boleh
diperbaharui, keefisienan tenaga dan teknologi bahan api fosil yang lebih
Hak Cipta Terpelihara 2019 © Agensi Inovasi Malaysia dan Yayasan Genovasi
F3_PROJ_Oren_S01
maju dan bersih serta mempromosikan pelaburan dalam infrakstruktur
tenaga dan teknologi tenaga bersih menjelang 2030.
● Meluaskan infrastruktur dan menaik taraf teknologi untuk membekalkan
perkhidmatan tenaga yang moden dan lestari untuk semua negara
membangun menjelang 2030.
MATLAMAT 11: BANDAR DAN KOMUNITI LESTARI -
Jadikan bandar dan petempatan manusia inklusif, selamat, berdaya tahan dan
lestari
Lebih daripada separuh populasi dunia kini menghuni kawasan bandar.
Menjelang 2050, angka ini akan mencapai 6.5 bilion orang - iaitu dua pertiga
daripada bilangan manusia di bumi. Pembangunan lestari tidak akan dapat
dicapai jika kita tidak mengubah cara kita membina dan menguruskan ruang di
sekitar bandar.
Perkembangan pesat di bandar di negara-negara maju, ditambah dengan
peningkatan kadar migrasi dari luar bandar ke bandar telah mengakibatkan
peningkatan kewujudan bandar mega. Kedaifan sering tertumpu di kawasan
bandar dan kerajaan tempatan semakin tercabar dalam keupayaan mereka
dalam menangani isu populasi yang semakin meningkat di kawasan-kawasan
ini.
Pembinaan bandar yang selamat dan lestari meliputi pemastian akses kepada
rumah yang selamat dan murah, termasuklah kenaiktarafan kawasan
setinggan. Ia juga termasuk pelaburan dalam pengangkutan awam, penciptaan
ruang hijau awam dan menambahbaikkan perancangan dan pengurusan
bandar secara inklusif dan mendapat input penduduk.
Contoh sasaran Matlamat 11:
● Memastikan akses untuk semua kepada perumahan dan perkhidmatan
asas yang selamat, murah dan mencukupi, serta menaiktarafkan
kawasan setinggan menjelang 2030.
● Menyediakan akses kepada pengangkutan awam yang selamat, murah
dan lestari; menambahbaikkan keselamatan jalan raya terutamanya
dengan peningkatan perkhidmatan pengangkutan awam dengan
perhatian kepada wanita, kanak-kanak, orang kurang upaya dan
warga tua menjelang 2030.
● Mengurangkan impak buruk per kapita bandar-bandar terhadap alam
sekitar dengan tumpuan khas kepada kualiti udara serta pengurusan
sisa buangan menjelang 2030.
● Menyediakan akses universal kepada tempat awam yang hijau, selamat
dan inklusif, terutamanya untuk wanita, kanak-kanak, orang kurang
upaya dan orang tua menjelang 2030.
Hak Cipta Terpelihara 2019 © Agensi Inovasi Malaysia dan Yayasan Genovasi
F3_PROJ_Oren_S01
MATLAMAT 12: PENGGUNAAN DAN PENGELUARAN YANG
BERTANGGUNGJAWAB
Memastikan penggunaan dan pola penghasilan yang lestari
Untuk mencapai perkembangan ekonomi dan pembangunan lestari, adalah
sangat mustahak kita mengurangkan jejak ekologi kita dengan mengubah cara
kita menghasilkan dan menggunakan barangan dan sumber. Pertanian
merupakan pengguna air terbesar di serata dunia dan pengairan kini
menggunakan 70% daripada air tawar yang sedia ada.
Pengurusan efisien sumber semula jadi dan cara kita menghapuskan sisa toksik
dan bahan pencemar amat penting kepada matlamat ini. Usaha menggalakkan
industri, perniagaan dan pengguna untuk mengitar semula dan mengurangkan
penghasilan sisa juga sangat penting dan akan membantu negara-negara
membangun untuk menganjak kepada praktis penggunaan yang lebih lestari
menjelang 2030.
