SEORANG INSAF NURUL ASYIQIN SAHIDAN@E
Jam menunjukkan pukul 7.30 pagi. Pintu pagar sekolah Shaf ditutup rapat oleh pengawal keselamatan setelah dia berlari masuk ke sekolah. Shaf berasa lega kerana dapat masuk tanpa dikenakan denda. Shaf terus menuju ke kelasnya, 4 Makmur untuk memulakan kelas Pendidikan Islam. Kelas dimulakan dengan bacaan doa, tetapi Shaf tidak menghiraukan keadaan tersebut kerana dia sedang menikmati bekal yang diberikan oleh ibunya. Setelah selesai, Ustazah Hazira memanggilnya secara peribadi ke hadapan kelas. “Mengapakah kamu tidak membaca doa bersamasama dengan mereka?”. Tanya ustazah kepada Shaf. 1
Shaf hanya tersenyum seperti kerang busuk kerana tiada jawapan dan Shaf pulang ke tempatnya. Tanpa membuang masa, ustazah memulakan kelas. Kebetulan, tajuk pada hari tersebut adalah Kepentingan Berdoa. Dalam pengajaran tersebut, ustazah memberitahu bahawa setiap perbuatan hendaklah dimulakan dengan doa. ”Kamu semua perlu berdoa sebelum memulakan kelas supaya ilmu yang diperoleh akan diingati sampai bila-bila. Berikan contoh perbuatan lain yang perlu berdoa sebelum memulakannya?”. Tanya ustazah kepada murid-muridnya. ”Sebelum makan dan sebelum tidur”. Jawab Akmal, kawan karib Shaf. 2
Ustazah memuji jawapan Akmal. Kelas 4 Makmur semakin aktif kerana ramai yang berebut memberi jawapan kecuali Shaf yang hanya mendiamkan diri kerana dia tidak mengamalkan doa. Ustazah cuba menenangkan keadaan dengan memuji sikap mereka yang berani menjawab soalan tersebut. ”Wah, bagusnya kamu semua! Benar, kita hendaklah membaca doa sebelum makan supaya kita berasa kenyang dan cukup. Sebelum tidur juga perlu membaca doa supaya tidak mengalami sebarang mimpi buruk.” 3
Kring... Loceng berbunyi menandakan waktu rehat bermula. Ustazah mengingatkan mereka untuk membaca doa sebelum makan nanti. Seterusnya, ustazah mengizinkan mereka keluar. Suasana kantin menjadi bising dan huru-hara. Murid berebut-rebut membeli makanan. Shaf dan Akmal yang berjaya membeli makanan segera mencari tempat duduk untuk makan. Shaf segera makan nasi yang dibelinya. ”Oit”. Terjah Akmal kepada Shaf. ”Kenapa?”. Tanya Shaf yang kebingungan. ”Adakah kamu sudah terlupa pesanan ustazah?”. Soal Akmal kepada Shaf. ”Ah, aku tidak peduli. Aku lapar!”. Jawab Shaf dan sambung makan. Akmal menggeleng kepala kerana tidak suka terhadap perbuatan Shaf. Akmal risau kerana mengenangkan kesan-kesan yang diberitahu oleh Ustazah Hazira sekiranya tidak membaca doa. 4
Kita manusia lemah Memerlukan bantuan Tuhan Cukup doa kita panjatkan Mengharapkan hidup aman. Sengsaranya kehidupan Jika tidak berdisiplin Makan tidur dengan ghairah Tanpa memikirkan keburukan. Tidurlah dengan berdoa Makanlah dengan berdoa Hidup pasti terjaga Mendapat rahmat-Nya. Makan terasa kenyang Tidur terasa tenang Hidup semakin girang Melahirkan insan cemerlang. 5 KESAN TIDAK BERDOA (LAGU TIGA KUPANG)
Kring... Semua murid memasuki kelas apabila mendengar loceng tamat waktu rehat. Sejurus memasuki kelas, Shaf merungut kepada Akmal bahawa dia masih lapar walaupun telah menghabiskan nasinya ketika waktu rehat tadi. ”Sebab itu pentingnya membaca doa sebelum makan seperti yang aku dan kawan-kawan lain lakukan supaya kita berasa kenyang. Aku masih kenyang dan bertenaga sedangkan kamu masih kelaparan. Sudah tentu kamu tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya ketika Cikgu Alisha mengajar nanti dan kamu akan dimarahinya. Cikgu Alisha garang tahu”. Ujar Akmal yang mahu memberi pengajaran kepada Shaf. 6