Sebahagian besar daripada populasi dunia masih mempunyai kadar
penggunaan yang terlalu rendah untuk memenuhi keperluan mereka. Selain itu,
pengurangan pembaziran makanan pada tahap pengeluar dan pengguna
adalah penting untuk memastikan rantai penghasilan dan pembekalan yang
efisien. Ini boleh membantu dalam menghasilkan bekalan makanan yang lebih
stabil dan membantu kita bergerak ke arah ekonomi yang lebih efisien dari segi
sumber.
Contoh sasaran Matlamat 12:
● Mengurangkan kadar penghasilan sisa secara signifikan melalui
pencegahan, pengurangan, pengitaran semula dan penggunaan semula
menjelang 2030.
● Memastikan semua orang mempunyai maklumat dan kesedaran yang
relevan untuk pembangunan lestari dan gaya hidup yang harmoni
dengan alam semula jadi menjelang 2030.
● Membangun dan melaksanakan kaedah untuk mengawasi impak
pembangunan lestari untuk pelancongan lestari yang mencipta
pekerjaan dan mempromosikan budaya dan produk setempat menjelang
2030.
● Mencapai pengurusan lestari dan penggunaan sumber semula jadi yang
efisien menjelang 2030.
● Kurangkan sebanyak separuh kadar pembaziran makan per kapita pada
tahap pengeluar dan pengguna dan sepanjang rantai pengeluaran dan
pembekalan menjelang 2030.
__________________________________________________________________________________
Sumber: http://www.undp.org/content/undp/en/home/sustainable-development-goals
Hak Cipta Terpelihara 2019 © Agensi Inovasi Malaysia dan Yayasan Genovasi
F3_PROJ_Oren_S04
Matlamat 7:
Teknologi hijau tingkat kualiti hidup, pacu ekonomi negara
Oleh: Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah | 13 Mac 2015
Suntingan: Sarhan Abd. Samat
BANGUNAN Teknologi Hijau Universiti Malaysia Pahang, Gambang yang
menggunakan kontena terpakai menempatkan bilik pensyarah. - Foto Halim Mat Ali
Apabila sesebuah negara semakin pesat membangun, populasinya semakin meningkat. Gaya
hidup manusia yang mahukan kehidupan lebih baik seperti rumah, bekalan elektrik dan air,
kereta dan lain-lain menyebabkan permintaan terhadap sumber semula jadi semakin
meningkat.
Pengurusan sumber semula jadi yang tidak terancang seperti pembalakan tidak terkawal,
penerokaan tanah secara berleluasa, pelepasan gas karbon dioksida ke atmosfera,
pembuangan sisa pepejal dan sebagainya menyebabkan pencemaran. Jika pengurusan sumber
semula jadi ini tidak diuruskan dengan baik, ia turut menjejaskan kualiti hidup manusia dan
alam sekitar.
Justeru, masyarakat dunia kini menghadapi dua cabaran utama iaitu isu perubahan iklim dan
keselamatan tenaga. Kedua-dua isu ini harus ditangani secara kolektif dan efektif. Satu
pendekatan yang kritis amatlah penting.
Berdasarkan keperluan ini, teknologi hijau menjadi portfolio Kementerian Tenaga, Teknologi
Hijau dan Air, (KeTHHA) yang ditubuhkan pada 9 April 2009. Teknologi hijau mempunyai
peranan strategik yang lebih jauh daripada setakat mencapai autonomi tenaga dan
menangani perubahan iklim.
Teknologi hijau merujuk produk, peralatan atau sistem yang memenuhi kriteria seperti
meminimumkan degradasi kualiti persekitaran, mempunyai pembebasan gas rumah hijau yang
rendah atau sifar, selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih
baik untuk semua hidupan, menjimatkan tenaga dan sumber asli dan menggalakkan sumber
yang boleh diperbaharui.
Ia adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia
ada. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti
Hak Cipta Terpelihara 2019 © Agensi Inovasi Malaysia dan Yayasan Genovasi
F3_PROJ_Oren_S04
tenaga, air dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk.
Fenomena pemanasan global
Pemanasan global terjadi melalui dua mekanisme penting iaitu melalui kesan rumah hijau.
Walaupun terdapat punca-punca semulajadi, tetapi aktiviti manusia mendominasi sumbangan
terhadap kedua-dua mekanisme di atas. Kesan rumah hijau banyak disumbangkan oleh gas
karbon dioksida.
Lantaran itu penekanan terhadap 'teknologi hijau' adalah alternatif tepat dalam menangani
masalah kesan rumah hijau ini selaras dengan agenda utama kerajaan seluruh dunia pada
masa kini yang memberi keutamaan kepada isu alam sekitar khususnya fenomena perubahan
iklim / pemanasan global.
Polis wanita bergambar bersama motosikal menggunakan teknologi
hijau. - Foto hiasan
Manfaat teknologi hijau
Teknologi hijau dapat membantu memulihara dan meminimumkan kesan buruk kepada alam
sekitar. Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat
jika dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap
alam sekitar adalah minimum. Ia dapat meningkatkan dan melindungi ekosistem dan
kepelbagaian hidup, meningkatkan kualiti udara dan air, mengurangkan pembuangan bahan
tercemar dan melindungi sumber semula jadi.
Dari segi komuniti, teknologi hijau dapat meningkatkan kualiti udara serta mengurangkan
pencemaran haba dan bunyi. Contoh teknologi hijau adalah penggunaan kereta enjin hibrid.
Hal ini dapat meningkatkan keselesaan dan kesihatan penghuni bandar, mengurangkan
masalah infrastruktur tempatan dan meningkatkan kualiti hidup.
Hak Cipta Terpelihara 2019 © Agensi Inovasi Malaysia dan Yayasan Genovasi
F3_PROJ_Oren_S04
Syarikat SWM Environment perkenal kaedah sistem kutipan baharu menggunakan
jentera kompaktor yang mesra alam. - Foto hiasan
Aplikasi Teknologi Hijau adalah selaras dengan konsep pembangunan mapan yang mana
pembangunan dilaksanakan perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan
generasi masa depan. Sehubungan itu, kita bertanggungjawab memastikan generasi akan
datang dapat sekurang-kurangnya menikmati kualiti kehidupan yang kita peroleh sekarang
atau kualiti lebih baik dari sekarang.
Penulis ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi
MARA Kelantan
Sumber: https://www.bharian.com.my/node/40615
Hak Cipta Terpelihara 2019 © Agensi Inovasi Malaysia dan Yayasan Genovasi
F3_PROJ_Oren_S05
Matlamat 11:
Bagaimanakah Keadaan Sebenar Sebuah 'Komuniti Lestari'?
Bayangkan sebuah kawasan pinggir bandar — tetapi barangkali bukan
kawasan-kawasan pinggir bandar yang pernah anda lihat. Selamat datang
ke Bandar Lestari.
Oleh: Kaid Benfield | 14 Mac 2011
Terjemahan dan Suntingan: Sarhan Abd. Samat
Di NRDC (Natural Resources Defense Council), di mana saya bekerja, kami menggunakan
istilah "komuniti mampan" untuk menerangkan tempat-tempat di mana penggunaan
sumber per kapita dan pelepasan gas-gas rumah hijau dan bahan pencemar lain per
kapita sedang menurun, bukannya meningkat.
Untuk melihat “komuniti mampan” ini, mari kita mengambil suatu perjalanan yang
singkat.
Dalam perjalanan ke destinasi kita menaiki kereta api berkelajuan tinggi, kita melalui
landskap luar bandar yang berbukit-bukit dan diselangi beberapa ladang, hutan dan
sawah padi sehingga kita sampai ke batas pertumbuhan bandar kawasan metropolitan
Bandar Lestari. Landskap tiba-tiba berubah kepada pembangunan yang diatur dengan
terperinci.
Pada perhentian pertama dalam kawasan yang dimajukan ini, kita menyedari bahawa
terdapat lebih banyak ruang-ruang hijau. Di sekeliling dataran-dataran hijau, terdapat
pelbagai jenis rumah - pangsapuri, teres dan banglo yang ditawarkan pada harga-harga
berbeza dan dicampur bersama, bukannya dipisahkan.