Perkara yang dikatakan oleh Akmal benar berlaku. Shaf yang tersengguk-sengguk kerana mengantuk terus diminta berdiri sebagai hukuman denda. Akmal yang kasihan terhadap kawan karibnya menjelaskan punca berlakunya perkara tersebut dan berharap cikgu memaafkan perbuatan Shaf. ”Shaf mengantuk kerana dia tidak membaca doa sebelum tidur semalam. Tambahan pula, Shaf bertambah mengantuk kerana dia makan terlalu banyak dan tidak membaca doa sebentar tadi”. Jelas Akmal. Sekiranya kamu membaca doa sebelum tidur, sudah tentu kamu mendapat tidur yang secukupnya dan rehat yang berkualiti. Bukan itu sahaja, mengapakah kamu tidak membaca doa sebelum makan? Adakah kamu tidak mengetahui bahawa pentingnya membaca doa makan? Sekiranya kamu membaca doa, kamu akan memperoleh keberkatan sekaligus mengelakkan keadaan begini terjadi”. Ujar Cikgu Alisha bertubi-tubi kerana ingin memberi pengajaran kepada Shaf. 7
Kring… Tepat jam 12.00 tengah hari, loceng berbunyi menandakan sesi persekolahan tamat. Pulanglah Shaf dan kawankawannya dengan perasaan yang sangat seronok. Ibu Shaf yang menjemputnya daripada sekolah cuba memulakan perbualan. 8
“Seronok tak pergi sekolah hari ini?” “Seronok sebab dapat berjumpa dengan kawan-kawan, tapi tak seronok sebab kena denda. Cikgu Alisha suruh berdiri kerana Shaf mengantuk”. Jawab Shaf dengan perasaan yang bercampur-baur antara gembira dan sedih. “Eh, Shaf tidak cukup tidurkah?”. Soal ibunya yang risau terhadap anaknya. “Cukup, tetapi Shaf tidak membaca doa sebelum tidur. Cikgu Alisha cakap Shaf mengantuk sebab tidak membaca tidur dan mengakibatkan Shaf tidak mendapat rehat yang berkualiti”. Jawab Shaf. “Oh, patutlah. Tidak mengapa. Malam ini Shaf perlu membaca doa sebelum tidur untuk dapatkan rehat yang berkualiti dan juga dapat terhindar daripada mengalami mimpi buruk”. Jelas ibu Shaf yang ingin memastikan anaknya melakukan perbuatan tersebut. “Baiklah, ibu. Ibu memesan perkara yang sama dengan Ustazah Hazira dan Cikgu Alisha”. Kata Shaf. 9
10
11 Tepat jam 9.30 malam, rumah Shaf gelap kerana mereka sekeluarga telah tidur. Kedengaran Shaf sedang berdengkur. Tibatiba, bunyi dengkuran tersebut bertukar kepada jeritan yang sangat kuat. Bergegas ibu bapa Shaf ke biliknya. Alangkah bertambah risau ibu bapanya kerana melihat Shaf sedang meronta-ronta dan menjerit ketakutan. ”Tak nak! Pergi sana, aku geli, aku takut!”. Teriak Shaf berulang kali sambil memukulmukul mulutnya.
Ibu bapa Shaf sedaya-upaya menyedarkan Shaf yang masih menjerit tetapi matanya tertutup rapat. Memandangkan Shaf masih tidak sedar, ibunya mengambil sedikit air dan percikkan ke muka Shaf. Akhirnya, Shaf tersedar daripada mimpinya sambil menangis teresakesak kerana ketakutan. Ibu bapa Shaf memeluknya dan bertanya. ”Apakah yang telah berlaku?”. ”Saya takut. Saya bermimpi banyak ulat yang sangat busuk memasuki mulut saya. Ulat itu masuk kerana saya tidak membaca doa ketika ingin makan. Saya cuba menepisnya tetapi semakin ditepis, semakin banyak”. Jelas Shaf sambil menangis teresak-esak sehingga badannya terketar-ketir kerana ketakutan. 12
Ibu bapa Shaf menarik lafas lega kerana hanya mimpi buruk yang dialami oleh anaknya. Tiba-tiba, Shaf teringat bahawa dia tertidur tanpa membaca doa tidur. “Sekiranya aku mengikuti ajaran cikgu-cikgu dan ibuku, sudah tentu aku tidak mengalami perkara buruk seperti ini”. Bisik Shaf didalam hati kerana kesal terhadap berbuatannya. Dia dengan perasaan takut memberi tahu ibunya bahawa dia tidak membaca doa seperti yang diajarkan. Ibunya hanya mampu menggelengkan kepala menahan marah kerana anaknya masih berdegil. 13
Shaf yang takut dimarahi ibunya terus berjanji tidak akan meninggalkan doa setiap kali ingin melakukan sesuatu perbuatan. Tambahan pula, dia tidak mahu mimpi buruk seperti tadi berulang lagi. Shaf insaf terhadap perbuatannya yang tidak mahu mengikuti ajaran orang lain sedangkan perkara tersebut memberi kebaikan kepadanya. Sejak daripada itu, Shaf juga sentiasa mengingatkan dan mengajak rakan-rakannya berdoa apabila ingin melakukan sesuatu perbuatan. Apabila terdapat salah seorang kawannya yang terlupa untuk berdoa, Shaf akan menegur dan mereka akan membaca doa bersama-sama. 14
-Tamat-