Hak Cipta Terpelihara 2019 © Agensi Inovasi Malaysia dan Yayasan Genovasi
F3_PROJ_Oren_S05
Apabila kita mengembara ke suatu kawasan perumahan, kita melihat anak-anak berjalan
pulang dari sekolah; rumah mereka semuanya dapat kita sampai dalam masa 15 minit
berjalan kaki. Apabila berjalan lebih jauh, kita melihat terdapat sebuah sekolah rendah
yang bersebelahan dengan sebuah taman kecil dan kita dapat melihat satu lagi sekolah
lain tidak jauh dari situ. Sekolah ini mempunyai panel solar dan bumbung hijau (iaitu
bumbung yang dilitupi sama ada sebahagian atau sepenuhnya dengan
tumbuh-tumbuhan) seperti juga bangunan kondominium yang terletak di taman tadi.
Kemudian kita perhatikan bahawa taman itu mempunyai ruang kecil di salah satu sudut
yang dikhaskan untuk tujuan perkebunan sayur-sayuran kejiranan yang sedang dijaga
beberapa warga tua.
Terdapat perniagaan-perniagaan kecil tempatan yang lain bercampur dengan
rumah-rumah dan tempat-tempat beribadat. Beberapa restoran sekitar kawasan
kejiranan mengiklankan bahawa mereka hanya menyediakan makanan-makanan
tempatan.
Ini tidak menggambarkan setiap aspek komuniti yang mampan atau setiap jenis komuniti
lestari. Untuk menjadi lengkap, kita perlu juga membincangkan, sebagai contoh,
perindustrian dan saluran air yang bersih; akses sejagat oleh orang-orang kelainan upaya;
dan banyak lagi.
Tetapi ia permulaan yang baik, pada pandangan saya. Pada asasnya, ia menggambarkan
visi komuniti yang mampan yang dicipta bersama oleh kira-kira 25 peserta di perundingan
perancangan komuniti mampan NRDC baru-baru ini. Utopia? Mungkin begitu, tetapi sejak
bila pula masyarakat yang mementingkan alam sekitar tidak bersikap idealistik? Kita
mesti tahu ke mana hala tuju kita untuk memilih langkah-langkah kita sepanjang jalan.
KAID BENFIELD merupakan pengarah program “Sustainable Communities and Smart Growth” di
Natural Resources Defense Council, pengasas sistem penarafan LEED for Neighborhood Development
dan pengasas Smart Growth America.
Sumber:
https://www.theatlantic.com/national/archive/2011/03/what-does-a-sustainable-community-actually-l
ook-like/72376/
Hak Cipta Terpelihara 2019 © Agensi Inovasi Malaysia dan Yayasan Genovasi
F3_PROJ_Oren_S06
Matlamat 12:
Bagaimanakah Kita Boleh Menjadi Seorang Pengguna
yang Bertanggungjawab?
5 langkah membeli secara bertanggungjawab.
Oleh: Kathleen Ebbitt | 18 Mac 2015
Terjemahan dan Suntingan: Sarhan Abd. Samat
Pekerja-pekerja menjahit pakaian di kilang tekstil Bozkurt di Kahramanmaras, Turkey.
Sumber: Flickr- Travel Aficionado
Piawaian keselamatan pekerja sering diabaikan bagi orang-orang termiskin dan paling
terpinggir dalam sesebuah masyarakat. Dan disebabkan globalisasi yang semakin berkembang
dan penghasilan produk di negara-negara lain, pengaruh asing adalah sebab yang besar
dalam perkembangan pesat kilang-kilang yang dibina secara tidak baik. Ini adalah masalah
bekalan dan permintaan dan apabila ramai inginkan produk-produk murah, pekerja terpaksa
memenuhi permintaan dengan gaji buruh yang murah dan kilang-kilang yang tidak bermutu.
Jadi, apakah implikasinya bagi pengguna? Adakah kita hanya berhenti membeli produk yang
dibuat di negara-negara tertentu? Di bawah ini, saya senaraikan beberapa saranan mengenai
amalan membeli yang bertanggungjawab dan pembinaan kesedaran tentang rantaian bekalan.
1) Lihat di manakah produk-produk anda dibuat
Semasa membeli-belah, saya cuba mencari barang-barang yang dihasilkan secara tempatan
atau sudah dipakai tetapi ini mungkin tidak selalu dapat dilakukan. Jadi, apabila saya
membeli sesuatu yang baru, saya akan cuba melihat di mana produk itu dihasilkan. Contohnya
- jika pinggan plastik yang saya sedang pertimbangkan untuk beli telah dihasilkan di Myanmar
di mana kos pembuatan secara lazimnya adalah rendah dan saya tidak mengetahui butiran
mengenai keadaan kilang, saya akan melakukan beberapa kerja detektif sebelum saya
membeli. Hasilnya, saya telah menemui pelbagai isu rantaian bekalan dalam syarikat yang
saya ingin membeli barangannya sebelum ini dan telah menulis kepada syarikat-syarikat ini
untuk meningkatkan tanggungjawab terhadap produk-produk mereka (saya menggunakan
Twitter, e-mel dan Facebook untuk tujuan ini).
Hak Cipta Terpelihara 2019 © Agensi Inovasi Malaysia dan Yayasan Genovasi
F3_PROJ_Oren_S06
2) Beli secara lestari, tempatan, atau DIY (Do-it-yourself - buat sendiri)
Ini bukan hanya berkenaan membeli di pasar-pasar tani! Gunakan saya sebagai contoh - di sini
di New York City, saya akan mencari pakaian buatan tempatan yang dihasilkan menggunakan
kain kitar semula. Bukan sahaja saya sedang menyokong pereka tempatan tetapi dengan
rantaian bekalan lebih dekat ke rumah, produk ini lebih mampan, mesra alam, dan saya yakin
saya membayar harga yang wajar untuk pembelian saya.
Bagi aspek DIY pula saya buat sendiri beberapa pakaian dan perhiasan. Saya juga mempunyai
beberapa mangkuk dan cawan seramik yang saya buat menggunakan tanur di rumah-rumah
tembikar tempatan.
3) Kenalilah rantaian bekalan jenama-jenama
Korporat dan jenama-jenama menjadi semakin bertanggungjawab terhadap buruh dan para
pengguna. Mereka berusaha untuk memastikan barangan mereka dihasilkan dalam keadaan
kilang yang selamat. Walaupun lebih senang untuk menganggap semua syarikat
menggunakan tenaga buruh di kilang-kilang yang mematuhi undang-undang keselamatan
pekerja global bagi pengeluaran mereka, ini bukan keadaan sebenar.
4) Berkempenlah untuk Hak-hak Pekerja
Sebagai pengguna, ia merupakan tanggungjawab kita untuk menyokong kesihatan dan
kesejahteraan pekerja. Dengan liputan berita yang semakin meningkat mengenai
bencana-bencana kilang seperti di Mongla, kita, warga dunia, harus mempunyai kesedaran
terhadap keadaan pekerja-pekerja. Adalah penting untuk memahami bagaimana pengguna
boleh mempengaruhi perubahan-perubahan penting bagi hak-hak pekerja - dan bahawa kuasa
membeli kita sebenarnya mempunyai... kuasa.
5) Kurangkan Penggunaan
Saya suka membeli pakaian-pakaian baru....dan buku-buku baru….dan barang-barang baru. Ini
satu keseronokan tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, saya telah berusaha untuk
mempraktikkan pembelian "pengalaman". Daripada membeli-belah untuk menghabiskan masa,
saya hanya membeli apa yang diperlukan, cuba membeli pakaian yang berkualiti tinggi yang
akan tahan lebih lama, mencari pinggan dari pembuat tempatan dan menggunakan
perpustakaan awam dan bukannya sentiasa membeli novel-novel terbaru.
Kita semua membeli belah dan sememangnya ia menyeronokkan. Tetapi kita, warga dunia,
harus juga mempunyai kesedaran terhadap hak-hak pekerja dan kemampanan asal-usul
barangan kita. Mempunyai pemikiran, kesedaran dan juga pembelian berteraskan hak pekerja
bukan sahaja menguntungkan untuk dompet kita, ia juga baik bagi pekerja buruh.
Sumber: https://www.globalcitizen.org/en/content/how-to-be-a-responsible-consumer/
Hak Cipta Terpelihara 2019 © Agensi Inovasi Malaysia dan Yayasan Genovasi